Saturday, December 17, 2005

Dah tiga kali naik air, dah tiga kali banjir

Teratak tua saya di Padang Raja ketika ini, saat saya sedang menaipkan kemaskini terbaru ini - sedang lebat ditimpa hujan musim tengkujuh. Beginilah keadaan di tanah Kelantan sejak beberapa minggu yang lalu. Ditimpa hujan bertalu-talu. Hanya sesekali panas matahari menghias langit tengkujuh. Saya sudah banyak kali kesejukan ditimpa hujan. Dah tak tahan rasanya nak ikut serta anak-anak dan jiran-jiran sekampung berpayung ke sungai melihat air sungai yang berombak-ombak, ditimpa hujan mencurah-curah.

Dan saat ini juga, ketika saya sedang tercongak di kerusi komputer menaipkan ini - saya dapat melihat dengan jelas air sungai yang kekuningan menyeberang jalan kampung di depan rumah saya. Pintu keluar ke halaman yang terbuka membolehkan saya melihat dengan jelas dari sini, dari ruang tengah tempat saya menulis ini - panorama hujan lebat menimpa air sungai sementara yang baru tercipta di awal pagi tadi merentang jalan depan rumah saya.

Ketika limpahan banjir dah sampai ke tahap memuncak, rumah saya akan diapungi air - dikelilingi air. Air yang berwarna teh susu itu, akan memenuhi kiri kanan rumah saya - dapur, halaman, bawah rumah, depan dan belakang. Tapi sekarang, pemandangan itu dah hilang kerana limpahan air itu dah banyak surut.

Ketika limpahan air itu sampai ke paras kemuncak juga, lintasan air banjir di atas jalan berturap depan rumah saya boleh mencecah ke paras pusat. Kuat dan laju. Takut juga kalau menyeberang keseorangan. Masuk yang ini, untuk musim tengkujuh tahun ini dah tiga kali kampung saya dinaiki air. Tapi, alhamdulillah - setakat tiga kali banjir ini, belum ada lagi warga kampung kami yang kena berpindah. Air banjir sekadar mencecah ke paras betis di atas simen dapur rumah saya yang rendah. Tapi, tak pernah pula ia mencecah sampai ke lantai papan yang tinggi. Maka, tak adalah kami kena pindah-pindah. Sekadar angkat barang-barang dari kawasan dapur yang rendah, bawa naik ke atas gelegar rumah yang tinggi.

Sekarang, air banjir yang mula melimpah sejak awal subuh tadi dah mula surut. Air sungai yang menyeberang jalan dah mula menipis. Motosikal budak-budak yang meninjau-ninjau air dah berani melintas - mencipta percikan air yang tinggi ke kiri kanan jalan. Banjir hari ini lebih tohor dan sekejap berbanding dua kali banjir yang lepas.

Kini, langit masih gelap juga. Hujan masih turun juga. Ayam jantan jiran berkali-kali berkokok di bawah rumah saya - kesejukan. Angin masih bertiup juga. Kata orang tua-tua, kalau berangin begini - maknanya air nak naik lagi. Air yang melimpah atas simen dapur rumah saya dah hilang. Surut. Tak tahulah takut-takut esok lusa banjir lagi. Masuk yang ini, kampung saya dah tiga kali naik air, dah tiga kali banjir. Eiiiiii, sejuknya.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang.
12.39 tengah hari, 17 Disember 2005 - Sabtu yang sejuk sungguh, banjir.
15 Zulkaedah 1426 H.

Tuesday, November 15, 2005

Sms kepada ibu yang tak ada telefon bimbit

Semalam, dengan akrab saya di kampus, kami tinggalkan seketika keriuhan kampus Pulau Mutiara, naik bas mini ke Georgetown. Menyusur sibuk lalu-lalang negeri Pulau Pinang. Melihat rumah-rumah orang di jalanan, fikiran saya segera menerawang mengingat ibu yang jauh di kampung halaman.

Saya tengok sibuk orang di jalanan. Saya nampak rumah-rumah yang padat dan sendat. Saya tengok halaman yang kosong, tiada ayam dan itik serati berkeliaran. Jauh sekali lembu kambing, kerbau balar apatah lagi.

Saya memang tidak boleh tinggal di rumah yang tak berhalaman, yang tak ada pohon-pohon rendang. Tak ada pohon-pohon pisang. Kepada akrab di sebelah, saya bebelkan macam-macam. Dia pun mengiyakan berkali-kali, dia pun tak boleh tinggal di rumah yang sendat begini.

Lancar pula idea mencurah-curah di kepala saya. Saya mula mencatatkan sesuatu ke dalam telefon bimbit saya - biarlah, walau saya tahu, ia tak akan dibaca ibu. Sms saya takkan sampai pun kepada ibu, saya tahu itu. Di ruang taip mesej multimedia, tangan saya mula rancak menaipkan rasa hati dan salinan penuhnya berbunyi begini;

"Sms kepada ibu yang tak ada telefon bimbit. Tak apalah ibu, kalau kau tak ada telefon bimbit pun, tak apalah. Sms panjang ini hanya untukmu seorang saja. Sms kepada orang lain yang ada telefon bimbit, pendek-pendek saja. Mana boleh panjang-panjang. Orang yang ada telefon bimbit, mana boleh sms panjang-panjang. Sibuklah katakan. 'Bz' kata orang yang ada telefon bimbit. Tak apalah ibu, kalau halaman rumah kita tak berpagar pun, tak apalah. Janji, dalam hati kita masih ada pagar yang teguh & kukuh. Biar lembu dan kambing jiran senang masuk ke halaman. Biar itik ayam senang berkeliaran. Biar halaman rumah kita lapang. Biarlah halaman rumah kita senang dibuat jalan orang lalu-lalang. Tak apalah ibu halaman rumah kita dipenuhi pokok-pokok rendang, senang nanti anak cucu menggantung buaian. Tak apalah ibu kalau kau tak ada telefon bimbit pun tak apalah, senang nanti kau terima smsku yang panjang-panjang berpuluh halaman. Sms ini hanya untukmu seorang saja. Kau tahukan ibu, sms ini dari anakmu yang pilu."

Disimpan:
05:26:03pm
14/11/2005


Salman Sulaiman
Didi Siber Kafe, Bawah Bukit Gambir,
Minden.
11.14 malam, 13 Syawal 1426 H.

Selasa, 15 November 2005.

Sunday, November 13, 2005

Selamat harijadi untuk diri sendiri

Saya sms dia berkali-kali, senyap sepi. Lalu saya hubungi dua kali, juga tak diangkat. Dalam kepala saya, dah fikir yang macam-macam - yang bukan-bukan. Dari pagi, sampailah hampir jam 12 malam, 13 November - sms saya langsung tak berjawab, deringan panggilan saya langsung tak diangkat. Entah, apa-apa jadi pada dia. Entah-entah dia diculik orang dan telefon bimbitnya ditinggalkan atau dibuang ke mana-mana.

Resah saya semalaman memikirkan takut dah jadi apa-apa dengan dia. Payah juga saya mahu lena dibuatnya. Tiba-tiba, tepat jam 12.03 pagi ikut jam tangan casio saya yang cepat tiga minit, dia menelefon dari telefon bimbitnya - mengucap salam dan menyanyikan lagu harijadi untuk saya. Dan dia segera memberitahu, dia sedang menunggu saya di sebuah restoran mamak di luar kampus. Saya tak terkata, terpinga. Tertanya-tanya, awak datang dengan apa? Dia minta saya cepat-cepat salin pakaian dan segera ke tempat dia menunggu saya.

Saya segera pinjam motor kawan, memandu dalam fikiran yang masih tak percaya. Iskh, awak datang dengan apa? Iskh, betul ke? Sampai di sana, sudah tersedia kek bersaiz sederhana di atas meja. Rupanya dia datang bertiga dengan dua lagi kawan, memandu bergilir-gilir dari Selangor dengan perodua MYVI yang baru dibeli. Saja, katanya. Dia nak kejutkan saya dan nak sambut harijadi saya di Pulau Mutiara, sambil-sambil nak tunjuk kereta barunya. Sayang, saya tak boleh memandu. Kalau tak, boleh juga saya merasa mencuba kereta baru.

Dia tak pacak lilin atas kek, cuma dia nyanyi bertiga dengan kawan-kawannya untuk saya yang masih terpinga-pinga - katanya, ini semua saya buat untuk awak seorang saja, istimewa. Terlalu istimewa. Saya masih bingung terpinga-pinga campur tidak percaya. Ini buatkan saya rasa lebih sayang pada dia. Tak pernah pula, orang kejutkan saya di harijadi sampai begini sekali. Seumur hidup tak pernah, inilah pertama kali saya dibuat terkejut dan terkesima sampai begini.

Tak adalah. Tak ada kek pun untuk harijadi saya. Tak ada ucapan dari telefon, dari telefon bimbit apa lagi. Ini semua cuma 'khayalan kreatif' saya setelah seharian gagal menghubungi dia, yang entah ada entah tiada, atau hilang entah ke mana. Untuk harijadi saya yang jatuh hari ini, 13 November 2005 - saya cuma menerima empat sms ucapan harijadi ke talian maxis saya.

Pien jadi orang pertama yang ucap selamat harijadi untuk saya kali ini, di awal pagi lagi - ketika kami masih belum tidur, berbunyi;

*Selamat Hari Lahir*

Moga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki yang diberikan olehNya utk mengabdikan diri kepadaNya. Wassalam


Seusai subuh, pagi-pagi lagi Ros mengutusi begini;

Askum,SELAMAT HARI LAHIR.Semga awak dmurahkan rezeki,dbrkati ALLAH.

Adik Sue mengutusi sebagai orang ketiga ketika jam di telefon bimbit saya sudah 6.18 petang, dengan tulisan;

A'kum. SLMT HARI JADI buat abe t'syg, smg kehidupnmu sntiasa d rhmatiNYA..

Amir jadi orang ke empat dan terakhir yang mengutusi dan mengucapkan selamat harijadi untuk saya pada hari ini, hari yang cukup bererti buat si saya ini. Smsnya berbunyi, sampai ketika selesai isya', begini;

SELAMAT HARI LAHIR KE 25. Semoga allah panjangkan umur mu dan murah rezeki. "Amin.."

Terima kasih banyak Pien, Ros, Adik Sue dan Amir yang sudi mengutusi. Terima kasih kerana sudi mengingatkan aku yang lara ini. Tak apalah, walau tanpa ucapan dari bibir sesiapa untuk harijadi saya. Tak apalah tanpa kek dan lilin pun, tak apalah. Cukuplah, dengan ucapan dan ingatan yang bertalu-talu dari Tuhan yang dari pagi tadi melayang-layang di fikiran saya;

Salman, genaplah setahun lagi umurmu hari ini, ingatlah kau tetap pasti akan mendiami liang tanah ini.

Terima kasih semua. Jumpa lagi.


Salman Sulaiman
Siber Kafe KBM, Sungai Dua,
Minden.
11.38 malam, 13 November 2005, yang mengingatkan, Ahad.

11 Syawal 1426 H.

Tuesday, November 08, 2005

Jenuh juga berhari raya

Jenuh juga berhari raya. Jumaat hari raya kedua, sehabis solat Asar - dua buah kereta sepupu bersama mak saudara dari Kota Bharu menjadi tetamu hari raya. Abang Fakru dan isteri, Mok Teh dan Madiha sebuah kereta sudah ada menjamu selera. Tak berapa lama, Abang Man dan Kak Na bersama Apiq juga tiba. Dengan Apiq, kami dua berpeluk mesra. Sepupu yang seumur sebaya ini begitu istimewa. Maklum saja, kami tak jumpa lama. Dia, baru menyelesaikan dua tahun Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islamnya di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Kira-kira, dicampur segala macam urusan, dia perlu menghabiskan setahun lagi di sana.

Sesudah mereka dua buah kereta berangkat pulang, Ros menjelma dengan sepasang baju raya, kurung biru yang ceria dan sempat menjamah sedikit kuih raya, kemudian tiba pula Kak Yah dan suami sebuah kereta bersama anak kecilnya yang hitam manis bergaya - si Atikah yang riang ria, peramah dan banyak bicara. Aku mengajak Atikah tidur saja di Padang Raja, tapi tak nak pula dia. Gadis kecil enam tahun ini, galak gembira peramah mesra - cerdik dan petah pula berbicara. Kak Yah tidak lama di Padang Raja. Mereka bertiga berangkat pulang beberapa ketika sebelum maghrib tiba.

Sehabis isyak, majlis hari raya di Teratak Seni Padang Raja disambung lagi. Abang Zack tiba, berjalan kaki dari rumahnya yang jauhnya beberapa hasta saja. Dari rumahku ke rumahnya, lempar batu pun kena. Anaknya Adik Ja, kalau berlari dari rumahnya ke rumahku hanya beberapa ketika saja, dekatnya. Hanya sejauh beberapa belas langkah anak kecil seusia Adik Ja. Macam-macam pula topik bicara kami melayannya di hari raya.

Tak lama, tiba pula seekor sang kancil hijau - Mak cik sekeluarga, bersama Pak cik, Kak Ti, Sham, Pi dan Ha yang jadi driver. Lebih panjang dan meriah celoteh cerita kami semua di malam raya. Banyak pula kisah dan cerita yang jadi topik bicara. Dicampur lawak jenaka, sampai juga kepada kisah jodoh yang tak disangka-sangka. Jam sebelas dua puluh malam, mereka pulang dan Teratak Seni kembali lengang.

Hari raya ketiga, lain pula ceritanya. Pagi, tak ke mana-mana. Petangnya, sang kancil yang sama membawa kami ke Pengakalan Datu dekat Kota Bharu. Lenguh juga, bertin sardin di dalam kereta. Lama juga, puas berlunjur bersila. Membuat kunjungan semula ke rumah mak saudara di Kota Bharu sempena Majlis Akikah anak Abang Fakru. Bergulai kambing juga kami di hari raya. Sekali lagi jumpa Atikah yang mesra dan riang ria. Dia pula kuajak pulang ke Machang, lagilah tak nak dia. Jalan sibuk sungguh, sesak bersumbat. Sendat dan lambat. Orang berasak di jalan raya, berhari raya. Sepuluh setengah malam juga, tiba di Padang Raja. Aduh, penatnya.

Hari raya ke empat, Majlis Bercukur Jambul cucu Mak Long pula yang dilaksana oleh Imam Masjid Kuala Baka, Ustaz Wan Lutfi. Ketika rambut si kecil dicukur, selawat bergema - mengalun ke angkasa hari raya, penuh bahagia. Enak juga menjamu selera. Kambing juga yang jadi mangsa.

Kemudiannya, dengan sang kancil yang semalam juga - berangkat jauh ke pinggir sungai Kelantan bersama Kak Ja yang tukang bawa kereta dengan Mak cik, Pak cik dan Sham anak bongsu mereka, aku ikut serta ke rumah Pak Da; bapa saudaraku yang sudah tak berdaya kerana kabur matanya. Sayu hiba rasa, tatkala menatap sakitnya. Rumahnya yang dalam proses pembaikan seperti tak bermakna kepadanya - dengan mata yang kabur dan tak berdaya.

Lama masa yang Pak Da ambil untuk mengecam suaraku, anak saudaranya. Dengan orang lain pun begitulah, dia hanya kenal suara. Orangnya sudah tidak jelas di mata Pak Da. Yang boleh dicam hanya suara. Mujur telinganya masih baik seperti sediakala. Rabu ini, dia akan melakukan pembedahan mata di Hospital Besar Kuala Krai. Sihat hendaknya Pak Da seperti semula, aku akan sama-sama berdoa untuknya. Selepas maghrib juga, baru tiba semula di Padang Raja setelah meredah sesak kenderaan yang agak panjang di Machang. Malam, tak ke mana-mana, kerana penat siang berhari raya masih terasa.

Hari raya ke lima, rutin biasa sebelum Aidilfitri disambung kembali. Ibu dan Adik Su kembali bekerja. Jalan raya kembali sesak semula. Laluan Machang ke Jerteh ikut lebuh raya yang melalui UiTM Machang sibuk juga. Berderet-deret kereta dan macam-macam kenderaan yang mula menyusur keluar meninggalkan daerah Machang. Esok lusa, semuanya akan kembali lengang seperti biasa, seperti sediakala sebelum hari raya. Selamat kembali bekerja untuk semua, selamat kembali berbuat apa saja untuk semua yang sudi membaca catatan saya. Tapi, rasa-rasa masih belum terlambat juga untuk mengucapkan - selamat hari raya.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang.
3.49 pagi, hujan menderu di atas kepala.
6 Syawal 1426 H, Selasa yang masih bersisa,
8 November 2005.

Friday, November 04, 2005

Letih penat juga berhari raya, pergi rata-rata

Letih penat juga berhari raya, pergi rata-rata. Takbir bergema seawal subuh lagi di pagi Aidilfitri. Dilaungkan dua orang Pak su, bertalu-talu. Disambung lagi, di pagi cemerlang Aidilfitri sebelum solat sunat hari raya. Aku berjalan kaki ke madrasah, bersongkok bercapal, berbaju Melayu hijau kuning, berlilit sampin hitam kelabu, mengekor di belakang ibu dan Kak Nor sepupuku. Walaupun madrasah kecil Membuaya tidaklah sesendat mana, tapi yang penting kami bahagia berhari raya. Bertakbir hiba, dan Pak su Lah menitiskan air mata - sendu dan hiba, entah rasa apa yang begitu menyucuk-nyucuk hulu hatinya. Memang begitu syahdunya takbir hari raya, selalu saja membuat orang menangis hiba. Dia menangis hiba, ketika lafaz takbir belum habis dari mulutnya.

Bersolat sama, dan bersila mendengar khutbah hari raya dan kini giliran Pak Da pula yang menangis hiba menitiskan air mata. Sebagai orang tua, seperti dapat kurasakan apa yang luka di dalam dadanya - hati, kalbu dan jiwa. Majlis solat hari raya, selesai dengan penuh ceria dan kami bersalam bersua muka. Adnan memelukku mesra, sahabat dari kecil yang sebaya ini, kini dah beranak tiga.

Cuma aku saja, yang masih tak kawin-kawin juga. Sehabis solat, terus balik saja. Badrul, Ameir, Epih, Iwan, Pi dan Sham singgah berhari raya. Gembira dan bahagia sama-sama menjamu selera. Kak Nor juga singgah seketika bertemu Adik Su dan Adik Siti. Dan kami ramai-ramai ke rumahnya pula. Menjamah laksa, kuah Kelantan dan Penang digaul rata; makan berselera, menambah juga dibuatnya.

Hampir tengah hari, waris-warah dari Guchil datang menjemput. Berkira-kira, tapi sudah lama benar tak ke sana. Aku, Adik Siti dan ibu menyusur sibuk lalu-lalang jalan Kuala Krai - Machang dibawa Abang Zul dan temannya pulang berhari raya di Kampung Guchil. Kampung berbukit tinggi rendah ini, menyambut kami penuh mesra sekali di pagi Aidilfitri. Penduduknya ceria dan penuh peramah mesra.

Adik beradik Abang Azit dah tujuh, anaknya pula sepuluh - menyambut kami riuh. Di lantai, duduk bersila bersimpuh. Hari raya jadi penuh kecoh dan hatiku bahagia sungguh. Makan tengah hari pula, bergaulkan sambal pauh. Fuh, enak sungguh.

Kemudiannya menyusur ibu di rumah sebelah, Mak cik Embun menyambut aku dengan penuh mesra dan ceria dengan bermacam cerita bersama Peja yang comel di ribanya. Anak kecil yang belum pun genap setahun ini tak pandai bercakap lagi. Tapi tak berkelip-kelip matanya memandang aku dan dia mengecam lama. Peja ini, kata neneknya, suka sangat ketika dengar azan bergema dan kalau dia bertahlil, Peja akan duduk lama-lama mendengarnya. Inilah satu perangai yang istimewa dan menarik sekali tentang anak kecil ini. Aku tinggalkan Peja dengan kucupan terakhir di dahinya, penuh cium mesra. Ingin lagi aku ke mari jumpa dia lagi. Pasti, takkan kulupa matanya yang tak berkelip-kelip memandang aku, lama.

Malam, tak ke mana-mana. Berhari raya dengan Ros di teratak ibu di Padang Raja. Letih rasanya nak menjajat rata, berhari raya pada malam-malam buta. Jawabnya, berlunjur bersila di rumah saja.

Pagi ini, Kak Yah di Kota Bharu awal-awal lagi menelefon ingin ke mari petang nanti. Ya, sampai mereka saja, tentunya akan lebih meriah hari raya di teratak tuaku di Padang Raja. Semua, selamat hari raya dariku untuk kali yang entah ke berapa. Jenguk-jenguklah ke Padang Raja. Ampun maaf semua, selamat hari raya.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang.
12.57 tengah hari, Syawal kedua yang mulia, 1426 H.
Jumaat yang penuh berkat, 4 November 2005.

Thursday, November 03, 2005

Selamat tinggal ramadan, selamat datang lebaran

Ramadan sudah pergi. Lepas ni, tak ada sahur lagi. Siang nanti, dah boleh sarapan pagi. Sekejap tadi, meriam buluh masih sayup berbunyi, jauh di atas wakaf di tengah bendang. Aku kenal sangat dengan budak-budak yang main meriam buluh tu. Selalunya mereka akan tebang buluh duri sebesar peha untuk buat meriam buluh dan mereka akan lebih seronok kalau dapat letakkan tempurung di muncung meriam buluh itu, dan mereka akan sama-sama tengok tempurung itu akan melayang jauh ke tengah baruh.

Sampaikan Raya masih bergema di TV3. Adik Siti, Adik Su dan Bonda masih tak tidur-tidur juga. Kan esok hari raya. Takbir sudah bergema, sayu pilu rasanya di dalam jiwa. Pelita di halaman sudah padam. Sayu pagi Aidilfitri terlalu menyucuk sampai ke hulu hati. Aku tiba-tiba teringatkan Nina di Panti Asuhan di Aceh. Kuingat benar cita-cita besarnya yang mahu jadi doktor. Katanya, dia mahu menolong anak bangsanya di masa depan. Dia sedang buat apa agaknya? Gembirakah dia di hari raya? Salamku buat Nina yang sedang luka jiwanya di tanah Aceh yang jauh.

Tiba-tiba aku teringatkan Mak cik Endon dan Kak Asmah di Selangor. Bercucuran air mataku ketika TV3 bersinggah sahur di rumah mereka. Kak Asmah mengesat air mata disaksikan oleh sebahagian dari dua belas anaknya yang kemudiannya ikut menangis juga, setelah sebak melihat air mata bercucuran di pipi ibu mereka. Terkenang aku pada Kak Asmah, si tukang sapu yang pilu itu. Dia bergenang air mata ketika ditanyakan tentang baju raya anak-anaknya. Katanya, pakai apa yang ada. Luka hatinya, tak siapa yang rasa.

Tiba-tiba juga, aku teringatkan anak-anak di rumah anak-anak yatim di Parit, Perak. Terubat juga rindu dan luka hati mereka setelah dikunjungi Fifi dan teman-teman TV3. Merasalah juga mereka untuk ikut berhari raya seperti orang lain juga.

Juga, aku tiba-tiba teringatkan Mak cik Endon yang berseorangan melalui ramadan tanpa anak-anaknya di sisi. Pilu sungguh di hati ketika dia kata, anaknya tak buka pintu ketika dia datang bertamu. Pesan Mak cik Endon kepada anak-anaknya dalam tangis sedu dengan pilu di kalbu, "Dia tak kesian ke, entah apa mak aku makan." Air matanya bercucuran di tikar sembahyang. Moga-moga, akan adalah orang yang akan menemankan Mak cik Endon di Aidilfitri siang nanti.

Siang tadi, pekan Machang riuh dan sesak sungguh. Seronok melihat orang dan kenderaan yang berderet-deret lalu-lalang. Polis trafik sibuk mengawal keselamatan dan kenderaan yang lalu-lalang.

Sekejap lagi, tak ada sahur lagi. Subuh yang dingin akan diiring oleh syahdu takbir Aidilfitri. Madrasah akan riuh dan penuh. Kami akan bersalam-salaman sempena lebaran, bermaaf-maafan. Bermaaf-maafan saat lebaran, mengingatkan aku pada dendangan pilu si Suparjo dan Raju;

"Ikan di laut
asam di darat
dalam periuk
bikin mufakat."


Dan pagi hening satu Syawal mulia, akan lebih tersentuh jiwa saat mendengar takbir bergema;

"Allahhu akbar
Allahhu akbar
Allahhu akbar

Laailahaillallah huwallahhu akbar
Allahhu akbar walillah hilhamd."


Salam lebaran dari saya yang jauh di Padang Raja. Jenguk-jenguklah saya di Padang Raja. Dapatlah nanti, kita sama-sama berhari raya. Maaf atas segala apa yang membuatkan kalian terluka. Di hening pagi Syawal yang mulia, selamat hari raya untuk semua.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang.
1 Syawal yang mulia, 1426 H.
Hening sunyi pagi hari raya.
3.07 pagi, 3 November 2005, Khamis yang manis.

Wednesday, November 02, 2005

Ramadan yang pilu, akan pergi berlalu

Hari ini ramadan terakhir, ramadan yang pilu dan sendu. Ramadan yang penuh sayu. Tidak ada tarawih lagi. Tidak ada selawat lagi. Riuh di madrasah akan kembali sunyi. Dari speaker masjid tidak akan kedengaran suara orang bertadarus lagi. Cuma tinggal sahur terakhir kira-kira beberapa jam saja lagi.

Kampung yang sunyi, kembali riuh sehari dua ini. Di halaman jiran, adalah sebuah dua kereta baru anak menantu yang pulang berhari raya. Kalau yang dah bercucu akan lebih bahagia saat-saat begini. Melihat yang seorang menangis di halaman tersepak tunggul kayu kerana berlari ikut kakaknya main bunga api. Atau dua tiga yang lain berkumpul riuh mencucuh sumbu mercun, berbelas hasta dari halaman yang terang disuluh api pelita di malam raya. Atau seorang dua yang lain sibuk ke hulu ke hilir memusing bunga api.

Lantai madrasah sudah bertukar permaidani baru. Tongkat khutbah sudah diperbetulkan letak duduknya. Kolah sudah dicuci dan air sudah diisi. Cumanya, teks khutbah saja yang belum sampai-sampai lagi. Esok dah Aidilfitri.

Adik Su dah siapkan dua tiga jenis kuih juadah Aidilfitri, campur tiga bungkus dodol yang kubeli di Pasar Isnin tempoh hari. Katanya, siang nanti mahu disiapkan sejenis kuih lagi. Ditambah dengan beberapa jenis lagi yang dibeli. Cukuplah barangkali, buat juadah Aidilfitri kali ini. Rasanya Aidilfitri tak akan berapa menjadi kalau tanpa ketupat yang dibungkus dengan daun pisang ibu yang dibuat sendiri. Aidilfitri akan lebih bererti dengan nasi manis ibu yang manisnya sampai melekit-lekit di jari.

Ketika orang sibuk bertarawih, masih terdengar bunyi mercun di sana-sini. Ada juga yang berani-berani buat mercun sendiri. Dikerat buluh besar dan panjang, ditaruk di atas kayu bercabang, ditebuk lubang. Diletak betul-betul jauh di tengah bendang. Bunyinya berdentum-dentam.

Malam nanti, memang tidak akan ada tarawih lagi. Kalau yang ada berbunyi pun, takbir Aidilfitri yang menyucuk-nyucuk ke hulu hati. Menandakan si cantik manis bernama ramadan akan pergi. Dua puluh lapan hari berpuasa seperti tak terasa. Cepat sungguh masa meninggalkan manusia, yang leka memang lebih tak terasa.

Siang nanti, sehabis sahur terakhir - mercun beli dan mercun buatan sendiri akan kembali berbunyi. Anak-anak akan kembali berlari bermain bunga api pada malam Aidilfitri.
Ibu akan kembali sibuk di dapur menyiapkan itu-ini. Adik Su akan kembali memanaskan pembakar kuih dan Adik Siti akan kembali menyanyi-nyanyi menghibur hati, kerana esok Aidilfitri. Barangkali dia akan bernyanyi lagu ini;


"Berlalulah sudah ramadan
sebulan berpuasa
tiba syawal kita rayakan
dengan rasa gembira
anak muda di rantauan
semuanya pulang ke desa
ibu dan ayah keriangan
bersyukur tak terkira."


Barangkali dendangan Anuar & Elina ini akan lebih menghibur hati Adik Siti menyambut Aidilfitri. Dia akan kembali sibuk menolong kakaknya menyiapkan itu-ini menjelang Aidilfitri.

Esok hari raya, kalau ada apa-apa yang tak kena atau yang buat kalian terasa; maafkan saya. Esokkan hari raya. Salam lebaran, selamat jalan ramadan selamat datang lebaran.

Hari raya ini, jemputlah ke Teratak Seni - menemui saya untuk kita sama-sama berhari raya. Saya menunggu anda semua, di teratak tua di Kampung Padang Raja - selamat hari raya.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,

Machang.
2.01 pagi, sahur terakhir, 29 Ramadan 1426 H
Bersamaan dengan 2 November 2005, Rabu yang pilu.

Wednesday, October 05, 2005

Wangian ramadan yang syahdu, menyucuk-nyucuk kalbu

Hari pertama ramadan terasa begitu sayu dan syahdu sekali. Kafetaria Mak Teh pagi ini sunyi sepi, sehabis riuh yang agak menjadi-jadi di awal pagi tadi. Bising pelajar yang membeli makanan buat bersahur berlarutan sampai jam dua pagi. Nasi habis, dan lauk yang makin berkurang memaksa saya ke restoran mamak di luar kampus. Jam dua pagi menyusur titis embun jantan dengan mata yang sudah mula mengantuk, bersama teman sebilik - kami minta dibungkuskan seketul ayam gulai kurma (saya pesankan kepada mamak, banyakkan sikit kuahnya; maklum saja kami ini makan berdua), dua bungkus nasi kosong dan sedikit sayur kubis.

Ramadan menjadi lebih syahdu dan indah bahagia dengan jemaah pelajar menyusur malam bersolat terawih, beramai-ramai. Yang perempuan berkain sembahyang, yang lelaki berpelikat berkopiah, berbaju 'gumbang' dan jalan berkawan. Atau, kalau yang ingin lebih meriah, ada yang berpacu ke masjid Al-Malik Khalid bersolat terawih. Imamnya bertukar-tukar. Mungkin ada yang lebih syahdu menghayati ramadan, kalau dapat mendengar syeikh Arab yang jadi imam baca surah panjang-panjang. Dan ada yang hanya sekadar solat terawih lapan rakaat dan terus pulang.

Ada yang ingin terus mensyahdu diri mengabdi pada Ilahi, akan memanjangkan lagi sesi penyucian hati dengan bertadarus Al-Quran, membacanya bergilir-gilir seorang demi seorang. Dan kalau ada yang tersasul baris dan huruf, akan ditegur oleh yang lain yang tekun meneliti. Ramadan akan lebih manis lagi, kerana ramai yang bangun pagi-pagi untuk menjamah barang sedikit juadah sahur, buat bekal berlapar sehari. Dan ramai juga yang menjamahnya sedikit sekali, kerana terbantut oleh selera yang tak menjadi di pagi dini.

Langit ramadan cerah sungguh pagi ini, matahari muncul bersinar sekali. Tiada tompok-tompok awan, barangkali langit masih belum ingin menurunkan hujan. Saya teringatkan riuh bising anak-anak yang habis berterawih di kampung halaman. Saya rindukan seorang sahabat bernama Ramadan yang sudah agak lama muncul dalam angan-angan. Saya rindukan merdu suaranya mengalun azan isyak, beberapa ketika sebelum kami bersolat bersama. Saya akan terdiam syahdu mendengar dia mengalun selawat memuji Nabi dalam sela-sela terawih kami yang berimamkan Paksu yang bersuara merdu dan saya akan lebih pilu mendengar alunan suara Paksu menenggelamkan raung cengkerik di kubang sawah.

Masih terbayang dalam kepala saya, kelibat Ramadan sedang berlari bermain bunga api. Dan saya nampak dari jauh rumahnya indah bercahaya dengan kuning api pelita di malam raya. Saya akan ke dapur melihat ibunya membungkus ketupat. Melihat adiknya mengemas dan menggantung langsir baru. Masih terngiang jelas di telinga saya, suara Ramadan yang syahdu mengalun azan isyak di madrasah tua kampung saya. Saya akan tenggelam berjuzuk-juzuk ke dalam pilu suaranya yang syahdu mengalun selawat memuji Nabi di malam ramadan yang suci.

Saya, Ahmad Syawal - sahabat si Ramadan, yang pilu dan rindu, rindukan seorang teman yang bersuara sayu dan syahdu. Ramadan, ketahuilah Syawal terlalu merinduimu.

Ramadan, Syawal menunggumu ...


Salman Sulaiman
Sungai 2, Minden.
11.04 pagi, Rabu yang terlalu syahdu.
1 Ramadan 1426H / 5 Oktober 2005.

Wednesday, September 21, 2005

Berseminar, berdiskusi (tapi jangan bermimpi) dan bersajak lagi (dan lagi)...

Hari ini (21 September) dan esok (22 September), di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang berlangsungnya Seminar Seni Visual Kebangsaan dengan tema Seni Visual Dalam Pelbagai Perspektif. Seminar peringkat kebangsaan yang berlangsung selama dua hari ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Seni, USM dengan kerjasama Persatuan Pendidikan Seni Visual Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Dahulunya, maksud saya tahun-tahun sebelumnya - seminar seni visual ini menjelajah beberapa buah IPT sebelum ia singgah terbang menerawang di Bukit Minden dengan lenggok tari seni, dengan imej yang semacam kartun semacam betul, berserta gema muzik tradisi, dengan gambaran grafik yang canggih; yang ada sekejap, hilang seketika dan muncul yang lain pula. Disertakan dengan seekor kucing animasi yang menarik.

Itu antara imej dan gambar animasi yang muncul pada paparan video dalam bentuk visual yang menjadi pembuka atau mukaddimah kepada majlis perasmian seminar ini pagi tadi. Menarik sekali, tenggelam seketika saya ke dalam sehelai wayang putih yang terbentang di atas pentas Dewan Budaya itu. Kemudiannya, barulah majlis bermula dengan bicara lunak bekas tutor saya yang menjadi pengacara majlis.

Dalam sebutan nama tetamu yang dibacakan pengacara majlis, terkesan saya nama seorang penyelidik dan penganalisis dunia kartun Malaysia - Dr Muliyadi Mahmood, yang pernah saya baca artikelnya menelaah dunia kartun Malaysia dalam majalah Gila-gila. Saya kira, Dr Muliyadi masih kekal menulis untuk Gila-gila sampai kini.

Pesertanya tentu saja dari pelbagai IPT seluruh Malaysia. Masih segar dalam gambaran visual otak saya, baru saja berlalu Festival Filem Pelajar Malaysia 2005 yang juga berlangsung di sini. Yang juga dihadiri oleh pelajar beberapa buah IPT seluruh Malaysia sebagai peserta. Hari ini dan esok sekali lagi, Dewan Budaya dihadiri pelajar IPT seluruh Malaysia - menelaah secara lebih sungguh-sungguh tentang seni visual; mendengar hasil kajian daripada pakar dari seluruh tanah air.

Untuk pelajar, sebagai peserta dikenakan bayaran RM50 - huh !, boleh tahan juga, dalam hati saya berkata. Sayangnya, banyak pula halangan untuk saya ikut serta sebagai peserta, cuma itulah saja kesempatan yang ada - hadir pada majlis perasmiannya. Tapi, tidak mengapa - segala bahan-bahan seminar masih boleh saya dapatkan dari teman-teman yang mengikuti.

Di luar Dewan Budaya, ada-ada saja naskhah seni yang boleh dibeli, tentu saja hasil kerja warga Pusat Pengajian Seni, USM. Seperti buku lukisan, lakaran dan sketsa yang berseni dan menarik sekali. Jenguk-jenguklah ke mari, kalau yang ada masa dan tak ke mana-mana.

Ketika teman-teman kampus UIAM, Gombak bakal bergema merdeka pada jumaat ini; saya pun tidak melepas peluang untuk 'mengamuk merdeka'. Pada malam yang sama, 23 September ini, saya akan mendeklamasi sebuah sajak merdeka karya sifu puisi saya Rahimidin Zahari berjudul Tok Janggut, sebagai peserta pertama. Mulanya, saya diminta seorang teman mendeklamasi sebuah puisi merdeka untuk majlis merdeka. Tapi, kemudiannya saya dimaklumkan pihak penganjur bahawa ianya bukan sebuah persembahan biasa tetapi pertandingan mendeklamasi puisi merdeka. Terkejut juga saya, pulak dah !

Tak kisahlah, apa-apa pun Tok Janggut akan bermaharajalela menuntut bela atas kematiannya atas seribu prasangka penjajah celaka. Kalau ada teman-teman yang teringin nak tengok Tok Janggut menuntut bela, jemputlah ke Dewan Kuliah U, USM Minden pada jumaat ini. Jumaat itu juga, saya dan teman-teman menerima kunjungan sambil belajar pelajar-pelajar seni dari UUM, Sintok. Bakal berdiskusilah kami sambil berbalas seni, berkenal-kenal diri. Sesiang suntuklah juga nampaknya saya akan bersama mereka.

Sehabis kisah Tok Janggut menuntut bela, keesokkannya pula, jam 8.30 pagi, sabtu (24 September) - silalah ke Dewan Kuliah A juga. Di sana ada Dr Sohaimi Abdul Aziz dan Azizi Haji Abdullah berserta seorang lagi panel yang akan membicarakan dua buah novel, karya Ali Jusoh dan Dr Rahmat Haroun.

Boleh tahan juga nampaknya jadual saya sehari dua ini. Kalau yang ada masa tu, jenguk-jenguklah ke mari. Maaflah, buat teman-teman seangkatan di UIAM, Gombak kerana ketika kalian bersajak saya pun kena ikut bersajak. Percayalah, tidak akan pernah luntur dalam jiwa, akal dan kalbu saya semangat berani untuk memperjuangkan seni yang Islami di Tanah Melayu kita yang satu ini. Bersajaklah kalian di taman ilmu dan budi, dan saya di sini, berpencak pendekar cucu gemulah Tok Janggut di universiti dalam taman.

Nampaknya, selagi saya masih di sini, di bumi Minden ini - saya akan terus berseminar berdiskusi dan akan terus diminta bersajak dan bersajak lagi dan lagi; tapi saya tidak mahu hanya bermimpi. Saya akan terus bersajak lagi dan lagi, tanpa henti-henti ...dan nanti.


Salman Sulaiman
KBM Siber Kafe,
Sungai Dua, Minden.
11.44 malam, 21 September 2005 - Rabu yang penuh cemburu.

Tuesday, September 06, 2005

Biarlah Tanpa Tempoyak Budu, Cukuplah Hanya Dengan Doa Ibu

Air yang mencurah-curah dari tangki yang bocor di bumbung asrama saya masih berbunyi seperti sebelumnya juga. Seperti sebelum cuti tempoh hari. Cumanya ditambah dengan riuh-rendah ketawa teman-teman dari bilik berdekatan. Menjelang tengah hari dan petang, kafetaria Mak Teh di asrama saya akan kembali sibuk seperti biasa. Yang membeli datang dari seluruh ceruk bumi Minden, maklum saja harga nasi dan lauk-pauk di sini paling murah berbanding desasiswa-desasiswa lain.

Itulah satu kelebihan asrama saya berbanding dengan asrama lain di bumi Minden. Tapi, petang tadi - untuk mengalih selera saya bersama teman sebilik berpacu ke desasiswa lain, sekadar untuk makan sepinggan nasi goreng ayam. Tidak salah rasanya sekali-sekala mengalih selera.

Bilik saya kembali diketuk orang. Asrama saya kembali riuh. Air hujan rahmat dari tangki yang bocor masih mencurah-curah juga. Cuti saya yang sembilan hari terpaksa dibatalkan atas permintaan pensyarah supaya hadir awal untuk satu program yang bakal diadakan di penghujung cuti. Tak sempatlah saya bertenggek di dahan rambutan atau berendoi di buaian selama tiga hari ada di teratak ibu.

Berseorangan di kampus saat teman-teman sedang bercuti sakan, agak 'mengesitkan' juga. Saya kembali berangkat ke Pulau Mutiara, setelah hanya dua malam di teratak ibu. Adik Su bekalkan saya dengan kredit percuma RM10 ke dalam telefon bimbit saya. Katanya, "Takpalah, tak payah bayar." Dan ibu beria-ia akan membekalkan sebotol tempoyak buat menambah selera saya ketika menjamu selera dengan gulai kari mamak di kampus. Sayangnya, ia tertinggal saat saya sudah berada di atas bas ke Utara.

Takpalah kalau yang lain tertinggal untuk saya bawakan sebagai bekal perjalanan ke kampus Minden. Cukuplah hanya dengan doa ikhlas ibu, buat saya meneruskan perjalanan panjang menempuh kehidupan yang tentunya jauh lebih panjang.

Kampus Minden yang sunyi saat-saat awal saya ke mari, kini - kembali riuh dengan hilai tawa teman-teman, sesak penuh di depan perpustakaan, barisan panjang membeli makanan di kafetaria Mak Teh, borak bising yang jenuh menunggu bas, dan bual panjang saat kembali bertemu teman kenalan.

Kalau tidak dengan doa ibu dan restu Ilahi, bagaimana mampu saya menempuh perjalanan panjang mengharung laut kehidupan. Biarlah tanpa tempoyak budu, buat bekal saya di pulau jauh - cukuplah hanya dengan doa restu seorang ibu.


Salman Sulaiman
Makson CC,
Sungai Dua, Minden.
11.14 malam - 6 September 2005, Selasa.

Sunday, September 04, 2005

Kalau Tiba-tiba Dia Bertudung

Seorang teman, yang sekian lama saya kenali. Dari kecil, sampailah kami meningkat ke alam remaja - dia begitu selesa tanpa tudung di kepala. Lama juga, dan banyak kali juga saya bertekak (berbahas) dengannya, dan lebih menyarankan - betapa eloknya kalau dia bertudung, lebih manis di mata saya. Dan saya kira akan lebih manis juga di mata orang lain.

Lama kemudian, sesudah bertahun-tahun berkenalan - tiba-tiba dia membungkus kepala dengan tudung cantik, membuatkan dia lebih menarik. Dia akan mengelak dan buat-buat tak dengar kalau saya ingatkan kembali hujah saya kepadanya ketika dia belum bertudung dulu. Bagaimana panjang lebar saya memberi saranan supaya dia memakai tudung. Dalam hati, sayalah orang yang paling gembira tentunya. Kerana, sudah lama benar saya ingin melihat dia bertudung.

Masih ingat benar di akal kepala saya, bagaimana macam-macam alasan dan jawapannya ketika menerima saranan saya supaya dia bertudung seperti anak gadis lain yang sebaya dengannya. Kalau anda masih ingat, sebuah cerpen saya yang pernah tersiar di Tunas Cipta berjudul "Debat Kita di Beranda Cinta" ialah bagaimana macam-macam debat panjang lebar saya dengannya tentang banyak perkara, termasuklah saranan saya supaya dia bertudung; saya angkat ke dalam sebuah naskhah kreatif berbentuk cerpen.

Alhamdulillah, kini dia masih kekal bertudung. Saya masih kekal gembira dengan tudung di kepalanya, kerana sayalah antara lelaki yang paling sungguh-sungguh ingin melihat dia bertudung kepala satu ketika dulu.

Di kampus, ini satu kisah yang lain pula. Senior saya, yang kini sudah berijazah pertama. Juga, dulunya melepaskan rambutnya dengan hanya satu ikatan di kepala, bukan sanggul tapi sekadar simpul-simpul. Pada saya, perempuan Islam yang cantik ialah yang bertudung. Ketika cuti sidang pengajian selama tiga bulan yang lalu, bertemu dua tiga kali dengan seorang kenalan perempuan yang pernah rapat dengan senior saya itu - banyak kali juga kami berbicara tentang, bagaimanalah kalau si senior saya itu bertudung. Sedang dalam hati saya, sudah lama benar saya terfikir dan berhasrat agar dia bertudung, satu hari nanti. Kami berdua seperti berdoa.

Terasa pada saya, harapan untuk melihat dia bertudung seperti terlalu tipis sangat. Mustahil. Iskh, takkanlah dia akan bertudung. Saya semacam putus asa, untuk melihat satu hari nanti dia bertudung cantik, tampil dengan penuh menarik sebagai gadis Melayu yang Islamik.

Tiba-tiba, ketika kembali memulakan pengajian di sidang akhir di kampus - saya menerima jemputan senior saya itu untuk kami (senior saya itu, saya dan teman-teman saya di kampus) keluar makan bersama, setelah lama tak jumpa dan bercuti sakan. Terkejut saya, setelah rakan yang menyampai pesan memberitahu bahawa senior saya itu telah bertudung. Sambil-sambil di dalam hati, saya terlalu gembira dan penuh syukur kerana termakbul juga harapan saya yang ingin melihat dia bertudung cantik dan tampil menarik dengan penuh Islamik.

Saya memang sudah lama percaya, kerja Allah tetap tak akan terduga manusia. Alhamdulillah, saya begitu bersyukur di dalam hati. Dan, di meja makan kami malam itu, saya sempat menitipkan satu surat kecil untuknya, yang kertasnya saya koyakkan dari buku catatan kecil saya di dalam kocek. Saya tuliskan, semacam harapan dan doa saya supaya perubahannya diberkati Allah dan dia terus kekal begitu - bertudung cantik, penuh Islamik.

Kalau dia membaca ini, saya harap dia akan terus tabah menerima pelbagai umpat keji orang yang kata macam-macam. Maklumlah, kerana perubahan yang tak terjangkakan. Di dalam hati, saya kekal berdoa dan berharap supaya dia kekal bertudung cantik begitu sampai bila-bila.

Juga, saya sudah lama benar berharap ingin melihat Siti Nurhaliza pula bertudung. Juga, Malaysia dihiasi dengan artis perempuan yang bertudung cantik seperti Wardina dan Waheeda. Besar sungguh harapan saya agar dunia seni Malaysia diwarnai dengan kehadiran artis perempuan yang bertudung cantik dan bersopan tertib seperti Wardina dan Waheeda.

Ya, kalau tiba-tiba dia bertudung, sayalah yang paling gembira sebetulnya.


Salman Sulaiman
Siber Kafe KBM,
Sungai Dua, Minden.
11.50 malam - 4 September 2005, Ahad yang penat.

Thursday, August 18, 2005

Mahu Ke Mana Ayah Pin?

Jauh sungguh lelaki ini tersesat. Wajahnya saja, sudah jelas menunjukkan kesesatannya, kata teman-teman saya. Apa tidaknya, kalau dia katakan dia menjadi wakil semua agama. Sampai air kakinya pun diminum orang.

Membaca beberapa siri wawancaranya pun, sudah memeningkan kepala saya. Beberapa siri wawancara di internet dan terbaru di majalah I edisi Ogos. Kata-katanya kadang-kadang sukar difahami. Akuinya lagi, dialah yang cipta agama Hindu. Wajahnya, masya-Allah, anda tengoklah sendiri - menggerunkan, keruh semacam saja. Katanya, wakil semua agama. Wakil semua agama?

Maha suci Allah, semacam ketakutan pada saya melihat wajahnya. Tolonglah, carikan dia sampai jumpa. Bacakan Al-Quran untuknya, moga-moga hidayah Allah meresap ke dalam jiwa dan hatinya. Ajarkan dia kalimah syahadah. Bawakan seorang yang arif daan bijaksana serta mulia di sisi Allah kepadanya, buat menerangkan kepadanya supaya kembali kepada syariat Allah. Biar dengan kebijaksanaan hamba Allah tadi, akan meresapkan cahaya hidayah Islam yang suci ke dalam hatinya.

Tolonglah, jangan biarkan dia tersesat lagi. Jangan biarkan ramai lagi manusia lain yang bakal disesatkannya. Tolonglah! Jangan tambah lagi ahli kabinet kerajaan langitnya. Kalau tak dapat tangkap dia, kerana kononnya dia ada kuasa ajaib. Bawakan seorang 'alim yang dapat menewaskan kuasanya itu. Tolonglah, tangkaplah dia untuk dipulihkan hatinya kepada Allah.

Kenapa dibiarkan sampai dah mengalahkan tempat peranginan 'kerajaan langit'nya itu? Kenapa sampai berpuluh-puluh tahun dibiarkan dia menyesatkan masyarakat kita? Sanggupkah kita melihat lebih ramai lagi yang 'sesat Barat' kerana kita biarkan dia menyebarkan ajaran karutnya? Saya sudah tak sanggup, tak sanggup. Tolong, carikan dia sampai dapat. Ajari dia kalimah syahadah dan bacakan al-Quran untuknya - biar kalimah Allah itu menyejukkan hatinya dan membuka pintu hatinya kembali kepada Islam.

Kalau perlu, untuk menarik dia kembali kepada kebenaran, bawakan seorang pendebat terbaik untuk berhujah dengan ketua 'kerajaan langit' ini. Katakan kepadanya bahawa Islamlah agama yang diredhai di sisi Allah. Tolong, jangan biarkan dia lepas bebas. Tolong. Saya sudah tak sanggup melihat ramai lagi yang bakal disesatkannya.

Jangan jadikan hal ini perkara remeh, yang hanya semacam 'hangat-hangat tahi ayam' saja. Bawalah dia kembali kepada kebenaran, carilah dia dengan semangat Islam yang suci, carilah dia kerana benar-benar ingin mengajak dia kembali kepada Tuhan yang Esa. Jangan nanti, bila cerita Ayah Pin dan kerajaan langitnya dah sejuk, usaha untuk membanteras ajaran sesat ini pun ikut sejuk juga.

Saya sudah tak sanggup melihat dia menyesatkan lebih ramai orang, tolonglah. Kasihanilah dia dan kasihanilah juga para pengikutnya dan kasihanilah juga orang yang bakal disesatkannya, janganlah kita terus 'sejuk' sehabis 'hangat-hangat tahi ayam' untuk memulihkan akidahnya. Tolonglah, demi kebenaran, kerana Allah - carikan dia sampai jumpa.

Dua tiga tahun lagi, saya ingin lihat Ayah Pin diwawancara dengan wajahnya yang penuh bercahaya dan berseri-seri dengan cahaya iman dan hidayah dari Tuhan. Ketika itu dia telah kembali kepada Tuhan - Allah. Demi Allah, demi agama Islam yang suci - carikan dia sampai jumpa! Kerana tanggungjawab ini terpikul atas bahu kita semua, tolong, carikan dia sampai jumpa.


Salman Sulaiman
Siber Kafe KBM,
Sungai Dua, Minden,
Pulau Mutiara.
9.47 malam - 18 Ogos 2005/Khamis.

Monday, August 08, 2005

Menyarung jubah menerima ijazah, disambut jambangan bunga indah

Kampus Minden sesak, jalan-jalan dijuruskan menjadi sehala. Di setiap simpang diawasi pengawal keselamatan. Kalau mahu ke luar kampus ikut pintu utama, kena berpusing satu keliling universiti. Sehabis kelas, saya ke Perpustakaan Hamzah Sendut - duduk di kerusi panjang depan perpustakaan. Senang saja, kalau anda mahu membayangkan di mana latar cerita saya.

Bayangkan saja, tiga orang hos rancangan 3R sedang berlakon iklan campuszone maxis. Hah, itulah kampus saya. Itulah tempat saya selalu duduk-duduk menghilangkan penat sebelum masuk ke perpustakaan. Kalau anda telitikan sedikit dalam iklan campuszone maxis itu - suasananya lengang. Saya kira mereka buat penggambaran waktu cuti tahunan universiti. Tapi, di hari belajar, laluan depan Perpustakaan Hamzah Sendut menjadi laluan pejalan kaki yang paling sibuk.

Tambah-tambah lagi hari ini. Hari pertama Upacara Konvokesyen Universiti Sains Malaysia Kali Ke-34. Berpasang-pasang ibu bapa yang mengilik jambangan bunga, setia menunggu anak mereka keluar Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), sehabis menerima segulung ijazah. Pagi ini, upacara penyampaian ijazah disempurnakan sendiri oleh Tuanku Permaisuri Agong - untuk pemegang ijaazah Doktor Falsafah dan Sarjana. Saya mendengar sayup-sayup dari jauh, nama mereka disebut.

Tapak konvo di bawah pokok-pokok rendang di belakang pasar pelajar juga riuh dengan macam-macam gerai jualan, dihebohkan pula oleh seorang DJ dengan macam-macam pengumuman dan peraduan. Petugas-petugas berbaju merah, sibuk menjalankan operasi - ada yang mengawal keselamatan, ada yang menjual barangan atau baju-baju universiti, ada yang sedang tawar-menawar di gerai jualan, ada yang meronda, ada yang ..., ada yang ....

Ada yang menunggang kuda dalam satu kawasan yang telah ditetapkan, teringin juga saya mahu mencuba naik kuda. Gerai makan tentu saja yang paling menjadi tumpuan ditambah lagi gerai menjual bunga.

Mengikut buku upacara, hampir seratus orang juga yang menerima ijazah Doktor Falsafah pagi ini - termasuk seorang pensyarah saya dari jurusan seni. Ketika mendengar nama-nama itu dipanggil pengacara majlis, saya membayangkan nama sayalah yang dipanggil menerima ijazah Doktor Falsafah. Menerimanya, memegangnya setelah dihulur Permaisuri Agong dengan penuh rasa syukur dan terharu. Memeluk ibu, menangis dia bertalu-talu. Saya pun ikut bergenang air mata sebak. Betapa bahagianya ibu saat itu, tak terbayang saya gembiranya dia melihat saya berjaya. Moga-moga, akan sampai masa saya pula - dihadiahkan jambangan bunga, memakai gelar Dr dipangkal nama. Moga-moga.

Saya pun juga, sedang berkira-kira untuk menerima buku amalan dengan tangan kanan di depan Tuhan. Ijazah itu tentu saja, lebih besar dari segala ijazah yang diterima manusia di dunia. Untuk lebih redha dan pasrah, begitulah saya memasang kira-kira. Dan, upacara konvo berikutnya, setahun mendatang; saya masih kekal berkira-kira - nama saya pula akan disebut pengacara untuk menerima ijazah pertama. Tapi, banyak kali juga saya tertanya-tanya - siapa pula yang bakal menghadiahkan jambangan bunga buat saya? Siapa ya?

Untuk gulungan ijazah pertama saya setahun lagi, syukur dan terima kasih saya yang tidak terhingga buat Allah Yang Maha Kuasa yang dengan kasih-Nyalah, Dia sudi menghantar saya ke bumi Minden. Allah! Tak terucap syukur dan syahdu kalbu terima kasih saya untuk Dia Yang Terlalu Pemurah. Alhamdulillah.

Tak apalah, kalau tiada satu bunga pun untuk saya dari manusia dengan segulung ijazah pertama; saya akan terus berkira-kira untuk menerima kitab amalan dengan tangan kanan di depan Tuhan. Saya kira, itulah ijazah yang paling agung buat saya.


Salman Sulaiman
Sungai Dua,
Minden, Pulau Pinang.
12.43 tengah hari - 8 Ogos 2005, Isnin.
Pulau jauh yang riuh dan sesak sungguh.

Sunday, July 17, 2005

Kembali bertapa di Pulau Mutiara

Saya kembali menginap di desa lama tempat saya bertapa untuk tahun pertama yang lalu. Setelah setahun menyepi di desa lain untuk tahun kedua pengajian, rasa sunyi pula berseorangan - saya kembali ke desasiswa tempat teman-teman perajurit bertempik, bising menjerit pagi-pagi, mengejut teman ke tempat latihan. Tak tahan rasanya setahun menyepi diri dipisahkan oleh teman-teman di desasiswa lama yang penuh kenangan.

Seperti biasa, kampus dipenuhi kain rentang menyambut anak-anak baru yang khabarnya sekitar empat ribu orang. Bukit pulau ini kembali riuh oleh anak-anak baru yang masih segar-bugar dengan semangat ingin belajar.

Diam tak diam, sudah seminggu lebih saya kembali meneruskan pertapaan di bukit jauh ini. Kami kembali meneruskan jadual selalu, bergegas ke kelas, berdebat di bilik tutorial atau tersorok diam di perpustakaan.

Setahun, untuk sidang dulu; saya berseorangan di bilik. Seperti yang saya kata tadi, rasanya sudah tak tahan bersunyi-sunyi. Saya kembali ke desa asal di tahun pertama. Memilih tinggal sebilik dengan seorang akrab yang selalu saya pelawa tidur di bilik tempat saya tinggal berseorangan di tahun kedua.

Banyak kali juga, dia saya ajak temankan saya yang tinggal berseorangan terpisah dari kawan-kawan. Kini, saya tak perlu bersusah-susah berfikir bagaimana cara memujuk dia tidur di bilik saya, kerana dia memang akan terus sebilik dengan saya sampailah kami tamat belajar nanti, insya-Allah.

Bas ke dewan kuliah pagi-pagi, sudah penuh dan sendat seawal jam tujuh lebih lagi - lebih senang, untuk tidak bersesak-sesak, saya hanya memilih berjalan kaki. Waduh-waduh, rupanya 'senior' sudah kami yang di tahun tiga ini. Iskh, cepat sungguh masa berlalu.

Sehari dua ini, petang dan malam; Pulau Mutiara selalu saja dilanda hujan. Bulan di langit malam, sekadar kabur berbalam-balam - tanpa bintang. Izinkan saya terus bertapa di pulau jauh ini barang sembilan purnama lagi.

Saya kembali ke dalam riuh kota dan bising manusia. Kalau-kalau ke Minden, jika saya bukan di bilik kuliah atau tutorial, intai-intailah saya terceruk di rak buku bahasa Melayu di perpustakaan utama atau tersandar keletihan di dinding masjid al-Malik Khalid, di penjuru belakang di bahagian dalam. Kalau tak ada juga, jenguk-jenguklah di pasar pelajar - di sebuah gerai lukisan tempat seorang teman sedang asyik melakar catan atau potret tempahan.

Kalau gagal terkesan juga kelibat saya, tinjau-tinjaulah di siber kafe KBM di luar pagar kampus melayari internet atau mengemaskini laman siber. Tidak-tidak pun, lihat-lihatlah juga di Restoran Subaidah di belakang Dewan Budaya. Adalah saya di mana-mana, salah satunya.


Salman Sulaiman
KBM Sungai Dua, Minden,
Pulau Mutiara.
10.22 malam, 17 Julai 2005 - Ahad.

Wednesday, July 06, 2005

Banggul Derdap yang itu-itu juga, Padang Raja yang ini-ini saja

Entahlah, sehari dua ini - aku asyik terbayangkan sungai Ceper yang dalam tempat anak-anak Banggul Derdap main acilut. Aku teringatkan Lahuma dan seperti terngiang-ngiang di telinga raungan Jeha. Aku seperti nampak kelibat Sanah bersama adik-adiknya Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah.

Aku terkenangkan Ipin dengan atuk dan neneknya, terkenangkan Seha yang sedang bersawah-sawahan dan berbaruh-baruhan dengan atuk dan neneknya di Banggul Derdap. Aku seperti nampak kerbau keweh yang dua ekor itu sedang berselut lumpur di tengah baruh. Seperti ternampak burung-burung tiak jantan betina di tengah baruh dengan lintah gajah dan ular tedung senduk sedang bersembunyi di dalam selut.

Aku terkenangkan Su Usul dan Goh, ayah Shahnon yang selalu mendenak terkukur di Bukit Srengenge yang terbentang gagah di depan kampung Banggul Derdap dan selalu terbayang di mataku ibunya yang tabah, setabah sungai Ceper. Seperti terngiang di telingaku sipongang anak-anak Banggul Derdap sedang bising bermain acilut di sungai Ceper. Aku juga seperti terbayangkan Wak Da yang asyik berkalau-kalau saja mahu ke seberang. Dia pun sedang melintas sungai Ceper jugalah agaknya.

Aku seperti nampak sungai itu membawa arus banjir ke kampung Banggul Derdap. Dan bukit Srengenge masih di situ juga, teguh memerhati dengan segala misterinya. Aku terbayangkan Shahnon yang sedang mengetuk papan kekunci komputernya di Banggul Derdap yang sudah mati itu, mati dalam erti kata jasad fizikalnya. Mati untuk tidak memaknakan kehidupan ini lagi. Banggul Derdap masih ada, tapi ia sudah tidak bernyawa lagi. Ceper pun. Ceper pun sudah mati dalam erti katanya yang sebenar.

Aku teringatkan Lahuma dengan duri nibung di kakinya, juga busung nanah di perut Lahuma yang membusuk itu. Seperti kedengaran jelas di telinga jeritan Jeha yang tak henti-henti. Lantas aku terkenangkan buku Shahnon yang tercatat segala pengalamannya di Banggul Derdap, Detik-detik Diri di Daerah Daif.

Aku terlalu rindukan Banggul Derdap. Aku ingin kembali ke sana bersama Seha dan Ipin main sawah-sawahan, main acilut di sungai Ceper. Aku ingin melihat ibu Shahnon menganyam tikar mengkuang dan aku nak ikut ayahnya mendenak terkukur di bukit Srengenge. Aku ingin mandi-manda di sungai Ceper dan berselut lumpur di baruh bersama Ipin dan Seha. Dengan Sanah dan adik-adiknya juga.

Sayangnya buku itu telah menjadi milik seorang teman di kampus yang beria-ia sangat ingin membacanya. Buku berkulit biru itulah yang membawa aku, jauh ke Banggul Derdap. Aku tidak pernah ke sana pun, ke Banggul Derdap. Walau sudah lama benar aku bercita-cita mahu ke sana.

Kampung Banggul Derdap inilah yang selalu menjadi latar cerita Shahnon. Banggul Derdap inilah juga yang banyak melatari setiap tulisannya. Banggul Derdap yang itu-itulah juga. Tak ada Banggul Derdap yang lain dah pun. Banggul Derdap yang itu-itulah juga. Banggul Derdap itulah juga yang telah memaknakan hampir keseluruhan karyanya. Tak ada Banggul Derdap yang lain lagi dah, hanya Banggul Derdap yang itu-itulah juga. Tempat Ipin dan Seha bermain sawah-sawahan itulah.

Di Banggul Derdap itulah juga tempat ayahnya mendenak terkukur dan tempat ibunya bersawah-sawahan dengan selut lumpur dan juga menerung dan juga rumput bulu landak. Di Banggul Derdap itulah juga. Aku rindukan Seha walau aku tak kenal pun Seha. Aku rindukan Ipin walau Ipin tak kenal aku pun dan aku pun memang tak kenal Ipin. Aku rindukan atuk dan neneknya.

Aku mahu ikut Seha ke sawah berbaruh-baruhan dengan neneknya. Dengan atuknya. Aku nak 'cebok' air dalam buyung di halaman dekat jelapang. Aku ingin tunggu atuk Seha mendenak terkukur dan aku ingin mandi bersama Seha di sungai Ceper.

Tapi sayangnya, aku tak pernah sampai ke Banggul Derdap. Aku hanya di sini di Padang Raja ini sajalah. Nantilah, aku akan pergi juga ke sana. Bertemu Shahnon di Banggul Derdap, di sungai Ceper. Aku hanya ada Padang Raja ini sajalah.

Sehari dua ini, aku begitu sayangkan tanah ini - tanah Padang Raja ini. Sehari dua ini jugalah, aku mula menghayati Padang Raja ini sesungguh mungkin. Merasai suasananya sungguh-sungguh. Rasanya tak mahu kutinggalkan sepohon belimbing manis di pinggir halaman yang selalu kupanjat waktu kecil-kecil dulu. Rindu rasanya lidahku ingin merasa lagi buah mangga di pinggir pagar jiran yang hanya berbuah empat biji saja tahun ini.

Sayang rasanya nak kutinggalkan lima pohon salak jantan yang tak berbuah-buah itu, yang sedang membesar di kiri halaman. Tapi, malam-malam buta keesokkan hari terpaksa kutinggalkan juga gugus-gugus rambutan 'che mbong' di keliling rumah yang sedang menghijau. Sepohon manggis yang ranum dan sepohon rambai yang rendang di bahagian dapur. Seperti terngiang-ngiang suara adik bongsuku menjerit-jerit dari atas pohon manggis di belakang rumah.

Terpaksa kutinggalkan juga buah-buah durian yang masih belum gugur-gugur itu. Pohonnya di tepi pokok belimbing manis di pinggir halaman. Terpaksa kutinggalkan juga rimbunan dokong di pinggir rumah yang kurang lebatnya tahun ini. Dan sepohon langsat yang tidak begitu lebat di sisinya. Juga sepohon katak puru yang melebat selalu bersama sebatang dua pohon jambu yang malas berbuah. Sayu rasanya hati mahu kutinggalkan sepohon mencupu di kebun getah di belakang rumah yang selalu kupanjat waktu kecil-kecilan dulu.

Bersama sepohon anak rambai yang sudah mula rajin berbuah betul-betul di jalan masuk ke halaman rumah. Juga lebat sepohon asam limau nipis yang sekian banyak berjasa kepada kami di teratak kecil ini. Terkenang juga aku sepohon limau kasturi dekat dengan rimbun ketereh yang juga selalu kupanjat waktu anak-anak. Air kelat buahnya terasa seperti masih melekat di lidah. Juga beberapa batang kelapa yang sekian banyak berjasa kepada kami semua, yang tak pernah jemu-jemu ia berbuah. Rindu sungguh hatiku pada sebatang celagi yang telah lama ditebang berhampiran anak salak jantan dekat pokok-pokok pisang. Buahnya yang masam selalu kumakan cicah air gula dan garam dicampur lada dan belacan. Tak dapat lagilah aku termenung di jendela, merenung sepohon betik jantan yang sekadar berbunga di tepi telaga.

Tak ada yang lain dalam hidupku. Padang Raja inilah saja dan orang-orang yang menghuninya juga. Sayang sekali rasanya mahu kutinggalkan tanah kebun di keliling rumah ini. Aku bukan di Banggul Derdap, aku hanya ada Padang Raja yang ini-inilah saja. Aku tidak boleh menulis tentang Banggul Derdap seperti Shahnon.

Aku hanya akan terus menulis tentang Padang Raja inilah saja. Ya, aku hanya ada Padang Raja yang ini-inilah saja. Tak apalah. Aku akan terus menulis di sinilah saja. Walau aku tak boleh melahirkan karya besar seperti Shahnon pun tak apalah. Aku percaya sebuah karya besar boleh ditulis di mana-mana. Aku akan tetap mencoretkan sesuatu yang istimewa tentang Padang Raja ini.

Kampung halaman yang dihijaukan pohon dan dusun ini terpaksa kutinggalkan juga. Tapi aku tetap akan kembali ke sini untuk tidak ke mana-mana lagi. Aku tetap akan kembali untuk mencatatkan sesuatu yang besar di sini kukira. Tak apalah aku tidak menjadi seperti Shahnon Ahmad pun, tak apalah. Biarlah Shahnon dengan Banggul Derdapnya yang itu-itu juga dan biarlah aku terus dengan Padang Rajaku yang ini-ini saja.



Salman Sulaiman
Padang Raja yang ini-ini saja,
Machang.
2.05 petang, 6 Julai 2005 / 29 Jamadil Awal 1426H
- Rabu yang pilu.

Monday, July 04, 2005

Menyelami jiwa anak-anak, jauh di kaki bukit

Sesudah asar, dalam gerimis petang, jumaat lalu - saya menyusur kampung-kampung yang jauh di pinggir bukit membonceng bersama seorang teman, sambil mengimbau kembali lekuk jalannya yang pernah saya lalui kecil-kecil dulu. Jenuh juga saya mencari seorang teman yang bakal dibuat kawan ke Hutan Lipur Bukit Bakar, Machang - tempat berlangsungnya program Kem Bina Sahsiah Belia Kawasan Machang untuk sesi 2005.

Saya mengingat-ingat kembali kenangan kecil saya di hutan lipur ini - berbasikal ke mari bersama beberapa orang teman, tentunya lebih setengah jam juga untuk sampai ke kaki bukit yang jauh ini, hanya sekadar untuk mandi-manda dan pulang dengan basah kuyup dan sampai ke rumah ketika pakaian yang basah tadi sudah kering. Kenangan waktu anak-anak memang begitu manis untuk diimbas kembali. Tentunya, ia pasti takkan berulang lagi dan sememangnya saya takkan berbasikal lagi ke mari. Atau kami akan singgah membeli apa-apa makanan di tengah jalan untuk dibuat bekal berkayuh.

Atau kami akan bertewas berkayuh memanjat bukit tinggi di tengah jalan dengan mengumpul stamina dan kelajuan awal-awal lagi, jauh di bawah bukit. Terlalu manis sebetulnya mengenang kenangan zaman anak-anak yang telah jauh saya tinggalkan, lebih jauh daripada tanah bukit ini. Berbasikal mini, kami berlumba-lumba untuk tiba ke puncak yang tinggi dan bersorak-sorak riang kalau sampai dahulu dari teman-teman yang lain. Dengan tubuh keletihan mengharung jauh perjalanan, tentunya begitu enak disambut oleh airnya yang sejuk nyaman - kami meniru aksi tarzan di hutan menjunam ke air dalam, memacakkan kepala ke air dan menghilang di dasar sungai dan timbul di seberang. Kami menikmati sejuk nyaman airnya dengan sepenuh riang hingga bibir kebiru-biruan, kesejukan. Zaman anak-anak yang begitu mempesona, selalu saja terbayang-bayang di ingatan.

Kompleks Perhutanan Bukit Bakar menyambut kami dengan penuh kedamaian hembusan angin bukit yang sejuk nyaman pada petang itu, bersama libasan ekor tiga empat ekor ikan talapia dan beberapa ekor anak-anak ikan kecil di kolamnya yang digelapkan airnya oleh daun-daun luruh, ditambah lagi dengan pohonan bukit yang daun-daunnya meliuk-liuk ditiup angin yang terlalu membahagiakan berserta udara sejuknya yang penuh ketenangan.

Jauh juga saya berangan-angan kepada teman saya itu, kalaulah kita dapat membina rumah di sini - terpisah dari bising manusia dan hiruk-pikuk kota yang membingitkan telinga. Kawasannya nampak bersih dan terjaga, dan pohon-pohon hiasan yang berjajaran terpangkas rapi. Sepengetahuan saya, tempat ini tidak pernah putus dengan pelbagai program anak-anak sekolah, remaja dan belia. Asramanya masih boleh memuatkan lebih seratus orang peserta.

Terkejut dan begitu terharu dengan kehadiran anak-anak peserta pada petang itu, rupanya kami berdua sahaja yang sedikit dewasa yang bakal mengawasi mereka. Majoriti peserta dalam tingkatan empat dan sebahagian kecilnya belajar di tingkatan enam bawah. Saya diberitahu kemudiannya, sasaran awal pihak penganjur ialah seramai enam puluh orang peserta, tapi yang ada di depan mata saya hanya kira-kira dua puluh enam sahaja. Terlalu payah sebenarnya untuk mengajak anak-anak remaja ke tempat-tempat begini, akui ibu sahabat saya tadi sebelum kami berangkat.

Riadah petang itu yang sepatutnya kami dibawa memanjat jalan-jalan menuju ke puncak bukit yang biasa dilalui pacuan tentera, terpaksa dibatalkan kerana hari hujan. Kami hanya sekadar beriadah di dewan kuliah, mendengar rentetan panjang pengalaman seorang bekas tentera berpangkat Mejar. Kekentalan jiwa tenteranya serasa seperti meresap masuk ke jiwa anak-anak peserta bersama jenakanya yang disusuli tawa para peserta.

Celahan waktu maghrib dan isya' malamnya, kami menadah telinga mendengar 'kuliah ringan' oleh imam Masjid Ya'akubiah, Kampung Kuala Bakar - Ustaz Wan Lutfi Wan Sulaiman dan sambil-sambil ikut ketawa dengan jenakanya menarik perhatian anak-anak. 'Kuliah ringan' maksud saya, bukan sesi mengajar kitab atau menadah kitab, sekadar 'kuliah ringan' yang bersesuaian dan tidak memberatkan kepala anak-anak.

Makan malam kami selepas solat isya' berlaukkan ayam gulai dan seekor ikan masin, berserta beberapa hiris mentimun dan sambal yang pedasnya tidak begitu menggigit lidah. Sesi kedua menampilkan dua orang penceramah yang berbicara soal jati diri anak muda dan apakah yang perlu ada pada anak muda untuk lebih perkasa. Untuk tidak melalaikan anak-anak yang kekenyangan, bicara para pembentang tetap bersulam jenaka dan penuh ceria.

Hidangan akhir kami malam itu berupa bubur kacang yang masih panas berasap bersama beberapa buku roti. Enak sekali mengunyah bubur panas pada malam-malam buta di tengah-tengah hutan begini. Sayangnya, saya ditinggal pulang oleh teman yang datang bersama siang tadi dan kerja memimpin anak-anak diserahkan kepada saya berseorangan. Malamnya, tidur saya ditemani 'susik-susik' suara perbualan anak-anak dan sesekali diselangi tawa, dicampur suara unggas hutan yang tak putus-putus berbunyi, yang tak pernah saya dengar ketika di kampung.

Ingatan saya mengimbau jauh kepada kenangan tujuh tahun yang lalu, saya juga pernah bermalam di sini dalam satu kem yang lebih meriah dengan jumlah peserta yang lebih ramai daripada anak-anak peserta yang saya pimpin hari ini. Ketika itu, saya sebagai peserta bukan sebagai pembimbing peserta dan tidak pernah pula saya terfikir ketika itu sebagai anak peserta yang masih mentah untuk datang kembali ke sini satu hari nanti sebagai pembimbing peserta. Langsung tidak terfikir di kepala saya, tapi kedatangan saya hari ini mengingatkan tentang banyak perkara.

Dan ketika itu juga, saya ingat lagi, saya juga tidur lewat malam kerana menyiapkan beberapa helai catatan dan ianya masih saya simpan. Catatan itulah yang memberi ingatan yang begitu jelas kepada kedatangan saya ke Kompleks Perhutanan ini hampir tujuh tahun yang lalu, sebagai peserta yang masih mentah tentunya berbanding kedatangan saya hari ini. Peristiwa kedatangan saya itu, satu-satu tergambar di kepala dengan adanya catatan yang masih saya simpan sebagai kenangan. Dan saya cuba-cuba membandingkan kem yang dulu dan yang hari ini, kalau-kalau ada yang lebih istimewa.

Panjang juga catatan saya malam itu dan saya mula mengunyah mimpi ketika jam tangan saya sudah menunjukkan hampir jam tiga pagi. Sehabis subuh dan kuliah pagi esoknya, saya diarahkan membawa anak-anak berlari ke atas bukit menyusur jalan laluan pacuan empat roda petugas Telekom Malaysia (TM) dan angkatan tentera Malaysia. Saya mulakan dengan sedikit senaman ringan, risau juga takut ada yang kekejangan di tengah jalan atau lebih parah kalau ada yang jatuh pengsan. Kalau diikutkan, anak-anak itu mahu mendaki lebih tinggi tapi saya arahkan mereka berpatah turun setelah melihat semuanya tercungap-cungap kelelahan. Seorang diantara mereka mengadu pening kepala dan saya bersama seorang temannya menunggu matanya yang berpinar-pinar pulih semula. Lebih risau saya, takut-takut dia tak sedarkan diri.

Anak-anak yang lain sudah jauh berlari ke bawah bukit, tidak tahu pula mereka ada seorang kawan yang hampir pitam. Mujur peningnya tidak berpanjangan. Sebaik tiba di bawah bukit, hampir kesemua anak-anak menghilang menuju ke kawasan perkelahan dan mandi-manda menghilangkan kepenatan memanjat. Sejuk rasanya saya untuk mengekor mereka. Sempat juga kami merenung ikan dari atas jambatan, melihat daun-daun bersepahan di dasar sungai sebelum mengunyah sarapan dengan sebungkus nasi lemak dan air teh 'o' suam.

Ucapan penutup berjalan lancar berserta perlantikan jawatankuasa kerja permulaan dari kalangan para peserta untuk memberi kelangsungan kepada program sebegini di masa depan dan sesi terakhir itu berakhir dengan acara bergambar. Lebih sejam masa yang terluang diberikan kepada para peserta untuk bermandi-manda sebelum berangkat pulang dan saya sempat diajak oleh salah seorang dari mereka untuk ikut serta. Tapi saya sekadar memilih untuk tengok-tengok saja, cukup sekadar meninjau-ninjau kemeriahan anak-anak bermain air. "Rugilah kalau dah datang ni tak mandi," ujar seorang peserta yang beria-ia mengajak saya mandi sama.

Saya sempat menitipkan kad saya untuk beberapa orang peserta sebelum meninggalkan mereka yang masih riuh bermandi-manda. Menyusur pohon-pohon hutan di Hutan Lipur Bukit Bakar dan seperti dilambai oleh pintu gerbangnya dengan ucapan terima kasih - saya tinggalkan tanah jauh di kaki bukit itu membonceng bersama sepupu yang datang menjemput pagi tadi dengan penuh rasa terharu, bila agaknya saya akan ke mari lagi - menyelami jiwa anak-anak, jauh di kaki bukit.


Di kaki bukit yang lain

Di kaki bukit yang lain, semalam di Bukit Ilmu, Machang - ketika waktu mencecah tujuh tiga puluh pagi, berpusu-pusu sudah kenderaan yang menyusur masuk ke Universiti Teknologi Mara Cawangan Kelantan membawa insan-insan terpilih untuk melapor diri sebagai pelajar baru. Dan mereka terus saja menjalani sesi Minggu Mesra Siswa UiTM Machang selama enam hari berturut-turut bermula 3 hingga 8 Julai ini. Kain rentangnya yang menyambut kedatangan mereka juga tidak ketinggalan mengucap tahniah atas kejayaan mereka menyambung pengajian ke universiti. Dan, di kaki bukit yang lain pula, saya seperti nampak begitu ramai yang memanggil-manggil dan ingin menyambut saya juga.




Salman Sulaiman

CC Akidjaya, Machang.
1.20 tengah hari, 4 Julai 2005 / 27 Jamadil Awal 1426 H
- Isnin.




Friday, July 01, 2005

Berkali-kali juga dia bertanya - Edisi Dua

Berkali-kali juga dia bertanya, dengan sepatah soalan yang pendek saja - tapi jawapan saya masih belum habis-habis juga. Saya berkira-kira untuk menjawab semua soalan sebelum sempat saya ditanya lagi dan catatan ini juga, untuk yang malu bertanya atau sengaja tak mahu bertanya. Atau untuk yang lain-lain juga, yang tidak sempat bertanya.
Siapalah saya untuk mengajar orang lain, hanya bercerita pengalaman sendiri apabila ditanya berkali-kali.

Antara lain, bersama 'Sekepal Tanah' yang ikut saya kunyah berkali-kali ialah buah tangan Sapardi Djoko Damono berjudul 'Sihir Hujan' yang begitu memikat. Puisinya pendek-pendek, tapi ringkas dan padat - penuh falsafah. Kalau rasa ingin meringankan kepala yang berat dengan macam-macam perkara, nashkah yang berdua inilah yang menjadi juadah santai saya. Saya rasa terlalu bahagia kembara ke alam kata-kata ciptaan Rahimidin dan Sapardi.

Nashkah lain yang ikut menjadi santapan naluri puisi saya ialah antaranya 'Gitanjali' karya Rabindranath Tagore, 'Petang Condong' karya T Alias Taib, 'Matahari Berdoa' karya Rahimidin Zahari, 'Pesisir Waktu' karya A Latiff Mohidin juga 'Rawa-rawa', 'Katarsis' oleh Zaen Kasturi, 'Pasrah' dan 'Qaf' oleh Moechtar Awang, 'Racun Abadi' oleh Abdul Hadi Muhammad, 'Candu' oleh Azman Hussin dan beberapa naskhah antologi puisi Siti Zainon Ismail (sekadar menyebut beberapa nama sebagai contoh).

Naskhah puisi Sasterawan Negara tentu saja, perlu menjadi bacaan wajib penulis yang ingin berjaya. Bauran sekian banyak naskhah puisi inilah yang saya telan dan kunyah sekian waktu, sekian purnama dan saya pun mula belajar mencipta - mengungkap kata-kata dan ungkapan sendiri yang tidak pernah diungkap dan ditulis sesiapa.

Seperti yang saya kata, mencari identiti sendiri adalah satu hal yang lain pula. Seorang penulis mengambil masa dan tempoh waktu yang sekian lama saya kira, untuk mencapai tahap keperibadiannya sendiri dalam berkarya. Lihat saja Sasterawan Negara kita yang ada, mereka tentu saja sudah mempunyai identiti penulisan yang tersendiri - yang berpengaruh dan menjadi pengenalan diri untuk seseorang penulis. Lihat saja gaya penulisan dan identiti kepengarangan SN Shahnon Ahmad yang telah dikenali dan gayanya mudah dicam dan dikenali.

Untuk mencapai takah itu tentunya mengambil masa yang begitu lama dan memakan masa berdekad-dekad juga. Gaya perulangannya sudah menjadi pengenalan diri kepada karya Shahnon. Malah gaya dan identiti kepengarangannya itu memberi pengaruh besar juga kepada beberapa penulis lain.

Lain pula halnya dengan SN A Samad Said. Lihat saja identiti puisinya yang tersendiri. Itulah pengenalan diri kepada puisi-puisinya. Perlambangan yang memakai sekian banyak juzuk alam sudah menjadi identiti puisi SN A Samad Said. Selalu saja ada biawak, ular, lipan dan segala macam makhluk penghuni alam menjadi objek perlambangan puisi-puisinya. Bahasa untuk kertas kerjanya dan ucapannya di mana-mana, masih berlarikkan bunga-bunga dan penuh gaya. Itulah pengenalan diri kepada tulisan, karya A Samad Said.

Pencarian identiti ini tentu saja memakan masa yang begitu lama dan memerlukan penelaahan mendalam dan bersungguh-sungguh. Saya sendiri, sudah hampir satu dekad juga melarikkan kata-kata tapi belum juga saya ketemu identiti penulisan saya yang teguh. Identiti sendiri sebagai pengenalan diri. Atau saja Rahimidin Zahari dengan puisi ketuhanan yang disalut tradisi dengan latar alam kampung atau tanah kubur.

Proses pencarian identiti adalah proses berdikit-dikit yang lama. Pencarian yang penuh kesungguhan, memerlukan kesabaran dan ketekunan yang bukan calang-calang. Tujuh tahun menulis puisi, saya baru di pintu pencarian identiti. Ruang dalamnya masih terlalu luas untuk saya teroka, saya baru di pintu kata sebetulnya.

Ilham, adalah satu hal yang lain pula. Saya pun tidak tahu bila lagi akan datang ilham yang baik untuk saya menghasilkan sebuah puisi lain yang ikut menawan seperti 'Ini Tanah Kita'. Seperti biasa, sebelum ini setiap kata yang baik dan ilham yang menjadi di kepala akan cepat-cepat saya tuliskan di kertas takut ia hilang melesap lenyap entah ke mana. Kerana kata-kata dan satu-satu ungkapan itu hanya datang sekali sahaja dan ia akan meluncur hilang. Yang datang kemudian adalah ungkapan-ungkapan yang lain pula.

Begitulah betapa payahnya untuk menghasilkan sebuah puisi yang baik dan bermakna, lebih payah lagi untuk menghasilkan identiti sendiri dan membentuk keperibadian kepenyairan yang unggul juga mantap, bakal kekal ke akhir hayat.

Moga-moga terjawab sudah sekian kali soalan dia ke telinga saya. Saya tahu, dia akan kekal bertanya soalan yang lain pula dan saya akan kekal menjawab juga untuk sesi yang lain pula.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
12.53 tengah hari, 1 Julai 2005 / 24 Jamadil Awal 1426H
- Jumaat yang sendat.

Thursday, June 30, 2005

Berkali-kali juga dia bertanya

Berkali-kali juga dia bertanya, sesudah habis menelaah puluhan puisi saya, termasuk antologi 'Pemain Bahasa' dan beberapa buah puisi saya di laman siber. Sesudah mengetahui, naskhah puisi 'Ini Tanah Kita' bakal menerima watikah daripada Kumpulan Utusan (Kalau ada yang masih belum menatap puisi ini, silakan ke laman cjb saya di www.salmansulaiman.cjb.net dan akses di ruangan sajak), lebih bersungguh dia bertanya - bagaimana nak menulis sebuah puisi yang baik?

Payah juga sebenarnya untuk menjawab soalan semudah itu. Sehabis membaca 'Ini Tanah Kita' untuk kali yang entah ke berapa, dia berkata - "sedaplah sajak ni". Lebih terharu saya mendengar semua itu - kenyataan dan juga soalan. Saya berkira-kira, bagaimana harus menjawabnya. Soalan yang kedengarannya begitu mudah tetapi jawapannya agak payah juga saya kira.

Saya menjawab ringkas, membaca - banyakkan membaca puisi yang baik dari tangan penulis yang hebat dan kuat sajak-sajak mereka. Gila membaca puisi, maksud saya semua puisi perlu dibaca - terutama puisi-puisi dari penyair besar. Dengan banyak menelaah puisi besar dari pengarang besar, tentu saja akan melahirkan karya yang besar juga.

Bertahun-tahun juga saya menjadi penggila puisi, menelaah macam-macam puisi yang saya jumpa. Untuk melahirkan 'Ini Tanah Kita' itu saja tentunya mengambil tempoh bertahun-tahun juga. Bertahun-tahun itulah juga saya menanam roh puisi ke dalam jiwa. Menelaah segala macam puisi sampai ke inti-inti. Bertahun-tahun dalam erti kata rohnya, bukan bertahun-tahun proses penciptaannya. Tentu saja sehabis membaca ratusan buah puisi yang baik dan hebat, akan menerawang dalam kepala kita ungkapan-ungkapan indah dan hebat dalam puisi yang kita baca itu. Ungkapan-ungkapan indah yang bermain-main di kepala inilah yang membantu dengan sendirinya melahirkan ungkapan peribadi kita pula, yang juga indah sepertimana indahnya ribuan ungkapan oleh penyair-penyair besar yang kita baca.

Dengan menelaah ratusan malah ribuan puisi yang hebat inilah, sambil-sambil kita menelaah cara mereka mengungkapkan kata-kata besar yang hebat dan penuh falsafah. Sambil-sambil menelaah, kita juga belajar-belajar mencipta ungkapan sendiri yang membentuk identiti kita sendiri pula. Mencari identiti kepenyairan adalah satu hal yang lain pula.

Ketika meneroka ke lautan makna dan ke dasar kata-kata puisi itu juga, kita cuba-cuba mencipta ungkapan kita pula. Tapi jangan cuba meniru sesiapa - maksud saya meniru mana-mana ungkapan yang pernah kita baca. Hasilkan ungkapan, ayat dan kata-kata kita sendiri yang tidak menyamai mana-mana ungkapan yang pernah dihasilkan oleh penulis lain sebelum ini.

Dan secara peribadi, saya sendiri tidak pernah menggunakan ungkapan atau kata yang tidak tersedia dalam kepala untuk menghasilkan puisi. Tidak pernah pula saya memasukkan kata yang pelik-pelik ke dalam puisi. Kerana pada saya, tidak perlu menyusahkan pembaca dengan ungkapan yang pelik-pelik dan yang tidak pernah mereka dengar. Maksud saya, pembaca biasa yang bukan penulis.

Yang lebih penting pada saya, dengan kata dan ungkapan yang mudah itu kita perlu mencipta sebuah puisi yang indah dan penuh falsafah. Tidak perlu bersusah payah memasukkan kata yang bombastik dan pelik-pelik. Ini saya khususkan terhadap naskhah puisi 'Ini Tanah Kita'. Cubalah telaah puisi itu, tiada di dalamnya kata-kata yang sukar difahami saya kira. Kata-kata yang saya ungkapkan di dalamnya boleh difaham sesiapa sahaja. Yang bukan penulis pun tentu saja dapat merasa keterharuan naskhah 'Ini Tanah Kita' yang saya cipta. Tentu saja sesiapa pun yang membacanya akan dapat membayangkan seorang tua yang akhirnya menggali liang tanah untuk jasadnya sendiri di bawah pohon kemboja, seperti juga terbayang di kepala saya saat-saat menulisnya.

Lama juga saya menelaah puisi-puisi yang berkisar tentang kematian dan perkaitannya dengan tanah, dan barulah bertahun-tahun kemudian ia lahir menjadi begitu - 'Ini Tanah Kita'. Misalnya saja, beberapa buah naskhah puisi yang tentu saja menjadi bacaan akrab saya, tidak lain antologi 'Sekepal Tanah' karya Rahimidin Zahari. 'Sekepal Tanah' saya khatamkan berkali-kali, bertahun-tahun lamanya saya masuk ke dalam daerah kematian dan kembara ke alam lain yang dicipta Rahimidin. Bertahun-tahun saya mengakrabi 'Sekepal Tanah', masuk secara sesungguh mungkin ke dalam roh empat puluh buah puisi itu. Dan saya pun berkira-kira untuk melahirkan ungkapan-ungkapan saya sendiri yang tentu saja berbeza dan lari sejauh yang boleh daripada puisi-puisi 'Sekepal Tanah'.

Saya mencipta ungkapan saya sendiri, saya ingin mencipta dunia puisi saya sendiri. Dan begitulah seadanya yang tercipta - 'Ini Tanah Kita'. Dan tak sangka pula saya, ia menimbulkan keterharuan banyak orang.

Dan untuk dia yang berkali-kali bertanya, saya kira catatan ini tentunya akan menjawab sedikit soalan-soalan yang pernah diajukan ke telinga saya. Dia, seorang teman penulis muda yang sedang berlari di rimba sastera - mahu terus mengejar katanya. Dan saya percaya, mungkin juga akan sampai masanya dia akan memintas saya pula sesudah jenuh dan jauh berlari. Atau setidak-tidaknya kami akan terus berlari bersama. Berkali-kali juga dia bertanya, dan saya rasa cukuplah saja jawapan saya untuk edisi pertama.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
6.06 petang, 30 Jun 2005 / 23 Jamadil Awal 1426H - Khamis.

Monday, June 20, 2005

Tahniah yang bertalu-talu, menjadi pasrah yang beribu-ribu

Dua tiga minit hampir jam sepuluh malam, selasa lalu - 14 Jun, saya tinggalkan pekan Machang, berseorangan. Dengan bas berhawa dingin, e-Budaya First Class - saya tiba jam lima pagi keesokannya di kota Kuala Lumpur. Sehabis subuh, saya mengirim sms kepada Faisal Tehrani - kalau-kalau sempat kami bertemu siang itu, saya berkira-kira untuk bercakap panjang dengannya. Sayangnya, dia berhalangan dan, "kita jumpa malam nanti," begitu lebih kurang bunyi smsnya kepada saya kemudiannya. Saya terpaksa bersetuju.

Saya masih tidak tahu, di mana saya akan ada petang nanti ? Dengan apa dan dengan siapa saya akan ke Hotel Palace Off The Golden Horses di Seri Kembangan malam nanti ? Dan saya pula akan tidur di mana sehabis majlis itu nanti ? Saya hanya mampu berserah, pasrah dengan ketentuan Allah. Saya menghantar sms kepada Wan Azman Wan Mamat dan Jimadie Shah Othman, juga menghubungi Muhammad Lutfi Ishak berkali-kali. Sejak malamnya lagi, di Machang - Lutfi gagal saya jejaki. Asyik-asyik di luar kawasan sahaja talian fon bimbitnya. Entah-entah dia sudah menukar nombor baru. Macam-macam telahan yang bermain di kepala saya. Wan Azman pula ada di Pahang dan Jimadie tak berkenderaan.

Sehabis bersarapan dengan sepinggan nasi goreng dan segelas nescaffe, di gerai makan Hentian Putra - saya membuat panggilan lagi ke telefon Lutfi. Alhamdulillah, kali ini fon bimbitnya menjadi. Saya kira dia sudah membaca sms saya sebelumnya. Kami memeterai janji, dia akan mengambil saya di stesen KTM Komuter Klang, jam sepuluh tiga puluh pagi nanti. Saya tinggalkan Hentian Putra, ke Klang dan perjalanan mengambil masa satu jam juga.

Jam sebelas lebih kemudiannya, tiba buat pertama kali di rumah kenalan saya ini. Dia tinggal bertiga, bersama isteri - Azna dan si kecil Izzah yang baru-baru belajar bertutur. Sepatah dua kata saja yang terbit di mulutnya. Seingat saya, banyak kali juga Azna menjadi judul puisi Lutfi. Kenallah saya hari itu dengan pujaan hati sahabat saya ini.

Tengah harinya, mereka bertiga tinggalkan saya berseorangan di rumah dengan timbunan buku di bilik bacaan Lutfi dan sebuah komputer riba, kalau-kalau saya mahu berkarya katanya. Saya memilih beberapa buah buku untuk diuliti. Antaranya tulisan Pramoedya Ananta Toer, Seno Gumira Ajidarma dan Fathi Aris Omar. Dan istimewa untuk bacaan saya di rumahnya, Lutfi memilih buah tangan Syed Naquib Al-Attas. Tapi saya kemudiannya lebih santai membaca naskhah Patah Balek tulisan Fathi Aris Omar. Tersengih juga melihat nama saya pada indeks di belakang buku itu. Tentang saya, hanya satu perenggan saja Fathi menulis - mengulas sedikit isi buku saya, Pemain Bahasa.

Lebih kurang jam enam setengah petang, kami berpacu dengan kereta Lutfi dan Azna ikut sekali, tanpa Izzah. Jenuh juga menjelujur peta ke Seri Kembangan. Melilau-lilau mencari meja sambil-sambil menghulur salam kepada pemenang lain juga dan kebetulan mereka adalah sifu-sifu saya. Faisal Tehrani memberi tempat duduknya kepada saya, kebetulan - berkanankan sifu besar saya dalam bidang puisi, Rahimidin Zahari dan berkirikan pensyarah saya di kampus yang memenangi kategori kritikan - Dr Noriah Taslim. Dan kerusi saya betul-betul berhadapan dengan kerusi Sasterawan Negara Arena Wati. Saya berkira-kira dalam kepala, duduk di kerusi Faisal Tehrani berhadapan Arena Wati. Moga-moga, adalah berkat mereka meresap ke tubuh saya.

Kali ini, hadiah untuk para pemenang disampaikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, tapi hanya pemenang utama sahaja yang naik ke pentas dan untuk hadiah penghargaan, awal-awal lagi diberi di meja pendaftaran. Sempena ulang tahun ke-20 HSKU, Prof Rahman Shaari mendeklamasikan Pustaka Makna yang ikut tercatat di kulit belakang buku cenderamata dan tersiar pula dalam Mingguan Malaysia semalam.

Sesudah naik ke pentas menerima hadiah untuk keterharuan naskhah saya, Ini Tanah Kita - saya menerima huluran salam tahniah yang penuh makna daripada sifu yang sedia duduk di sebelah. Sambil bersalam, saya melihat ke matanya dengan penuh rasa terharu. Saya rasa dia tahu, puisi dialah yang terlalu banyak meresap di jiwa saya. Seperti terngiang kembali pintanya satu ketika dahulu, ketika kami bertemu bersidang puisi di kampus saya, sifu ini seperti meminta supaya sayalah yang akan menggantikan tempatnya satu hari nanti. Pintanya itu sudah saya laksanakan sedikit dengan kemenangan ini saya kira. Keterharuan yang entah apa, menyucuk-nyucuk di kalbu saya ketika berjabat salam dengan sifu saya ini, sambil mata saya melihat ke matanya dengan penuh kepiluan, menggalas harapan besarnya supaya saya menduduki tempatnya satu hari nanti. Dengan penuh keterharuan, saya galas harapan besar sifu saya ini - Rahimidin Zahari.

Sehabis majlis di hotel yang begitu mewah itu, sempat juga kami merakam sekian banyak potret kemenangan untuk ditatap di masa depan. Saya hulurkan buku cenderamata untuk dicatat sedikit oleh Faisal Tehrani dan yang ditulisnya berbunyi begini, "Norbusalman, si pemain bahasa yang diam-diam ubi." Sengaja, saya tak mahu melepas peluang mendapat suntikan semangat daripada 'Siti Nurhaliza sastera' ini. Moga-moga, dengan semangatnya, saya akan terus rajin menulis, menulis dan menulis, menulis dan menulis.

Di atas kereta Lutfi dalam perjalanan pulang, sempat dia bertanya,"Best ke menang ?" Lain bunyinya jawapan saya, "Kemenangan yang lebih besar ialah melihat di tangan anak-anak muda buku kita dan karya yang kita tulis dibaca oleh semua orang, ramai orang makud saya," begitu lebih kurang bunyinya jawapan saya. "Ya, betul juga," Lutfi menjawab kemudiannya.

Malam-malam buta kemudiannya, Jimadie minta bertemu. Segan katanya, duduk bersama orang yang menang besar ni. Saya dan Lutfi hanya mampu tersenyum tersengih saja. Tiada lain bicara kami, tentang kenyataan Jimadie di PPMN 2005 yang lalu. Depan kami berdua, dengan rasminya dia menarik semula semua kenyataannya di Pontian tempoh hari. Aku sudah kembali ke pangkal jalan katanya, dah bertaubat. Daripadanya kami menerima tahniah lagi. Termasuk yang ini, tentunya dah berkali-kali.

Esoknya, saya berpisah dengan Lutfi jam satu lebih sesudah kami menjamu selera di hadapan Kolej Islam Klang. Rasanya seperti merai kemenangan berganda kami dengan sepinggan laksa Penang dan semangkuk air batu cendol. Juga kemenangan besar MPR 2000, kata saya. Saat berpisah, sempat dia berjenaka - masih jenaka yang sama berkali-kali, tentang jodoh saya di masa depan.

Di dalam Komuter, hati saya berbaur kenangan - antara gurauan Lutfi tentang jodoh saya, bunyi percikan masakan ikan goreng Azna di dapur dan tempikan suara halus gemersik Izzah yang menyucuk-nyucuk telinga. Berbaur juga segala beban dua watikah besar Kumpulan Utusan dan semua sifu saya, untuk saya galas sesudah ini, pastinya dengan lebih berani.

Dan kepada Lutfi, sedikit petikan sms saya yang berbunyi begini,"Segalanya, kuserahkan pada Allah jua membalasnya." Entah apa nasib saya, dua tahun berturut-turut menggalas kemenangan berganda. Segala-galanya, saya serahkan pada Allah jua menentukan nasib saya yang bakal saya lalui di kemudian hari.


Salman Sulaiman
Akidjaya Computer Centre, Machang.
6.45 petang - Isnin, 20 Jun 2005 / 13 Jamadil Awal 1426H

Sunday, June 19, 2005

Sasterawan Muda Berhimpun di Penghujung Asia - Edisi Tiga

Ahad - 5 Jun 2005. Selesai bersiap, kami terperangkap oleh hujan lebat di villa. Lama juga kami 'tunggu teduh dulu', meminjam judul novel Faisal Tehrani. Judul novel itu juga yang saya pinjamkan ke dalam kiriman sms buat seorang teman yang bakal sama-sama menjadi pencatat untuk sesi pagi itu. Sejam menunggu, kami meredah rintik hujan ke dewan seminar. Sesi pagi itu sudah bermula selepas kami selesai makan. Saya melihat penulis lain yang menggantikan tempat saya sebagai pencatat pagi itu.

Sidang 'Bersama Editor' berjalan lancar dengan barisan panel yang terdiri daripada editor sastera dari beberapa penerbitan termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka, Karangkraf dan Kumpulan Utusan. Mereka yang saya maksudkan ialah Puan Norizan Muslim selaku Ketua Editor Tunas Cipta, Puan Nor Azah Aziz dari Utusan Publication & Distributors, Salina Ibrahim dari Karangkraf dan Mohamad Shaidan dari DBP. Sidang itu dipengerusikan oleh 'orang kuat Dewan' yang tidak kurang hebatnya dalam dunia penulisan. Dia yang paling banyak membolot kemenangan dalam Hadiah Sastera Tunas Cipta baru-baru ini. Siapa lagi, kalau bukan Saifullizan Yahaya.

Sempat juga saya keluar bertanya, "Berapa peratuskah hak yang ada pada editor untuk mengedit karya penulis yang sampai ke tangan mereka?" Saya contohkan beberapa misalan, seperti cerpen saya yang diterbitkan Utusan, juga karya Dr Fatimah Busu yang banyak sangat diedit editor sampai hilang keaslian karyanya itu. Saya khususkan hal itu untuk Puan Azah. Tapi, Sdr Mohamad Shaidan juga ikut menjawab kemudiannya. Kata mereka, "Tidak ada peratausan khusus untuk setiap editor bagi mengedit setiap karya yang sampai ke tangan mereka." Lebih kurang begitu bunyinya jawapan mereka seingat saya.

"Satu soalan yang baik," begitu ujaran Ijamala MN pada saya. Sesi sehabis kudapan pagi itu, antara yang menarik saya kira. Tapi, yang kurang memuaskan; ianya berlangsung dalam tiga sesi berbeza. Haru juga saya dibuatnya, nak memilih yang mana. Tapi, saya sudah buat keputusan awal-awal lagi untuk berada di sidang 'Teater / Drama dan Budaya'. Maklum saja, yang bakal membentang kertas kerja ialah Rahimidin Zahari, Faisal Tehrani, Siti Jasmina Ibrahim serta SM Zakir dan berpengerusikan Mohd Rosli Bakir dari Persatuan Penulis Johor (PPJ).

Pembentangan penuh serius dan resah seni sifu puisi saya, Rahimidin Zahari paling mencengkam di hati. Pembentang lain pun nampak khusyuk mendengar. Tiada jenaka pada bicara sifu puisi ini. Dia berbicara resah tentang akar tradisi yang makin dilupai. Keresahannya, seperti dapat dirasakan oleh semua yang ada di dewan itu. Jangan lupa, dia pengkaji tradisi yang ingin kembali ke dalam jati diri bangsanya sendiri.

Sesi petang adalah sesi yang paling mengharukan, ketika Nisah Haron bangun membawa sebak dadanya - berkongsi rasa dengan semua yang ada. Sebelumnya, saya memberanikan diri keluar awal-awal lagi meluahkan rasa hati. Rasa begitu terpanggil dan tercabar sekali ujaran para panel yang ada. Sengaja, kalau nanti keadaan sudah panas pada sesi dialog, tak berkesempatan pula saya berbicara. Tanpa apa-apa catatan di tangan, saya keluar dengan harapan PPMN 2005 tidak akan berakhir begitu sahaja. Panjang juga luahan saya. Semangat seni yang saya pegang dan pendam selama tujuh tahun menulis terluah petang itu.

Bercapal, mencuba untuk menjadi sehabis Melayu - saya berlenggang ke pembesar suara di depan. Seingat saya, tak pernah pula selancar itu bicara saya di hadapan khalayak yang ramai, tanpa apa-apa catatan di tangan. Hanya semangat seni yang menjadi penguat hati, jangan jadi penakut - ya, sebelum menjadi penakut; dengarlah resah jiwa saya. Saya meluahkan tentang luka saya terhadap kelembapan dunia terjemahan di Malaysia. Saya galaskan beban itu kepada pihak DBP dan juga pihak-pihak lain yang sepatutnya. Kerana, apalah yang boleh saya buat selaku anak kecil dalam dunia penulisan.

Kata saya lagi, di pihak saya sebagai penulis kecil, saya akan terus menerbit buku dengan modal sendiri dan menjualnya sendiri. Tak kiralah sama ada tiada sesiapa pun yang mahu menerbitkan karya saya. Nisah kemudiannya keluar dengan penuh sebak, meminta hadirin berdiri menghormati penulis mapan yang ada di depan sebagai pembentang. Antara yang ikut keluar ialah Dahri Zakaria - berbicara soal sastera siber. Nasriah Salam dengan kegiatan sastera di IPT. Beberapa mantan MPR yang lain pun ikut serta memberi hujahan, pandangan serta persoalan.

Saya sebetulnya terlalu berharap untuk melihat sastera Malaysia di tangan anak muda bakal berubah, setelah mendapat sokongan pihak-pihak yang sewajarnya. Yang paling dikenang untuk sesi itu, tentu saja tangisan sebak Tuan Haji Abdul Rahman Yusof selaku Pengarah Jabatan Sastera di DBP KL. Dia menjawab semua soalan dan memberi respons kepada semua luahan para peserta. Moga tangisannya petang itu, tidak hanya tinggal tangisan. Memang terlalu besar saya berharapan.

Pada malam penutup pun, kami makan di luar dewan - sesekali menjenguk ke dalam melihat persembahan. Entah kepiluan apakah yang melanda jiwa saya malam itu. Sayu, pilu menyucuk-nyucuk kalbu. Sebab, ramai juga para peserta yang balik awal. Teman yang datang bersama - Zanazanzaly, Rozais Al-Anamy dan Norzailani Mohd Nuzi juga berangkat pulang pada malam yang sama, "tinggallah aku seorang menjaja ikan bilis" - begitu bunyi sms perpisahan saya kepada mereka kemudiannya. Itulah jenaka kami berempat di PPMN 2005. Maklum saja, sewaktu berangkat ke KL sebelumnya - bas yang kami naiki membawa puluhan plastik berisi ikan bilis yang disimpan di perut bas, yang diangkut dari Rantau Panjang lagi. Bas rosak dicampur dengan waktu yang diambil untuk memunggah ikan bilis tentunya bakal menjadi ingatan lama di kalbu apabila mengenang perkelanaan kami ke PPMN 2005. Itulah jenaka kami berempat yang sampai lambat, 'si penjaja ikan bilis'.

Dahri, Jimadie, Nimoiz TY dan teman-teman dari Gerak Sastera juga pulang pada malam yang sama. Terlebih terluka rasanya kalbu saya. Nasib baik masih ada teman-teman lain yang tinggal untuk merawat kelukaan saya balik keesokannya.

Perjalanan sayu, berangkat pulang ke Kuala Lumpur terasa lambat dan berat. Saya tinggalkan penghujung benua Asia dengan membawa seribu harapan, agar saya mewariskan sesuatu yang berharga buat anak cucu saya di masa depan. Walau jauh di sudut hati, saya seperti terlalu kecewa untuk begitu berharap kepada sesiapa melainkan terus saja menulis dan menerbitnya sendiri dan memasarkan sendiri dengan tubuh peribadi saya yang kecil kerdil ini. Kelukaan itulah, yang akan saya simpan untuk seribu tahun akan datang pun. Kelukaan itulah juga, ya, masih luka yang itu-itu juga.

Sampai di rumah PENA petangnya, bermacam kekalutan melanda. Kami berempat mengambil keputusan balik ke Kelantan malam itu juga. Saya, Anjan Ahzana, Nasriah Salam dan Ziha Jamil. Kami berpacu pulang dengan bas Mutiara dua tingkat, dengan penuh harap - moga perkelanaan ini bakal mengingatkan, inilah jalan perjuangan yang akan kami tempuh sampai bila-bila, selagi kami masih dianugerahkan pena oleh-Nya. Perjalanan pulang penuh keletihan sambil-sambil saya terus-terusan menyimpan angan-angan, aku ingin jadi sasterawan, aku ingin jadi sasterawan. Izinkan Tuhan, kuteruskan perjalanan panjang menjadi seniman, menjadi sasterawan.



Salman Sulaiman
Akidjaya Computer Centre, Machang.
6.12 petang - 19 Jun 2005 / 12 Jamadil Awal 1426H, Ahad yang penuh rahmat.