Friday, November 04, 2005

Letih penat juga berhari raya, pergi rata-rata

Letih penat juga berhari raya, pergi rata-rata. Takbir bergema seawal subuh lagi di pagi Aidilfitri. Dilaungkan dua orang Pak su, bertalu-talu. Disambung lagi, di pagi cemerlang Aidilfitri sebelum solat sunat hari raya. Aku berjalan kaki ke madrasah, bersongkok bercapal, berbaju Melayu hijau kuning, berlilit sampin hitam kelabu, mengekor di belakang ibu dan Kak Nor sepupuku. Walaupun madrasah kecil Membuaya tidaklah sesendat mana, tapi yang penting kami bahagia berhari raya. Bertakbir hiba, dan Pak su Lah menitiskan air mata - sendu dan hiba, entah rasa apa yang begitu menyucuk-nyucuk hulu hatinya. Memang begitu syahdunya takbir hari raya, selalu saja membuat orang menangis hiba. Dia menangis hiba, ketika lafaz takbir belum habis dari mulutnya.

Bersolat sama, dan bersila mendengar khutbah hari raya dan kini giliran Pak Da pula yang menangis hiba menitiskan air mata. Sebagai orang tua, seperti dapat kurasakan apa yang luka di dalam dadanya - hati, kalbu dan jiwa. Majlis solat hari raya, selesai dengan penuh ceria dan kami bersalam bersua muka. Adnan memelukku mesra, sahabat dari kecil yang sebaya ini, kini dah beranak tiga.

Cuma aku saja, yang masih tak kawin-kawin juga. Sehabis solat, terus balik saja. Badrul, Ameir, Epih, Iwan, Pi dan Sham singgah berhari raya. Gembira dan bahagia sama-sama menjamu selera. Kak Nor juga singgah seketika bertemu Adik Su dan Adik Siti. Dan kami ramai-ramai ke rumahnya pula. Menjamah laksa, kuah Kelantan dan Penang digaul rata; makan berselera, menambah juga dibuatnya.

Hampir tengah hari, waris-warah dari Guchil datang menjemput. Berkira-kira, tapi sudah lama benar tak ke sana. Aku, Adik Siti dan ibu menyusur sibuk lalu-lalang jalan Kuala Krai - Machang dibawa Abang Zul dan temannya pulang berhari raya di Kampung Guchil. Kampung berbukit tinggi rendah ini, menyambut kami penuh mesra sekali di pagi Aidilfitri. Penduduknya ceria dan penuh peramah mesra.

Adik beradik Abang Azit dah tujuh, anaknya pula sepuluh - menyambut kami riuh. Di lantai, duduk bersila bersimpuh. Hari raya jadi penuh kecoh dan hatiku bahagia sungguh. Makan tengah hari pula, bergaulkan sambal pauh. Fuh, enak sungguh.

Kemudiannya menyusur ibu di rumah sebelah, Mak cik Embun menyambut aku dengan penuh mesra dan ceria dengan bermacam cerita bersama Peja yang comel di ribanya. Anak kecil yang belum pun genap setahun ini tak pandai bercakap lagi. Tapi tak berkelip-kelip matanya memandang aku dan dia mengecam lama. Peja ini, kata neneknya, suka sangat ketika dengar azan bergema dan kalau dia bertahlil, Peja akan duduk lama-lama mendengarnya. Inilah satu perangai yang istimewa dan menarik sekali tentang anak kecil ini. Aku tinggalkan Peja dengan kucupan terakhir di dahinya, penuh cium mesra. Ingin lagi aku ke mari jumpa dia lagi. Pasti, takkan kulupa matanya yang tak berkelip-kelip memandang aku, lama.

Malam, tak ke mana-mana. Berhari raya dengan Ros di teratak ibu di Padang Raja. Letih rasanya nak menjajat rata, berhari raya pada malam-malam buta. Jawabnya, berlunjur bersila di rumah saja.

Pagi ini, Kak Yah di Kota Bharu awal-awal lagi menelefon ingin ke mari petang nanti. Ya, sampai mereka saja, tentunya akan lebih meriah hari raya di teratak tuaku di Padang Raja. Semua, selamat hari raya dariku untuk kali yang entah ke berapa. Jenguk-jenguklah ke Padang Raja. Ampun maaf semua, selamat hari raya.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang.
12.57 tengah hari, Syawal kedua yang mulia, 1426 H.
Jumaat yang penuh berkat, 4 November 2005.

No comments: