Friday, September 01, 2006

Beli dua buah buku terbaru saya di sini

Buku yang sekian lama saya sendiri nantikan, kini telah terbit, setelah berbelas atau berpuluh kali berulang-alik ke Kota Bharu untuk urusan edit dan kerja-kerja akhir sebelum dicetak. Anda boleh belinya di sini.

1. 'Ngembara Ke Utopia Republik Cinta Sesudah Letih Menjadi Lelaki [antologi cerpen cinta, duet bersama Jimadie Shah Othman. Mengandungi 14 buah cerpen, 7 cerpen Salman dan 7 cerpen Jimadie] - RM 15.

Photobucket - Video and Image Hosting


2. Sebelum Menjadi Penakut [kumpulan puisi persendirian] - RM 10.




Ini pula dua buah buku yang masih boleh dibeli dengan saya;


Pemain Bahasa [kumpulan puisi pertama Salman Sulaiman] - RM 6.


Candu karya Azman Hussin [kumpulan puisi] - RM 8.


+ belanja pos - RM 3.



Pembelian boleh dibuat dengan cara 'bank in' ke akaun;

Bank Islam [BIMB]

No. Akaun : 03045020046433

Atas Nama : Mohd Norbusalman Sulaiman


atau


Bumiputera Commerce [BCB]

No. Akaun : 03030063860522

Atas Nama : Mohd Norbusalman Sulaiman


atau


Bank Simpanan Nasional [BSN]

No. Akaun : 1014329000004373

Atas Nama : Mohd Norbusalman Sulaiman


atau


dengan wang pos atas nama Mohd Norbusalman Sulaiman ke alamat No. 170, Kampung Padang Raja, 18500 Machang, Kelantan. Sertakan nama & alamat anda untuk penghantaran.

Bila telah di 'bank in', hubungi saya dan smskan nama & alamat anda untuk penghantaran.


Tapi, saya lebih suka dan lebih senang jika anda masukkan bayaran melalui Bank Islam, kerana sebaik saja wang dimasukkan ke akaun saya, saya akan menerima sms pemberitahuan oleh Bank Islam. Ini sebagai bukti anda telah membayar dan bolehlah saya terus poskan buku yang anda pesan.



Tapi, saya tak kisah kalau anda guna BSN atau BCB atau wang pos pun. Terserah, janji ia memudahkan anda untuk memiliki buku-buku saya.

Saya boleh dihubungi di;

017-4163680 & 019-9040025 [boleh kedua-duanya] Ingatan, tolong jangan segan-segan untuk bertanya dan berbual dengan saya. Saya akan cuba memberikan layanan terbaik buat anda semua. PENTING, SEBOLEHNYA SILA HUBUNGI SAYA MENERUSI TALIAN CELCOM DI 019-9040025 SEKIRANYA MAHU BERCAKAP DENGAN SAYA KERANA TALIAN MAXIS AGAK BERMASALAH DI TERATAK SENI, MENYEBABKAN PERBUALAN ADAKALANYA PUTUS-PUTUS, HARAP MAKLUM. TAPI KALAU SEKADAR MAHU MENGIRIM SMS, KEDUA-DUANYA TIDAK BERMASALAH.

Faks : 09-9757008

LAMAN WEB :
www.salmansulaiman.cjb.net & www.pemainbahasa.blogspot.com

E-mel :
pemainbahasa@hotmail.com & salmansulaiman@yahoo.com.


Senang bukan, oleh itu, tunggu apa lagi. Beli segera sebelum kehabisan.

Dan, tolong jangan kata saya tak up date blog. Saya akan memberikan laporan dan catatan terkini, perkembangan penjualan buku-buku saya di ruangan komen di bahagian bawah artikel promosi ini. Saya akan cuba untuk memberikan anda perkembangan terkini tentang buku-buku saya dari semasa ke semasa. Untuk beberapa waktu ini, saya akan up date blog saya di ruangan komen itulah. Setiap tulisan dan catatan itu saya catatkan juga, tarikh dan tempat saya menulisnya. Sila baca saja di bawah sana.


Ribuan terima kasih diucapkan kerana mendapatkan perkhidmatan di Teratak Seni, Machang.




Yang cintakan kebenaran,

Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
12.42 tengah hari, Jumaat.
1 September 2006.

Saat ini, saya memang rasa betul-betul merdeka

Saat ini, hari jumaat yang indah ini, saya memang rasa betul-betul merdeka. Sayang, semalam saya gagal menulis tentang kemerdekaan dalam diri saya ini kerana percubaan berkali-kali ke talian tm net, gagal. Agaknya, kerana kesibukan merdeka. 31 ogos yang ke 49 yang penuh bermakna ini benar-benar terasa dalam diri saya. Tiba-tiba saya rasa gembira semacam, kebahagiaan yang bukan kepalang. Kerana saya bukan lagi seorang pelajar yang perlu hadir kuliah jam sekian-sekian, jumpa pensyarah jam sekian-sekian.

Atau masuk pejabat jam sekian-sekian dan balik jam sekian-sekian. Juga, kerana saya pun dah dapat segulung ijazah. Juga, kerana rabu kelmarin juga, saya telah ambil dua buah buku baru saya yang telah siap dicetak di Kota Bharu. Buku baru yang saya tulis sendiri, saya terbit sendiri, saya cetak dengan duit saya sendiri dan saya ambil sendiri dan jual sendiri. Saya betul-betul rasa merdeka dan bahagia, melihat dua buah buku yang saya usahakan sendiri dengan duit sendiri dan titik peluh sendiri. Aduh, sungguh, saya rasa bahagia sekali. Saya rasa benar-benar bebas dan betul-betul merdeka sebagai penulis.

Kini, saya bebas ke mana saja, bebas menulis sebagai anak merdeka. Bebas pula menerbitkannya. Tapi, saya masih tetap menjaga batas saya sebagai hamba Allah. Saya rasa gembira sekali melihat dua naskhah buku terbaru saya yang sekian lama saya nantikan kehadirannya. Melihatnya, saya memang rasa betul-betul bahagia. Saya memang rasa betul-betul merdeka. Kebahagiaan dan kegembiraan yang tentu saja tak terucap oleh kata-kata. Saya sendiri saja yang mampu merasakannya.

Saya betul-betul rasa bahagia dan merdeka, ada bersama di sisi keluarga tercinta. Bersarapan pagi dan makan tengah hari sambil dibisingkan riuh ketawa tanpa bunyi peluru dan bising senjata. Dengan dua buah buku baru yang sedemikian jerihnya saya menerbitkannya, saya berasa sungguh-sungguh merdeka. Bersama keluarga tercinta, dengan dua buah buku yang baru saya ambil di Kota Bharu, dengan sunyi dan redup kampung yang nyaman, dengan halaman Teratak Seni yang membahagiakan, saya memang rasa betul-betul merdeka.

Pada 2 September 2006, sabtu [esok] - sebelah malam, saya akan mendeklamasikan puisi merdeka di Sek. Men. Ismail Petra, Kota Bharu. Anda juga boleh beli buku-buku terbaru saya di sana nanti. Jemputlah ke sana dan jangan segan-segan untuk menyapa saya & membeli buku.

Merdeka !!!!!! [Dengan laungan amukan Tok Janggut seorang deklamator, yang menggegar seluruh bumi Padang Raja].


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Mache.
12.07 tengah hari, 1 Sept. 2006.
Jumaat yang benar-benar merdeka.

Mengasuh bakat-bakat baru di Akademi Sastera Siber 2006

Khamis, 24 Ogos 2006 - Jam di tangan saya baru dua tiga minit melepasi jam 5 petang khamis itu ketika bas cepat yang saya naiki mula menyusur keluar meninggalkan stesen bas Machang, ke Kota Bharu. Setelah turun dari bas dan beberapa ketika berjalan kaki, saya tiba di bilik 207 Hotel Perdana, Kota Bharu hampir jam 7 malam. Ode [Or_there] menyambut saya di pintu bilik dan katanya, Dahrie ke rumah Fahd Razy di Pengkalan Chepa; makan kenduri. Memang hari itu adalah hari bahagia Fahd Razy yang baru saja melangsungkan perkahwinan. Tahniah dan selamat pengantin baru saya ucapkan kepada teman sebilik MPR 2000 saya ini. Moga Fahd Razy hidup bahagia dunia akhirat dengan redha Allah bersama isteri tercinta.

Malamnya, jam 9 lebih kami memulakan sesi pertemuan tertutup esastera Timur yang pada awalnya dirancangkan di rumah Anbakri, tetapi kerana jumlah kami yang agak ramai; sesi perjumpaan, baca puisi dan taklimat urus setia dan fasilitator itu kami adakan di Hotel Perdana sahaja. Pertemuan Tertutup Esastera Timur malam itu dihadiri oleh 16 orang ahli - Anbakri, Ramy, Ruzaini [isteri Ramy], Ana Suraya [isteri Anbakri], Nimoiz TY, Manz, Salman Sulaiman, Redzuan Abdullah, Zulfiqar, Zanazanzaly, Rozais Al-Anamy, Fiezanur, Hani Hamsyari, Ilhami, Dahrie dan Dr Irwan. Ikut serta, adik Zanazanzaly yang katanya baru berjinak-jinak dengan dunia sastera - Nani.

Setiap ahli terlebih dahulu memperkenalkan diri dan tugas selaku ketua esastera Timur secara automatik diserahkan kepada Anbakri yang lebih senior. Kemudian, setiap dari kami diminta mendeklamasikan puisi. Ini sekadar 'pemanas enjin' kepada semua urus setia dan fasilitator yang akan bertugas dan menjadi tenaga pengajar Akademi Sastera Siber esoknya. Sampai giliran saya, saya memilih membaca Cintaku Tertinggal Di Halaman (1) & (2) yang termuat dalam buku saya yang lama, Pemain Bahasa. Setelah ramai juga ahli-ahli lain yang memilih untuk membaca naskhah puisi yang sedikit berjenaka, maka saya beralih kepada nada yang lebih syahdu dengan puisi saya yang berkisah tentang halaman anak-anak berkejaran, halaman sewaktu kecil yang selalu saya rindui.

Kami mendapat hadiah istimewa dari esastera berupa senaskhah buku catatan dan majalah Sastera.net. Selesai menyediakan keperluan peserta yang berjumlah 101 orang dari beberapa buah sekolah yang terpilih di sekitar bandar Kota Bharu, kami ke Dataran Usahawan yang tidak jauh dari Hotel Perdana. Sidang santai sambil minum-minum ini, hanya dihadiri oleh ahli lelaki tidak termasuk Anbakri dan Dr Irwan. Dari jauh, saya nampak kelibat Rosli K Matari, Aziz Mohd Nor, Dr Mohamad Daud Mohamad bersama seorang lagi teman sudah ada di salah satu meja makan di Dataran Usahawan. Saya duduk di tengah-tengah antara Rosli dan Aziz. Lama juga saya mendengar bicara Mohamad Daud yang rupa-rupanya, termasuk apa yang beliau mahu sampaikan kepada peserta Akademi kami esok hari.

Tak lama kemudian, datang pula Sutung Umar RS bersama Rahimidin Zahari. Lama juga saya mendengar mereka berceloteh. Kira-kira jam 3 pagi juga baru kami mula beredar meninggalkan Dataran Usahawan. Saya kembali ke bilik 207 di Hotel Perdana setelah teman-teman lain sudah agak lama berdengkur.


Jumaat, 25 Ogos 2006 - Kali ini saya ditugaskan menjadi pengacara majlis yang menjadi pembuka majlis Akademi Sastera Siber pada pagi itu. Saya menjemput Dahrie untuk memulakan majlis dengan sedikit ucapan alu-aluan. Kemudian, Dr Irwan memulakan sesi pengajian di akademi dengan kertas kerja beliau yang pertama, Ciri, Perkembangan, dan Penyiaran Karya Siber di Malaysia. Dr Irwan berbicara buat beberapa ketika sebelum majlis pagi itu saya ambil semula dan saya persilakan anak-anak peserta menjamah makanan yang tersedia sebelum sesi pagi itu disambung semula dengan sesi seterusnya.

Sesi seterusnya, saya persilakan Fiezanur sebagai pengendali bersama Dr Mohamad Daud Mohamad selaku pembentang kertas kerja. Dr Mohamad Daud berbicara tentang peranan dan sumbangan DBP dalam membangunkan sastera siber dengan kertas kerjanya yang berjudul DBP dan Sastera Siber. Terlalu banyak yang mahu disampaikan oleh Dr Mohamad Daud dalam masa yang singkat yang diberikan kepada beliau. Antara inti kata-kata beliau tentu saja tentang pentingnya kajian yang terperinci dan mendalam perlu dilakukan untuk melahirkan sesebuah karya. Ini dilakukan dengan sungguh-sungguh oleh penulis Barat ketika ingin menghasilkan karya-karya besar mereka.

Terima kasih saya ucapkan buat mereka berdua sebelum saya mempersilakan kembali Dr Irwan ke hadapan semula, berbengkel bersama para peserta tentang cara-cara berkarya di alam siber, di laman esastera tentunya. Dr Irwan meneruskan Bengkel Penulisan Puisi Siber dengan bantuan skrin besar di atas pentas. Puisi-puisi yang tersiar di laman esastera turut dipaparkan buat santapan anak-anak Akademi Sastera Siber 2006.

Tengah hari itu saya berpacu dengan kereta Anbakri yang dipandu Dahrie bersama Dr Irwan, Afifi dan Naimisa ke Masjid Muhammadi bersolat jumaat. Rupa-rupanya anak muda yang duduk di sebelah saya di dalam kereta tengah hari itulah yang bergelar Juara ASS 1 pada malamnya. Kami tidak banyak bicara di dalam kereta, dengan udara yang panas membahang di luar.

Petangnya, sesudah makan tengah hari dengan sebungkus nasi yang sudah lama tersedia, saya memulakan sesi petang itu dengan menjemput Mohd Dahri Zakaria untuk berbicara tentang asas deklamasi sajak. Dahrie memberikan beberapa petua penting untuk menjadi seorang deklamator buat semua peserta. Dahrie, macam biasalah, memulakan sesinya petang itu dengan bacaan mantera seperti selalu-selalu juga. Saya akhiri tugas saya sebagai pengacara petang itu juga dengan sedikit mantera buka panggung dan saya katakan lebih kurang begini, "Itulah Mohd Dahri Zakaria, beliau selalu memulakan deklamasinya dengan bacaan mantera." Dan saya menutup kerja saya sebagai pengacara majlis hari itu dengan meminjamkan sebuah puisi Dahrie yang berjudul Penderhakaan, pendek saja, sekadar sepatah kata;

"Cis !"

Habislah tugas saya sebagai pengacara hari itu, sekian terima kasih & anak-anak itu menepuk campur pula dengan ketawa hairan, aik dah habis !

Kini, tiba pula masa anak-anak Akademi Sastera Siber 2006 memulakan pengajian mereka di akademi sehari anjuran esastera dengan lapan orang tenaga pengajar - W. Mohd Ashraf W. Mohamed, Ruzaini Che Harun, Salman Sulaiman, Rozais Al-Anamy, Zanazanzaly, Nimoiz TY, Fahd Razy & Ilhami. Terasa cepat benar masa yang diberikan kepada saya untuk mengajar anak-anak itu tentang deklamasi puisi. Menjadi deklamator bukan boleh dipelajari sekadar dua tiga jam. Saya sendiri menghadiri kursus deklamasi, selalunya paling tidak pun selama tiga hari dua malam. Mana nak cerita pengalaman, mana nak ajar vokal dan sebutan, mana nak beritahu tentang penghayatan, nak ajar seorang-seorang lagi, nak uji kebolehan lagi, nak test suara lagi, nak pilih yang nak buat persembahan lagi, nak layan setiap soalan anak-anak ini yang macam-macam [ya lah, mana tidaknya kalau yang seorang tu, "Cikgu, cikgu... " dan yang lain pula, "Cikgu, cikgu..." dan yang lain lagi, tiba-tiba "Cikgu, cikgu..."], nak itu nak ini. Ya Allah, dua tiga jam terasa terlalu cepat.

Sehabis masa mengajar yang begitu pantas itu berlalu, anak-anak itu direhatkan seketika sebelum perlu memulakan persembahan masing-masing kemudiannya dalam persembahan puisi prelud yang dijurikan oleh Dr Irwan, Anbakri dan Dahrie. Acara ini dihoskan oleh Nimoiz TY yang saya dengar malam sebelumnya beliau mengatakan malu dan gugup, tapi saya tahu memang pensyarah Politeknik Mukah ini memang selalu begitu bila disuruh jadi pengacara atau moderator, walhal dia rupanya cukup berbakat sebagai pengacara.

Kalau dah Nimoiz dapat microfon, tahu-tahu sajalah. Macam-macam yang dicelotehkan sebagai pengacara. Maklumlah, microfon itu dia yang punya. Ada ketika dia menjerit, "Ahhhhhh !" dengan badan yang mengadap ke belakang pentas, habis. Itu saja puisinya. Puisi lain pula dibaca sambil menyorok di belakang tempat berucap, katanya, nnusuk, malu. Riuh sungguh sesi persembahan prelud anak-anak akademi petang itu dengan gelagat pengacara kami yang macem-macem [baca dengan pelat Indon] ini. Tambah pula, Nimoiz juga selaku deklamator jemputan untuk sesi itu, dicampur saya dan Dahrie.

Untuk petang itu, saya deklamasikan Tok Janggut karya Rahimidin Zahari. Tapi saya masih juga tak habis-habis diusik oleh teman-teman esastera dan anak-anak peserta dengan kalimah Cis ! itu juga. Sampai mencecah maghrib juga barulah sesi kami petang itu selesai. Hampir jam 9, malamnya saya melangkah ke Dewan Bunga Tanjung semula bersama Amir Mukhriz untuk sesi kemuncak kami di Akademi Sastera Siber 1 [ASS 1] dalam acara persembahan akhir para peserta dan beberapa orang deklamator jemputan yang terdiri daripada Ahkarim, Mustaffa Jusoh, Anbakri, Airmas_SZ, Abdul Hadi Yusoff, Dr Irwan Abu Bakar, YB Patah Haji Mahmood dan diakhiri dengan jemputan paling istimewa, Bapak Sasterawan Negara Datuk A Samad Said. Pak Samad pun nampak bersemangat malam itu melihat persembahan anak-anak yang bukan calang-calang dan beliau membacakan dua buah puisi dari antologi terbaru yang menghimpunkan semua puisi beliau.

Sementara yang menjaga meja jualan di luar dewan ialah Fiezanur dan Hani Hamsyari. Selain cik adik yang berdua ini, kami dibantu tiga orang urus setia lagi iaitu Redzuan Abdullah, Or_there dan Zulfiqar. Setiausahanya tentu saja Dahrie. Pengetuanya siapa lagi kalau bukan Dr Irwan Abu Bakar selaku pengerusi esastera. Dengan gabungan tenaga kerja inilah, kami menjayakan Akademi Sastera Siber 2006 dengan tajaan Dewan Bahasa dan Pustaka dan juga Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim. Terima kasih ya, banyak-banyak.

Juara Akademi Sastera Siber 1, tentu saja anak muda yang duduk di sebelah saya di dalam kereta ketika ke Masjid Muhammadi siang tadi - Afifi. Ketika mula-mula mendengar deklamasi adik yang baru tingkatan empat ini, saya terus kata, "Juara, nombor satu". Tahniah ya Afifi, siap masuk berita di Sinar Harian lagi, iaitu pada isnin berikutnya. Selesai menyimpan dan mengemas itu-ini, kami sekali lagi ke Medan Usahawan makan sup gear box. Kali ini pengetua yang belanja, Dr Irwan bayarkan semuanya. Agak-agak jam tiga pagi juga baru kami beransur ke Hotel Perdana semula. Memang perjalanan kami tak boleh pause, tentu ada saja yang nak dibualkan. Di depan pintu sisi hotel, kami terhenti lagi - sambung bicara lagi. Ilhami, memang banyak benar celotehnya. Jam 3.20 pagi barulah kami benar-benar berpisah, kembali ke bilik mengulik lena. Di bilik, saya sempat belikan Larung karya Ayu Utami dengan Dahrie, RM 22 dan sebelum ke Medan Usahawan lagi saya sudah dapatkan senaskhah Al-Andalus Menangis dari Fahd Razy selaku penyelenggara antologi itu dengan harga RM18.

Sabtu, 26 Ogos 2006 - Sesudah bersiap dan mengacau secawan kopi serta menghirupnya sambil menelaah Berita Harian percuma yang disedia oleh pihak hotel, jam 10.56 pagi - saya melangkah keluar dari perkarangan Hotel Perdana meninggalkan bilik 207 yang penuh kenangan. Saya tinggalkan Ode dan Dahrie yang masih ada di dalamnya. Saya pasti, nanti, saya akan melangkah lagi ke mari, ke program sastera yang lain pula. Kenangan bersama kalian, tentunya manis-manis saja untuk dikenang.

Anbakri dengan bicara gaya orang seberang, Jawa. Ana Suraya dengan khabar terbaru tentang little_tulip. Redzuan, yang pakai gelaran SET KITO. Rozais tentu saja dengan bicaranya yang kadang-kadang laser. Zana yang boleh tahan juga. Dahrie yang suka baca mantera. Ramy yang tak habis-habis dengan ketawa. Dr Irwan dengan gaya seorang pengetua. Ruzaini dengan senyumnya, di sebelah cik abangnya. Ilhami yang tahu-tahu saja, memang banyak bicara - tukang tepuk pun dia juga. Saya, masih macam biasa juga. Amir Mukhriz, sibuk dengan selang-seli kerja pulak dia. Hani Hamsyari yang tak percaya umur saya. Nimoiz yang memang pantang jumpa mic, nak dipulunnya. Siapa lagi ya? Fahd Razy yang masih merendah diri macam selalu juga. Fiezanur, ooooo, inilah dia rupanya. Zulfiqar, laaaaa, oghe Mache ruponyo. Naimisa, yang memang bagus la awak ni, jauh pun sudi ke mari. Afifi, dik, awak ni memang hebat sekali. Airmas memang tak boleh lari dengan lagu puisi. Murni, bakat awak memang boleh diasah lagi. Samihah, lagi banyak awak tanya lagi saya suka. Letih la saya nak sebut semua.

Buat semua yang menjayakan ASS 1, terima kasih tidak terhingga saya ucapkan. Tahniah buat yang menang dan yang tidak menang. Jangan lupa adik-adik ya, jadi ahli seumur hidup esastera.com dan kita jumpa di alam siber. Jumpa lagi dalam sidang esastera seterusnya di masa depan.




Salman Sulaiman
Teratak Seni,
Padang Raja, Machang.
[29, 30 & 1 Sept. 2006]
11.07 tengah hari, Jumaat.
8 Sya'aban 1427 H, 1 September 2006.

Wednesday, August 16, 2006

Kembali bertapa di Pulau Mutiara buat ke terakhir kalinya

Saya kembali ke sepulau tanah rindu yang dulu, dengan hati yang ada ketikanya agak berdebar-debar dicampur sayu yang serasa menyucuk-nyucuk sampai ke hujung kalbu. Di awal pagi selasa [semalam] yang begitu bahagia, jauh sebelum subuh; saya dijemput Pien di stesen bas Sungai Nibong dan kami singgah bersarapan pagi walau hari masih awal benar, di sebuah restoran mamak yang selalu juga menjadi tempat makan kami waktu masih sebagai warga kampus dulu.

Kini, kad pelajar kami sudah tamat tempoh. Kalau nak masuk ke kampus Pulau Mutiara ikut pintu Bukit Gambir yang ada sekatan, selepas jam 12 tengah malam sudah tak boleh. Saya dan Pien serta sekian ramai teman-teman yang lain sudah selesai mengambil jubah konvokesyen siang tadi. Sungguh bahagia dapat kembali bertemu teman-teman lama. Bersua muka dan berjabat mesra. Terasa benar-benar kembali seperti mahasiswa, saat makan nasi murah bersama Pien di kafe Mak Teh; saat tumpang menginap di desasiswa lama - Indah Kembara; saat menjamu selera dekat pokok mempelam di tepi jalan di Sungai Dua. Betul-betul saya rasa seperti mahasiswa semula.

Kini, saat saya menaipkan kemaskini terbaru yang istimewa ini - saya guna lap top kawan yang masih belum habis belajar. Saya sedang duduk di kerusi belajar di desasiswa lama ditemani kipas di siling yang ligat berpusing di saat kampus sudah agak sunyi. Cuma, ada seketika yang melintas di luar bilik sambil bernyanyi-nyanyi. Terasa benar seperti seorang mahasiswa. Rasa macam sedang menaip tugasan di saat tengah-tengah malam begini mengadap komputer. Esok dan lusa, saya akan meneruskan pertapaan di sini untuk dua tiga hari lagi. Izinkan saya menjadi mahasiswa semula buat kali terakhir sebelum saya balik bertapa ke Padang Raja.

Esok, kami [saya dan Pien] akan kembali bersarapan pagi di kafe Mak Teh yang murah. Kalau boleh, saya mahu kembali ke perpustakaan menatap buku-buku kegemaran. Buat kesekian kalinya, izinkan saya bertapa sebagai seorang mahasiswa tua di kampus tercinta. Saya minta, sekadar beberapa hari saja - sebelum saya balik meneruskan pertapaan di Padang Raja mengadap bonda.

Beberapa hari di sini, ada acara besar yang mesti saya hadiri, tentu sekali. Jadualnya, ini;

18 Ogos 2006, Jumaat (sesi malam) - raptai majlis istiadat konvokesyen keesokannya.

19 Ogos 2006, Sabtu (sesi petang) - saya akan berada di Dewan Tuanku Syed Putra
[DTSP], menerima Ijazah Sarjana Muda
Sastera (Kepujian) Universiti Sains Malaysia (USM)
daripada Tan Sri Ghazali Ismail.

Tahniah juga buat teman-teman penulis yang berijazah dan bergelar graduan tahun ini;

10 Ogos 2006, Khamis - Mohd Dahri Zakaria & Raihaini Mohd Saaid,
Universiti Malaya (UM).

12 Ogos 2006, Sabtu - Nisah Haron, Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM).

13 Ogos 2006, Ahad - Ummu Hani Abu Hassan, Universiti Malaya
(UM).

September 2006 - Siti Hajar Mohd Zaki, Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tahniah buat semua teman-teman seperjuangan, moga terus gigih berkarya sesudah bergelar graduan. Untuk sesi sastera seterusnya, selepas bertemu di Hotel Le Paris @ Costa Rica, Port Dickson baru-baru ini; kita bertemu lagi 25 Ogos 2006 (Jumaat) nanti di Hotel Perdana, Kota Bharu dalam program Akademi Sastera Siber. Kepada teman-teman penyair siber, jumpa di sana.



Salman Sulaiman
Bilik 109, Desasiswa Indah Kembara,
Kampus Pulau Mutiara, Pulau Pinang.
1.24 pagi, 16 Ogos 2006 [Rabu].

Monday, July 17, 2006

Dato' K & Siti; Kini sudah terjawab segala teka-teki

Sidang media yang penuh sesak yang berlangsung lebih kurang 45 minit sebelum zohor tengah hari tadi di The Zon On The Park, Jalan Ampang, Kuala Lumpur telah menjawab segala teka-teki yang sudah lebih setahun bermain dalam fikiran para peminat Siti Nurhaliza tentang perkahwinannya. Sidang media yang turut dihadiri kedua ibu bapa Siti berserta abangnya, bakal suaminya Dato' Khalid Mohd Jiwa bersama kakaknya - telah merungkai segala persoalan yang telah sekian lama berlegar dalam benak setiap peminatnya.

Siti disahkan akan bertunang dengan Dato' Khalid Mohd Jiwa yang berusia 47 tahun, 20 tahun lebih tua darinya pada 21 Ogos [Isnin] ini bersekali dengan majlis akad nikah yang juga akan diadakan pada tarikh yang sama. Menurut Dato' Khalid, tarikh 21 Ogos dipilih kerana pada hari tersebut juga merupakan tarikh berlakunya Israk Mikraj iaitu bersamaan dengan 27 Rejab 1427 H. Pasangan pengantin yang tentunya akan menjadi pasangan raja sehari yang paling diraikan dan bakal mendapat liputan paling meluas ini dijadualkan sah menjadi suami isteri di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Manakala majlis persandingan akan diadakan pada 28 Ogos dan tarikh tersebut juga merupakan ulangtahun ke 38 perkahwinan kedua ibu bapa Siti. Siti kelihatan merenung wajah bakal suaminya dengan penuh rasa cinta ketika Dato' Khalid menyampaikan kata-kata. Siti berkongsi dengan para hadirin bahawa dia begitu tertarik dengan kasih sayang yang diberikan oleh Dato' Khalid kepada anak-anaknya, manakala Dato' Khalid sendiri mengakui tertarik kepada Siti dalam banyak segi dan beliau juga menjadi salah seorang peminat lagu-lagu Siti.

Manakala pada tarikh 3 September 2006 pula, Siti dan Dato' Khalid akan disandingkan di kampung halaman Siti di Kuala Lipis, Pahang iaitu dalam majlis menyambut menantu. Dato' Khalid juga menyangkal segala spekulasi yang mengatakan majlis perkahwinan mereka berdua bakal menelan belanja jutaan ringgit. Dato' Khalid menjelaskan segala-galanya akan berjalan dengan sederhana.

Siti tidak menjelaskan berapa lama dia akan bercuti selepas berkahwin, cuma mengakui akan membahagikan masa dengan cara yang terbaik dan tetap akan meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi. Dato' Khalid juga menyatakan tidak mempunyai apa-apa halangan dengan kerjaya Siti selagi peminat masih inginkan Siti. Siti berharap para peminat sama-sama mendoakan yang terbaik tetapi bukan yang terburuk buat dirinya. Siti, selamat berumah tangga, selamat berbahagia & moga diredhai-Nya di dunia dan akhirat.


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
2.32 petang, 17 Julai 2006.
Bersamaan 21 Jamadil Akhir 1427 H.

Monday, June 19, 2006

Menanam semangat di Pantai Kuala Pak Amat & percayalah, anda memang hebat!

Jumaat [9 Jun 2006] - Saya tinggalkan ibu dengan peluk cium seperti selalu, menumpang motosikal Badrul yang mahu ke tempat kerja. Badrul tinggalkan saya berdekatan kedai runcit yang betul-betul berhadapan dengan stesen bas Machang pagi itu. Saya awal-awal memberitahu, saya akan tiada selama tiga hari dan pulang ahad ini. Saya dapatkan apa-apa yang patut di kedai runcit berdekatan berserta senaskhah Kosmo. Tepat jam 8.29 pagi ikut jam saya, bas cepat Machang - KB yang saya naiki mula menyusur keluar meninggalkan stesen bas Machang. Di atas bas, saya menatap Kosmo sungguh-sungguh. Waktu pagi, memang masih segar untuk terus membaca. Pelbagai rencana menarik di dalamnya belum pun sempat saya habiskan, hampir sejam kemudian bas yang saya naiki tiba di Kota Bharu. Iwan sudah pun mengirim sms menunggu di kedai buku.

Kami berjalan kaki ikut belakang Pasar Besar Siti Khadijah ke stesen bas yang satu lagi, mencari bas mini untuk ke Pantai Cahaya Bulan [PCB]. Perjalanan pagi dari Kota Bharu ke Perdana Resort, PCB sungguh mengasyikan. Kami merentas jalan-jalan yang melalui kawasan perkampungan sepanjang jalan ke PCB. Pada waktu begitu, ramai yang masih di kedai kopi bersarapan pagi. Tapi, ada juga anak-anak yang sudah berkumpul di gelanggang bertanding sepak takraw. Ada juga makcik-makcik yang duduk-duduk berbual di beranda. Di atas bas, Iwan asyik menelaah buku puisi Sekepal Tanah karya Rahimidin Zahari yang saya pinjamkan kepadanya. Dia nampak tidak peduli sangat dengan pemandangan sepanjang perjalanan.

Jam 10.25 pagi, saat melintas di kawasan Cabang Tiga Kedai Buluh, PCB - saya lihat ada pasar pagi yang begitu meriah di sini. Saya teringatkan pasar pagi di hari isnin, pada setiap minggu di pekan Machang. Kemeriahannya saya lihat hampir sama. Kami lalu juga ikut Klinik Kesihatan Badang dan kami turun di simpang masuk ke Perdana Resort, berjalan kaki lebih sekilometer juga sebelum sampai di lobi Perdana Resort. Jam 10.50 pagi kemudiannya, kami sudah ada di kerusi tetamu melepas penat di lobi Perdana Resort setelah letih berjalan kaki.

Para peserta juga, sudah ramai yang tiba. Proses pendaftaran berlangsung di Dewan Selayang dan sambil menanti para peserta tiba sepenuhnya, juga sebelum yang lelaki ke masjid menunaikan solat jumaat - pihak urus setia menayangkan video cakera padat sepanjang satu jam tentang kehidupan Sasterawan Negara A. Samad Said. Saya sendiri belum berkesempatan memilikinya, maka asyik juga dibuatnya menelaah hidup Sasterawan Negara kegemaran saya ini. Dokumentari selama satu jam itu, dibuat dengan penuh teliti dan dengan rakaman yang bermutu tinggi menambah lagi keasyikan kami menontonnya.

Lebih kagum lagi, kami melihat lelaki seniman setua Pak Samad begitu biasa benar berjalan kaki sekadar 4 km sehari. Saya teringatkan perjalanan kami sekejap tadi, baru sekadar sekilometer. Belum apa-apa kalau nak dibandingkan dengan waktu muda Pak Samad yang berlari anak ke tempat kerja sejauh berbelas-belas kilometer saat beliau masih bertugas sebagai wartawan di Berita Harian.

Syaidul Azam, pengurus projek yang mengetuai perhimpunan kami tiga hari di sini untuk sama-sama berkongsi ilmu dan berguru dalam Khemah Sastera Negeri Kelantan 2006 membawa saya dan Iwan bersolat jumaat di Masjid Kampung Semut Api yang tidak jauh dari Perdana Resort. Kali ini saya hadir bukan sebagai peserta, Syaidul Azam menjemput saya atas tiket fasilitator dan sekaligus penceramah.

Awal-awal sebelum jumaat tadi, Syaidul Azam sudah memberitahu dengan nada bergurau, mahu 'mendera' saya sebagai pengacara majlis untuk sesi perasmian yang akan dibuat oleh En. Zainal Abidin Muhammad dari Gabungan Penulis-penulis Muda Kelantan [GEMA]. Tanpa bercakap banyak saya terus bersetuju. Saya sambut kehadiran En. Zainal di lobi resort bersama anaknya Siti Nur Zafran yang ikut hadir sebagai peserta program. Turut serta di atas sofa semasa sesi perasmian petang itu ialah Bapak Norhisham Mustaffa. Sifu besar dunia sastera Kelantan ini hadir untuk menyampaikan ceramah motivasi penulisan beliau yang dijadualkan bermula jam 3 hingga 4 petang.

Ceramah Bapak Norhisham untuk sesi pertama dengan kertas kerja, Secuil Pengalaman Seorang Penulis Kampung bermula agak lewat dan saya tidak dapat menghayati butir bicara beliau sepenuhnya kerana terpaksa menyelesaikan beberapa tugasan sebagai fasilitator. Panjang lebar juga Bapak Norhisham bercerita tentang pengalaman beliau ketika awal menulis sampailah meraih sekian banyak anugerah penulisan sehingga kini.

Kemudiannya bermula Latihan Dalam Kumpulan [LDK 1] dengan sesi suai kenal antara para peserta. Terlebih dahulu, abang-abang fasilitator diminta ke depan memperkenalkan diri kepada para peserta. Selain saya, tiga fasilitator yang lain ialah Mohd Zamani Md. Zin [Zamani] dan Nik Mohd Azhan Nik Ismail [Azhan], kedua-duanya dari JASTERA [Pertubuhan Jalinan Anak Seni Teater, Tari dan Sastera Kelantan] serta Mohd Zulhazmi Md. Zin [Zul] yang merupakan lulusan Sains Sukan dari sebuah universiti tempatan.

Kami dibahagikan kepada 4 kumpulan. Pada awalnya, kami menjangkakan dapat membentuk 6 kumpulan dengan 5 orang peserta dalam setiap kumpulan sebab peserta yang dijangkakan hadir ialah seramai 30 orang. Yang sudah memberitahu terpaksa tidak hadir ialah Nasriah Abdul Salam kerana anak saudaranya yang baru lahir meninggal dunia. Saya terpaksa akur, walaupun dia sendiri terkilan kerana tidak boleh ikut serta. Penulis muda seperti dialah yang sepatutnya ada dalam perhimpunan besar pada peringkat negeri begini. Tak apalah, pilihan Allah itu lebih tepat tentunya. Dalam sms saya kepadanya, saya sabarkan dia, "Tapi, apa pun menulis tetap terus menulis." Dan yang datang cuma 22 orang dan saya ditugaskan memimpin 5 orang peserta selama tiga hari itu. Setiap kumpulan mempunyai nama masing-masing, diambil dari nama sembilan Sasterawan Negara kita yang ada. Saya mengawasi kumpulan S. Othman Kelantan yang terdiri daripada 5 orang ahli.

Zamani memimpin kumpulan Arena Wati dengan 6 orang ahli - Ikhwan, Suhaina [Mek Su], Engku Maryam [Ku Yam], Tini, Marizan [Je] dan Siti Khadijah [Siti]. Kumpulan A. Samad Said diawasi Azhan, juga dengan 6 orang ahli yang terdiri daripada Ruzairy [Zahid], Fatin, Liyana [Nana], Mohd Redzuan [Iwan], Najwa dan Wani. Kumpulan ke-4, 5 orang ahli dengan memakai nama Usman Awang dijaga Zul dan yang menganggotainya ialah Razaki [Abe Ki], Norazwa [Azwa], Aziera [Jira], Najibah [Jibah] dan Zuraihana [Zura]. 2 kumpulan dengan 5 ahli dan 2 kumpulan lagi dengan 6 ahli, genaplah 22 orang semuanya.

Mencari-cari tempat yang paling sesuai untuk berkumpul bagi sesi suai kenal, kami memilih duduk bersila di tepi wakaf yang mengadap pantai - berlantaikan rumput dan beratapkan langit petang yang masih cerah. Bersila di sebelah kanan saya, Mohd Hisham Mohd Lee yang kemudian kami panggil Ise [Sham]. Anak muda yang berusia 19 tahun ini berasal dari Kampung Dangar, Pasir Mas. Yang lain semua perempuan. Aini [Aini] dari Pauh Jabit, Bachok; Syarifah Aisiah [Pah] dari Pulai Chondong, Machang yang kini menuntut di Kolej JAIPUTRA, Kota Bharu; Mazriyana [Yana] dari Kampung Padang Pak Omar, Selising dan di sebelah kiri saya - Siti Nur Zafran [Zafran] dari Kubang Kerian yang sudah saya kenali sebagai seorang deklamator muda yang begitu tersohor di tanah Kelantan. Zafran merupakan penuntut tahun 2 bidang Sains Matematik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Sham, Aini dan Yana masih belajar di tingkatan enam.

Kami tidak sempat berkenalan panjang, Syaidul Azam menelefon saya menyuruh membawa anak-anak itu ke Dewan Selayang semula untuk sesi seterusnya. Anak-anak itu membina bulatan besar sambil berdiri dan kami bersuai kenal lagi dalam kumpulan yang lebih besar. Kali ini melibatkan keseluruhan peserta yang hadir. Suai kenal kali ini lebih gamat dan meriah dengan macam-macam ragam setelah mereka disuruh mengingat nama panggilan teman-teman lain, 5 orang di sebelah kanan dan 5 orang pula di sebelah kiri. Masing-masing memberitahu nama sendiri berserta lambang peribadi yang senang diingati. Aini, saya ingatkan matanya. 'Ain itukan mata dalam bahasa Arab.

Zafran, tentu saja simbol pedang Zorro yang dilayangkannya ke udara, "Zessss!" Atau Sham pada tahi lalat di bahagian kanan sebelah atas bibirnya. Yang paling senang diingat tentu saja wajah Zahid yang memang iras-iras Zahid AF. Zahid itu nama panggilan yang cukup istimewa buat dirinya kerana punyai wajah seiras selebriti. Nama sebenarnya, Mohd Ruzairy Haji Musa yang berusia 23 tahun. Anak ini belum habis belajar di Akademi Seni Kebangsaan [ASK], Kuala Lumpur. Berbeza dengan Najwa yang baru 21 tahun tetapi telah tamat Diploma Penulisan Kreatif di ASK. Najibah, pelajar Maahad Amir Indra Petra yang bertudung labuh ini, tentu saja saya ingat benar ketika dua tiga kali dia mengepal penumbuk geram setelah ada yang gagal mengingat namanya ketika sesi suai kenal itu.

Lebih menarik lagi pengenalan untuk diri Nana, katanya lebih kurang begini, "Ingat lagu Shanana ingat Nana." Juga Syarifah dengan pengenalan diri yang lebih menarik, "Ingat Pas ingat saya." Saya berseloroh, "Ingat tudung labuh, ingat Muslimat Pas." Lebih riuh anak-anak itu ketawa. Azwa [Wawa] beraksi memegang tali wau untuk senang yang lain mengingati nama panggilannya, "Wau, wau, wau, Wawa," katanya, yang membuatkan yang lain ikut ketawa. Ikhwan mempunyai pengenalan diri yang lebih mesra alam, ingat ikan haruan ingatlah kat Wan. Wan, pelajar Pengajian Media UM ini kini sedang menjalani latihan praktikal di DBP Wilayah Timur, Kota Bharu bersama seorang lagi teman yang juga ikut membantu kami pada program tersebut - Hasmawati. Tetapi Hasmawati tidak ikut secara rasmi sebagai peserta.

Selesai LDK 1, kami sekali lagi keluar bersila di atas rumput dalam sesi Berkarya Mesra Alam. Anak yang berlima itu saya suruh siapkan sebuah puisi, sekadar yang terdaya dalam masa 10 minit. Saya tahu, payah mencipta puisi. Awal-awal saya pesankan, "Pendek pun tak apa, janji sedap." Maklum saja, dengan jadual program yang padat, segalanya perlu disudahi segera. Saya tidak memaksa-maksa anak-anak itu mencipta, buatlah sekadar yang terdaya; kerana selepas ini mereka perlu segera balik ke bilik bersiap untuk sesi malam pula.

Masing-masing jauh berjalan mencari bilik dan saya pulang dengan 5 buah puisi mereka untuk memilih satu yang terbaik buat digunakan untuk persembahan oleh setiap kumpulan malam nanti. Saya bukan pilih kasih atau diskriminasi, tapi puisi Sham yang saya pilih. Seingat saya, judulnya Senja di Pantai. Bukan kerana Sham seorang saja peserta laki-laki dalam kumpulan saya, maka saya pilih puisinya. Banyak kali juga saya berkalau-kalau di dalam hati, takut-takut anak-anak ini kata saya pilih kasih atau sengaja pilih yang lelaki. Saya katakan, "Saya ambil puisi yang paling sesuai untuk dideklamasi, yang punya banyak variasi." Kerana semua perlu terlibat dalam persembahan nanti. Dan anak-anak itu mengerti dan yang tak terpilih, tak bermakna puisinya tak bagus.

Sehabis maghrib dan makan malam, Saudara Abdul Hadi Yusoff memulakan sesi bengkel puisi dengan berpandukan kertas kerja beliau, Penulisan Puisi. Panjang lebar beliau berceramah tentang puisi. Habis belajar tentang puisi, sekali lagi anak-anak ini masuk dalam LDK seterusnya dengan setiap kumpulan perlu bersiap untuk persembahan yang bakal dibuat berdasarkan sebuah puisi yang dipilih oleh fasilitator masing-masing.

Dan bermulalah malam itu apa yang dinamakan Zamani dengan Akademi Sastera. Sengaja anak-anak itu disuruh mempersembahkan setiap puisi terbaik dari kumpulan masing-masing, untuk kami menilai bakat dan kebolehan setiap kumpulan. Tiga orang pengkritik dipilih untuk memberi komen setelah mereka selesai membuat persembahan - Azhan, Abdul Hadi Yusoff dan Saudara Syaidul Azam sendiri. Ternyata masih banyak kelemahan di pentas yang dilakukan oleh anak-anak itu. Maklum saja, persembahan pertama dengan persiapan yang begitu tergesa-gesa.

Malamnya, saat perlawanan bola sepak Piala Dunia 2006 sudah bermula, saya cuma menghabiskan masa berbicara tentang seni dan sastera bersama Azhan, fasilitator yang tidur sebilik dengan saya di penginapan bernombor 147, yang terletak betul-betul di hadapan tasik. Hampir jam 3 pagi juga baru kami melelapkan mata.

Sabtu [10 Jun 2006] - Seawal jam 6.30 pagi, anak-anak itu sudah ada di halaman yang lapang dekat tempat makan, bersenamrobik. Sehabis sarapan, semua berkumpul di Dewan Selayang semula untuk program seterusnya. Bengkel puisi oleh Saudara Abdul Hadi Yusoff disambung lagi untuk hari ke-2. Antara yang menarik disebut Saudara Abdul Hadi untuk sesi pagi ini ialah tentang orang tua di Kelantan pun pandai bersajak. Beliau memberi contoh yang paling mudah, ketika memperihalkan lembu yang putus tali, "Lembu putus." Jelas Saudara Abdul Hadi dalam loghat Kelantan bahawa orang tua-tua kita pun pandai bersajak dengan menggunakan ayat yang mengekonomikan penggunaan kata-kata, "Orang tuo pun panda ssajok, ekonomi kato-kato."

Sesi seterusnya diambilalih oleh Puan Ariza Che Ismail yang merupakan Editor buletin Jendela Timur, yang tentu saja berbicara khusus tentang keperluan karya untuk penerbitan dengan kertas kerja beliau, Penerbitan Di DBP Wilayah Timur. Terlebih dahulu Puan Ariza beramah mesra bersama anak-anak itu dengan meminta mereka memperkenalkan diri seorang demi seorang dan anak-anak itu menyebut juga tentang karya-karya mereka yang pernah tersiar. Sayangnya saya hanya mendengar dari luar saja anak-anak itu berbicara, kerana bersama Saudara Abdul Hadi saya menyemak beberapa buah puisi yang telah mereka serahkan.

Selesai minum pagi, bermula sesi bengkel cerpen pula, yang dibimbing oleh Saudara Rosli K. Matari dan beliau menghasilkan kertas kerja yang berjudul Penulisan Cerpen. Selepas makan tengah hari dan menyuci diri, bengkel cerpen beliau disambung lagi. Segala tips dan keperluan untuk menghasilkan cerpen yang baik diperturunkan oleh Saudara Rosli. Saya tidak marahkan Saudara Rosli walaupun beliau sudah terlebih masa berbicara, kerana begitulah selalunya seorang penulis - tidak pernah habis apa yang mahu disampaikan.

Saya menyedari hal ini, ketika saya menyambung sesi bicara seterusnya dengan kertas kerja saya, Menulislah, Pasti Anda Akan Berasa Bahagia. Alhamdulillah, kerana selama menjadi penulis inilah antara bengkel yang saya cukup berbahagia menghadirinya. Bersama 22 anak-anak berbakat yang disaring penuh teliti pemilihan mereka kemari oleh Saudara Syaidul Azam. Saya cukup bersemangat berbicara bersama mereka. Saya rasa cukup bertuah dapat bersama-sama mereka, kerana saya juga salah seorang anak muda seperti mereka. Rata-rata, anak-anak ini berusia 18 dan 19 tahun. Ada juga yang 17, 21, 23 dan 25 tahun. Yang paling senior tentu saja Saudara Razaki [Abe Ki], yang sudah lebih 30 tahun.

Saya memujuk beliau ketika berkali-kali Abe Ki menyatakan rasa segannya bersama anak-anak yang jauh lebih muda darinya. Kata saya, janji minat dan kemahuan itu ada maka tidak salah Abe Ki ikut menyertai mereka semua menjadi penulis. Saya mulakan sesi saya dengan menyuruh anak-anak itu semua berdiri dan menukar tempat masing-masing. Saya tidak mahu mereka masih berpuak-puak dengan kenalan lama dan mahu menghilangkan rasa mengantuk mereka yang sudah kira-kira lebih sejam berbengkel. Selepas mereka duduk dengan selesa di tempat baru, saya hilangkan lagi rasa mengantuk anak-anak itu dengan 3 soalan kuiz berkaitan sastera.

Saya masih ingat, tiga soalan yang saya tanyakan kepada anak-anak itu; Di manakah anda lihat buku ini semalam? [Saya tunjukkan naskhah novel Cinta Fansuri karya A. Samad Said cetakan tahun 1994 oleh Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., berkulit biru, yang saya bawa dari rumah]. Tak dinafikan, ada yang peka menjawab, "Dalam CD A. Samad Said semalam." Tapi ada juga yang menjawab di kaunter pendaftaran dan dalam beg saya. Sengaja saya tanyakan soalan itu, setelah saya melihat novel Pak Samad yang ada dalam simpanan saya itu ada ditunjukkan dalam CD selama satu jam itu. Soalan lain, sekadar soalan mudah tentang sastera sahaja untuk menghadiahkan anak-anak itu buku saya - Pemain Bahasa. Siapa Sasterawan Negara yang ke-2 dan penulis novel Bulan Tak Bermadu di Fathehpur Sikri ?

Izinkan saya petik sedikit isi kertas kerja ringkas saya, dengan penuh semangat saya katakan kepada anak-anak itu, begini;

Alhamdulillah juga kerana imaginasi saya untuk menjadi penulis lapan tahun lalu telah Allah kabulkan hari ini, saat saya sedang berada di hadapan anda hari ini. Saya percaya, dengan imaginasi yang positif dan kerja yang sungguh-sungguh hari ini - anda pula yang akan menggantikan tempat saya di sini pada masa depan.

Dengan penuh semangat saya terus berbicara kepada anak-anak itu, kerana saya tidak mahu mereka mensia-siakan bengkel yang bersejarah ini. Bengkel peringkat negeri, yang mana peserta yang datang adalah dari seluruh ceruk rantau tanah Kelantan. Saya tak mahu mereka mensia-siakan bakat yang telah Allah anugerahkan. Saya nampak mereka pun begitu bersemangat mendengarnya. Dan dengan lafaz yang paling bersemangat saya kira, saya cabar mereka. Izinkan saya kutip lagi dari naskhah Menulislah, Pasti Anda Akan Berasa Bahagia, begini;

Saya pasti, dengan keberanian jugalah anda sampai kemari dengan tekad serta semangat yang tinggi dan kukuh untuk menjadi penulis yang berjaya di masa depan. Kalau tidak ingin menjadi penulis, saya pasti anda pun tidak hadir hari ini. Untuk itu, hari ini, di sini, bersaksikan pantai dan laut luas yang penuh sejarah di pantai Kuala Pak Amat ini - saya cabar anda! Dua tahun dari sekarang, setelah kita bertemu semula pada tahun 2008 nanti, setiap seorang dari anda sudah mempunyai - paling tidak pun, sebuah buku sendiri. Tidak kiralah sama ada antologi puisi persendirian, antologi cerpen, drama, esei atau novel.

Saya memberikan kemungkinan yang meyakinkan untuk anak-anak itu dan saya naikkan lagi semangat mereka begini;

Saya masih tetap percaya, orang seperti anda pasti dengan berkobar-kobar dan penuh semangat akan menyahut cabaran saya. Jika anda sudah mempunyai 50 buah koleksi puisi sendiri yang baik atau 10 koleksi cerita pendek yang menarik, anda sudah boleh mula mengumpulkannya ke dalam sebuah antologi persendirian. Dengan tersiarnya 5 buah cerpen atau 10 buah sajak anda dalam majalah terbitan DBP, anda sudah mampu mengumpulkan RM1, 000. Jika anda masih takut-takut atau tidak tahu bagaimana ingin menerbitkan karya anda bermodalkan RM1, 000 tadi, jumpa saya!

Dan saya sudahi ceramah saya petang itu, setelah Saudara Azam sudah menitipkan kertas amaran masa yang sudah hampir cukup, begini;

Dan untuk anda, teruslah membaca dan membaca tanpa henti. Jangan berhenti belajar dan jangan jemu untuk terus berguru. Saya sendiri, sebetulnya saya bahagia menulis. Kebahagiaan itulah yang sedang saya rasai sekarang. Dan kepada anda, menulislah dan percayalah, pasti anda akan berasa bahagia!

Paling lucu, tengah sibuk-sibuk anak-anak itu mengerumuni saya meminta saya menitipkan kata-kata dan tandatangan sesudah saya baru selesai berceramah, tanpa disedari Zanazanzaly datang dari belakang, "Abang, minta sign." Tanpa melihat orangnya, saya dalam keadaan kalut dan tergesa-gesa menjawab, "Tokde ni tokde, male ni deh, male ni [Tak sempat ni, tak sempat. Malam ni lah ya, malam ni]." Dan saya mendongak, "Heh! Ya Allah, budak ni" dengan nada yang amat terkejut bercampur malu, dan suasana pecah oleh derai tawa. Saya tidak tahu kehadiran Zanazanzaly dan Rozais Al-Anamy yang cepat-cepat berpacu dari Pasir Mas mahu mendengar saya berceramah. Mereka berdua sampai ketika ceramah saya sudah hampir ke kemuncak. Saya mati-mati ingatkan mereka berdua tak datang. Dan inilah babak paling lucu untuk diri saya selama tiga hari di Perdana Resort. Sampai sekarang pun, kalau mengingat kisah ini, saya akan ketawa sendiri.

Sesi minum petang kami hari itu diriuhkan oleh derai tawa sekali lagi dengan kisah lucu saya sebentar tadi. Setelah kembali ke bilik beberapa ketika, kami kembali ke Dewan Selayang semula. Kali ini untuk memulakan sesi Kembara Sastera atau kami namakan dengan Explorace. Saya ditempatkan di stesen 5, di kawasan tasik dan anak-anak itu saya tugaskan untuk menyiapkan dua rangkap pantun setiap seorang. Satu berbentuk soalan dan satu lagi berbentuk jawapan. Mereka perlu berpasangan berbalas pantun. Kalau yang tak ada pasangan, tanya sendiri dan jawablah sendiri. Sehabis mencipta, setiap mereka saya mestikan menyampaikan pantun itu di depan saya untuk sama-sama kami mendengarnya. Lulus ujian ini, barulah mereka saya lepaskan ke stesen seterusnya.

Balik ke Dewan Selayang, mereka disuruh mengumpulkan semua hasil kerja masing-masing ke atas sehelai kertas besar menggunakan kekreatifan sendiri dan menampalnya di dinding dewan untuk dinilai. Anak-anak di bawah bimbingan saya, mujur menjadi kumpulan pertama menyelesaikan kembara.

Malamnya, sehabis menjamu selera dengan santapan panas yang istimewa untuk malam terakhir, kami bertemu lagi di Dewan Selayang untuk sesi pemurnian karya cerpen dan puisi, sekali lagi oleh Saudara Rosli K. Matari dan Saudara Abdul Hadi Yusoff. Kali ini, teguran dan saranan dibuat ke atas karya-karya yang telah diserahkan oleh para peserta. Sesudah penat berbengkel, di atas permaidani di bahagian belakang dewan, kami riuh ketawa dengan permainan berkumpulan menjual goreng pisang. Saya cuba nyanyikan;

Goreng pisang, goreng pisang, goreng pisang sekarang.
Pisang apa? Pisang apa, pisang apa sekarang?

Contohlah, dijawab begini;

Pisang rebus, pisang rebus, pisang rebus sekarang.
Rebus apa, rebus apa, rebus apa sekarang?

Kumpulan lain pula menjawab, katakanlah begini;

Rebus ubi, rebus ubi, rebus ubi sekarang.
Ubi apa, ubi apa, ubi apa sekarang?

Yang tak dapat jawab itulah yang kalah. Memang seronok menjual pisang ni. Hilanglah sikit penat anak-anak ini, yang sudah dua hari berbengkel. Sesi kami malam itu tidak habis di situ, kemudiannya setiap kumpulan dipimpin oleh fasilitator masing-masing berlatih untuk persembahan akhir di majlis penutup tengah hari esok. Penat juga saya melatih anak-anak itu berteater, dengan cerita Jebat mengamuk di istana Melaka. Cerita ini dari idea Sham. Hampir jam 2 pagi juga, baru kami melangkah ke bilik.

Saya dan Azhan tidak berceloteh panjang di bilik seperti malam sebelumnya. Malam itu antara tidur paling lena dalam hidup saya, maklum saja, saya sudah habis suara siangnya setelah sejam lebih berceramah dicampur sejam lebih pula bertempik menjerit berteater bersama kumpulan S. Othman Kelantan pada malamnya.

Ahad [11 Jun 2006] - Tiada senaman pagi ini. Anak-anak ini diberi kelonggaran setelah semuanya keletihan. Kami bersarapan pagi dengan nasi lemak. Rozais Al-Anamy sudah mula berceloteh dengan kertas kerjanya, Kenapa Memilih Untuk Menulis saat saya melangkah masuk ke Dewan Selayang pagi itu. Rozais tidak berdiri, beliau memilih untuk duduk saja di kerusi, berbeza dengan ceramah terakhir oleh Zanazanzaly pagi itu yang nampak lebih selesa berlegar-legar di depan mereka dengan kertas kerja beliau, Modal dan Produk Penulisan. Anak-anak itu nampak seronok dengan gaya penyampaian Zana yang kadang-kadang berbisik dan kadang-kadang menjerit. Dan mereka, kadang-kadang riuh ketawa.

Tengah sibuk-sibuk Zana berceramah, jauh di penjuru belakang dewan, saya sibuk-sibuk pula menyiapkan puisi untuk persembahan kami berempat, para fasilitator. Saya diminta Azhan untuk berkisah seputar Jebat dan Tuah juga untuk sama-sama kami dekonkan di pentas pada majlis penutup nanti. Kumpulan Usman Awang mempersembahkan wayang kulit dan Abe Ki yang menjadi dalang. Najibah yang saya ingat menjadi pemukul canang dibantu oleh yang lain juga dengan alat muzik yang berbeza. Yang bestnya, alat muzik itu dari pelbagai bahan, diserasikan penggunaannya dengan kekreatifan masing-masing. Abe Ki ternyata memang cukup berbakat dan memukau sebagai seorang dalang, walau persembahan mereka tanpa kelir di pentas wayang.

Zafran muncul secara berseorangan dengan puisi Kitalah Tuan karya Dato' Dr Hashim Yaacob. Keistimewaannya sebagai deklamator muda berbakat tentu saja tidak tertinggal begitu sahaja dengan peluang untuk beraksi secara solo begini. Kumpulan Arena Wati yang dipimpin Zamani tampil dengan tarian secara berkumpulan dan Wan berdendang dengan lagu yang pernah dipopularkan Siti Nurhaliza sambil yang perempuan berlenggok menari. Puan Meriam Awang Lah, isteri kepada Saudara Abdul Hadi Yusoff tampil dengan bait-bait gurindam dan nazam yang begitu mempesona membuat kita sayu hiba bergenang air mata. Asyik sekali kami mendengarnya.

Anak didik Azhan dari kumpulan A. Samad Said pula tampil dengan persembahan pentas yang cukup menawan dengan dekon yang penuh artistik diiringi deklamasi dengan naskhah Bumi Menangis. Penggunaan pentas yang bervariasi ternyata begitu memikat sekali. Saudara Abdul Hadi Yusoff pula dijemput kemudiannya dan membuat kami ketawa dengan puisi dalam logaht Kelantan yang beliau persembahkan dengan begitu bersahaja.

Anak didik saya dari kumpulan S. Othman Kelantan pula muncul di pentas dengan kisah Jebat yang menderhaka. Sham menjadi Jebat, Zafran bersimpuh sebagai dayang, Yana yang jadi tukang cerita dalam alunan gurindam, Pah dan Aini selaku rakyat jelata. Wow, semua persembahan anak-anak ini tidak menghampakan kami dan kami memang berpuas hati.

Saudara Syaidul Azam selaku Pengurus Projek ikut berdendang dengan dua buah lagu dengan petikan gitar dari jemari beliau sendiri. Dan tibalah giliran kami pula yang berada di pentas, mempersembahkan sesuatu kepada semua yang ada, seadanya. Ringkas sahaja, tapi kami sebagai fasilitator cuba sedaya upaya memberikan yang terbaik buat semua dengan mendeklamasikan puisi segera nukilan saya. Azhan dan Zul bersilat selaku Jebat dan Tuah, serta Zamani memilih untuk menari. Sehabis persembahan, kata Saudara Abdul Hadi, beliau tertarik dengan kalimah keris yang lain dalam puisi yang telah saya deklamasikan dan Zana seperti mahu ikut serta sebagai peserta setelah teruja dengan persembahan anak-anak itu yang telah berjaya memukau semua.

Perhimpunan kami tiga hari itu ditutup oleh ucapan Pemangku Pengarah DBP Wilayah Timur, Puan Zainab Che Omar. Beliau dengan penuh harapan mahu anak-anak itu terus menulis dan bakal menjadi penulis besar di masa depan. Katanya, beliau mahu melihat nanti 22 karya anak-anak itu mendapat tempat di buletin Jendela Timur.

Tidak lupa, jutaan terima kasih buat semua yang menjayakan program yang hebat dan penuh bersejarah ini. Terutama sekali DBP Wilayah Timur dan warganya yang diketuai Saudara Syaidul Azam Kamarudin, Encik Sharrul Rizal Hashim dan Encik Mohd Asri Seman. Semua petugas di Perdana Resort yang melayan kami dengan penuh mesra tiga hari itu. Juga, jutaan maaf saya pohon pada semua selama saya bersama kalian. Segala kekurangan mohon ditegur, itu adalah kelemahan saya sendiri dan segala-galanya saya serah pada Allah jua untuk menilainya. Percayalah, kalian memang best sangat!

Saya sendiri, berasa terlalu bertuah dapat bersama-sama mereka yang saya lihat punya masa depan yang cerah dalam penulisan jika mereka meneruskan kegigihan untuk terus berkarya. Dan buat pertama kalinya, kali ini saya datang sebagai ketiga-tiganya - pembentang kertas kerja, fasilitator dan peserta. Kerana setiap kali sesi ceramah oleh pembentang lain, saya juga ikut duduk di kerusi peserta. Saya tidak melepas peluang untuk ikut sama mendengar pembentangan oleh setiap penceramah. Saya amat berbahagia ada bersama-sama mereka tiga hari ini. Saya tidak mahu putus hubungan dengan mereka semua. Saya mahu mereka terus menulis dan menulis tanpa mengenal putus asa. Ramai juga yang sudah menyahut cabaran saya untuk turut menerbitkan buku juga. Najwa, Aini dan Najibah antaranya. Syabas dan tahniah untuk anda semua.

Alhamdulillah, kami masih tidak putus hubungan dan terus mengutus khabar berita hingga kini. Ramai yang berkirim sms kepada saya dan ada juga yang sudi menelefon. Malah, kelmarin [17 Jun 2006], Wan yang jauh dari Kampung Sireh di Kota Bharu mengunjungi saya di Teratak Seni, Padang Raja meminta saya membaiki puisinya. Sepetang juga kami beramah mesra diredupkan rendang pohon rambutan di Teratak Seni.

Kalian, jangan berhenti menulis. Buat kalian semua, nanti kita bertemu 2 tahun lagi dan yang sudi menyahut cabaran saya, saya beli buku anda pula. Sham, Aini, Yana, Zafran, Syarifah, Razaki, Azwa, Ziera, Najibah, Zura, Ruzairy [Zahid], Fatin, Nana, Iwan, Najwa, Wani, Wan, Mek Su, Ku Yam, Tini, Marizan, dan Siti Khadijah - kalian anak-anak yang baik dan percayalah, anda memang hebat!



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,

Machang, Kelantan.
1.18 tengah hari, 19 Jun 2006 [Isnin].

[13, 14, 16, 17 & 19 Jun 2006]
Bersamaan 22 Jamadil Awwal 1427 H.

Tuesday, May 09, 2006

Kutinggalkan sepulau tanah rindu yang dulu, dengan hati yang paling sayu

Saya selesaikan segala persiapan terakhir sebelum saya tinggalkan tanah pulau yang penuh kenangan itu, Pulau Mutiara. Dua hari terakhir di universiti, habis satu kampus juga saya berkeliling. Bersama rakan sebilik yang setia menjadi teman saya hari itu, kami pusing-pusing ke segenap ceruk kampus untuk saya tatap setiap lekuk dan inci tanahnya buat kali terakhir sebagai mahasiswa.

Saya hayati setiap sudut di kampus Minden sungguh-sungguh, kerana saya sedar, saya bakal tinggalkannya. Tanah yang penuh kenangan itu masih jelas terbayang-bayang di ingatan saya. Saya teringatkan Pien, teman sebilik yang paling baik hati. Layanannya kepada saya memang tak akan saya perolehi lagi lain kali. Saya percaya, terlalu sukar mencari teman sebaiknya. Terlalu sayu hati saya mengenangkan kesudiannya menghantar saya ke dewan kuliah dan menjemput saya sehabis kuliah. Layanannya buat saya terlalu istimewa, yang tentunya tak mampu saya balas.

Pagi itu, 27 April 2006 [Khamis] - kami tinggalkan Desasiswa Indah Kembara, berdua. Itu pun setelah kami singgah sekejap di pejabat desa mengambil surat saya. Saya lihat halaman berturap yang agak luas di hadapan desa, tempat saya pernah berdiri membaca puisi.
Tempat saya pernah duduk bersila, mengaji. Kerana di situlah tempat berlangsungnya program Minggu Sekalung Budi anjuran Desasiswa Indah Kembara dan dilaksanakan para penghuninya.

Kami tinggalkan pejabat desa yang sudah agak lengang, kerana ramai juga yang sudah meninggalkan kampus sehabis peperiksaan. Singgah seketika di Jabatan Keselamatan yang letaknya betul-betul di depan desa lama saya, Desasiswa Aman Damai. Tempat yang lebih senang kami panggil 'Bukit Aman', kerana kedudukannya sedikit di atas bukit. Sesuai pula dengan tugas para stafnya yang menjaga keselamatan kampus dan warganya. Tempat yang pernah saya kunjungi membuat laporan kehilangan telefon bimbit berkamera saya di pertengahan tahun 2005 yang lalu.

Perancangan kami hari itu, termasuklah mengunjungi Perpustakaan Hamzah Sendut 1 menghantar buku. Saya hulurkan kepada abang yang bertugas di kaunter pinjaman 4 buah buku yang telah lebih seminggu saya pinjam. Naskhah kesayangan yang telah saya pulangkan itu ialah Tafsir bi Ar-Ra'yi karya Dr Nashruddin Baidan, Tata-tertib Pengajian Al-Quran oleh Imam An-Nawawi, Nyanyi Sunyi Seorang Bisu dan Larasati buah tangan Pramoedya Ananta Toer. Di situlah tempat selalu saya bersunyi-sunyi seorang diri membaca karya sastera. Asyik, dan sampai lenguh-lenguh berdiri melewati rak-rak yang dipenuhi buku-buku.

Juga, kami ke Jabatan Bendahari melangsaikan bayaran yuran konvokesyen. Jumpa bekas teman sekuliah saya waktu ambil subjek bahasa Inggeris dulu. Lama sungguh tidak bertemu. Boleh pula saya bertanya, "Kau pun dah habis jugak la kan?", walhal saya terlupakan resit di tangannya seperti yang ada di tangan saya & kami berdua sama-sama ketawa setelah dia tunjukkan resit yang sama kepada saya. Mira, saya mengingat-ingat semula namanya sesudah saya seperti terlupa kerana lama benar tidak bersua. Kawan sekelas kami juga, Ayu, sedang menunggunya di kereta. Ramai juga yang datang melangsaikan bayaran membuatkan lama juga kami perlu menunggu.

Kami singgah juga di tempat yang selalu menjadi kunjungan saya, Kedai Mahasiswa. Saya memang betul-betul mahu membeli naskhah La Tahzan yang telah sekian lama saya idamkan. Sayangnya buku besar buah tangan Dr Aidh Abdullah Al-Qarni itu, semuanya telah habis dibeli orang termasuklah senaskhah idaman saya yang berkulit keras. Saya menyesal bukan kepalang kerana tidak menyambarnya awal-awal. Rupa-rupanya, buku motivasi berkulit kuning itu turut menjadi kegilaan orang lain sejak sekian lama. Kami juga ke kedai fotostat di Sungai 2 membuat salinan fotokopi untuk beberapa bahan yang saya perlukan.

28 April 2006, [Jumaat] merupakan hari terakhir saya di kampus Minden & kami meneruskan lagi beberapa urusan yang perlu segera diselesaikan sebelum saya berangkat balik. Sebelumnya, telah saya pinjamkan dari seorang teman sekuliah saya sebuah kamera digital buat saya berfoto habis-habisan esoknya sebelum balik kampung. Jumaat itu, memang kami berkeliling universiti sekali lagi. Kali ini, sampai ke puncak bukit di Jabatan Canselori. Kami bergambar sakan juga di atas kerusi batu di depan Jabatan Canselori, kawasan permai yang mengadap laut luas dan dari atas bukit ini jelas kelihatan jambatan panjang Pulau Pinang. Jambatan panjang yang penuh kenangan. Jambatan yang selalu saya sebutkan dalam sms saya kepada teman-teman ketika saya mula berkelana.

Sempat juga kami merakam gambar kenangan di Pusat Bahasa dan Terjemahan. Tidak ketinggalan di pejabat pos tempat saya poskan supucuk surat terakhir hari itu. Di sebelah Jabatan Canselori itulah juga letaknya Unit Penyelidikan Ilmu Falak dan Sains Atmosfera yang juga menjadi lokasi kami bergambar hari itu. Lebih menarik lagi, lokasi penggambaran kami hari itu juga termasuklah di surau Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan & Perancangan. Itulah pertama kali saya singgah di surau tua yang berdiri teguh dengan senibina dan ukiran tradisi Melayu itu.

Sesi terakhir penggambaran kami hari itu ialah di pusat pengajian yang menyimpan jutaan kenangan di hati saya, pusat pengajian yang telah tiga tahun mengajar, mendidik dan mendewasakan saya - Pusat Pengajian Seni. Sempat juga saya merenung sayu ke permatang pelajar yang menjadi laluan ribuan siswa dan siswi. Permatang yang redup dan teduh dengan dipayungi pohon-pohon rendang itu, selepas ini akan tinggal menjadi kenanganlah saja buat mengubat rindu kami pelajar-pelajar tahun akhir ini. Permatang yang hanya dikhaskan untuk pejalan kaki saja itu, dihiasi di tengahnya dengan sebuah replika besar hasil tangan A. Latiff Mohidin - penyair dan pelukis besar tanah air, yang letaknya betul-betul di hadapan pusat pengajian kesayangan saya ini. Gambar kenangan kami ini sempat juga kami rakam di sisi beberapa buah lukisan teman-teman saya di tahun akhir yang terletak di bahagian dalam, di ruang pameran dan juga di dalam Balai Pesiban Agung. Balai yang mempunyai ruang sederhana ini juga menyimpan terlalu banyak kenangan di hati saya.

Di balai itulah juga, pernah berlangsung kuliah pengajian saya dan juga segala macam program yang pernah saya hadiri. Terimbau kembali waktu saya mendeklamasi puisi di situ disaksikan Permaisuri Agong dan juga Tun Dr Mahathir Mohamad. Deklamasi puisi istimewa sempena penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat kepada Tun Dr Mahathir. Tempat berlangsungnya segala macam pameran lukisan, dari dalam dan luar negara. Tempat yang memang, akan terpahat kukuh dalam kenangan.

Sebelum solat Jumaat hari itu, kami sempat berpacu ke Terminal Bas Ekspres Sungai Nibong menempah tiket balik saya pada malam nanti. Waktu berangkat terasa semakin dekat. Dan kami sempat juga membungkus nasi murah Mak Teh untuk bungkusan terakhir dan kami santap sama-sama di bilik. Saya terlena keletihan sehabis solat Jumaat. Menyambung kerja-kerja mengemas barang-barang sesudah terjaga pada petangnya.

Makan malam terakhir saya di kampus Minden hari itu ialah di tempat makan yang selalu menjadi kunjungan kami. Iaitu tempat yang lebih selesa di bibir kami dengan panggilan Pusat Racun, kerana dulunya kawasan makan itu letaknya betul-betul di depan Pusat Racun Negara yang kini telah berpindah ke sebelah Pusat Pengajian Sains Farmasi. Saya suapkan nasi lemak telur saya senja itu lambat-lambat, perlahan-lahan sambil-sambil menunggu semangkuk ABC dicampur bauran hati sayu dan pilu. Saya perhatikan sungguh-sungguh halaman yang selalu menjadi kunjungan saya tiga tahun ini. ABC dan nasi lemaknyalah yang selalu membawa saya ke mari.

Lan dan Pien pun ada bersama menemani dan paling syahdu kata Lan, "Man, tengok puas-puas," serta lebih sayu lagi yang dilafaz Pien, "Malam ni, sunyilah bilik 205 dengan hilai tawa." Bilik 205 memang tidak akan luput dalam ingatan saya. Bilik yang memang paling banyak kenangan. Bilik yang telah membuahkan segala macam ilham. Bilik yang telah melahirkan seorang anak muda lara yang bergelar graduan. Di bilik 205 itulah, malamnya saya tinggalkan Pien keseorangan tanpa diriuhkan lagi jenaka saya yang macam-macam.

Senja di gerai makan hari itu, menjadi senja yang paling sayu buat saya kerana malam nanti, bumi Minden yang penuh kenangan itu bakal saya tinggalkan. Malamnya, dibantu Pien dan teman-teman lain, kami punggahkan kotak CPU dan monitor komputer peribadi saya ke kereta proton Wira Saiful yang sedang menunggu berserta dua buah beg besar berisi barang juga pakaian dan bersama saya juga, sebuah beg yang saya galas di bahu dengan sebuah topi keledar di tangan.

Bersama Saiful malam itu, saya juga ikut ditemani Pien, Khairul dan Nusi - menghantar saya ke Terminal Bas Sungai Nibong. Sejam menunggu, barulah saya tahu bas yang bakal saya naiki akan sampai lebih kurang sejam lagi. Dan teman-teman yang mengiringi pun terpaksa berangkat pergi. Malam itu saya pulang seorang dan di hati, sayu bukan kepalang. Lebih kurang jam 11.30 malam juga, barulah saya bergerak meninggalkan tanah penuh kenangan Pulau Mutiara. Di atas jambatan, saya melepas pandang ke laut lepas dengan kesayuan yang paling dalam di kalbu.

Saya melihat jauh ke tanah pulau yang masih disinari lampu-lampu malam yang terang cemerlang. Sayu di hati bukan kepalang. Selamat jalan Pulau Pinang. Selamat tinggal kampus Minden. Selamat tinggal Desasiswa Indah Kembara. Selamat tinggal Universiti Sains Malaysia. Selamat tinggal Pulau Mutiara. Jauh di dasar hati, diam-diam saya memasang cita-cita akan datang lagi untuk menyambung pengajian saya di peringkat yang lebih tinggi satu hari nanti. Saya cuba untuk tidak begitu melayan kepiluan dan saya tahan genangan air mata yang seperti mahu menitis. Dan malam yang paling syahdu itu, kutinggalkan sepulau tanah rindu yang dulu, dengan hati yang paling sayu.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang, Kelantan.
12.52 pagi [Selasa], 9 Mei 2006.
11 Rabi'ul Akhir 1427 H.

Wednesday, May 03, 2006

Sebetulnya saya memang kecewa

Sebetulnya, pagi ini saya memang kecewa. Baru sekejap, saya telah selesaikan kemaskini terbaru berbelas-belas perenggan tentang hari-hari terakhir saya di Minden. Dan, saya publishkan. Ia tiba-tiba hilang setelah proses publishnya begitu lambat. Sebetulnya saya terlalu kecewa, kerana telah berjam-jam saya jenuh dan lenguh menaipnya. Tapi, takdir Tuhan sudah menetapkan ia hilang dan saya kecewa bukan kepalang. Maafkan saya, saya sudah terlalu kecewa untuk menulis yang lain pula. Idea yang sama pasti tak akan datang lagi, kerana ia telah hilang. Kemaskini itu saya judulkan, "Kutinggalkan sepulau tanah rindu yang dulu, dengan hati yang paling sayu." Dan sekarang, memang hatii saya kecewa bukan kepalang. Tolong maafkan saya. Sebetulnya saya memang kecewa. Kalau ada masa, saya akan menulisnya semula. Tengoklah ....


Salman Sulaiman
Teratak Seni,
Machang.
5.00 pagi, yang paling menyentuh hati.
3 Mei 2006 [Rabu], 5 Rabi'ul Akhir 1427 H.

Monday, May 01, 2006

Pramoedya Ananta Toer, perginya seorang sasterawan besar Nusantara

Sehabis isya' malam tadi, saya membuka kotak pesanan ringkas telefon bimbit saya. Sebaris sms pendek dari Jimadie Shah Othman berbunyi, "Bung Pram mati." Adik Su pula mengesahkan bahawa dia baru saja melihat laporan bertulis di TV3 bahawa sasterawan agung Nusantara itu telah pergi dalam usia 81 tahun.

Berita itu membuatkan saya sayu seketika. Saya terus saja teringatkan salah satu cita-cita besar saya yang saya simpan diam-diam dari dulu sampai kini bahawa saya mahu mengunjunginya. Saya bercita-cita mahu menemuinya di puncak perbukitan Bogor yang menjadi kediamannya yang terkini. Kediamannya di puncak Bogor itu dikhabarkan berharga beberapa juta ringgit, yang tentu saja dibina hasil daripada penjualan karyanya ke seluruh dunia yang telah diterjemah ke dalam puluhan bahasa dunia.

Saya juga teringatkan pertemuan Azman Ismail [wartawan utusan Malaysia] dengannya di rumahnya di Bogor dan kemudian wawancara tersebut tersiar di akhbar Mingguan Malaysia satu waktu dulu. Juga, saya terimbau kembali pertemuan istimewa wartawan RTM dengannya satu waktu dulu dan wawancara itu disiarkan dua kali di RTM secara bersiri, setengah jam untuk satu kali siar. Saya ingat lagi, saya sempat saksikan wawancara siri pertama dan terlepas menonton untuk malam kedua. Dan yang masih saya ingat, antara yang disebut Pram dalam wawancara eksklusif dengan wartawan RTM ialah, "Indonesia sekarang ini dalam proses membusuk."

Esoknya, habis segala akhbar harian di Malaysia memuatkan cerita dan berita tentang Pramoedya - sasterawan kesayangan Asia Tenggara ini. Tapi, ini berlaku lama dulu, beberapa tahun yang lalu, waktu dia masih ada. Kini, yang tinggal cuma namanya saja yang akan disebut orang kerana jasadnya telah kaku dan bisu, terpisahlah dari roh jasad yang cukup besar ini. Besar untuk dunia sastera Nusantara dan juga dunia.

Juga, yang akan tetap kekal di hati kita tentu saja sekian banyak kata-kata yang pernah ditulisnya. Paling tidak dapat dilupakan tentu saja tetralogi Buru yang dianggap karya agung dari tangan beliau. Juga, catatan besarnya semasa berbelas tahun di tahan di Buru - Nyanyi Sunyi Seorang Bisu.

Setelah tahu saja tentang pemergian yang paling memilukan ini, segera saya kirimkan sms memberitahu sekian ramai teman penulis di seluruh Malaysia. Balasan yang saya terima antaranya, dari Wan Marzuki Wan Ramli berbunyi begini;

"Al-Fatihah, Nusantara kehilangan penulis besar yang tersohor."

Ali Bukhari Amir [wartawan akhbar Siasah] pula membalas begini;

"Inna lillah. Semoga roh beliau dicucuri rahmat-Nya."

Dan balasan dari sifu puisi Rahimidin Zahari berbunyi begini;

"Kita kehilangan satu-satunya calon penerima Hadiah Nobel yang paling layak dari dunia Melayu Indonesia."

Saya terkilan tidak sempat menemuinya seperti mana terkilannya saya tidak sempat menemui Sasterawan Negara Usman Awang. Saya tiba-tiba teringat cikgu saya di sekolah menengah yang merupakan salah seorang pengkagum Pram. Katanya, dia selalu membeli karya-karya Pram sebagai koleksi bacaannya. Dia sukakan kekuatan bahasa Pram yang tepat dan padat. Ketika itu, seingat saya dia memberitahu sudah punya sembilan buah karya Pramoedya. Dan juga, setelah dia diberitakan pergi saya segera menyelongkar almari buku di Teratak Seni dan saya keluarkan semua karya Pram yang saya ada.

Kini, saya pasti cikgu saya ini sudah punyai puluhan buah buku yang ditulis Pram. Saat itu, saya pun mula bercita-cita untuk menikmati tulisan manusia yang bernama Pramoedya Ananta Toer ini. Maka, saya belikan empat naskhah karya agungnya itu, tetralogi Buru yang masing-masing berjudul Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca. Saya belikan juga buah tangan Rudolf Mrazek tentang Pram yang berjudul Pramoedya Ananta Toer dan Kenangan Buru setebal 124 halaman. Kelima-lima naskhah ini saya bayar harganya di Pustaka Indonesia di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dengan dua kali pergi.

Pada ketika yang lain pula saya belikan sebuah lagi karya Pram yang berjudul Perawan Remaja Dalam Cengkeraman Militer. Dan seperti saya tuliskan dalam catatan terdahulu, saat mencari buku bersama Dahri di Lebuh Chulia dan Bazar Chowrasta baru-baru ini; saya belikan dua lagi karya lama Pram yang berjudul Gadis Pantai dan Keluarga Gerilya. Dan, sebelumnya telah saya belikan naskhah terakhir oleh Pram saya kira yang diterbitkan pada tahun 2005 yang lalu berjudul Jalan Raya Pos, Jalan Daendels setebal 147 halaman. Cukuplah, walau saya tidak diizinkan Tuhan menemui orangnya, saya baca dan tatap karyanya.

Pram lahir di Blora pada 6 Februari 1925. Selain pengarang, beliau pernah menjadi juruketik Kantor Berita Domei [1942 - 1944], wartawan majalah Sadar [1947], dan lembar "Lentera" akhbar Bintang Timur [1962 - 1965] dan menjadi dosen di Fakultas Sastra Universitas Res Publica [1963 - 1965] serta di Akademi Jurnalistik Dr. Rivai [1964 - 1965]. Pram mula menulis ketika sejak di bangku sekolah dasar lagi.


Pemergiannya juga mengingatkan saya pada sebuah puisi saya, yang saya tulis istimewa untuk empat orang sasterawan besar termasuklah dirinya. Untuk sehari dua ini, dengan bertemankan angin sepoi desa Padang Raja; izinkan saya menelaah dengan penuh sungguh-sungguh tulisan Pram yang aada dalam simpanan saya, dengan penuh rasa manusia kerana Pram sendiri menuliskan begini, "Dalam mendudukkan perikemanusiaan pada tempatnya yang benar, orang tak perlu takut," dalam bukunya yang berjudul Hoakiau di Indonesia.

Saya selalu bercita-cita untuk hadiahkan puisi istimewa saya itu kepada Pram dalam bentuk yang telah diframe untuk disangkut di dinding rumah besarnya. Sayangnya, belum pun sempat saya melunasi cita-cita besar saya itu, dia telah ditakdirkan pergi terlebih dahulu. Dan untuk itu, izinkan saya perturunkan sepenuhnya puisi saya yang ditulis istimewa untuk empat sasterawan besar dunia termasuk Pram ini, yang pernah tersiar di majalah Dewan Bahasa edisi Jun 2001 yang berjudul Bahasa Pujangga;

Andai datang malam tiada bulan
berilah pada Pak Usman
kerana dia seorang sasterawan
sekuntum bunga yang gugur di halaman
itu pun cukuplah sebagai kenangan.

Andai ada cinta
berilah pada Hamka
sebaris kata
nanti akan bisa
melahirkan sejuta makna.

Andai ada apa-apa saja
berilah pada Pramoedya
sebaris kata
menghiris makna
kita pun terluka.

Andai datang malam ada cahaya
berilah pada Yasunari Kawabata
di langait bulan membisu tanpa kata
nanti kita akan tenggelam bersama
ke dalam cahaya purnama.

Itulah sebenarnya bahasa pujangga
seperti kata mereka
sebatang pena
cukuplah bagi kita
membunuh sejuta nyawa.

Puisi ini disiarkan berserta gambar Pram dengan gambar tiga lagi sasterawan yang saya dedikasikan puisi untuk mereka. Cukuplah saya menelaah tulisan-tulisannya yang saya ada sebagai pengubat kelukaan hati saya yang tidak sempat menemuinya. Akhir, izinkan saya kutip apa yang ditulis Pram sendiri dalam Nyanyi Sunyi Seorang Bisu sepertimana yang dipetik oleh Rudolf Mrazek dalam bukunya Pramoedya Ananta Toer dan Kenangan Buru, begini;

"... pada akhirnya, maut hanyalah bagaimana orang memandangnya dan dari sudut mana ia mengintipnya. Pakai atau tanpa pakai lensa, dan jenis apa pula lensanya, dan bahannya.

... Bermacam cara dan saat sang maut mendatangi."

Al-Fatihah buatmu Bung Pram.


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang,
Kelantan Darul Naim.
4.04 pagi, Isnin.
1 Mei 2006 [ selamat hari pekerja untuk semua].
Bersamaan 3 Rabi'ul Akhir 1427 H.

Thursday, April 27, 2006

Berbuku-buku rinduku kepada buku

Saya catatkan semua naskhah buku yang telah saya beli untuk bulan Mac dan April ini, kira-kira punya kira, buku yang telah pun saya beli dua puluh satu [21] buah semuanya. Itu untuk tempoh 1 Mac sampailah pagi ini, 27 April 2006. Saya kira tidak salah tentunya untuk saya bercakap tentang buku, setelah saya tidak pernah lupa membeli akhbar Kosmo setiap rabu yang mengandungi esei resensi buku oleh Shaharom TM Sulaiman, setelah saya berasa amat rugi tidak dapat hadir pada Seminar Pencinta Buku 2006 di Shah Alam tempoh hari, setelah saya berasa seronok dan teruja sekali dengan tulisan Kak Nisah [http://www.nisah.cjb.net] tentang buku dan juga tentang seminar tersebut, setelah saya sendiri tidak pernah puas-puas membeli buku dan setelah saya juga banyak berasa kecewa dengan buku-buku yang telah tiada di pasaran kerana saya lambat membelinya sebab tak cukup duit.

Sebelum berangkat balik kampung untuk beberapa hari pada awal Mac lalu, saya sempat mencapai Rahsia Jutawan-jutawan Internet Terbongkar karya Irfan Khairi di Kedai Mahasiswa, USM sebagai bekal saya balik kampung. Saya sukakan kulitnya yang sudah cukup bermotivasi untuk menaikkan semangat orang yang membacanya supaya rajin-rajin berusaha menjadi jutawan. Buku jutawan, harganya pun kelas-kelas jutawan jugalah. Saya bayar kepada Akak yang menjaga kaunter RM35.90 setelah potongan 10 peratus.

Tentu saja buku amat berguna untuk saya belajar berniaga dengan cara yang paling canggih, cepat dan mudah. Amat berguna juga untuk saya memasarkan buku saya juga seperti mana Irfan memasarkan buku-bukunya dengan jayanya. Saya mahu belajar memasarkan buku saya dengan lebih berstrategi dan sistematik. Amat berguna untuk saya melihat bagaimanakah kulit, rekabentuk, harga, isi dan kualiti buku seorang jutawan buat saya mencontohinya untuk buku saya di masa depan. Elok juga untuk saya belajar bagaimana Irfan memasarkan bukunya buat saya ambil iktibar dan saya contohi untuk saya pasarkan dua buah buku terbaru saya yang bakal siap Mei ini - Sebelum Menjadi Penakut & 'Ngembara ke Utopia Republik Cinta Sesudah Letih Menjadi Lelaki.

Ketika sudah kembali ke Pulau Mutiara, saya tidak pernah jemu-jemu juga berkunjung ke Kedai Mahasiswa, paling tidak pun sekadar untuk membeli senaskhah Kosmo dengan harga 50 sen & boleh juga saya melilau-lilau menengok buku-buku baru yang berkenan di hati. Dan juga menengok buku lama yang sudah sekian waktu diidam-idamkan tapi masih tak terbeli kerana tak cukup duit. Dapat membelek-beleknya pun sudah cukup buat orang yang gila buku macam saya. Antara buku yang sudah sekian lama saya tengok tapi masih teragak-agak untuk membelinya ialah Jangan Bersedih [La Tahzan] karya Dr Aidh Abdullah Al-Qarni, terbitan Al-Hidayah Publisher dengan warna kuning yang memikat & dalam edisi kulit keras.

Ia sebuah buku motivasi yang tak perlulah saya cerita saya kira, kerana peminat buku seperti anda semua barangkali lebih-lebih mengetahui tentangnya. Atau barangkali, anda semua telah memiliki dan membacanya, dan saya seorang saja yang masih ketinggalan zaman tidak memilikinya. Saya sudah lama mengidam-idamkan naskhah dari sarjana hadis dari Timur Tengah ini. Saya perhatikan setiap buku sastera, agama, motivasi dan novel di Kedai Mahasiswa. Saya tengok La Tahzan ada empat naskhah saja lagi. Tiga buah dengan kulit nipis tapi masih juga dalam warna kuning yang menawan dan tinggal sebuah cuma yang berkulit keras yang saya idam-idamkan berharga RM49. Saya tak mahu yang kulit nipis walaupun harganya murah, RM35.

Kalau saya nak yang kulit nipis tu, dah lama saya beli. Tapi, hati saya masih juga mengidamkan yang berkulit tebal yang tinggal satu naskhah itu saja. Saya tetap nak yang kulit tebal itu juga. Waktu itu, saya hanya mampu menaruh harapan dan angan-angan untuk memilikinya satu hari nanti sebelum saya habis belajar. Dan saya bertekad diam-diam dan kejap di dalam hati, bahawa buku itu memang akan saya beli, pasti. Maka, untuk hari itu saya hanya keluar dengan senaskhah Islam Liberal, Tafsiran Agama yang Kian Terpesong dengan harga RM5.40 setelah diskaun 10 peratus. Ia merupakan himpunan kertas kerja oleh beberapa orang tokoh agama iaitu Prof. Madya Mohammad Kamil Abd. Majid, Prof. Madya Dr Fauzi Deraman, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Admin Armas. Saya keluar dengan menaruh harapan yang terlalu tinggi untuk datang lagi dan memiliki naskhah La Tahzan yang telah sekian lama saya idamkan.

Dan ketika balik dari Pontian menghadiri majlis perkahwinan Jimadie di Parit Semerah, saat singgah di Nile Books di KL Sentral - saya langsung tak dapat menahan nafsu untuk balik ke Pulau Pinang setidak-tidaknya dengan sebuah buku, maka saya bayarkan kepada kepada Akak di kaunter untuk naskhah Dha'if Adabul Mufrad [Koreksi Ilmiah Terhadap Karya Imam Bukhari] buah tangan sifu besar ilmu hadis zaman ini - Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani. Buku ini, memberi penilaian terhadap hadis-hadis yang daif yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari menurut penilaian Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani.

Ketika sudah ada kembali ke Pulau Pinang, saya masih tidak jemu-jemu juga mengunjungi Kedai Mahasiswa, melihat buku atau membeli akhbar. Kali ini saya terpaut pada naskhah Ada Apa Dengan Buku oleh Shaharom TM Sulaiman yang ditulis bersama Suriati Shamsuddin. Naskhah ini pun seingat saya sudah lama saya perhatikan, cuma kali ini baru saya benar-benar cukup duit untuk membeli. Saya bawa keluar naskhah ini setelah membayar RM19 kepada Akak yang menjaga kaunter. Kali ini langsung tak ada diskaun, tapi saya langsung tidak merungut - janji, saya dapat memilikinya. Membaca tulisan Shaharom TM Sulaiman tentang buku, lagilah menambah gila saya pada buku.

Ketika sekali lagi ke Kuala Lumpur menghadiri Bengkel Penulisan Novel Esastera di Universiti Malaya, saya memang sengaja gatal-gatal kaki singgah lagi di Nile Books di KL Sentral. Memang saya sengaja ingin menengok dan membeli buku. Maka kali ini, saya terpaut lagi pada dua naskhah buku terbitan penerbit Indonesia. Memang Nile Books banyak sekali menawarkan banyak buku-buku agama penerbit dari Indonesia. Kali ini saya pulang ke Pulau Mutiara dengan naskhah Tuhan Begitu Dekat [Menangkap Makna-makna Tersembunyi di Balik Perintah Beribadah] oleh Dr Komaruddin Hidayat dan Kumpulan Do'a dan Dzikir Nabawi buah tangan seorang imam besar umat Islam, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah yang ditahqiq oleh Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani.

Cantik sekali buku ini, menghimpunkan doa-doa harian yang pernah menjadi amalan Rasulullah s.a.w. semasa hayat Baginda. Kita dapat mengamalkannya dengan penuh yakin dengan adanya penilaian yang sahih dan jelas yang dibuat oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani dan kita dapat tinggalkan doa yang tidak sahih daripada Rasulullah dengan adanya penilaian setiap hadis yang dibuat oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani ini. Setiap zikir dan doa di dalamnya diberi penilaian yang jelas oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani tentang kesahihan atau kedaifannya.

Balik ke Pulau Pinang, saya tertarik dengan sebuah buku Shaharom TM Sulaiman yang lain pula. Judulnya masih juga tentang buku, yang saya sudah menyimpan hasrat ingin membelinya ketika membeli naskhah Ada Apa Dengan Buku tempoh hari lagi. Dan kali ini memang benar-benar saya memilikinya. Naskhah yang saya maksudkan ialah buku yang berjudul Buku Kekasih. Dengan karya keduanya yang saya beli ini, Shaharom TM Sulaiman menambahkan lagi gila saya pada buku-buku. Membaca tulisannya ini, membuatkan rindu saya pada buku makin berbuku-buku.

Ketika dua hari berturut-turut mengunjungi Bazar Chowrasta dekat KOMTAR bersama Mohd Dahri Zakaria, ditambah dengan kunjungan hari kedua kami ke sebuah kedai buku lama di Lebuh Chulia - saya berhabis berpuluh-puluh ringgit juga untuk sepuluh buah buku. Buku-buku tersebut ialah Yang Indah Belum Menjelma Lagi oleh Ayi Kwei Armah, Rumah Melayu Tradisi karya bersama Abdul Halim Nasir dan Wan Hashim Wan Teh, Belahan Mimpi oleh Ali Jusoh, Keluarga Gerilya oleh Pramoedya Ananta Toer, Pewaris oleh Rahimidin Zahari, Beruk oleh Azizi Haji Abdullah, Cinta Fansuri oleh A. Samad Said, Tikus Rahmat oleh Hassan Ibrahim, Si Lemang Batu oleh Taha Abdul Kadir & sebuah buku yang sudah bertahun-tahun saya cari, gembira sangat-sangat saya apabila terjumpa di kedai buku lama di Lebuh Chulia itu - Gadis Pantai buah tangan novelis agung Nusantara, Pramaoedya Ananta Toer.

Setelah beberapa hari Dahri kembali ke Kuala Lumpur, saya belikan juga naskhah Madu Dalam Saringan oleh Kamala Markandaya di Kedai Buku Mahasiswa dengan harga RM10.80 setelah diskaun 10 peratus. Buku itu telah dibeli Dahri ketika dia mengunjungi saya tempoh hari. Dia terpaut dengan buku itu, bila saya katakan ianya ada disebut dalam novel panjang dan terbaru Dr Fatimah Busu - The Missing Piece (Bahagian 2). Kemudiannya, saya pun ikut membelinya juga.

Untuk bulan April ini juga, tapi saya sudah lupa tarikhnya; tiba ke tangan saya dengan pos ekspres sebuah buku puisi terbaru karya Nimoiz TY berjudul Jalan Baru yang menghimpunkan 100 buah puisi penyair muda yang telah dua tahun berturut-turut mendapat gelar Penyair Siber ini iaitu pada tahun 2003 dan 2004. Saya sedang berdikit-dikit menelaahnya, menelusuri dengan penuh rasa seni ke dalam roh puisi anak muda yang senegeri dengan saya ini.

Terakhir, sampai tiba pagi buta sekarang ini, saya sekali lagi tidak dapat menahan nafsu untuk memiliki dua buah buku, yang saya lihat dijual di Kedai Buku Popular Kompleks Bukit Jambul tidak berapa jauh dari kampus saya. Kali ini saya bayarkan untuk Cik Kak manis yang bertugas di kaunter untuk naskhah Membina Imaginasi Cemerlang buah tangan Dr HM Tuah Iskandar Al-Haj dan Berguru Pada Binatang yang merupakan sebuah anekdot-anekdot kecil karya Baha Zain.

Siang nanti, saya telah tekad di dalam hati untuk memiliki La Tahzan yang telah sekian lama saya idam-idamkan di Kedai Mahasiswa di kampus saya. Saya tetap berdegil untuk memiliki edisi kulit keras yang berharga RM49. Esok, saya pasti akan menikmatinya sungguh-sungguh kerana sudah lama benar ingin menelaahnya.

Siang esok, genaplah 22 buah buku yang saya miliki untuk dua bulan terakhir ini. Itu belum dikira bahan-bahan bacaan lain seperti majalah dan akhbar. Saya perturunkan semua senarai buku yang saya beli, bukan apa-apa. Paling tidak pun, buat adik-adik atau siapa saja yang masih belum gila membaca menatap catatan ini; akan menyedari bahawa betapa nikmatnya membaca, seperti mana yang telah saya sedari dan nikmati. Bukankah ayat pertama yang diturunkan Allah pun, menyuruh kita membaca? Maka tidak salah saya kira, untuk saya menulis tentang buku pada kemaskini kali ini.

Kemaskini terbaru ini juga buat Mohd Dahri Zakaria yang pernah merungut dan mengirim sms kalau dia membuka blog saya yang lama tak diup date. Dan, sememangnya catatan ini untuk anda semua yang tidak jemu-jemu membaca tulisan saya. Ketahuilah bahawa sesungguhnya, betapa nikmat dan manisnya membaca.


Salman Sulaiman
Siber Kafe I Caf'e,
Bawah Bukit Gambir,
Kampus Pulau Mutiara.
2.01 pagi, 27 April 2006 [Khamis].
Bersamaan 28 Rabi'ul Awal 1427 H.