Monday, December 14, 2009

Menyusur Sungai Golok bersama Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said



Rakaman video oleh: Salman Sulaiman.

Warga e.Sastera.com sedang menyusur Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand bersama Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan isteri, Datin Rashidah pada tengah hari 13 Disember 2009, Ahad. Warga eSastera.com yang ada bersama di atas bot ialah Dr. Irwan Abu Bakar, Sasterawan Alam Siber (SAS) Anbakri, Saudara MB, Saudari Teratai dan anaknya, Salman Sulaiman dan Saudara Kriey.

Ketika di atas bot saya seboleh mungkin cuba merakamkan semuanya dengan keupayaan dan kemudahan yang ada; mendokumentasikan pengalaman manis ini dalam semua bentuk rakaman - video, visual dan tulisan. Sekejap merakam video, kemudian bertukar kepada rakaman visual tidak bergerak dan sesekali beralih kepada catatan di ruangan nota dalam telefon bimbit. Malah saya sempat mengirimkan sedikit catatan dalam SMS saya kepada seseorang yang saya tulis begini, "Assalamualaikum; sekarang atas bot di Sungai Golok. Ada bersama dalam bot ialah Pak Samad Said. Edisi penulis ronda-ronda Sungai Golok."

Di atas bas dalam perjalanan untuk makan tengah hari di sebuah restoran di pekan Rantau Panjang kemudiannya, saya memberitahu SAS Anbakri kira-kira begini, "Satu-satunya Sasterawan Negara yang menyusur Sungai Golok setakat ini ialah Pak Samad Said." Dan SAS Anbakri memberitahu supaya difokuskan satu tulisan khusus tentang itu. Kenangan menaiki bot di Sungai Golok tentunya menjadi antara pengalaman yang paling manis buat kami yang sempat bersama di atas bot bersama Pak Samad Said tengah hari itu, sehinggakan memberi ilham kepada Dr. Irwan Abu Bakar untuk mengadakan Sayembara Sungai Golok selepas ini.

Salman Sulaiman
Padang Selising, Machang.
10:09 malam, 14/12/2009.

Sunday, December 06, 2009

Syarahan Perdana Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas

Profesor Dr. Muhammad Naquib al-Attas diwawancara oleh Syeikh Hamzah Yusuf.

[Sumber video: www.youtube.com]


Seminar Sehari Pandangan Alam Islam dan Syarahan Perdana Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas

Tarikh: Ahad, 13 Disember 2009.

Masa: 8:15 pagi - 11:15 malam

Tempat: Institut Integriti Malaysia, Jalan Duta.

PENDAHULUAN

Dalam menghadapi kegentingan masalah masyarakat Islam dalam pelbagai bidang dewasa ini, satu usaha yang terencana dan teliti bagi merungkai masalah tersebut amat diperlukan. Oleh sebab itu, segala penyelesaian yang ingin dilakukan haruslah bermula dengan usaha memperbetulkan cara berfikir masyarakat Islam terutama yang berhubung dengan unsur-unsur penting yang membentuk alam pemikiran mereka. Bertitik tolak dari kesedaran tentang pentingnya usaha tersebut satu seminar sehari pengukuhan Pandangan Alam Islam akan dianjurkan oleh Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Institut Integriti Malaysia.

OBJEKTIF

1. Menekankan keutamaan Pandangan Alam Islam dalam kerangka berfikir masyarakat Islam.

2. Memantapkan kefahaman masyarakat, khasnya generasi muda, tentang Pandangan Alam Islam yang sebenar.

3. Menghuraikan unsur-unsur penting dalam Pandangan Alam Islam.

PENGANJUR

Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM)Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)Dengan kerjasama, Institut Integriti Malaysia (IIM)PESERTASasaran penyertaan sebanyak 200 orang (bagi Seminar) dan 500 orang (bagi Syarahan Perdana) daripada kalangan ahli akademik, ahli profesional, pelajar dan orang awam.

YURAN

Yuran Seminar dan Syarahan Perdana:

Profesional: RM100

Pelajar: RM35

Yuran untuk Syarahan Perdana sahaja:

Profesional: RM50

Pelajar: RM20

TENTATIF PROGRAM

9.00 – 10.30 pagi Perasmian oleh Tetamu Kehormat

Ucap Utama oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, UKM

Tajuk: Pengukuhan Pandangan Alam Islam Di Kalangan Masyarakat Islam Kini: Cabaran dan Harapan

11.00 – 1.00 ptg Sidang Pertama

Pembentang:

1. Dr. Mohd Zaidi Ismail, IKIM

Tajuk: Faham Ilmu Dalam Islam: Satu Pengenalan Ringkas

2. Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, UIAM

Tajuk: Makna dan Matlamat Agama dalam Islam

2.00 – 3.30 ptg Sidang Kedua

Pembentang:

1. Dr. Mohd Sani Badron, IKIM

Tajuk: Adab dan Ta’dib sebagai Asas Pendidikan Islam

2. Dr. Adi Setia Mohd Dom, UIAM

Tajuk: Islam dan Falsafah Sains

3.45 - 5.30 ptg Sidang Tiga

Pembentang:

1. Dr. Ahmad Bazli Shafie, UMT

Tajuk: Pandangan Islam terhadap Tradisi dan Kemodenan

2. Dr. Wan Azhar Wan Ahmad, IKIM

Tajuk: Islam dan Cabaran Sekularisasi dan Pembaratan

5.30 - 8.30 Rehat

9.00 – 11.00 mlm: Syarahan Perdana ( Dalam Bahasa Inggeris/In English)

Oleh: Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas

Ini kali pertama setelah 6 tahun hiatus, Prof. al-Attas tampil untuk syarahan di ruangan awam. Bagi para peminat beliau silalah datang! Ajak kawan-kawan foreigner sekali untuk syarahan malam ini!

[Sumber promosi dan iklan ini: www.rausyanfikir.com]

*Untuk menyertai seminar dan syarahan perdana, sila ke www.rausyanfikir.com.

Saturday, December 05, 2009

Jika kamu mahu kata ini pun cerpen, suka hati kamulah!


Bila aku kata kamu bukan penulis, kamu marah-marah. Tentu kamu akan lagi marah bila aku kata kamu hanya penyalin kata-kata, bukan penulis. Mesti kamu akan marah sampai muka kamu pun pasti jadi merah.

Aku ingat lagi kata-katamu, “Kita ini penulis. Bukankah penulis itu pemikir – yang bukan saja menulis karya yang kreatif tetapi juga karya yang berilmu?”

Aku menegaskan, “Benar, penulis itu pemikir. Tapi bukan penyalin kata-kata. Pemikir dan penyalin kata-kata sangat jauh berbeza.”

Aku belum habis lagi, “Yang berilmu bagaimana maksudmu? Dengan menyalin sekian banyak maklumat dari buku yang kau baca itu kau kata berilmu?”

“Aku sudah katakan tadi, pemikir dan penyalin memang sama sekali lain. Memang lain,” aku menegaskan lagi.

Aku masih belum berpuas hati, “Kalau menjadi penyalin senang saja, ambil sebanyak mungkin rujukan dan salin mengikut apa saja tajuk yang dimahukan. Maka jadilah ia sebuah tulisan yang kamu namakan cerpen. Semua penulis boleh saja menjadi penyalin, cuma tidak semua yang boleh menjadi pemikir dan pencerita yang baik.”

Aku memang masih belum berpuas hati, “Bukankah cerpen itu asalnya ‘cerita pendek’, diringkaskan dan digabungkan jadi ‘cerpen’.”

Kamu masih juga diam memikirkan dan biarlah aku yang teruskan kalau begitu, “Kalau memasukkan terlalu banyak ilmu sampai menyusahkan pembaca untuk memahami lebih baik tulis saja rencana atau esei ilmiah. Tak payah tulis cerita,” aku semakin bersemangat dan kening kamu seperti berkerut, “Ditambah lagi dengan perkataan yang sukar difahami yang begitu banyak dalam ceritamu. Kamu sengaja tidak henti-henti membelek kamus, mencari sebanyak mungkin perkataan yang jarang didengari untuk dimasukkan dalam setiap ayat dalam cerpenmu. Kamu sengaja mahu menunjukkan kamu itu lebih pandai daripada orang lain. Akhirnya karya kamu hanya dibaca oleh golongan penulis sahaja tapi tidak mampu dibaca oleh khalayak biasa. Jadi, apa guna kamu menjadi penulis kalau hanya mahu menyampaikan ilmu kepada golongan yang sudah berilmu?” Kamu hanya diam membisu dan jadi kelu.

“ ‘Apa yang pembaca mahu’ dengan ‘apa yang kamu tahu’ sebagai penulis juga perlu pandai kamu bezakan dan mesti kamu seimbangkan dalam cerpen kamu. Memanglah, kalau pembaca remaja sekarang semuanya mahukan yang mudah-mudah. Dan ‘apa yang kamu tahu’ pula tentunya segala macam ilmu yang payah-payah – yang kamu kutip daripada ratusan buku rujukan yang kamu baca. Maksudku kedua-dua hal inilah yang perlu pandai kamu seimbangkan supaya cerpen kamu itu tidak menjadi cerpen yang entah apa-apa atau cerpen yang terlalu menyusahkan pembaca,” aku tetap menegaskan juga.

Kamu hanya terus menegaskan bertalu-talu, “Sebuah karya sastera itu mesti berilmu. Perlu menerapkan pelbagai ilmu bantu. Memanglah penulis perlu menulis apa yang dia tahu. Mana mungkin penulis menulis apa yang dia tidak tahu.”

Aku hanya mahu kamu berfikir lebih mendalam lagi, “Yang perlu kamu tahu dan mesti kamu terapkan dalam tulisanmu ialah ilmu yang mengalir serentak dengan cerita. Ilmu mesti ada keharmonian dengan cerita, bukan sekadar kelihatan seperti ditampal-tampal hanya kerana mahu menunjukkan kononnya kamu banyak membaca dan tahu segala-gala.”

“Kamu katakan berilmukah tulisan kamu setelah kamu masukkan pelbagai kutipan daripada segala macam sarjana dan pemikir orang putih yang bukan Islam? Kamu bangga dapat menyebut nama mereka serta segala macam kutipan daripada tulisan mereka.”

“Bukankah ilmu yang baik itu boleh diambil daripada sesiapa sahaja – dari Barat atau Timur, daripada Muslim atau bukan Muslim?” Kamu pun nampaknya semakin petah berhujah.
Restoran tempat biasa kita selalu makan agak padat dengan pelanggan tengah hari ini. Hanya satu dua sahaja kerusi yang kosong pada setiap meja. Restoran yang besar sedikit daripada gelanggang badminton ini menjadi semakin bising. Ramai yang makan sambil bercakap, lebih-lebih lagi kita berdua. Aku sudah hampir-hampir macam orang menyampaikan kuliah agama aku rasa dan kamu pun apa kurangnya – kadang-kadang aku tengok sudah seperti orang berceramah politik jadinya. Apa pun, kita masih tetap sahabat yang paling bahagia. Selalu bersama. Berdebat berhujah itu sudah jadi perkara biasa antara kita berdua.

Kamu kata kamu penulis yang suka mendengar ceramah politik dan aku penulis yang suka mendengar kuliah agama. Katamu, itu dua hal yang sangat berbeza. Sesudah berfikir seketika, memang bersungguh-sungguh kamu kata, “Penulis sepatutnya mendengar kedua-duanya. Kerana penulis perlu tahu membeza manakah ilmu dan manakah yang tipu.”

“Ilmu itukan ada di mana-mana. Di dalam kuliah agama, dan di dalam ceramah politik juga,” belum habis lagi apa yang kamu mahu kata. Aku hanya mengangguk-angguk saja, tanpa terus berkata ya. Kamu tengok aku. Aku tengok kamu. Kita bertentang mata. “Emm,” paling perlahan aku bersuara, terdengar hampir ke dalam dada.

Kita berhenti bersoal jawab. Hanya mendengar pok-pek pok-pek orang lain yang bercakap. Jelas ke telinga kita pelbagai topik yang menjadi tajuk bual bicara. Ada yang bercakap tentang makanan, ada yang bercerita tentang kawan-kawan, ada yang menyebut nama pemimpin negara, ada yang kembali mengulas berita di akhbar, ada yang menyebut nama jalan dan pasar raya, ada yang hanya jadi tukang ketawa dan ada yang sekadar menadah telinga.

Ketika nasi yang kita makan sudah hampir licin di dalam pinggan, kita berpatah balik tentang debat yang awal tadi – tentang penerapan ilmu di dalam karya. Kamu yang bersungguh-sungguh mahu menyambung. Aku hanya menurutkan saja.

Kamu mengaku mengagumi Bible yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Kamu baca kitab Bible itu hampir setiap hari. Kamu kata bahasanya sedap. Naskhah Bible yang lebih besar sedikit daripada tapak tangan itu kamu curi dari sebuah hotel yang pernah kamu menginap. Kamu terlupa al-Quran. Malah kadang-kadang kamu sampai hampir terlupa Islam. Dan banyak kali juga kamu semakin tidak ingat nak sembahyang.

Masih juga kamu mahu menyambung perbincangan, “Jadi, karya yang berilmu menurut pandangan kamu itu karya yang bagaimana?”

“Seperti yang aku katakan tadilah, karya sastera itu perlu diseimbangkan antara ilmu dan cerita. Dan sebagai seorang penulis Islam, apa perlunya kamu mengutip segala macam dongeng dari Barat dan pelbagai falsafah yang sesat? Pemikir dan penulis yang kamu kutip ideanya ke dalam cerpen kamu itu pula adalah kafir dan tidak beriman, sedangkan kamu adalah seorang Islam.”
Aku meneruskan, “Ceritanya pula dipenuhi kemungkaran yang sangat bertentangan dengan ajaran Islam. Menjalinkan hubungan seks luar nikah sudah menjadi lumrah dan kemestian dalam cerita-cerita dari Barat yang sangat kamu gemari itu. Malah sampai berzina dengan ibu sendiri pun sudah seperti dihalalkan. Kenapa cerita begitu yang kamu jadikan contoh dalam membina ceritamu?”

Aku masih meneruskan juga, “Ambillah rujukan daripada dunia Islam yang dikarang oleh ilmuwan yang beriman dan dekat dengan Tuhan. Aku tidak marah kamu membaca karangan William Shakespeare atau Charles Dickens, Albert Camus atau Toni Morrison, novel The Lord of The Ring atau Harry Potter. Tapi khatamkanlah dulu paling tidak pun – Rihlah Ibn Battutah atau catatan kembara Syeikh Muhammad Abduh dalam Kembara Seorang Reformis. Sepatutnya seorang penulis Islam perlu menjadikan al-Quran sebagai asas dalam penulisannya, bukannya mengambil cerita dari Barat yang karut lagi sesat. Telitilah tafsiran al-Quran yang dibuat oleh Al-Hafiz Imam Ibn Kathir dalam Tafsir Al-Quran ‘Azim, oleh Syeikh Syed Qutb dalam Tafsir Fi Zilal Al-Quran atau paling tidak pun tafsir yang dibuat oleh Dr. Buya Hamka dalam Tafsir Al-Azhar.”

Katamu, “Aku pernah terbaca dalam beberapa rencana di akhbar dan majalah, bukankah ada juga terdapat kisah yang tidak benar yang dinukilkan oleh Ibn Battutah dalam catatan kembaranya itu?”

Aku menjawab, “Betul, ada juga beberapa kisah yang tidak benar yang telah dicatat oleh Ibn Battutah. Malah Imam Al-Ghazali pun banyak menukilkan hadis yang lemah, tiada asal usul dan palsu dalam kitab besarnya Ihya’ Ulumuddin. Tapi Islam dan umat yang terkemudian tidak pernah membuat tuduhan yang bukan-bukan kepada mereka. Kita bersangka baik terhadap dua ilmuwan yang agung itu – barangkali mereka tersilap, kalau mereka tahu bahawa ada yang mereka catatkan itu tidak benar, pasti mereka tidak akan menukilkannya ke dalam karya mereka. Semoga Allah mengampuni mereka dan kita juga. Sebagai penulis yang juga pemikir yang berilmu dan berpengetahuan luas – telaahlah secara teliti dengan membuat pertimbangan menggunakan ilmu yang dimiliki, maka ambillah mana yang baik dan tinggalkanlah mana yang tidak baik. Ambillah yang benar di sisi Islam dan tinggalkanlah apa yang tidak benar.”

Aku menghirup beberapa teguk air dan meneruskan, “Kamu berbangga membaca The Republic dan Laws oleh Plato, Analytica Priora oleh Aristotle, Enneads oleh Plotinus, Isagoge oleh Porphyry, Almageste oleh Ptolemaeus dan Elements oleh Euclid.”

Aku menghirup lagi dan meneruskan lagi, “Tapi kamu tidak baca pun Muqaddimah oleh Ibn Khaldun. Kamu tidak baca pun Tauq Al-Hamamah oleh Imam Ibn Hazm Al-Andalusi – sebuah karya yang khusus berbicara lembut dan menawan tentang cinta. Tapi kamu sudah terlalu bangga sangat membaca Song of Solomon oleh Toni Morrison, Antigone oleh Sophokles dan Dangerous Liaisons oleh Pierre Choderlos de Laclos yang sudah mencecah usia 126 tahun itu. Kamu hanya tidak habis-habis dengan Multatuli, Multatuli, Multatuli – Max Havelaar dan Buah Renungan, kedua-duanya kamu kata kamu khatamkan berkali-kali. Tapi kamu tidak pernah bercita-cita pun nak membelek kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. Sahih Ibn Khuzaimah dan Sahih Ibn Hibban jauh sekali.”

Aku berhenti seketika, menghembus nafas dan menyambung semula, “Tidak cukup sekadar kamu mengaku khatam novel Iman karya Pujangga Negara Abdul Karim Khadiri, tidak cukup. Sebagai penulis (lebih-lebih lagi penulis Islam) kamu kena tahu jauh lebih daripada itu. Kamu juga kena cuba mencari dan menerokai ilmu dalam kitab Al-Imam karangan Imam Ibn Daqiq Al-‘Id yang ketebalannya sampai berjilid-jilid. Bukan hanya sekadar berbangga sesudah berjaya menulis falsafah yang berbelit-belit dalam karya-karyamu.”

“Aku tidak pernah suruh kamu menuangkan segala yang payah-payah dan menyakitkan kepala dalam karya sastera. Tapi ambillah ilmu dengan kebijaksanaan, pertimbangkan dan gaulkan ke dalam karya hingga benar-benar sebati dan serasi. Paling penting, perlu senang difahami oleh khalayak pembaca dan sekali gus mampu menjadi iktibar kepada mereka,” kamu barangkali menganggap aku sudah mula membebel.

Dan memang aku mahu membebel lagi, “Tidak cukup sekadar membaca Ayyuhal Walad oleh Imam Al-Ghazali, tapi kamu juga perlu berusaha mencari, menelaah dan mengkaji Tahdzib al-Akhlak oleh Ibn Miskawaih dan juga oleh Ibn ‘Adi yang turut menulis tentang akhlak dengan menggunakan judul yang sama.”

Dan lagi, “Aku juga memang tidak perlu marah jika kamu tidak sempat menelaah siri prosa Parsi yang indah berupa hikayat ‘riwayat permulaan’ karangan Shihabuddin Suhrawardi seperti Risalah fi Haqiqat al-’Ishq (Risalah tentang Hakikat Cinta), Risalah fi Halat al-Tufuliyyah (Risalah tentang Keadaan Semasa Kanak-kanak), Laughat-i Muran (Bahasa Anai-anai), Ruzi ba Jama‘at-i-Sufiyan (Sehari dengan Masyarakat Sufi), Awaz-i Par-i Jibrail (Zikir Sayap Jibrail), Risalah fi Mi’raj (Risalah tentang Perjalanan Malam), ‘Aql-i Surkh (Akal Merah), Safir-i Simurgh (Nyanyian Geroda) dan Risalat al-Tair (Risalah Burung-burung). Tapi paling tidak pun, telaahlah karya-karya dari alam Melayu yang berasal dari akar tradisi bangsa serta agama kita sendiri yang berisi hikmah dan penuh pengajaran seperti Syair Tuan Hampris karangan Hajah Wok Aisyah Al-Haji Nik Idris misalnya. Kamu bangga sangat dengan karya-karya klasik dari Barat yang berusia ratusan tahun itu, tapi kamu tidak tahu Syair Tuan Hampris pun apa kurangnya – usianya sudah mencecah 80 tahun.”

Tiba-tiba kamu kata mahu mencatatkan perbincangan kita ini menjadi sebuah cerpen. Aku kurang bersetuju. Tapi kamu tetap berkeras mahu menulisnya juga. Aku hanya mampu berkata, “Jika kamu mahu kata ini pun cerpen, suka hati kamulah!”

Dan aku kemudiannya lihat kamu sedang jauh berfikir. Aku sendiri memang tidak pernah henti-henti berfikir. Moga-moga kita semua juga akan terus berfikir dan berfikir dan berfikir. Bukankah berfikir itu pelita bagi hati?

*Cerpen ini telah disiarkan dalam akhbar Mingguan Wasilah (MW), bil. 87, edisi 23 – 29 November 2008. Saya merasakan ianya wajar ditelaah semula oleh para pembaca, kerana ramai barangakali yang tidak sempat menelaahnya ketika disiarkan dalam MW dulu; ianya adalah sebuah ingatan untuk diri sendiri khususnya dan buat semua para penulis Islam amnya.

Tuesday, November 24, 2009

Menghayati ruh kehidupan di sebuah pekan dan merasai denyut nadi insan


PASIR MAS, 23 Nov.: Kami sebetulnya di atas kereta, di tengah-tengah pekan Pasir Mas yang sentiasa sibuk dan sesak. Tiba-tiba seorang teman berbicara tentang kerja. Dia menyebut tentang kerja di Kuala Lumpur. Selepas itu, berkata teman yang seorang lagi, "Kamu tak payahlah pergi ke Kuala Lumpur lagi. Dah elok-elok di Kelantan, tak payah pergi, " kira-kira begitu dia memberitahu. Dan saya segera menyahut, "Betul, kamu dah tak payah lagi la ke Kuala Lumpur. Kalau di Kuala Lumpur dapat gaji RM3,000 dan kalau di sini (saya maksudkan di Pasir Mas) dapat RM1,500, lebih baik lagi tinggal di sini." Saya meneruskan lagi, "Orang yang di KL itu nak balik ke sini, kita yang elok-elok duduk di sini nak ke KL." Dan sahabat tadi mengiyakan. Seingat saya, sahabat yang memulakan percakapan tentang kerja di KL tadi sudah mula bersetuju dengan kenyataan kami.

Ketika berbicara tentang perbezaan kerja di Kuala Lumpur dengan kerja di Kelantan, begitulah yang selalu saya katakan kepada teman-teman. Dan kami kemudiannya ke kedai buku, ke Pustaka Al-Mas dan ke Syarikat Muda Osman (SMO). Kemudian, saya berbalik ke Pustaka Al-Mas semula untuk mendapatkan senaskhah majalah Milenia Muslim edisi Disember. Begitu tertarik saya dengan fokus utama majalah Islamik tersebut pada keluaran kali ini dengan judul utama, RM3000 masih tak cukup: Fobia hidup di kota besar. Teringat saya tentang apa yang kami baru saja bicarakan di atas kereta sekejap tadi. Apa yang saya sebutkan itu tak disangka-sangka tiba-tiba menjadi fokus utama dalam Milenia Muslim.

Perkaitan pekan sibuk ini dengan perbezaan kerja antara di KL dengan di Kelantan yang kami bicarakan ialah anda masih boleh mencari nasi kerabu lauk ayam di sini untuk sarapan pagi dengan harga RM1.50 sebungkus. Anda masih lagi boleh menemui 6 biji kuih untuk sarapan pagi di sini dijual dengan hanya RM1. Dan memang Pasir Mas terkenal dengan kuihnya yang murah dan enak. Ditambah lagi dengan cakap-cakap orang yang mengatakan bahawa gadis-gadis Pasir Mas ini cantik-cantik. Yang ini, saya kurang pasti setakat mana kebenarannya.

Yang lebih menarik, Syarikat Muda Osman (SMO) di sini mempunyai 3 buah pintu, iaitu tiga buah kedai - buku bacaan, alat-alat tulis dan cenderamata. Di kedai yang menjual buku, saya lihat buku-buku yang banyak. Lama saya di dalamnya, sampai kaki jadi lenguh-lenguh. Setiap buku ada dalam jumlah yang banyak. Dan kata sahabat saya, orang Pasir Mas ini kuat membaca. Saya kemudian bersetuju dengannya. Kalau diperhatikan, di Pasir Mas ini sendiri mempunyai ramai penulis. Ramai penulis Kelantan yang ada di Pasir Mas, dari penulis muda sampailah penulis veteran. Dan, saya memang setuju; secara puratanya memang orang Pasir Mas kuat membaca. Dan saya?, saya masih lagi cuba-cuba menyelami ruh kehidupan dan nadi pergerakan insan di pekan sibuk yang istimewa ini serta sedang membaca watak-watak yang ada di dalamnya - daerah yang didiami oleh penduduk yang kaya-raya. Maklum sajalah, pasirnya saja pun terbuat dari mas.


Salman Sulaiman
Pasir Mas, Kelantan.
11:47 malam, 24/11/2009.

Sunday, November 22, 2009

Pertemuan Penyair Nusantara KE-3 2009 di DBP KL

KUALA LUMPUR, 22 Nov: Pertemuan Penyair Nusantara (PPN) selama 3 hari 2 malam di Dewan Bahasa dan Pustaka, Rumah PENA dan Menara KL baru saja selesai tengah hari tadi. PPN kali ini melibatkan 5 buah negara serumpun di Nusantara iaitu Malaysia sebagai tuan rumah serta beberapa buah negara lain iaitu Indonesia, Singapura, Thailand dan juga negara Brunei. Ucap tama pertemuan di peringkat Asia Tenggara ini disampaikan oleh Sasterawan Negara (SN) Malaysia yang ke-6, SN Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh pada pagi 21 November di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.

Malam sebelumnya, pertemuan ini dilancarkan sendiri oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka yang baru. Selain pembentangan kertas kerja oleh pemakalah dari semua negara yang yang mengambil bahagian, pada petang hari kedua program para peserta turut dibawa ke Menara Kuala Lumpur. Pihak Menara Kuala Lumpur bermurah hati menaja semua para peserta untuk dibawa naik ke puncak menara secara percuma. Selepas turun dari puncak Menara KL, diadakan majlis deklamasi puisi di laman Santai Menara KL bermula jam 4:30 petang hingga kira-kira jam 6 petang. Pihak Menara KL juga turut menyediakan sedikit jamuan untuk semua peserta. Acara deklamasi puisi kemudian disambung lagi pada sebelah malamnya di Rumah PENA berserta makan malam.

Pertemuan ini ternyata mampu mengeratkan lagi jalinan silaturrahim semua negara serantau yang mengambil bahagian. Pihak Malaysia sebagai penganjur turut mengadakan program ini seperti biasa walaupun khabarnya program MASTERA yang diadakan di Indonesia saban tahun tidak diadakan tahun ini akibat daripada kes 'ganyang Malaysia' oleh segelintir warga Indonesia. Namun pihak Malaysia tetap meneruskan jalinan silaturrahim ini seperti biasa tanpa apa-apa masalah. Perjalanan program diteruskan dengan baik tanpa apa-apa masalah.


Salman Sulaiman
Kuala Lumpur.
9:04 malam, 22/11/2009.

Saturday, November 07, 2009

Bola & Kelantanisme: Saya sebetulnya sangat-sangat risau!


Saya sebetulnya sangat-sangat risau dengan kehadiran kira-kira 85 ribu penonton di Stadium Putra Bukit Jalil malam ini untuk menyaksikan perlawanan akhir Kelantan lawan Negeri Sembilan. Risau, seperti mana ramai orang lain yang juga tersangat risau. Kerana apa yang telah berlalu membuktikan kerisauan saya ini. Stadium di KB telah kecoh dalam perlawanan-perlawanan lalu apabila ada trak polis yang dibakar. Itu kerana Kelantan kalah. Tapi ketika Kelantan menang melawan Perlis di Kangar baru-baru ini pun, mereka membaling mercun; kecoh juga, sampai ada yang perlu dikejarkan ke hospital.

Sampai ada yang kata, ramai yang datang malam ini pun bukannya nak tengok bola tapi nak tengok orang bergaduh. Saya harap sangat sangkaan saudara kita itu tidak benar. Saya cuma nak tengok Kelantan menang 3 - o, saya tak nak tengok orang bergaduh. Esok, satu Kelantan dah cuti sebab dapat pergi akhir. Harap-harap kita akan dapat dengar sorakan gemuruh seluruh warga Kelantan malam ini, kerana isnin pun dapat cuti juga. Tapi, janganlah bersemangat kerana hanya nakkan cuti. Tapi, sokonglah pasukan bola kita untuk menjadikan pasukan bola kita itu lebih hebat dan bagus di masa depan.

Saya seperti dapat merasakan bahawa Kelantan memang akan menang malam ini. Entahlah, apa yang terlintas di hati saya ini benar atau tidak. Kita tengok sajalah malam nanti. Kalau tak dapat 3 - 0, satu kosong pun jadilah. Yang penting, saya rasa rakyat Kelantan tetap juga nak cuti hari isnin. Jadi, Kelantan mesti menang.

Bila risau tentang kekecohan yang mungkin berlaku malam ini, saya teringatkan tulisan tiga sahabat penulis dan sifu sastera saya di dalam blog mereka berjudul Kelantanisme. Mereka bertiga yang saya maksudkan ialah Muhammad Lutfi Ishak, Rahimidin Zahari dan SM Zakir. Boleh saja merujuk di blog mereka bertiga untuk menelaah tulisan tersebut. Rahimidin dan Zakir, kedua-duanya orang Kelantan. Jadi, saya rasa tak sah kalau tak turut menyentuh tentang Kelantanisme ini. Saya harap sangat-sangat agar Kelantanisme yang suka membuat provokasi dan bergaduh ini tidak ada dan tidak berlaku di Bukit Jalil malam ini. Saya harap sangat-sangat.

Tapi, saya terfikir lagi, masalahnya yang ramai pergi menonton bola ini ialah orang-orang yang seperti Jaha dan kawan-kawannya macam dalam filem Budak Kelantan iaitu terdiri daripada anak muda yang suka bergaduh dan begoccoh. Tak mungkinlah lebai-lebai pondok dan orang yang pergi masjid akan buat benda tak senonoh ketika pergi menonton bola. Saya tetap juga seperti dapat merasakan bahawa hari isnin ini Kelantan cuti. Saya mahu katakan sekali lagi; saya cuma nak tengok orang Kelantan menang, saya tak nak tengok orang Kelantan bergaduh!

Salman Sulaiman
Padang Selising, Machang.
6.21 petang, 7/11/2009.

Apabila pendakwah yang ada kelulusan Ph. D dalam pengajian Islam ditangkap dan pendakyah seperti Ayah Pin dibiarkan terus sesat


Penahanan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin baru-baru ini kerana disyaki mengajar tanpa tauliah di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang tentu saja mengejutkan banyak pihak. Beliau tidak digari, kemudiannya dibawa ke Balai Polis Hulu Klang. Turut berada dalam banglo berkenaan ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin dan ADUN Hulu Klang, Saari Sungip. Ketika ditangkap beliau sedang memberikan ceramah kepada hampir 200 orang.

Tentang penangkapan bekas Mufti Perlis itu, PM menyatakan, “Saya tak tahu apa motifnya, tapi Dr. Asri ini merupakan seorang yang bercakap secara berterus-terang dalam ceramah-ceramahnya. Tapi disokong dengan bukti, dalil yang nyata – nas-nas yang konkrit. Saya tak tahulah tentang apa yang didakwa tentang fahamannya. Tindakan ini dibuat oleh pihak kerajaan negeri, tak ada kena mengena dengan kerajaan pusat.” Lihat saja kenyataan PM, beliau sendiri mengakui autoriti Dr. Asri sebagai pendakwah yang menyampaikan dakwahnya dengan menyertakan hujah dan nas yang kukuh.

Tentang penangkapan Dr. Asri itu, saya pasti ramai pemimpin-pemimpin negara yang berpihak kepada beliau termasuk PM sendiri, Pak Lah dan juga Tun Mahathir. Dalam ulasannya terhadap penangkapan Dr. Asri itu, PM juga turut mempersoalkan, “Saya tahu banyak lagi orang yang buat macam-macam ceramah, tak didakwa pulak.”

Wahai penguatkuasa agama, wahai pegawai di jabatan agama, wahai pencegah maksiat, wahai pengarah jabatan agama, wahai petugas-petugas di jabatan agama Islam dan semua yang bertugas di mana-mana institusi atau jabatan yang di berdiri atas nama agama – ingatlah; kalian, dan saya, dan kita semua akan diperhitungkan di mahkamah Allah di akhirat kelak. Bukan di Balai Polis Hulu Klang, bukan di Mahkamah Syariah Gombak dan bukan dengan undang-undang ciptaan manusia. Tapi di padang Mahsyar! Dengan undang-undang Allah yang pasti sangat benar dan paling adil.

Saya mahu menyarankan kepada pihak berkuasa agama dalam negara ini, “Alangkah lebih bagusnya jika berusaha untuk menangkap dan membetulkan kembali akidah Ayah Pin daripada berusaha menghalang dakwah dengan menangkap pendakwah yang memiliki Ph. D dalam pengajian Islam seperti Dr. Asri. Banyak lagi kerja-kerja baik yang boleh disuruh dan kerja-kerja jahat yang mesti dicegah dalam negara ini, janganlah membuang masa kalian dengan pergi menghalang para da’i untuk menyampaikan dakwah yang benar kepada masyarakat.”

Telah dilempar uri unta ke atas tubuh Nabi s.a.w., telah berdarah kaki Nabi s.a.w. ketika berdakwah di Taif, malah telah dikepung rumah Nabi s.a.w. untuk dibunuh oleh samseng-samseng Mekah, telah dipenjarakan Imam Ibn Taimiyyah, telah dihukum gantung Syed Qutb, telah dipenjara serta diseksa Syeikh Omar Abdul Rahman dalam penjara Amerika dan telah ditembak mati Ustaz Ibrahim Libya serta telah difitnah sekian ramai para ulama Islam dari dahulu hingga kini, maka tidak peliklah jika Dr. Mohd Asri juga difitnah dan ditangkap serta mahu didakwa kerana itulah sebenarnya hakikat perjuangan dan sifat dakwah untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini. Mahkamah Allah menanti kita semua di akhirat kelak. Di sana kita pasti tahu siapa yang benar-benar berjuang kerana Allah untuk mempertahankan agama Islam yang suci ini dan siapa pula yang hanya berjuang untuk kepentingan peribadi dan sekadar mahu memenuhkan kantung sendiri. Kita pasti tahu nanti, pasti!

Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
2 & 5 – 7 November 2009.


*Tulisan ini ialah sebahagian daripada tulisan yang asalnya agak panjang. Namun, komentar tentang memorandum PGSM telah dibuang kerana ia bukan mewakili keseluruhan peguam yang menjadi ahli NGO itu. Tapi ia hanya memorandum yang dibantah oleh ahli PGSM sendiri kerana ia hanya satu memorandum yang dibuat oleh pihak kepimpinannya sahaja tanpa dimaklumkan kepada mereka terlebih dahulu. Tambahan pula, ia telah ditarik balik secara bertulis walaupun masih belum ditarik balik secara terbuka.

Apabila pendakwah yang ada kelulusan Ph. D dalam pengajian Islam ditangkap dan pendakyah seperti Ayah Pin dibiarkan terus sesat

Penahanan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin baru-baru ini kerana disyaki mengajar tanpa tauliah di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang tentu saja mengejutkan banyak pihak. Beliau tidak digari, kemudiannya dibawa ke Balai Polis Hulu Klang. Turut berada dalam banglo berkenaan ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin dan ADUN Hulu Klang, Saari Sungip. Ketika ditangkap beliau sedang memberikan ceramah kepada hampir 200 orang.

Tentang penangkapan bekas Mufti Perlis itu, PM menyatakan, “Saya tak tahu apa motifnya, tapi Dr. Asri ini merupakan seorang yang bercakap secara berterus-terang dalam ceramah-ceramahnya. Tapi disokong dengan bukti, dalil yang nyata – nas-nas yang konkrit. Saya tak tahulah tentang apa yang didakwa tentang fahamannya. Tindakan ini dibuat oleh pihak kerajaan negeri, tak ada kena mengena dengan kerajaan pusat.” Lihat saja kenyataan PM, beliau sendiri mengakui autoriti Dr. Asri sebagai pendakwah yang menyampaikan dakwahnya dengan menyertakan hujah dan nas yang kukuh.

Tentang penangkapan Dr. Asri itu, saya pasti ramai pemimpin-pemimpin negara yang berpihak kepada beliau termasuk PM sendiri, Pak Lah dan juga Tun Mahathir. Dalam ulasannya terhadap penangkapan Dr. Asri itu, PM juga turut mempersoalkan, “Saya tahu banyak lagi orang yang buat macam-macam ceramah, tak didakwa pulak.”

Wahai penguatkuasa agama, wahai pegawai di jabatan agama, wahai pencegah maksiat, wahai pengarah jabatan agama, wahai petugas-petugas di jabatan agama Islam dan semua yang bertugas di mana-mana institusi atau jabatan yang di berdiri atas nama agama – ingatlah; kalian, dan saya, dan kita semua akan diperhitungkan di mahkamah Allah di akhirat kelak. Bukan di Balai Polis Hulu Klang, bukan di Mahkamah Syariah Gombak dan bukan dengan undang-undang ciptaan manusia. Tapi di padang Mahsyar! Dengan undang-undang Allah yang pasti sangat benar dan paling adil.

Saya mahu menyarankan kepada pihak berkuasa agama dalam negara ini, “Alangkah lebih bagusnya jika berusaha untuk menangkap dan membetulkan kembali akidah Ayah Pin daripada berusaha menghalang dakwah dengan menangkap pendakwah yang memiliki Ph. D dalam pengajian Islam seperti Dr. Asri. Banyak lagi kerja-kerja baik yang boleh disuruh dan kerja-kerja jahat yang mesti dicegah dalam negara ini, janganlah membuang masa kalian dengan pergi menghalang para da’i untuk menyampaikan dakwah yang benar kepada masyarakat.”

Telah dilempar uri unta ke atas tubuh Nabi s.a.w., telah berdarah kaki Nabi s.a.w. ketika berdakwah di Taif, malah telah dikepung rumah Nabi s.a.w. untuk dibunuh oleh samseng-samseng Mekah, telah dipenjarakan Imam Ibn Taimiyyah, telah dihukum gantung Syed Qutb, telah dipenjara serta diseksa Syeikh Omar Abdul Rahman dalam penjara Amerika dan telah ditembak mati Ustaz Ibrahim Libya serta telah difitnah sekian ramai para ulama Islam dari dahulu hingga kini, maka tidak peliklah jika Dr. Mohd Asri juga difitnah dan ditangkap serta mahu didakwa kerana itulah sebenarnya hakikat perjuangan dan sifat dakwah untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini. Mahkamah Allah menanti kita semua di akhirat kelak. Di sana kita pasti tahu siapa yang benar-benar berjuang kerana Allah untuk mempertahankan agama Islam yang suci ini dan siapa pula yang hanya berjuang untuk kepentingan peribadi dan sekadar mahu memenuhkan kantung sendiri. Kita pasti tahu nanti, pasti!

Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
2 & 5 – 7 November 2009.

Friday, October 30, 2009

Kau Memang Selalu Terlupa Dirimu Sebenarnya Siapa!


Kau memang selalu sangat terlupa dirimu sebenarnya siapa. Kau selalu tersalah membeza antara angan-angan dan cita-cita. Sehingga kau ingin memiliki apa yang bukan ditakdirkan untuk dirimu. Cita-citamu terlalu tinggi sehingga membuatkan kau terlupa tentang dirimu sendiri. Ya, kerap benar kau terlupa dirimu itu sebenarnya siapa sehinggakan apa yang hanya dikatakan angan-angan oleh orang lain, kau pula yang bersungguh-sungguh yang menjadikannya cita-cita. Bersungguh-sungguh kau mahu mendapatkannya, padahal kau sedang asyik benar terlupa bahawa kau seorang saja yang menganggapnya cita-cita. Tapi bagi orang lain ia hanya angan-angan semata. Maka, kau jugalah akhirnya yang tersayat-sayat luka dan parah kecewa.

Kau tak punya siapa untuk merawat hatimu yang teruk terluka. Ya, kau tak punya siapa. Kau hanya ada sebatang tubuh dirimu saja. Ya, yang kau ada hanyalah sebatang tubuhmu yang luka sahaja. Luka hatimu itu kau tanggunglah sendiri dan kau ubatlah sendiri kerana tiada siapa yang akan mempeduli. Ya, tiada siapa yang akan mempeduli. Dan tiada siapa yang akan mengerti dan memahami. Sakitnya hanya kau yang rasa seorang diri. Pedihnya tak terperi. Peritnya hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Yang mampu kau lakukan hanyalah meneruskan tugas dan tanggungjawabmu seorang diri. Janganlah kau harapkan sesiapa lagi kerana ia hanya akan bakal melukakan hatimu nanti. Berjalan atau berlari, tanggungjawab ini memang wajib kau teruskan, mesti! Telah ditakdirkan Tuhan nasibmu begini. Apa-apa pun yang terjadi tetap mesti kau harungi, meskipun seorang diri. Biarlah tidak ditemani, biarlah tanpa siapa pun di sisi, biarlah walau seorang diri – segala sakit di hati dan pedih luka yang kau alami kau ubatlah sendiri. Tiada siapa yang akan mengerti, tiada siapa yang akan mengerti. Tiada siapa yang ikut mahu berkongsi sakit dan pedih di hati.

Ingat-ingatkanlah dirimu sendiri, berkali-kali – lagi dan lagi dan lagi dan lagi dan lagi dan lagi... Supaya kau tak terlupa diri. Supaya kau sentiasa sedar akan hakikat hidup ini. Kau hanyalah seorang manusia yang tak punya apa-apa. Ingat-ingatkanlah dirimu sendiri setiap hari, seribu kali, sejuta kali – setiap detik dan waktu berlari, setiap pagi dan tengah hari, setiap malam dan dini, di tengah terang atau sembunyi; bahawa kau hanyalah seorang laki-laki yang tak punya apa-apa lagi melainkan hanya dirimu sendiri.

Sedarlah sentiasa. Ingatlah sampai bila-bila. Jangan sampai terlupa dirimu itu siapa. Jangan pula kau terlupa, ingatlah dari semasa ke semasa – dirimu itu hanyalah seorang Salman. Supaya kau tidak lagi meminta yang bukan-bukan, supaya kau tidak lagi bertukar antara cita-cita dan angan-angan, supaya kau sentiasa pasrah untuk selalu berseorangan, supaya kau tabah dan sabar dengan segala dugaan Tuhan, supaya kau cekal menghadapi bertimpa-timpa ujian, supaya kau selalu reda ditakdirkan tak berteman, supaya kau tidak merasa sunyi walaupun tanpa kawan dan supaya kau benar-benar ingat bahawa kau masih ada Tuhan.

Ya, kau hanyalah seorang Salman – lelaki yang tak punya apa-apa di atas dunia ini. Memang patutlah barangkali kau dijauhi, memang wajarlah agaknya kau tidak ditemani, memang padanlah kau tidak disukai, memang eloklah gamaknya kau langsung tidak diingati, memang sudah tertulislah agaknya hatimu sentiasa menanggung sakit yang tak terperi malah tak siapa pula yang mahu mengerti dan memang sudah tersuratlah nasibmu begini di dunia ini. Kau menangis dan berhibalah seorang diri, tiada siapa pun yang akan peduli. Tiada siapa pun yang akan datang memujuk hati. Tiada siapa pun yang akan cuba memahami. Tiada siapa pun yang mampu mengerti. Janganlah kau berharapkan sesiapa lagi di atas dunia ini, jangan sekali-kali.

Peringatkanlah dirimu sendiri dalam setiap inci hidupmu nanti; setiap masa, setiap saat dan ketika, setiap waktu yang ada, di sepanjang hidup yang tak lama, ingat-ingatlah sentiasa supaya kau tidak sekali-kali terlupa bahawa – dirimu hanyalah seorang Salman!

Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
28 – 29 Oktober 2009.

Friday, September 04, 2009

Salam ramadan & sedikit catatan


Apabila tulisan saya, Menelaah Nilai Islam dalam Karya Penulis Muda disiarkan dalam majalah Tunas Cipta bulan ini - saya menerima beberapa SMS daripada teman-teman penulis muda yang terkesan setelah membaca esei tersebut, alhamdulillah. Apa lagi yang lebih gembira bagi seorang penulis selain tulisannya dibaca orang dan memberi kesan kepada hati dan jiwa pembacanya? Tulisan itu hanya satu penelaahan kecil yang sempat saya lakukan dengan kudrat yang terdaya.

Masih terlalu banyak karangan-karangan penulis muda yang bagus dan mempunyai nilai Islam yang baik bertaburan dalam pelbagai media penerbitan di Malaysia, namun di pihak saya - itu sajalah yang mampu saya lakukan setakat ini. Untuk menelaah karya-karya bernafas Islam yang lain, biarlah diteruskan oleh penulis yang lain pula. Esei dalam Tunas Cipta itu bolehlah dikatakan lanjutan kepada kertas kerja panjang yang saya bentangkan di Melaka beberapa bulan yang lalu. Awal tahun ini, puisi saya Nuh, bersiap-sedialah dengan perahu besarmu itu! disiarkan dalam majalah Dewan Sastera terbitan DBP Kuala Lumpur. Kisah Nabi Nuh a.s. yang diceritakan Allah dalam beberapa surah dalam al-Quran itu saya tekuni sungguh-sungguh ketika berada di sebuah pulau jauh.

Penelaahan saya terhadap kisah Nabi Nuh a.s. itu tidak habis di situ, ia kemudiannya membenihkan idea dan ilham yang lain. Lantas saya menukangi cerpen Nuh, Si Tukang Kayu dan Sebuah Perahu yang alhamdulillah, disiarkan dalam majalah Dewan Sastera bulan ini; kalian boleh saja menelaahnya di sana. Seorang teman penulis yang prihatin mengutus SMS mengucap tahniah atas penyiaran cerpen tersebut, yang katanya - cerpen sulung saya dalam Dewan Sastera. Benar, ia satu cita-cita yang sangat lama sebagai seorang penulis muda - iaitu untuk melihat cerpennya disiarkan dalam majalah sastera paling berprestij dalam negara ini, Dewan Sastera. Alhamdulillah juga, dan syukur yang tidak terkira kepada-Nya. Barangkali, inilah rezeki ramadan dan yang paling pasti rezeki ini dari Tuhan - Allah yang Maha Kuasa.


Selagi saya masih sihat sejahtera, fizikal dan akal - saya tidak akan pernah letih untuk terus menulis. Jika di akhirat nanti saya ditanyakan oleh Dia yang Menciptakan Segalanya, paling tidak pun saya akan dapat menjawab, "Saya telah berbuat sesuatu untuk manusia, untuk anak bangsa saya, lebih-lebih lagi untuk Islam yang mulia dan dakwah ini telah saya sampaikan juga walau dengan kudrat kerdil yang saya ada. Demi Allah, saya telah melakukannya!"

Dan kepada anda, selamat membaca dan selamat berpuasa!


Salman Sulaiman
Padang Selising, Machang.
5:39 petang, Jumaat.
4 September 2009.
14 Ramadan 1430 H.

Thursday, August 06, 2009

'Peludah Bahasa' oleh SN A. Samad Said



Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menyampaikan puisi Peludah Bahasa semasa program Akademi Sastera Siber (AKSES) 4 di Paloh Inn, Wisma Nordin, Kota Bharu pada pagi Jumaat, 31 Julai 2009 yang lalu. Duduk di sebelah beliau ialah penyair muda, Fahd Razy selaku moderator.


PELUDAH BAHASA


Ketika lahir jeritnya amat mesra––hening suara bayi pertama.

Neneknya pengagum hikayat Tuah membisik iktibar ke telinganya.

Datuknya pencinta Siti Zubaidah bersyair merdu ke qalbunya pula.

Doa dan janji di sanubari inilah cucunya kebanggaan desa––

insan harapan kerdip permata yang bakal bersinar sebagai pendakwah.


Ketika bertatih di sisi buaian gelincirnya cepat disantunkan.

Ayah dan ibunya cekal berazam anak termanis di hemah Ramadan.

Diasuh ia menjadi wira dan tidakpun dikira ke bidang mana.

Pada hembusan angin di bukit amat merdu terdengar ia menjerit:

Penyegar budi pilihan pertama, penyemai bakti di qalbu desanya.


Ranum di dalam dan di luar negara menjalar akar benih ilmunya;

pergaulannya alam tak berbatas bertingkat cepat dirinya ke atas.

Pada kempen “bersih-cekap-amanah” terhantar ia ke tampuk kuasa;

masih diingat pesan nenek tentang Tuah; saran datuk tentang Zubaidah.

Sebaik menyingsing SatuMalaysia mula terbelah percik mimpinya.


Tapi, kuasa tersangat nikmatnya––darjat dan harta sebuah buana.

Lalu, dalam lagu gema ternyaring giginya berubah menjadi taring.

Leluhurnya kini damai di kubur, dan sayang, dirinya meruncing takbur.

Terakhir, dengar kisah lupanya––semua dangkal kecuali dirinya.

Terakhir, merebaklah bongkaknya sebagai peludah bahasa Ibunda.


Tak lagi dirinya budayawan desa, pembela bahasa tidak juga.

Kini dia niagawan haloba pemburu kuasa paling selesa.

Memang bukan lagi cucu desawan; segebu dirinya kuasawan.

Dilupa Syair Siti Zubaidah dan tidak dikenal Hikayat Hang Tuah.

Sangatlah selesa dan bangga––dirinya tulen peludah bahasa.


18––19 Jun, 2009. –A. SAMAD SAID


*Siaran teks penuh puisi Peludah Bahasa dalam blog ini ialah dengan izin Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

Wednesday, June 17, 2009

KALAMULLAH SEBAGAI ASAS PENULISAN DAKWAH: SARANAN MENCONTOHI KEBIJAKSANAAN AL-QURAN

Dunia penulisan di tangan penulis muda mutakhir ini memperlihatkan perkembangan yang begitu menarik dalam menghasilkan karya-karya yang bernafas Islam. Kita menyaksikan munculnya ramai penulis yang menghasilkan karya-karya yang mengandungi nilai-nilai dan akhlak Islam atau kita menyebutnya sebagai karya yang bernafas Islam.[1] Jika karya itu dalam bentuk puisi, selalunya ramai yang akan menamakannya dengan karya sufi. Walaupun saya sendiri sebenarnya tidak bersetuju apabila ada karya-karya bernafas Islam dinamakan dengan karya sufi. Ini kerana bukan semua orang berminat dengan karya-karya Islam yang diberi nama karya sufi. Apabila dilabelkan sesebuah karya Islam itu dengan nama karya sufi, ramai yang beranggapan tentu ianya untuk orang-orang sufi dan orang-orang yang berminat dengan aliran sufi sahaja. Bagaimana dengan nasib masyarakat Islam lain yang bukan di aliran sufi dan mereka juga tidak berminat dengan karya-karya sufi? Tentunya mereka awal-awal lagi tidak akan membaca karya-karya yang dilabelkan dengan nama karya sufi kerana mereka menganggap karya berkenaan bukan untuk orang seperti mereka.[2]

Saranan agar mencontohi kesusasteraan al-Quran barangkali kedengaran remeh bagi sesetengah orang atau kedengaran terlalu biasa bagi sebahagian orang. Barangkali juga tidak begitu dipedulikan oleh sebahagian yang lain. Mungkin juga ada yang menganggap saranan untuk kembali kepada al-Quran adalah kerja pendakwah, mufti, pegawai agama, imam, bilal, ustaz dan ustazah sahaja. Atau mungkin juga ada yang menganggap saranan kembali kepada al-Quran adalah datang daripada penulis lapuk yang ketinggalan zaman sahaja. Makalah ini insya-Allah sedikit sebanyak akan dapat menjawab hujah-hujah rapuh yang tidak benar itu.

Keagungan Al-Quran

“Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan). Yang tersimpan dalam kitab yang cukup terpelihara, yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.” (Al-Waqi’ah: 77 – 79)

Syeikh Manna’ Khalil al-Qathan dalam Mabahith fi ‘Ulum al-Quran menyebutkan, “Dengan keistimewaannya itulah, al-Quran menyelesaikan masalah-masalah kemanusiaan dalam pelbagai segi kehidupan, sama ada yang berhubungkait dengan masalah kejiwaan, jasmani, sosial, ekonomi mahupun politik, dengan penyelesaian yang penuh bijaksana, kerana ia diturunkan oleh yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji. Untuk menjawab setiap masalah yang ada, al-Quran meletakkan dasar-dasar yang dapat dijadikan pedoman oleh manusia yang sesuai dengan segala zaman. Dengan demikian, al-Quran akan selalu sesuai dengan waktu dan tempat. Sebab Islam adalah agama abadi.”

Imam Ibn Taimiyyah menukilkan satu ungkapan yang sangat indah tentang sifat al-Quran dalam karyanya Muqaddimah fi Usul al-Tafsir yang dikutip daripada hadis marfu’ yang dikeluarkan oleh Imam al-Darimi dan Imam al-Tirmizi yang bermaksud, “...keperluan ummah kepada memahami al-Quran amat tinggi kerana ia adalah tali Allah yang kukuh, peringatan yang berhikmah, jalan yang lurus tidak boleh diselewengkan oleh hawa nafsu, tidak dikelirukan oleh pengucapan yang menarik, tidak lapuk (terhapus – pent.) sekalipun banyak al-radd (penentangan), tidak pernah putus keajaiban dalamnya, tidak memberi kenyang (tidak pernah jemu – pent.) ulama yang mengkajinya, sesiapa yang berdalil dengannya dialah yang benar, sesiapa yang beramal dengannya akan memperolehi pahala, sesiapa berhukum dengannya menjadi adil, sesiapa yang menyeru ke jalannya akan diberi petunjuk ke jalan yang lurus, sesiapa yang meninggalkannya dengan angkuh akan dipatahkan oleh Allah, sesiapa yang mencari petunjuk bukan dengannya akan disesatkan oleh Allah.” Menurut Dr. Adnan Zarzur yang menganalisis karya Ibn Taimiyyah tersebut bahawa teks hadis ini adalah elok dan maknanya pula adalah betul.

Kata Sahibus Samahah Datuk Haji Muhammad Noor Ibrahim yang membuat semakan terhadap terjemahan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman yang dikerjakan oleh Syeikh Abdullah Basmeih, “Jika kita ingin – dan sewajibnya ingin – mengembalikan keadaan zaman gemilang kita yang lampau maka perlulah kita kembali kepada al-Quran, kembali memahami, mengkaji dan seterusnya mengamalkan isi-isi pengajarannya yang mulia dan tinggi tarafnya; dan jalan yang wajar untuk mempelajari maksud kandungan al-Quran ialah memahami makna ayat-ayatnya...”

Saranan ini sepatutnya awal-awal lagi disahut oleh golongan penulis yang diberikan pena oleh Allah untuk berdakwah kepada manusia dengan tulisan. Kepada semua penulis muda Islam yang hidupnya dimestikan berpandu kepada al-Quran dan sunah, perlunya masing-masing bertanya kepada diri sendiri – kenapa dalam kehidupan sebagai seorang Islam kita mengambil al-Quran dan sunah sebagai panduan tetapi melupakannya dalam penulisan? Sepatutnya al-Quran juga dijadikan asas utama dalam penulisan bagi setiap penulis Islam seperti mana dia menjadikan al-Quran itu sebagai asas utama dalam kehidupan.

Soalan yang seterusnya yang perlu ditanya dalam setiap diri penulis Islam ialah kenapa kita tidak menjadikan al-Quran sebagai dasar dan asas penulisan itu sekarang? Kenapa perlu menunggu berumur 60 atau 70 tahun baru ingin kembali kepada Islam, kembali kepada al-Quran dan kembali menghasilkan karya-karya yang bernafas Islam? Kenapa kita tidak menggunakan kebijaksanaan dan kehebatan al-Quran itu ke dalam penulisan kita sekarang, ketika kita baru mula menulis dan masih dipanggil penulis muda ini? Mengapa ketika sudah dipanggil penulis veteran baru ingin menghasilkan karya-karya yang mempunyai nilai Islam?
Allahyarham T. Alias Taib misalnya walaupun tidak pernah disebut sebagai penulis karya yang bernafas Islam namun dalam kumpulan puisinya yang kedua berjudul Seberkas Kunci yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1985 turut menghasilkan beberapa buah puisi yang bernafas Islam. Puisi-puisi tersebut ialah seperti ‘Sebuku Kemenyan’, ‘Maghrib’, ‘Bilal’, ‘Sembahyang’, ‘Tuhanku, ‘Antara Kita’, ‘Tuhanku, kalau Bukan’, ‘Tak Berkata-Mu’, ‘Kepada Allah’ dan beberapa yang lain.

Pupuklah kesedaran untuk menghasilkan karya dengan menggunakan asas Islam yang berpandukan al-Quran dan sunah itu sekarang, tanpa perlu menunggu hari tua atau dalam karya-karya akhir sebagai penulis, baru ingin menghasilkan karya Islami. SN A. Samad Said menyebutkan tentang kesedaran ini dalam tulisan beliau yang berjudul Suara seniman wajar bijaksana, ranum dan indah
[3] bahawa penulis yang sudah tua baru menuju kepada agama adalah penulis yang bermasalah. Kesedaran untuk menuju kepada agama itu sepatutnya sudah datang secara berperingkat-peringkat sebelumnya. Dan alangkah eloknya kesedaran itu datang sekarang, ketika kalian (termasuk saya) masih dipanggil penulis muda.

Dalil Kehebatan dan Keistimewaan Al-Quran

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang akan memelihara dan menjaganya.” (Al-Hijr: 9)

“Demi al-Quran yang sangat mulia.” (Surah Qaf: 1)

“Kalau sekiranya Kami menurunkan al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.” (Surah al-Hasyr: ayat 21)

Tujuan dan Kepentingan Al-Quran

Sebagai penulis, yang dianugerahkan akal yang cerdas dan bijaksana oleh Allah, maka sewajarnya keimanan kita semakin bertambah sesudah membaca ayat-ayat Allah di dalam al-Quran. Janganlah kita termasuk dalam golongan orang munafik yang ayat-ayat al-Quran tidak memberi kesan apa-apa kepada mereka, malah makin menambahkan lagi kekafiran mereka seperti mana yang difirmankan Allah, “Dan apabila diturunkan suatu surah, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata, “Siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan (turunnya) surah ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surah ini menambah imannya sedang mereka berasa gembira. Dan adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan surah itu bertambah kekafiran mereka, di samping kekafirannya (yang telah ada) dan mereka mati dalam keadaan kafir.” (Surah al-Taubah: ayat 124 – 125)

Antara ayat-ayat lain yang Allah ceritakan tentang tujuan dan kepentingan al-Quran ialah seperti:

“Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati) engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan al-Quran itu ke jalan yang lurus; iaitu jalan Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ingatlah! Kepada Allah jualah kembali segala urusan.” (Surah al-Syura: ayat 52 – 53)

“Dan Kami telah turunkan kepadamu al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan.” (Surah al-Maidah: 48)

“Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkat supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.” (Surah Sad: 29)

“...dan Kami turunkan kepadamu al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan bagi orang-orang Islam.” (Al-Nahl: 89)

“Maha suci Allah yang telah menurunkan al-Furqan (al-Quran) kepada hambanya, agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam.” (Surah al-Furqan: 1)

“Alif laam raa. (Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia dari gelap gelita kepada cahaya terang benderang dengan izin Tuhan mereka, (iaitu) menuju jalan Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji. Allah yang memiliki segala apa yang di langit dan di bumi. Dan celakalah bagi orang-orang kafir kerana seksaan yang sangat pedih.” (Surah Ibrahim: 1 – 2)

“Katakanlah (wahai Muhammad): Al-Quran itu diturunkan oleh Ruhul Qudus (Jibril) dari Tuhanmu dengan cara yang sungguh layak dan berhikmah, untuk meneguhkan iman orang-orang yang beriman, dan untuk menjadi hidayah petunjuk serta berita yang menggembirakan bagi orang-orang Islam.” (Surah al-Nahl: 102)

Al-Quran Tidak Membicarakan Hal yang Tidak Penting, Tiada Faedah dan Remeh-temeh

Al-Quran sebagai sebuah kitab agung orang Islam dan panduan yang paling benar kepada umat manusia tidak memperihalkan di dalamnya hal remeh-temeh yang tidak penting dan tidak memberi manfaat kepada umat manusia. Kalaulah al-Quran itu membuang masa berbicara benda-benda remeh yang tidak diperlukan manusia, barangkali ia akan menjadi lebih tebal daripada kitab Musnad Imam Ahmad yang tebalnya mencecah sampai 24 jilid, lebih tebal daripada kitab Al-Imam karya Imam Ibn Daqiq al-‘Ied yang dikatakan sampai mencecah 15 jilid, lebih tebal daripada kitab Fathul Bari karangan Al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani yang mengambil masa 25 tahun untuk disiapkan dan lebih tebal daripada sekian banyak kitab besar yang dikarang oleh para ulama. Namun Al-Quran hanya sekitar 604 muka surat sahaja tetapi ianya telah mencakupi pelbagai disiplin ilmu; daripada ekonomi, politik, sejarah, astronomi, muamalat, kajian samudera, sosiologi, sastera hinggalah kepada ilmu penyiasatan dan undang-undang – daripada ilmu pengurusan rumah tangga hinggalah kepada hal ehwal pemerintahan negara, semuanya ada.

Antara contoh hal yang tidak penting itu ialah seperti apa yang dinukilkan oleh Imam Ibn Taimiyyah dalam Muqaddimah fi Usul al-Tafsir, “Apa yang perlu diketahui oleh seorang Muslim ialah bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. meletakkan kebenaran bersama dalil-dalilnya. Contoh daripada apa yang tidak ada guna dan tidak ada dalil yang sahih baginya: Perbezaan mereka mengenai “warna anjing yang dimiliki oleh ashab al-kahfi”, “bahagian anggota badan yang dipukul oleh Musa dengan menggunakan daging lembu”, “ukuran besar perahu [Nabi] Nuh dan ia terbuat daripada bentuk kayu yang bagaimana”, “nama kanak-kanak yang dibunuh oleh Khidir”, dan seumpamanya. Perkara-perkara seperti ini tidaklah dapat diketahui melainkan daripada jalan naql, sama ada daripada Rasulullah s.a.w. seperti nama sahabat Musa iaitu Khidir, dan ini adalah kebenarannya dimaklumi adanya.

Manakala, berita yang bukan seperti itu (naql yang sahih, pent.), lebih-lebih lagi jika berita itu datangnya daripada Ahli Kitab – seperti berita-berita yang dibawakan oleh Ka’ab, Wahab, Muhammad bin Ishaq, dan ramai lagi yang mengambil daripada Ahli Kitab, maka berita semacam ini tidak boleh dipercayai dan tidak juga harus dibohongi melainkan jika adanya hujah sebagaimana yang sabit dalam Hadis Nabi s.a.w. yang sahih. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Jika ada ahli kitab yang memberikan berita kepadamu, maka janganlah kamu mempercayai mereka dan jangan pula kamu bohongi mereka, sebab boleh jadi jika mereka benar padahal kamu tidak mempercayainya. Dan boleh jadi jika mereka berbohong dengan segala kebatilan, tentu kamu mempercayai mereka.” (Diriwayatkan oleh al-Tabrani dalam Mu’jam al-Kabir, dan perawi-perawinya thiqah [dipercayai])

Manakala dalam halaman yang lain ketika membicarakan tentang riwayat Israiliyyat yang tidak diketahui kebenaran dan juga kebohongannya, Imam Ibn Taimiyyah menukilkan lagi, “Kebanyakannya cerita-cerita itu tidak ada manfaat yang dapat diambil mengenai perkara-perkara agama. Oleh sebab itu, ulama-ulama ahli kitab bertikai dalam perkara-perkara seperti ini (agama), manakala para mufassir pun berselisih mengenai riwayat-riwayat berkenaan disebabkan oleh perselisihan sumbernya, seperti perselisihan mereka mengenai nama ashab al-kahfi dan “warna anjing mereka”. Ini termasuklah mengenai jumlah bilangan mereka, terbuat daripada kayu apakah tongkat Nabi Musa, nama-nama burung yang telah dihidupkan oleh Allah bagi Nabi Ibrahim, penentuan anggota badan lembu yang dijadikan pemukul untuk memukul orang-orang yang terbunuh, bentuk pokok yang di sebaliknya Allah berbicara kepada hamba-Nya Nabi Musa, dan seterusnya yang tidak diceritakan oleh Allah di dalam al-Quran, sebab ia tidak mempunyai faedah bagi mukallaf (yang dibebani perintah dan larangan) dengan menentukan secara terperinci perkara-perkara bukan asas berkenaan, sama ada dalam agama dan dunia mereka.”

Jadi sebagai penulis, apatah lagi penulis yang masih muda dan segar mindanya sepatutnya perlu menulis hanya yang berfaedah untuk agama dan masyarakatnya. Kepada sekalian penulis muda, iktibar daripada kebijaksanaan al-Quran ini – maka tulislah sesuatu yang penting dan bermanfaat sahaja. Elakkanlah daripada menulis dan berbicara sesuatu yang tidak bermanfaat walau hanya mencoret kata-kata dalam ruangan surat pembaca dalam mana-mana majalah atau akhbar. Janganlah mengotorkan karya-karya kalian dengan sesuatu yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada manusia dan membuang masa pula mereka membacanya. Janganlah memalukan diri sendiri dengan hanya menulis sesuatu yang sia-sia. Belajarlah menulis sesuatu yang penting dan berfaedah sahaja.

Gaya Pengulangan Al-Quran

Setelah kita memperkatakan tentang sifat al-Quran yang tidak membicarakan hal-hal yang tidak penting, mungkin ada yang hairan dan berasa pelik apabila menemui ayat-ayat al-Quran yang diulang beberapa kali atau juga berkali-kali di dalam al-Quran. Perulangan yang paling mudah dikesan dan pastinya diketahui umum ialah yang terkandung di dalam surah al-Rahman bagaimana Allah mengulang-ulang kalimah ‘Fabi-ayyi-aa-laaaa-irobbikumaa-tukazzibaaaan’ yang bermaksud, “Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan,” sebanyak 30 kali secara selang-seli dengan ayat-ayat yang lain.

Di dalam surah ini Allah bercerita tentang pelbagai nikmat yang ada di atas dunia yang diberikan kepada manusia dan kemudian Allah bercerita sedikit tentang azab seksa api neraka. Dalam surah ini juga kemudiannya Allah menceritakan pelbagai nikmat syurga yang akan diberikan kepada manusia yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya. Maka tidak syak lagi tentang kepentingan ayat yang sengaja diulang itu dan jelaslah kepada kita Allah mempunyai alasan yang kukuh untuk mengulang ayat tersebut sampai 30 kali hanya dalam satu surah yang tidaklah begitu panjang.

Manakala tentang kisah yang terkandung di dalam al-Quran pula, ada yang disebut hanya sekali dan ada juga yang diulang beberapa kali. Misalnya kisah Nabi Nuh a.s. yang disebutkan dalam beberapa surah iaitu dalam surah Nuh serta dalam Saaffaat, al-Mu’minun dan dalam surah Hud. Tentang kisah yang tidak berulang dan diulang-ulang ini, Syeikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin menyebutkan, “Terdapat kisah al-Quran yang disebut sekali sahaja seperti kisah Luqman dan Ashab al-Kahfi. Ada pula kisah yang berulang mengikut keperluan dan maslahah (manfaat). Kisah-kisah ini diulang dalam olahan yang berbeza-beza, ada yang panjang, pendek, keras, lembut dan menerangkan sudut-sudut yang tidak disentuh pada tempat lain. Di antara hikmah pengulangan kisah ini ialah:

1 – Menerangkan betapa pentingnya kisah itu kerana pengulangannya menunjukkan ianya diberi kepentingan.
2 – Menekankan kisah itu supaya kekal dalam sanubari manusia.
3 – Mengambil kira zaman dan keadaan para pendengar. Di dalam surah-surah Mekah, kebiasaannya kisah diolah dengan ringkas dan tegas, berbeza dengan kisah dalam surah-surah Madinah.
4 – Menjelaskan kesusasteraan al-Quran yang dapat menonjolkan kisah-kisah ini dalam dua bentuk yang lain mengikut keadaan.
5 – Menonjolkan ketepatan dan kebenaran al-Quran serta pengesahan bahawa ianya datang daripada Allah Ta‘ala apabila kisah-kisah ini berulang-ulang tanpa percanggahan.”

Gaya pengulangan ini seperti yang kita semua maklum sudah banyak digunakan oleh para penulis kita dalam karya mereka. Tentu saja yang paling terkenal ialah gaya pengulangan yang digunakan SN Shahnon Ahmad dalan karya-karyanya. Ternyata gaya pengulangan yang dimulakan oleh al-Quran memberikan faedah yang sangat banyak kepada para pembaca jika turut digunakan dalam karya penulisan kita.

Iktibar Daripada Perumpamaan al-Quran

Dalam perumpamaannya, al-Quran juga menggunakan binatang sebagai objek perumpamaan. Sebahagian daripada perumpamaan itu antaranya ialah seperti anjing, lalat, labah-labah dan keldai. Kita perhatikan setiap satu perumpamaan itu:

(1) Dalam surah al-A’raf ayat 175 – 176, Allah membuat perumpamaan dengan anjing. Firman Allah yang bermaksud, “Dan bacakanalah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. Kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah ia dari orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustaka ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.”

(2) Dalam surah al-Hajj ayat 73, Allah membuat perumpamaan dengan lalat. Firman Allah yang bermaksud, “Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).”

(3) Dalam surah al-‘Ankabut ayat 41, Allah membuat perumpamaan dengan labah-labah. Firman Allah yang bermaksud, “Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongan) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal sesungguhnya sarang-sarang yang sehabis-habis reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan.”

Sebagai contoh, perumpamaan al-Quran ini telah digunakan oleh seorang penulis muda ke dalam puisi beliau. Azman Hussin turut menggunakan perumpamaan labah-labah dalam puisinya yang berjudul Sajak Labah-labah. Perhatikan keseluruhan puisi tersebut:

Hanya belalang,
kupu-kupu,
pepatung,
kelkatu,
lalat,
nyamuk
atau serangga halus lain
yang terjaring pada benang perangkapmu.

Tidak burung gagak
atau kelelawar buta.

Azman yang tidak pernah disebut sebagai penulis karya-karya yang bernafas Islam pun turut menghasilkan puisi berpandukan ayat al-Quran. Beliau juga menulis dua buah puisi lain berjudul Syair Asy Syu’ara dan Penyair yang diasaskan daripada surah Asy-Syu‘ara yang Allah tujukan peringatan kepada para penyair. Dan Azman juga dengan puisi Syair Asy Syu’ara ini menujukan pesanannya kepada intelektual, sasterawan, seniman dan lain-lain.

(4) Dalam surah al-Jumu’ah ayat 5, Allah membuat perumpamaan dengan keldai. Firman Allah yang bermaksud, “(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telah pun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungkan dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungan dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya).”

Contoh Lain Kebijaksanaan Al-Quran

Sekadar satu contoh tambahan daripada sekian banyak kehebatan dan kebijaksanaan al-Quran itu ialah kesimpulan hukum yang dibuat oleh para ulama bagi menetapkan tempoh minima wanita hamil yang merupakan gabungan daripada dua ayat al-Quran. Betapa banyak ilmu yang dapat dikutip di dalam al-Quran dan betapa banyak hukum yang telah diputuskan oleh para ulama menggunakan al-Quran. Dengan menggunakan kecerdasan akal yang dianugerahkan Allah, para ulama Islam telah memutuskan antaranya penentuan tempoh perempuan mengandung ini.

Syeikh Muhammad Shalih dalam syarahnya kepada kitab Al-Hilyah karangan Syeikh Bakr Abu Zaid mencatatkan kaedah penentuan yang ditetapkan daripada dalil al-Quran itu iaitu daripada ayat 15 surah al-Ahqaf dan juga ayat 14 surah Luqman. Dua ayat tersebut bermaksud:

“...sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan...” (Surah al-Ahqaaf: ayat 15)

“...dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun...” (Surah Luqman: ayat 14)

Tiga puluh bulan sama dengan dua tahun enam bulan, jadi untuk mengetahui tempoh hamil sahaja perlulah tempoh 30 bulan dalam ayat pertama itu ditolak dengan tempoh menceraikan susu selama dua tahun dalam ayat kedua, maka akan keluarlah tempoh hamil sahaja. Maka daripada gabungan dua ayat inilah para ulama dapat menyimpulkan hukum-hukum yang berkaitan dengan tempoh hamil kaum wanita.

Inilah antara sebahagian kecil daripada kebijaksanaan al-Quran yang dapat saya kemukakan dalam makalah yang ringkas ini untuk sama-sama kita hayati sebagai langkah awal menyahut saranan kembali kepada al-Quran. Saranan yang sepatutnya sudah lama disambut oleh setiap penulis Islam, penulis yang sejak kecil lagi sudah mengakui dengan yakin bahawa Allah itu Tuhannya – yang tidak ada Tuhan lain selain Dia dan Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah pesuruh Allah. Mana mungkin orang yang melafazkan pengakuan ini menolak al-Quran dan sunah sebagai panduan dalam semua aspek kehidupannya termasuklah juga dalam aspek penulisan. Ini bermakna kewajipan seorang penulis Islam menjadikan al-Quran dan sunah sebagai sumber asas dalam penulisannya adalah sama seperti mana dia wajib berpandukan kepada al-Quran dan sunah dalam kehidupannya. Setelah meneliti keagungan ayat-ayat Allah dalam al-Quran, kita pasti akan menemukan sekian banyak hikmah kebijaksanaan dan juga pelbagai iktibar yang memberi faedah yang sangat besar kepada manusia.

Sekian banyak lagi ilmu, kebijaksanaan, hikmah dan segala macam pengetahuan yang dapat dikutip dan disimpulkan daripada keagungan kalamullah. Penulis adalah golongan yang termasuk dalam kalangan kaum pemikir dan cendekiawan. Maka penulis adalah antara golongan cendekiawan yang bertanggungjawab menyampaikan pesan al-Quran kepada masyarakat. Tegas Syeikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin dalam Al-Usul fi al-Tafsir tentang hal ini, “Para cendekiawan wajib menjelaskan al-Quran kepada manusia sama ada dengan penulisan atau percakapan berdasarkan firman Allah Ta‘ala yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil janji dari orang-orang yang telah diberi kitab (iaitu) hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada manusia dan jangan kamu menyembunyikannya.” Penerangan al-Quran kepada manusia merangkumi penerangan lafaz dan maksudnya. Dengan ini, tafsir al-Quran adalah salah satu daripada perkara yang Allah Ta‘ala ambil pengakuan para cendekiawan supaya menjelaskannya.”

Bukankah penulis itu orang yang cerdik, bijak pandai dan intelektual yang sepatutnya menyeru kepada kebaikan dan mencegah segala kemungkaran – maka, saranan agar kembali kepada al-Quran dan berdakwah dengan menggunakan kebenaran kalamullah itu sepatutnya digalas di bahu setiap penulis Islam lebih-lebih lagi penulis muda.

Sebagai ingatan akhir, sama-samalah kita menghayati penegasan Allah dan ingatan-Nya ini yang bermaksud, “Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Dia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?”. Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan.” (Surah Taha: ayat 123 – 126)

Nota Hujung
[1] Saya menyebutkan nama sebahagian daripada penulis muda dan karya mereka yang bernafas Islam itu dalam tulisan saya berjudul “Menggempur sastera dengan al-Quran” dalam Siasah, edisi 17 – 23 Ogos 2008.
[2] Jawapan saya lebih lanjut tentang karya tulis bernafas Islam ini, sila rujuk wawancara oleh Mohd Dahri Zakaria berjudul “Saya Bukan Sufi” dalam www.esastera.com/profil, 2006.
[3] Tulisan SN A. Samad Said tersebut disiarkan dalam dua siri iaitu “Sasterawan Negara perlu jadi pelopor jujur: Idealisme anak seni” dalam Mingguan Malaysia, 19 Mac 2000 dan sambungannya berjudul “Suara seniman wajar bijaksana, ranum dan indah” dalam Utusan Malaysia, 22 Mac 2000.

Rujukan

A. Samad Said. 2000. Suara seniman wajar bijaksana, ranum dan indah. Utusan
Malaysia. 22 Mac.
Abdullah Basmeih. 2001. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur’an.
Kuala Lumpur: DARULFIKIR.
Al-Qathan, Manna’ Khalil. 2006. Cara Mudah Memahami Al-Quran (
Mabahith fi ‘Ulum
al-Quran
). Kuala Lumpur: Pustaka Jiwa.
Al-‘Utsaimin, Muhammad bin Shalih. 2005.
Pengenalan Ringkas kepada Ilmu Ushul Al-
Tafsir
(Al-Ushul fi al-Tafsir). Sunt. Hafiz Firdaus Abdullah. Johor Bahru: Perniagaan
Jahabersa.
____________. 2005. Syarah Adab & Manfaat Menuntut Ilmu (
Syarh Hilyah Thaalibil
‘Ilmi
). Jakarta: Pustaka Imam Asy-Syafi’i.
Azman Hussin. 2001. Candu. Pasir Puteh: Pustaka Pemikir.
Ibn Taimiyyah, Abu ‘Abbas Taqiy al-Din Ahmad ibn ‘Abd al-Halim ibn ‘Abd al-Salam
al-Harrani. 2005. Pengantar Kepada Usul al-Tafsir (Muqaddimah fi Usul al-Tafsir).
Sunt. Adnan Zarzur. Petaling Jaya: Intel MULTIMEDIA PUBLICATION.
T. Alias Taib. 1985. Seberkas Kunci. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


*Kertas kerja ini telah dibentangkan semasa Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) 2009 di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka pada 22 - 24 Mei 2009 yang lalu.

Saturday, June 06, 2009

Dato' Seri, jika PPSMI diteruskan, BN akan kalah!


"Dato' Seri, jika PPSMI diteruskan, BN akan kalah!" kata-kata ini pernah disampaikan oleh rombongan GAPENA yang pernah menemui PM bagi membantah perlaksanaan PPSMI. Ini seperti mana yang diberitahu oleh Prof. Dato' Dr. Abdul Latiff Abu Bakar kepada para penulis muda Malaysia ketika merasmikan penutupan Perhimpunan Penulis Muda Malaysia (PPMN) 2009 di Melaka baru-baru ini.

Perhimpunan penulis muda yang berlangsung selama 3 hari 2 malam itu sebulat suara menolak perlaksanaan PPSMI ini dalam resolusi yang disampaikan dalam majlis penutup perhimpunan tersebut. Tentang ini juga, boleh dibaca lanjut dalam tulisan H Fansuri yang turut menjadi pembentang di PPMN 2009 di Harakahdaily.net berjudul Himpunan penulis muda bantah keras PPSMI.

Hingga kini, kata-kata yang disampaikan oleh Dr. Latiff itu masih jelas terngiang-ngiang di telinga saya, "Dato' Seri, jika PPSMI diteruskan, BN akan kalah!" Dan ia akan terus terngiang-ngiang hinggalah PRU-13 pada tahun 2012 atau 2013 nanti.

Salman Sulaiman
MS Computer Centre,
Machang, Kelantan.
6 Jun 2009, Sabtu.

Thursday, May 21, 2009

Ayuh, penulis muda Malaysia kita berkampung di Melaka!

Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) 2009

Kepada semua penulis muda malaysia yang berumur bawah 40 tahun, penyertaan masih dibuka sehingga 10 Mei ini kepada sesiapa yang berminat menyertai PPMN 2009.

Tempat : Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka.

Tarikh : 22 (Jumaat) hingga 24 (Ahad) Mei 2009 selama 3 hari 2 malam.

Syarat penyertaan : Penulis muda atau penulis baharu yang sudah lama menulis atau baru menulis dan BENAR-BENAR BERMINAT ingin menjadi penulis.

Yuran Penyertaan : RM 30 seorang, termasuk makan minum dan penginapan yang disediakan penganjur.

Pengangkutan tidak disediakan. Semuanya adalah atas urusan dan tanggungan peserta sendiri.

Antara Para Pembentang Kertas Kerja :

Rahimidin Zahari, Mawar Shafei, Zaid Akhtar, Muhammad Lutfi Ishak, Awang Azman Awang Pawi, Salman Sulaiman, Aqil Fithri, Zulkifli Khair, Fadhli al-Akiti, Wan Fhysal dan ramai lagi.

Daftar masuk peserta di Puteri Resort pada hari pertama, 22 Mei 2009 (Jumaat) dibuka hingga selewat-lewatnya jam 12 tengah hari. Sesi pertama pembentangan kertas kerja pada 22 Mei, Jumaat – bermula jam 3 petang oleh Muhammad Lutfi Ishak, Salman Sulaiman dan Zulkifli Khair. Harap maklum.

Dijangkakan kira-kira 200 orang penulis muda akan berkampung di sana nanti.

Untuk penyertaan dan maklumat lanjut, sila hubungi:

(1) Wan Zaida – 013-6915266, nuhamelissa@yahoo.com

(2) Saifullizan Yahya – 016-3018645, saif@dbp.gov.my

(3) Muhammad Lutfi Ishak – 013-2650876, lutfi_ishak@yahoo.com atau

(4) PENA di talian 603-2142 5824


*Kalau ada sesiapa yang berminat untuk membeli buku-buku saya, boleh pesan melalui SMS & saya akan bawakan semasa PPMN 2009 nanti!
**
Tarikh pada paparan blog adalah tidak betul, ianya untuk tujuan iklan. Sila lihat di bawah untuk kemaskini terbaru Salman yang lain sebelum 22 Mei 2009.

Ayuh, penulis muda Malaysia kita berkampung di Melaka!

Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009

Kepada semua penulis muda malaysia yang berumur bawah 40 tahun, penyertaan masih dibuka sehingga 10 mei ini kepada sesiapa yang berminat menyertai PPMN 2009.

Tempat : Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka.

Tarikh : 22 (Jumaat) hingga 24 (Ahad) Mei 2009 selama 3 hari 2 malam.

Syarat penyertaan : Penulis muda atau penulis baharu yang sudah lama menulis atau baru menulis dan BENAR-BENAR BERMINAT ingin menjadi penulis.

Yuran Penyertaan : RM 30 seorang, termasuk makan minum dan penginapan yang disediakan penganjur.

Pengangkutan tidak disediakan. Semuanya adalah atas urusan dan tanggungan peserta sendiri.

Antara Para Pembentang Kertas Kerja :

Rahimidin Zahari, Mawar Shafei, Zaid Akhtar, Muhammad Lutfi Ishak, Awang Azman Awang Pawi, Salman Sulaiman, Aqil Fithri, Zulkifli Khir, Fadhli al-Akiti, Wan Fhysal dan ramai lagi.

Daftar masuk peserta di Puteri Resort pada hari pertama, 22 Mei 2009 (Jumaat) dibuka hingga selewat-lewatnya jam 12 tengah hari. Sesi pertama pembentangan kertas kerja pada 22 Mei, Jumaat – bermula jam 3 petang oleh Muhammad Lutfi Ishak, Salman Sulaiman dan Zulkifli Khir. Harap maklum.

Dijangkakan kira-kira 200 orang penulis muda akan berkampung di sana nanti.

Untuk penyertaan dan maklumat lanjut, sila hubungi:

(1) Wan Zaida – 013-6915266, nuhamelissa@yahoo.com

(2) Saifullizan Yahya – 016-3018645, saif@dbp.gov.my

(3) Muhammad Lutfi Ishak – 013-2650876, lutfi_ishak@yahoo.com atau

(4) PENA di talian 603-2142 5824

* Tarikh pada paparan blog adalah tidak betul, ianya untuk tujuan iklan. Sila lihat di bawah untuk kemaskini terbaru Salman yang lain sebelum 22 Mei 2009.