Friday, June 10, 2005

Berbangsal khemah berkenduri 'bekwah' ....

1 Jun 2005 - Rabu. Khemah kenduri di halaman rumah mak saudara saya sudah tegak berdiri tak beratap. Kami mengusung atap dan petangnya turun hujan lebat. Saya meninjau-ninjau ke bawah bangsal kenduri - alhamdulillah, tiada atap yang bocor. Khamis esoknya, sepupu sebelah rumah saya terlebih dahulu menyambut raja sehari. Mendahului mak saudara saya yang bakal menumbangkan dua ekor lembu sabtu kemudiannya. Sepupu sebelah rumah ini lebih senang menempah gulai kenduri dengan tukang masak kampung sebelah. Di pagi khamis itu juga, Hafiz menjemput saya untuk ikut serta dalam majlis akad nikah kakaknya di Masjid Kampung Bukit Tiu, Machang. Anak sepupu saya yang sulung ini bakal bersuamikan seorang lelaki yang menetap tidak berapa jauh dari kampung kami.

Khabarnya, selesai kahwin dia akan terus diterbangkan ke Sabah tempat suaminya bertugas. Hanya beberapa orang ahli keluarga terdekat sahaja yang hadir dalam majlis akad nikah itu. Bersongkok dan berseluar hitam, bercapal dan berbaju Melayu merah tua - saya bersila beberapa hasta saja daripada imam yang bakal mengijab kabulkan anak sepupu saya ini.

Sehabis khutbah nikah oleh imam dan sedikit praktis lafaz akad oleh si pengantin lelaki, tepat jam 11.26 pagi; mereka berdua sah sebagai laki bini - suami isteri. Petangnya, tetamu hadir menjamah santapan dalam jamuan berselerak. Taklah penat sangat kami mengangkut makanan dan hidangan. Cumanya, sakit juga pinggang saya membasuh pinggan.

Pengantin bergaya dengan pelbagai posisi di 'ngajangan' sambil para tetamu yang di dalam rumah dan yang di luar rumah jenuh memerhati. Puding berkuah susu sempat juga menjadi juadah saya hari itu dicampur nasi gulai dan ayam goreng ditambah tembikai dan acar timun batang - dan beberapa gelas air sirap juga udang goreng.

Malamnya, ketika riuh rendah rumah pengantin membuka hadiah istimewa para tetamu - saya menyusur jalan berhampiran halaman rumah pengantin ke stesen bas Machang untuk meneruskan keberangkatan ke Kuala Lumpur dan kemudiannya ke Pontian selama tiga empat hari. Berkampung bersama penulis muda Malaysia dalam Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005 di sana. Tidak merasalah saya gulai dua ekor lembu yang bakal tumbang di rumah mak saudara sabtu kemudiannya. Saya terpaksa mengorbankan gulai 'bekwah' di rumah mak saudara semata-mata untuk bergulai 'bekwah' bersama penulis muda Malaysia di Pontian, Johor - buat meneruskan perjuangan seni yang saya pikul selama ini. Untuk menjadi jantan yang lebih berani menggalas puisi.


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
2.44 pagi - Jumaat, 10 Jun 2005 / 3 Jamadil Awal 1426H.

No comments: