Tuesday, May 09, 2006

Kutinggalkan sepulau tanah rindu yang dulu, dengan hati yang paling sayu

Saya selesaikan segala persiapan terakhir sebelum saya tinggalkan tanah pulau yang penuh kenangan itu, Pulau Mutiara. Dua hari terakhir di universiti, habis satu kampus juga saya berkeliling. Bersama rakan sebilik yang setia menjadi teman saya hari itu, kami pusing-pusing ke segenap ceruk kampus untuk saya tatap setiap lekuk dan inci tanahnya buat kali terakhir sebagai mahasiswa.

Saya hayati setiap sudut di kampus Minden sungguh-sungguh, kerana saya sedar, saya bakal tinggalkannya. Tanah yang penuh kenangan itu masih jelas terbayang-bayang di ingatan saya. Saya teringatkan Pien, teman sebilik yang paling baik hati. Layanannya kepada saya memang tak akan saya perolehi lagi lain kali. Saya percaya, terlalu sukar mencari teman sebaiknya. Terlalu sayu hati saya mengenangkan kesudiannya menghantar saya ke dewan kuliah dan menjemput saya sehabis kuliah. Layanannya buat saya terlalu istimewa, yang tentunya tak mampu saya balas.

Pagi itu, 27 April 2006 [Khamis] - kami tinggalkan Desasiswa Indah Kembara, berdua. Itu pun setelah kami singgah sekejap di pejabat desa mengambil surat saya. Saya lihat halaman berturap yang agak luas di hadapan desa, tempat saya pernah berdiri membaca puisi.
Tempat saya pernah duduk bersila, mengaji. Kerana di situlah tempat berlangsungnya program Minggu Sekalung Budi anjuran Desasiswa Indah Kembara dan dilaksanakan para penghuninya.

Kami tinggalkan pejabat desa yang sudah agak lengang, kerana ramai juga yang sudah meninggalkan kampus sehabis peperiksaan. Singgah seketika di Jabatan Keselamatan yang letaknya betul-betul di depan desa lama saya, Desasiswa Aman Damai. Tempat yang lebih senang kami panggil 'Bukit Aman', kerana kedudukannya sedikit di atas bukit. Sesuai pula dengan tugas para stafnya yang menjaga keselamatan kampus dan warganya. Tempat yang pernah saya kunjungi membuat laporan kehilangan telefon bimbit berkamera saya di pertengahan tahun 2005 yang lalu.

Perancangan kami hari itu, termasuklah mengunjungi Perpustakaan Hamzah Sendut 1 menghantar buku. Saya hulurkan kepada abang yang bertugas di kaunter pinjaman 4 buah buku yang telah lebih seminggu saya pinjam. Naskhah kesayangan yang telah saya pulangkan itu ialah Tafsir bi Ar-Ra'yi karya Dr Nashruddin Baidan, Tata-tertib Pengajian Al-Quran oleh Imam An-Nawawi, Nyanyi Sunyi Seorang Bisu dan Larasati buah tangan Pramoedya Ananta Toer. Di situlah tempat selalu saya bersunyi-sunyi seorang diri membaca karya sastera. Asyik, dan sampai lenguh-lenguh berdiri melewati rak-rak yang dipenuhi buku-buku.

Juga, kami ke Jabatan Bendahari melangsaikan bayaran yuran konvokesyen. Jumpa bekas teman sekuliah saya waktu ambil subjek bahasa Inggeris dulu. Lama sungguh tidak bertemu. Boleh pula saya bertanya, "Kau pun dah habis jugak la kan?", walhal saya terlupakan resit di tangannya seperti yang ada di tangan saya & kami berdua sama-sama ketawa setelah dia tunjukkan resit yang sama kepada saya. Mira, saya mengingat-ingat semula namanya sesudah saya seperti terlupa kerana lama benar tidak bersua. Kawan sekelas kami juga, Ayu, sedang menunggunya di kereta. Ramai juga yang datang melangsaikan bayaran membuatkan lama juga kami perlu menunggu.

Kami singgah juga di tempat yang selalu menjadi kunjungan saya, Kedai Mahasiswa. Saya memang betul-betul mahu membeli naskhah La Tahzan yang telah sekian lama saya idamkan. Sayangnya buku besar buah tangan Dr Aidh Abdullah Al-Qarni itu, semuanya telah habis dibeli orang termasuklah senaskhah idaman saya yang berkulit keras. Saya menyesal bukan kepalang kerana tidak menyambarnya awal-awal. Rupa-rupanya, buku motivasi berkulit kuning itu turut menjadi kegilaan orang lain sejak sekian lama. Kami juga ke kedai fotostat di Sungai 2 membuat salinan fotokopi untuk beberapa bahan yang saya perlukan.

28 April 2006, [Jumaat] merupakan hari terakhir saya di kampus Minden & kami meneruskan lagi beberapa urusan yang perlu segera diselesaikan sebelum saya berangkat balik. Sebelumnya, telah saya pinjamkan dari seorang teman sekuliah saya sebuah kamera digital buat saya berfoto habis-habisan esoknya sebelum balik kampung. Jumaat itu, memang kami berkeliling universiti sekali lagi. Kali ini, sampai ke puncak bukit di Jabatan Canselori. Kami bergambar sakan juga di atas kerusi batu di depan Jabatan Canselori, kawasan permai yang mengadap laut luas dan dari atas bukit ini jelas kelihatan jambatan panjang Pulau Pinang. Jambatan panjang yang penuh kenangan. Jambatan yang selalu saya sebutkan dalam sms saya kepada teman-teman ketika saya mula berkelana.

Sempat juga kami merakam gambar kenangan di Pusat Bahasa dan Terjemahan. Tidak ketinggalan di pejabat pos tempat saya poskan supucuk surat terakhir hari itu. Di sebelah Jabatan Canselori itulah juga letaknya Unit Penyelidikan Ilmu Falak dan Sains Atmosfera yang juga menjadi lokasi kami bergambar hari itu. Lebih menarik lagi, lokasi penggambaran kami hari itu juga termasuklah di surau Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan & Perancangan. Itulah pertama kali saya singgah di surau tua yang berdiri teguh dengan senibina dan ukiran tradisi Melayu itu.

Sesi terakhir penggambaran kami hari itu ialah di pusat pengajian yang menyimpan jutaan kenangan di hati saya, pusat pengajian yang telah tiga tahun mengajar, mendidik dan mendewasakan saya - Pusat Pengajian Seni. Sempat juga saya merenung sayu ke permatang pelajar yang menjadi laluan ribuan siswa dan siswi. Permatang yang redup dan teduh dengan dipayungi pohon-pohon rendang itu, selepas ini akan tinggal menjadi kenanganlah saja buat mengubat rindu kami pelajar-pelajar tahun akhir ini. Permatang yang hanya dikhaskan untuk pejalan kaki saja itu, dihiasi di tengahnya dengan sebuah replika besar hasil tangan A. Latiff Mohidin - penyair dan pelukis besar tanah air, yang letaknya betul-betul di hadapan pusat pengajian kesayangan saya ini. Gambar kenangan kami ini sempat juga kami rakam di sisi beberapa buah lukisan teman-teman saya di tahun akhir yang terletak di bahagian dalam, di ruang pameran dan juga di dalam Balai Pesiban Agung. Balai yang mempunyai ruang sederhana ini juga menyimpan terlalu banyak kenangan di hati saya.

Di balai itulah juga, pernah berlangsung kuliah pengajian saya dan juga segala macam program yang pernah saya hadiri. Terimbau kembali waktu saya mendeklamasi puisi di situ disaksikan Permaisuri Agong dan juga Tun Dr Mahathir Mohamad. Deklamasi puisi istimewa sempena penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat kepada Tun Dr Mahathir. Tempat berlangsungnya segala macam pameran lukisan, dari dalam dan luar negara. Tempat yang memang, akan terpahat kukuh dalam kenangan.

Sebelum solat Jumaat hari itu, kami sempat berpacu ke Terminal Bas Ekspres Sungai Nibong menempah tiket balik saya pada malam nanti. Waktu berangkat terasa semakin dekat. Dan kami sempat juga membungkus nasi murah Mak Teh untuk bungkusan terakhir dan kami santap sama-sama di bilik. Saya terlena keletihan sehabis solat Jumaat. Menyambung kerja-kerja mengemas barang-barang sesudah terjaga pada petangnya.

Makan malam terakhir saya di kampus Minden hari itu ialah di tempat makan yang selalu menjadi kunjungan kami. Iaitu tempat yang lebih selesa di bibir kami dengan panggilan Pusat Racun, kerana dulunya kawasan makan itu letaknya betul-betul di depan Pusat Racun Negara yang kini telah berpindah ke sebelah Pusat Pengajian Sains Farmasi. Saya suapkan nasi lemak telur saya senja itu lambat-lambat, perlahan-lahan sambil-sambil menunggu semangkuk ABC dicampur bauran hati sayu dan pilu. Saya perhatikan sungguh-sungguh halaman yang selalu menjadi kunjungan saya tiga tahun ini. ABC dan nasi lemaknyalah yang selalu membawa saya ke mari.

Lan dan Pien pun ada bersama menemani dan paling syahdu kata Lan, "Man, tengok puas-puas," serta lebih sayu lagi yang dilafaz Pien, "Malam ni, sunyilah bilik 205 dengan hilai tawa." Bilik 205 memang tidak akan luput dalam ingatan saya. Bilik yang memang paling banyak kenangan. Bilik yang telah membuahkan segala macam ilham. Bilik yang telah melahirkan seorang anak muda lara yang bergelar graduan. Di bilik 205 itulah, malamnya saya tinggalkan Pien keseorangan tanpa diriuhkan lagi jenaka saya yang macam-macam.

Senja di gerai makan hari itu, menjadi senja yang paling sayu buat saya kerana malam nanti, bumi Minden yang penuh kenangan itu bakal saya tinggalkan. Malamnya, dibantu Pien dan teman-teman lain, kami punggahkan kotak CPU dan monitor komputer peribadi saya ke kereta proton Wira Saiful yang sedang menunggu berserta dua buah beg besar berisi barang juga pakaian dan bersama saya juga, sebuah beg yang saya galas di bahu dengan sebuah topi keledar di tangan.

Bersama Saiful malam itu, saya juga ikut ditemani Pien, Khairul dan Nusi - menghantar saya ke Terminal Bas Sungai Nibong. Sejam menunggu, barulah saya tahu bas yang bakal saya naiki akan sampai lebih kurang sejam lagi. Dan teman-teman yang mengiringi pun terpaksa berangkat pergi. Malam itu saya pulang seorang dan di hati, sayu bukan kepalang. Lebih kurang jam 11.30 malam juga, barulah saya bergerak meninggalkan tanah penuh kenangan Pulau Mutiara. Di atas jambatan, saya melepas pandang ke laut lepas dengan kesayuan yang paling dalam di kalbu.

Saya melihat jauh ke tanah pulau yang masih disinari lampu-lampu malam yang terang cemerlang. Sayu di hati bukan kepalang. Selamat jalan Pulau Pinang. Selamat tinggal kampus Minden. Selamat tinggal Desasiswa Indah Kembara. Selamat tinggal Universiti Sains Malaysia. Selamat tinggal Pulau Mutiara. Jauh di dasar hati, diam-diam saya memasang cita-cita akan datang lagi untuk menyambung pengajian saya di peringkat yang lebih tinggi satu hari nanti. Saya cuba untuk tidak begitu melayan kepiluan dan saya tahan genangan air mata yang seperti mahu menitis. Dan malam yang paling syahdu itu, kutinggalkan sepulau tanah rindu yang dulu, dengan hati yang paling sayu.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang, Kelantan.
12.52 pagi [Selasa], 9 Mei 2006.
11 Rabi'ul Akhir 1427 H.

10 comments:

Naj AB said...

salam maya. tahniah atas pencapaian yg mengagumkan wpun masih muda. sy org machang jg. tumpang bangga ada penulis berbakat dr machang rupanya :).

Nisah Haji Haron said...

Turut syahdu membaca entri Salman kali ini. Pun, dokumentasi ini sangat menarik dan kenangan harus disimpan sedemikian rupa. Tahniah, kerana bakal bergelar graduan. Setiap kampus kehidupan setiap mahasiswa punya sejarah dan kenangan tersendiri. Tak mungkin ditumpahkan untuk orang lain. Hanya diri yang merasa dapat merasakannya...

Semoga semakin tekal menulis.

ikhlas,
Nisah Haron

Naim said...

buku La Tahzan itu boleh didapati di Jaafar Rawas sekembalinya saudara ke negeri Tanah Sekebun Bunga. Jika di kedai buku Kunikuniya di PWTC, harganya mencecah RM60. Tapi di KB itu, serasa saya harganya RM35.00 sahaja. Saya sudah memilikinya, bagus tulisannya.

(:-Naim-:)

lutfi said...

man, selamat datang ke dunia yang sebenar...dunia yang luas dan sesuai untuk 'pengembara kata' seperti hang.

Jong said...

salam,
eh eh..sentimental salman ni rupanya.
selepas ini kenallah dunia...

Unknown said...

Salam

Selamat turun dari menara dan pulang ke lubuk.

Dari menara, semuanya nampak indah. Di menara kita belajar. Bila keluar, dunia sebenar akan mengajar. Di situlah lubuk ilmu yang sebenar...

anonymous said...

Cuma sebuah perbandingan dari pandangan mata dan pengalamanku, tidak ada komen yang bernas kali ini. Maaf. Seindah-indah USM Kampus Minden, indah lagi uITM Kampus Kota Kinabalu. Sesekali melawatlah ke sana. Aku bukan pelajar uITM...;P

lutfi said...

untuk pengetahuan, PENA dan DBP dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan dan PEN (persatuan penulis negeri sembilan) akan menganjurkan Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional 2006 pada 04-06 ogos 2006 di port dickson. penyertaan dibuka kepada semua. bayaran pendaftaran adalah sebanyak rm 30. sementara itu, sempena seminar itu, pihak penganjur juga akan menerbitkan sebuah antologi puisi yang bertemakan 'Perjuangan Bahasa Melayu'. para penulis yang ingin mengirimkan puisi bagi antologi tersebut bolehlah mengirimkan ke emel pena@streamyx.com atau juga boleh terus ke emel saya; lutfi_ishak@yahoo.com. sebarang pertanyaan sila hubungi03-21425824.

miss cloudy said...

salam perkenalan...
kali pertama sampai ke blog ni...
menarik sekali entry "Kutinggalkan sepulau tanah rindu yang dulu, dengan hati yang paling sayu....
menggamit memori saya di tanah yg sama...terkilan rasa nyer selama 3 thn di tanah itu tak pernah menjejakkan kaki ke surau tua itu..

iEn said...

Assalamualaikum.. salam perkenalan.. cantik entry :)