skip to main |
skip to sidebar
Lusa, beli Mingguan Wasilah pagi-pagi & hari ini saya tinggalkan kalian dengan sebuah puisi
Pada pagi jumaat yang mulia ini, saya menemukan sebuah puisi karangan Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud yang sangat menarik berbicara tentang ilmu dan pencariannya dengan berguru; melalui guru. Puisi tersebut dicatatkan dalam buku beliau, Kerangka Keilmuan Tamadun Melayu pada halaman 14 – 15. Saya membacanya secara senyap dan saya cuba mendeklamasikannya, sangat sedap. Cubalah kalian mendeklamasikannya pula, mana tahu ia akan bakal menusuk ke kalbu saudara-saudari juga. Tapi, yang lebih penting mahu saya tekankan di sini ialah bukan rimanya yang menyedapkan bunyi bila dideklamasi sahaja tetapi apa yang mahu disampaikan oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nor dalam puisi tersebut.
Beliau menekankan tentang aspek ilmu, cara pencariannya, cara pengambilannya dan bagaimana menilai serta mempertimbangkannya. Cuma, saya tetap mahu mengingatkan kalian supaya meneliti apa yang disampai oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nor. Cuba perhatikan puisi tersebut:
Tidak jatuh martabat kita jika bertanya kepada
yang a’lamu
Pepatah kita, “Malu bertanya sesat jalan”, lupakah
kamu?
Itu ajaran Qur’an: fas alu ahla zikri inkuntum
la-ta’lamun.
Sesungguhnya bertanya tidak semudah yang
dianggap umum –
Pertama, kau harus insaf dan sedar akan
kejahilanmu akan sesuatu
Kedua, harus kenal pasti alim yang bakal
kaurujuk membantu.
Jangan dilihat kepada ayat-ayat hafalan yang lahir
dari lidahnya
Jangan terkesan dengan labuh jubah dan warna
janggutnya
Jangan terikat jaminannya memberi syurga di Sini
atau Sana
Tapi lihatlah penjelasannya tentang perkara asas
lagi penting
Kebolehannya menghurai, mengupas, menolak,
tidak melenting
Kesanggupannya mengamalkan ilmu, sederhana,
tidak sumbing.
Keberaniannya mempertahankan ilmu di depan
ahli, penguasa
Keadilannya meletakkan setiap sesuatu benar di
tempatnya.
Itulah neraca bukan rekaan khayalan hamba
Ijma hukama kita paling wibawa. Fahami jua.
(Wan Mohd Nor Wan Daud, Mutiara Taman Adabi: Sebuah Puisi Mengenai Agama, Filsafat dan Masyarakat, Kota Bharu: Dian, 2003, Bab Iman dan Ilmu)
[Rujuk: Wan Mohd Nor Wan Daud, Kerangka Keilmuan Tamadun Melayu, m.s. 14 – 15 & 31, Kota Bharu: Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, 2004]
Dua hari ini, kalian hayatilah puisi ini sajalah dulu kerana saya mahu meninggalkan saudara-saudari seketika ke Kuala Lumpur, menghadiri malam HESCOM 2007 di Dewan Bahasa dan Pustaka yang akan berlangsung pada 15 Disember 2007, jam 8.30 malam. Saya sebetulnya mahu bertemu teman-teman www.esastera.com di sana dan saya juga bakal mempersembahkan sebuah dekon istimewa kepada mereka. Ya, esok dan lusa – saya memang mahu tinggalkan kalian dengan puisi di atas sajalah dulu.
Jangan lupa juga, lusa pagi-pagi (ahad) dapatkan akhbar Mingguan Wasilah terbaru edisi 16 – 22 Disember 2007 kerana sebuah karya saya tersiar di dalamnya. Hayatilah juga ia sesungguh-sungguhnya sebelum saya balik bertemu kalian semula.
Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
11.00 pagi, Jumaat.
14/12/2007, 4 Zulhijjah 1428 H.
1 comment:
top [url=http://www.c-online-casino.co.uk/]www.c-online-casino.co.uk[/url] check the latest [url=http://www.casinolasvegass.com/]casino[/url] free no set aside perk at the chief [url=http://www.baywatchcasino.com/]no lay reward
[/url].
Post a Comment