Saya menekan loceng bilik penginapan Mohd Dahri Zakaria di Hotel Perdana, Kota Bharu hampir jam satu tengah hari, jumaat lalu - 10 Jun 2005; tapi tak berjawab. Menghubunginya ke talian telefon bimbit juga, gagal. Pesan sms saya juga langsung tak berjawab. Dari berkasut, saya menukar capal - untuk lebih selamat ke masjid bersolat jumaat. Saya tinggalkan beg dan kasut di kaunter pendaftaran hotel kepada cik adik manis yang bertugas - berlenggang keseorangan ke Masjid Muhammadi untuk menunaikan solat jumaat.
Dua puluh minit juga, dari Hotel Perdana ke Masjid Muhammadi berjalan kaki. Sehabis solat dengan lafaz merdu bacaan al-Quran oleh imamnya, saya sempat melihat kelibat seorang teman sekampus dari Pasir Mas yang ikut solat di situ. Saya mengundangnya ke majlis kami petang dan malam nanti - sayangnya, dia perlu menjaga ibu yang sakit di hospital. Saya berjalan kaki lagi, kembali ke Hotel Perdana selepas meneguk segelas milo di gerai di hadapan masjid.
Dari bercapal, saya kembali berkasut. Kelibat Dinsman melintas dan kami bersalaman. Empat sosok tubuh kelihatan di meja makan, saya menarik kerusi dan duduk di sebelah SN Bapak Samad Said. Bersamanya - SN Dr S. Othman Kelantan, Zanazanzaly dan Rozais Al-Anamy. Kami bertiga menemankan dua orang Sasterawan Negara ini menjamu selera; Pak Samad berjuadahkan mi goreng dan Pak Othman dengan nasi goreng.
Zana, Rozais dan Pak Othman beredar terlebih dahulu ke Dewan Bunga Tanjung meninggalkan saya berseorangan menemankan Pak Samad menghabiskan juadahnya petang itu. Nimoiz TY datang menjemput. Saya bersama Pak Samad ke biliknya di aras dua mengambil bahan pembentangan. Majlis petang itu dipengerusikan oleh penggerak kuat e-Sastera.com, Mohd Dahri Zakaria.
Majlis dimulakan dengan ucapan oleh pengasas e-Sastera.com - Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas, diikuti dengan ucapan perasmian dan pelancaran buku yang dibicarakan petang itu oleh YB En. Abdul Patah Haji Mahmood - Exco Kerajaan Negeri.
Majlis diskusi novel 'Hostel : Debaran Kedua' dipengerusikan oleh Abdul Hadi Yusoff dari Persatuan Penulis Kelantan (PPK) yang menampilkan SN Dr. S. Othman Kelantan sebagai ahli panel bersama Dr Victor A Pogadev dari Universiti Malaya. Peruntukan masa lima belas minit tentunya tidak mencukupi kepada setiap ahli panel. SN Dr Othman tidak berpuas hati dengan masa yang yang diberikan kepada beliau unytuk bercakap, katanya,"Kuliah saya selalunya tiga jam tanpa henti, nak cakap apa dalam masa lima belas minit."
Kami memberikan tepukan gemuruh dengan kenyataannya sebagai seorang Sasterawan Negara terhadap novel 'Hostel : Debaran Kedua'. Katanya tentang novel itu, "Antara novel terbaik di alam Melayu yang pernah saya baca." Berkerut dahi juga saya menangkap bicara Dr Victor, tapi kemampuannya berbahasa Melayu sudah cukup mengagumkan khalayak yang hadir petang itu.
Bicara tentang antologi cerpen lima penulis muda e-Sastera - Amiza Khusyri, Fahd Razy, Ghafirah Idris, Ida Munira dan Nimoiz TY disampaikan oleh SN Pak Samad Said yang hanya sempat menyebut tentang tiga penulis; Ghafirah, Ida Munira dan Nimoiz dan pembentang kedua, Mohammad Daud Mohammad dari DBP KL menghabiskan menyebut tentang dua yang lain. Kebetulan mereka berdua tidak hadir - Amiza Khusyri dan Fahd Razy. Fahd Razy merupakan teman sekuliah MPR saya pada sesi 2000 yang lalu yang pada majlis itu khabarnya sedang dalam penerbangan dari Dublin untuk pulang ke tanah air.
Dari PPMN 2005 di Pontian, Johor lagi, saya begitu berharap menemuinya - sayangnya di Kota Bharu juga dia tidak dapat hadir. Kerana dia merupakan teman MPR 2000 yang sudah lama saya tidak bersua muka. Tambahan pula, di MPR 2000 kami tidur sebilik dan sampai ke tengah malam buta Fahd Razy mendengar saya membebel tentang sastera. Macam-macam soalan yang dia ajukan pada saya. Saya menyangkakan anak ini takkan ke mana-mana dalam dunia sastera kerana waktu di MPR 2000, dia baru di tingkatan empat. Rupa-rupanya soalannya yang macam-macam dan bebelan saya tidak hanya sekadar soalan untuk mengisi perbualan dan bebelan yang sia-sia. Dia telah membuktikan dengan antologi cerpen Salju Jabal Musa, bahawa dia ke MPR memang untuk menjadi penulis. Teruskan lestari langkahmu Fahd Razy. Aku menantimu di jeti untuk kita sama-sama berlayar di lautan sastera. Untuk kita sama-sama mengembalikan kemeriahan MPR 2000, membangkitkan semangat pesertanya agar terus giat berkarya - memugar kata di cakerawala makna.
Sesi dialog diceriakan oleh 'sajenis' popular e-Sastera - Saudara Anbakri dan beberapa peserta menimbulkan beberapa hal yang menarik untuk dikongsi. Anbakri, cakap dan tutur bicaranya banyak diungkapkan dalam bahasa puisi dengan gaya santai dan menghiburkan.
Hampir jam tujuh malam, kami dibawa dengan kereta kerajaan negeri ke rumah Anbakri di Bunut Payung untuk majlis istimewa buat Dr Irwan Abu Bakar sempena ulang tahun perkahwinanya dengan Cikgu Hasimah. Sayangnya Cikgu Hasimah tidak ada bersama kami petang itu. Nasa Natrah menempah kek berwarna merah yang istimewa untuk majlis kami petang itu. Teratak istimewa Anbakri dengan sejuk nyaman udaranya menyambut kedatangan kami, para penyair alam siber. Sudah lama benar saya tidak ke sini. Pertama kali saya ke teratak Anbakri ialah pada tahun 2002 yang lalu bersama Jimadie Shah Othman.
Kunjungan kedua ini memberi rasa yang cukup bermakna, jauh di lubuk hati saya. Bahawa ikatan kepenyairan antara kami di e-Sastera membawa kepada hubungan kemanusiaan yang terlalu istimewa. Saya rasa, kalau saya tidak berazam mengangkat pena untuk menjadi penulis tujuh tahun yang lalu - saya tentunya takkan dapat merasa hubungan kemanusiaan yang terlalu istimewa ini.
Hubungan kemanusiaan antara kami di alam pena di dunia siber bukan sekadar berakhir di internet, tapi berlanjutan ke dunia realiti. Ya, hubungan kemanusiaan ini menguatkan lagi semangat saya untuk terus berjuang dengan mata pena - menegakkan agama Tuhan di muka bumi ini. Keakraban ini membuktikan bahawa kami bukan sekadar menulis untuk dibaca orang, tetapi kami menulis terlebih dahulu untuk diri sendiri - kami menjalin hubungan kemanusiaan yang terlalu tinggi nilainya di sisi Allah dan barulah kami menulis tentang kamanusiaan untuk orang lain pula.
Terima kasih saya buat warga e-Sastera yang masih sudi mengundang saya - terutama Sdr Dahri dan Dr Irwan. Walhal, nama dan karya saya sudah hampir genap dua tahun tidak muncul-muncul di laman e-Sastera.com. Tapi, warganya masih tidak melupakan saya. Terima kasih atas rasa kemanusiaan kalian yang tinggi buat saya. Saya rasa sudah sampai masanya untuk saya hentikan 'mogok seni' saya di e-Sastera setelah hampir dua tahun saya menyepi. Rindu rasanya untuk kembali melihat nama dan tulisan saya terpampang di e-Sastera. Saya tahu, saya tidak akan ke mana kalau berlenggang berseorangan dalam sastera Malaysia. E-Sastera terlalu banyak menyimpan kenangan di hati saya, nantilah kemunculan semula saya di sana.
Kami tidak sempat berbicara panjang di ruang tamu teratak Anbakri. Lebih kurang jam tujuh tiga puluh malam, SN Pak Samad Said meminta untuk kembali beredar ke Hotel Perdana. Kami akur dengan permintaan Sasterawan Negara kesayangan kami ini. Sekali lagi kami dibawa dengan kereta kerajaan negeri. Dan kami berjanji untuk bertemu malam nanti dan saya begitu merindui suara Anbakri membaca puisi. Lama sungguh saya tidak mendengar lunak syahdu suaranya menggetar seni dengan alunan puisi.
Majlis baca puisi dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelumnya didahulukan dengan ucapan Dr Irwan Abu Bakar dan YB Abdul Patah Mahmood. Juga pelancaran laman baru e-Sastera oleh YAB Menteri Besar. Antara deklamator yang ikut membaca puisi ialah Aminuddin Mamat, Nasa Natrah, Mustafa Jusoh, Ahkarim, Airmas SZ, SN S Othman Kelantan, Abdul Hadi Yusoff, Mazidah Mohammad, Dr Victor Pogadev, Anbakri, Dinsman, Dr Irwan Abu Bakar, Wadi Leta SA dan SN Pak Samad Said. Juga teater monolog oleh anak Dr Irwan - Kablam, yang namanya cukup popular dalam novel 'Hostel : Debaran Kedua' yang diulas panjang lebar oleh SN S Othman siangnya dalam majlis diskusi novel tersebut. Peserta menjamu selera dengan santapan masakan Cina dengan iringan santapan naluri seni di pentas puisi.
Di luar dewan, karya yang didiskusi siang tadi ikut terjual berserta antologi 'Pemain Bahasa' oleh Salman Sulaiman dan 'Tali-tali' oleh Abdul Hadi Yusoff. Sesi malam tidak langsai begitu saja. Kami - saya, Nimoiz TY, Nasa Natrah, Ida Munira, Ghafirah Idris dan Ziha Jamil sempat bersidang beberapa ketika di luar bilik Dahri sebelum menyambungnya di restoran berhampiran hotel ditemani gigitan nyamuk. Pulang ke hotel kami ikut serta di meja Dr Irwan bersama Alaiffa, Ramy dan isteri, juga Dahri. Rasanya, masa semalaman yang diperuntukkan untuk penyair siber bertemu di alam maya tidak mencukupi. Kesanggupan Alaiffa datang dari Brunei menguatkan semangat kami menunggunya berceloteh tentang banyak perkara. Hampir jam empat pagi juga, baru kami bertemu bantal.
Esoknya, sabtu - saya bersama Nasa Natrah menemankan Ghafirah, Ida Munira dan Ziha Jamil berkeliling seputar kota budaya. Kami menjamu selera di Pasar Siti Khadijah. Kemudiannya menjejak warisan Melayu Kelantan di Kampung Kraftangan. Solat zohor di Masjid Muhammadi - masjid yang telah melahirkan sebuah puisi saya, 'Sufi'. Masjid yang terlalu banyak memberi makna kepada negeri Serambi Mekah.
Kami menyusur belakang masjid ke Tambatan Diraja - menunggu hujan teduh sambil memandang jauh ke seberang sungai Kelantan. Lama juga saya belajar bersabar, mengekori gadis yang berempat ini meninjau kedai kain di pasar MPKB. Macam-macam jenis batik yang cantik. Sebelumnya, kami makan petang di aras bawah Pasar MPKB. Santapan terakhir kami setelah sehari suntuk bersidang puisi - juga disertai Mohd Dahri.
Kami berpisah di stesen bas Kota Bharu hampir jam enam petang. Entah bila pula kesempatan mendatang untuk kami kembali bersidang. Ketika ingin mengakhiri catatan ini, saya teringatkan kata-kata salah seorang diantara kami dalam salah satu persidangan yang lepas, "Kita sebenarnya sedang mencipta sesuatu yang manis untuk dikenang." Kami berpisah untuk meneruskan kembara yang lain pula - kembara ke dalam diri sendiri sebagai penulis muda dan penyair siber.
Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
2.57 petang - Isnin, 13 Jun 2005/6 Jamadil Awal 1426H
Catatan Rehlah Haji 1436H – Siri 3
4 months ago
No comments:
Post a Comment