Artikel pertama saya di EH! - Julai 2004, berjudul 'Letih Menjadi Lelaki' saya tulis dengan penuh santai, tetapi lama juga masa yang saya ambil untuk menyiapkannya. Menulis artikel di Mingguan Malaysia atau catatan di Tunas Cipta tentunya berbeza dengan menulis artikel santai di EH!.
Saya boleh menulis sejujurnya dan sesantai mungkin dalam EH!. Ruangannya saja sudah memaklumkan itu - Kata Lelaki. Dan di sebelahnya, di halaman sebelah kiri letaknya ruangan Kata Wanita. Kata Lelaki - menyuarakan apa saja dari lelaki. Lelaki boleh berkata apa saja tentang pengalamannya tentang perempuan. Seikhlas hati.Dan lawannya, boleh juga bercerita apa saja tentang lelaki, pengalamannya dengan hati lelaki. Dan, kedua-dua ruangan ini sebenarnya memberi satu kesefahaman yang adil dan saksama antara lelaki dan perempuan.
Dan yang tidak kurang menariknya, setelah tersiarnya artikel pertama saya di EH! itu, saya menerima beberapa maklum balas ke kotak e-mel saya. Panjang-panjang juga balasan yang saya terima. Rata-ratanya wanita. Ada yang menulis hampir panjangnya dengan artikel saya. Waduh-waduh. Terima kasih, kerana kesudian kalian mengarang panjang-panjang untuk saya. Itu maknanya, terkesan juga apa yang saya tulis dengan santai di EH!.
Walhal, banyak juga bahan yang saya kutip untuk artikel kecil itu. Saya campurkan dengan penulisan yang santai di dalamnya - cerita sahabat saya, masuk juga cerita saya, fakta Al-Quran, puisi dari penyair besar, lirik dendangan Tan Sri P. Ramlee, campur juga lirik permainan bahasa saya sendiri, kata-kata seorang imam dan juga kalam pujangga para bijaksana tentang ilmu memilih wanita. Itu antara beberapa isi yang saya kumpul untuk 'Letih Menjadi Lelaki'. Saya meneliti berkali-kali 'Letih Menjadi Lelaki' - dan saya kira, saya adil berkisah tanpa menyalahkan sesiapa. Cuba-cubalah membacanya semula. Saya tidak menyebelahi kaum Adam, walaupun saya lelaki. Dan jauh sekali, kalau ada yang kata saya nak jadi 'au-au' atau 'pon-pon' pula.
Dalam balasan panjang yang saya terima ada yang kata saya ni, lelaki yang kecewa dan mereka nampak saya macam putus asa. Taklah. Sebab, dengan hanya membaca tajuknya saja ramai yang boleh kata saya seperti menyalahkan takdir kerana menjadikan saya lelaki. Lailahaillallah. Tidak sama sekali. Jangan hanya melihat tulisan kepada tajuknya sahaja. Baca dulu baru tahu. Saya bukan menyesal dijadikan lelaki. Bukan juga minta dijadikan perempuan. Tidak. Saya hanya berniat ingin memancing pembaca dengan tajuk yang sedemikian. Bukan untuk memberi tafsiran yang bukan-bukan kepada takdir Tuhan. Bukan.
Begitulah selalunya saya dalam setiap tulisan, cuba memilih tajuk yang terbaik. Tapi bukan untuk menulis berbelit-belit dan membuat orang berpusing terbalik. Bukankah tajuk satu-satu tulisan itu menggambarkan isinya?
Pada saya, kecewa cinta itu lumrah biasa hidup manusia. Dan saya kira, tak salah kalau saya mencoretkan sesuatu tentangnya. Hassan Basri pun pernah dikecewakan Rabiatul Adawiyah. Saya kira tidak salah saya berkisah. Dan kerana cintalah juga, filem-filem Hindustan masih digila-gilakan, Prof. Madya Razak Mohaideen masih kekal mengarah dan Taj Mahal masih menerima kunjungan melimpah.
Tulisan ini, minta-minta menjawab semua maklum balas panjang yang saya terima di kotak e-mel saya. Kalau ada yang masih kurang berpuas hati, rujuklah sekali lagi 'Letih Menjadi Lelaki' di laman siber saya di cjb.
Sebenarnya, tidak pernah habis apa yang ada dalam kepala saya. Serasa-rasa, dua laman siber yang ada seperti tidak mencukupi. Saya sebenarnya masih di kampung ibu - ketika seorang lelaki sudah mati tertimbus telaga dan seorang lagi ditikam badik di Tanah Merah, ketika seorang pak cik sedang terlantar sakit di Kampung Melayu Subang, ketika Pulau Nias sudah tiga kali bergegar, ketika Nina sedang terkedu hiba di Banda Aceh untuk melawan arus derita bangsanya bagi melangsaikan cita-citanya menjadi doktor, ketika puak Syiah dan Ahli Sunnah masih bertelagah di Iraq, ketika hati saya masih merindui seseorang, ketika remaja Malaysia sibuk nak jadi macam-macam idola, ketika dua Mahathir sudah bertemu, ketika Siti Nurhaliza sudah membayar cukai sebanyak RM1 juta, ketika 3 orang artis Malaysia telah ditangkap kerana dadah dan ketika penganut Kristian tengah menangisi pemergian Imam Besarnya - saya masih juga di sini, cuba-cuba mencari isi dan bahan untuk menulis 'Susah Menjadi Perempuan' pula.
Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang.
2.16 petang, 17 April 2005 / 8 Rabi'ul Awal 1426 - Ahad.
Catatan Rehlah Haji 1436H – Siri 3
4 months ago
No comments:
Post a Comment