Hari pertama ramadan terasa begitu sayu dan syahdu sekali. Kafetaria Mak Teh pagi ini sunyi sepi, sehabis riuh yang agak menjadi-jadi di awal pagi tadi. Bising pelajar yang membeli makanan buat bersahur berlarutan sampai jam dua pagi. Nasi habis, dan lauk yang makin berkurang memaksa saya ke restoran mamak di luar kampus. Jam dua pagi menyusur titis embun jantan dengan mata yang sudah mula mengantuk, bersama teman sebilik - kami minta dibungkuskan seketul ayam gulai kurma (saya pesankan kepada mamak, banyakkan sikit kuahnya; maklum saja kami ini makan berdua), dua bungkus nasi kosong dan sedikit sayur kubis.
Ramadan menjadi lebih syahdu dan indah bahagia dengan jemaah pelajar menyusur malam bersolat terawih, beramai-ramai. Yang perempuan berkain sembahyang, yang lelaki berpelikat berkopiah, berbaju 'gumbang' dan jalan berkawan. Atau, kalau yang ingin lebih meriah, ada yang berpacu ke masjid Al-Malik Khalid bersolat terawih. Imamnya bertukar-tukar. Mungkin ada yang lebih syahdu menghayati ramadan, kalau dapat mendengar syeikh Arab yang jadi imam baca surah panjang-panjang. Dan ada yang hanya sekadar solat terawih lapan rakaat dan terus pulang.
Ada yang ingin terus mensyahdu diri mengabdi pada Ilahi, akan memanjangkan lagi sesi penyucian hati dengan bertadarus Al-Quran, membacanya bergilir-gilir seorang demi seorang. Dan kalau ada yang tersasul baris dan huruf, akan ditegur oleh yang lain yang tekun meneliti. Ramadan akan lebih manis lagi, kerana ramai yang bangun pagi-pagi untuk menjamah barang sedikit juadah sahur, buat bekal berlapar sehari. Dan ramai juga yang menjamahnya sedikit sekali, kerana terbantut oleh selera yang tak menjadi di pagi dini.
Langit ramadan cerah sungguh pagi ini, matahari muncul bersinar sekali. Tiada tompok-tompok awan, barangkali langit masih belum ingin menurunkan hujan. Saya teringatkan riuh bising anak-anak yang habis berterawih di kampung halaman. Saya rindukan seorang sahabat bernama Ramadan yang sudah agak lama muncul dalam angan-angan. Saya rindukan merdu suaranya mengalun azan isyak, beberapa ketika sebelum kami bersolat bersama. Saya akan terdiam syahdu mendengar dia mengalun selawat memuji Nabi dalam sela-sela terawih kami yang berimamkan Paksu yang bersuara merdu dan saya akan lebih pilu mendengar alunan suara Paksu menenggelamkan raung cengkerik di kubang sawah.
Masih terbayang dalam kepala saya, kelibat Ramadan sedang berlari bermain bunga api. Dan saya nampak dari jauh rumahnya indah bercahaya dengan kuning api pelita di malam raya. Saya akan ke dapur melihat ibunya membungkus ketupat. Melihat adiknya mengemas dan menggantung langsir baru. Masih terngiang jelas di telinga saya, suara Ramadan yang syahdu mengalun azan isyak di madrasah tua kampung saya. Saya akan tenggelam berjuzuk-juzuk ke dalam pilu suaranya yang syahdu mengalun selawat memuji Nabi di malam ramadan yang suci.
Saya, Ahmad Syawal - sahabat si Ramadan, yang pilu dan rindu, rindukan seorang teman yang bersuara sayu dan syahdu. Ramadan, ketahuilah Syawal terlalu merinduimu.
Ramadan, Syawal menunggumu ...
Salman Sulaiman
Sungai 2, Minden.
11.04 pagi, Rabu yang terlalu syahdu.
1 Ramadan 1426H / 5 Oktober 2005.
Catatan Rehlah Haji 1436H – Siri 3
4 months ago
No comments:
Post a Comment