Saturday, May 14, 2005

Anak-anak Republik Cinta

*Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas atas keinginan dan minat saudara sekelian meneruskan kegilaan seni teater. Saya rasa cukup berbangga kerana dapat berada di hadapan anda sekelian, berkongsi sedikit pengalaman kecil saya dalam dunia seni.

Pertamanya, saya ingin menyebut satu hal yang sering dibangkitkan oleh masyarakat awam terhadap orang teater. Katanya, manusia teater ini orang yang tidak bermoral, tidak beragama dan orang yang rosak akhlak. Dan kepada anda sekelian, sebagai anak-anak Republik Cinta - anda perlu buktikan kepada masyarakat awam bahawa orang teater juga berhati budi dan berpekerti serta punya moral yang tinggi. Kita perlu mengubah tanggapan ini.

Sebenarnya kita tidak ketandusan naskhah teater yang Islamik dan penuh nilai moral Islam yang tinggi. Misalnya saja, dua naskhah dari tangan Faisal Tehrani berjudul "Misi" dan "Angin Madinah". Di Kelantan misalnya juga, kita ada Mustapa Jusoh dan Abdul Hadi Yusoff, penggiat teater yang punyai jati diri Islam yang tersendiri. Mereka muncul dalam beberapa pementasan teater yang bernafas Islam seperti teater "Tok Janggut" dan "Tok Kenali".

Saya amat berharap untuk melihat anak-anak dari Republik Cinta akan lahir sebagai penggiat teater yang berwibawa di negara ini satu hari nanti. Kita nak kena ada cita-cita supaya akan sampai masanya, grup Republik Cinta akan diterima hingga ke Istana Budaya. Kita perlu bermula dari bawah. Seniman yang berjaya bermula dari bawah, bermula dari kesengsaraan. Lihat saja Osman Ali misalnya, yang hanya bermula dengan sebuah filem underground iaitu "Bukak Api" dan kemudiannya beliau menghasilkan "Malaikat di Jendela" sebuah filem pendek yang berfalsafah tentang air lakonan Ning Baizura.

Kini, Osman Ali telah menghasilkan "Surat Untuk Bulan" dan kemudiannya diberi kepercayaan menghasilkan sebuah iklan Petronas yang selalunya diterajui Yasmin Ahmad. Iklan yang diarahkan Osman berjudul "From Madras". Ini antara anak muda seni yang berjaya.

Saya juga ingin melihat grup "Republik Cinta" mempunyai majalah sendiri satu hari nanti, juga laman web sendiri yang memaparkan perkembangan terkini Republik Cinta. Seterusnya saya ingin memberi perbandingan tentang seni di negara kita dengan perkembangan seni di tangan anak muda di Indonesia. Di Indonesia, lihat saja kepada Grup Utan Kayu misalnya yang dianggotai oleh ramai karyawan muda yang terdiri daripada pelbagai cabang seni - jurnalis, dramatis, novelis, cerpenis, penyair juga pelukis. Suara mereka amat berpengaruh di Indonesia.

Mereka boleh hidup dengan sepenuh masa berkerja di bidang seni, sebagai orang teater misalnya. Tapi, di Malaysia penulis sepenuh masa tidaklah semewah mana. Aktivis teater masih tak ke mana. Mereka hanya dinggap sebagai warga seni, yang tak berapa dihargai. Dalam seni cetak, kita ada Juhari Said misalnya. Yang mengusahakan studio cetaknya sendiri di hulu Selangor, itu pun dananya dari luar. Saya juga amat berharap, satu hari nanti Republik Cinta akan punya studio sendiri sebagai tempat grup kita bergiat dan berkarya.

Juga, beberapa ketidakpuasan saya terhadap wadah seni di Malaysia. Lihat saja majalah 'Siasah' berserta 'www.siasahonline.com', 'Al-Wasilah' dan juga 'Konsep' yang telah berkubur. Juga, kita memerlukan perhatian kerajaan dengan adanya wakil di Dewan Rakyat dan kementerian yang tersendiri untuk menjaga kebajikan seni dan para penggiatnya.

Lihat juga kejayaan anak muda teater seperti Namron dan Adlin Aman Ramli. Mereka bermula dengan teater sebelum diambil berlakon filem. Namron telah diberi kepercayaan menerajui watak utama dalam "Paloh". Dan Adlin muncul dalam "Jogho" dan "Buai Laju-laju". Dia kemudiannya diberi kepercayaan untuk memegang watak besar dalam "Puteri Gunung Ledang" sebagai Sultan. Sebelum ini, orang tidak pernah kenal siapa Adlin. Namron sebelumnya telah mementaskan beberapa naskhah teater termasuk naskhah "Mat Derih Kola Perlis" yang dibawa dengan jayanya secara solo.

Atau, saya ingin memberi contoh anak muda di tempat saya, yang kini telah berjaya. Azman Hussin, sahabat saya di Kelantan yang pernah menghasilkan antologi "Dongeng Pasca Merdeka", "Candu" dan "Apa Kau Cari". Dongeng Pasca Merdeka meraih hadiah sastera yang paling berprestij di Malaysia - Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/99. Buku ini diterbitkannya sendiri dengan modal sendiri. Tapi, seperti yang saya kata tadi - kejayaan bermula dengan kesengsaraan.

Kita kembali kepada filem. Anda jangan lupa juga untuk menonton dan menelaah beberapa naskhah yang pernah terhasil dari tangan Abbas Kiarostami dari Iran. Tsai Ming Liang dari Taiwan. Akira Kurosawa dari Jepun. Garin Gugroho dan Riri Riza dari Indonesia. Lihat saja filem "Under The Moonlight" dari Iran. "Pasir Berbisik" dan "Aku Ingin Menciummu Sekali Saja" dari Indonesia, atau "Eliana Eliana".

Dari tangan saya sendiri, akan lahir naskhah "'Ngembara ke Utopia Republik Cinta Sesudah Letih Menjadi Lelaki" yang saya kerjakan bersama Jimadie. Dan naskhah puisi saya sendiri, "Sebelum Menjadi Penakut". Naskhah "'Ngembara ..." bersama Jimadie sengaja kami memilih tema cinta dan judulnya juga sengaja dipanjangkan. Kami cuba untuk menarik khalayak pembaca remaja dengan cara begini.

Saya mengesorkan kalian membaca buku "Haramkah Muzik, Menyanyi dan Menari" - suatu analisis menurut Islam. Di dalamnya anda akan menemukan fakta yang jelas mengikut perspektif Islam terhadap seni. Telaahlah buku itu.



* Teks ini telah dibebelkan oleh Salman Sulaiman kepada anak-anak Republik Cinta pada diskusi anjuran Grup Teater Republik Cinta dengan tajuk 'Pandangan Anak Muda Terhadap Seni dan Sastera' di Bilik Mesyuarat YB Arau, Perlis pada 18 September 2004 yang lalu.

Siang nanti, pagi-pagi lagi saya akan berangkat menemui sifu dan teman-teman penulis di DBP Wilayah Timur, Kota Bharu dalam Diskusi Karya Dr Fatimah Busu. Jumpa di sana.


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
12.03 pagi, 14 Mei 2005/5 Rabi'ul Akhir 1426H - Sabtu.

1 comment:

Jimadie Shah Othman said...

republik cinta tak pernah tahu kau ada blog.