Tuesday, November 27, 2007

Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah menulis tentang kucing


Ketika ramai yang sibuk-sibuk dengan MY CAT’S 2007 yang mempamerkan pelbagai jenis kucing dan turut juga diadakan pertandingan untuk mencari kucing terbaik, maka elok kiranya saya perturunkan apa yang dinukilkan oleh Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah dalam Dzammul Muwaswisiin Wattahdzir Minal Waswasah yang merupakan syarah beliau kepada kitab Mencela Was-was karangan Imam Ibn Qudamah. Imam Ibn Qayyim menuliskan begini;

Rasulullah s.a.w pernah berkata mengenai kucing: Dia itu bukanlah sesuatu yang najis. Dia adalah antara binatang jinak yang selalu hidup dengan kamu. Beliau pernah menghulurkan bekas air kepada kucing untuk diminumnya. Abu Qatadah kerap membuat serupa itu juga, padahal memang sudah diketahui dengan yakin, bahawa kucing itu memakan tikus dan binatang-binatang melata yang lain. [Daripada Kabsyah binti Ka’ab bin Malik, dan dia adalah isteri anak Abu Qatadah, bahawasanya Abu Qatadah pernah datang kepadanya, lalu aku memberikannya sedikit air untuk berwuduk, maka datang kepadanya seekor kucing hendak meminum air itu, dan Abu Qatadah pun menyorongkan air itu kepadanya sehingga ia minum daripadanya. Kemudian Abu Qatadah menoleh aku memerhatikan perkara itu, lalu ia berkata: Apakah engkau hairan melihat itu? Jawabku: Ya. Maka katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah berkata, bahawa kucing itu tidak najis, kucing itu antara binatang yang sering mengelilingi kamu setiap hari] Di samping itu, memang sudah dimaklumi secara pasti pula, bahawa di kota Madinah itu tidak ada suatu kolam pun yang ukurannya lebih dari dua kolah, yang tidak dapat dielakkan lagi dari didatangi oleh kucing-kucing untuk meminum air daripadanya. Kedua-dua masalah ini memang sudah dimaklumi secara pasti.

(Lihat: Ibn Qayyim Al-Jauziyyah, Was-was – bila syaitan membelit manusia [terjemahan Syed Ahmad Semait], m.s. 75, Singapura: PUSTAKA NASIONAL PTE LTD, 1999)



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
9.47 pagi, 27 November 2007.
Selasa, 17 Zulkaedah 1428 H.

No comments: