skip to main |
skip to sidebar
Hadith-hadith Lemah yang Berkaitan Dengan Bulan Ramadhan (Pendahuluan)
Seringkali kita mendengar para khatib di atas mimbar membawakan hadith-hadith tentang Ramadhan dan keutamaannya. Di antara hadith-hadith yang mereka bawakan ada yang sahih dan ada yang dhaif, bahkan maudhu’ (palsu). Namun sangat sayang, ketika membawakan hadith-hadith lemah, mereka tidak menerangkan tentang kelemahannya kepada hadirin yang awam tentang permasalahan hadith sehingga orang-orang yang mendengarnya menyangka bahawa hadith-hadith itu adalah ucapan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, padahal sama sekali bukan!
Oleh kerana itu, di sini dicuba dikemukakan permasalahan ini sebagai nasihat kepada seluruh kaum muslimin, sama ada para khatibnya mahupun para pendengarnya.
Tidak Boleh Beramal Dengan Hadith Lemah Dalam Hal Fadhailul A’mal (Keutamaan Amal)
Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani rahimahullah berkata:
“Di kalangan ahli ilmu dan para penuntut ilmu telah masyhur bahawa hadith dhaif boleh diamalkan dalam fadhailul a’mal. Mereka menyangka bahawa perkara ini tidak diperselisihkan. Bagaimana tidak, Imam Nawawi rahimahullah menyatakan dalam berbagai kitab beliau bahawa hal itu telah disepakati. Tetapi kenyataan beliau itu terbantah kerana perselisihan dalam masalah ini ma’ruf. Sebahagian besar para muhaqqiq (pengkaji hadith) berpendapat bahawa hadith dhaif tidak boleh diamalkan secara mutlak, sama ada dalam perkara-perkara hukum mahupun keutamaan-keutamaan.
Syeikh al-Qasimi rahimahullah dalam kitab Qawaid at-Tahdith, hal. 94 mengatakan bahawa pendapat tersebut (yakni hadith dhaif tidak diamalkan secara mutlak, pent.) diceritakan oleh Ibnu Sayyidin Nas dalam kitab ‘Uyunul Athar dari Yahya bin Ma’in dan dalam kitab Fathul Mughith beliau menyandarkannya kepada Abu Bakar bin al-Arabi. Pendapat itu juga merupakan pendapat Bukhari, Muslim dan Ibnu Hazm.
Aku (Syeikh al-Albani) katakan bahawa inilah yang benar menurutku, tidak ada keraguan padanya kerana beberapa perkara:
Pertama: Hadith dhaif hanya mendatangkan sangkaan yang salah (dhanul marjuh). Tidak boleh beramal dengannya berdasarkan kesepakatan. Barangsiapa mengecualikan boleh beramal dengan hadith dhaif dalam fadhailul a’mal, hendaknya dia mendatangkan bukti. Sungguh, sangat jauh!
Kedua: Yang aku fahami dari ucapan mereka tentang fadhailul a’mal iaitu amal-amal yang telah disyariatkan berdasarkan hadith sahih, kemudian ada hadith lemah yang menyertainya yang menyebutkan pahala khusus bagi orang yang mengamalkannya. Maka hadith lemah dalam keadaan seperti ini boleh diamalkan dalam fadhail a’mal [yakni dari segi adanya dalil tentang asal amal itu, bukan dari segi adanya dalil yang menetapkan pahala yang khusus pada amal itu, Ilmu Usulil Bida’, hal. 15], kerana hal itu bukan pensyariatan amal itu tetapi semata-mata sebagai keterangan tentang pahala khusus yang diharapkan oleh pelakunya. Oleh kerana itu ucapan sebahagian ulama dimaksudkan seperti ini.
Seperti Syeikh Ali al-Qari rahimahullah dalam kitab Al-Mirqah 2/381 mengatakan bahawa hadith lemah diamalkan dalam perkara fadhail walaupun tidak didukung secara ijma’ sebagaimana keterangan Imam Nawawi. Iaitu pada amal yang sahih berdasarkan kitab dan sunnah.
Dengan dasar inilah maka beramal dengan hadith lemah diperbolehkan jika telah ada hadith sahih yang menunjukkan disyariatkannya amal itu. Akan tetapi kebanyakan orang yang berpendapat seperti itu tidak memaksudkan makna itu. Buktinya kita menyaksikan mereka beramal dengan hadith-hadith dhaif yang tidak terkandung dalam hadith-hadith sahih. Seperti Imam Nawawi dan yang mengikutinya menganggap sunnah menjawab ucapan orang yang mengumandangkan iqamah ketika mengucapkan dua kalimat (qad qamatis salah, qad qamatis salah) dengan ucapan aqamahallah wa adamaha (semoga Allah menegakkannya dan melazimkannya), padahal hadith tentang masalah ini lemah. Amal ini tidak ditetapkan pensyariatannya kecuali pada hadith lemah tersebut. Meskipun demikian mereka menganggap hal itu sunnah. Padahal perkara sunnah adalah salah satu hukum di antara kelima-lima hukum [yakni wajib, sunnah, mubah, makruh dan haram] yang harus ditetapkan berdasarkan dalil.
Betapa banyak perkara-perkara yang mereka anggap disyariatkan dan disunnahkan bagi manusia hanya didasari dengan hadith-hadith dhaif yang tidak ada asal pensyariatannya dalam hadith sahih. Akan tetapi di sini tidak mungkin untuk mencantumka berbagai contoh. Cukuplah satu contoh yang telah aku sebutkan.
Yang terpenting di sini adalah hendaklah orang-orang yang menyelisihi hal ini mengetahui bahawa beramal dengan hadith lemah dalam perkara fadhail tidak muklak menurut orang-orang yang berpendapat dengannya. Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata dalam kitab Tabyinul ‘Ujab, halaman 3 – 4 bahawa para ahli ilmu telah bermudah-mudah dalam membawakan hadith-hadith tentang fadhail walaupun memiliki kelemahan selama tidak maudhu’ (palsu). Seharusnya hal itu diberi syarat iaitu orang yang beramal dengannya meyakini bahawa hadith itu lemah dan tidak memasyhurkannya sehingga orang tidak beramal dengan hadith lemah dan mensyariatkan apa yang tidak disyariatkan. Atau sebahagian orang-orang jahil menyangka bahawa hadith itu adalah sahih. Hal ini juga ditegaskan oleh al-Ustaz Abu Muhamad bin Abdus Salam dan lain-lain.
Hendaknya setiap orang bimbang jika termasuk dalam ancaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:
“Barangsiapa menceritakan dariku satu hadith yang dianggap dusta, maka dia termasuk pendusta.”
Maka bagaimana orang yang mengamalkannya?! Tidak ada perbezaan antara mengamalkan suatu hadith dalam perkara hukum atau dalam perkara fadhail, sebab semuanya adalah syariat.
Inilah tiga syarat penting diperbolehkan beramal dengan hadith lemah:
1. Hadith itu tidak maudhu’.
2. Orang yang mengamalkannya mengetahui bahawa hadith itu dhaif.
3. Tidak memasyhurkan beramal dengannya.
Tetapi sangat sayang sekali, kita menyaksikan kebanyakan ulama lebih-lebih lagi orang awam meremehkan syarat-syarat ini. Mereka mengamalkan suatu hadith tanpa mengetahui kelemahannya. Kalaupun mereka mengetahui kelemahannya, mereka tidak mengetahui apakah kelemahannya ringan atau sangat parah sehingga tidak boleh diamalkan. Kemudian mereka memasyhurkannya sebagaimana halnya beramal dengan hadith sahih! Oleh kerana itu, banyak ibadah-ibadah di kalangan kaum muslimin yang tidak sahih dan memalingkan mereka dari ibadah-ibadah yang sahih yang diriwayatkan dengan sanad-sanad yang sahih.
Kemudian syarat-syarat tersebut menguatkan pendapat kami bahawa sebahagian besar ulama tidak menginginkan makna yang kami anggap kuat tadi. Sebab satu pun di antara syarat-syarat itu tidak diterapkan sebagaimana yang terlihat.
Menurutku (Syeikh al-Albani), al-Hafiz Ibnu Hajar cenderung kepada tidak boleh beramal dengan hadith lemah berdasarkan ucapan beliau yang telah lalu bahawa tidak ada perbezaan antara mengamalkan suatu hadith dalam perkara hukum atau dalam fadhail sebab semuanya adalah syariat.
Inilah yang haq, kerana hadith dhaif yang tidak ada penguatnya kemungkinan adalah dusta, bahkan pada umumnya dusta dan palsu. Hal ini ditegaskan oleh sebahagian ulama. Orang yang membawakan hadith dhaif termasuk dalam ucapan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:
“...Yang tampak bahawa hadith itu dusta.” Iaitu dia menampakkan seperti itu. Oleh kerana itu, al-Hafiz menambahkan dengan ucapannya: “Maka bagaimana dengan orang yang mengamalkannya?!”
Hal ini dikuatkan dengan perkataan Imam Ibnu Hibban bahawa setiap orang yang ragu terhadap apa yang dia riwayatkan, sahih atau tidak sahih, maka dia termasuk dalam hadith (yang berisi ancaman tersebut). Dan kita katakan seperti perkataan al-Hafiz: “Maka bagaimana dengan orang yang mengamalkannya?”
Inilah penjelas dari maksud ucapan al-Hafiz tersebut. Adapun jika ucapan beliau dimaksudkan kepada larangan memakai hadith maudhu’ dan tidak ada perbezaan antara perkara hukum dan fadhail adalah sangat jauh dari konteks ucapan al-Hafiz. Sebab ucapan beliau adalah dalam pembahasan hadith dhaif, bukan maudhu’. Sebagaimana hal itu tidak tersembunyi.
Apa yang kami sebutkan tidak menafikan bahawa al-Hafiz menyebutkan syarat-syarat itu untuk mengamalkan hadith dhaif. Sebab kita katakan bahawa al-Hafiz menyebutkan perkataan itu kepada orang-orang yang membolehkan memakai hadith lemah dalam perkara fadhail selama tidak maudhu’. Seakan-akan beliau berkata kepada mereka: “Jika kalian berpendapat demikian maka seharusnya kalian menerapkan syarat-syarat ini.”
Al-Hafiz tidaklah menyatakan dengan tegas bahawa dia menyetujui mereka dalam pembolehan (beramal dengan hadith-hadith lemah, pent.) dengan syarat-syarat itu. Bahkan pada akhir ucapan beliau menegaskan sebaliknya seperti yang telah kita terangkan.
Kesimpulannya bahawa beramal dengan hadith lemah dalam perkara fadhailul a’mal tidak diperbolehkan sebab menyelisihi hukum asal dan tidak ada dalilnya. Orang yang membolehkannya harus memerhatikan syarat-syarat tersebut dan konsisten dengan syarat-syarat itu ketika mengamalkan hadith lemah. Wallahu muwaffiq.” Sampai di sini keterangan Syeikh al-Albani dalam Tamamul Minah, hal. 34 – 38.
[Lihat: Kelemahan Riwayat Tarawih 20 Rakaat karya Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani, halaman 122 – 128, terbitan Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2003]
Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang, Kelantan.
11.00 pagi, Jumaat.
5 Oktober 2007
23 Ramadan 1428H.
No comments:
Post a Comment