Wednesday, June 11, 2008

Dari Melaka dengan cinta


Ini sebetulnya sebuah catatan lama, yang tidak disiarkan oleh sebuah penerbitan. Maka saya siarkannya di sini. Saya kira kalian masih tetap sudi membacanya:

Saya tiba di lobi Seri Warisan Resort, Ayer Keroh, Melaka kira-kira jam sebelas lebih pagi ahad itu, 2 Disember 2007 – seorang diri. Lima kali berkenderaan juga untuk sampai ke sana. Berkereta dari rumah ke Machang. Bas dari Machang ke Hentian Putra, KL. Naik LRT pula di stesen PWTC untuk ke Hentian Puduraya, turun di Plaza Rakyat sebelah Hentian Puduraya. Ambil bas di Hentian Puduraya ke Melaka. Tiba di Melaka Sentral, mencari bas terakhir untuk ke Ayer Keroh dengan tambang RM1.50 dan turun di jalan masuk ke Seri Warisan Resort. Di Seri Warisan Resort, ada teman peserta yang memberitahu jika naik bas transnasional dari KL, boleh terus turun di Seri Warisan Resort. Manalah saya tahu, kerana memang sebelum ini saya tidak pernah sampai ke resort di pinggir bukit ini.

Saya ditempatkan di chalet nombor 309 bersama penyair Leo AWS dan Wan A Rafar yang terletak paling hujung di atas bukit. Chalet dengan 2 bilik yang boleh memuatkan 4 orang penghuni ini juga tersedia dengan – ruang dapur, ruang tamu & sebuah televisyen saiz sederhana, bilik mandi & tandas, serambi luar atau balkoni di bahagian dapur (sesuai untuk ruang penyair berkarya saya kira), ruang letak kereta di halaman dan satu set meja & kerusi batu di luar rumah di bahagian belakang di atas rumput yang sangat elok untuk sesi santai atau minum teh di waktu petang.

Seorang lagi teman penyair dari Persatuan Penulis Kelantan (PPK) yang ikut serta dalam program ini iaitu Ketua Satu PPK sendiri, penyair M Husdaini Mamat tidak ditempatkan bersama kami di chalet 309. Beliau menginap dengan peserta yang lain. Petang ahad itu jugalah, setelah selesai sesi pelancaran ‘Laman Seni’ oleh YB Dato’ Haji Ab Rahaman Haji Ab Karim yang disertai persembahan kesenian dan pameran lukisan pelukis Ismail Embong – saya dan penyair Wan A Rafar sempat bersantai di kerusi batu di belakang chalet tempat kami menginap sambil membaca naskhah Mingguan Wasilah dan Siasah yang sempat saya beli di Hentian Puduraya pagi ahad itu.

Sidang Pleno I: Puisi Nasional – Tradisi Menunjang Pemodenan Bangsa diadakan pada sebelah malamnya yang dipengerusikan oleh Hamzah Hamdani sebelumnya dimulakan dengan kertas kerja Prof. Datuk Zainal Kling yang antara lain, beliau menyebutkan tentang dua unsur dalam puisi moden kita yang tidak ada dalam tradisi Eropah kini ialah ‘perlanjutan bentuk tradisi yang berpanjangan’ dan ‘kelangsungan keagamaan’.

“Roh budaya Melayu itu ialah nilai yang Islami.” Bicara lembut dan santun Bapak Tenas Effendy yang merupakan seorang pakar puisi tradisional dari Riau sangat sedap dan manis saya mendengarnya. Jelujur katanya yang disulami pantun dan gurindam, kias dan ibarat terasa melekat kuat dalam ingatan. Sejak tahun 2006, Pak Tenas menjadi Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Sangat indah Pak Tenas menuturkan tunjuk ajar Melayu dari pepatah tinggalan orang tua-tua, “Adat memakai pada yang sesuai, adat mencontoh pada yang senonoh, adat meniru pada yang sejudu, adat meneladan pada yang sepadan.”

Sebagai seorang yang arif dalam pantun dan syair Melayu yang juga tidak melupakan nilai Islam dalam kehidupan bangsanya, sangat cocok sekali apabila Pak Tenas menitipkan ungkapan, “hidup berakal mati beriman,” dalam kertas kerjanya yang berjudul Mengekalkan Nilai-nilai Murni Budaya Bangsa Melalui Puisi (Upaya Menghadapi Cabaran Globalisasi) yang beliau sampaikan lebih kurang 15 minit itu. Sebagai salah seorang penulis yang juga menghasilkan puisi, saya berfikir panjang apabila Pak Tenas menegaskan, “Kepada penyair Melayu, berilah roh kepada puisi Melayu.” Penegasan ini saya kira juga perlu direnung lama-lama oleh setiap peserta yang hadir di Hari Puisi Nasional kali ini. Ketika diajukan soalan oleh para peserta tentang nasib gurindam yang telah dipinggirkan, Pak Tenas mengakhiri jawapannya dengan menyimpulkan, “Di dalam gurindam, banyaklah faham.”

Hari kedua (3/12/2007) dimulakan dengan Sidang Pleno II: Pemodenan Pemikiran Bangsa dalam Puisi oleh SN Dato’ A Samad Said dengan kertas kerja beliau Wajah dan Suara Seni Dekad Terjajah. Sasterawan Negara yang diminati ramai ini sempat berjenaka sebelum memulakan kertas kerjanya dan seingat saya jenaka Pak Samad itu berbunyi lebih kurang begini, “Jika Prof. Rahman menjadi penerima S.E.A. Write Award yang terakhir, saya menjadi penerimanya yang pertama. Berbezanya, saya akan terus kekal sebagai penerimanya yang pertama tetapi Prof. Rahman belum tentu akan dapat kekal sebagai penerima S.E.A. Write Awards yang terakhir,” dan hadirin ketawa.

Antara lain, SN Dato’ A Samad Said menitipkan, “Saya seorang penyair dari zaman terjajah memasuki gelora dahaga merdeka ingin yakin berdiri sendiri. Makanya sebagai seniman segala gelora dahaga merdeka itu harus dibuktikan – dilestari – melalui karya sastera.” Dan diikuti kemudiannya dengan kertas kerja Prof. Rahman Shaari (Universiti Malaya) berjudul Menghadapi Puisi: Memahami Makna dan Anjakannya. Beliau sempat mengulas dan membahas panjang tentang makna puisi Menambat Rakit karya SN Dato’ A Samad Said. Dalam sesi yang dipengerusikan oleh Dato’ Haji A Aziz Deraman itu, Prof. Rahman sempat memberi tanggapan bahawa peserta yang ada di hadapannya hari itu ialah penyair yang luar biasa dan peminat puisi yang luar biasa juga. Beliau juga mengaku menghafal 350 buah sajak.

Sesi selepas minum pada pagi itu diteruskan dengan menampilkan tiga orang ahli panel, Rida K Liamsi (CEO Riau Pos Grup), Marhalim Zaini (sasterawan muda Riau yang juga Ketua Jurusan Teater di Akademi Kesenian Melayu Riau) dan Cik Amina Yasalam dari Selatan Thailand (pelajar sarjana di Akademi Pengajian Melayu, UM, KL). Bapak Rida berkisah tentang pengalamannya memajukan sastera di Riau melalui media cetak yang dipimpinnya, Marhalim berkongsi pengalaman mengadaptasi sastera tradisi Melayu agar kembali diminati anak muda Riau dan Cik Amina meluah kelukaan tentang sastera Melayu yang semakin tidak digemari anak muda di Selatan Thai, malah mereka juga sudah tidak minat lagi untuk berbahasa Melayu. Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar sebagai moderator sempat memberi harapan kepada Cik Amina, “Kita harapkan beliau untuk meningkatkan sastera di Selatan Thai.”

Tengah hari itu, saya mengajak Marhalim Zaini menjamu selera di tepi kolam Seri Warisan Resort sambil berkata, “Banyak soalan yang nak diajukan.” Tercabar saya dengan kerajinannya berkarya kerana beliau telah menghasilkan tujuh buah buku termasuk kumpulan esei, cerpen, naskhah drama, puisi dan novel. Beliau menerima pelawaan saya untuk kami bertukar buku. Amuk Tun Teja yang merupakan kumpulan cerpen beliau menjadi milik saya dan kepadanya saya berikan senaskhah kumpulan cerpen duet saya bersama Jimadie, ‘Ngembara Ke Utopia Republik Cinta Sesudah Letih Menjadi Lelaki.

Sesi petang hari itu dipenuhi dengan majlis perasmian oleh YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Haji Mohd Ali Mohd Rustam diikuti majlis pelancaran antologi puisi Gema Membelah Gema 15, penyampaian Anugerah Penyair GAPENA 2007 kepada penyair Haji Mokhtar Yassin, Pengucapan Puisi Nasional dan Persembahan Kesenian. Paling tidak dapat saya lupa ialah pisang masak lemak dan masak asam pedas Melaka serta dua tiga jenis sambal yang dihidangkan kepada kami di Kampung Pantai Puteri. Kami dibawa dengan bas ke Pantai Puteri untuk menghadiri Malam Seni Puisi sambil dihidangkan dengan masakan tradisional Melaka. Enak sekali menjamu selera di tepi pantai, ditiup angin laut yang dingin sambil menikmati nyonya Melaka berdondang sayang.

Pada pagi hari terakhir, kami berjalan kaki ke Taman Mini Malaysia dan Asian untuk menghadiri majlis penutupan sekali lagi oleh YB Dato’ Haji Ab Rahaman Haji Ab Karim yang disertai pengucapan puisi dan diakhiri dengan persembahan tarian tradisional Melayu dari pelbagai negeri. Sempat juga saya memijakkan kaki ke rumah tradisi Perlis dan Sarawak.

Di atas kereta dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur petang itu, saya bersama penyair Wan A Rafar dan Leo AWS dibuai dendangan lagu rakyat nyanyian Roslan Madun yang menambahkan lagi rasa cinta saya kepada seni tradisi warisan bangsa. Sehabis Hari Puisi Nasional Ke – 17 di Melaka, saya balik dengan cinta yang lebih jauh dan dalam kepada seni puisi tradisi Melayu sambil Roslan Madun terus juga menyanyi-nyanyi membuai dan menyindir kami antaranya dengan dendangan Tebang Tebu, “Peram-peram pisang/masak atas belebas/orang zaman sekarang/hatinya keras.”


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
10 Disember 2007, Isnin.

1 comment:

Imran Ahmad Fauzay said...

jongkidin.blogspot.com