Monday, December 31, 2007

Kau juga akan makan penumbuk sulungku, kalau gatal-gatal mulut tuduh aku penganggur!


Senarai Karya Tersiar Salman Sulaiman 2007


1 – Rencana agama Akhlak Nabi Seluruh Isi Kandungan Al-Quran dalam Berita Harian, 27 Januari 2007 (Sabtu).

2 – Puisi Lelaki di Bawah Pohon Bahasa dalam Dewan Bahasa, Februari 2007.

3 – Puisi Anak-anak Mengaji dalam laman
www.esastera.com/penyair, 8 Februari 2007 (Khamis).

4 – Puisi Madrasah Tua Ini Tiba-tiba Terasa Sunyi dalam Mingguan Malaysia, 11 Februari 2007 (Ahad).

5 – Rencana agama Menilai Keikhlasan Diri dalam I, Mac 2007.

6 – Puisi Kasih Seorang Bilal yang Lara & Rindu Si Janda Beranak Satu dalam laman
www.esastera.com/penyair, 7 Mac 2007 (Rabu).

7 – Rencana cinta Siapa yang cukup syarat, angkat tangan! dalam EH!, Mac 2007.

8 – Rencana sastera Jangan Berhenti Menulis! dalam majalah Sastera.net edisi 3, Mac 2007.

9 – Rencana sastera Apa kesudahannya resolusi? dalam Mingguan Malaysia, 11 Mac 2007 (Ahad).

10 – Cerpen Kau Tidak Pernah Tahu dalam laman
www.esastera.com/cerpenis, 19 Mac 2007 (Isnin).

11 – Cerpen Suling Si Alim Kucing dalam Sinar Harian, 24 Mac 2007 (Sabtu).

12 – Puisi Menghirup Susu Segar Ini dalam Siasah, 30 Mac – 19 April 2007.

13 – Puisi Merindukan Muhammad dalam
www.esastera.com/penyair, 2 April 2007 (Isnin).

14 – Puisi Teratak Bahasa yang Tua Ini dalam Pelita Bahasa, April 2007.

15 – Surat pembaca Pentingnya Dokumentasi Bahasa dalam Dewan Bahasa, April 2007.

16 – Puisi Antara Tuah dan Jebat dalam Jendela Timur, bil. 20, April 2007.

17 – Puisi Catatan Ketika Hujan dalam
www.esastera.com/penyair, 4 April 2007 (Rabu).

18 – Puisi Cinta Sufi (Dari kumpulan puisi Pemain Bahasa, halaman 14) dalam Buletin Puteri Islam SMK Apin-apin, Keningau, Sabah (Disiarkan oleh Sofiah Mohammad Salleh, guru di SMK Apin-apin dengan izin Salman Sulaiman), April 2007.

19 – Puisi Kalaulah Cinta Ini Hanya Semudah Memakan Sirih Jampi dalam
www.esastera.com/penyair, 19 April 2007 (Khamis).

20 – Madah Diam dalam
www.esastera.com/madah, 19 April 2007 (Khamis).

21 – Puisi Aku Sudah Terlalu Letih Mencintai Manusia dalam
www.esastera.com/penyair, 12 Mei 2007 (Sabtu).

22 – Puisi Semanis Kasih dan Setulus Rindu Untukmu Ibu dalam
www.esastera.com/penyair, 13 Mei 2007 (Ahad).

23 – Cerpen SMS cinta, Siti Puteri & Laki-laki dalam Sinar Harian, 19 Mei 2007 (Sabtu).

24 – Cerpen Kalaulah Muhammad masih ada dalam Mingguan Malaysia, 20 Mei 2007 (Ahad).

25 – Cerpen Biarlah Allah Saja yang Tahu dalam Mingguan Wasilah, bil. 17, edisi 27 Mei – 2 Jun 2007.

26 – Cerpen Sarjan Dolmat & Senapang Senja dalam e@siswa, edisi 4, Jun 2007.

27 – Rencana agama Indahnya Peribadi Rasulullah s.a.w. Sebagai Ikutan dalam I, Jun 2007.

28 – Puisi Dalam Hujan Renyai Aku Merindukan Padang Serai dalam
www.esastera.com/penyair, 19 Jun 2007 (Selasa).

29 – Surat pembaca Penyakit Corner dan Cafe dalam Dewan Bahasa, Julai 2007.

30 – Cerpen Kumbang yang Lara & Sekuntum Bunga dalam Mingguan Wasilah, bil. 26, edisi 29 Julai – 4 Ogos 2007.

31 – Puisi Mengasah Pedang Akal dalam Dewan Sastera (Sisipan Tunas Cipta), Ogos 2007.

32 – Puisi Penyakit Tuduh-Menuduh dalam I, September 2007.

33 – Cerpen Biarlah Baba pergi dalam Mingguan Wasilah, bil. 30, edisi 26 Ogos – 1 September 2007.

34 – Rencana sastera Hayati puisi seorang mufti dalam Mingguan Malaysia, 2 September 2007 (Ahad).

35 – Sajak jenaka Mahu Dibubuh Nama Apa Anak Kita? dalam
www.esastera.com/sajen, 2 September 2007 (Ahad).

36 – Cerpen Lelaki di Bawah Pohon Bongor dalam Siasah, bil. 0064, edisi 16 – 22 September 2007.

37 – Rencana sastera Mustafa Jusoh: Cintanya pada seni tidak bertepi dalam Siasah, bil. 0066, edisi 30 September – 6 Oktober 2007.

38 – Puisi Merindui Kupu-kupu dalam Dewan Masyarakat, Oktober 2007.

39 – Rencana ulasan buku Sebuah Pengantar Agung Ilmu Tafsir dalam Dewan Budaya, Oktober 2007.

40 – Puisi Ramadan Ini Aku Merindui Nabi dalam Mingguan Malaysia, 7 Oktober 2007 (Ahad).

41 – Cerpen Menanti Cinta Suci di Aidilfitri (judul asal Aidilfitri Ini Aku Masih Di Sini) dalam Siasah, bil. 0070, edisi 28 Oktober – 3 November 2007.

42 – Rencana seni Nilai Islam dalam cereka dalam Siasah, bil. 0071, edisi 4 – 10 November 2007.

43 – Rencana seni Seni penulisan sebagai alat dakwah dalam Siasah, bil. 0073, edisi 18 – 24 November 2007.

44 – Cerpen Seorang Lelaki di Jalanan dalam I, Disember 2007.

45 – Rencana seni Melawan hiburan dengan al-Quran dalam Siasah, bil. 0075, edisi 2 – 8 Disember 2007.

46 – Cerpen Aku Hanya Mahu Menangis dalam Mingguan Wasilah, bil. 42, edisi 16 – 29 Disember 2007.

47 – Rencana sastera Siapa Sasterawan Negara Ke-10? dalam Mingguan Malaysia, 30 Disember 2007 (Ahad).

48 – Catatan perjalanan Mengharungi Banjir Ke HESCOM 2007 dalam
www.esastera.com/penyair, 31 Disember 2007 (Isnin).


Sengaja saya tinggalkan dokumentasi ini untuk tatapan kalian sebagai ucapan selamat tinggal saya untuk tahun 2007 & sebagai ucapan selamat datang buat tahun baru 2008. Saya kira dokumentasi ini perlu untuk;

1-Memudahkan kerja dokumentasi teman-teman di Pusat Dokumentasi Melayu Tengku Anis, DBP Wilayah Timur, Kota Bharu.

2-Memudahkan peminat tulisan-tulisan saya yang barangkali ada yang mereka tertinggal dan terlepas untuk membacanya.

3-Memberi semangat untuk diri saya sendiri agar lebih giat lagi menulis pada tahun 2008 nanti.

4-Memudahkan sesiapa juga; pengkaji, penggiat sastera dan peminat sastera untuk penyelidikan atau dokumentasi, atau untuk apa-apa kajian tentang penulisan saya.

5-Memudahkan diri saya sendiri di masa depan untuk membuat semakan atau apa-apa dokumentasi berkaitan.

6-Memberi semangat kepada penulis-penulis baru atau kepada sesiapa juga yang ingin menjadi penulis, juga memberi semangat kepada penulis-penulis baru yang pernah mendapat asuhan saya di Khemah Sastera, AKSES atau ceramah penulisan GEMA atau dalam mana-mana kem penulisan yang saya sertai.

Salam tahun baru dari saya untuk semua yang sudi bertandang ke sini bermula blog ini ditubuhkan, sepanjang 2007 dan hinggalah ke saat ini. Terima kasih atas kesudian kalian semua menelaah sekian banyak tulisan saya. Terima kasih! Doakan saya agar lebih berjaya lagi sebagai penulis yang diredhai Allah di dunia & akhirat menjelang tahun baru yang bakal kita tempuh esok. Semoga kita semua lebih berjaya dan akan lebih diredhai-Nya pada tahun 2008 nanti.

SELAMAT TAHUN BARU!

Terima kasih semua!


Salman Sulaiman
CC Cahaya, Kg. Padang Selising,
Machang, Kelantan.
7.02 malam, 31/12/2007.
21 Zulhijjah 1428 H, Isnin.

Sunday, December 30, 2007

'Siapa Sasterawan Negara Ke-10?' dalam Mingguan Malaysia hari ini


Rencana sastera saya berjudul Siapa Sasterawan Negara Ke-10? tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini bergandingan dengan cerpen sahabat seperjuangan saya Muhammad Lutfi Ishak. Tahniah juga buat kamu Lutfi!

Hari ini saya kira merupakan satu kemenangan untuk MPR 2000, kerana kolum utama akhbar Mingguan Malaysia memuatkan tulisan dua orang penulis lulusan kuliah Minggu Penulis Remaja MPR tahun 2000 - saya dan Lutfi. Kenyataan ini hanyalah sebagai satu semangat untuk kami atau hanya untuk diri saya sendiri sahaja. Lutfi pernah mengatakan hal yang sama (iaitu kemenangan MPR 2000) bila puisi kami pernah bergandingan dalam akhbar Mingguan Malaysia satu waktu dulu.

Setelah meneliti tulisan saya dalam Mingguan Malaysia itu kembali, aduh!, saya menemukan DUA kesalahan yang tidak disengajakan, iaitu;

1-Alamat blog saya sepatutnya www.pemainbahasa.blogspot.com BUKAN www.pemainbahasa.blogpsot .com.

2-Pada perenggan akhir, ayat yang sebetulnya ialah, "Jika Anugerah Sastera Negara diadakan tiga tahun sekali pun, pada tahun 2020 nanti kita sudah mempunyai 14 orang Sasterawan Negara," BUKAN, "Jika Anugerah Sastera Negara diadakan tiga kali setahun pun, pada tahun 2020 nanti kita sudah mempunyai 14 orang Sasterawan Negara."

Saya pohon maaf atas DUA kesilapan yang tidak disengajakan ini. Ketika menyedarinya pagi tadi, saya segera kembali membuka naskhah asal tulisan itu di dalam komputer, ternyata ia memang kesalahan di pihak saya bukan di pihak editor.

Saya memang mengedit dan membaca semula setiap tulisan saya sebelum dikirim ke penerbitan tetapi kerana mata yang sudah berpinar barangkali, dua kesilapan itu terlepas dari pandangan saya. SAYA POHON MAAF BANYAK-BANYAK ATAS KESILAPAN ITU.

Keseluruhan rencana saya itu, bacalah saja di sana - Mingguan Malaysia. Terima kasih.



Salman Sulaiman
CC Cahaya, Kg. Padang Selising,
Machang, Kelantan.
4.33 petang, 30/12/2007.
20 Zulhijjah 1428 H, Ahad.

Wednesday, December 19, 2007

Selamat hari raya Aidiladha buat semua!

Eid Mubaarak [Selamat hari raya yang diberkati], saya ucapkan buat semua yang menatap halaman blog ini. Sempena Aidiladha yang bakal disambut esok, saya tinggalkan anda dengan beberapa adab seorang Muslim tatkala menjelangnya hari raya.

Ketika tibanya hari raya, Islam telah menggariskan beberapa panduan untuk diikuti oleh penganutnya. Ini jelas diajarkan Nabi (saw) dalam banyak riwayat-riwayat hadis yang sahih. Antara panduan-panduan tersebut ialah:

1 – Bercantik dan berhias di hari raya

Imam Ibn Khuzaimah meriwayatkan dalam kitab sahih beliau, pada hadis nombor 1765 yang bermaksud, “Daripada Jabir (ra) katanya: Bagi Nabi (saw) ada satu jubah yang Baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari jumaat.”

Demikian juga Imam Al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang sahih, bahawa Ibn ‘Umar sentiasa memakai pada hari raya seindah-indah pakaiannya.

2 – Keluar ke tempat solat melalui jalan lain dan balik daripadanya melalui jalan lain

Dalam hadis nombor 986, Imam Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis dalam kitab sahih beliau yang bermaksud, “Daripada Jabir bin Abdillah (ra) katanya: Adalah Nabi (saw), pada hari raya Baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).”

Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini iaitu:

(1) – Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan Allah pada hari kiamat nanti. Ini kerana bumi akan membicarakan pada hari kiamat apa yang dilakukan di atasnya dari perkara-perkara baik dan jahat.

(2) – Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam.

(3) – Untuk menzahirkan zikir kepada Allah.

(4) – Untuk menyakitkan hati orang-orang Munafikin dan Yahudi dan sebagai menakutkan mereka dengan ramainya umat Islam.

(5) – Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan atau untuk menziarahi sanak saudara dan menghubungkan silaturrahim.

3 – Ucapan tahniah pada hari raya

Termasuk daripada adab berhari raya ialah dengan menyampaikan ucap tahniah sesama Muslim dengan sebarang ucapan yang baik seperti ucapan:

(a) – “Taqobbalallooh huminna waminggkum.” – Semoga Allah menerima amalan dari kami dan anda semua.

(b) – “Eid Mubaarak.” – Selamat hari raya yang diberkati.

Atau ucapan yang seumpama dengan ucapan-ucapan tadi yang terdiri dari ungkapan-ungkapan tahniah yang dibenarkan. Jubair bin Nufair berkata: “Para sahabat Nabi (saw) apabila mereka bertemu sesama mereka pada hari raya mereka mengucapkan, “Taqobbalaminnaa waminggkum.” Imam Ibn Hajar dalam kitab Fathul Bari mengatakan bahawa riwayat isnad ini adalah hasan.

4 – Keluar dengan berjalan kaki ke tempat solat hari raya

Daripada ‘Ali bin Abi Tolib (ra) katanya: “Termasuk di dalam sunnah, mendatangi (solat) hari raya dengan berjalan kaki.” [Hadis riwayat Imam Al-Tirmizi dan beliau mengatakan hadis ini ialah hadis hasan]. Kata Imam Al-Tirmizi lagi, “Beramal dengan hadis ini kebanyakan para ulama’, mereka memandang sunat orang lelaki keluar (untuk solat hari raya) dengan berjalan kaki.”

Kata Imam Ibn Munzir, “Orang yang berjalan kaki ke hari raya (tempat solat hari raya) adalah lebih baik dan lebih hampir kepada maksud tawadhu’, dan tidak mengapa bagi sesiapa yang berkenderaan.”

5 – Wanita juga keluar menunaikan solat hari raya

Para wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk di dalam sunnah Nabi (saw). Dari Umm ‘Atiyyah (ra) katanya: “Kami disuruh oleh Nabi (saw) untuk mengeluarkan mereka (semua wanita) pada hari raya Aidilfitri dan Al-Adha wanita yang baru baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun wanita haid diasingkan daripada tempat sembahyang.”


Untuk semua, saya ucapkan selamat hari raya Aidiladha. Saya pohon maaf atas segala salah dan silap selama saya mengenali anda semua & selama anda mengenali saya, sebagai; kawan, pembaca, sahabat, pengikut setia, penggemar tulisan-tulisan saya atau sebagai apa pun, maaf atas segala yang terkasar bahasa atau yang tersalah kata atau atas segala apa yang telah membuatkan anda terluka & terguris rasa. Dalam hujan, ditambah ujian banjir yang melanda, moga Aidiladha ini akan menambahkan iman & taqwa kita kepada-Nya.



Salman Sulaiman
CC Cahaya, Kg. Padang Selising,
Machang, Kelantan Darul Naim.
11.12 malam, 19/12/2007.
9 Zulhijjah 1428 H, Rabu.

Friday, December 14, 2007

Lusa, beli Mingguan Wasilah pagi-pagi & hari ini saya tinggalkan kalian dengan sebuah puisi


Pada pagi jumaat yang mulia ini, saya menemukan sebuah puisi karangan Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud yang sangat menarik berbicara tentang ilmu dan pencariannya dengan berguru; melalui guru. Puisi tersebut dicatatkan dalam buku beliau, Kerangka Keilmuan Tamadun Melayu pada halaman 14 – 15. Saya membacanya secara senyap dan saya cuba mendeklamasikannya, sangat sedap. Cubalah kalian mendeklamasikannya pula, mana tahu ia akan bakal menusuk ke kalbu saudara-saudari juga. Tapi, yang lebih penting mahu saya tekankan di sini ialah bukan rimanya yang menyedapkan bunyi bila dideklamasi sahaja tetapi apa yang mahu disampaikan oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nor dalam puisi tersebut.

Beliau menekankan tentang aspek ilmu, cara pencariannya, cara pengambilannya dan bagaimana menilai serta mempertimbangkannya. Cuma, saya tetap mahu mengingatkan kalian supaya meneliti apa yang disampai oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nor. Cuba perhatikan puisi tersebut:

Tidak jatuh martabat kita jika bertanya kepada
yang a’lamu
Pepatah kita, “Malu bertanya sesat jalan”, lupakah
kamu?
Itu ajaran Qur’an: fas alu ahla zikri inkuntum
la-ta’lamun.
Sesungguhnya bertanya tidak semudah yang
dianggap umum –
Pertama, kau harus insaf dan sedar akan
kejahilanmu akan sesuatu
Kedua, harus kenal pasti alim yang bakal
kaurujuk membantu.

Jangan dilihat kepada ayat-ayat hafalan yang lahir
dari lidahnya
Jangan terkesan dengan labuh jubah dan warna
janggutnya
Jangan terikat jaminannya memberi syurga di Sini
atau Sana
Tapi lihatlah penjelasannya tentang perkara asas
lagi penting
Kebolehannya menghurai, mengupas, menolak,
tidak melenting
Kesanggupannya mengamalkan ilmu, sederhana,
tidak sumbing.

Keberaniannya mempertahankan ilmu di depan
ahli, penguasa
Keadilannya meletakkan setiap sesuatu benar di
tempatnya.
Itulah neraca bukan rekaan khayalan hamba
Ijma hukama kita paling wibawa. Fahami jua.

(Wan Mohd Nor Wan Daud, Mutiara Taman Adabi: Sebuah Puisi Mengenai Agama, Filsafat dan Masyarakat, Kota Bharu: Dian, 2003, Bab Iman dan Ilmu)

[Rujuk: Wan Mohd Nor Wan Daud, Kerangka Keilmuan Tamadun Melayu, m.s. 14 – 15 & 31, Kota Bharu: Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, 2004]

Dua hari ini, kalian hayatilah puisi ini sajalah dulu kerana saya mahu meninggalkan saudara-saudari seketika ke Kuala Lumpur, menghadiri malam HESCOM 2007 di Dewan Bahasa dan Pustaka yang akan berlangsung pada 15 Disember 2007, jam 8.30 malam. Saya sebetulnya mahu bertemu teman-teman
www.esastera.com di sana dan saya juga bakal mempersembahkan sebuah dekon istimewa kepada mereka. Ya, esok dan lusa – saya memang mahu tinggalkan kalian dengan puisi di atas sajalah dulu.

Jangan lupa juga, lusa pagi-pagi (ahad) dapatkan akhbar Mingguan Wasilah terbaru edisi 16 – 22 Disember 2007 kerana sebuah karya saya tersiar di dalamnya. Hayatilah juga ia sesungguh-sungguhnya sebelum saya balik bertemu kalian semula.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
11.00 pagi, Jumaat.
14/12/2007, 4 Zulhijjah 1428 H.

Wednesday, December 12, 2007

Teman-temanku yang dikasihi, betapa luasnya rahmat Allah kepada kita manusia


Pada bab pertama, dalam kitab Riyadhus Shalihin karangan Imam Al-Nawawi, saya menemukan sebuah hadis yang menitipkan kata-kata Nabi (saw) tentang betapa luasnya rahmat Allah kepada kita manusia. Wahai teman-temanku yang dikasihi, renungilah keterangan Nabi yang menusuk hati ini, renungkanlah!;

Dari Abul Abbas, iaitu Abdullah bin Abbas bin Abdul Muththalib, radhiallahu 'anhuma dari Rasulullah s.a.w. dalam suatu huraian yang diceriterakan dari Tuhannya Tabaraka wa Ta'ala -

Hadis semacam ini disebut Hadis Qudsi - bersabda:

"Sesungguhnya Allah Ta'ala itu mencatat semua kebaikan dan keburukan, kemudian menerangkan yang sedemikian itu - yakni mana-mana yang termasuk hasanah dan mana-mana yang termasuk sayyi 'ah.

Maka barangsiapa yang berkehendak mengerjakan kebaikan, kemudian tidak jadi melakukannya, maka dicatatlah oleh Allah yang Maha Suci dan Tinggi sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisiNya, dan barangsiapa berkehendak mengerjakan kebaikan itu kemudian jadi melakukannya, maka dicatatlah oleh Allah sebagai sepuluh kebaikan di sisiNya, sampai menjadi tujuh ratus kali lipat, bahkan dapat sampai menjadi berganda-ganda yang amat banyak sekali.

Selanjutnya barangsiapa yang berkehendak mengerjakan keburukan kemudian tidak jadi melakukannya maka dicatatlah oleh Allah Ta'ala sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisiNya dan barangsiapa yang berkehendak mengerjakan keburukan itu kemudian jadi melakukannya, maka dicatatlah oleh Allah Ta'ala sebagai satu keburukan saja di sisiNya." (Muttafaq 'alaih)

Keterangan:

Hadis di atas menunjukkan besarnya kerahmatan Allah Ta'ala kepada kita semua sebagai ummatnya Nabi Muhammad s.a.w.

Renungkanlah wahai saudaraku. Semoga kami dan anda diberi taufik (pertolongan) oleh Allah hingga dapat menginsafi kebesaran belas-kasihan Allah dan fikirkanlah kata-kata ini.

Ada perkataan 'Indahuu (bagiNya), inilah suatu tanda kesungguhan Allah dalam memperhatikannya itu.

Juga ada perkataan kaamitah (sempurna), ini adalah untuk mengukuhkan ertinya dan sangat perhatian padanya.

Dan Allah berfirman di dalam kejahatan yang disengaja (di-maksud) akan dilakukan, tetapi tidak jadi dilakukan, bagi Allah ditulis menjadi satu kebaikan yang sempurna dikukuhkan dengan kata-kata "sempurna". Dan kalau jadi dilakukan, ditulis oleh Allah "satu kejahatan saja" dikukuhkan dengan kata-kata "satu saja" untuk menunjukkan kesedikitannya, dan tidak dikukuhkan dengan kata-kata "sempurna".

Maka bagi Allah segenap puji dan kurnia. Maha Suci Allah, tidak dapat kita menghitung pujian atasNya. Dan dengan Allah jualah adanya pertolongan.

[Rujuk: Imam Al-Nawawi, Riyadhus Shalihin (edisi e-book), Bab 1 - hadis no. 11: http://hikmah.sitesled.com, E-Kitab Islamik, 2007].



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
11.02 pagi, Rabu.
2 Zulhijjah 1428 H.
12/12/2007.

Friday, December 07, 2007

Janganlah ribut, angin dan hujan itu dimaki hamun


Doa Bilamana Ada Angin Ribut

Ketika negeri Johor dikhabarkan dilanda banjir lagi, yang diberitakan semakin buruk dan kini, tanah Kelantan sedang ditimpa hujan yang disusuli juga dengan angin ribut serta kawasan Manek Urai di Kuala Krai, Ayer Lanas dan Legeh di Jeli sudah dilanda banjir; ada baiknya saya perturunkan sebuah hadis Nabi (saw) yang ada kaitannya dengan angin ribut ini. Sebuah hadis yang saya kutip dari karangan Ibn Taimiyyah, Al-Kalimu Ath-Thayyib;

153 – Abu Hurairah (ra) berkata: Saya mendengar Rasulullah (saw) bersabda:

{Maksudnya} “Angin itu termasuk rahmat Allah yang datang membawa rahmat dan kadang kala datang membawa azab. Jika kalian melihat angin ribut janganlah kalian memakinya tapi mintalah kepada Allah kebaikannya. Dan berlindunglah kepada Allah dari kejahatannya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah) [Demikian pula diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanad hasan sebagaimana dikatakan oleh Al-Nawawi, dan dinyatakan sahih oleh ulama lainnya]

[Lihat: Syeikhul Islam Imam Ibn Taimiyyah, Kumpulan Do’a dan Dzikir Nabawi (tahqiq Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani), m.s. 162, Jakarta: Dar El-Hujjah, November 2001]



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
4.12 petang, Jumaat yang sangat dingin.
7/12/2007, 27 Zulkaedah 1428 H.

Saturday, December 01, 2007

Izinkan dua tiga hari ini saya berkembara puisi


Kebetulan di dalam beg sandang saya ketika ini ada sebuah buku yang berjudul Bagaimana Orang Malas Boleh Jadi Kaya? karya Ibnu Yusof. Maka, elok saya kira saya petik apa yang tertera pada halaman 146 buku ini untuk anda tatapi dua tiga hari ini. Ibnu Yusof memulakan halaman ini dengan sebaris kata-kata hikmah iaitu;

Tumpukan perkara yang anda betul-betul tahu.
- Arthur Spear

Dan, dengan tajuk 'Buat yang Anda Tahu, Tahu Apa yang Anda Buat', beliau menuliskan begini;

"Seorang usahawan yang sudah kaya raya setelah kira-kira 4 tahun berniaga telah berkata kepada penulis bahawa dia tidak akan buat apa yang dia tidak tahu. Dia hanya buat apa yang dia tahu. Pada hemat penulis itulah sebab dia jadi kaya.

Masalah pada orang yang tidak kaya-kaya ialah dia buat juga apa yang dia tidak tahu dengan harapan bila dia buat dia akan tahu. Memanglah dia dapat belajar dari pengalaman itu tapi dia tidak akan jadi kaya kerana masanya dihabiskan melakukan apa yang dia tidak tahu dan meninggalkan apa yang dia tahu. Sebenarnya apa yang dia tahu itulah yang diperlukan oleh orang lain dan kerana itulah ianya hingga boleh diniagakan dan mendapat wang. Apa yang dia tidak tahu tidak ada siapa yang teringin.

Sama juga keadaannya dengan orang yang tahu tetapi tidak buat. Dia tidak akan kaya-kaya. Ini kerana dia sendiri tidak percaya bahawa apa yang diketahuinya itu bermanfaat untuk dirinya dan orang lain.

Jadi janganlah hairan bila anda dapati orang yang tidak bersekolah tinggi atau tidak berkemahiran teknikal atau bukan pakar jadi kaya. Ianya kerana mereka buat apa yang mereka tahu dan percaya ianya memberi manfaat dan keuntungan. Mereka terus maju kerana mereka tahu, bukan kerana tak tahu."

[Lihat: Ibnu Yusof, Bagaimana Orang Malas Boleh Jadi Kaya?, m.s. 146, Al-Kafilah Enterprise: Kota Bharu, 1995]

Ya, untuk dua tiga hari ini, saya tinggalkan anda dengan catatan ini sajalah dulu; kerana saya mahu ke Melaka, sebetulnya ke Hotel Sri Warisan, Air Keroh - menghadiri program Hari Puisi Nasional anjuran GAPENA, bermula esok dan berakhir selasa ini; 2 - 4 Disember 2007. Izinkan dua tiga hari ini saya berkembara puisi. Dan, jumpa nanti.



Salman Sulaiman
CC Cahaya, Kg. Padang Selising,
Machang, Kelantan.
12.13 tengah hari, Sabtu.
1 Disember 2007, 21 Zulkaedah 1428 H.

Thursday, November 29, 2007

SMS daripada adik penyair Abdulhadi Muhamad


Saudara Usman Ibrahim, Bendahari Persatuan Penulis Kelantan (PPK) mengirimkan SMS ini kepada saya, SMS yang beliau terima daripada adik kepada penyair Abdulhadi Muhamad. SMS yang dikirim kepada saya itu bertarikh 23 November 2007, jam 18:17:40, bertulis;

“Mesej daripada adik Abdulhadi Muhamad... Salam. Abang saya masuk ICU lagi pagi tadi. Dia dah keluar dari hospital 3 hari lepas. Sekarang amat tenat. Doktor dah minta kami panggil balik anak-anak dia yang duduk jauh. Pagi tadi jantung dia berhenti, oksigen tak sampai menyebabkan jantung cedera. Tolong beritahu kawan-kawan dia untuk sama-sama mendoakan. Terima kasih. DARIPADA – Rosli: Wad Kecemasan, Tingkat 1, Kota Bharu.”

Abdulhadi Muhamad merupakan penyair Kelantan yang pernah prolifik pada akhir dekad 70-an dulu. Sedikit tentang beliau, yang saya kutip daripada kulit belakang buku kumpulan puisi perseorangan beliau yang berjudul Racun Abadi, begini;

“ABDULHADI MUHAMAD dilahirkan pada 1954 di Kampung Humalanas Takbai, Narathiwat, Thailand Selatan. Menerima pendidikan di Maahad Muhammadi Kota Bharu, Kolej Islam Kelang (1971 – 74) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (1975 – 79). Bersama teman-teman penyair UKM mengasas dan memimpin Grup Pemuisi UKM dalam tahun 1977. Menceburi bidang puisi, rencana-rencana sastera dan agama yang menadapat siaran pada majalah-majalah dan akhbar-akhbar tanah air.”

Sebelum Racun Abadi, dalam tahun 80-an beliau menghasilkan kumpulan puisi Ruang Dalam. Di kalangan teman-teman penyair di Kelantan beliau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Hadi. Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan dan kesihatan beliau. Sebelum saya akhiri catatan ini dengan sebuah puisi beliau yang berjudul PUISI HUJUNG TAHUN – yang merupakan puisi terakhir dalam Racun Abadi, saya kutip dahulu kata-kata beliau dalam ruangan PROLOG kumpulan puisi Racun Abadi, beliau menuliskan begini;

“Puisi-puisi sejak purba cekap mengambil @ merampas alih suasana demikian sama ada terakam sebagai lagu, pengucapan atau tulisan. Maka jadilah tabiat perpuisian itu suatu macam fitrah kepada manusia buat menzahirkan isi hasratnya alam suatu bentuk lirik seni yang tersendiri, punya kekuatan dan berwarna-warni. Saya juga ikut mengungkap dalam bahasa yang menjadi jiwa bangsa kita ini, kalau mungkin karya itu akan digetus oleh mata hati manusia berikutnya sehingga menjadi santapan batin sebelum setiap diri menceburi kesibukan-kesibukan lain yang tidak kunjung selesai.”


PUISI HUJUNG TAHUN

Menghala kudrat dari usia sementara. Dalam soal
Ada kepenatan bersembunyi dan mencari.
Manusia kerdil mengharung maya!
Kita songsong debur gelombang meninggalkan
Bangsal lahir ke ruang luas mengembang fikir,
Mengutip bijaksana diapung segara
Syurga di hujung mata.

Lingkung penjara kedua ini bermula hukum
Memintas baligh. Ada goda sejuta. Ada duga semata.

Pelayaran dari laut selatan. Mati angin kita kayuh jua
Ke utara. Di sana tetap setia singgahan penghabisan
Bekalan terbaik itu kita pelihara. Kita makmurkan
Kewaspadaan dan pengharapan setulus zikir
Kita hulur ke penghadapan-Nya.


Zulhijjah 1420.


Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan beliau!



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
6.27 petang, 29/11/2007.
19 Zulkaedah 1428 H, Khamis.

Tuesday, November 27, 2007

Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah menulis tentang kucing


Ketika ramai yang sibuk-sibuk dengan MY CAT’S 2007 yang mempamerkan pelbagai jenis kucing dan turut juga diadakan pertandingan untuk mencari kucing terbaik, maka elok kiranya saya perturunkan apa yang dinukilkan oleh Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah dalam Dzammul Muwaswisiin Wattahdzir Minal Waswasah yang merupakan syarah beliau kepada kitab Mencela Was-was karangan Imam Ibn Qudamah. Imam Ibn Qayyim menuliskan begini;

Rasulullah s.a.w pernah berkata mengenai kucing: Dia itu bukanlah sesuatu yang najis. Dia adalah antara binatang jinak yang selalu hidup dengan kamu. Beliau pernah menghulurkan bekas air kepada kucing untuk diminumnya. Abu Qatadah kerap membuat serupa itu juga, padahal memang sudah diketahui dengan yakin, bahawa kucing itu memakan tikus dan binatang-binatang melata yang lain. [Daripada Kabsyah binti Ka’ab bin Malik, dan dia adalah isteri anak Abu Qatadah, bahawasanya Abu Qatadah pernah datang kepadanya, lalu aku memberikannya sedikit air untuk berwuduk, maka datang kepadanya seekor kucing hendak meminum air itu, dan Abu Qatadah pun menyorongkan air itu kepadanya sehingga ia minum daripadanya. Kemudian Abu Qatadah menoleh aku memerhatikan perkara itu, lalu ia berkata: Apakah engkau hairan melihat itu? Jawabku: Ya. Maka katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah berkata, bahawa kucing itu tidak najis, kucing itu antara binatang yang sering mengelilingi kamu setiap hari] Di samping itu, memang sudah dimaklumi secara pasti pula, bahawa di kota Madinah itu tidak ada suatu kolam pun yang ukurannya lebih dari dua kolah, yang tidak dapat dielakkan lagi dari didatangi oleh kucing-kucing untuk meminum air daripadanya. Kedua-dua masalah ini memang sudah dimaklumi secara pasti.

(Lihat: Ibn Qayyim Al-Jauziyyah, Was-was – bila syaitan membelit manusia [terjemahan Syed Ahmad Semait], m.s. 75, Singapura: PUSTAKA NASIONAL PTE LTD, 1999)



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
9.47 pagi, 27 November 2007.
Selasa, 17 Zulkaedah 1428 H.

Monday, November 26, 2007

Satu ayat Allah ini pun sebenarnya sudah cukup bagi kamu!


“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, – Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”

[Al-Ahzab: 35]



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
12.37 tengah hari.
26 November 2007.
Isnin, 16 Zulkaedah 1428 H.

Thursday, November 01, 2007

Ucapan Menteri Besar Kelantan di pelancaran ECER


Bismillahir Rahmanir Rahim

"Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran."
(Maksud Surah An Nahl: Ayat 90).

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi
Perdana Menteri Malaysia dan isteri;

Yang Amat Berhormat
Dato' Sri Adnan bin Haji Yaakob
Menteri Besar Pahang;

Yang Amat Berhormat
Dato' Seri Haji Idris bin Jusoh
Menteri Besar Terengganu;

Yang Amat Berhormat
Dato' Haji Abdul Ghani Othman
Menteri Besar Johor;

YB Dato' Seri Mohd. Effendi Norwawi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri;

Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet;

Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen
Serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri;

Pegawai-Pegawai Tinggi Kerajaan Persekutuan
Dan Kerajaan-Kerajaan Negeri;

Dif-Dif Kehormat;

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Alhamdulillah.

Dengan seizin Allah S.W.T.,
sekali lagi kita dapat menghirup udara nyaman pada hari ini.

Ini menandakan betapa kita masih terus dilimpahi nikmat dengan rahmat dan inayah dari-Nya untuk sama-sama menyaksikan pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur bagi Negeri Kelantan.

Sesungguhnya pelancaran ini boleh dijadikan titik tolak ujian keikhlasan kedua-dua belah pihak dalam berkongsi anugerah Allah S.W.T. yang dilimpahi-Nya kepada kita semua baik di Kelantan atau negara Malaysia pada amnya yang sama-sama kita kasihi selama ini.

Bahkan, ia adalah detik bersejarah yang mengesahkan lagi penerusan wujudnya jalinan kerjasama akrab sekian lama khususnya sejak 17 tahun negeri ini diperintah oleh Kerajaan Negeri yang ada pada hari ini.

Tanpa pertukaran apa-apa, pelan yang bakal dilancar dan dilaksanakan nanti tidak memerlukan apa-apa perubahan nakhoda. Kapal boleh berlayar dengan matlamat yang tidak berganjak yakni memakmurkan bumi Allah dengan segala ikhtiar yang tidak menyalahi syariat Ilahi.

Dalam semangat ini, mewakili Kerajaan dan rakyat Negeri Kelantan, izinkan saya mengalu-alukan kedatangan YAB Dato’ Seri Perdana Menteri.

YAB Dato’ Seri dan sidang hadirin yang dihormati sekalian,

Tugas pemimpin laksana dasar Allah Ayat Al-Quran yang baru saya baca dalam muqadimmah tadi biasanya dibaca di atas mimbar Jumaat, saya membacanya pada hari ini di atas mimbar masyarakat.

Di rumah Allah kita menjadi imam dan makmum, manakala di luar rumah Allah kita disebut pemimpin dan rakyat. Orangnya masih sama. Khutbah dalam masjid menerangkan dasar-dasar Allah manakala ucapan di luar masjid adalah untuk melaksanakan dasar-dasar Allah.

Setelah 17 tahun saya diamanahkan untuk memimpin Kerajaan Kelantan dengan dasar Al-Quran Nul Karim sebagai Kalamullah, termasuk ayat yang saya baca sekejap tadi, petang ini saya dan Kerajaan saya seakan-akan terasa akan adanya perubahan baru. Saya sedang berada di sebuah pentas buat pertama kalinya dengan pemimpin negara.

Alangkah manisnya hidup kiranya insan yang sengaja diciptakan Allah Azzawajalla dengan berlainan watak dan kerenah ini boleh patuh kepada ketetapan azali sejak Nabi Adam alaihissalam lagi.

Firman Allah S.W.T. ada membawa maksud berbunyi "Dan Kami berfirman: turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain, dan bagi kamu ada tempat kediaman di bumi, dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan. Kemudian (Adam dan Hawa) menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. Kami berfirman: "turunlah kamu semua dari Syurga itu! Kemudian jika datang petunjukKu kepadamu, maka barang siapa yang mengikuti petunjukKu, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati."

(Surah Al-Baqarah: Ayat 36 - 38).

Mudah-mudahan langkah penyatuan pentas ini akan memulakan jalur-jalur gemilang yang sungguh-sungguh sebagai ganti kepada jalur-jalur hitam selama 17 tahun sebelum ini.

YAB Dato' Seri dan sidang hadirin sekalian,

Saya sempat juga mengikuti senarai projek-projek raksasa yang ada terkandung di dalam pelan induk yang disebut-sebut akan menelan perbelanjaan berjumlah RM112 bilion ini. Antara lain ia akan memuatkan sebuah Universiti yang telah beberapa kali dilancarkan, Lebuh Raya Pantai Timur, Jeti di Tok Bali dan usaha untuk menaikkan taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebagai pusat penerbangan untuk rantau Asia Tenggara, termasuklah keinginan yang kuat untuk memunculkan satu kelas perdagangan dan perindustrian bumiputera.

Alhamdulillah, semua cadangan ini telah lama dikenalpasti dan menjadi sebahagian dari Pelan Jangka Panjang Pembangunan Strategik Negeri Kelantan yang telah kami dokumenkan dan tandatangani sejak 2 Mei 2000; kira-kira 7 tahun yang lalu. Bahkan memahami pembahagian dan pengkhususan bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri melalui 2 rancangan lima tahun yang telah kita lalui.

Projek-projek cadangan ini telah dikemukakan kepentingannya untuk diberikan perhatian Pusat dari masa ke semasa. Mungkin kerana kesuntukan kewangan, ia tidak diberikan perhatian. Kali ini Kerajaan Negeri wajar berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana telah sudi mengiktiraf apa yang kami kenalpasti sebagai projek-projek mustahak selama ini dan akhirnya telah diberikan perhatian. Pastikan pelan ECER realistik bukan hipokrasi

Menyentuh tentang peruntukan yang mencecah RM112 bilion untuk ECER, RM177 bilion lagi untuk Koridor Utara dan RM47.6 bilion lagi di Wilayah Pembangunan Iskandar, rakyat menjadi sedikit kagum dengan jumlahnya. Semakin hairan mereka apabila duit yang diisytiharkan ini boleh menjangkau Rancangan Malaysia ke 9, 10 dan boleh pergi sejauh RMK sebelas.

Apapun, jika duit ini memang ada dan tidak menjadi masalah, maka kita perlu mengucapkan sebesar-besar syukur. Alhamdulillah, syabas. Dalam banyak buku ilmiah, saya ada juga terbaca bahawa sesuatu pelan yang berkesan ialah pelan yang dapat diterima tanpa curiga oleh kumpulan sasar.

Ciri pelan yang berjaya juga ialah pelan yang dapat dilaksanakan. Biasanya pelan pembangunan yang baik harus bertolak dan bermula dari bacaan mengenai senario ekonomi dunia semasa yang teliti berasaskan unjuran yang tepat mengenai turun naik harga petrol, emas dan lain-lain komoditi yang utama.

Realiti dan waqi' persekitaran yang berubah ini biasanya akan menentukan pula angkubah-angkubah yang memungkinkan sebuah pelan yang realistik itu dapat diisytiharkan. Saya berandaian, semua aspek ini telah diambil kira dalam segenap segi sehingga ia tidak menjadi sebuah impian dan bukan sekadar 'satu lagi pelan'.

Sememangnya indah untuk berada sekadar di alam mimpi kerana ia mengasyikkan:

Anak Cina memetik selasih
Anyam rotan dibuat timba
Tiada yang indah dalam berkasih
Mimpikan bulan jatuh ke riba

Dalam banyak hal, apa yang mustahak ialah pelan yang dapat menghasilkan kenyataan. Siapalah yang tidak bergembira untuk mendengar janji yang akan datang dalam ratusan bilion ringgit. Ini lebih-lebih lagilah apabila janji itu dipenuhi.

Sudah banyak kita saksikan betapa janji yang indah kadang-kadang boleh menjadi musuh besar apabila ia gagal dipenuhi. Kebocoran, siling runtuh, rasuah dan pecah amanah, inflasi dan hipokrasi adalah antara musuh-musuh bersama yang boleh menghambat cita-cita murni. Emas hitam anugerah Allah yang dipinggirkan dalam ECER

YAB Dato' Seri dan sidang hadirin sekalian,

Walaupun cadangan pendaratan gas dan minyak di pesisir pantai kita masih tidak diberi perhatian dalam ECER, saya masihlah memandang kepentingannya sebagai sesuatu yang bersifat mendesak. Pada kami, ia sepatutnya diletakkan sebagai paksi asas dalam menjana pertumbuhan ekonomi negeri.

Seperti yang telah dikenalpasti oleh Kerajaan Negeri sejak 10 tahun lalu, kami masih merayu agar gas dan minyak didaratkan di Pantai Senok. Bukan senang deposit emas hitam ini boleh terbentuk. Dengan penuh susah payah Allah S.W.T. telah ratusan jutaan tahun memeram, mengatur dan memprosesnya secara sebab musabab jauh di kerak bumi.

Dengan segala percaturan kimia melalui mendapan humus, fosil dan tindak balas haba di perut bumi, Allah S.W.T. telah dengan segala ehsan menyimpan lalu menganugerahkan bumi Kelantan dan laut Kelantan dengan bahan semahal ini. Mensia-siakan nikmat namanya apabila ia seolah-olah dibuat-buat 'terlepas pandang' dan tidak ditimbangkan untuk dimasukkan ke dalam pelan induk pembangunan Wilayah yang sebesar dan sepenting ini.

Setakat ini, kami hanya berputih mata melihat khazanah bumi kami dipunggah dan dihirup sepuas-puas oleh golongan amir politik tanpa didaratkan di pantai Kelantan sendiri walaupun sesudu teh. Dalam feqah Islam, telah lama ditulis "hukmul fa il wal khu roji wa rriqaz".

Bahkan zakat yang dipungut daripada sesebuah perkampungan tidak boleh dipindah zakat itu ke tempat lain kecuali terlebih dahulu diagih-agihkan kepada al mustahiqiin tempatan. Ini adalah hukum Allah dan Rasul.

Tak disempurna di dunia oleh pihak al-umara', ia akan disempurna juga oleh Allah S.W.T. di akhirat kelak. "Sesungguhnya hari keputusan (hari kiamat) itu adalah waktu yang dijanjikan bagi mereka semuanya."

(Surah Ad-Dukhaan: Ayat 40).

Untuk menyatakan komitmen Kerajaan Negeri terkini, kita telah meluluskan penubuhan sebuah jeti penghantar (supply base) di Pengkalan Kubur, Tumpat, khusus untuk sokongan kerja penggerudian minyak dan gas di Joint Development Area (JDA) dengan Thailand dan Vietnam, di luar pesisir pantai Kelantan.

Kerja pembinaan Jeti tersebut mulai Oktober ini dan ianya akan menjadi pemangkin kepada satu industri yang dapat mengembangkan ekonomi negeri dan membuka peluang pekerjaan. Dalam keadaan-keadaan yang seperti inilah, relevannya kita mengetepikan sentimen politik bersifat kepartian.

Tidakkah boleh kita menjadikan maudhu' ini sebagai perkara bersama untuk dikongsikan secara pintar bagi tujuan yang sama. Saya masih ingat betapa murninya ketika KUB menandatangani persefahaman ini bagi pihak Pusat dizaman Tun Dr. Mahathir pada tahun 1996 dahulu.

Ini kekal terlipat dalam sejarah; kisah benar sebuah 'pelan indah' yang tidak menjadi hingga sampai ke hari ini. Pembinaan modal insan tidak berjaya kecuali dengan tarbiyah Islam

YAB Dato' Seri dan sidang hadirin yang dihormati sekalian.

Dalam hubungan Kelantan yang telah dikenalpasti sebagai Pusat Pembangunan Modal Insan berteraskan ilmu pula, saya bermohonlah untuk memberikan sedikit peringatan. Mustahil insan itu boleh dibina tanpa agama.

Ilmu Al-Quran mengajar kita tentang adanya dua perkara dalam setiap insan itu yakni jasad dan roh. Membina roh insan adalah memberi faham kepada mereka tentang dosa dan pahala, adanya taat dan maksiat, adanya malaikat dan adanya iblis, adanya hisab dan adanya hari pembalasan, adanya Syurga dan adanya Neraka.

Ini soal asas yang tiada khilaf. Ini konsep tarbiyyah bawaan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul alaihissalam serta para tabi'in dan wali-wali zaman berzaman. Jika Kelantan mahu diiktiraf sebagai pangkalan terpenting modal insan, maka kita jangan abaikan aspek pembinaan roh. Elemen rasuah, dedah, dadah, belasah dan menolak hukum Allah adalah manifestasi kekacauan fikrah.

Betapa kacau bilaunya acuan dan tertib tarbiyyah kita yang telah dirangka oleh negara selama ini. Ikut cara kami bangunkan negara bersama Islam.

Untuk itu, mari kita cuba menjadi lebih ikhlas dengan cuba sama-sama memperbetulkan keadaan, memikul amanah agama demi memulihkan manusia untuk kembali kepada nilai-nilai fitrah keinsanan sejati selaras dengan prinsip asal 'ubudiyyah' sejak asal kita semua dijadikan.

Bagi kami di Kelantan, kita telah lama mengisytiharkan konsep 'Membangun Bersama Islam', berasaskan dakwah bil hikmah wal mauizotul hasanah. Dalam rangka konsep ini, kami memuatkan prinsip ubudiyyah yakni semua orang wajib kembali kepada pengabdian yang tidak berbelah bahagi kepada Allah S.W.T.

Bagi mereka yang belum Islam, mereka diajak untuk hidup dalam kesedaran ketuhanan. Kami juga memuatkan prinsip mas'uliyyah yakni bekerja dengan penuh sedar bahawa setiap manusia tanpa mengira pangkat, bangsa dan budaya akan disoal jawab oleh Allah Taala sendiri tanpa sebarang jurubahasa.

Manakala Itqan yakni bekerja dengan penuh berkualiti untuk menghasilkan apa sahaja nilai amalan dan aktiviti dari jenis yang terbaik. Seluruh sekolah milik Kerajaan Negeri Kelantan telah dan sedang merangka dan melaksanakan kurikulum dan kokurikulum untuk menggunakan ruang lingkup kesedaran yang keseluruhannya berteraskan ketaqwaan kepada Allah Robbuljalil.

Dalam semangat pesan memesan (Watawa soubilhaq watawa soubissobr), alangkah tepatnya jika pelan pembinaan insan yang termuat dalam ECER ini mampu dengan jujur membuat pengisian-pengisian yang semurni ini.

Jika tidak, percayalah walau secemerlang manapun pelan pembinaan insan kita, tanpa agama, rakyat akan hidup sebagai insan yang bermentalitikan haiwan kerana dia cuma takutkan polis dan BPR, undang-undang, tali gantung dan peraturan dan dia akan hidup dan mati dalam kekeliruan.

Di sana nanti dia akan terpinga-pinga dalam suasana yang salah menyalah "maka, berkatalah pengikut kepada pemimpin dan pemimpin kepada pengikutnya" sebagaimana yang telah dirakamkan di dalam Al-Quran Nul Karim.

(Sila semak dan tadarrus sendiri maksud Surah Al-Baqarah dari Ayat 166 hingga 167).

Menyentuh tentang tumpuan pertanian yang khabarnya hanya akan diberikan tumpuan yang sangat minimum oleh Pelan Wilayah Timur ini, saya kira sekali lagi kami perlu membuat teguran. Sejak dari dahulu, Kelantan dikenali sebagai negeri pertanian.

Apa erti mengisytiharkan istilah-istilah seperti "halal hub" atau Jelapang Makanan Negara jika perhatian ke atas sektor ini sekadar bersifat batuk di tangga? Sekali lagi saya mengharapkan sesuatu yang lebih singnifikan dapat dilakukan ke arah pembetulan ini. Mari bermuafakat elak ganggu Kelantan

YAB Dato' Seri, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Sudah lebih 17 tahun kita menjalin hubungan kesetiakawanan dalam ikatan konsep persekutuan. Setakat yang saya ingat, tidak pernah satu kalipun lagi terganggu sebarang projek yang diluluskan oleh Pusat di Kelantan baik kecil mahupun besar mengalami gangguan atau dihalang oleh Kerajaan Negeri.

Melalui permuafakatan dan rundingan, ia sentiasa disambut oleh kami dengan penuh keterbukaan. Bagaimanapun beradablah ketika melangkah. Bukankah ini Wilayah Timur. Setiap rumah ada tuannya. Masuk berpintu. Keluar bertangga. Kadang-kadang, ya. Terasa juga.

Makan sirih berpinang tidak
Buah keranji atas perahu
Singgah tidak kenang pun tidak
Sampai hati buat tak tahu

Hanya inilah kali pertama saya diberi kesempatan untuk berucap di majlis yang dihadiri oleh YAB Dato' Seri Perdana Menteri. Apapun jua, syukurlah. Saya mengucapkan Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis pelancaran ini.


Dengan nama Allah, saya sudahi dengan Wabillahi taufiq Wal hidayah.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

[TEKS UCAPAN YAB TUAN GURU DATO' HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT, MENTERI BESAR KELANTAN DI MAJLIS PELANCARAN PEMBANGUNAN WILAYAH EKONOMI PANTAI TIMUR (ECER) PADA 17 SYAWAL 1428/29 OKTOBER 2007, JAM 2.30 PETANG DI KOMPLEKS SEKOLAH-SEKOLAH WAKAF MEK ZAINAB, KOTA BHARU, KELANTAN]

Sumber:
www.al-ahkam.net



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
2.54 petang, 1 November 2007.

Sunday, October 07, 2007

Puisi 'Ramadan Ini Aku Merindui Nabi' dalam Mingguan Malaysia hari ini


Saat ramadan yang manis tiba dan kita sama-sama lalui, pasti sekali ingatan kita datang bertubi-tubi merindui Nabi, Junjungan Besar Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Insan yang tentunya akan makin dekat di hati kita saat menempuh hari-hari yang manis di bulan ramadan. Kerinduan ini akhirnya menghasilkan baris-baris kata yang membentuk puisi 'Ramadan Ini Aku Merindui Nabi' yang tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini. Bacalah saja di sana. Dan saya, hanya mahu terus merindui Nabi.



Salman Sulaiman
Padang Raja, Machang.
11.28 pagi, 7 Okt. 2007.
25 Ramadan 1428 yang manis.
Ahad yang dirintiki gerimis.

Friday, October 05, 2007

Hadith-hadith Lemah yang Berkaitan Dengan Bulan Ramadhan (Pendahuluan)


Seringkali kita mendengar para khatib di atas mimbar membawakan hadith-hadith tentang Ramadhan dan keutamaannya. Di antara hadith-hadith yang mereka bawakan ada yang sahih dan ada yang dhaif, bahkan maudhu’ (palsu). Namun sangat sayang, ketika membawakan hadith-hadith lemah, mereka tidak menerangkan tentang kelemahannya kepada hadirin yang awam tentang permasalahan hadith sehingga orang-orang yang mendengarnya menyangka bahawa hadith-hadith itu adalah ucapan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, padahal sama sekali bukan!

Oleh kerana itu, di sini dicuba dikemukakan permasalahan ini sebagai nasihat kepada seluruh kaum muslimin, sama ada para khatibnya mahupun para pendengarnya.

Tidak Boleh Beramal Dengan Hadith Lemah Dalam Hal Fadhailul A’mal (Keutamaan Amal)

Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani rahimahullah berkata:

“Di kalangan ahli ilmu dan para penuntut ilmu telah masyhur bahawa hadith dhaif boleh diamalkan dalam fadhailul a’mal. Mereka menyangka bahawa perkara ini tidak diperselisihkan. Bagaimana tidak, Imam Nawawi rahimahullah menyatakan dalam berbagai kitab beliau bahawa hal itu telah disepakati. Tetapi kenyataan beliau itu terbantah kerana perselisihan dalam masalah ini ma’ruf. Sebahagian besar para muhaqqiq (pengkaji hadith) berpendapat bahawa hadith dhaif tidak boleh diamalkan secara mutlak, sama ada dalam perkara-perkara hukum mahupun keutamaan-keutamaan.

Syeikh al-Qasimi rahimahullah dalam kitab Qawaid at-Tahdith, hal. 94 mengatakan bahawa pendapat tersebut (yakni hadith dhaif tidak diamalkan secara mutlak, pent.) diceritakan oleh Ibnu Sayyidin Nas dalam kitab ‘Uyunul Athar dari Yahya bin Ma’in dan dalam kitab Fathul Mughith beliau menyandarkannya kepada Abu Bakar bin al-Arabi. Pendapat itu juga merupakan pendapat Bukhari, Muslim dan Ibnu Hazm.

Aku (Syeikh al-Albani) katakan bahawa inilah yang benar menurutku, tidak ada keraguan padanya kerana beberapa perkara:

Pertama: Hadith dhaif hanya mendatangkan sangkaan yang salah (dhanul marjuh). Tidak boleh beramal dengannya berdasarkan kesepakatan. Barangsiapa mengecualikan boleh beramal dengan hadith dhaif dalam fadhailul a’mal, hendaknya dia mendatangkan bukti. Sungguh, sangat jauh!

Kedua: Yang aku fahami dari ucapan mereka tentang fadhailul a’mal iaitu amal-amal yang telah disyariatkan berdasarkan hadith sahih, kemudian ada hadith lemah yang menyertainya yang menyebutkan pahala khusus bagi orang yang mengamalkannya. Maka hadith lemah dalam keadaan seperti ini boleh diamalkan dalam fadhail a’mal [yakni dari segi adanya dalil tentang asal amal itu, bukan dari segi adanya dalil yang menetapkan pahala yang khusus pada amal itu, Ilmu Usulil Bida’, hal. 15], kerana hal itu bukan pensyariatan amal itu tetapi semata-mata sebagai keterangan tentang pahala khusus yang diharapkan oleh pelakunya. Oleh kerana itu ucapan sebahagian ulama dimaksudkan seperti ini.

Seperti Syeikh Ali al-Qari rahimahullah dalam kitab Al-Mirqah 2/381 mengatakan bahawa hadith lemah diamalkan dalam perkara fadhail walaupun tidak didukung secara ijma’ sebagaimana keterangan Imam Nawawi. Iaitu pada amal yang sahih berdasarkan kitab dan sunnah.

Dengan dasar inilah maka beramal dengan hadith lemah diperbolehkan jika telah ada hadith sahih yang menunjukkan disyariatkannya amal itu. Akan tetapi kebanyakan orang yang berpendapat seperti itu tidak memaksudkan makna itu. Buktinya kita menyaksikan mereka beramal dengan hadith-hadith dhaif yang tidak terkandung dalam hadith-hadith sahih. Seperti Imam Nawawi dan yang mengikutinya menganggap sunnah menjawab ucapan orang yang mengumandangkan iqamah ketika mengucapkan dua kalimat (qad qamatis salah, qad qamatis salah) dengan ucapan aqamahallah wa adamaha (semoga Allah menegakkannya dan melazimkannya), padahal hadith tentang masalah ini lemah. Amal ini tidak ditetapkan pensyariatannya kecuali pada hadith lemah tersebut. Meskipun demikian mereka menganggap hal itu sunnah. Padahal perkara sunnah adalah salah satu hukum di antara kelima-lima hukum [yakni wajib, sunnah, mubah, makruh dan haram] yang harus ditetapkan berdasarkan dalil.

Betapa banyak perkara-perkara yang mereka anggap disyariatkan dan disunnahkan bagi manusia hanya didasari dengan hadith-hadith dhaif yang tidak ada asal pensyariatannya dalam hadith sahih. Akan tetapi di sini tidak mungkin untuk mencantumka berbagai contoh. Cukuplah satu contoh yang telah aku sebutkan.

Yang terpenting di sini adalah hendaklah orang-orang yang menyelisihi hal ini mengetahui bahawa beramal dengan hadith lemah dalam perkara fadhail tidak muklak menurut orang-orang yang berpendapat dengannya. Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata dalam kitab Tabyinul ‘Ujab, halaman 3 – 4 bahawa para ahli ilmu telah bermudah-mudah dalam membawakan hadith-hadith tentang fadhail walaupun memiliki kelemahan selama tidak maudhu’ (palsu). Seharusnya hal itu diberi syarat iaitu orang yang beramal dengannya meyakini bahawa hadith itu lemah dan tidak memasyhurkannya sehingga orang tidak beramal dengan hadith lemah dan mensyariatkan apa yang tidak disyariatkan. Atau sebahagian orang-orang jahil menyangka bahawa hadith itu adalah sahih. Hal ini juga ditegaskan oleh al-Ustaz Abu Muhamad bin Abdus Salam dan lain-lain.

Hendaknya setiap orang bimbang jika termasuk dalam ancaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

“Barangsiapa menceritakan dariku satu hadith yang dianggap dusta, maka dia termasuk pendusta.”

Maka bagaimana orang yang mengamalkannya?! Tidak ada perbezaan antara mengamalkan suatu hadith dalam perkara hukum atau dalam perkara fadhail, sebab semuanya adalah syariat.

Inilah tiga syarat penting diperbolehkan beramal dengan hadith lemah:

1. Hadith itu tidak maudhu’.

2. Orang yang mengamalkannya mengetahui bahawa hadith itu dhaif.

3. Tidak memasyhurkan beramal dengannya.

Tetapi sangat sayang sekali, kita menyaksikan kebanyakan ulama lebih-lebih lagi orang awam meremehkan syarat-syarat ini. Mereka mengamalkan suatu hadith tanpa mengetahui kelemahannya. Kalaupun mereka mengetahui kelemahannya, mereka tidak mengetahui apakah kelemahannya ringan atau sangat parah sehingga tidak boleh diamalkan. Kemudian mereka memasyhurkannya sebagaimana halnya beramal dengan hadith sahih! Oleh kerana itu, banyak ibadah-ibadah di kalangan kaum muslimin yang tidak sahih dan memalingkan mereka dari ibadah-ibadah yang sahih yang diriwayatkan dengan sanad-sanad yang sahih.

Kemudian syarat-syarat tersebut menguatkan pendapat kami bahawa sebahagian besar ulama tidak menginginkan makna yang kami anggap kuat tadi. Sebab satu pun di antara syarat-syarat itu tidak diterapkan sebagaimana yang terlihat.

Menurutku (Syeikh al-Albani), al-Hafiz Ibnu Hajar cenderung kepada tidak boleh beramal dengan hadith lemah berdasarkan ucapan beliau yang telah lalu bahawa tidak ada perbezaan antara mengamalkan suatu hadith dalam perkara hukum atau dalam fadhail sebab semuanya adalah syariat.

Inilah yang haq, kerana hadith dhaif yang tidak ada penguatnya kemungkinan adalah dusta, bahkan pada umumnya dusta dan palsu. Hal ini ditegaskan oleh sebahagian ulama. Orang yang membawakan hadith dhaif termasuk dalam ucapan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:

“...Yang tampak bahawa hadith itu dusta.” Iaitu dia menampakkan seperti itu. Oleh kerana itu, al-Hafiz menambahkan dengan ucapannya: “Maka bagaimana dengan orang yang mengamalkannya?!”

Hal ini dikuatkan dengan perkataan Imam Ibnu Hibban bahawa setiap orang yang ragu terhadap apa yang dia riwayatkan, sahih atau tidak sahih, maka dia termasuk dalam hadith (yang berisi ancaman tersebut). Dan kita katakan seperti perkataan al-Hafiz: “Maka bagaimana dengan orang yang mengamalkannya?”

Inilah penjelas dari maksud ucapan al-Hafiz tersebut. Adapun jika ucapan beliau dimaksudkan kepada larangan memakai hadith maudhu’ dan tidak ada perbezaan antara perkara hukum dan fadhail adalah sangat jauh dari konteks ucapan al-Hafiz. Sebab ucapan beliau adalah dalam pembahasan hadith dhaif, bukan maudhu’. Sebagaimana hal itu tidak tersembunyi.

Apa yang kami sebutkan tidak menafikan bahawa al-Hafiz menyebutkan syarat-syarat itu untuk mengamalkan hadith dhaif. Sebab kita katakan bahawa al-Hafiz menyebutkan perkataan itu kepada orang-orang yang membolehkan memakai hadith lemah dalam perkara fadhail selama tidak maudhu’. Seakan-akan beliau berkata kepada mereka: “Jika kalian berpendapat demikian maka seharusnya kalian menerapkan syarat-syarat ini.”

Al-Hafiz tidaklah menyatakan dengan tegas bahawa dia menyetujui mereka dalam pembolehan (beramal dengan hadith-hadith lemah, pent.) dengan syarat-syarat itu. Bahkan pada akhir ucapan beliau menegaskan sebaliknya seperti yang telah kita terangkan.

Kesimpulannya bahawa beramal dengan hadith lemah dalam perkara fadhailul a’mal tidak diperbolehkan sebab menyelisihi hukum asal dan tidak ada dalilnya. Orang yang membolehkannya harus memerhatikan syarat-syarat tersebut dan konsisten dengan syarat-syarat itu ketika mengamalkan hadith lemah. Wallahu muwaffiq.” Sampai di sini keterangan Syeikh al-Albani dalam Tamamul Minah, hal. 34 – 38.

[Lihat: Kelemahan Riwayat Tarawih 20 Rakaat karya Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani, halaman 122 – 128, terbitan Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2003]



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang, Kelantan.
11.00 pagi, Jumaat.
5 Oktober 2007
23 Ramadan 1428H.

Friday, September 28, 2007

Lailatul Qadar – Malam yang Lebih Baik Dari Seribu Bulan


Di malam-malam bulan Ramadhan ini kita akan menemui satu malam yang keutamaan dan kebaikannya melebihi seribu bulan, malam qadar atau lailatul qadar, demikian sebutannya. Setiap kaum muslimin pasti mengharapkan akan mendapati malam yang agung tersebut. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah menjelaskan kepada umatnya bagaimana keutamaan malam qadar, waktu dan ciri-cirinya.

Keutamaannya

Di antara keutamaan lailatul qadar ialah kebaikannya melebihi seribu bulan sebagaimana firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Qur’an) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apa malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Rabbnya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar.”
(al-Qadr: 1 – 5)

Waktunya

Yang paling kuat dari semua perkataan dan pendapat ulama tentang masalah waktunya adalah bahawa lailatul qadar ditemui pada salah satu dari sepuluh malam-malam ganjil terakhir dari bulan Ramadhan sebagaimana yang disebutkan dalam hadith Aisyah r.a, ia berkata:

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam beri’tikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan dan baginda berkata: “Carilah oleh kalian (dan dalam riwayat lain: tuntutlah oleh kalian) lailatul qadar pada malam (malam ganjil dari) sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan.”
(Bukhari dan Muslim)

Mengetahui waktu yang pasti tentang bilakah lailatul qadar telah dibawa ke depan, kerana ada manusia yang bertengkar, sebagaimana yang diriwayatkan dari ‘Ubadah bin Shamith r.a, ia berkata:

“Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada lailatul qadar dan dua orang dari kaum muslimin bertengkar, maka baginda bersabda: “Sesungguhnya aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kalian tentang bilakah lailatul qadar, maka bertengkarlah si fulan dan si fulan sehingga diangkat khabar tersebut, semoga yang demikian baik bagi kalian, maka carilah lailatul qadar itu pada yang kesembilan, ketujuh dan kelima (di dalam satu riwayat: “.. pada yang ketujuh, kesembilan dan kelima).”
(Bukhari)

Maka dari semua keterangan di atas dapat disimpulkan bahawa seorang muslim boleh mencari lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh terakhir bulan Ramadhan iaitu malam ke 21, 23, 25, 27 dan 29. Jika ia tidak mampu untuk mencarinya pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh terakhir maka hendaklah ia mencarinya pada malam-malam ganjil dari tujuh hari yang terakhir iaitu malam ke 25, 27 dan 29, wallahu a’lam.

Asy-Syeikh al-Albani rahimahullah menegaskan dalam kitabnya, Qiyamu Ramadhan, hal. 19, bahawa lailatul qadar adalah pada malam ke 27 dari bulan Ramadhan menurut pendapat yang rajih [kuat], kerana itulah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam mengumpulkan keluarga dan isteri-isterinya pada malam tersebut. Maka dengan demikian disunahkan juga bagi kaum wanita untuk turut menghadiri malam yang mulia ini.”

Hendaklah seorang muslim bersemangat untuk taat kepada Allah SWT dalam mencari lailatul qadar menghidupkannya dengan keimanan dan bersemangat untuk mendapatkan pahalanya yang besar, kerana jika ia berbuat yang demikian Allah SWT akan mengampunkan apa yang telah lalu dari dosa-dosanya.

Dan disunnahkan juga untuk berdoa dan memperbanyakkan doa pada malam tersebut, sebagaimana yang telah diriwayatkan dari Aisyah r.a, ia berkata:

“Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu jika aku mendapat lailatul qadar tersebut, apa yang harus aku ucapkan?” Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Katakanlah: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf yang suka memberi maaf maka maafkanlah aku.”
(Tirmizi dan Ibnu Majah dengan sanad yang sahih)

Ciri-cirinya

Sesungguhnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan sifat dan keadaan pada pagi hari dari lailatul qadar agar seorang muslim mengetahui pada malam apa lailatul qadar tersebut.

“Dari Ubay r.a, ia berkata: “Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Matahari terbit pada pagi hari lailatul qadar tanpa bersinar, seakan-akan matahari tersebut adalah sebuah bejana sehingga bertambah tinggi (naik).”
(Muslim)

“Dari Ibnu Abbas r.a, ia berkata: “Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Lailatul qadar adalah malam yang lapang/luas dan cerah, tidak panas dan tidak pula sejuk. Matahari terbit pada pagi harinya dalam keadaan lemah kemerah-merahan.”
(Thayalisi, Ibnu Khuzaimah, al-Bazzar dan sanadnya hasan)

[Lihat: Kelemahan Riwayat Tarawih 20 Rakaat karya Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani, halaman 163 – 166, terbitan Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2003]

Tingkatan Hadith-hadith Sahih:

a. Hadith yang diriwayatkan dengan sanad yang paling sahih tingkatannya, seperti Malik, daripada Nafi’, daripada Ibn Umar.

b. Hadith yang disepakati oleh al-Bukhari dan Muslim dalam kitab sahih mereka, hal ini kerana sekalian ulama telah sepakat menerima kesahihan bagi kedua-dua kitab tersebut.

c. Hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari sahaja.

d. Hadith yang diriwayatkan oleh Muslim sahaja.

e. Hadith yang menurut syarat al-Bukhari dan Muslim tapi tidak dikeluarkan dalam kitab sahih mereka.

f. Hadith yang menurut syarat al-Bukhari tapi tidak dikeluarkan dalam kitabnya.

g. Hadith yang menurut syarat Muslim tapi tidak dikeluarkan dalam kitabnya.

Hadith yang sahih menurut ulama lain seperti Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban meskipun tidak menurut syarat yang ditetapkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

Demikian, sepertimana yang disebutkan oleh Ibn Taimiyyah dalam kitabnya “Muntaqa al-Akhbar min Ahadith sayyid al-Akhyar”, beliau menyebutkan hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Ahmad dengan sebutan “Muttafaq alaih” dan hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim dengan sebutan “Akhrajahu.”

[Lihat: Cara Mudah Memahami Ilmu-ilmu Hadith (terjemahan Mabahith fi ‘Ulum al-Hadith) karya Syeikh Manna’ Khalil al-Qathan, halaman 138 – 139, terbitan Pustaka Jiwa, Kuala Lumpur, 2006]

Semoga kita, mudah-mudahan mendapat lailatul qadar pada ramadan ini. Selamat memperhambakan diri kepada Allah, mencari lailatul qadar. Juga memohon petunjuk, keampunan dan rahmat-Nya.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang, Kelantan.
12.17 tengah hari, Jumaat.
28 September 2007
16 Ramadan 1428H.

Sunday, September 02, 2007

Rencana ulasan puisi karya Mufti Perlis


Kita sudah sedia maklum bahawa ulama besar Islam seperti 'Abdullah bin Mubarak dan Imam Al-Syafi'i juga merupakan seorang penyair. Ulama yang terkemudian daripada mereka seperti Syed Qutb dan Profesor Dr. Hamka juga merupakan sasterawan besar yang sangat dikenali. Pastinya tidak pelik apabila Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin tiba-tiba menulis sebuah puisi berjudul Aku Rela. Puisi ini menggambarkan kelukaan hatinya selama memegang jawatan mufti di negeri Perlis yang telah mengundang pelbagai reaksi masyarakat dengan kelantangan beliau mengeluarkan pelbagai pendapat.

Puisi tersebut disiarkan dalam blognya di Internet yang selalunya diisi dengan pelbagai rencana agama ilmiah yang boleh diakses di www.drmaza.blogspot.com. Tentunya ramai juga yang tidak mengetahui bahawa Dr. Mohd Asri juga meminati puisi Menambat Rakit karya Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan beliau juga pernah membacakan puisi tersebut di dalam kuliahnya di Universiti Sains Malaysia.

Dr. Mohd Asri juga seringkali memetik kata-kata lunak dan indah yang pernah diungkapkan oleh orang-orang terdahulu termasuk para ulama silam dalam kuliah-kuliah beliau, maka tidak hairanlah apabila beliau sendiri kemudiannya meluahkan kata-kata yang lunak dalam bentuk puisi. Puisi Aku Rela dihasilkan dalam dua rangkap dengan terdiri daripada 15 baris pada rangkap pertama dan lima baris pada rangkap kedua yang juga menjadi rangkap terakhir puisi beliau.


*Baca selanjutnya, rujuk akhbar Mingguan Malaysia hari ini dalam ruangan sastera.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
1.23 tengah hari, 2 September 2007.
Bersamaan 20 Sya'ban 1428 H, Ahad.

Thursday, August 16, 2007

Dapatkan antologi cerpen 9!


Dapatkan dan baca Antologi 9 (Himpunan Cerpen Pengarang MPR Terpilih Siri 1)

Akan dilancarkan jam 9 pagi, 18 Ogos ini di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.


Cinta Menyala Di Constantinople
Oleh: Fahd Razy

Teratai
Oleh: Amir Mukhriz

Homo Fabulans Homo Islamicus
Oleh: Faisal Tehrani

Rumah Nurul Iman
Oleh: Ghafirah Idris

Elegi Puteri Sa'adong
Oleh: Nasriah Abdul Salam

Sepaun Daging Hutang
Oleh: Nisah Haji Haron

Warna-Warni Aidilfitri
Oleh: Saharil Hasrin Bin Sanin

Selembar Sejadah Di Lantai Madrasah
Oleh: Salman Sulaiman

Demi Cintamu, Husnil Khatimah
Oleh: Zaid Akhtar


Sumber: Blog Faisal Tehrani

Untuk lihat cover antologi 9!, lihat blog www.tehranifaisal.blogspot.com.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
12.01 tengah hari, 16 Ogos 2007.
Khamis, 3 Syaaban 1428 H.

Saturday, August 11, 2007

DISKUSI KARYA ALUMNI MPR DI DBP, KL PADA 18 OGOS 2007


(NOVEL, CERPEN DAN PUISI 2007)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Pihak Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) dengan sukacitanya menjemput para penggiat dan peminat sastera ke program DISKUSI KARYA ALUMNI MPR 2007 (NOVEL, CERPEN DAN PUISI) yang akan diadakan pada 18 Ogos 2007 (Sabtu) bertempat di DBP.

Maklumat lanjut berkenaan diskusi tersebut adalah seperti berikut:


TENTATIF DISKUSI KARYA ALUMNI MPR NOVEL, CERPEN DAN PUISI 2007


TARIKH : 18 OGOS 2007


TEMPAT: DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, KL


MASA: 9.00 PAGI HINGGA 4.00 PETANG


9.00 PAGI - PENDAFTARAN


9.20 PAGI - UCAPAN PENGERUSI MAJLIS DAN BACAAN DOA


9.30 PAGI- DISKUSI NOVEL


NOVEL 1- JUSTERU IMPIAN DI JARING KARYA ZAID AKHTAR

PEMBENTANG : DR KAMARIAH KAMARUDDIN (UPM)

NOVEL 2- LADANG HATI MUSTIKA KARYA UMMU HANI ABU HASSAN

PEMBENTANG : PROF MADYA AMIDA ABDUL HAMID

NOVEL 3 - MISI PIRAMID KARYA IDA MUNIRA ABU BAKAR

PEMBENTANG : DR MISRAN ROKIMIN


11.30 PAGI - BERKONGSI PENGALAMAN DENGAN PENULIS NOVEL


PEMBENTANG :

ZAID AKHTAR

UMMU HANI ABU HASSAN

IDA MUNIRA ABU BAKAR


12.30 PETANG - REHAT DAN MAKAN TENGAH HARI


2.00 PETANG - DISKUSI CERPEN DAN PUISI

SESI SATU (CERPEN)

PEMBENTANG : SAUDARA SM ZAKIR

CERPEN :1. J e Zu Be (Ummu Hani Abu Hassan) Dewan Siswa 2007

2. Surat Buat Kristina (Ghafirah Idris) Dewan Kosmik 2007

3. Selembar Sejadah di Lantai Madrasah ( Salman Sulaiman) MASA 2006

4. Mencari Qudwah (Ainul Muaiyanah Muhd Sulaiman) Dewan Siswa 2006

5. Mati Pasti Menang ( Abdul Rauf Baharuddin) Tunas Cipta 2005

6. Sayang Si Mamat (Nur Afiqah Abu Samah) Tunas Cipta 2006

7. Ustazah Es (Amir Muhkriz) Antologi Kudeta

8. Warkah Perang Melaka (Khairul Nizam Raub)


SESI DUA (PUISI)


PEMBENTANG : SAUDARA RAHIMIDIN ZAHARI

PUISI:

1. Menyembelih Haiwan (Fahd Razy) Dewan Sastera 2006

2. Mantera Ababil ( Azizul Ikhwan) Tunas Cipta 2005

3. Kasih Siapa (Nurul Iman Dashuki) Dewan Siswa 2006

4. Segugus Kunci ( Nissa Yusuf) Utusan Melayu 2007

5. Nyanyian Seorang Teman (Azree Arifin) Dewan Siswa 2007

6. Tangisan Luka (Farahana Hussain) Tunas Cipta 2006

7. Kisah Kasih II (Mohd Hafiz Abdul Latiff) Remaja 2005

8. Azam Baru (Nimoiz TY) Dewan Sastera, 2007

9. Salam Buat Nablus II (Khairunnasriah Abdul Salam)

10. Bukan Remang Sangka (Ida Munira Abu Bakar) Tunas Cipta 2006


4.00 PETANG - MINUM PETANG DAN BERSURAI


* Mohon hebahkan maklumat ini. Sebarang pertanyaan lanjut sila hantarkan emel ke mantan_mpr@yahoo.com.my. Terima kasih.

Sumber: E-mel daripada sifu Faisal Tehrani.


Kenyataan daripada Salman Sulaiman:

"Maaf, semua teman MPR, saya tidak dapat hadir pada esok hari iaitu perjumpaan di KL Sentral dan juga pada diskusi nanti. Kedua-duanya saya tidak dapat hadir. Maaf sangat-sangat. Moga-moga program nanti dirahmati Allah dan berjalan lancar. Berbanyak terima kasih kerana turut memilih sebuah cerpen saya untuk dibicarakan. Terima kasih."



Salman Sulaiman

Padang Raja, Machang.
7.48 malam, 11 Ogos 2007.
Sabtu, 27 Rejab 1428 H.

Thursday, May 10, 2007

Pengarang muda perlu berani terbit karya mereka sendiri


DIALOG Pinggir Pena: Masa Hadapan Sastera di Tangan Penulis Muda mempamerkan kesedaran pentingnya pengarang muda membukukan karya mereka sama ada secara persendirian mahupun bersama-sama penulis lain.

Tindakan menghasilkan kumpulan atau antologi cerpen dan puisi diyakini dapat memberi jawapan tuntas kepada dakwaan yang meletakkan pengarang alaf baru tidak memiliki kekuatan sekental penulis sastera sekitar 1980-an dan 1990-an.


Penulis muda, Salman Sulaiman, berharap penulis segenerasinya bersedia menyahut cabaran untuk menerbitkan buku dan tidak hanya bergantung kepada wahana penerbitan sedia ada seperti akhbar serta majalah.

“Penulis muda perlu memiliki jiwa sasterawan yang sanggup berkorban sepanjang hidup dengan mengusahakan penerbitan buku karya mereka. Tidak sepatutnya ada kebimbangan akan mengalami kerugian,” katanya pada majlis di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Salman turut menasihat penulis muda agar tidak mengambil pusing terhadap tanggapan yang cuba menimbulkan keraguan mengenai kemungkinan buku terutama genre puisi tidak terjual.

“Saya sebenarnya berasa tercabar apabila mendengar dakwaan mengenai bahawa penulis segenerasi saya dikatakan tidak bermaya berbanding penulis terdahulu,” katanya pada majlis yang dipengerusikan Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Sharun Nizal Mohd Noor.

Baca selebihnya di www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Sastera/20070510071937/Article/
atau dapatkan saja senaskhah Berita Harian hari ini di pasaran.

Sumber: www.bharian.com.my



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
11.39 pagi, Khamis.
10 Mei 2007, 22 Rabiulakhir 1428 H.

Tuesday, May 01, 2007

Sungguh, aku memang sangat-sangat kecewa dengan kamu penulis muda!


Sungguh, aku memang sangat-sangat kecewa dengan kamu penulis muda! Mengapa saya mesti memulakan catatan kali ini dengan kalimah pedih ini? Ilham untuk kalimah tajuk yang pedih ini tentu saja bermula seawal beberapa ketika sebelum dimulakan majlis Dialog Pinggir PENA dengan judul Masa Hadapan Sastera di Tangan Penulis Muda pada 28 April lalu yang seperti hampir-hampir tidak jadi dan hampir-hampir terbatal.

Saya diminta oleh pihak PENA hadir sebagai salah seorang ahli panel pada majlis dialog tersebut bersama dua orang lagi ahli panel iaitu Siti Hajar Mohd Zaki dan Fadli Al-Akiti. Malah, Siti Hajar juga akhirnya tidak dapat hadir. Tinggal kami berdua sajalah sebagai ahli panel, saya dan Fadli Al-Akiti. Majlis yang sepatutnya dimulakan pada jam 10.30 pagi itu terpaksalah dilambatkan hanya kerana menunggu kelibat penulis muda yang tak muncul-muncul. Yang muncul hanya sekadar beberapa orang. Rekod kehadiran yang sangat mengecewakan. Dan, setelah Siti Hajar sendiri selaku ahli panel menarik diri, majlis kami hari itu langsung tidak disertai oleh insan yang berjantina perempuan. Dari kaum Hawa, memang langsung tidak ada – penulis atau peminat sastera. Saya juga mahu bertanya, ke mana perginya penulis muda wanita Malaysia?

Saya sudah mula gusar, runsing juga kalau majlis itu tidak jadi hanya kerana ketiadaan khalayak. Maka sia-sialah kedatangan saya yang jauh dari Machang semata-mata hanya untuk berdialog dan memberi beberapa penegasan penting kepada teman-teman seangkatan saya, generasi penulis muda. Sia-sialah saya datang jauh dari Kelantan hanya kerana ingin berdialog dengan teman-teman penulis muda tapi mereka tidak ada, langsung tak nampak batang hidung.


Sejak dari Kelantan lagi, saya berkira-kira bahawa bicara saya nanti paling tidak pun akan didengar oleh 20 orang lebih teman-teman penulis muda yang segenerasi dengan saya. Dan saya membayangkan mereka akan mengajukan pelbagai soalan setelah mendengar saya mencabar mereka dengan kertas kerja saya. Aduh, rupa-rupanya sasaran saya jauh meleset. Penulis muda yang saya harapkan tidak ada. Saya tertanya-tanya, pertanyaan itu tidak putus-putus – di atas kereta Lutfi ke PWTC, dalam LRT ke Gombak, di atas bas ke Pinggiran Batu Caves, di atas bas nombor 57 kembali ke KL, dan lebih lama di atas bas transnasional balik ke Kelantan dan sampailah saya tiba semula di Machang petang semalam – ke mana perginya penulis muda Malaysia?

Penulis muda yang saya mahu lihat ada di majlis tersebut bukan kelompok Rahimidin Zahari, SM Zakir, Shamsudin Othman, Ana Balqis, Faisal Tehrani, Siti Jasmina Ibrahim, Zaid Akhtar, Nisah Haron, Mawar Shafei atau ramai lagi yang seangkatan dengan mereka. Saya memang langsung tidak kecewa dengan mereka. Mereka sudah menghasilkan banyak buku dan kehebatan mereka berkarya memang sudah diiktiraf dengan pelbagai anugerah. Dan kekuatan mereka memang ternyata telah terbukti. Yang saya mahu lihat muncul pada majlis dialog tersebut ialah penulis-penulis muda yang seangkatan dengan saya, penulis-penulis segenerasi yang kedengarannya agak ramai itu. Tapi, saya sangat kecewa apabila mereka yang saya harapkan, tiada.

Kalau beginilah keadaannya penulis muda Malaysia, bagaimana ingin memartabatkan sastera di masa hadapan? Ya, bagaimana ingin memartabatkan sastera masa hadapan kalau sastera yang sekarang ini pun sudah begini jadinya. Yang buatkan saya sangat kecewa, bagaimana saya yang jauh dari Kelantan boleh saja sampai ke Kuala Lumpur hanya kerana mahu berdialog dan berbicara dengan teman-teman penulis yang seangkatan dengan saya. Saya bukan datang dengan kapal terbang, hanya dengan bas. Saya bukan ditaja tidur di hotel, hanya menumpang di rumah teman penulis senior di Gombak. Jauh sekali untuk dibawa oleh pemandu dengan kereta besar ke tempat penginapan. Tidak ada apa yang istimewanya dengan ahli panel kecil seperti saya. Tapi saya tetap datang juga kerana mahu melihat kegemilangan sastera masa hadapan di tangan penulis muda. Tapi, bagaimana sastera masa hadapan mahu gemilang kalau penulis mudanya tidak ada?

Dan saya mahu bertanya juga, bagaimana penulis muda yang sudah sedia ada di Kuala Lumpur tidak boleh hadir? Dari rumah lagi, saya menganggarkan mesti ramai penulis muda yang datang pada majlis dialog itu kerana berkebetulan pada masa yang sama, berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 – tentu saja ramai penulis yang datang ke majlis dialog sambil singgah ke pesta buku. Begitu yang ada dalam anganan saya. Rupanya tidak. Memang Malaysia sudah tidak ada penulis muda agaknya.

Dan, untuk penulis-penulis muda yang segenerasi dengan saya, yang kelihatannya ramai muncul pada tahun 2000 dan ke atas itu – jawablah tulisan ini kalau anda rasa anda itu penulis muda dan berbuatlah sesuatu untuk sastera Malaysia. Tapi, kalau anda rasa anda bukan penulis muda atau bukan penulis, tak payah jawablah tulisan ini. Kalau nak pergi ke majlis sastera pun sudah tidak ada semangat, tak payahlah mengaku diri sebagai penulis muda. Kalau sudah rasa diri anda itu bukan penulis muda, tak payahlah sahut cabaran ini, tak payahlah terbit buku (teruslah mengaku jadi penulis walau tak ada sebuah buku pun), tak payahlah pergi majlis sastera, duduk diam-diamlah, tak payah buat apa-apalah untuk sastera Malaysia dan tak payahlah buat apa-apa juga untuk sastera masa hadapan. Ya, kalau anda rasa diri anda itu bukan penulis muda, tak payahlah buat semua itu. Duduk diam-diamlah, biarlah sastera Malaysia pupus hancur. Biarlah, bukankah Malaysia sudah ketiadaan penulis muda?

Tunggu, banyak lagi tulisan saya yang perlu kamu jawab wahai penulis muda! Tunggu saja, kalau kamu benar-benar penulis muda dan kalau kamu benar-benar mahu memartabatkan sastera di masa hadapan.

Saya hanya mahu menegaskan sekali lagi atau sejuta kali lagi, dan lagi –
sungguh, aku memang sangat-sangat kecewa dengan kamu penulis muda!



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang, Kelantan.
11.56 malam, Isnin.
30 April 2007.
12 Rabiulakhir 1428 H.