Sunday, May 29, 2005

Menggali Tanah Ini Di Bawah Kemboja Yang Lain

Bapa saudara saya, ketika hayatnya pernah bertugas sebagai penjaga kubur. Ya, kalau anda ingat - saya telah dedikasikan sebuah puisi istimewa untuknya berjudul "Pada Petang Hiba Ini", sebaik saya pulang dari menguburkan jenazahnya. Saya sebenarnya masih merinduinya. Dia buat saya macam anaknya. Maklumlah saya ini, anak jantan yang tak berayah. Lelaki inilah yang saya dapat kasih dan sayangnya seperti ayah saya sendiri. Saya lihat kasihnya pada saya melebihi kasihnya pada anak saudaranya yang lain. Itulah lebihnya pada bapa saudara saya yang seorang ini. Tapi sayangnya, dia telah lama pergi.

Semasa hayatnya juga, banyak pengalaman hidupnya yang dicelotehkan pada saya - termasuklah ketika dia menjadi penjaga kubur di makam tempat bersemadinya ayah saya. Dia bercerita tentang bungkus-bungkus mayat yang bangkit mendengarnya membaca Quran sampailah mayat itu hilang semula.

Tapi tak pernah pula dia duduk bertapa di bawah pohon kemboja di siang buta. Itu hanya tokok tambah dari saya. Pernah juga dia menemani seorang penduduk kampung bernikah dan memang dialah yang tepuk belakang lelaki itu. Dapatlah si lelaki tadi melafazkan sebutan akad nikah dengan sempurna. Tapi, tak adalah bapa saudara saya ini gali kuburnya sendiri di bawah pohon kemboja. Itu hanya tambahan dari saya untuk dijadikan cerita. Memang, saya antara salah seorang yang diamanahkan menurunkan mayat arwah bapa saudara saya ini ke liang lahad.

Saya masih membayangkan seorang lelaki berada di bawah pohon kemboja jauh di hujung kampung saya. Padahal tak ada sesiapa pun di tanah perkuburan itu. Dan saya seperti masih terasa ada bekas-bekas tanah yang masih melekat di kaki setelah saya turun ke lubang kubur memasukkan mayat arwah bapa saudara saya ke liang lahad. Walhal peristiwa saya turun ke liang kubur arwah, sudah lama berlalu. Tapi bekasnya masih terasa baru di hati.

Saya mengerjakan "Ini Tanah Kita" dengan harapan akan terus ada lelaki seperti lelaki di bawah pohon kemboja itu untuk terus mengamankan dunia daripada haru-biru dengan tadahan doanya. Dua karya yang akrab berbicara soal mati ini sebenarnya mempunyai perkaitan yang sangat rapat antara keduanya. Saya tidak berharap apa-apa ketika menulisnya. Hanya - bacalah tulisan-tulisan saya dengan hati untuk juga kemudiannya mendidik hati supaya mengingati mati dan Ilahi.

"Ini Tanah Kita" saya tulis kemudiannya, setelah timbul ilham tentang "Lelaki di Bawah Pohon Kemboja". Kedua-duanya bertitik-tolak daripada satu pertanyaan, siapa kita? Dari mana kita berasal dan ke mana kita akan dikembalikan? Kedua-duanya bakal mengingatkan kita tentang sebuah dunia lain yang bakal kita huni nanti. Kalian bacalah kedua-dua tulisan ini dengan hati. Saya tuliskan sekali lagi - dengan hati.

Saya dikejutkan seperti mimpi. Seperti lelaki di bawah pohon kemboja itu datang dalam mimpi saya, sekali lagi dia membawa dua watikah besar dari Kumpulan Utusan buat saya. Syukur tidak terhingga saya buat Allah Yang Maha Kuasa. Terima kasih Kumpulan Utusan. Terasa semakin berat beban di atas bahu dan kepala saya, untuk terus menulis dengan hati kerana Ilahi.

Kedengaran seperti lelaki dari bawah pohoh kemboja itu, membisikkan ke telinga saya, "Liang tanah ini akan mengisi jasad-jasad berani."
Ketika kelibatnya hilang entah ke mana dari mimpi saya, sayup-sayup suaranya menyucuk telinga, "Pak cik menunggumu di liang tanah ini."

Di bawah kemboja yang lain, saya sebenarnya sedang mencuba-cuba untuk menggali tanah sepertinya. Di pinggir liang tanah itulah saya akan terus menukilkan sesuatu sambil di bahu dan kepala terpikul berat beban watikah besar dari Kumpulan Utusan - yang mengharapkan saya akan terus menulis dengan hati di bawah pohon kemboja ini.


Salman Sulaiman
Tanah Kita, Tanah Padang Raja,
Machang.
2.10 petang, 29 Mei 2005 / 20 Rabi'ul Akhir 1426H - Ahad yang penuh berkat.

1 comment:

Naim said...

Ya, Lelaki di bawah pohon kemboja telah dicetak dalam Antologi Sasterawan 2005, terbitan PENA.