Wednesday, May 25, 2005

Tujuh Tahun Yang Lalu ....

SATU
Hari ini, tujuh tahun yang lalu - 25 Mei 1998. Saya baru selesai menduduki peperiksaan SPM dan baru saja mendapat keputusan. Saya tidak ke mana-mana. Hanya duduk di rumah menunggu panggilan menyambung belajar ke tingkatan enam. Tujuh tahun yang lalu jugalah menjadi titik permulaan perkelanaan saya ke kebun kata. Saya ketika itu, tengah asyik menatap majalah Karya terbitan Kumpulan Utusan. Kini, majalah itu sudah lama berkubur. Penulis-penulis baru, tentunya ada yang tidak sempat menatap majalah itu.


DUA
25 Mei 1998, dia ingat benar hari itu - isnin. Pekan Machang sibuk dengan Pasar Isnin dan pasar malam yang bermula selepas asar. Dia bermula dengan kosong, tidak tahu apa-apa tentang komputer. Apatah lagi untuk membaiki. Berbekalkan wang pinjaman RM30, 000, dia membuka sebuah kedai komputer yang pada mulanya hanya sebagai kelas belajar komputer kepada anak-anak sekolah. Bermula dengan solat hajat pada sebelah malamnya, diimamkan oleh imam besar masjid berdekatan - dia tidur seorang di bahagian belakang kedai dengan perasaan seperti seorang lelaki yang sudah beristeri, untuk membuka kedai pagi-pagi lagi pada keesokan hari. Dia rasa macam dia sudah berkahwin. Benarlah, kemudiannya dia rasa memang dia sudah berkahwin - berkahwin dengan perniagaan katanya.


TIGA
Ketika itu terlalu banyak kelukaan yang melanda hati saya - sama ada untuk menyambung belajar atau terus bekerja. Hati saya masih berbaur antara kelukaan hati sendiri yang teringin sangat untuk terus belajar dengan kelukaan hati ibu untuk menyara persekolahan saya. Ditambah pula dengan bebanan untuk menyara adik-adik, membuatkan saya terpaksa merelakan hati sendiri dengan tangis sedu supaya berhenti belajar. Tapi, apalah sangat yang boleh saya buat dengan sijil SPM di masa depan kalau berhenti belajar. Kelukaan demi kelukaan yang bertimpa-timpa menjadikan saya seorang manusia penyendiri yang luka. Kelukaan itulah yang membawa saya ke alam kata-kata. Meluahkannya ke atas kertas dan kemudiannya menjadi puisi pengubat jiwa. Saya pun rasa teringin benar untuk dapat menghasilkan karya seperti penulis-penulis yang tersiar tulisannya di majalah Karya. Saya pun ikut mencuba menghantar tulisan saya juga walau satu pun tak pernah tersiar.


EMPAT
Dia masih setia di kedainya, dengan hanya RM10 di dalam saku. Tanpa seorang pun pengunjung hinggalah kedai tutup. Ketika itu belum ada internet, jauh sekali telefon bimbit. Dia belanja untuk sarapan, beli sedikit barang untuk baik pulih bahagian belakang kedai. RM10 jadi RM2.50. Dia mengikat perut tanpa makan tengah hari. RM2.50 itu untuk beli nasi kepada tukang yang baik pulih bahagian belakang kedai. Nasib baik nasi yang dibeli cukup-cukup RM2.50. Kalaulah kata lebih. Habis. Itupun hanya berlauk ayam goreng. Telan air liur juga dia tengok tukang baiki kedainya makan. Tapi, itulah yang dialaminya pada hari pertama berniaga.


LIMA
Ketika itu puisi pertama saya sudah terhasil sebulan sebelumnya. Dan untuk bulan Mei, saya menulis sebuah puisi lagi. Tentunya sebuah karya yang entah apa-apa. Permulaan kepada perjalanan panjang kehidupan seorang pemain bahasa. Saya terlalu menyayangi kata-kata, siang malam saya bergelumang dengannya. Masih berbaur-baur keresahan hati saya. Sebab ada juga yang kata, belajar tingkatan enam nak kena pakai banyak duit. Buku kena beli sendiri. Makin luka jadinya hati saya, memikirkan keresahan ibu dan keinginan hati sendiri untuk belajar lagi. Tapi, kata-kata dapat juga merawat sedikit luka.


ENAM
Dalam kedai hanya ada enam buah komputer untuk kegunaan pelanggan. Dia ingat benar, pada tarikh itulah juga dia dikhianati salah seorang kawan yang berlagak nak jadi bos, mengawal itu ini sampai dipegangnya anak kunci. Sampai tak dapat dia makan tengah hari kerana tak dapat ambil duit dalam laci. Itulah hari yang paling melukakan hati. Hari yang akan diingatnya sampai mati. Hari yang terlalu banyak mengajarnya tentang hubungan insani-manusiawi.


TUJUH
Sebelah malam dalam bilik saya tanpa lampu. Kalau ingin menulis sesuatu, saya nyalakan pelita. Meniarap dalam samar-samar cahaya. Dalam suram cahaya itulah lahirnya karya-karya awal saya. Kata-kata dengan tulisan kecil di atas helaian kertas yang bergaris menjadi seperti kekasih saya. Saya menulis apa saja, puisilah yang terutama. Kata-kata seperti mempunyai keajaiban sendiri - merawat hati saya yang luka oleh seribu duga menerpa.


LAPAN
Kini, dah ada internet, dia dah pakai handset. Dia dah pandai baiki komputer. Dia dah ada pekerja. Tujuh tahun yang lalu, rupa-rupa terlalu banyak mengajarnya tentang pelbagai perkara - paling utama tentang berniaga. Tujuh tahun dulu, dia tak pernah menyangka dia akan jadi peniaga. Oh ya, Akidjaya - nama yang istimewa untuk kedainya. Akid, dari bahasa Arab yang bermaksud kuat, teguh dan nyata. Jaya itu tentunya berjaya, kejayaan dan kecemerlangan


SEMBILAN
Kini saya tak lagi menulis dalam gelap dengan cahaya pelita. Saya dah pakai komputer, menghasilkan karya dengan papan kekunci yang ditekan dengan jari-jemari. Mengirimkan karya secara online yang tiba dalam masa beberapa saat sahaja ke tangan editor. Tujuh tahun lalu, saya mengirim karya yang bertulis tangan ke meja editor. Berbasikal ke pejabat pos di pekan.


SEPULUH
Dia dan saya akhirnya dipertemukan beberapa tahun kemudiannya di sini - di Akidjaya, ketika saya menjual buku pertama saya - Pemain Bahasa. Dan dia membelinya dengan harga biasa. Saya percaya, jika kami masih terus percaya antara sesama, selagi itulah kami akan terus bersama. Dia bermula tujuh tahun yang lalu. Saya pun bermula tujuh tahun yang lalu. Itulah titik persamaan yang kami jumpa setelah sekian lama berkenalan. Titik persamaan inilah yang akan mengekalkan persahabatan kami berdua selama-lamanya, saya percaya.


SEBELAS
Tulisan ini sebenarnya sengaja untuk mengenang kembali permulaan kembara seorang pemain bahasa pada tujuh tahun yang lalu. Dan mengenang kembali hari pertama beroperasinya siber kafe Akidjaya. Sengaja, untuk mengenang kembara seorang saya dan sebuah Akidjaya, terutamanya. Ya, selamat ulang tahun ke tujuh - Akidjaya, semoga terus memahat jaya.


DUA BELAS
Rupa-rupanya, tujuh tahun yang lalu telah terlalu banyak memaknakan tujuh tahun kemudiannya - hari ini.



Salman Sulaiman
Akidjaya Computer Centre, Machang.
6.17 petang - 25 Mei 2005 / 16 Rabi'ul Akhir 1426H, Rabu yang haru.

No comments: