Tuesday, November 15, 2005

Sms kepada ibu yang tak ada telefon bimbit

Semalam, dengan akrab saya di kampus, kami tinggalkan seketika keriuhan kampus Pulau Mutiara, naik bas mini ke Georgetown. Menyusur sibuk lalu-lalang negeri Pulau Pinang. Melihat rumah-rumah orang di jalanan, fikiran saya segera menerawang mengingat ibu yang jauh di kampung halaman.

Saya tengok sibuk orang di jalanan. Saya nampak rumah-rumah yang padat dan sendat. Saya tengok halaman yang kosong, tiada ayam dan itik serati berkeliaran. Jauh sekali lembu kambing, kerbau balar apatah lagi.

Saya memang tidak boleh tinggal di rumah yang tak berhalaman, yang tak ada pohon-pohon rendang. Tak ada pohon-pohon pisang. Kepada akrab di sebelah, saya bebelkan macam-macam. Dia pun mengiyakan berkali-kali, dia pun tak boleh tinggal di rumah yang sendat begini.

Lancar pula idea mencurah-curah di kepala saya. Saya mula mencatatkan sesuatu ke dalam telefon bimbit saya - biarlah, walau saya tahu, ia tak akan dibaca ibu. Sms saya takkan sampai pun kepada ibu, saya tahu itu. Di ruang taip mesej multimedia, tangan saya mula rancak menaipkan rasa hati dan salinan penuhnya berbunyi begini;

"Sms kepada ibu yang tak ada telefon bimbit. Tak apalah ibu, kalau kau tak ada telefon bimbit pun, tak apalah. Sms panjang ini hanya untukmu seorang saja. Sms kepada orang lain yang ada telefon bimbit, pendek-pendek saja. Mana boleh panjang-panjang. Orang yang ada telefon bimbit, mana boleh sms panjang-panjang. Sibuklah katakan. 'Bz' kata orang yang ada telefon bimbit. Tak apalah ibu, kalau halaman rumah kita tak berpagar pun, tak apalah. Janji, dalam hati kita masih ada pagar yang teguh & kukuh. Biar lembu dan kambing jiran senang masuk ke halaman. Biar itik ayam senang berkeliaran. Biar halaman rumah kita lapang. Biarlah halaman rumah kita senang dibuat jalan orang lalu-lalang. Tak apalah ibu halaman rumah kita dipenuhi pokok-pokok rendang, senang nanti anak cucu menggantung buaian. Tak apalah ibu kalau kau tak ada telefon bimbit pun tak apalah, senang nanti kau terima smsku yang panjang-panjang berpuluh halaman. Sms ini hanya untukmu seorang saja. Kau tahukan ibu, sms ini dari anakmu yang pilu."

Disimpan:
05:26:03pm
14/11/2005


Salman Sulaiman
Didi Siber Kafe, Bawah Bukit Gambir,
Minden.
11.14 malam, 13 Syawal 1426 H.

Selasa, 15 November 2005.

Sunday, November 13, 2005

Selamat harijadi untuk diri sendiri

Saya sms dia berkali-kali, senyap sepi. Lalu saya hubungi dua kali, juga tak diangkat. Dalam kepala saya, dah fikir yang macam-macam - yang bukan-bukan. Dari pagi, sampailah hampir jam 12 malam, 13 November - sms saya langsung tak berjawab, deringan panggilan saya langsung tak diangkat. Entah, apa-apa jadi pada dia. Entah-entah dia diculik orang dan telefon bimbitnya ditinggalkan atau dibuang ke mana-mana.

Resah saya semalaman memikirkan takut dah jadi apa-apa dengan dia. Payah juga saya mahu lena dibuatnya. Tiba-tiba, tepat jam 12.03 pagi ikut jam tangan casio saya yang cepat tiga minit, dia menelefon dari telefon bimbitnya - mengucap salam dan menyanyikan lagu harijadi untuk saya. Dan dia segera memberitahu, dia sedang menunggu saya di sebuah restoran mamak di luar kampus. Saya tak terkata, terpinga. Tertanya-tanya, awak datang dengan apa? Dia minta saya cepat-cepat salin pakaian dan segera ke tempat dia menunggu saya.

Saya segera pinjam motor kawan, memandu dalam fikiran yang masih tak percaya. Iskh, awak datang dengan apa? Iskh, betul ke? Sampai di sana, sudah tersedia kek bersaiz sederhana di atas meja. Rupanya dia datang bertiga dengan dua lagi kawan, memandu bergilir-gilir dari Selangor dengan perodua MYVI yang baru dibeli. Saja, katanya. Dia nak kejutkan saya dan nak sambut harijadi saya di Pulau Mutiara, sambil-sambil nak tunjuk kereta barunya. Sayang, saya tak boleh memandu. Kalau tak, boleh juga saya merasa mencuba kereta baru.

Dia tak pacak lilin atas kek, cuma dia nyanyi bertiga dengan kawan-kawannya untuk saya yang masih terpinga-pinga - katanya, ini semua saya buat untuk awak seorang saja, istimewa. Terlalu istimewa. Saya masih bingung terpinga-pinga campur tidak percaya. Ini buatkan saya rasa lebih sayang pada dia. Tak pernah pula, orang kejutkan saya di harijadi sampai begini sekali. Seumur hidup tak pernah, inilah pertama kali saya dibuat terkejut dan terkesima sampai begini.

Tak adalah. Tak ada kek pun untuk harijadi saya. Tak ada ucapan dari telefon, dari telefon bimbit apa lagi. Ini semua cuma 'khayalan kreatif' saya setelah seharian gagal menghubungi dia, yang entah ada entah tiada, atau hilang entah ke mana. Untuk harijadi saya yang jatuh hari ini, 13 November 2005 - saya cuma menerima empat sms ucapan harijadi ke talian maxis saya.

Pien jadi orang pertama yang ucap selamat harijadi untuk saya kali ini, di awal pagi lagi - ketika kami masih belum tidur, berbunyi;

*Selamat Hari Lahir*

Moga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki yang diberikan olehNya utk mengabdikan diri kepadaNya. Wassalam


Seusai subuh, pagi-pagi lagi Ros mengutusi begini;

Askum,SELAMAT HARI LAHIR.Semga awak dmurahkan rezeki,dbrkati ALLAH.

Adik Sue mengutusi sebagai orang ketiga ketika jam di telefon bimbit saya sudah 6.18 petang, dengan tulisan;

A'kum. SLMT HARI JADI buat abe t'syg, smg kehidupnmu sntiasa d rhmatiNYA..

Amir jadi orang ke empat dan terakhir yang mengutusi dan mengucapkan selamat harijadi untuk saya pada hari ini, hari yang cukup bererti buat si saya ini. Smsnya berbunyi, sampai ketika selesai isya', begini;

SELAMAT HARI LAHIR KE 25. Semoga allah panjangkan umur mu dan murah rezeki. "Amin.."

Terima kasih banyak Pien, Ros, Adik Sue dan Amir yang sudi mengutusi. Terima kasih kerana sudi mengingatkan aku yang lara ini. Tak apalah, walau tanpa ucapan dari bibir sesiapa untuk harijadi saya. Tak apalah tanpa kek dan lilin pun, tak apalah. Cukuplah, dengan ucapan dan ingatan yang bertalu-talu dari Tuhan yang dari pagi tadi melayang-layang di fikiran saya;

Salman, genaplah setahun lagi umurmu hari ini, ingatlah kau tetap pasti akan mendiami liang tanah ini.

Terima kasih semua. Jumpa lagi.


Salman Sulaiman
Siber Kafe KBM, Sungai Dua,
Minden.
11.38 malam, 13 November 2005, yang mengingatkan, Ahad.

11 Syawal 1426 H.

Tuesday, November 08, 2005

Jenuh juga berhari raya

Jenuh juga berhari raya. Jumaat hari raya kedua, sehabis solat Asar - dua buah kereta sepupu bersama mak saudara dari Kota Bharu menjadi tetamu hari raya. Abang Fakru dan isteri, Mok Teh dan Madiha sebuah kereta sudah ada menjamu selera. Tak berapa lama, Abang Man dan Kak Na bersama Apiq juga tiba. Dengan Apiq, kami dua berpeluk mesra. Sepupu yang seumur sebaya ini begitu istimewa. Maklum saja, kami tak jumpa lama. Dia, baru menyelesaikan dua tahun Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islamnya di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Kira-kira, dicampur segala macam urusan, dia perlu menghabiskan setahun lagi di sana.

Sesudah mereka dua buah kereta berangkat pulang, Ros menjelma dengan sepasang baju raya, kurung biru yang ceria dan sempat menjamah sedikit kuih raya, kemudian tiba pula Kak Yah dan suami sebuah kereta bersama anak kecilnya yang hitam manis bergaya - si Atikah yang riang ria, peramah dan banyak bicara. Aku mengajak Atikah tidur saja di Padang Raja, tapi tak nak pula dia. Gadis kecil enam tahun ini, galak gembira peramah mesra - cerdik dan petah pula berbicara. Kak Yah tidak lama di Padang Raja. Mereka bertiga berangkat pulang beberapa ketika sebelum maghrib tiba.

Sehabis isyak, majlis hari raya di Teratak Seni Padang Raja disambung lagi. Abang Zack tiba, berjalan kaki dari rumahnya yang jauhnya beberapa hasta saja. Dari rumahku ke rumahnya, lempar batu pun kena. Anaknya Adik Ja, kalau berlari dari rumahnya ke rumahku hanya beberapa ketika saja, dekatnya. Hanya sejauh beberapa belas langkah anak kecil seusia Adik Ja. Macam-macam pula topik bicara kami melayannya di hari raya.

Tak lama, tiba pula seekor sang kancil hijau - Mak cik sekeluarga, bersama Pak cik, Kak Ti, Sham, Pi dan Ha yang jadi driver. Lebih panjang dan meriah celoteh cerita kami semua di malam raya. Banyak pula kisah dan cerita yang jadi topik bicara. Dicampur lawak jenaka, sampai juga kepada kisah jodoh yang tak disangka-sangka. Jam sebelas dua puluh malam, mereka pulang dan Teratak Seni kembali lengang.

Hari raya ketiga, lain pula ceritanya. Pagi, tak ke mana-mana. Petangnya, sang kancil yang sama membawa kami ke Pengakalan Datu dekat Kota Bharu. Lenguh juga, bertin sardin di dalam kereta. Lama juga, puas berlunjur bersila. Membuat kunjungan semula ke rumah mak saudara di Kota Bharu sempena Majlis Akikah anak Abang Fakru. Bergulai kambing juga kami di hari raya. Sekali lagi jumpa Atikah yang mesra dan riang ria. Dia pula kuajak pulang ke Machang, lagilah tak nak dia. Jalan sibuk sungguh, sesak bersumbat. Sendat dan lambat. Orang berasak di jalan raya, berhari raya. Sepuluh setengah malam juga, tiba di Padang Raja. Aduh, penatnya.

Hari raya ke empat, Majlis Bercukur Jambul cucu Mak Long pula yang dilaksana oleh Imam Masjid Kuala Baka, Ustaz Wan Lutfi. Ketika rambut si kecil dicukur, selawat bergema - mengalun ke angkasa hari raya, penuh bahagia. Enak juga menjamu selera. Kambing juga yang jadi mangsa.

Kemudiannya, dengan sang kancil yang semalam juga - berangkat jauh ke pinggir sungai Kelantan bersama Kak Ja yang tukang bawa kereta dengan Mak cik, Pak cik dan Sham anak bongsu mereka, aku ikut serta ke rumah Pak Da; bapa saudaraku yang sudah tak berdaya kerana kabur matanya. Sayu hiba rasa, tatkala menatap sakitnya. Rumahnya yang dalam proses pembaikan seperti tak bermakna kepadanya - dengan mata yang kabur dan tak berdaya.

Lama masa yang Pak Da ambil untuk mengecam suaraku, anak saudaranya. Dengan orang lain pun begitulah, dia hanya kenal suara. Orangnya sudah tidak jelas di mata Pak Da. Yang boleh dicam hanya suara. Mujur telinganya masih baik seperti sediakala. Rabu ini, dia akan melakukan pembedahan mata di Hospital Besar Kuala Krai. Sihat hendaknya Pak Da seperti semula, aku akan sama-sama berdoa untuknya. Selepas maghrib juga, baru tiba semula di Padang Raja setelah meredah sesak kenderaan yang agak panjang di Machang. Malam, tak ke mana-mana, kerana penat siang berhari raya masih terasa.

Hari raya ke lima, rutin biasa sebelum Aidilfitri disambung kembali. Ibu dan Adik Su kembali bekerja. Jalan raya kembali sesak semula. Laluan Machang ke Jerteh ikut lebuh raya yang melalui UiTM Machang sibuk juga. Berderet-deret kereta dan macam-macam kenderaan yang mula menyusur keluar meninggalkan daerah Machang. Esok lusa, semuanya akan kembali lengang seperti biasa, seperti sediakala sebelum hari raya. Selamat kembali bekerja untuk semua, selamat kembali berbuat apa saja untuk semua yang sudi membaca catatan saya. Tapi, rasa-rasa masih belum terlambat juga untuk mengucapkan - selamat hari raya.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang.
3.49 pagi, hujan menderu di atas kepala.
6 Syawal 1426 H, Selasa yang masih bersisa,
8 November 2005.

Friday, November 04, 2005

Letih penat juga berhari raya, pergi rata-rata

Letih penat juga berhari raya, pergi rata-rata. Takbir bergema seawal subuh lagi di pagi Aidilfitri. Dilaungkan dua orang Pak su, bertalu-talu. Disambung lagi, di pagi cemerlang Aidilfitri sebelum solat sunat hari raya. Aku berjalan kaki ke madrasah, bersongkok bercapal, berbaju Melayu hijau kuning, berlilit sampin hitam kelabu, mengekor di belakang ibu dan Kak Nor sepupuku. Walaupun madrasah kecil Membuaya tidaklah sesendat mana, tapi yang penting kami bahagia berhari raya. Bertakbir hiba, dan Pak su Lah menitiskan air mata - sendu dan hiba, entah rasa apa yang begitu menyucuk-nyucuk hulu hatinya. Memang begitu syahdunya takbir hari raya, selalu saja membuat orang menangis hiba. Dia menangis hiba, ketika lafaz takbir belum habis dari mulutnya.

Bersolat sama, dan bersila mendengar khutbah hari raya dan kini giliran Pak Da pula yang menangis hiba menitiskan air mata. Sebagai orang tua, seperti dapat kurasakan apa yang luka di dalam dadanya - hati, kalbu dan jiwa. Majlis solat hari raya, selesai dengan penuh ceria dan kami bersalam bersua muka. Adnan memelukku mesra, sahabat dari kecil yang sebaya ini, kini dah beranak tiga.

Cuma aku saja, yang masih tak kawin-kawin juga. Sehabis solat, terus balik saja. Badrul, Ameir, Epih, Iwan, Pi dan Sham singgah berhari raya. Gembira dan bahagia sama-sama menjamu selera. Kak Nor juga singgah seketika bertemu Adik Su dan Adik Siti. Dan kami ramai-ramai ke rumahnya pula. Menjamah laksa, kuah Kelantan dan Penang digaul rata; makan berselera, menambah juga dibuatnya.

Hampir tengah hari, waris-warah dari Guchil datang menjemput. Berkira-kira, tapi sudah lama benar tak ke sana. Aku, Adik Siti dan ibu menyusur sibuk lalu-lalang jalan Kuala Krai - Machang dibawa Abang Zul dan temannya pulang berhari raya di Kampung Guchil. Kampung berbukit tinggi rendah ini, menyambut kami penuh mesra sekali di pagi Aidilfitri. Penduduknya ceria dan penuh peramah mesra.

Adik beradik Abang Azit dah tujuh, anaknya pula sepuluh - menyambut kami riuh. Di lantai, duduk bersila bersimpuh. Hari raya jadi penuh kecoh dan hatiku bahagia sungguh. Makan tengah hari pula, bergaulkan sambal pauh. Fuh, enak sungguh.

Kemudiannya menyusur ibu di rumah sebelah, Mak cik Embun menyambut aku dengan penuh mesra dan ceria dengan bermacam cerita bersama Peja yang comel di ribanya. Anak kecil yang belum pun genap setahun ini tak pandai bercakap lagi. Tapi tak berkelip-kelip matanya memandang aku dan dia mengecam lama. Peja ini, kata neneknya, suka sangat ketika dengar azan bergema dan kalau dia bertahlil, Peja akan duduk lama-lama mendengarnya. Inilah satu perangai yang istimewa dan menarik sekali tentang anak kecil ini. Aku tinggalkan Peja dengan kucupan terakhir di dahinya, penuh cium mesra. Ingin lagi aku ke mari jumpa dia lagi. Pasti, takkan kulupa matanya yang tak berkelip-kelip memandang aku, lama.

Malam, tak ke mana-mana. Berhari raya dengan Ros di teratak ibu di Padang Raja. Letih rasanya nak menjajat rata, berhari raya pada malam-malam buta. Jawabnya, berlunjur bersila di rumah saja.

Pagi ini, Kak Yah di Kota Bharu awal-awal lagi menelefon ingin ke mari petang nanti. Ya, sampai mereka saja, tentunya akan lebih meriah hari raya di teratak tuaku di Padang Raja. Semua, selamat hari raya dariku untuk kali yang entah ke berapa. Jenguk-jenguklah ke Padang Raja. Ampun maaf semua, selamat hari raya.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang.
12.57 tengah hari, Syawal kedua yang mulia, 1426 H.
Jumaat yang penuh berkat, 4 November 2005.

Thursday, November 03, 2005

Selamat tinggal ramadan, selamat datang lebaran

Ramadan sudah pergi. Lepas ni, tak ada sahur lagi. Siang nanti, dah boleh sarapan pagi. Sekejap tadi, meriam buluh masih sayup berbunyi, jauh di atas wakaf di tengah bendang. Aku kenal sangat dengan budak-budak yang main meriam buluh tu. Selalunya mereka akan tebang buluh duri sebesar peha untuk buat meriam buluh dan mereka akan lebih seronok kalau dapat letakkan tempurung di muncung meriam buluh itu, dan mereka akan sama-sama tengok tempurung itu akan melayang jauh ke tengah baruh.

Sampaikan Raya masih bergema di TV3. Adik Siti, Adik Su dan Bonda masih tak tidur-tidur juga. Kan esok hari raya. Takbir sudah bergema, sayu pilu rasanya di dalam jiwa. Pelita di halaman sudah padam. Sayu pagi Aidilfitri terlalu menyucuk sampai ke hulu hati. Aku tiba-tiba teringatkan Nina di Panti Asuhan di Aceh. Kuingat benar cita-cita besarnya yang mahu jadi doktor. Katanya, dia mahu menolong anak bangsanya di masa depan. Dia sedang buat apa agaknya? Gembirakah dia di hari raya? Salamku buat Nina yang sedang luka jiwanya di tanah Aceh yang jauh.

Tiba-tiba aku teringatkan Mak cik Endon dan Kak Asmah di Selangor. Bercucuran air mataku ketika TV3 bersinggah sahur di rumah mereka. Kak Asmah mengesat air mata disaksikan oleh sebahagian dari dua belas anaknya yang kemudiannya ikut menangis juga, setelah sebak melihat air mata bercucuran di pipi ibu mereka. Terkenang aku pada Kak Asmah, si tukang sapu yang pilu itu. Dia bergenang air mata ketika ditanyakan tentang baju raya anak-anaknya. Katanya, pakai apa yang ada. Luka hatinya, tak siapa yang rasa.

Tiba-tiba juga, aku teringatkan anak-anak di rumah anak-anak yatim di Parit, Perak. Terubat juga rindu dan luka hati mereka setelah dikunjungi Fifi dan teman-teman TV3. Merasalah juga mereka untuk ikut berhari raya seperti orang lain juga.

Juga, aku tiba-tiba teringatkan Mak cik Endon yang berseorangan melalui ramadan tanpa anak-anaknya di sisi. Pilu sungguh di hati ketika dia kata, anaknya tak buka pintu ketika dia datang bertamu. Pesan Mak cik Endon kepada anak-anaknya dalam tangis sedu dengan pilu di kalbu, "Dia tak kesian ke, entah apa mak aku makan." Air matanya bercucuran di tikar sembahyang. Moga-moga, akan adalah orang yang akan menemankan Mak cik Endon di Aidilfitri siang nanti.

Siang tadi, pekan Machang riuh dan sesak sungguh. Seronok melihat orang dan kenderaan yang berderet-deret lalu-lalang. Polis trafik sibuk mengawal keselamatan dan kenderaan yang lalu-lalang.

Sekejap lagi, tak ada sahur lagi. Subuh yang dingin akan diiring oleh syahdu takbir Aidilfitri. Madrasah akan riuh dan penuh. Kami akan bersalam-salaman sempena lebaran, bermaaf-maafan. Bermaaf-maafan saat lebaran, mengingatkan aku pada dendangan pilu si Suparjo dan Raju;

"Ikan di laut
asam di darat
dalam periuk
bikin mufakat."


Dan pagi hening satu Syawal mulia, akan lebih tersentuh jiwa saat mendengar takbir bergema;

"Allahhu akbar
Allahhu akbar
Allahhu akbar

Laailahaillallah huwallahhu akbar
Allahhu akbar walillah hilhamd."


Salam lebaran dari saya yang jauh di Padang Raja. Jenguk-jenguklah saya di Padang Raja. Dapatlah nanti, kita sama-sama berhari raya. Maaf atas segala apa yang membuatkan kalian terluka. Di hening pagi Syawal yang mulia, selamat hari raya untuk semua.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang.
1 Syawal yang mulia, 1426 H.
Hening sunyi pagi hari raya.
3.07 pagi, 3 November 2005, Khamis yang manis.

Wednesday, November 02, 2005

Ramadan yang pilu, akan pergi berlalu

Hari ini ramadan terakhir, ramadan yang pilu dan sendu. Ramadan yang penuh sayu. Tidak ada tarawih lagi. Tidak ada selawat lagi. Riuh di madrasah akan kembali sunyi. Dari speaker masjid tidak akan kedengaran suara orang bertadarus lagi. Cuma tinggal sahur terakhir kira-kira beberapa jam saja lagi.

Kampung yang sunyi, kembali riuh sehari dua ini. Di halaman jiran, adalah sebuah dua kereta baru anak menantu yang pulang berhari raya. Kalau yang dah bercucu akan lebih bahagia saat-saat begini. Melihat yang seorang menangis di halaman tersepak tunggul kayu kerana berlari ikut kakaknya main bunga api. Atau dua tiga yang lain berkumpul riuh mencucuh sumbu mercun, berbelas hasta dari halaman yang terang disuluh api pelita di malam raya. Atau seorang dua yang lain sibuk ke hulu ke hilir memusing bunga api.

Lantai madrasah sudah bertukar permaidani baru. Tongkat khutbah sudah diperbetulkan letak duduknya. Kolah sudah dicuci dan air sudah diisi. Cumanya, teks khutbah saja yang belum sampai-sampai lagi. Esok dah Aidilfitri.

Adik Su dah siapkan dua tiga jenis kuih juadah Aidilfitri, campur tiga bungkus dodol yang kubeli di Pasar Isnin tempoh hari. Katanya, siang nanti mahu disiapkan sejenis kuih lagi. Ditambah dengan beberapa jenis lagi yang dibeli. Cukuplah barangkali, buat juadah Aidilfitri kali ini. Rasanya Aidilfitri tak akan berapa menjadi kalau tanpa ketupat yang dibungkus dengan daun pisang ibu yang dibuat sendiri. Aidilfitri akan lebih bererti dengan nasi manis ibu yang manisnya sampai melekit-lekit di jari.

Ketika orang sibuk bertarawih, masih terdengar bunyi mercun di sana-sini. Ada juga yang berani-berani buat mercun sendiri. Dikerat buluh besar dan panjang, ditaruk di atas kayu bercabang, ditebuk lubang. Diletak betul-betul jauh di tengah bendang. Bunyinya berdentum-dentam.

Malam nanti, memang tidak akan ada tarawih lagi. Kalau yang ada berbunyi pun, takbir Aidilfitri yang menyucuk-nyucuk ke hulu hati. Menandakan si cantik manis bernama ramadan akan pergi. Dua puluh lapan hari berpuasa seperti tak terasa. Cepat sungguh masa meninggalkan manusia, yang leka memang lebih tak terasa.

Siang nanti, sehabis sahur terakhir - mercun beli dan mercun buatan sendiri akan kembali berbunyi. Anak-anak akan kembali berlari bermain bunga api pada malam Aidilfitri.
Ibu akan kembali sibuk di dapur menyiapkan itu-ini. Adik Su akan kembali memanaskan pembakar kuih dan Adik Siti akan kembali menyanyi-nyanyi menghibur hati, kerana esok Aidilfitri. Barangkali dia akan bernyanyi lagu ini;


"Berlalulah sudah ramadan
sebulan berpuasa
tiba syawal kita rayakan
dengan rasa gembira
anak muda di rantauan
semuanya pulang ke desa
ibu dan ayah keriangan
bersyukur tak terkira."


Barangkali dendangan Anuar & Elina ini akan lebih menghibur hati Adik Siti menyambut Aidilfitri. Dia akan kembali sibuk menolong kakaknya menyiapkan itu-ini menjelang Aidilfitri.

Esok hari raya, kalau ada apa-apa yang tak kena atau yang buat kalian terasa; maafkan saya. Esokkan hari raya. Salam lebaran, selamat jalan ramadan selamat datang lebaran.

Hari raya ini, jemputlah ke Teratak Seni - menemui saya untuk kita sama-sama berhari raya. Saya menunggu anda semua, di teratak tua di Kampung Padang Raja - selamat hari raya.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,

Machang.
2.01 pagi, sahur terakhir, 29 Ramadan 1426 H
Bersamaan dengan 2 November 2005, Rabu yang pilu.