Wednesday, December 19, 2007

Selamat hari raya Aidiladha buat semua!

Eid Mubaarak [Selamat hari raya yang diberkati], saya ucapkan buat semua yang menatap halaman blog ini. Sempena Aidiladha yang bakal disambut esok, saya tinggalkan anda dengan beberapa adab seorang Muslim tatkala menjelangnya hari raya.

Ketika tibanya hari raya, Islam telah menggariskan beberapa panduan untuk diikuti oleh penganutnya. Ini jelas diajarkan Nabi (saw) dalam banyak riwayat-riwayat hadis yang sahih. Antara panduan-panduan tersebut ialah:

1 – Bercantik dan berhias di hari raya

Imam Ibn Khuzaimah meriwayatkan dalam kitab sahih beliau, pada hadis nombor 1765 yang bermaksud, “Daripada Jabir (ra) katanya: Bagi Nabi (saw) ada satu jubah yang Baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari jumaat.”

Demikian juga Imam Al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang sahih, bahawa Ibn ‘Umar sentiasa memakai pada hari raya seindah-indah pakaiannya.

2 – Keluar ke tempat solat melalui jalan lain dan balik daripadanya melalui jalan lain

Dalam hadis nombor 986, Imam Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis dalam kitab sahih beliau yang bermaksud, “Daripada Jabir bin Abdillah (ra) katanya: Adalah Nabi (saw), pada hari raya Baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).”

Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini iaitu:

(1) – Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan Allah pada hari kiamat nanti. Ini kerana bumi akan membicarakan pada hari kiamat apa yang dilakukan di atasnya dari perkara-perkara baik dan jahat.

(2) – Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam.

(3) – Untuk menzahirkan zikir kepada Allah.

(4) – Untuk menyakitkan hati orang-orang Munafikin dan Yahudi dan sebagai menakutkan mereka dengan ramainya umat Islam.

(5) – Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan atau untuk menziarahi sanak saudara dan menghubungkan silaturrahim.

3 – Ucapan tahniah pada hari raya

Termasuk daripada adab berhari raya ialah dengan menyampaikan ucap tahniah sesama Muslim dengan sebarang ucapan yang baik seperti ucapan:

(a) – “Taqobbalallooh huminna waminggkum.” – Semoga Allah menerima amalan dari kami dan anda semua.

(b) – “Eid Mubaarak.” – Selamat hari raya yang diberkati.

Atau ucapan yang seumpama dengan ucapan-ucapan tadi yang terdiri dari ungkapan-ungkapan tahniah yang dibenarkan. Jubair bin Nufair berkata: “Para sahabat Nabi (saw) apabila mereka bertemu sesama mereka pada hari raya mereka mengucapkan, “Taqobbalaminnaa waminggkum.” Imam Ibn Hajar dalam kitab Fathul Bari mengatakan bahawa riwayat isnad ini adalah hasan.

4 – Keluar dengan berjalan kaki ke tempat solat hari raya

Daripada ‘Ali bin Abi Tolib (ra) katanya: “Termasuk di dalam sunnah, mendatangi (solat) hari raya dengan berjalan kaki.” [Hadis riwayat Imam Al-Tirmizi dan beliau mengatakan hadis ini ialah hadis hasan]. Kata Imam Al-Tirmizi lagi, “Beramal dengan hadis ini kebanyakan para ulama’, mereka memandang sunat orang lelaki keluar (untuk solat hari raya) dengan berjalan kaki.”

Kata Imam Ibn Munzir, “Orang yang berjalan kaki ke hari raya (tempat solat hari raya) adalah lebih baik dan lebih hampir kepada maksud tawadhu’, dan tidak mengapa bagi sesiapa yang berkenderaan.”

5 – Wanita juga keluar menunaikan solat hari raya

Para wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk di dalam sunnah Nabi (saw). Dari Umm ‘Atiyyah (ra) katanya: “Kami disuruh oleh Nabi (saw) untuk mengeluarkan mereka (semua wanita) pada hari raya Aidilfitri dan Al-Adha wanita yang baru baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun wanita haid diasingkan daripada tempat sembahyang.”


Untuk semua, saya ucapkan selamat hari raya Aidiladha. Saya pohon maaf atas segala salah dan silap selama saya mengenali anda semua & selama anda mengenali saya, sebagai; kawan, pembaca, sahabat, pengikut setia, penggemar tulisan-tulisan saya atau sebagai apa pun, maaf atas segala yang terkasar bahasa atau yang tersalah kata atau atas segala apa yang telah membuatkan anda terluka & terguris rasa. Dalam hujan, ditambah ujian banjir yang melanda, moga Aidiladha ini akan menambahkan iman & taqwa kita kepada-Nya.



Salman Sulaiman
CC Cahaya, Kg. Padang Selising,
Machang, Kelantan Darul Naim.
11.12 malam, 19/12/2007.
9 Zulhijjah 1428 H, Rabu.

1 comment:

zaiisma said...

Aslkm,
Cuba ingin maklumkan ttg website sdr yg disiarkan dlm MM 30 Dis 2007 hlm 14 sbrnya tersilap (www.pemainbahasa.blogpsot.com) yg apb dicari memaparkan website ttg bible online.. huh..bahaya.. . Harap dimaklumkan kpd pihak akhbar yg terlibat. TK