Saturday, June 18, 2005

Sasterawan Muda Berhimpun di Penghujung Asia - Edisi Dua

Tiba di Kukup Golf Resort agak lewat, terlepas daripada jadual asal yang telah ditetapkan pihak penganjur. Terus saja kami melangkah ke dewan taklimat, saya dan Norzailani memilih kerusi paling hadapan takut-takut kami tertidur pula kalau duduk di belakang - maklum saja dengan tubuh letih lesu mengharungi perjalanan panjang ke Pontian. Dari KL ke Pontian, jauhnya hampir-hampir mencecah perjalanan Machang ke Kuala Lumpur sebelumnya. Fuh, jauh berjalan lenguh lutut - seperti diungkapkan dalam peribahasa versi budak-budak.

Semasa berucap dengan beberapa pemberitahuan penting kepada para peserta, En. Saleeh Rahamad sempat pula menyebut tentang sebab-sebab kelewatan para peserta tiba di Kukup Golf Resort hari itu dengan menambah, "Bas rosaklah, apalah." Dapat juga saya rasakan, tiada lain sindiran tajam itu rupanya untuk kami berempat - saya, Norzailani, Rozais Al-Anamy dan Zanazanzaly. Kerana dek kelewatan kamilah, perjalanan peserta yang lain juga ikut tertangguh. Maaf ya, kami ni bukannya berpacu sendiri, sekadar menumpang ke mari. Maaf, sekali lagi.

Usai taklimat, terus saja dengan penuh kepenatan kami mendengar ucapan oleh beberapa pembentang dalam sidang pertama hari itu di bawah judul - Idealisme & Gerakan Penulis Muda Serantau yang dibicarakan oleh Shamsudin Othman (Malaysia), Viddy AD Daery (Indonesia), Zefri Ariff (Brunei) dan Abd Razak Panaemale dari Selatan Thailand yang berpengerusikan En. Rusdi Abdul Rahman - wakil DBP Wilayah Selatan.

Jam enam lebih hari pertama, sehabis sesi awal siang itu; selesai melapor diri dan mendaftar penginapan dan kumpulan, saya sempat melihat kelibat sifu - Faisal Tehrani bersama teman sekuliah MPR tahun 2000 - Khairul Nizam Abdul Raub. Saya menghulur salam, lama benar kami tak jumpa sebetulnya.

Melihat saya berambut pendek tanpa kumis dan janggut, Faisal Tehrani menegur, - "Kau masuk kadet eh?". Saya membalas, "Isk, tak adalah." Sempat juga saya duduk di sebelahnya dan dia dua tiga kali melurut belakang saya, lantas saya seperti meminta, "Hah eloklah, biar masuk berkat banyak-banyak," seingat saya, lebih kurang begitulah bunyinya pinta saya.

Malam - majlis perasmian PPMN 2005. Saya tak berkesempatan memilih meja makan di bahagian dalam dewan. Kami sekadar menjamu selera di luar, melilau-lilau sekejap melihat apa yang dipersembahkan di atas pentas di bahagian dalam. Kak Ritah Yahya (Pen. Editor Tunas Cipta) minta duduk di meja kami, sebelah saya. Sempat juga saya tanyakan tentang puisi yang saya hantar ke Tunas Cipta. Katanya, sudah diserahkan kepada Ketua Editor. Sportingnya Kak Ritah kali ini, dia datang sebagai peserta - bukan selaku pembentang atau urusetia. Jawatannya di DBP itu, saya kira disimpan seketika dua tiga hari ini di dalam saku. Atau disangkut buat sementara di meja kerjanya di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Majlis malam itu bertele-tele juga dengan macam-macam tarian. Saya ke tepi kolam yang dihias pancutan air yang cantik - berbicara dengan Jimadie dan teman-teman yang lain di Gerak Sastera, Mohd Zainuddin dan Kamaludin Tahir. Siti Arina Razali datang ikut serta. Gadis dari Pasir Mas ini ikut menyumbangkan empat buah puisinya dalam antologi selenggaraan teman-teman saya di Gerak Sastera - Bayi Kota Berahi. Dia juga merupakan penuntut di UIA. "Elok sangatlah," saya berkata di dalam hati, menambah koleksi penulis dari UIA yang sedia ada. Bangga juga, sebab sudah dua orang dari Kelantan - dia dan Nasriah Abdul Salam atau lebih dikenali dengan Nasa Natrah sebelumnya. Yang lain terdahulu, tentu saja - Siti Hajar Mohd Zaki, Ghafirah Idris dan Huda Said. Juga sahabat MPR saya Wan Nor Al-Tasnim Saad (hati-hati, penulis ini dari kaum Adam, bukan perempuan, saya sekadar mengingatkan, kerana mula-mula saya sendiri menyangka dia perempuan). Atau saja ramai lagi yang lain dari UIA, tapi saya saja yang kurang mengetahui.

Diikuti pula dengan persembahan para peserta, tapi saya tidak ikut sama - sekadar mendengar-dengar saja. Saya tidak terus balik kemudiannya, diajak berbual oleh Ria Asmira. Penulis yang ini pun lelaki juga. Seingat saya ramai juga penulis lelaki yang memakai nama pena seperti perempuan. Entah mengapa, saya pun tak tahu, cuba-cubalah tanyakan mereka sendiri. Itupun kalau-kalau mereka mahu memberitahu.

Mulanya, saya ditempatkan di banglo, tinggal berenam sebilik bersama anak didik Cikgu Shamsudin Othman. Kebetulan, Nazim Mohd Subari berseorang di Villa. Saya bersama WB Rendra berpindah malam itu juga ke biliknya yang nampaknya lebih selesa. Elok juga, kami tinggal bertiga - saya, WB Rendra dan Nazim Mohd Subari. Kami ini sama-sama menulis puisi, rasanya lebih serasi. Nazim, pertama kali saya kenali di alam maya. Sebelum ini, sekadar sempat dikenal di alam pena. Lebih cantik, Rendra adalah kenalan lama saya di Bengkel KEPEZI 2002. Lama sungguh tak jumpa, banyaklah yang keluar dimulut untuk dibicara.

Esoknya, hari kedua di PPMN 2005 - sabtu, 4 Jun 2005. Sidang sebelah pagi berjalan lancar dengan Ucap Utama oleh Datuk Baha Zain yang dipengerusikan oleh Dr Gunawan Mahmood. Dibahas pula kemudiannya oleh Prof Madya Zainal Abidin Borhan, Sdr Mohamad Saleeh Rahamad dan Sdr Jaafar Rahim.

Sidang "Gerakan & Masa Depan Penulis Muda" berlangsung dalam dua sesi berlainan. Saya bersama Faisal Tehrani dan Khairul Nizam memutuskan mendengar sesi yang disertai Jimadie sebagai pemakalah. Nak dengar juga, apa yang bakal dibebelkan oleh teman saya ini. Saya memandang ke sebelah, Faisal Tehrani yang tadinya membelek buku, khusyuk mendengar pembentangan Jimadie, lantas menutup buku. Mahu juga dia tahu, apa yang bakal dibebelkan oleh anak muridnya itu.

Sesi itu menjadi gamat dengan kenyataan Jimadie yang penuh kontroversi. Di belakang, Kak Azah dari Utusan beristighfar panjang,"Mengucap," katanya, "ingat Tuhan." Faisal Tehrani bangun, keluar meninggalkan dewan pembentangan. Khairul Nizam sempat mencuit saya untuk ikut serta beredar. Tapi, saya kekal duduk juga. Tetap keras kepala untuk terus mendengar apa lagi yang akan 'dilalutkan' Jimadie. Kontroversi ini kemudiannya terus berlarutan sampai ke gerai makan di bucu DBP KL, selepas kami pulang dari Pontian - bising dibicarakan oleh teman-teman wartawan dan para pegawai Dewan, Dewan Bahasa & Pustaka maksud saya.

Bersama Jimadie, yang ikut membentang ialah Mohd Hanafi Ibrahim, Dr Hashim Ismail dan Amirudin Ali - dipengerusikan Hasni Abas dari DBP. Soalan saya untuk Jimadie kemudiannya, tidak dibenarkan untuk dijawab oleh Hasni. Saya sudah lupa tentang sekatan awalnya supaya hal agama dibicarakan oleh yang pakar sahaja, kerana ghairah saya untuk mengetahui apa hujah Jimadie untuk kenyataan beraninya itu.

Petangnya, berpacu dengan kereta bersama Nazim Mohd Subari dan WB Rendra - kami mendahului ketibaan para peserta yang lain di Tanjung Piai - bertemu di hujung benua. Kedatangan para peserta di sini diiktiraf oleh pihak Taman Negara Johor dengan senaskhah sijil penghargaan, kerana tanjung ini merupakan tanjung paling hujung di benua Asia.

Kami dibahagi mengikut kumpulan untuk merentas denai bakau bertiti jambatan kayu menapak ke hujung benua. Saya di kumpulan kuning, berfasilitatorkan seorang kakak yang boleh tahan juga peramahnya - merupakan pekerja taman negara dan pemandu kami petang itu, ke penghujung benua. Macam-macam jenaka pula mengiringi perjalanan kami ke hujung benua petang itu. Ditambah dengan business card dari buku catatan saya terbang ke sarang tembakul di jeti berhadapan Pulau Karimun. Sempat pula si kakak penunjuk jalan berjenaka,"Awak bagi kad kat ikan tembakul ?" Lebih riuh ketawa para peserta dengan gelagat saya dengan peristiwa 'kad untuk ikan tembakul'.

Ditambah jenaka dan bermacam-macam soalan para peserta, kami kumpulan terakhir mengakhiri sesi di Tanjung Piai hari itu. Saya sudah ditinggal pulang oleh WB Rendra dan Nazim. Walhal, saya tak membawa apa-apa untuk jamuan makan malam nanti. Kerana kami bercadang untuk kembali ke Kukup Golf Resort sehabis berkelana di hujung benua. Dengan t-shirt rasmi perhimpunan, saya menjamah juadah malam itu diiring tarian dan persembahan bersama Nimoiz, Siti Hajar Mohd Zaki, Hanisah Othman dan Nasa Natrah yang duduk semeja - mengadap laut luas, melepas pandang yang begitu nostalgik ke Pulau Temasik yang penuh warna-warni.

Hari ketiga di PPMN 2005, serasa saat berpisah makin terasa.

Bersambung ....


Salman Sulaiman
Akidjaya Computer Centre, Machang.
6.03 petang - 18 Jun 2005 / 11 Jamadil Awal 1426H, Sabtu.

No comments: