Thursday, November 29, 2007

SMS daripada adik penyair Abdulhadi Muhamad


Saudara Usman Ibrahim, Bendahari Persatuan Penulis Kelantan (PPK) mengirimkan SMS ini kepada saya, SMS yang beliau terima daripada adik kepada penyair Abdulhadi Muhamad. SMS yang dikirim kepada saya itu bertarikh 23 November 2007, jam 18:17:40, bertulis;

“Mesej daripada adik Abdulhadi Muhamad... Salam. Abang saya masuk ICU lagi pagi tadi. Dia dah keluar dari hospital 3 hari lepas. Sekarang amat tenat. Doktor dah minta kami panggil balik anak-anak dia yang duduk jauh. Pagi tadi jantung dia berhenti, oksigen tak sampai menyebabkan jantung cedera. Tolong beritahu kawan-kawan dia untuk sama-sama mendoakan. Terima kasih. DARIPADA – Rosli: Wad Kecemasan, Tingkat 1, Kota Bharu.”

Abdulhadi Muhamad merupakan penyair Kelantan yang pernah prolifik pada akhir dekad 70-an dulu. Sedikit tentang beliau, yang saya kutip daripada kulit belakang buku kumpulan puisi perseorangan beliau yang berjudul Racun Abadi, begini;

“ABDULHADI MUHAMAD dilahirkan pada 1954 di Kampung Humalanas Takbai, Narathiwat, Thailand Selatan. Menerima pendidikan di Maahad Muhammadi Kota Bharu, Kolej Islam Kelang (1971 – 74) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (1975 – 79). Bersama teman-teman penyair UKM mengasas dan memimpin Grup Pemuisi UKM dalam tahun 1977. Menceburi bidang puisi, rencana-rencana sastera dan agama yang menadapat siaran pada majalah-majalah dan akhbar-akhbar tanah air.”

Sebelum Racun Abadi, dalam tahun 80-an beliau menghasilkan kumpulan puisi Ruang Dalam. Di kalangan teman-teman penyair di Kelantan beliau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Hadi. Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan dan kesihatan beliau. Sebelum saya akhiri catatan ini dengan sebuah puisi beliau yang berjudul PUISI HUJUNG TAHUN – yang merupakan puisi terakhir dalam Racun Abadi, saya kutip dahulu kata-kata beliau dalam ruangan PROLOG kumpulan puisi Racun Abadi, beliau menuliskan begini;

“Puisi-puisi sejak purba cekap mengambil @ merampas alih suasana demikian sama ada terakam sebagai lagu, pengucapan atau tulisan. Maka jadilah tabiat perpuisian itu suatu macam fitrah kepada manusia buat menzahirkan isi hasratnya alam suatu bentuk lirik seni yang tersendiri, punya kekuatan dan berwarna-warni. Saya juga ikut mengungkap dalam bahasa yang menjadi jiwa bangsa kita ini, kalau mungkin karya itu akan digetus oleh mata hati manusia berikutnya sehingga menjadi santapan batin sebelum setiap diri menceburi kesibukan-kesibukan lain yang tidak kunjung selesai.”


PUISI HUJUNG TAHUN

Menghala kudrat dari usia sementara. Dalam soal
Ada kepenatan bersembunyi dan mencari.
Manusia kerdil mengharung maya!
Kita songsong debur gelombang meninggalkan
Bangsal lahir ke ruang luas mengembang fikir,
Mengutip bijaksana diapung segara
Syurga di hujung mata.

Lingkung penjara kedua ini bermula hukum
Memintas baligh. Ada goda sejuta. Ada duga semata.

Pelayaran dari laut selatan. Mati angin kita kayuh jua
Ke utara. Di sana tetap setia singgahan penghabisan
Bekalan terbaik itu kita pelihara. Kita makmurkan
Kewaspadaan dan pengharapan setulus zikir
Kita hulur ke penghadapan-Nya.


Zulhijjah 1420.


Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan beliau!



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
6.27 petang, 29/11/2007.
19 Zulkaedah 1428 H, Khamis.

No comments: