Wednesday, December 10, 2008

Banjir di Teratak Seni

video

[Ini merupakan rakaman banjir di hadapan Teratak Seni pada 29 November (Sabtu) lalu]

Monday, November 17, 2008

Kalau dengar Tam Spider ni, memang kantoi aku ni

video

"Ustaz, saya pinjamkan rakaman ini ya, yang nampaknya sudah menjadi kepunyaan sekian ramai peminat Ustaz. Sehingga hari ini, sudah 143 704 orang yang menontonnya termasuk saya."

Sekali-sekala, hilangkanlah tension anda seketika dengan lagu ini. Lagu yang paling saya suka sehari dua ini, dendangan Ustaz Akil Hayy - melodinya ialah adaptasi daripada sebuah lagu popular yang pernah menjadi siulan anak muda. Mat rempit pun nampaknya semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini. Nak kena sumpit juga si mat rempit ini nampaknya.

Salman Sulaiman
Akidjaya, Machang.
5.56 petang, 17 Nov. 2008 (Isnin).

Saturday, October 04, 2008

Allah!

video

[Salman Sulaiman mendeklamasikan puisi ‘Allah!’ pada majlis Temu Puisi Aidilfitri 2008 anjuran Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) & Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Kelantan di Gelanggang Seni, Kota Bharu pada 3 Oktober 2008 bersamaan 3 Syawal 1429 H. Majlis bermula sekitar jam 9 malam.]

“...dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

(Surah At-Talaq: Ayat 2 & 3)

Allah, Allah, Allah, Allah ya Allah, Allah ya Allah...

ALLAH!


Menjejak tahun dua puluh lapan ini
benar, kuakui dan aku yakini Rabbi
sudah terlalu banyak yang Kau beri
sejuta nikmat-Mu kusyukuri
cukuplah aku menjadi
diriku yang ini.

Allah!


– Salman Sulaiman
Sudara Beach Resort,
Bachok, Kelantan.
(Mingguan Malaysia, 1 Jun 2008)

Akidjaya, Machang.
4.56 petang, 4 Syawal 1429 H.

Wednesday, September 17, 2008

"...bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran..."

video

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah."

– Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang terkutuk dan direjam –

– Dengan nama Allah, Yan g Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani –

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih daripada yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.

Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benag hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukum-Nya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.”

(Surah Al-Baqarah: Ayat 183 – 187)

Ramadan yang mulia dan terlalu menyentuh hati ini, cukuplah kiranya saya tinggalkan anda semua dengan kalimah agung dari kitab Allah yang mulia yang disampaikan oleh qari terbaik dunia abad ke-20 - Syeikh Mustafa Ismael Al-Mursi. Saya terlalu berharap moga-moga Allah meredai saya dengan kebesaran rahmat-Nya di dunia dan di akhirat, juga meredai anda semua juga.

Salman Sulaiman
Akidjaya, Machang.
5.59 petang, 17 Ramadan 1429 H.

Sunday, September 14, 2008

Doa Istikharah


Jabir r.a berkata: Rasulullah s.a.w mengajari kami solat istikharah dalam memutuskan segala sesuatu sebagaimana Baginda mengajari kami al-Quran. Baginda bersabda: Apabila seorang di antara kamu berencana mengerjakan sesuatu hendaklah melakukan solat dua rakaat bukan solat fardu. Kemudian membaca doa ini:

Allaahhummainnii astakhiirukabi‘ilmik, wa-astaqdirukabiqudrotik, wa-as-alukamin fadlikal-azim, fa-innakataqdiruwala-aqdir, wata’lamuwala-a’lam, wa-anta‘allaamulghuyuub. Allaahhuma inkuntata’lamu-annahazal-amr – (watusammiihibi-ismih) – khoirollii fii dii nii wama‘aa-shii wa-‘aaqibati-amrii, wa-‘aajilihiwa-aajilih. Faqdurhulii wayassirhulii, summabaa-rikliifiih, wa-inkuntata’lamu-annahu-sharrullii fii dii nii wama-‘aa-shii wa-‘aaqibati-amrii, wa-‘aajilihi-wa-aajilih, fasrifhu-‘annii fasrifnii-anh waqdurliyalkhoiro hai-sukaana-summaroddinii-bih.

Maksudnya: (Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pilihan yang tepat kepada-Mu dengan ilmu-Mu, aku memohon kekuatan kepada-Mu dengan kemahakuasaan-Mu, aku memohon kurnia-Mu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa sementara aku tidak kuasa. Engkau Maha Mengetahui, sedang aku tidak mengetahui dan Engkaulah yang Maha Mengetahui perkara ghaib. Ya Allah, apabila Engkau mengetahui bahawa perkara ini – (dan menyebutkan perkaranya) – baik bagiku, bagi agamaku, bagi hidupku dan baik akibatnya terhadap diriku di dunia maupun akhirat, maka tetapkanlah dan mudahkanlah bagiku. Dan berikanlah barokah untukku di dalamnya. Dan sesungguhnya jika Engkau tahu bahawa perkara ini buruk bagiku, bagi agamaku, bagi hidupku dan buruk akibatnya terhadap diriku di dunia maupun di akhirat, maka jauhkanlah perkara ini dariku dan jauhkan diriku darinya. Tetapkanlah kebaikan untukku di mana saja aku berada, kemudian jadikanlah diriku reda menerimanya.)

(Hadis sahih, riwayat Imam Al-Bukhari)

(Sumber: Kumpulan Do’a dan Dzikir Nabawi [Kalimut Toyyib] karangan Syeikhul Islam Imam Ibn Taimiyyah [Tahqiq (analisa): Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani], halaman 119 – 121, Jakarta: Dar El-Hujjah, 2001)



Salman Sulaiman
Padang Raja, Machang.
11.52 malam, 14 Ramadan 1429 H.

Sunday, September 07, 2008

Sebuah Deklamasi Terbalik di Tepi Pantai yang Cantik

video

Beberapa bulan yang lalu, ketika mengasuh anak-anak sastera di Sudara Beach Resort, Bachok saya sempat mendeklamasikan puisi ini buat mereka di tepi pantai Telong yang cantik. Seorang anak peserta turut membawa himpunan tulisannya bersama-sama, kebetulan saya menemukan puisi Marsum Ralat Daripada Al-Aziz karangan Nasriah Abdul Salam yang turut disiarkan bersama puisi anak tadi. Saya kira puisi itu sesuai untuk saya deklamasikan kepada anak-anak kumpulan saya yang sembilan orang itu, kerana Marsum Ralat Daripada Al-Aziz adalah adaptasi daripada kisah Nabi Yusuf a.s. yang termaktub di dalam al-Quran dijadikan sebuah puisi. Ada kemungkinan puisi ini bakal tersangkut untuk Hadiah Sastera Kumpulan Utusan tahun depan. Saya sekadar meneka.

Tapi sayang, kedua-dua anak yang merakam deklamasi saya merakam secara terbalik. Maka yang terbalik itulah saja yang tinggal buat anda. Tapi, saya kira yang terbalik itu pun boleh menjadi sejenis seni juga barangkali. Apa pun, hayatilah - sebuah deklamasi terbalik di tepi pantai yang cantik.

Salman Sulaiman, Akidjaya, Machang, 2.02 petang, 7 Ramadan 1429 H.

Sunday, August 31, 2008

Selamat hari merdeka & salam ramadan!


"Kalaulah sebutir peluru yang memamah tubuh Tok Janggut sembilan puluh tiga tahun yang lalu di Kampung Dalam Pupoh dulu tidak dapat melukakan tubuh pendekar Melayu itu, mungkin catatan sejarah tidaklah begitu berdarah. Namun, rohnya seperti masih berlegar di tanah Serambi Mekah melaungkan kalimah Allah. Selamat menyambut hari merdeka!"

"Moga-moga malaikat pencatat amal berkepak ke langit dengan gugusan pahala kita semua ramadan ini. Selamat berpuasa dan selamat menjalani ibadah di bulan mulia!"

Hari ini 31 Ogos, tiba-tiba mengingatkan saya kepada sejarah berdarah bumi Serambi Mekah 93 tahun yang lampau. Notis ini tentunya akan menyegarkan kembali ingatan kita semua kepada sejarah luka yang sudah berlalu hampir seratus tahun itu:

Perwawai Notis

Bahawasanya adalah pada 12 haribulan Mei Duli Yang Maha Mulia Sultan telah titah hendaklah orang yang tersebut namanya di bawah ini menyerahkan dirinya di dalam masa 7 hari lamanya supaya boleh ia menjawab tentang perkara-perkara yang telah dituduh di atasnya.
Shahdan adapun mereka itu telah enggan daripada menyerahkan dirinya serta tiada memberi jawab di atas perdakwaan yang dituduh di atasnya.
Waba’dahu oleh hal yang demikian pada masa sekarang ini titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan memberi ketahui syarat-syarat adapun Duli Yang Maha Mulia itu akan kurniakan hadiah sebanyak $500 kepada siapa-siapa yang dapat membawa serahkan kepada mana-mana pegawai kerajaan mana-mana seorang daripada mereka yang tersebut di bawah ini walaupun mati atau hidup:–


Ungku Besar tempat duduknya Jeram.

Haji Hassan Tok Janggut tempat duduknya Nering.

Penghulu Adam tempat duduknya Kelubi.

Haji Said tempat duduknya Cherang Tuli.

Che Sohok tempat duduknya Nering.


Termaktub di Balai Besar kepada 20 haribulan Mei 1915.

[Sumber: Tok Janggut: Pejuang atau Penderhaka? oleh Nik Anuar Nik Mahmud, hal. 42, Selangor: Hazco Print, 2005]

* Notis ini ada dalam simpanan Arkib Negara Malaysia.

** Naskhah asal notis ini ditulis dengan menggunakan tulisan jawi lama.

*** Perwawai menurut Kamus Dewan bermaksud ‘pemberitahuan (dengan melaung), pengumuman’.



Salman Sulaiman
Padang Raja, Machang.
9.33 pagi, 29 Syaaban 1429 H.
31 Ogos 2008, Ahad.

Tuesday, August 26, 2008

Permatang Pauh dan sebuah puisi pilihanraya


Keputusan Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh (P44)

PKR menang dengan majoriti 15, 671 undi.

PKR : 31, 195 undi.

BN : 15, 524 undi.

AKIM : 92 undi.

Jumlah keluar mengundi : 81 %.


******

Ketika semua orang bercakap tentang pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh, saya menemui puisi sahabat saya ini yang saya baca berkali-kali. Saya kira elok sekali untuk kita sama-sama tatapi dan hayati. Sangat sesuai saya kira puisi ini dalam waktu dan keadaan sekarang. Dan sesudah menghayati, fikir-fikirkanlah sendiri...

Untukmu Yi dan Ren

Api pilihanraya yang marak setiap lima tahun
dan sesekali dalam tempoh itu kala Izrael lalu
di DUN dan parlimen, padamkan sebentar.
Kita bukan Majusi.

Aku doa agar kasihku Yi dan Ren sejahtera
dalam gelut bunuhmati pemuda dan puteri.
Bunuh Yi bunuh diri. Bunuh Ren bunuh sukma
diri.

Satulah dalam deen, dalam Yi, dalam Ren. Kini
masa merenung dan mengawas. Jangan sampai
pisau politik terkerat jari sendiri! Belajar jadi
Habil, jadi Qabil! Kalau terbunuh, pandai-pandailah
kambus sendiri. Kita bukan gagak Majusi.
Darah kita tidak hijau, tidak biru.
Darah kita putih dari susu Hawa.

(Nota: Yi bermaksud kemanusiaan dan Ren bermaksud kesaksamaan dalam bahasa Cina. Manifestasi ini terilham dari teks klasik falsafah Cina, Meng Zi yang menekankan konsep kemanusiaan dan kesaksamaan sebagai konsep yang berjalan seiring dalam kehidupan.)

Jimadie Shah Othman

[Sumber (dengan izin Jimadie Shah Othman): Antologi Jalan Esfahan, 50100 Kuala Lumpur, hal. 38, karya bersama Jimadie Shah Othman, Wan Azman Wan Mamat & Hany FF, PERWARIS, 2003]



Salman Sulaiman
Padang Raja, Machang.
11.46 malam, 26 Ogos 2008.

Sunday, August 24, 2008

Jika berkeinginan dan berkesempatan, silakanlah membaca...


Tulisan saya untuk Ogos ini setakat ini:

1 – Puisi Kubentangkan Padamu Selembar Sejarah dalam Al-Fikrah, bil. 11, edisi Julai – September 2008.

2 – Puisi Nuh, Bersiap Sedialah dengan Perahu Besarmu Itu! dalam ruangan ‘Puisi bulan ini’ majalah Dewan Sastera, Ogos 2008.

3 – Rencana agama Akidah Islam benteng khurafat dalam Siasah, bil. 0109, edisi 3 – 9 Ogos 2008.

4 – Rencana politik Menilai pemimpin ketika rakyat disuruh berjimat dalam Siasah, bil. 0110, edisi 10 – 16 Ogos 2008.

5 – Rencana sastera Menggempur sastera dengan al-Quran dalam Siasah, bil. 0111, edisi 17 – 23 Ogos 2008.

6 – Rencana seni dan budaya Keruntuhan akhlak artis dan iklan negatif dalam Siasah, bil. 0112, edisi 24 – 30 Ogos 2008.



Salman Sulaiman
Padang Raja, Machang.
10.51 pagi, 24 Ogos 2008.

Tuesday, July 22, 2008

DISKUSI NOVEL & KUMPULAN PUISI MANTAN MPR, 2008


Dengan sukacita memaklumkan, Alumni Minggu Penulis Remaja akan mengadakan satu majlis Diskusi Novel dan Kumpulan Puisi Mantan Minggu Penulis Remaja, 2008. Anda dipelawa menghadiri majlis tersebut untuk memeriahkan lagi satu majlis wacana ilmiah dan sastera Melayu. Butirannya seperti berikut;

TARIKH: 2 OGOS 2008

HARI : SABTU

WAKTU : 8 PAGI

TEMPAT: DEWAN BAHASA & PUSTAKA, KUALA LUMPUR

MASUK: PERCUMA

BUKU YANG AKAN DIBICARAKAN:

SESI PERTAMA (NOVEL)

- MANIKAM KALBU (Faisal Tehrani), akan dibicarakan oleh En. Saleeh Rahamad.

- PUISI UNTUK ESDYZUAR (Nisah Hj. Haron), akan dibicarakan oleh Prof. Madya Dr. Faridah Jalil, UKM.

- SALJU SAKINAH (Zaid Akhtar), akan dibicarakan oleh Dr. Rahmah Ahmad H. Osman, UIAM.

(Dipengerusikan oleh Khairul Nizam Abd. Raub)


SESI KEDUA (KUMPULAN PUISI)

- TAMAN PERCAKAPAN (Shamsuddin Othman), akan dibicarakan oleh Prof. Arbak Othman, UPM.

- MENGGELEDAH NURANI (Fahd Razy), akan dibicarakan oleh En. Naapie Mat.

- SULUK CINTA (Ridzuan Harun), akan dibicarakan oleh En. SM Zakir.

(Dipengerusikan oleh Salman Sulaiman)

Kedatangan anda kami alu-alukan dan inilah masanya untuk anda (warga pembaca dan pemerhati sastera) bertemu dengan penulis-penulisnya sendiri. Jumpa di DBP, nanti!

NOTA: Pihak urus setia meminta warga mantan Minggu Penulis Remaja hadir beramai-ramai ke majlis ini. Untuk mantan wanita, pihak urus setia meminta agar anda mengenakan pakaian berwarna merah jambu, serta mantan lelaki mengenakan pakaian berwarna perang/coklat. (Moga mantan-mantan sporting dengan urus setia, ya!)


Sumber: www.minggupenulisremaja.blogspot.com.

*Pada sebelah malam (2 Ogos 2008), Salman Sulaiman akan mendeklamasikan puisi bersama teman-teman Sindiket Soljah di Rumah PENA, Kuala Lumpur berdekatan DBP KL.

Wednesday, June 18, 2008

Kalau orang perempuan nak marah pun, marahlah


Saya akan selalu kata dan saya akan terus kata bahawa; pada saya – orang perempuan yang cantik tapi perangainya hodoh dia sebenarnya adalah lebih hodoh daripada orang perempuan yang hodoh. Begitulah sebaliknya, orang perempuan yang tidak cantik paras rupanya tapi cantik perangai dan akhlaknya sebenarnya akan lebih cantik daripada orang perempuan yang cantik.

Ianya terbukti berkali-kali ke atas diri saya. Dan memang dibuktikan oleh pengalaman yang turut dilalui oleh orang lain juga. Saya kisahkan sedikit dari pengalaman yang membuktikan hakikat yang saya katakan ini. Seorang petugas di kaunter sebuah bank yang pada mulanya saya lihat berperwatakan cantik – tapi kebengisannya dan sikapnya yang mudah marah-marah itu meluputkan terus seluruh rupa parasnya yang cantik itu. Kini, di mata saya dia memang sudah tidak cantik lagi.

Berbicara tentang orang perempuan mengingatkan saya tentang sebuah catatan saya yang lalu bila saya katakan saya kecewa kerana payah nak lihat orang perempuan Kelantan berbaju kurung sekarang. Tiba-tiba ada pula orang perempuan yang sedikit melenting dengan catatan saya itu. Katanya, orang lelaki yang pakai baju Melayu pun payah juga nak cari sekarang.

Begini, biar saya jelaskan di sini. Maksud sebenar saya dengan luahan dan catatan itu ialah bukannya baju kurung atau baju Melayu tetapi tentang insan Islam yang menutup aurat – orang perempuan yang menutup aurat maksud saya. Kerana yang saya lihat dan selalu lihat adalah yang berbaju ketat dan berseluar ketat – tidak menutup aurat. Kalau awak tu menutup aurat, tak payahlah nak melenting tak tentu pasal. Itu sebenarnya maksud asal saya. Itu sebetulnya.

Baju kurung yang dipakai orang perempuan itukan sopan dan menutup aurat. Berbaju kurung itu maksud saya adalah menutup aurat. Kalau dia menelaah betul-betul catatan saya itu, dia pasti akan faham maksud sebenar saya. Ianya bukan tentang baju kurung itu sangat tetapi lebih kepada hal menutup aurat. Kalau dia menelaahnya dengan teliti, pasti dia akan faham.

Perempuan yang mempunyai rupa paras yang cantik tapi berperangai hodoh sebenarnya adalah lebih hodoh daripada orang perempuan yang hodoh. Inilah yang saya selalu kata dan akan selalu saya kata. Tak kisahlah, kalau orang perempuan nak marah pun, marahlah.


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
7.29 malam, 18 Jun 2008.
Rabu, 14 Jamadilakhir 1429H.

Wednesday, June 11, 2008

Dari Melaka dengan cinta


Ini sebetulnya sebuah catatan lama, yang tidak disiarkan oleh sebuah penerbitan. Maka saya siarkannya di sini. Saya kira kalian masih tetap sudi membacanya:

Saya tiba di lobi Seri Warisan Resort, Ayer Keroh, Melaka kira-kira jam sebelas lebih pagi ahad itu, 2 Disember 2007 – seorang diri. Lima kali berkenderaan juga untuk sampai ke sana. Berkereta dari rumah ke Machang. Bas dari Machang ke Hentian Putra, KL. Naik LRT pula di stesen PWTC untuk ke Hentian Puduraya, turun di Plaza Rakyat sebelah Hentian Puduraya. Ambil bas di Hentian Puduraya ke Melaka. Tiba di Melaka Sentral, mencari bas terakhir untuk ke Ayer Keroh dengan tambang RM1.50 dan turun di jalan masuk ke Seri Warisan Resort. Di Seri Warisan Resort, ada teman peserta yang memberitahu jika naik bas transnasional dari KL, boleh terus turun di Seri Warisan Resort. Manalah saya tahu, kerana memang sebelum ini saya tidak pernah sampai ke resort di pinggir bukit ini.

Saya ditempatkan di chalet nombor 309 bersama penyair Leo AWS dan Wan A Rafar yang terletak paling hujung di atas bukit. Chalet dengan 2 bilik yang boleh memuatkan 4 orang penghuni ini juga tersedia dengan – ruang dapur, ruang tamu & sebuah televisyen saiz sederhana, bilik mandi & tandas, serambi luar atau balkoni di bahagian dapur (sesuai untuk ruang penyair berkarya saya kira), ruang letak kereta di halaman dan satu set meja & kerusi batu di luar rumah di bahagian belakang di atas rumput yang sangat elok untuk sesi santai atau minum teh di waktu petang.

Seorang lagi teman penyair dari Persatuan Penulis Kelantan (PPK) yang ikut serta dalam program ini iaitu Ketua Satu PPK sendiri, penyair M Husdaini Mamat tidak ditempatkan bersama kami di chalet 309. Beliau menginap dengan peserta yang lain. Petang ahad itu jugalah, setelah selesai sesi pelancaran ‘Laman Seni’ oleh YB Dato’ Haji Ab Rahaman Haji Ab Karim yang disertai persembahan kesenian dan pameran lukisan pelukis Ismail Embong – saya dan penyair Wan A Rafar sempat bersantai di kerusi batu di belakang chalet tempat kami menginap sambil membaca naskhah Mingguan Wasilah dan Siasah yang sempat saya beli di Hentian Puduraya pagi ahad itu.

Sidang Pleno I: Puisi Nasional – Tradisi Menunjang Pemodenan Bangsa diadakan pada sebelah malamnya yang dipengerusikan oleh Hamzah Hamdani sebelumnya dimulakan dengan kertas kerja Prof. Datuk Zainal Kling yang antara lain, beliau menyebutkan tentang dua unsur dalam puisi moden kita yang tidak ada dalam tradisi Eropah kini ialah ‘perlanjutan bentuk tradisi yang berpanjangan’ dan ‘kelangsungan keagamaan’.

“Roh budaya Melayu itu ialah nilai yang Islami.” Bicara lembut dan santun Bapak Tenas Effendy yang merupakan seorang pakar puisi tradisional dari Riau sangat sedap dan manis saya mendengarnya. Jelujur katanya yang disulami pantun dan gurindam, kias dan ibarat terasa melekat kuat dalam ingatan. Sejak tahun 2006, Pak Tenas menjadi Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Sangat indah Pak Tenas menuturkan tunjuk ajar Melayu dari pepatah tinggalan orang tua-tua, “Adat memakai pada yang sesuai, adat mencontoh pada yang senonoh, adat meniru pada yang sejudu, adat meneladan pada yang sepadan.”

Sebagai seorang yang arif dalam pantun dan syair Melayu yang juga tidak melupakan nilai Islam dalam kehidupan bangsanya, sangat cocok sekali apabila Pak Tenas menitipkan ungkapan, “hidup berakal mati beriman,” dalam kertas kerjanya yang berjudul Mengekalkan Nilai-nilai Murni Budaya Bangsa Melalui Puisi (Upaya Menghadapi Cabaran Globalisasi) yang beliau sampaikan lebih kurang 15 minit itu. Sebagai salah seorang penulis yang juga menghasilkan puisi, saya berfikir panjang apabila Pak Tenas menegaskan, “Kepada penyair Melayu, berilah roh kepada puisi Melayu.” Penegasan ini saya kira juga perlu direnung lama-lama oleh setiap peserta yang hadir di Hari Puisi Nasional kali ini. Ketika diajukan soalan oleh para peserta tentang nasib gurindam yang telah dipinggirkan, Pak Tenas mengakhiri jawapannya dengan menyimpulkan, “Di dalam gurindam, banyaklah faham.”

Hari kedua (3/12/2007) dimulakan dengan Sidang Pleno II: Pemodenan Pemikiran Bangsa dalam Puisi oleh SN Dato’ A Samad Said dengan kertas kerja beliau Wajah dan Suara Seni Dekad Terjajah. Sasterawan Negara yang diminati ramai ini sempat berjenaka sebelum memulakan kertas kerjanya dan seingat saya jenaka Pak Samad itu berbunyi lebih kurang begini, “Jika Prof. Rahman menjadi penerima S.E.A. Write Award yang terakhir, saya menjadi penerimanya yang pertama. Berbezanya, saya akan terus kekal sebagai penerimanya yang pertama tetapi Prof. Rahman belum tentu akan dapat kekal sebagai penerima S.E.A. Write Awards yang terakhir,” dan hadirin ketawa.

Antara lain, SN Dato’ A Samad Said menitipkan, “Saya seorang penyair dari zaman terjajah memasuki gelora dahaga merdeka ingin yakin berdiri sendiri. Makanya sebagai seniman segala gelora dahaga merdeka itu harus dibuktikan – dilestari – melalui karya sastera.” Dan diikuti kemudiannya dengan kertas kerja Prof. Rahman Shaari (Universiti Malaya) berjudul Menghadapi Puisi: Memahami Makna dan Anjakannya. Beliau sempat mengulas dan membahas panjang tentang makna puisi Menambat Rakit karya SN Dato’ A Samad Said. Dalam sesi yang dipengerusikan oleh Dato’ Haji A Aziz Deraman itu, Prof. Rahman sempat memberi tanggapan bahawa peserta yang ada di hadapannya hari itu ialah penyair yang luar biasa dan peminat puisi yang luar biasa juga. Beliau juga mengaku menghafal 350 buah sajak.

Sesi selepas minum pada pagi itu diteruskan dengan menampilkan tiga orang ahli panel, Rida K Liamsi (CEO Riau Pos Grup), Marhalim Zaini (sasterawan muda Riau yang juga Ketua Jurusan Teater di Akademi Kesenian Melayu Riau) dan Cik Amina Yasalam dari Selatan Thailand (pelajar sarjana di Akademi Pengajian Melayu, UM, KL). Bapak Rida berkisah tentang pengalamannya memajukan sastera di Riau melalui media cetak yang dipimpinnya, Marhalim berkongsi pengalaman mengadaptasi sastera tradisi Melayu agar kembali diminati anak muda Riau dan Cik Amina meluah kelukaan tentang sastera Melayu yang semakin tidak digemari anak muda di Selatan Thai, malah mereka juga sudah tidak minat lagi untuk berbahasa Melayu. Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar sebagai moderator sempat memberi harapan kepada Cik Amina, “Kita harapkan beliau untuk meningkatkan sastera di Selatan Thai.”

Tengah hari itu, saya mengajak Marhalim Zaini menjamu selera di tepi kolam Seri Warisan Resort sambil berkata, “Banyak soalan yang nak diajukan.” Tercabar saya dengan kerajinannya berkarya kerana beliau telah menghasilkan tujuh buah buku termasuk kumpulan esei, cerpen, naskhah drama, puisi dan novel. Beliau menerima pelawaan saya untuk kami bertukar buku. Amuk Tun Teja yang merupakan kumpulan cerpen beliau menjadi milik saya dan kepadanya saya berikan senaskhah kumpulan cerpen duet saya bersama Jimadie, ‘Ngembara Ke Utopia Republik Cinta Sesudah Letih Menjadi Lelaki.

Sesi petang hari itu dipenuhi dengan majlis perasmian oleh YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Haji Mohd Ali Mohd Rustam diikuti majlis pelancaran antologi puisi Gema Membelah Gema 15, penyampaian Anugerah Penyair GAPENA 2007 kepada penyair Haji Mokhtar Yassin, Pengucapan Puisi Nasional dan Persembahan Kesenian. Paling tidak dapat saya lupa ialah pisang masak lemak dan masak asam pedas Melaka serta dua tiga jenis sambal yang dihidangkan kepada kami di Kampung Pantai Puteri. Kami dibawa dengan bas ke Pantai Puteri untuk menghadiri Malam Seni Puisi sambil dihidangkan dengan masakan tradisional Melaka. Enak sekali menjamu selera di tepi pantai, ditiup angin laut yang dingin sambil menikmati nyonya Melaka berdondang sayang.

Pada pagi hari terakhir, kami berjalan kaki ke Taman Mini Malaysia dan Asian untuk menghadiri majlis penutupan sekali lagi oleh YB Dato’ Haji Ab Rahaman Haji Ab Karim yang disertai pengucapan puisi dan diakhiri dengan persembahan tarian tradisional Melayu dari pelbagai negeri. Sempat juga saya memijakkan kaki ke rumah tradisi Perlis dan Sarawak.

Di atas kereta dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur petang itu, saya bersama penyair Wan A Rafar dan Leo AWS dibuai dendangan lagu rakyat nyanyian Roslan Madun yang menambahkan lagi rasa cinta saya kepada seni tradisi warisan bangsa. Sehabis Hari Puisi Nasional Ke – 17 di Melaka, saya balik dengan cinta yang lebih jauh dan dalam kepada seni puisi tradisi Melayu sambil Roslan Madun terus juga menyanyi-nyanyi membuai dan menyindir kami antaranya dengan dendangan Tebang Tebu, “Peram-peram pisang/masak atas belebas/orang zaman sekarang/hatinya keras.”


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
10 Disember 2007, Isnin.

Monday, June 02, 2008

Sesudah hampir 8 tahun yang lalu

Pemain Bahasa, buku saya yang pertama telah diterbitkan hampir 8 tahun yang lalu. Cepat sungguh masa berlalu. Hampir 8 tahun terasa begitu sekejap. Terlalu banyak yang berlaku selama hampir 8 tahun itu. Dan banyak juga yang saya belajar sebagai penulis selama hampir 8 tahun itu.

Walaupun sudah hampir 8 tahun saya menerbitkan Pemain Bahasa dengan modal sendiri dan segala-galanya dibuat sendiri, masih ada juga teman-teman yang belum mempunyai sebuah buku pun dalam tempoh hampir 8 tahun itu. Tentang kesendirian saya menerbitkan buku-buku saya itu sudah saya catatkan di banyak tempat. Tidak perlulah saya mengulangnya lagi di sini.

Dalam tempoh hampir 8 tahun itu juga saya turut menerbitkan dua buah lagi buku yang turut menggunakan modal dan kudrat sendiri. Tapi teman-teman saya itu masih ada juga yang belum menerbitkan apa-apa buku pun. Tidak perlulah saya sebutkan nama teman-teman saya itu. Mereka sendiri pasti tahu diri mereka. Siapa yang makan cili, saya sangat pasti akan tetap merasa pedasnya.

Tidak apalah, mereka tidak mahu menghasilkan walau sebuah buku sampai bila-bila pun – tidak apalah. Sebesar kuman pun saya tidak akan marahkan mereka. Dan sebesar kuman pun saya tidak berniat untuk marahkan mereka.

Kerana saya tahu mereka pasti mempunyai halatuju dan cita-cita yang berbeza dalam dunia sastera dan penulisan. Dan saya pula mempunyai halatuju dan cita-cita yang berbeza dalam dunia sastera dan penulisan. Saya berfikir lain dan mereka berfikir lain. Tidak apalah, saya tidak pernah pun bercita-cita untuk marahkan mereka.

Paling-paling tinggi pun, saya akan cabar mereka supaya cepat-cepat menghasilkan buku sendiri. Itu sajalah. Mana mungkin saya mahu tengking-tengking mereka supaya cepat-cepat menghasilkan buku. Tidak mungkin dan tidak terniat sebesar kuman pun untuk saya berbuat begitu.

Berbalik kepada kisah saya dengan buku pertama saya itu. Ya, Pemain Bahasa terlalu banyak mengajar saya tentang dunia penerbitan, sastera dan penulisan. Dan, dalam tempoh hampir 8 tahun itu terlalu banyak yang saya pelajari sebagai penulis. Ya, terlalu banyak. Segala pengalaman yang saya perolehi itulah yang menjadikan diri saya sekarang – Salman Sulaiman.

Allah!


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
10.26 malam, 1 Jun 2008.
Ahad, 26 Jamadilawal 1429 H.

Thursday, May 01, 2008

Penulis muda yang seorang ini!


Penulis muda yang seorang ini lain, memang lain. Pertama kali bertemu dengannya ialah ketika saya ditugaskan mengasuh anak-anak sastera pada Bengkel Penulisan Hujung Minggu (BPHM) anjuran DBP Wilayah Timur dengan kerjasama Persatuan Penulis Kelantan (PPK) yang diadakan selama 3 hari 2 malam di Sudara Beach Resort, Telong, Bachok pada 29 Februari hingga 2 Mac 2008 yang lalu.

Yang lebih merapatkan perkenalan kami ialah apabila dia turut menjadi salah seorang ahli kumpulan di bawah asuhan saya – kumpulan 2 – untuk sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan beberapa sesi latihan untuk persembahan akhir. Mengikut jadual asal bengkel, saya ditugaskan supaya bercakap tentang puisi selama lebih kurang dua jam pada sebelah petang hari kedua BPHM. Tapi kemudiannya saya ditukarkan supaya berbicara tentang cerpen dari pagi selepas minum sampailah menjelang tengah hari, menggantikan tempat Abdul Hadi Yusoff yang terpaksa keluar ke Kota Bharu tengah hari itu. Dan beliau pula akan bertukar ke sesi LDK puisi pada sebelah petang.

Sesudah minum pagi hari kedua itu, saya mengajak anak-anak kumpulan 2 yang seramai 9 orang itu ke tepi pantai. Saya mahu berbicara santai tentang cerpen dan mahu anak-anak itu penuh tenang dan damai mendengarnya, sekali gus menerimanya sebagai sekadar sedikit perkongsian ilmu dan pengalaman.

Penulis muda ini tidak banyak ketawa seperti teman-teman sekumpulannya yang lain. Ketika saya berbuih berbicara, dia sangat tekun mendengarnya. Saya melihat seperti hampir berkerut keningnya. Diam khusyuk dia menelaah kata-kata saya. Sungguh jauh dia berfikir dan meneliti. Saya melihat dia memang bukan seperti anak-anak peserta yang lain. Pemikiran dan penelaahannya jauh mendahului usia mudanya. Dia juga menyuarakan soalan yang menarik bila bertanya.

Dia, penulis muda yang saya maksudkan ialah Nik Azri atau Tuah Sujana. Terkejut saya bila mula membelek naskhah Dewan Sastera Mei semalam, rupa-rupanya Tuah Sujana itu dirinya. Saya mati-mati ingatkan dia menggunakan nama Nik Azri sahaja dan tidak menggunakan nama pena yang lain.

Kenapa saya katakan penulis muda yang seorang ini begitu istimewa dan lain dari yang lain? Editor Dewan Sastera sendiri pernah mengakui bahawa cerpennya yang berjudul Cinta Senafas Angsa yang pernah tersiar dalam Sisipan Tunas Cipta di majalah Dewan Sastera itu sebenarnya layak disiarkan dalam ruangan cerpen Dewan Sastera bukan Sisipan Tunas Cipta. Wow! Pengiktirafan yang sangat berprestij saya kira, kerana ianya datang daripada seorang editor majalah utama sastera negara – di mana setahu saya sangat payah untuk penulis-penulis baru mendapat siaran karyanya dalam Dewan Sastera (DS), bukan sekadar di Sisipan TC.

Macam mana tidak istimewa kalau tulisannya mendapat fokus yang sangat hebat dalam kolum Alumni MPR DS bulan ini. Telaah saja 10 buah puisinya yang tersiar. Catatan proses kreatifnya sampai 6 halaman. Manakala disertakan dengan cerpen juga. Mengikut penelitian saya sebelum ini, alumni MPR yang difokuskan pada tiap-tiap bulan itu, jika disiarkan sejumlah puisi tidak disiarkan cerpen. Jika disiarkan cerpen tidak disiarkan puisi. Dan tidak pernah catatan untuk kolum alumni MPR sampai sepanjang 6 halaman. Tetapi sangat berbeza dengan Nik Azri. Dengan ilmu dan kematangannya dia mendapat penghargaan dan tempat yang begitu istimewa di dalam ruang sastera Malaysia. Tahniah Dik!

Bacalah sendiri tentang dirinya dan karya-karyanya dalam Dewan Sastera bulan ini. Saya tidak mahu melebih-lebih memuji manusia kerana boleh menyebabkan manusia itu lalai dan leka, tetapi Nik Azri (Tuah Sujana) memang berbeza dan saya tahu jika dia terus mengasah pena, sungguh – dia pasti akan berjaya sebagai penulis berwibawa. Saya menunggu itu!



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
12.08 tengah hari.
1 Mei 2008, Khamis.
24 Rabiulakhir 1429 H.

Tuesday, April 01, 2008

Seorang teman & sebuah kenyataan!

Hampir tengah hari semalam, di pekan – secara kebetulan, kami berselisih. Dia sebetulnya seorang teman sekolah yang ceria dan suka mengusik. Biasalah, hari isnin adalah hari yang paling rancak dan paling sibuk di pekan kami ini. Kebetulan pula, hari kedua cuti keputeraan sultan kami. Sesekali berjumpa tentunya terlalu banyak yang nak dibicara.

Dia mengajak saya minum dan kami segera menapak ke restoran berdekatan. Ketika rancak berbincang, mengeluarkan pendapat dan mengemukakan pandangan – teman ini pesankan dua keping roti canai telur, yang menambahkan lagi kerancakan perbualan kami.

Antara topik perbincangan yang menjadi tajuk utama kami tentu saja kejutan PRU 12 di mana pembangkang merampas lima negeri. Itu sudah semesti. Ini kerana pertemuan kami ini adalah pertemuan pertama selepas pilihan raya, setelah lama benar kami tidak bersua muka. Tapi saya tidak bercadang untuk mengulas apa-apa tentang kejutan keputusan PRU 12 di sini. Sebabnya sudah ramai benar teman-teman penulis dan wartawan yang mengulasnya.

Dan ramai sekali tokoh-tokoh yang muncul membuat ulasan di TV. Tidak apalah, cukuplah dengan tulisan dan ulasan mereka semua – walaupun ada yang saya setuju dan ada juga yang saya tidak setuju. Kalau saya ingin mengulas di pihak saya, saya pasti perlu menghasilkannya dalam tulisan yang panjang berjela atau mungkin boleh menjadi sebuah buku. Cukuplah anda baca dan dengar saja apa kata mereka. Kemudian anda boleh untuk setuju atau boleh untuk tidak bersetuju.

Ketika mahu berpisah, sahabat lelaki yang pernah menuntut di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya ini sempat membuat kenyataan yang memang ternyata kebenarannya dan saya memang sudah agak lama bersetuju dengan apa yang disebutnya itu. Katanya, “Payoh nok cari budok ttino Kelate hok paka baju kurong lloni.” Saya cuba terjemahkan, “Susah nak cari budak perempuan Kelantan yang pakai baju kurung sekarang ni.”

Saya katakan kepadanya, nantilah – tentang ini pun saya akan menulis sesuatu. Dan isinya memang sudah ada di kepala. Tentang tanggungjawab sebagai pemimpin juga telah saya tuliskan sebuah rencana, tunggulah saja siarannya. Saya katakan padanya, bahawa semua benda saya tulis. Memang, saya cukup terkesan dengan kenyataan sahabat ini tentang apa yang telah terjadi dengan kebanyakan remaja kita.

Sebelum ini, kenyataan dan hakikat ini saya hanya renungkan serta fikirkan seorang diri sahaja. Tapi, kenyataan daripada sahabat ini menguatkan lagi azam dan semangat saya untuk menulis tentangnya – dan mengembalikan jati diri anak muda Islam kita. Di speaker komputer saya, Abdullah Fahmi sedang syahdu mengaji dan lebih pilu jadinya hati saya mengenangkan nasib anak muda Islam kita!


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
11.59 pagi, 1 April 2008.
24 Rabiulawal 1429 H, Selasa.

Friday, February 15, 2008

Pilihan raya: Jangan pilih hantu raya!

Parlimen bubar. SPR bermesyuarat. Tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi pun diumumkan. Masing-masing mula sibuk, ke hulu ke hilir tak senang duduk. Pondok-pondok panas pilihan raya mula didirikan di mana-mana. Bendera mula dinaikkkan. Sepanduk mula dipasang. Lambang-lambang segala parti mula memenuhi simpang-simpang dan kiri kanan jalan. Malah, menjelang esok tarikh mengundi pun – akan masih ada lagi bendera yang mahu dipasang dan masih juga ada lagi sepanduk yang mahu direntang.

Kepada yang memenangi pilihan raya dan bakal berada di tampuk kuasa, saya mahu memetik nasihat Imam Ibnul Jauzi dalam kitabnya Talbis Iblis pada nasihat yang ketujuh di bawah bab Perihal Belitan Iblis Terhadap Pemerintah Dan Raja, begini;

“Iblis terus memperindahkan bagi mereka supaya bermewah-mewah dalam perkara maksiat dan perbuatan yang mendatangkan dosa, dan dibelitnya akal mereka dengan mengatakan, bahwa penjagaan kamu untuk kamu untuk mengadakan keamanan dan ketenteraman dalam negara akan mendinding kamu daripada ditimpakan azab dan siksa di akhirat. Jawab kami pada perdayaan ini, hendaklah dikatakan kepada mereka: Kamu dilantik memang untuk menjaga keselamatan negara dan mengamankan jalan-jalannya, dan ini adalah suatu tugas yang wajib ke atas kamu. Dan apa yang kamu buat daripada kemewahan bermaksiat itu adalah dilarang oleh agama, dan jangan kamu harapkan bahwa kamu akan terlepas dari pembalasan dan siksaan kerananya.”

Kepada yang sudah cukup umur, selamat mengundi dan selamat memilih lagi. Pesan saya kepada yang sudah layak mengundi dan kepada semua yang memikul tanggungjawab besar ini; juga kepada sesiapa saja tak kiralah anda parti belah sini atau belah sana, dan lebih-lebih lagi kepada diri saya sendiri – pilihlah calon yang bertaqwa agar dia mampu memimpin kita ke syurga, jangan pilih hantu raya!



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
12.31 tengah hari, 8 Safar 1429 H.
15 Februari 2008, Jumaat.

Wednesday, February 13, 2008

Kutinggalkan untukmu sebuah puisi


Hijrah Bersama Rasulullah adalah antara puisi kesayangan saya. Ya, hari ini genaplah sebulan ia tersiar di akhbar Mingguan Malaysia dalam ruangan puisi di halaman sastera akhbar tersebut. Saya ingat benar, Hijrah Bersama Rasulullah disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 13 Januari 2008, Ahad. Saya deklamasikan puisi ini buat kali pertamanya di Pantai Irama, Bachok dalam program deklamasi puisi Salam Sayang Pantai Irama II anjuran Persatuan Penulis Kelantan (PPK) penghujung Januari baru-baru ini. Saya selitkan di dalamnya nasyid yang didendangkan oleh perempuan Ansar yang menyambut ketibaan Nabi (saw) di Madinah.

Saya deklamasikan sekali lagi puisi tersebut di malam penutup Akademi Sastera Siber (AKSES 3) di Hotel Perdana jumaat lalu. Saya dendangkan juga nasyid yang sama. Yang berbezanya cuma, ketika di Pantai Irama – saya tambah sebuah lagi puisi saya yang lain tentang Nabi (saw) tapi di AKSES 3, sebuah puisi itu saja yang saya sampaikan. Dan, alhamdulillah, anak-anak AKSES 3 yang rata-ratanya berkopiah dan bertudung labuh itu menyukainya. Malah, ada yang SMS saya minta saya kirimkan puisi itu kepada mereka sebagai tatapan dan kenangan. Jadi, untuk melangsaikan permintaan anak-anak remaja yang bersemangat dan penuh minat itu; saya titipkan puisi tersebut di sini untuk mereka dan untuk anda semua yang sudi membaca;


HIJRAH BERSAMA RASULULLAH

Setelah dikepung Quraish Mekah
kau tinggalkan Ali, menuju Madinah.
“...berselimutlah dengan selimut Al-Hadrami,
yang berwarna hijau ini...,”
begitu pesanmu kepada Ali.

Teringat saat pedihmu di dalam gua
sakitnya kaki Abu Bakar tidak terkira
tapi tetap dibiarkan kau lena
hingga menitis air matanya
dia sahabatmu yang sungguh mulia.

Bertuahnya Ummu Ma’bad
sempat bertemu Muhammad
dan ketika di jalanan
Abu Buraydah kau Islamkan.

Hijrah meninggalkan pelbagai kisah
kau dibantu Abdullah, dikejar Suraqah
dibekalkan susu oleh ‘Amir bin Fuhayrah
teringat kakimu yang melecet
dan pertolongan Abdullah bin Urayqit.

Ketibaanmu di Madinah
disambut meriah
perempuan Ansar menyanyi
meraikan Nabi.

Di tahun baru ini
biarlah aku mengubah diri
meniru Nabi.

Bersama Rasulullah
izinkan aku berhijrah.

– SALMAN SULAIMAN
PADANG RAJA, MACHANG.
Mingguan Malaysia, 13 Januari 2008.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
11.41 malam, 13/2/2008.

Wednesday, February 06, 2008

Menunggu bulan & selamat datang anak-anak sastera siber ke AKSES 3!


Menunggu Bulan merupakan cerpen saya yang ditulis lama dahulu, ya - tahun 2003 yang lalu. Seingat saya, cerpen bertuah yang membawa langkah saya ke atas pentas Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2003 itu saya hasilkan ketika di kampus Pulau Mutiara. Atau seperuhnya saya tulis di halaman Teratak Seni di Padang Raja - itu, saya sendiri pun sudah tak berapa pasti.

Menunggu Bulan, sebuah kisah biasa di sebuah madrasah kecil di sebuah kampung yang jauh dari hiruk-pikuk kesibukan kota. Berlatarkan sebuah madrasah kampung yang penuh kenangan dan indah permai itulah, saya mencipta watak-watak yang pelbagai. Saya selang-selikan ingatan masa lalu yang manis watak 'aku' itu dengan kisah dirinya kini yang termangu di jendela madrasah, menunggu bulan mengambang yang indah menawan. Ketika mula membayangkan judulnya sebelum menyudahkannya lagi, saya teringat cerpen Ana Balqis yang berjudul Memanah Bulan. Saya juga teringat novel Alias Ismail yang berjudul Mewarna Bulan. Dan, saya juga mahu menulis tentang bulan dan kisahnya pula ialah tentang seorang anak muda yang sedang termangu mengingat kenangan sambil menunggu bulan di jendela madrasah. Maka, jadilah judulnya Menunggu Bulan. Kalau Ana Balqis mahu memanah bulan dan Alias Ismail pula mahu mewarna bulan, saya hanya mahu menunggu bulan. Memadailah!

Seorang pembaca, mengirim SMS dan memberitahu sangat menggemari cerpen saya ini dan sampai katanya mahu pergi ke kampung tempat latar cerita itu. Dan seorang lagi pula, turut mengirim SMS kepada saya, katanya setelah menelaah cerpen ini dia terasa semacam mengingat memori silam dan mengulit kenangan. Dan, kedua-duanya adalah perempuan.

Alhamdulillah, saya sendiri sudah cukup gembira setelah ada pembaca yang menghayati karya-karya saya sampai begitu sekali. Menusuk hati. Mereka membacanya dengan nurani. Mereka betul-betul menghayati. Dan, untuk mereka, hanya terima kasih yang mampu saya beri. Dan, sudi-sudilah membaca; lagi dan lagi.

Kini, saya ada di sekitar Hotel Perdana, Kota Bharu. Untuk dua tiga hari ini, izinkan saya menyepi di sini - melayan anak-anak peserta AKSES 3 yang akan mula melapor diri esok pagi. Untuk semua para peserta Akademi Sastera Siber 3 (AKSES 3), selamat datang saya ucapkan kepada kalian semua, selamat menjadi peserta dan selamat bersastera siber selama tiga hari dua malam bersama kami di Hotel Perdana!


Salman Sulaiman
TM Cyberc@fe, Sebelah Hotel Perdana,
Kota Bharu, Kelantan.
10.23 malam, 6/2/2008.
Rabu yang syahdu.

Friday, February 01, 2008

Sajak Pak Sako

Bapak rugged, anak groovy,
Sedang membiak di sana sini,
Di pantai memakai bikini,
Di kubur memakai mini.
Orang-orang kampung menghadap Kiblat,
Mereka membawa komik-komik Barat,
Bermain karate, ganti bersilat,
Makan anggur, menggantikan langsat,
Gasing dibuang, dimajukan bowling,
Berasmara mereka kata necking,
Bercumbu-cumbu mereka kata pecking,
Buang Mak Inang, menggantikan dansing,
Tetapi, bila bergula dalam kencing,
Barulah teringat nak makan jering,
Terkenang kepada petai dan kerdas,
Barulah nak belajar mandi hadas.
Melayu bukan, Malaysian pun bukan,
Cina bukan, Indian pun bukan,
Inikah akar-akar yang mangaku rotan?
Atau kaca-kaca yang mengaku intan?

– Pak Sako (Dr. Ishak Haji Muhammad)

[Sumber: Suara Keadilan, edisi 28 Ogos – 11 September 2007, bil. 115, halaman 15 dalam tulisan LanH berjudul Melayu bukan, Cina bukan, Malaysian pun bukan]

Ketika menyelak timbunan akhbar lama, saya menemukan sajak ini – yang dikarang oleh sasterawan besar Melayu, Allahyarham Pak Sako. Walaupun sajak ini kelihatan mudah dan senang pula difahami, tetapi apa yang mahu disampaikan Pak Sako sangat elok sekali kita hayati. Pak Sako mengkritik keruntuhan akhlak anak-anak zaman moden yang sudah mula berkiblatkan Barat. Kritikannya yang tajam dengan bahasa yang menikam membuatkan kita terpegun membaca. Selamat menghayati!


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
10:23 malam, 1 Februari 2008.
23 Muharam 1429 H, Jumaat.

Wednesday, January 23, 2008

Pengumuman: Program Salam Sayang Pantai Irama


Persatuan Penulis Kelantan (PPK) akan menganjurkan program Salam Sayang Pantai Irama seperti berikut:

Tarikh : 25 Januari 2008 (Jumaat)

Masa: Jam 2.00 Petang hingga 5.00 Petang.

Tempat: Pantai Irama, Bachok, Kelantan.

Acara : Baca Puisi dan acara selainnya.

Saya [Salman Sulaiman] akan turut mendeklamasikan puisi.

Terbuka kepada semua & masuk percuma.

Semua dijemput hadir! Datanglah beramai-ramai!

Friday, January 18, 2008

Menelaah & mencontohi peribadi seorang ulama besar Islam: Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah

Beberapa hari yang lalu, saya menjadi sangat tertarik dengan peribadi seorang ulama besar Islam; Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah yang dinukil oleh M.A. Uswah dalam blognya. Maka, pada hari Jumaat yang mulia ini, saya tinggalkan catatan peribadi Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah untuk kalian hayati dan teladani;

Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah

Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah Rahimahullah dilahirkan di Aleppo, Syria pada 17 Rejab 1336H/1917. Bapanya, Muhammad, merupakan seorang yang soleh dan taat pada agama. Beliau menjalankan perniagaan menjual kain merupakan warisan dari bapanya, Bashir, salah seorang peniaga kain yang besar di Aleppo. Nasab syeikh sampai kepada sahabat Rasulullah s.a.w yang terkenal iaitu Khalid bin al-Walid r.a.Guru-gurunya

Di Syria:

Di antara guru-gurunya ialah Syeikh Raghib Al-Tabakh, Syeikh Ahmad Al-Zarqa, Syeikh Eisa Bayanuni, Syeikh Muhammad Al-Hakeem, Syeikh Asad Abji Syeikh Ahmad Kurdi, Syeikh Najib Sirajuddin dan Syeikh Mustafa Al-Zarqa.

Di Mesir:

Syeikh Muhammad Al-Khidr Husayn, Syeikh Abdul Majid Daraz, Syeikh Abdul Halim Mahmud, Syeikh Mahmud Shaltut, Syeikh Muhammad Zahid Al-Kawthari dan Hasan Al-Banna yang amat memberi manfaat dan pelajaran kepada syeikh.
Peribadi dan Sifatnya

Syeikh Abdul Fattah Rahimahullah memiliki terlalu banyak sifat yang mulia. Antaranya ialah kecintaannya kepada kesempurnaan dalam semua urusannya. Beliau amat menghormati tetamu, seorang yang amat berlemah lembut lagi pemaaf. Selain itu beliau sangat beradab dan berakhlak mulia, sangat lembut lisannya serta tidak pernah menyakiti seseorang dengan kata-katanya.

Syeikh Rahimahullah juga sangat cerdas dan pandai memilih kata-kata. Beliau tidak akan melakukan sesuatu melainkan setelah dipertimbangkan secukupnya dan amat cermat lagi teliti dalam setiap urusannya. Beliau juga sangat penyabar dalam ketaatan dan ujian, sangat menjaga solatnya, sentiasa menunaikannya di awal waktu walau ketika penat atau sakit.

Beliau amat rajin membaca Al-Quran serta mempunyai wirid yang dibaca setiap pagi di samping amat banyak berzikir dan berwirid. Tidak akan didapati syeikh duduk tanpa urusan ilmiah, samaada menulis, mengajar, bermuzakarah atau memberi fatwa, melainkan beliau akan bertasbih, bertahmid, bertahlil dan bertakbir.

Syeikh Abdul Fattah Rahimahullah memiliki hati yang sangat lembut, mudah menitiskan air mata, sangat terkesan dengan setiap sesuatu. Air matanya mengalir laju ketika membaca Al-Quran dan berzikir, serta membaca kisah-kisah Salafus Solihin, dan ketika mendengar kelemahan dan kesusahan umat Islam, malah ketika beliau dipuji. Beliau sangat pedih atas kelemahan umat ini dan keadaannya, hingga beliau telah kehilangan sebelah pendengarannya apabila diceritakan oleh seseorang berkenaan apa yang menimpa umat Islam di sebuah negara. Beliau amat sedih apabila diceritakan demikian dan tidur pada malamnya dalam keadaan demikian. Apabila bangun dari tidur Syeikh Rahimahullah mendapati darah mengalir daripada telinga kanannya, kemudian sebelah pendengarannya pun hilang.

Beliau telah diuji pula selepas itu dengan penglihatan yang semakin lemah, namun tidak pernah dilihat beliau mengadu atau mengeluh sebaliknya terus bersabar, malah ianya tidak menjadi penghalang baginya meneruskan kerja-kerja ilmiah. Beliau terus mengarang dan mentahqiq kitab, kerana bimbang ajal akan tiba, tetapi beliau tidak dapat mencurahkan ilmu di dadanya. Ketika sakitnya bertambah teruk, beliau tidak pernah mengeluh tetapi ketika terlalu sakit beliau hanya menyebut Ya Allah atau Lailahaillallah.

Syeikh Abdul Fattah Rahimahullah sangat mengutamakan ilmu, sentiasa membaca, mentelaah atau menulis. Pena dan kertas sentiasa mendampinginya walau dalam bermusafir mahupun di waktu sakit. Beliau telah mengarang dan menamatkan sebahagian kitabnya dalam perjalanannya yang banyak, malah ada di antaranya ketika beliau sakit, 20 hari sebelum beliau kembali ke Rahmatullah.

Beliau juga amat sedikit tidur. Kedua-dua sifat ini menunjukkan beliau amat menjaga waktunya. Beliau juga tidak akan menyuruh kepada sesuatu melainkan beliau sendiri membuatnya, dan tidak akan melarang sesuatu perkara melainkan beliau sendiri meninggalkannya.

Syeikh Rahimahullah dikurniakan akal fikiran yang amat cerdas dan hafalan yang kuat. Beliau merupakan seorang yang beramal dengan ilmunya, kuat beribadah, bertaqwa, soleh, wara’ lagi tawadhu’.

Semoga Allah memudahkan kita mencontohi akhlak dan peribadi para ulama dan solihin, kerana mencontohi orang yang mulia adalah suatu kemuliaan. Amin.

Pengembaraan dan lawatannya

Syeikh Abdul Fattah telah mengembara dan melawat ke seluruh negara Arab. Selain itu, beliau ke Turki, India, Pakistan, Indonesia, Malaysia dan Brunei. Biasanya beliau ada urusan dan membincangkan ilmu daripada ulama negara tersebut, dan juga mengambil manfaat daripada para ulama tersebut.

Semasa syeikh melawat India, syeikh pernah bertemu dengan beberapa ulama terkenal. Antaranya ialah Syeikh Muhammad Shafi' Mufti Pakistan, Mufti Atiqur Rahman Delhi, Syeikh Muhammad Zakariya Kandahlawi, Syeikh Muhammad Ilyas Kandahlawi, Syeikh Muhammad Yusuf Banwori, Syeikh Muhammad Latif, Syeikh Abul Wafa Al-Afghani, Syeikh Abul A'la Maududi dan Syeikh Abul Hasan Ali Nadwi.

Perkahwinan dan Keluarganya

Pada 1951, Syeikh Abdul Fattah berkahwin dengan Fatimah al-Hashimi yang baru berumur 16 tahun, perkahwinannya dilihat sempurna dengan ikatan cinta, rasa hormat dan kebaktian kepada Allah. Beliau memiliki 3 orang anak lelaki dan 8 orang anak perempuan.

Karya-karyanya

1. Sofahat Min Sabril Ulama' (Lembaran Kesabaran Ulama'), karya syeikh yang terkenal.

2. Mas'alat Khalq al-Qur'an wa Atharuha fi Sufuf al-Riwat wa al-Muhaddithin wa Kutub al-Jarh wa al-Ta`dil.

3. al-Ulama' al-`Uzzab al-Ladhina Atharu al-`Ilm `ala al-Zawaj.

Sakit dan Wafatnya

Pada 1973, Syeikh Abdul Fattah menderita serangan jantung dan dimasukkan hospital beberapa minggu, walaubagaimanapun, selama beliau berehat dalam hidup, sakitnya semakin berkurangan. Pada 1989, beliau mengadu mengenai kemerosotan penglihatannya dan doktor di Hospital King Khalid Eyes melakukan diagnosis iaitu Macular Degeneration dan mencadangkan rawatan laser pada retina. Rawatan itu tidak beberapa berjaya tetapi penyakit ia berhenti dari merebak selanjutnya.

Pada akhir Syaaban 1417/akhir 1996 penglihatan beliau merosot semula dan beliau pergi sekali lagi ke Riyadh untuk membuat rawatan di Hospital King Khalid Eyes. Pada Ramadan beliau pergi semula ke Hospital King Faisal Specialist mengadu sakit berkaitan dengan perut dan dalaman darah. Kondisi beliau menjadi teruk dan beliau meninggal dunia di Riyadh pada waktu awal pagi pada hari Ahad, 9 Syawal 1417/16 Februari 1997.

Beliau dikebumikan di perkuburan Baqi' di Madinah selepas solat Isyak pada 10 Syawal 1417. Seluruh kaum muslimin di dunia terutama di Makkah, Madinah, Aleppo, Istanbul, Luknow, Beirut dan Rabat terasa kehilangan beliau terutama di kalangan ulama dan murid. Semoga Allah merahmati beliau dengan keluasan jannah-Nya dan semoga beliau ditempatkan bersama-sama Rasulullah s.a.w, sahabat ra dan orang-orang soleh yang dikasihi Allah. Amin.

[Disalin daripada blog www.tamanulama.blogspot.com dengan izin penulisnya, M.A. Uswah]

Wednesday, January 16, 2008

Ikuti wawancara saya bersama Abdullah Fahmi (Juara AQ TV9) dalam Mingguan Wasilah terbaru!


Ketika kebanyakan anak muda Malaysia sibuk-sibuk meraikan macam-macam juara hiburan yang dilahirkan daripada pelbagai program realiti TV yang menggoda remaja dengan hadiah yang lumayan – anak muda ini juga muncul sebagai salah seorang juara program realiti, tapi bukan menyanyi; sebaliknya mengaji – Akademi Al-Quran TV9.

Sebagai Juara Akademi Al-Quran Musim Pertama, Abdullah Fahmi diraikan dalam satu majlis istimewa di daerah kelahirannya di Machang, Kelantan. Majlis yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan dihadiri sendiri oleh YAB Menteri Besar itu menarik minat saya untuk ikut serta mendengar anak muda ini mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Subhanallah, kehebatan alunan lagu al-Quran yang diperdengarkan serta kemerduan suaranya memikat ramai orang termasuk saya.

Lebih terkejut saya apabila mengetahui bahawa beliau ialah anak kelahiran Machang. Sebelumnya saya menyangka Abdullah Fahmi ini bukan orang Kelantan, tapi rupa-rupanya beliau sedaerah dengan saya. Maka saya mula berkira-kira untuk mencungkil peribadi dan sejarah kehidupannya yang menjadi latar dan asas kehebatannya menyampaikan ayat-ayat Allah dengan begitu merdu dan dengan bacaan yang menyentuh hati.

Saya tekad untuk mewawancara anak muda yang memiliki suara yang memikat hati ini. Sehabis majlis, saya menemuinya dan menyalin alamat rumahnya ke dalam telefon bimbit. Beberapa hari kemudiannya, sebetulnya selepas asar pada petang khamis – saya bersendirian menuju ke alamat Madrasah Nor Shukri di Kampung Sega, Machang, Kelantan. Selepas beberapa ketika melalui jalan raya yang sibuk, saya menyusur jalan kampung yang lebih lengang dan tenang. Perjalanan yang tidak sampai pun 15 minit itu membawa saya ke kediaman Abdullah Fahmi, Juara Akademi Al-Quran TV9 Musim Pertama.

Sayangnya anak muda yang lebih mesra dengan panggilan Fahmi itu tidak ada. Kata ibunya, beliau ke Kota Bharu. Saya menunggu dan menghubunginya. Katanya beliau tidak sempat balik menemui saya hari itu. Saya memeterai janji untuk datang menemuinya pagi keesokan hari. Di atas kerusi batu di halaman, pelbagai cerita tentang Abdullah Fahmi yang sempat dikongsi ibunya kepada saya. Saya hanya berkira-kira di dalam hati, betapa bertuahnya keluarga ini yang mempunyai seorang anak lelaki bernama Abdullah Fahmi.

Dia seperti anak kampung yang lain juga, menahan bas di jalan besar jika mahu ke Kota Bharu. Begitulah kebanyakan dari kami anak-anak kampung di Kelantan, akan keluar ke Kota Bharu jika mahu membeli barangan yang istimewa sedikit. Maklum saja, tidak ada pasaraya besar di tempat-tempat lain melainkan Kota Bharu. Walaupun saya sebenarnya terkejut apabila ibunya memberitahu, Fahmi dengan bas ke Kota Bharu dan saya terlupa bahawa dia juga adalah seorang anak kampung seperti anak-anak yang lain juga. Cuma, yang membezakan dirinya sekarang ialah dia sudah dikenali dan menjadi idola masyarakat setelah bergelar juara sebuah rancangan realiti TV – Akademi Al-Quran.

Saya mengunjuginya lagi keesokan hari, pada pagi jumaat yang permai – seorang anak muda bertubuh sederhana yang manis dengan senyuman menyambut kehadiran saya. Dan di kerusi batu di halaman tempat saya berbual dengan ibunya petang sebelumnya itu jugalah, Abdullah Fahmi menuturkan panjang lebar kepada saya tentang dirinya dan tentang al-Quran yang diakrabinya sejak kecil lagi sehinggalah dia bergelar Juara Akademi Al-Quran Musim Pertama.

Hidangan air dan beberapa jenis kuih yang disediakan ibunya merancakkan lagi perbualan kami pagi itu. Bertempat dalam madrasah milik keluarga yang dibina bersambung dengan rumahnya yang dikenali dengan Madrasah Nor Shukri – istimewa kepada saya, beliau melagukan ayat-ayat suci al-Quran dengan dua jenis lagu termasuk satu surah pendek yang dibaca dengan riwayat imam qiraat.

Kepada saya, sempat diberitahu rentetan jadual hariannya yang begitu padat dan ketat. Beliau diundang membaca al-Quran di seluruh negara termasuklah ke Kedah dan juga Pahang serta beberapa kali di Kota Bharu. Saya menggeleng kepala dengan jadual hidupnya kini yang begitu padat. Beliau juga memerlukan waktu yang cukup dan selesa untuk membuat persiapan melanjutkan pengajiannya ke Mesir.

Dalam perjalanan balik, beriringan dengan saya – Abdullah Fahmi menunggang motosikal Honda lama milik keluarga, katanya mahu ke rumah tukang jahit menempah pakaian. Saya sekali lagi terlupa bahawa Fahmi juga adalah seorang anak kampung yang mempunyai kehidupan peribadi seperti anak-anak muda yang lain juga. Yang berbeza kini, beliau ialah seorang anak kampung yang sudah dikenali di seluruh negara dan barangkali juga digilai ramai orang.

Dan di tahun baru ini selepas saya mengajak diri saya sendiri dan anda semua untuk kita sama-sama berhijrah bersama Rasulullah S.A.W iaitu mencontohi akhlak Baginda dengan puisi saya Hijrah Bersama Rasulullah yang tersiar dalam Mingguan Malaysia ahad lalu – hari ini saya mahu mengajak pula anda berhijrah mencontohi keperibadian seorang anak muda bernama Abdullah Fahmi, yang begitu tinggi kasih dan cintanya kepada al-Quran. Untuk itu; istimewa kepada anda, saya titipkan bicara saya dengan Abdullah Fahmi pagi itu dalam ruangan 'bualsantai' di akhbar Mingguan Wasilah terbaru yang kini ada di pasaran, bil. 44, edisi 13 – 19 Januari 2008, halaman 36, 37 & 39. Telaahlah saja di sana!



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
12.12 tengah hari, 16/1/2008.
7 Muharam 1429 H, Rabu.