Tuesday, April 01, 2008

Seorang teman & sebuah kenyataan!

Hampir tengah hari semalam, di pekan – secara kebetulan, kami berselisih. Dia sebetulnya seorang teman sekolah yang ceria dan suka mengusik. Biasalah, hari isnin adalah hari yang paling rancak dan paling sibuk di pekan kami ini. Kebetulan pula, hari kedua cuti keputeraan sultan kami. Sesekali berjumpa tentunya terlalu banyak yang nak dibicara.

Dia mengajak saya minum dan kami segera menapak ke restoran berdekatan. Ketika rancak berbincang, mengeluarkan pendapat dan mengemukakan pandangan – teman ini pesankan dua keping roti canai telur, yang menambahkan lagi kerancakan perbualan kami.

Antara topik perbincangan yang menjadi tajuk utama kami tentu saja kejutan PRU 12 di mana pembangkang merampas lima negeri. Itu sudah semesti. Ini kerana pertemuan kami ini adalah pertemuan pertama selepas pilihan raya, setelah lama benar kami tidak bersua muka. Tapi saya tidak bercadang untuk mengulas apa-apa tentang kejutan keputusan PRU 12 di sini. Sebabnya sudah ramai benar teman-teman penulis dan wartawan yang mengulasnya.

Dan ramai sekali tokoh-tokoh yang muncul membuat ulasan di TV. Tidak apalah, cukuplah dengan tulisan dan ulasan mereka semua – walaupun ada yang saya setuju dan ada juga yang saya tidak setuju. Kalau saya ingin mengulas di pihak saya, saya pasti perlu menghasilkannya dalam tulisan yang panjang berjela atau mungkin boleh menjadi sebuah buku. Cukuplah anda baca dan dengar saja apa kata mereka. Kemudian anda boleh untuk setuju atau boleh untuk tidak bersetuju.

Ketika mahu berpisah, sahabat lelaki yang pernah menuntut di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya ini sempat membuat kenyataan yang memang ternyata kebenarannya dan saya memang sudah agak lama bersetuju dengan apa yang disebutnya itu. Katanya, “Payoh nok cari budok ttino Kelate hok paka baju kurong lloni.” Saya cuba terjemahkan, “Susah nak cari budak perempuan Kelantan yang pakai baju kurung sekarang ni.”

Saya katakan kepadanya, nantilah – tentang ini pun saya akan menulis sesuatu. Dan isinya memang sudah ada di kepala. Tentang tanggungjawab sebagai pemimpin juga telah saya tuliskan sebuah rencana, tunggulah saja siarannya. Saya katakan padanya, bahawa semua benda saya tulis. Memang, saya cukup terkesan dengan kenyataan sahabat ini tentang apa yang telah terjadi dengan kebanyakan remaja kita.

Sebelum ini, kenyataan dan hakikat ini saya hanya renungkan serta fikirkan seorang diri sahaja. Tapi, kenyataan daripada sahabat ini menguatkan lagi azam dan semangat saya untuk menulis tentangnya – dan mengembalikan jati diri anak muda Islam kita. Di speaker komputer saya, Abdullah Fahmi sedang syahdu mengaji dan lebih pilu jadinya hati saya mengenangkan nasib anak muda Islam kita!


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
11.59 pagi, 1 April 2008.
24 Rabiulawal 1429 H, Selasa.

3 comments:

honam said...

Assalamualaikum Salman,
lama tak jumpa, apa khabar sekarang??? tentang isu wanita pakai baju kurung ni menarik juga, memang wanita Melayu bukan sahaja di Kelantan malah di luar Kelantan juga, sukar dilihat memakai baju kurung, yang tak pakai baju kurung tu tak apa lagi, yang tak bertudung ni, lagi GANAS. mungkin mereka rasa rimas ataupun menyusahkan pergerakan mereka, tapi bagi saya, wanita berbaju kurung lebih manis dan ayu. ye tak?

Aidil Khalid said...

Salam,

Tentang isu wanita Melayu yang sudah semakin kurang berbaju kurang ni, saya pernah utarakan kepada seorang rakan perempuan. Tapi kemudian dengan selamba dia jawab, "alah, bila perempuan tak pakai baju kurung, selalu orang lelaki nak bising-bising. Tapi orang lelaki tu, yang cuma pakai baju Melayu untuk sembahyang Jumaat, macam mana pulak?"

Saya cuma terdiam, sebab memang tak tau nak jawab apa. Hehe....

lutfi said...

Man, kadang-kadang bila aku lihat, soal pemakaian dan remaja sebenarnya tidak menjadi masalah orang kita sahaja. Sekarang, kalau kita lihat remaja India sama sahaja. Kalau sulu, dengan mudah melihat mereka bersari. Sekarang. Apa lagi dengan remaja Cina.
Apapun, aku rasa etos masyarakat kita, di sini Melayu, sedang berubah. Aku pun tak tahu aakah ia satu fenomena, ataupun sebenarnya golongan pendesak tidak ada suara. Dulu, ada ABIM dan kita lihat suara mereka ada tempat dalam masyarakat. Tapi, kini mana badan NGO yang suaranya mampu menawan masyarakat kita?