Jenuh juga berhari raya. Jumaat hari raya kedua, sehabis solat Asar - dua buah kereta sepupu bersama mak saudara dari Kota Bharu menjadi tetamu hari raya. Abang Fakru dan isteri, Mok Teh dan Madiha sebuah kereta sudah ada menjamu selera. Tak berapa lama, Abang Man dan Kak Na bersama Apiq juga tiba. Dengan Apiq, kami dua berpeluk mesra. Sepupu yang seumur sebaya ini begitu istimewa. Maklum saja, kami tak jumpa lama. Dia, baru menyelesaikan dua tahun Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islamnya di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Kira-kira, dicampur segala macam urusan, dia perlu menghabiskan setahun lagi di sana.
Sesudah mereka dua buah kereta berangkat pulang, Ros menjelma dengan sepasang baju raya, kurung biru yang ceria dan sempat menjamah sedikit kuih raya, kemudian tiba pula Kak Yah dan suami sebuah kereta bersama anak kecilnya yang hitam manis bergaya - si Atikah yang riang ria, peramah dan banyak bicara. Aku mengajak Atikah tidur saja di Padang Raja, tapi tak nak pula dia. Gadis kecil enam tahun ini, galak gembira peramah mesra - cerdik dan petah pula berbicara. Kak Yah tidak lama di Padang Raja. Mereka bertiga berangkat pulang beberapa ketika sebelum maghrib tiba.
Sehabis isyak, majlis hari raya di Teratak Seni Padang Raja disambung lagi. Abang Zack tiba, berjalan kaki dari rumahnya yang jauhnya beberapa hasta saja. Dari rumahku ke rumahnya, lempar batu pun kena. Anaknya Adik Ja, kalau berlari dari rumahnya ke rumahku hanya beberapa ketika saja, dekatnya. Hanya sejauh beberapa belas langkah anak kecil seusia Adik Ja. Macam-macam pula topik bicara kami melayannya di hari raya.
Tak lama, tiba pula seekor sang kancil hijau - Mak cik sekeluarga, bersama Pak cik, Kak Ti, Sham, Pi dan Ha yang jadi driver. Lebih panjang dan meriah celoteh cerita kami semua di malam raya. Banyak pula kisah dan cerita yang jadi topik bicara. Dicampur lawak jenaka, sampai juga kepada kisah jodoh yang tak disangka-sangka. Jam sebelas dua puluh malam, mereka pulang dan Teratak Seni kembali lengang.
Hari raya ketiga, lain pula ceritanya. Pagi, tak ke mana-mana. Petangnya, sang kancil yang sama membawa kami ke Pengakalan Datu dekat Kota Bharu. Lenguh juga, bertin sardin di dalam kereta. Lama juga, puas berlunjur bersila. Membuat kunjungan semula ke rumah mak saudara di Kota Bharu sempena Majlis Akikah anak Abang Fakru. Bergulai kambing juga kami di hari raya. Sekali lagi jumpa Atikah yang mesra dan riang ria. Dia pula kuajak pulang ke Machang, lagilah tak nak dia. Jalan sibuk sungguh, sesak bersumbat. Sendat dan lambat. Orang berasak di jalan raya, berhari raya. Sepuluh setengah malam juga, tiba di Padang Raja. Aduh, penatnya.
Hari raya ke empat, Majlis Bercukur Jambul cucu Mak Long pula yang dilaksana oleh Imam Masjid Kuala Baka, Ustaz Wan Lutfi. Ketika rambut si kecil dicukur, selawat bergema - mengalun ke angkasa hari raya, penuh bahagia. Enak juga menjamu selera. Kambing juga yang jadi mangsa.
Kemudiannya, dengan sang kancil yang semalam juga - berangkat jauh ke pinggir sungai Kelantan bersama Kak Ja yang tukang bawa kereta dengan Mak cik, Pak cik dan Sham anak bongsu mereka, aku ikut serta ke rumah Pak Da; bapa saudaraku yang sudah tak berdaya kerana kabur matanya. Sayu hiba rasa, tatkala menatap sakitnya. Rumahnya yang dalam proses pembaikan seperti tak bermakna kepadanya - dengan mata yang kabur dan tak berdaya.
Lama masa yang Pak Da ambil untuk mengecam suaraku, anak saudaranya. Dengan orang lain pun begitulah, dia hanya kenal suara. Orangnya sudah tidak jelas di mata Pak Da. Yang boleh dicam hanya suara. Mujur telinganya masih baik seperti sediakala. Rabu ini, dia akan melakukan pembedahan mata di Hospital Besar Kuala Krai. Sihat hendaknya Pak Da seperti semula, aku akan sama-sama berdoa untuknya. Selepas maghrib juga, baru tiba semula di Padang Raja setelah meredah sesak kenderaan yang agak panjang di Machang. Malam, tak ke mana-mana, kerana penat siang berhari raya masih terasa.
Hari raya ke lima, rutin biasa sebelum Aidilfitri disambung kembali. Ibu dan Adik Su kembali bekerja. Jalan raya kembali sesak semula. Laluan Machang ke Jerteh ikut lebuh raya yang melalui UiTM Machang sibuk juga. Berderet-deret kereta dan macam-macam kenderaan yang mula menyusur keluar meninggalkan daerah Machang. Esok lusa, semuanya akan kembali lengang seperti biasa, seperti sediakala sebelum hari raya. Selamat kembali bekerja untuk semua, selamat kembali berbuat apa saja untuk semua yang sudi membaca catatan saya. Tapi, rasa-rasa masih belum terlambat juga untuk mengucapkan - selamat hari raya.
Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang.
3.49 pagi, hujan menderu di atas kepala.
6 Syawal 1426 H, Selasa yang masih bersisa,
8 November 2005.
Catatan Rehlah Haji 1436H – Siri 3
4 months ago
No comments:
Post a Comment