Sunday, May 01, 2005

Nak Jadi Faisal Tehrani

Faisal Tehrani atau nama sebenarnya Mohd Faizal Musa. Pernah juga dia pakai nama Aidi Aidil untuk novelnya yang berjudul 'Musim Dingin Terakhir' yang diterbitkan Creative Enterprise. Lelah juga saya mencari naskhah novel itu di pasaran, tapi tak jumpa-jumpa sampai sekarang. Banyak juga koleksi novel dia yang saya ada. Yang paling istimewa, naskhah 'Perempuan Politikus Melayu' yang saya terima sendiri dari tangan penulisnya.

Teka-teki sastera di MPR 2000 yang memberi peluang saya memiliki novel itu secara percuma dari penulisnya sendiri. Dan karya Faisal yang lain yang saya ada ialah 'Cerpen-cerpen Underground' bersama Azman Hussin, 'Rahsia Ummi', 'Maaf Dari Sorga', 'Cinta Hari-hari Rusuhan', '1515', 1511(H). Novelnya yang lain yang masih belum ada dalam simpanan saya ialah 'Tunggu Teduh Dulu' yang tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia sepanjang 2003 yang lalu.

Saban tahun, akan adalah namanya sebagai pemenang hadiah sastera. Pada Minggu Penulis Remaja 2000lah juga yang mempertemukan saya dengan Faisal Tehrani buat kali pertama. Kami naik bas bersama dari DBP, KL ke Country Height Resort di Kajang, Selangor dan sempat duduk semeja sambil minum kopi di pinggir kolam sambil berbicara soal sastera.

Karyanya yang paling saya gemari ialah novel bersirinya di majalah Al-Wasilah satu ketika dulu. Tapi kini Al-Wasilah sudah berkubur dan novel Faisal dalam majalah itu ikut mati tak berpusara. Dia kemudian, menulis prakata edisi sambungan novel bersiri itu yang masih bersisa dalam majalah Tamadun pula. Belum sempat sambungan novel itu diteruskan dalam majalah Tamadun, majalah itu ikut berkubur. Kalau Faisal membaca tulisan ini, saya harap sangat dia dapat menerbitkan novel itu dalam bentuk buku pula. Saya pasti ramai pembaca yang ternanti-nantikan akhir kisah novel itu. Oh ya, novel itu berjudul 'Dongeng Kingdom of Flowers'. Sebuah kisah fantasi ala kartun.

'Cik Siti Mustika' juga merupakan sebuah cerpennya yang cukup menarik di samping banyak lagi karya-kayanya yang lain yang tidak kurang hebatnya. 'Cik Siti Mustika' mengikut penelitian saya tersiar di tiga tempat berbeza. Dalam majalah URTV, dalam sebuah akhbar tabloid terbitan Lutfi Othman yang saya sudah kurang pasti judulnya (Memo atau Cabaran) dan dalam majalah web suaraanum.com. Siaran cerpen itu dalam URTV tahun 2002 memberi kemenangan pada Faisal untuk Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2002 dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/03. Karya yang baik tetap diiktiraf walau hanya tersiar di sebuah majalah hiburan seperti URTV. Faisal telah membuktikan ini.

Kalau nak sebut tentang anugerah yang diterima oleh penulis ini, saya dah tak tahu nak kata apa lagi dah. Kalau dalam dunia hiburan, dia ni macam Siti Nurhalizalah. Terbaru, dia menerima pengiktirafan daripada MASTERA atas keprolifikannya berkarya. Untuk Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2004, saya pasti namanya akan tersenarai lagi.

Tentang dia, saya sudah berkomentar di kakiseni.com di bawah tulisannya tentang Pak Samad Said. Bacalah di sana. Tengok artikel yang lama-lama. Tulisannya pernah berkali-kali memenuhi majalah Al-Wasilah dan dia pernah jadi kolumnis di kakiseni.com, mengulas teater.

Seorang teman perempuan saya, berkali-kali membaca cerpen Faisal yang berjudul 'Cikgu Tomok' yang pernah tersiar di majalah Dewan Siswa satu ketika dulu. Saya lihat, dia minat gila-gila dengan cerpen itu. Atau cerpennya yang lain yang ikut memikat ialah 'Ceritera Si Pencuri Hati' yang pernah tersiar di Dewan Sastera. Pendek tapi bermakna. Cerpen 'Surat Untuk Gabe 1' juga ikut membawa tuah kepada Faisal. Cerpen ini pernah tersiar di majalah Karya dan diiktiraf oleh Penerbitan Utusan kemudiannya.

Pernah juga saya e-mel dan telefon dia. Tapi, sedikit catatannya di autograf saya masih tetap mengingatkan. Dia menulis begini, "Salman, rajin-rajin menulis. MPR bukan sekadar peristiwa tetapi emosi".

Ketika remaja kita tengah sibuk nak menjadi idola dan memuja idola hiburan yang sedang bercambah-cambah, penulis remaja kita ada juga yang nak jadi Faisal Tehrani. Elok juga, daripada kalian mengidolakan orang lain. Kalian jadi Faisal Tehrani sajalah dulu.


Salman Sulaiman
Akidjaya Computer Centre,
Machang, Kelantan.
11.48 pagi, 1 Mei 2005/22 Rabi'ulawal 1426H - Ahad.

3 comments:

AuRuM said...

cikgu tomok.... dewan siswa tahun 2001 kalau x silap... sy form 5 mase tuh...

Amir Mukhriz said...

kalau ader pencalonan utk Anugerah Penulis Popular (ala2 ABP), tentu Faisal antara senarai teratas.

mxypltk said...

Macamana tahu Aidi Aidil itu ialah Faisal tehrani? Boleh Sahkan?