Tuesday, November 15, 2005

Sms kepada ibu yang tak ada telefon bimbit

Semalam, dengan akrab saya di kampus, kami tinggalkan seketika keriuhan kampus Pulau Mutiara, naik bas mini ke Georgetown. Menyusur sibuk lalu-lalang negeri Pulau Pinang. Melihat rumah-rumah orang di jalanan, fikiran saya segera menerawang mengingat ibu yang jauh di kampung halaman.

Saya tengok sibuk orang di jalanan. Saya nampak rumah-rumah yang padat dan sendat. Saya tengok halaman yang kosong, tiada ayam dan itik serati berkeliaran. Jauh sekali lembu kambing, kerbau balar apatah lagi.

Saya memang tidak boleh tinggal di rumah yang tak berhalaman, yang tak ada pohon-pohon rendang. Tak ada pohon-pohon pisang. Kepada akrab di sebelah, saya bebelkan macam-macam. Dia pun mengiyakan berkali-kali, dia pun tak boleh tinggal di rumah yang sendat begini.

Lancar pula idea mencurah-curah di kepala saya. Saya mula mencatatkan sesuatu ke dalam telefon bimbit saya - biarlah, walau saya tahu, ia tak akan dibaca ibu. Sms saya takkan sampai pun kepada ibu, saya tahu itu. Di ruang taip mesej multimedia, tangan saya mula rancak menaipkan rasa hati dan salinan penuhnya berbunyi begini;

"Sms kepada ibu yang tak ada telefon bimbit. Tak apalah ibu, kalau kau tak ada telefon bimbit pun, tak apalah. Sms panjang ini hanya untukmu seorang saja. Sms kepada orang lain yang ada telefon bimbit, pendek-pendek saja. Mana boleh panjang-panjang. Orang yang ada telefon bimbit, mana boleh sms panjang-panjang. Sibuklah katakan. 'Bz' kata orang yang ada telefon bimbit. Tak apalah ibu, kalau halaman rumah kita tak berpagar pun, tak apalah. Janji, dalam hati kita masih ada pagar yang teguh & kukuh. Biar lembu dan kambing jiran senang masuk ke halaman. Biar itik ayam senang berkeliaran. Biar halaman rumah kita lapang. Biarlah halaman rumah kita senang dibuat jalan orang lalu-lalang. Tak apalah ibu halaman rumah kita dipenuhi pokok-pokok rendang, senang nanti anak cucu menggantung buaian. Tak apalah ibu kalau kau tak ada telefon bimbit pun tak apalah, senang nanti kau terima smsku yang panjang-panjang berpuluh halaman. Sms ini hanya untukmu seorang saja. Kau tahukan ibu, sms ini dari anakmu yang pilu."

Disimpan:
05:26:03pm
14/11/2005


Salman Sulaiman
Didi Siber Kafe, Bawah Bukit Gambir,
Minden.
11.14 malam, 13 Syawal 1426 H.

Selasa, 15 November 2005.

3 comments:

Bukunota said...

Salman tulis blog tak bagitau aku. Hahaha... Demo buat apa senyap-sunyi-sepi di USM?

-Nazmi

patahbalekologist said...

salam salman, kita (maksud, aku dan kawan2) sering menduga menulis ini ditujukan untuk orang lain.

Untuk berkomunikasi atau untuk bacaan. Tetapi menulis juga untuk diri sendiri.

Jadi, sama ada ibu ada HP atau tidak; sama ada orang membaca atau tidak; sama ada mesej kita terkomunikasi atau tidak; menulis akan meninggalkan jejak-jejaknya, setidak-tidaknya di dalam fikiran kita (dan mungkin juga tercatat dalam DNA kita)

Salman Sulaiman said...

Nazmi,

Laaaaaa, kawe ingat demo tahu doh. Kawe dok ttapo. Tengoh tahun depe habih la kut. Terimo kasih deh.


Fathi,

Benar sekali, menulislah dulu untuk diri sendiri.