Wednesday, December 14, 2011

Kita ini penganut Islam yang lembik dan terlalu baik hati!


Apabila orang kata kita lembik tentu kita marah. Silap-silap, orang yang kata itu tak pasal-pasal makan penumbuk, kalau kita ini jenis yang panas baran atau pemarah. Kalau kita ini jenis yang tak panas baran pun, paling-paling tidak akan merah muka dan berdesing lubang telinga juga kalau ada yang kata kita ini lembik. Lembik itu mungkin bahasa yang agak kasar sedikit berbanding ungkapan yang lebih lembut, ‘terlalu baik sangat’. Terlalu baik sangat itu pun dalam erti kata sebenarnya adalah lembik juga. Terlebih baik, atau baik yang melampau-lampau itu pun sebenarnya adalah salah. Terlebih baik itulah yang akan menjadikan kita lembik dan lemah. Apabila dah lembik dan lemah, maka mudahlah kita ditindas dan dipijak-pijak. Dilenyek sesuka hati.

Tapi begitulah hakikatnya apabila bercakap tentang umat Islam di Malaysia yang rata-ratanya Melayu ini. Kita sebenarnya hanya ramai pada bilangannya saja, tapi seperti buih. Banyak, tapi tak ada kualiti. Tak kuat dan tak gagah. Sekali dilambung ombak, buih itu akan pecah berderai dan hancur berkecai. Kita sebenarnya terlalu baik sangat, sampai dah jadi terlebih baik, atau dah sampai ke tahap lembik. Tak bermaya. Lemah semangat. Orang melampau-lampau terhadap bangsa kita pun, kita diam. Kita buat tak endah dan tak ambil pusing. Orang dah hampir pijak-pijak kita pun, kita hanya tengok-tengok dan duduk diam juga. Agama kita dihina-hina pun, kita masih diam tersengih-sengih juga.

Itulah menunjukkan betapa lemah dan lembiknya kita ini. Sudah banyak sebenarnya berlaku di depan mata kita, di dalam negara kita yang bernama Malaysia ini. Yang agama rasminya adalah Islam dan bahasa kebangsaannya adalah bahasa Melayu (BM), bukan bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia tidak tepat. Istilah yang sebenar dan tepat adalah bahasa Melayu. Biarlah PM popularkan 1Malaysia pun, tapi kita janganlah sampai terikut-ikut mengaitkan permasalahan BM dengan 1Malaysia. Kita tak marah PM mempopularkan 1Malaysia tapi 1Malaysia adalah satu hal yang lain dan bahasa Melayu adalah satu perkara yang lain pula. Kerana terikut-ikut dengan perkataan 1Malaysia yang masyhur, maka kita pun tukar bahasa Melayu jadi bahasa Malaysia; jangan. Bahasa Melayu tetap bahasa Melayu. Sampai bila-bila pun bahasa Melayu akan kekal sebagai bahasa Melayu.

Tentang lemahnya kita memperjuangkan bahasa Melayu kita ini, itu satu hal. Hal yang juga tersangat penting, malah lebih penting ialah agama kita yang berbangsa Melayu ini – iaitu Islam. ISLAM – ramai, malah majoriti rakyat Malaysia di kad pengenalannya ditulis kalimah ini, perkataan ini. Tapi, ramai juga yang Islamnya hanya di kad pengenalan itu sajalah. Islamnya hanya pada 5 huruf itu sajalah, tapi tuan punya yang memiliki kad pengenalan itu, tak berapa nak Islam pun. Malah ramai juga yang tak Islam langsung pun, perangai, tingkah laku dan keseluruhan hidupnya – dan yang Islam, cuma kad pengenalannya sajalah.

Kerana lembik dan lemahnya kitalah, orang-orang kafir yang senegara dengan kita ini mudah melenyek-lenyek kita. Dilanyak-lanyaknya agama kita dengan sewenang-wenangnya. Perkara ini sudah banyak dan acap kali pun berlaku dalam negara kita ini, tapi kita ini, dek kerana terlalu baik dan lembik inilah, masih juga tersenyum tersengih macam biasa juga, seperti tak ada apa-apa yang berlaku pada agama dan bangsa kita. Bila orang melampau-lampau terhadap bangsa kita dan pijak-pijak agama kita, kita hanya buat tak tahu saja.

Orang yang begitu banyak membela bangsa Melayu Islam yang lembik dan terlampau baik ini antaranya ialah Prof. Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah. Ramai yang maklum tentang hal ini. Sekian banyak tulisannya sebelum ini yang mendedahkan perangai jahat bangsanya sendiri yang bukan Islam dan membangkitkan semangat bangsa Melayu Islam agar sedar diri dan bertindak berani. Kalau sebelum ini beliau menjadi kolumnis akhbar Mingguan Malaysia, kini beliau menulis pula setiap minggu (pada hari isnin) dalam akhbar Sinar Harian. Kalau dah jemu membaca akhbar pro kerajaan yang asyik mencari kesalahan pembangkang dan jemu membaca akhbar pembangkang yang asyik nak kata yang kerajaan buat semua tak betul, ada baiknya membaca akhbar Sinar Harian, lebih-lebih lagi tulisan Dr. Ridhuan Tee dalam kolumnya ini.

Beliau nampaknya tidak memihak dan membuat teguran seimbang. Kerajaan dan juga pembangkang, kedua-dua belah pihak ditegur oleh pendakwah dan sarjana Islam terkenal ini. Dalam tulisan terbarunya yang berjudul Apabila penzina menghina Islam (Rujuk: Sinar Harian, 12 Disember 2011), Dr. Ridhuan menegaskan tentang pentingnya kita umat Islam bersatu tanpa mengira parti dan idealogi, sama-sama berganding bahu mempertahankan agama Islam yang suci ini daripada dihenyak-henyak oleh puak-puak ultra kiasu termasuklah ultra kiasu yang ada dalam Barisan Nasional.

Dr. Ridhuan membuat teguran terhadap semua pihak termasuklah juga pihak Barisan Nasional sendiri yang ada dalam kerajaan. Kerana puak-puak ini juga ramai dalam Barisan Nasional. Mereka sebenarnya bukan lagi menghina Pas tapi kita kena sedar dan faham bahawa mereka sebenarnya telah menghina Islam, menghina al-Quran, menghina hukum Allah. Antara lain tulis Dr. Ridhuan, “Apakah kita boleh menerima kenyataan seperti pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara akan berhadapan dengan ‘binasa diri’ jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia.”

Tulis beliau lagi dalam perenggan yang lain, “Penzina ini juga berkata, sistem perundangan itu tidak adil kepada semua pihak khususnya ke atas kaum wanita selain mengenakan hukuman-hukuman kejam yang jelas bercanggah dengan konvensyen antarabangsa. Penzina ini juga meramalkan bahawa pasaran saham akan jatuh antara 10 hingga 20 peratus jika hukum hudud digubal dan memberi kesan ke atas kewangan pelabur-pelabur tempatan. Wah! bukan main pandai lagi beliau meramal seperti nujum. Kenapa negara China yang mengamal sistem komunis yang nampak lebih zalim tidak dikritik. Adakah pelabur lari daripada negara China? Apa yang saya tahu, semakin ramai yang melabur di negara komunis itu.” Dengan tegas Dr. Ridhuan meneruskan lagi, “Saya amat hairan kenapa kita sengaja memejamkan mata dengan strategi untuk ‘menghapuskan’ identiti Islam dan Melayu ini.”

Sebagai mengakhiri tulisan ini, elok saya petik sebaris ayat Dr. Ridhuan untuk sama-sama kita renungi dan fikirkan bersama, dengan sungguh-sungguh, “Sampai bila-bila pun ultra kiasu yang berada dalam Pakatan dan Barisan tidak akan menerima Islam, kecuali Umno dan Pas bersatu.”


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
5:59 petang, 14/12/2011.

Wednesday, August 17, 2011

Aku ingin berhenti di platform tak bernombor dalam hatimu

Sudah beratus SMS yang telah kuhantar kepadamu atau mungkin beribu, tapi kau masih tetap juga membisu. Dan sudah beratus juga SMS itu kusimpan dalam buku catatan kerana aku bercita-cita untuk menjadikannya sebahagian daripada kenangan cinta, bolehlah nanti ketika berbulan madu kita mengenang semula bagaimana manisnya saat aku melamarmu. Setiap SMS yang kukirim, aku tidak mahu berbohong – aku sangat ternanti-nanti balasan darimu. Tapi sayangnya kau terlalu sibuk, terlalu sibuk! Perlu kuingatkan di sini, kepada diriku sendiri dan untuk dirimu lebih-lebih lagi – janganlah terlalu mahal menjual diri sampai tak mampu dibeli nanti.

Ramadan tahun sudah, telah tujuh kali istikharahku minta petunjuk dari-Nya, adakah benar kau yang dipilih Dia untuk hidupku yang sementara di dunia dan hidup yang lama di akhirat sana. Setelah istikharah yang kulakukan setiap selepas maghrib selama tujuh malam berturut-turut di bulan ramadan itu, kecenderungan hatiku masih juga kepadamu – masih juga kepadamu. Mana mungkin Tuhanku itu menipu. Aku sebenarnya masih menanti kebenaran dari Tuhan setelah keputusan istikharahku tetap juga kau seorang. Kebenaran, bahawa – hatimu akan tetap terbuka juga untukku.

Aku sedar, keputusanku untuk menunggu cintamu adalah keputusan yang paling berisiko tinggi yang pernah kubuat dalam hidupku ini. Yang mahu kujolok adalah bulan di langit, bukan rimbunan rambutan atau setandan kelapa. Mana mungkin aku akan berhasil mendapatkannya? Tapi aku yang tetap berkeras kepala mahu menjoloknya juga, maka sekarang inilah akibatnya – hatiku juga yang akhirnya teruk terluka.

Teringat prinsip kentalmu yang masih juga seperti dulu dan sayangku pun sebenarnya makin bertambah kerana itu – kau tidak pernah berkata mahu jika kuajak berdua ke kedai makan walaupun di sekeliling kita dipenuhi orang, kau lebih selesa berbual di kaki lima bangunan dekat orang lalu-lalang kerana kau terlalu takut timbul fitnah yang bermacam-macam. Syabas!, atas kekentalan prinsipmu sebagai seorang perempuan dan kerana keteguhan iman sebagai seorang Islam.

Izinkanlah aku berhenti di platform tak bernombor dalam hatimu. Izinkanlah aku terus berdiam lama di platform tak bernombor dalam hatimu itu. Aku tahu, sesiapa saja mahu berhenti di situ kerana ianya tidak bernombor dan juga tidak berpintu. Platform yang tak bernombor dalam hatimu itu terlalu manis dan indah bagiku. Aku sebenarnya sangat bahagia jika diizinkan menghuni di situ sampailah ke akhir hayatku. Dan yang telah sekian lama kutunggu hanyalah keizinanmu.

Aku sebenarnya sedang berusaha mengumpul wang untuk pernikahan kita – menjual buku, menulis untuk pelbagai majalah dan surat khabar, mengusahakan tanaman tembikai dan mengambil tempahan menyiapkan sajak serta teks muhasabah diri atas permintaan kawan-kawan. Menjadi pengacara majlis, mendeklamasikan sajak, mengajar anak-anak tentang seni dan sastera, berceramah dan membentangkan kertas kerja. Dan aku dibayar untuk semua itu. Ini semua kulakukan untuk mengumpulkan wang buat perkahwinan kita yang entah bila, yang entah jadi entahkan tidak sebenarnya – buat membahagiakan dirimu seadanya. Segala macam kerja yang mampu kubuat dengan kederat kerdilku ini, kulakukan. Segala yang boleh memberikan wang kulakukan berbekalkan sedikit kepandaian yang dianugerahkan Tuhan.

Aku bercita-cita mahu membelimu dengan mas kahwin tujuh ribu, walaupun barangkali ramai yang akan beranggapan aku mungkin tidak mampu. Tentu ramai yang bakal berkata, seorang penulis sepenuh masa sepertiku mana mungkin menyediakan wang hantaran untukmu sebanyak itu. Sejak dulu aku memang tidak pernah percaya dengan kata-kata manusia. Kerana yang aku percaya tetap juga seperkara, bahawa setiap rezeki kita makhluk yang bernyawa adalah di tangan-Nya. Dan Dia jugalah yang menetapkan rezeki hamba-Nya. Yang paling utama, kita mesti berusaha – pasti akan diberi-Nya. Nanti, sesudah berumah tangga kita akan menyewa di mana-mana dan aku boleh terus melakukan kerjaku tanpa diganggu – menulis dan membaca buku. Dan kau buatlah kerjamu itu seperti selalu.

Aku mengaku, aku tidak terdaya untuk menjadi seperti Imam al-Nawawi yang membujang sampai ke mati – hidup seorang diri tanpa isteri, hanya duduk menulis dan mengkaji. Aku memerlukan seorang isteri di sisi untuk menguatkan semangat diri bagi meneruskan perjuangan yang sukar ini. Aku telah kehilangan Salmi Rozie, aku telah kehilangan Siti Wan Mariani dan aku tidak mahu, aku juga bakal kehilanganmu nanti – yang tinggal kini hanyalah sebatang tubuh diriku sendiri. Dan yang ada sekarang, memang benar-benar dirimu seorang. Aku sangat takut sebenarnya, terlalu takut bahawa aku juga akan kehilanganmu kerana kini tiada lagi sunti yang akan mengubat sunyi dalam hati ini. Kalaulah kau juga gagal kujadikan isteri, entah siapalah yang akan mengisi kekosongan hidupku ini. Siapalah yang akan mengubat kerinduan hatiku ini. Sebagai lelaki aku sebenarnya sudah terlalu letih mencari. Aku sudah terlalu sengsara mengharapkan cinta manusia. Aku sebetulnya sudah berkali-kali kecewa.

Aku membaca buku Irfan Khairi, Nota Jutawan Nota Motivasi hampir setiap hari dan sangat meminati rancangan Bijak Wang di TV3. Menjejaki Jutawan Senyap oleh Chef Li juga sudah kubaca iaitu ketika aku masih di kampus lagi. Aku juga berkali-kali membaca Pelita Jutawan oleh Azizi Ali. Selain Nota Jutawan Nota Motivasi yang sangat menginspirasi, buku Ke Mana Wang Anda? hasil tulisan Hajah Rohani Datuk Haji Mohd Shahir juga menjadi buku yang berkali-kali kutekuni akhir-akhir ini dan terlalu banyak yang dapat aku pelajari daripada buku yang begitu bagus ini. Aku belajar tentang ilmu pengurusan kewangan, tentang bagaimana mengawal pendapatan – ilmu yang tidak diajarkan di sekolah atau di pusat pengajian tinggi dalam negara ini. Aku memperhalusi semua ini demi untuk memperkukuh ekonomi peribadi buat melamarmu nanti.

Aku membaca semua jenis buku, di MPH Mid Valley atau di PDM DBP Kota Bharu. Sampaikan komik Mat Som karya Lat pun kubaca dan aku sempat menghabiskannya tatkala lebih sejam tersengguk terhangguk di MPH, Mid Valley itu. Tauqul Hamamah oleh Imam Ibn Hazm al-Andalusi juga sedang kutekuni buat mengubat hati yang sudah entah berapa kali dikecewakan sunti. Aku sebetulnya mengembara seorang diri dan janganlah kau khuatiri – aku, laki-laki.
Apalah nasib diriku ini, terlalu sukar mencari hatta seorang sunti untuk dibuat isteri. Sudah bertahun-tahun sebenarnya aku tidak pernah putus-putus bertanya diri sendiri, siapakah yang akan Tuhan beri buat diriku ini untuk dijadikan isteri? Dan sudah bertahun-tahun juga sebenarnya aku mencari. Aku memang tidak pernah berhenti mencari, dari teduhan kampus di universiti hinggalah ke saat ini. Malah, ketika masih di bangku sekolah lagi. Dan kini, cintamu seorang sajalah yang kunanti walaupun kau sebenarnya sudah memberi kata putus bahawa hatimu masih juga tertutup untuk lelaki.

Bila sudah tiba masanya hatimu terbuka dan kau masih belum punya sesiapa, maka carilah aku di Pantai Tanjung Nipah ini, di atas buaian – dekat Masjid Tanjung Nipah. Tolong datang seorang diri. Aku memang masih setia menunggumu seperti selalu di pantai yang penuh kenangan ini. Tidak kisahlah hatimu terbuka dua atau tiga tahun lagi pun, aku masih tetap juga di sini – seorang diri bermain buaian di Pantai Tanjung Nipah ini. Aku ke mari dengan motosikal cabukku, bersama ibu atau kadang-kadang seorang diri – ke pantai yang sunyi dan sepi ini. Aku bahagia di sini – melihat deburan ombak, memerhati pantai yang memanjang yang penghujungnya entah di mana, mendengar deru angin dan kicau burung, melihat anak-anak bermain pasir, merenung kelibat nelayan yang menahan ikan atau udang serta melihat laut luas yang tak berpenghujung. Aku juga tidak pernah lupa mencari-cari kelibat si kecil Siti yang sangat berani – dia mahu mandi dan bermain ombak seperti orang dewasa. Dia hanya mahu berlari ke tengah laut tanpa mengira dirinya adalah seorang anak yang baru beberapa tahun cuma. Aku akan asyik pula mendengar neneknya bercerita tentang kenakalan cucunya yang bernama Siti ini.

Di Pantai Tanjung Nipah ini, aku akan asyik mengarang cerpen atau menulis puisi di telefon bimbit. Barangkali orang akan menyangka aku sedang menaip SMS yang panjang lebar kepada sesiapa, padahal mereka tidak pernah tahu aku sebenarnya sedang menyiapkan cerpen atau menyudahkan puisi. Dan sudah berapa banyak puisi yang telah kusiapkan dalam telefon bimbitku ini, puisi untukmu lebih-lebih lagi. Bersunyi-sunyi di sini mengembalikan aku jauh ke dalam kenangan – aku kembali teringatkan Teluk Ketapang. Sebuah pantai jauh di Kuala Terengganu yang pernah kuhuni lebih seminggu. Aku kembali teringatkan Kak Rosmani dan Abang Zahari. Aku kembali teringatkan Along, Angah, Firdaus, Aiman dan Ali. Kenangan bersama mereka begitu manis sekali dan sangat membekas di hati. Sekarang, yang tinggal untuk diriku hanyalah Pantai Tanjung Nipah yang sunyi dan sepi ini. Hampir setiap petang jumaat aku akan membawa diri ke sini. Bersendirian di sini memberikan aku sejuta ketenangan. Dan inilah satu-satunya cara yang dapat kulakukan buat mengubat kelukaan hati ini kerana aku sudah tak punya siapa-siapa lagi selain diriku sendiri.

Jangan cari aku di Facebook kerana aku belum sempat mendaftar di sana. Walaupun aku tahu ia sudah menjadi kegilaan begitu ramai manusia moden hari ini. Sampai kurasakan seperti hampir setiap orang yang menggunakan perkhidmatan internet itu mempunyai akaun Facebook. Aku bukannya suka sangat terlalu menjual diri hinggakan begitu dikenali. Aku lebih senang begini, seadanya diriku ini – aku lebih suka berjalan kaki dan naik bas pergi rata-riti atau terkadang-kadang menahan teksi, bersesak-sesak dalam komuter atau LRT, dan pernah juga aku merasa betapa seksanya duduk berhimpit atas beca roda tiga. Aku lebih senang tidak dikenali. Aku sangat bahagia sekali jika lebih ramai yang tidak mengetahui bahawa aku ini lulusan universiti. Biarlah aku dikenali hanya sebagai seorang anak petani yang mengerjakan sawah padi. Kerana aku memang dibesarkan dengan percik susu di kebun getah dan hanyir selut lumpur di tengah sawah. Aku bukan anak nelayan, jauh sekali jutawan.

Aku berkeyakinan sekali tentu benar jawapan Tuhan selepas istikharahku yang genap tujuh kali seperti yang pernah kulakukan dulu, maka aku akan tetap menantimu dan menunggu saat-saat indah menghuni di platform yang tak bernombor itu. Akan sampai waktu hatimu akan terbuka juga untukku. Aku tetap akan percaya itu dan tidak pernah putus-putus doaku dari waktu ke waktu sehinggalah hatimu benar-benar terbuka untukku, “Ya Allah ya Tuhanku, kurniakanlah kepadaku isteri dan anak-anak yang menyejukkan mata hatiku dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang mahu bertaqwa.”


[Cerpen ini telah disiarkan dalam akhbar Mingguan Wasilah edisi 25 - 31 Oktober 2009]

Wednesday, August 10, 2011

Ketika Menunggu Berbuka


Menunggu berbuka di tengah syahdu ramadan
yang masih separuh berbaki
tiba-tiba kita kembali rindukan
saat berbagi juadah sebelum azan.

Berpayung dalam basah hujan
sesudah tersenyum menghantar makanan
manisnya kenangan untuk kita simpan sebagai ingatan.

–SALMAN SULAIMAN
Kampung Sungai Hala,
Machang, Kelantan.
7 September 2009
[KKAM Machang,
4:37 petang, 10/8/2011]

Saturday, April 30, 2011

Bengkel Penulisan Kreatif untuk Penulis Muda



Hari Kedua & Terakhir [30 April 2011, sabtu]



Hari kedua Bengkel Penulisan Kreatif untuk Penulis Muda anjuran DBP WT dengan kerjasama PPK diisi dengan sesi terakhir bersama penyair Rahimidin Zahari yang menceritakan proses kreatif beliau sebagai penulis muda yang sudah menempa nama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Banyak karyanya dilancarkan di peringkat antarabangsa dalam bahasa asing. Dan beliau memberitahu ada tujuh bukunya yang bakal diterbitkan, insya-Allah.



11:05 pagi, selesai bicara Saudara Rahimidin Zahari yang menceburkan diri dalam hampir semua bidang seni termasuk menulis sajak hinggalah menulis esei seni lukis sampailah menjadi dalang wayang kulit. Pengalaman meluaskan cakerawala fikirnya. Pembacaannya yang meliputi karya sasterawan Malaysia hingga kepada karya-karya penyair dunia menjaadikannya seorang penulis yang luas ilmunya. Katanya buku-buku miliknya sudah mencecah nilai RM300,000. Jujur dan penuh rendah diri beliau memberitahu ke mana pun dirinya mengembara, dia tetap akan pulang ke tanah asalnya - ke daerah tradisinya sebagai anak Melayu. Tanah Kelantan akan tetap terus di hatinya.



Dan itulah Rahimidin Zahari.





Salman Sulaiman

Hotel Rebana, KB.

11:12 pagi, sabtu.

Saturday, April 09, 2011

BENGKEL PENULISAN KREATIF UNTUK PENULIS MUDA NEGERI KELANTAN





BENGKEL PENULISAN KREATIF UNTUK PENULIS MUDA NEGERI KELANTAN

Anjuran : Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur
Dengan kerjasama : Persatuan Penulis Kelantan (PPK)

Masa:

9 pagi, 29 April - 12 tengah hari, 30 April 2011 (Jumaat dan Sabtu).

Tempat:

Hotel Rebana, Lot 1561, Padang Bongor Batu 2, Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Syarat Penyertaan Peserta :

1. Berumur tidak lebih dari 25 tahun.
2. Mempunyai minat dan kebolehan untuk menulis karya kreatif.
3. Sekurang-kurangnya telah mempunyai satu (1) karya yang telah diterbitkan dalam mana-mana media cetak.

Yuran Penyertaan :

Yuran penyertaan bengkel adalah sebanyak RM 50.00 seorang untuk pakej penginapan dua hari satu malam (termasuk makan dan minum)
* Bilik penginapan disediakan untuk dua orang setiap bilik

Penceramah dan Fasilitator:

Antara pembimbing bengkel termasuklah Salman Sulaiman dan Abdul Hadi Yusoff serta beberapa orang penulis Kelantan yang lain.

Untuk keterangan lanjut dan pendaftaran bengkel ini sila hubungi :
Encik Sharrul Rizal Hashim di talian 09-7414906 atau e-mel : sharrul@dbp.gov.my

-tempat adalah terhad-

Sumber: Facebook DBP Wilayah Timur, Kota Bharu.






Thursday, February 10, 2011

Wawancara dengan al-Ahkam.net

video

Sebagai pembuka bicara 2011, hayatilah wawancara Salman Sulaiman oleh wakil al-Ahkam.net, Saudara Hafiz yang diadakan pada penghujung Disember 2010 lalu. Saya sudah letih menulis, sekali sekala izinkan saya bercakap pula. Moga bicara sejam ini bakal bermanfaat buat semua yang sudi mendengar - mula menulis, pengalaman, buku-buku yang dibaca, hadiah, karya tulis, perancangan penulisan dan saranan. Selamat berfikir dan merenungkan!