skip to main |
skip to sidebar
Ikuti wawancara saya bersama Abdullah Fahmi (Juara AQ TV9) dalam Mingguan Wasilah terbaru!
Ketika kebanyakan anak muda Malaysia sibuk-sibuk meraikan macam-macam juara hiburan yang dilahirkan daripada pelbagai program realiti TV yang menggoda remaja dengan hadiah yang lumayan – anak muda ini juga muncul sebagai salah seorang juara program realiti, tapi bukan menyanyi; sebaliknya mengaji – Akademi Al-Quran TV9.
Sebagai Juara Akademi Al-Quran Musim Pertama, Abdullah Fahmi diraikan dalam satu majlis istimewa di daerah kelahirannya di Machang, Kelantan. Majlis yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan dihadiri sendiri oleh YAB Menteri Besar itu menarik minat saya untuk ikut serta mendengar anak muda ini mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Subhanallah, kehebatan alunan lagu al-Quran yang diperdengarkan serta kemerduan suaranya memikat ramai orang termasuk saya.
Lebih terkejut saya apabila mengetahui bahawa beliau ialah anak kelahiran Machang. Sebelumnya saya menyangka Abdullah Fahmi ini bukan orang Kelantan, tapi rupa-rupanya beliau sedaerah dengan saya. Maka saya mula berkira-kira untuk mencungkil peribadi dan sejarah kehidupannya yang menjadi latar dan asas kehebatannya menyampaikan ayat-ayat Allah dengan begitu merdu dan dengan bacaan yang menyentuh hati.
Saya tekad untuk mewawancara anak muda yang memiliki suara yang memikat hati ini. Sehabis majlis, saya menemuinya dan menyalin alamat rumahnya ke dalam telefon bimbit. Beberapa hari kemudiannya, sebetulnya selepas asar pada petang khamis – saya bersendirian menuju ke alamat Madrasah Nor Shukri di Kampung Sega, Machang, Kelantan. Selepas beberapa ketika melalui jalan raya yang sibuk, saya menyusur jalan kampung yang lebih lengang dan tenang. Perjalanan yang tidak sampai pun 15 minit itu membawa saya ke kediaman Abdullah Fahmi, Juara Akademi Al-Quran TV9 Musim Pertama.
Sayangnya anak muda yang lebih mesra dengan panggilan Fahmi itu tidak ada. Kata ibunya, beliau ke Kota Bharu. Saya menunggu dan menghubunginya. Katanya beliau tidak sempat balik menemui saya hari itu. Saya memeterai janji untuk datang menemuinya pagi keesokan hari. Di atas kerusi batu di halaman, pelbagai cerita tentang Abdullah Fahmi yang sempat dikongsi ibunya kepada saya. Saya hanya berkira-kira di dalam hati, betapa bertuahnya keluarga ini yang mempunyai seorang anak lelaki bernama Abdullah Fahmi.
Dia seperti anak kampung yang lain juga, menahan bas di jalan besar jika mahu ke Kota Bharu. Begitulah kebanyakan dari kami anak-anak kampung di Kelantan, akan keluar ke Kota Bharu jika mahu membeli barangan yang istimewa sedikit. Maklum saja, tidak ada pasaraya besar di tempat-tempat lain melainkan Kota Bharu. Walaupun saya sebenarnya terkejut apabila ibunya memberitahu, Fahmi dengan bas ke Kota Bharu dan saya terlupa bahawa dia juga adalah seorang anak kampung seperti anak-anak yang lain juga. Cuma, yang membezakan dirinya sekarang ialah dia sudah dikenali dan menjadi idola masyarakat setelah bergelar juara sebuah rancangan realiti TV – Akademi Al-Quran.
Saya mengunjuginya lagi keesokan hari, pada pagi jumaat yang permai – seorang anak muda bertubuh sederhana yang manis dengan senyuman menyambut kehadiran saya. Dan di kerusi batu di halaman tempat saya berbual dengan ibunya petang sebelumnya itu jugalah, Abdullah Fahmi menuturkan panjang lebar kepada saya tentang dirinya dan tentang al-Quran yang diakrabinya sejak kecil lagi sehinggalah dia bergelar Juara Akademi Al-Quran Musim Pertama.
Hidangan air dan beberapa jenis kuih yang disediakan ibunya merancakkan lagi perbualan kami pagi itu. Bertempat dalam madrasah milik keluarga yang dibina bersambung dengan rumahnya yang dikenali dengan Madrasah Nor Shukri – istimewa kepada saya, beliau melagukan ayat-ayat suci al-Quran dengan dua jenis lagu termasuk satu surah pendek yang dibaca dengan riwayat imam qiraat.
Kepada saya, sempat diberitahu rentetan jadual hariannya yang begitu padat dan ketat. Beliau diundang membaca al-Quran di seluruh negara termasuklah ke Kedah dan juga Pahang serta beberapa kali di Kota Bharu. Saya menggeleng kepala dengan jadual hidupnya kini yang begitu padat. Beliau juga memerlukan waktu yang cukup dan selesa untuk membuat persiapan melanjutkan pengajiannya ke Mesir.
Dalam perjalanan balik, beriringan dengan saya – Abdullah Fahmi menunggang motosikal Honda lama milik keluarga, katanya mahu ke rumah tukang jahit menempah pakaian. Saya sekali lagi terlupa bahawa Fahmi juga adalah seorang anak kampung yang mempunyai kehidupan peribadi seperti anak-anak muda yang lain juga. Yang berbeza kini, beliau ialah seorang anak kampung yang sudah dikenali di seluruh negara dan barangkali juga digilai ramai orang.
Dan di tahun baru ini selepas saya mengajak diri saya sendiri dan anda semua untuk kita sama-sama berhijrah bersama Rasulullah S.A.W iaitu mencontohi akhlak Baginda dengan puisi saya Hijrah Bersama Rasulullah yang tersiar dalam Mingguan Malaysia ahad lalu – hari ini saya mahu mengajak pula anda berhijrah mencontohi keperibadian seorang anak muda bernama Abdullah Fahmi, yang begitu tinggi kasih dan cintanya kepada al-Quran. Untuk itu; istimewa kepada anda, saya titipkan bicara saya dengan Abdullah Fahmi pagi itu dalam ruangan 'bualsantai' di akhbar Mingguan Wasilah terbaru yang kini ada di pasaran, bil. 44, edisi 13 – 19 Januari 2008, halaman 36, 37 & 39. Telaahlah saja di sana!
Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
12.12 tengah hari, 16/1/2008.
7 Muharam 1429 H, Rabu.
No comments:
Post a Comment