Saturday, December 01, 2007

Izinkan dua tiga hari ini saya berkembara puisi


Kebetulan di dalam beg sandang saya ketika ini ada sebuah buku yang berjudul Bagaimana Orang Malas Boleh Jadi Kaya? karya Ibnu Yusof. Maka, elok saya kira saya petik apa yang tertera pada halaman 146 buku ini untuk anda tatapi dua tiga hari ini. Ibnu Yusof memulakan halaman ini dengan sebaris kata-kata hikmah iaitu;

Tumpukan perkara yang anda betul-betul tahu.
- Arthur Spear

Dan, dengan tajuk 'Buat yang Anda Tahu, Tahu Apa yang Anda Buat', beliau menuliskan begini;

"Seorang usahawan yang sudah kaya raya setelah kira-kira 4 tahun berniaga telah berkata kepada penulis bahawa dia tidak akan buat apa yang dia tidak tahu. Dia hanya buat apa yang dia tahu. Pada hemat penulis itulah sebab dia jadi kaya.

Masalah pada orang yang tidak kaya-kaya ialah dia buat juga apa yang dia tidak tahu dengan harapan bila dia buat dia akan tahu. Memanglah dia dapat belajar dari pengalaman itu tapi dia tidak akan jadi kaya kerana masanya dihabiskan melakukan apa yang dia tidak tahu dan meninggalkan apa yang dia tahu. Sebenarnya apa yang dia tahu itulah yang diperlukan oleh orang lain dan kerana itulah ianya hingga boleh diniagakan dan mendapat wang. Apa yang dia tidak tahu tidak ada siapa yang teringin.

Sama juga keadaannya dengan orang yang tahu tetapi tidak buat. Dia tidak akan kaya-kaya. Ini kerana dia sendiri tidak percaya bahawa apa yang diketahuinya itu bermanfaat untuk dirinya dan orang lain.

Jadi janganlah hairan bila anda dapati orang yang tidak bersekolah tinggi atau tidak berkemahiran teknikal atau bukan pakar jadi kaya. Ianya kerana mereka buat apa yang mereka tahu dan percaya ianya memberi manfaat dan keuntungan. Mereka terus maju kerana mereka tahu, bukan kerana tak tahu."

[Lihat: Ibnu Yusof, Bagaimana Orang Malas Boleh Jadi Kaya?, m.s. 146, Al-Kafilah Enterprise: Kota Bharu, 1995]

Ya, untuk dua tiga hari ini, saya tinggalkan anda dengan catatan ini sajalah dulu; kerana saya mahu ke Melaka, sebetulnya ke Hotel Sri Warisan, Air Keroh - menghadiri program Hari Puisi Nasional anjuran GAPENA, bermula esok dan berakhir selasa ini; 2 - 4 Disember 2007. Izinkan dua tiga hari ini saya berkembara puisi. Dan, jumpa nanti.



Salman Sulaiman
CC Cahaya, Kg. Padang Selising,
Machang, Kelantan.
12.13 tengah hari, Sabtu.
1 Disember 2007, 21 Zulkaedah 1428 H.

No comments: