Semalam di Kota Bharu, ketika empat buah bukunya dibicarakan oleh lapan orang ahli panel di Dewan Seminar DBP Wilayah Timur - Dr Fatimah Busu tidak hadir. Ketidakhadirannya terjawab dalam surat panjangnya yang dikirimkan dari Pulau Pinang dengan tajuk, "Surat Terbuka Suara Hati Seorang Penulis yang Tak Berjenama" yang kemudiannya difotokopi dan diedarkan untuk semua khalayak yang hadir.
Saya cuba petik beberapa bahagian surat itu,
"Saya ini bukanlah seorang peminat kronik Fatimah Busu. Saya juga bukan seorang penulis yang jadi pengikut setia Fatimah Busu. Tetapi sayalah Fatimah Busu itu. Kalau benar karya-karya itu dibincangkan di sini, ia adalah karya-karya saya. Dan sekali lagi, surat terbuka ini bukan berniat hendak kucar tahi di majlis yang mulia ini.
Saya tidak berharap dikirimkan dengan kad undangan bertulisan emas seberat sekilo. Dan disediakan dengan penerbangan Kelas Satu, laluan karpet merah dan penginapan di hotel 5-7 bintang. Diarak dengan bunga manggar. Memadailah, ya memadailah dengan secebis kertas pemberitahuan seperti ini;
Fatimah Busu, DBP akan adakan satu majlis bicara karya- karya engkau, tajuk sekian-sekian oleh panel sekian- sekian, pada tarikh sekian, waktu sekian, tempat
sekian. Ikut engkaulah mahu datang atau tidak ! "
Dan dalam perenggan yang lain pula, beliau meneruskan begini. Dan saya kutip secara terpenggal-penggal sahaja.
"Mungkin saya tidak diberitahu dan tidakpun diminta hadir ke majlis ini kerana saya penulis yang tak berjenama. Tidak ada gelaran Dato', bukan Sasterawan Negara, bukan Tokoh Mastera, bukan Sasterawan Negeri Kelantan, bukan penerima SEA Write Award. Lalu akan memalukan majlis kalau saya turut hadir sama. Kalau seseorang mengharapkan saya diberi SEA Write Award terlebih dahulu , baru hendak jemput, jangan haraplah. Saya tidak mungkin dan tidak akan menjadi penerima SEA Write Award. Kalau pun, ya, kalaupun saya dipilih sebagai penerimanya, saya akan tolak, sebagai tanda simpati kepada rakyat Tak Bai yang dizalimi oleh kerajaan yang menganjurkan anugerah itu. Insya Allah.
Ini adalah pengenyah-insaniah yang kesekian kali dilakukan oleh pihak DBP kepada saya ..."
Untuk lebih rinci, sila rujuk isi penuh surat tersebut.
Saya kutip satu perenggan yang lain lagi, yang berbunyi begini,
"Seorang kawan dari KL telefon mengatakan dia lihat buku koleksi cerpen saya yang terbaru berjudul "Bunga-bunga Pulau" cetakan 2005 sedang dijual di kedai DBP di KL. Saya hairan. Mengapa saya tidak diminta menandatangani sebarang surat perjanjian untuk penerbitan antologi tersebut. Dan mengapa hingga sekarang saya belum dikirimkan walau hanya sebuah ! Apa silapnya semua ini ?
Dan kini saya dinyah-insani, humaliated lagi..."
Terlalu berjela-jela yang ditulis Dr Fatimah, menjangkau 10 halaman.
Pada perenggan terakhir, Dr Fatimah menghabiskan begini,
"Sekian, mohon maaf sebanyak-banyaknya kepada mana-mana pihak yang tersinggung, walaupun penyinggungan ini disengajakan. Terima kasih sekali lagi kepada pihak penganjur yang sudi 'kutip' karya-karya saya untuk dibicarakan. Dan terima kasih sekali lagi kepada para hadirin yang sudi melapangkan waktu dan membaca surat terbuka ini. Wassalam."
Di halaman terakhir, di bawah judul "Maklumat Terakhir", Dr Fatimah menulis,
"Pada 28/04/05, jam 4.40 petang waktu Pulau Pinang, Sdr Amran dari Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur telefon memberitahu tentang majlis 'bicara karya' ini. Katanya akan diadakan pada 15/04/05, di Kota Bharu. Ia akan dibicarakan oleh 8 orang ahli penal yang sudahpun dimaklumkan semenjak bulan Februari 2005. Beliau minta alamat saya untuk dikirimi surat jemputan. Katanya tiket penerbangan akan disediakan serta tempat penginapan. Saya beritahu yang tidak akan hadir.
Saya tanya mengapa baru diberitahu kepada saya. Bagaimana dalam masa 2 minggu ini saya hendak sediakan teks untuk majlis itu.
Malangnya saya diberitahu, saya tidak perlu sediakan teks. Nanti saya hanya akan diberi masa 3-4 minit saja untuk bercakap.
Subhanallah ! Maha sucilah Allah swt yang tidak mengizinkan saya datang ke majlis ini. Justru, sebelum 28/04/05, saya sudahpun selesai tulis dan xerox Surat Terbuka untuk diperbanyakkan. Dan sudah minta jasa baik seorang teman di Kota Bharu, supaya dapat diedarkan di majlis ini nanti.
Kalau hanya untuk bercakap selama 3-4 minit, buat membazir wang DBP sahaja membayar tambang perjalanan dan penginapan saya di Kota Bharu."
Untuk novel terbarunya "The Missing Piece", beliau menanggung separuh dari kos penerbitan novel itu yang berjumlah 30 ribu.
Dan untuk "Salam Maria" yang ada kini, hanya 75 peratus keasliannya dan penerbitnya pun sudah lingkup. Kini, kes "Salam Maria" telah beliau serahkan kepada peguam.
Pernah juga beliau kilik novelnya sana-sini jumpa peguam bagi mempertahankan haknya sebagai pemilik asal karyanya yang telah dijadikan drama TV tanpa sepengetahuannya.
Itulah beberapa episod dalam kehidupan seorang pengarang besar bernama Fatimah Busu. Beliau tidak minta diberi penganugerahan untuk sumbangannya. Beliau tidak inginkan pangkat dan gelaran untuk perjuangannya. Beliau hanya menyatakan haknya sebagai penulis dengan penuh kejujuran serta keberanian.
Dan itulah Fatimah Busu.
Di tangan saya, lapan kertas kerja yang telah dibentangkan oleh lapan orang ahli panel. Berbicara dari pelbagai sudut tentang empat buah buku terbaru Dr Fatimah Busu yang berjudul "Salam Maria"(novel), "Keajaiban Alam"(Kumpulan Cerpen), "Apa Ada Di Sana" (Puisi) dan " Memupuk Bakat dan Minat Penulisan Kreatif, Teori dan Proses" (Karya Ilmiah).
Dewan seminar penuh dengan kehadiran pelajar dari sebuah maktab perguruan dari Kuala Terengganu. Beberapa ketika yang lain, kedengaran hilai tawa Norzailani. Sayangnya, saya tidak sempat bercakap panjang dengan dua orang sifu saya dari Universiti Malaya yang turut membentangkan kertas kerja iaitu Ana Balqis dan Dr Anis. Dr Hanafi Ibrahim sempat menepuk bahu saya, minta-minta masuklah berkat ilmunya dalam tubuh saya.
Khabar terbaru dari Zakir, buku yang menghimpunkan karya penulis muda yang beliau sedang usahakan hampir siap. Saya tidak pernah lupa huluran salam akrab dari Abdul Hadi Yusoff. Kerana kami pernah satu bas dan tidur sebilik ketika menghadiri Bengkel Penulisan Cerpen KEPEZI tahun 2002 yang lalu.
Cikgu Leo AWS hadir agak lewat bersama buku puisi terbarunya, "Simile Che Azizah Serupa Sajak" dan istimewa dihadiahkan senaskhah untuk saya. Lain pula dari Leo, wawancara saya tentangnya juga akan ikut dibukukan dan kini dalam proses menaip dan menyusun buah tangan terbarunya itu. Ikut hadir, Zanazanzaly bersama rafik penulisnya Rozais Al-Anamy juga Satinah Ziran dengan senyum manisnya.
Saya cuba-cuba mengintai kelibat Syaidul Azam yang kini sebagai pegawai di DBP Kota Bharu. Teman ini saya kenali kita kami sama sekuliah MPR tahun 2000 yang lalu. Sayangnya dia ghaib entah ke mana. Sempat juga saya berborak sekejap dengan Dr Rahimah Abdul Hamid yang juga pensyarah di kampus saya. Beliau diundang berbicara tentang karya ilmiah Dr Fatimah.
Saya duduk di sebelah Fauzi Amir Gus, juga seorang penulis muda yang kini agak menyepi. Kelibat sifu besar saya, Bapak Norhisham Mustaffa hanya kelihatan beberapa ketika, kemudian langsung hilang. Nisah Haron dengan longgokan buku di luar dewan. Menjadi juga nampaknya penjualan buku online yang diusahakannya di Ujana Ilmu.
Di dalam kereta Norzailani, bersama Nisah Haron sempat juga saya bicara tentang suratnya mengenai Shahnon Ahmad di Dewan Sastera bulan Mei. Norzailani menurunkannya di Mahkamah Kota Bharu, untuk menemui seorang teman peguam katanya.
Bas balik ke Machang penuh, lama juga saya berdiri sambil berfikir-fikir untuk menjadi sejujur dan sekental Fatimah Busu. Atau seteguh Shahnon Ahmad yang diceritakan Dr Rahimah,
"Berhenti-berhenti la menulis tu" nasihat isteri Cikgu Shahnon.
Jawapannya membuatkan saya hampir-hampir bergenang air mata, "Kalau berhenti menulis, saya akan mati."
Betapa kental dan kuatnya semangat penulisan dalam jiwa pengarang besar ini. Saya sedang mencuba-cuba untuk sekuat dan sekental Shahnon Ahmad dan Fatimah Busu. Nanti, kalau orang mengejek saya atau menasihatkan saya supaya berhenti menulis. Saya pun akan menjawab begitu, "Kalau berhenti menulis, saya akan mati."
Salman Sulaiman
Teratak Seni Padang Raja, Machang.
11.37 pagi - 15 Mei 2005/6 Rabi'ul Akhir 1426H - Ahad.