Berkali-kali juga dia bertanya, dengan sepatah soalan yang pendek saja - tapi jawapan saya masih belum habis-habis juga. Saya berkira-kira untuk menjawab semua soalan sebelum sempat saya ditanya lagi dan catatan ini juga, untuk yang malu bertanya atau sengaja tak mahu bertanya. Atau untuk yang lain-lain juga, yang tidak sempat bertanya.
Siapalah saya untuk mengajar orang lain, hanya bercerita pengalaman sendiri apabila ditanya berkali-kali.
Antara lain, bersama 'Sekepal Tanah' yang ikut saya kunyah berkali-kali ialah buah tangan Sapardi Djoko Damono berjudul 'Sihir Hujan' yang begitu memikat. Puisinya pendek-pendek, tapi ringkas dan padat - penuh falsafah. Kalau rasa ingin meringankan kepala yang berat dengan macam-macam perkara, nashkah yang berdua inilah yang menjadi juadah santai saya. Saya rasa terlalu bahagia kembara ke alam kata-kata ciptaan Rahimidin dan Sapardi.
Nashkah lain yang ikut menjadi santapan naluri puisi saya ialah antaranya 'Gitanjali' karya Rabindranath Tagore, 'Petang Condong' karya T Alias Taib, 'Matahari Berdoa' karya Rahimidin Zahari, 'Pesisir Waktu' karya A Latiff Mohidin juga 'Rawa-rawa', 'Katarsis' oleh Zaen Kasturi, 'Pasrah' dan 'Qaf' oleh Moechtar Awang, 'Racun Abadi' oleh Abdul Hadi Muhammad, 'Candu' oleh Azman Hussin dan beberapa naskhah antologi puisi Siti Zainon Ismail (sekadar menyebut beberapa nama sebagai contoh).
Naskhah puisi Sasterawan Negara tentu saja, perlu menjadi bacaan wajib penulis yang ingin berjaya. Bauran sekian banyak naskhah puisi inilah yang saya telan dan kunyah sekian waktu, sekian purnama dan saya pun mula belajar mencipta - mengungkap kata-kata dan ungkapan sendiri yang tidak pernah diungkap dan ditulis sesiapa.
Seperti yang saya kata, mencari identiti sendiri adalah satu hal yang lain pula. Seorang penulis mengambil masa dan tempoh waktu yang sekian lama saya kira, untuk mencapai tahap keperibadiannya sendiri dalam berkarya. Lihat saja Sasterawan Negara kita yang ada, mereka tentu saja sudah mempunyai identiti penulisan yang tersendiri - yang berpengaruh dan menjadi pengenalan diri untuk seseorang penulis. Lihat saja gaya penulisan dan identiti kepengarangan SN Shahnon Ahmad yang telah dikenali dan gayanya mudah dicam dan dikenali.
Untuk mencapai takah itu tentunya mengambil masa yang begitu lama dan memakan masa berdekad-dekad juga. Gaya perulangannya sudah menjadi pengenalan diri kepada karya Shahnon. Malah gaya dan identiti kepengarangannya itu memberi pengaruh besar juga kepada beberapa penulis lain.
Lain pula halnya dengan SN A Samad Said. Lihat saja identiti puisinya yang tersendiri. Itulah pengenalan diri kepada puisi-puisinya. Perlambangan yang memakai sekian banyak juzuk alam sudah menjadi identiti puisi SN A Samad Said. Selalu saja ada biawak, ular, lipan dan segala macam makhluk penghuni alam menjadi objek perlambangan puisi-puisinya. Bahasa untuk kertas kerjanya dan ucapannya di mana-mana, masih berlarikkan bunga-bunga dan penuh gaya. Itulah pengenalan diri kepada tulisan, karya A Samad Said.
Pencarian identiti ini tentu saja memakan masa yang begitu lama dan memerlukan penelaahan mendalam dan bersungguh-sungguh. Saya sendiri, sudah hampir satu dekad juga melarikkan kata-kata tapi belum juga saya ketemu identiti penulisan saya yang teguh. Identiti sendiri sebagai pengenalan diri. Atau saja Rahimidin Zahari dengan puisi ketuhanan yang disalut tradisi dengan latar alam kampung atau tanah kubur.
Proses pencarian identiti adalah proses berdikit-dikit yang lama. Pencarian yang penuh kesungguhan, memerlukan kesabaran dan ketekunan yang bukan calang-calang. Tujuh tahun menulis puisi, saya baru di pintu pencarian identiti. Ruang dalamnya masih terlalu luas untuk saya teroka, saya baru di pintu kata sebetulnya.
Ilham, adalah satu hal yang lain pula. Saya pun tidak tahu bila lagi akan datang ilham yang baik untuk saya menghasilkan sebuah puisi lain yang ikut menawan seperti 'Ini Tanah Kita'. Seperti biasa, sebelum ini setiap kata yang baik dan ilham yang menjadi di kepala akan cepat-cepat saya tuliskan di kertas takut ia hilang melesap lenyap entah ke mana. Kerana kata-kata dan satu-satu ungkapan itu hanya datang sekali sahaja dan ia akan meluncur hilang. Yang datang kemudian adalah ungkapan-ungkapan yang lain pula.
Begitulah betapa payahnya untuk menghasilkan sebuah puisi yang baik dan bermakna, lebih payah lagi untuk menghasilkan identiti sendiri dan membentuk keperibadian kepenyairan yang unggul juga mantap, bakal kekal ke akhir hayat.
Moga-moga terjawab sudah sekian kali soalan dia ke telinga saya. Saya tahu, dia akan kekal bertanya soalan yang lain pula dan saya akan kekal menjawab juga untuk sesi yang lain pula.
Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
12.53 tengah hari, 1 Julai 2005 / 24 Jamadil Awal 1426H
- Jumaat yang sendat.
Catatan Rehlah Haji 1436H – Siri 3
4 months ago
No comments:
Post a Comment