Wednesday, August 16, 2006

Kembali bertapa di Pulau Mutiara buat ke terakhir kalinya

Saya kembali ke sepulau tanah rindu yang dulu, dengan hati yang ada ketikanya agak berdebar-debar dicampur sayu yang serasa menyucuk-nyucuk sampai ke hujung kalbu. Di awal pagi selasa [semalam] yang begitu bahagia, jauh sebelum subuh; saya dijemput Pien di stesen bas Sungai Nibong dan kami singgah bersarapan pagi walau hari masih awal benar, di sebuah restoran mamak yang selalu juga menjadi tempat makan kami waktu masih sebagai warga kampus dulu.

Kini, kad pelajar kami sudah tamat tempoh. Kalau nak masuk ke kampus Pulau Mutiara ikut pintu Bukit Gambir yang ada sekatan, selepas jam 12 tengah malam sudah tak boleh. Saya dan Pien serta sekian ramai teman-teman yang lain sudah selesai mengambil jubah konvokesyen siang tadi. Sungguh bahagia dapat kembali bertemu teman-teman lama. Bersua muka dan berjabat mesra. Terasa benar-benar kembali seperti mahasiswa, saat makan nasi murah bersama Pien di kafe Mak Teh; saat tumpang menginap di desasiswa lama - Indah Kembara; saat menjamu selera dekat pokok mempelam di tepi jalan di Sungai Dua. Betul-betul saya rasa seperti mahasiswa semula.

Kini, saat saya menaipkan kemaskini terbaru yang istimewa ini - saya guna lap top kawan yang masih belum habis belajar. Saya sedang duduk di kerusi belajar di desasiswa lama ditemani kipas di siling yang ligat berpusing di saat kampus sudah agak sunyi. Cuma, ada seketika yang melintas di luar bilik sambil bernyanyi-nyanyi. Terasa benar seperti seorang mahasiswa. Rasa macam sedang menaip tugasan di saat tengah-tengah malam begini mengadap komputer. Esok dan lusa, saya akan meneruskan pertapaan di sini untuk dua tiga hari lagi. Izinkan saya menjadi mahasiswa semula buat kali terakhir sebelum saya balik bertapa ke Padang Raja.

Esok, kami [saya dan Pien] akan kembali bersarapan pagi di kafe Mak Teh yang murah. Kalau boleh, saya mahu kembali ke perpustakaan menatap buku-buku kegemaran. Buat kesekian kalinya, izinkan saya bertapa sebagai seorang mahasiswa tua di kampus tercinta. Saya minta, sekadar beberapa hari saja - sebelum saya balik meneruskan pertapaan di Padang Raja mengadap bonda.

Beberapa hari di sini, ada acara besar yang mesti saya hadiri, tentu sekali. Jadualnya, ini;

18 Ogos 2006, Jumaat (sesi malam) - raptai majlis istiadat konvokesyen keesokannya.

19 Ogos 2006, Sabtu (sesi petang) - saya akan berada di Dewan Tuanku Syed Putra
[DTSP], menerima Ijazah Sarjana Muda
Sastera (Kepujian) Universiti Sains Malaysia (USM)
daripada Tan Sri Ghazali Ismail.

Tahniah juga buat teman-teman penulis yang berijazah dan bergelar graduan tahun ini;

10 Ogos 2006, Khamis - Mohd Dahri Zakaria & Raihaini Mohd Saaid,
Universiti Malaya (UM).

12 Ogos 2006, Sabtu - Nisah Haron, Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM).

13 Ogos 2006, Ahad - Ummu Hani Abu Hassan, Universiti Malaya
(UM).

September 2006 - Siti Hajar Mohd Zaki, Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tahniah buat semua teman-teman seperjuangan, moga terus gigih berkarya sesudah bergelar graduan. Untuk sesi sastera seterusnya, selepas bertemu di Hotel Le Paris @ Costa Rica, Port Dickson baru-baru ini; kita bertemu lagi 25 Ogos 2006 (Jumaat) nanti di Hotel Perdana, Kota Bharu dalam program Akademi Sastera Siber. Kepada teman-teman penyair siber, jumpa di sana.



Salman Sulaiman
Bilik 109, Desasiswa Indah Kembara,
Kampus Pulau Mutiara, Pulau Pinang.
1.24 pagi, 16 Ogos 2006 [Rabu].

6 comments:

wahyu budewa rendra said...

sdr salman,terima kasih menitip pesan di blog saya. dan Tahniah untukmu atas kejayaan memperolehi ijazah. semoga terus sukses!

Salman Sulaiman said...

Rendra, sama-sama ya. Moga kita boleh ketemu lagi dalam wacana-wacana sastera yang lain pula di masa depan. Terima kasih.

Salman Sulaiman said...

Rendra, sama-sama ya. Moga kita boleh ketemu lagi dalam wacana-wacana sastera yang lain pula di masa depan. Terima kasih.

rozais al-anamy said...

salam, t/k krn sudi menziarahi "manusia antara langit & bumi".
Tahniah krn berjaya bergelar siswazah!

wan a. rafar said...

Sdr Salman,
Tahniah! Semoga akan lebih ghairah lagi berkarya.

annyss said...

Sekalung tahniah kerana telah bergelar graduan. Marilah sama-sama terus semarakkan dunia kesusasteraan tanpa mengira apa jenis ijazah yang kita pegang, demi kelangsungan bangsa, agama dan tanah air.

ikhlas,
Nisah Haron