Monday, May 16, 2005

Belajar Daripada Seribu Guru

Sehari dua yang lepas, adik bongsu saya merungut - beg sekolahnya berat. Dia baru tingkatan satu. Saya menjamah beg di atas belakangnya, memang berat sungguh. Saya kata, ikutlah jadual belajar; bawa yang perlu sahaja. Katanya, dia sudah bawa ikut jadual belajar. Tapi, yang saya hairan, masih berat juga beg di belakangnya. Rasanya, beban seberat itu tidak padan untuk anak seumurnya.

Seingat saya, hal ini sudah heboh diperdebatkan oleh kerajaan satu waktu dulu - tapi, cuba-cubalah menggalas beg anak anda pula, kalau rasa saya berbohong. Masalah anak-anak kita membawa beg berat ke sekolah tak selesai juga. Atau, ada eloknya kalau periksa sendiri beg sekolah mereka dan susunkan untuk mereka buku mana yang perlu dibawa dan mana yang tak perlu. Mungkin ini cara terbaik.

Pernahkah kita bertanya, apa yang anak kita dapat bila ke sekolah? Apa yang mereka belajar di sekolah? Apa perasaan mereka bila berada di sekolah? Sekolah ialah sebuah dunia yang punya seragam dan hukuman. Dunia yang punya mata pelajaran yang asing dan aneh kepada anak-anak kita. Untuk memperkenalkan mata pelajaran yang aneh pada anak kita itulah perlunya seorang manusia bernama guru. Pendekatan yang digunakan oleh seorang guru amat penting untuk mengakrabkan mata pelajaran yang asing ini. Pendekatan yang berhemah oleh guru juga penting dalam membuat hukuman dan tindakan disiplin kepada anak-anak kita.

Tapi, sekolah bukan segala-galanya buat anak-anak kita. Kita tidak boleh seratus peratus berharap pada waktu di sekolah sahaja sebagai tempat mereka menuntut ilmu. Pendidikan sepatutnya bermula dari rumah bermodelkan ibu bapa sebagai contoh dan teladan yang amat wajar untuk anak-anak.

Ramai tokoh besar dunia telah membuktikan bahawa sekolah bukan segala-galanya. Sekolah bukan penentu kejayaan atau kegagalan. Pendita Za'ba pun kata, perangai manusia itu bergantung pada dirinya sendiri - bukan terletak pada orang lain. Antara tokoh-tokoh besar itu ialah Steven Spielberg, yang belajar mengenai pembuatan filem melalui eksperimen dengan kamera 8 mm bapanya. Manakala di sekolah tinggi, beliau menghabiskan banyak masa untuk membuat filem bagi mengelak daripada belajar algebra dan bahasa Perancis, kemudian beliau menyeludup masuk ke set filem untuk melihat teknik pembuatannya kerana gred sekolah tingginya terlalu rendah untuk melayakkan dia masuk sekolah filem.

Manakala Beryl Markham yang mengarang West With the Night hanya sedikit sebanyak menerima pendidikan di rumah dengan bapanya. Dan masa remajanya banyak dipenuhi dengan beberapa hal menarik seperti memburu babi jantan dengan lembing, diserang oleh singa, mendengar lagenda puak Murani, menonton tarian Kukuyu dan berperantis dengan bapanya sebagai pembiak baka kuda dan menjadi jurulatih. Itulah sedikit kisah tokoh yang tak bersekolah.

Ya, sekolah bukan segalanya. Tapi apa pun yang diberikan oleh sekolah kepada anak anda, kita tetap tidak akan dapat menafikan jasa manusia yang bernama guru. Hari ini, 16 Mei. Hari kita mengenang semula jasa guru. Dan setinggi dedikasi saya buat semua guru, sifu-sifu yang pernah mendidik saya walau hanya untuk mengenal sepatah kata atau hanya sezarah ilmu. Juga buat seluruh yang bernama guru. Selamat hari guru, terimalah salam kerdil dari anakmu, yang merindu selalu tunjuk ajarmu guru.

Hari ini juga, hari jadi adik bongsu saya - senanglah kami anak-beranak mengingatnya, hari guru. Mungkin satu hari nanti, dia akan mengilik buku menjadi cikgu - mengubat keinginan ibu saya yang ingin benar melihat ada anaknya yang menjadi cikgu. Teruslah belajar daripada seribu (baca:banyak) guru.


Salam dari anak didikmu guru,
Salman Sulaiman
Akidjaya Computer Centre, Machang.
6.24 petang - 16 Mei 2005/7 Rabi'ul Akhir 1426H - Isnin.


No comments: