skip to main |
skip to sidebar
Senarai Karya Tersiar Salman Sulaiman 2007
1 – Rencana agama Akhlak Nabi Seluruh Isi Kandungan Al-Quran dalam Berita Harian, 27 Januari 2007 (Sabtu).
2 – Puisi Lelaki di Bawah Pohon Bahasa dalam Dewan Bahasa, Februari 2007.
3 – Puisi Anak-anak Mengaji dalam laman www.esastera.com/penyair, 8 Februari 2007 (Khamis).
4 – Puisi Madrasah Tua Ini Tiba-tiba Terasa Sunyi dalam Mingguan Malaysia, 11 Februari 2007 (Ahad).
5 – Rencana agama Menilai Keikhlasan Diri dalam I, Mac 2007.
6 – Puisi Kasih Seorang Bilal yang Lara & Rindu Si Janda Beranak Satu dalam laman www.esastera.com/penyair, 7 Mac 2007 (Rabu).
7 – Rencana cinta Siapa yang cukup syarat, angkat tangan! dalam EH!, Mac 2007.
8 – Rencana sastera Jangan Berhenti Menulis! dalam majalah Sastera.net edisi 3, Mac 2007.
9 – Rencana sastera Apa kesudahannya resolusi? dalam Mingguan Malaysia, 11 Mac 2007 (Ahad).
10 – Cerpen Kau Tidak Pernah Tahu dalam laman www.esastera.com/cerpenis, 19 Mac 2007 (Isnin).
11 – Cerpen Suling Si Alim Kucing dalam Sinar Harian, 24 Mac 2007 (Sabtu).
12 – Puisi Menghirup Susu Segar Ini dalam Siasah, 30 Mac – 19 April 2007.
13 – Puisi Merindukan Muhammad dalam www.esastera.com/penyair, 2 April 2007 (Isnin).
14 – Puisi Teratak Bahasa yang Tua Ini dalam Pelita Bahasa, April 2007.
15 – Surat pembaca Pentingnya Dokumentasi Bahasa dalam Dewan Bahasa, April 2007.
16 – Puisi Antara Tuah dan Jebat dalam Jendela Timur, bil. 20, April 2007.
17 – Puisi Catatan Ketika Hujan dalam www.esastera.com/penyair, 4 April 2007 (Rabu).
18 – Puisi Cinta Sufi (Dari kumpulan puisi Pemain Bahasa, halaman 14) dalam Buletin Puteri Islam SMK Apin-apin, Keningau, Sabah (Disiarkan oleh Sofiah Mohammad Salleh, guru di SMK Apin-apin dengan izin Salman Sulaiman), April 2007.
19 – Puisi Kalaulah Cinta Ini Hanya Semudah Memakan Sirih Jampi dalam www.esastera.com/penyair, 19 April 2007 (Khamis).
20 – Madah Diam dalam www.esastera.com/madah, 19 April 2007 (Khamis).
21 – Puisi Aku Sudah Terlalu Letih Mencintai Manusia dalam www.esastera.com/penyair, 12 Mei 2007 (Sabtu).
22 – Puisi Semanis Kasih dan Setulus Rindu Untukmu Ibu dalam www.esastera.com/penyair, 13 Mei 2007 (Ahad).
23 – Cerpen SMS cinta, Siti Puteri & Laki-laki dalam Sinar Harian, 19 Mei 2007 (Sabtu).
24 – Cerpen Kalaulah Muhammad masih ada dalam Mingguan Malaysia, 20 Mei 2007 (Ahad).
25 – Cerpen Biarlah Allah Saja yang Tahu dalam Mingguan Wasilah, bil. 17, edisi 27 Mei – 2 Jun 2007.
26 – Cerpen Sarjan Dolmat & Senapang Senja dalam e@siswa, edisi 4, Jun 2007.
27 – Rencana agama Indahnya Peribadi Rasulullah s.a.w. Sebagai Ikutan dalam I, Jun 2007.
28 – Puisi Dalam Hujan Renyai Aku Merindukan Padang Serai dalam www.esastera.com/penyair, 19 Jun 2007 (Selasa).
29 – Surat pembaca Penyakit Corner dan Cafe dalam Dewan Bahasa, Julai 2007.
30 – Cerpen Kumbang yang Lara & Sekuntum Bunga dalam Mingguan Wasilah, bil. 26, edisi 29 Julai – 4 Ogos 2007.
31 – Puisi Mengasah Pedang Akal dalam Dewan Sastera (Sisipan Tunas Cipta), Ogos 2007.
32 – Puisi Penyakit Tuduh-Menuduh dalam I, September 2007.
33 – Cerpen Biarlah Baba pergi dalam Mingguan Wasilah, bil. 30, edisi 26 Ogos – 1 September 2007.
34 – Rencana sastera Hayati puisi seorang mufti dalam Mingguan Malaysia, 2 September 2007 (Ahad).
35 – Sajak jenaka Mahu Dibubuh Nama Apa Anak Kita? dalam www.esastera.com/sajen, 2 September 2007 (Ahad).
36 – Cerpen Lelaki di Bawah Pohon Bongor dalam Siasah, bil. 0064, edisi 16 – 22 September 2007.
37 – Rencana sastera Mustafa Jusoh: Cintanya pada seni tidak bertepi dalam Siasah, bil. 0066, edisi 30 September – 6 Oktober 2007.
38 – Puisi Merindui Kupu-kupu dalam Dewan Masyarakat, Oktober 2007.
39 – Rencana ulasan buku Sebuah Pengantar Agung Ilmu Tafsir dalam Dewan Budaya, Oktober 2007.
40 – Puisi Ramadan Ini Aku Merindui Nabi dalam Mingguan Malaysia, 7 Oktober 2007 (Ahad).
41 – Cerpen Menanti Cinta Suci di Aidilfitri (judul asal Aidilfitri Ini Aku Masih Di Sini) dalam Siasah, bil. 0070, edisi 28 Oktober – 3 November 2007.
42 – Rencana seni Nilai Islam dalam cereka dalam Siasah, bil. 0071, edisi 4 – 10 November 2007.
43 – Rencana seni Seni penulisan sebagai alat dakwah dalam Siasah, bil. 0073, edisi 18 – 24 November 2007.
44 – Cerpen Seorang Lelaki di Jalanan dalam I, Disember 2007.
45 – Rencana seni Melawan hiburan dengan al-Quran dalam Siasah, bil. 0075, edisi 2 – 8 Disember 2007.
46 – Cerpen Aku Hanya Mahu Menangis dalam Mingguan Wasilah, bil. 42, edisi 16 – 29 Disember 2007.
47 – Rencana sastera Siapa Sasterawan Negara Ke-10? dalam Mingguan Malaysia, 30 Disember 2007 (Ahad).
48 – Catatan perjalanan Mengharungi Banjir Ke HESCOM 2007 dalam www.esastera.com/penyair, 31 Disember 2007 (Isnin).Sengaja saya tinggalkan dokumentasi ini untuk tatapan kalian sebagai ucapan selamat tinggal saya untuk tahun 2007 & sebagai ucapan selamat datang buat tahun baru 2008. Saya kira dokumentasi ini perlu untuk;1-Memudahkan kerja dokumentasi teman-teman di Pusat Dokumentasi Melayu Tengku Anis, DBP Wilayah Timur, Kota Bharu.2-Memudahkan peminat tulisan-tulisan saya yang barangkali ada yang mereka tertinggal dan terlepas untuk membacanya.3-Memberi semangat untuk diri saya sendiri agar lebih giat lagi menulis pada tahun 2008 nanti.4-Memudahkan sesiapa juga; pengkaji, penggiat sastera dan peminat sastera untuk penyelidikan atau dokumentasi, atau untuk apa-apa kajian tentang penulisan saya.5-Memudahkan diri saya sendiri di masa depan untuk membuat semakan atau apa-apa dokumentasi berkaitan.6-Memberi semangat kepada penulis-penulis baru atau kepada sesiapa juga yang ingin menjadi penulis, juga memberi semangat kepada penulis-penulis baru yang pernah mendapat asuhan saya di Khemah Sastera, AKSES atau ceramah penulisan GEMA atau dalam mana-mana kem penulisan yang saya sertai.Salam tahun baru dari saya untuk semua yang sudi bertandang ke sini bermula blog ini ditubuhkan, sepanjang 2007 dan hinggalah ke saat ini. Terima kasih atas kesudian kalian semua menelaah sekian banyak tulisan saya. Terima kasih! Doakan saya agar lebih berjaya lagi sebagai penulis yang diredhai Allah di dunia & akhirat menjelang tahun baru yang bakal kita tempuh esok. Semoga kita semua lebih berjaya dan akan lebih diredhai-Nya pada tahun 2008 nanti.SELAMAT TAHUN BARU!Terima kasih semua!Salman SulaimanCC Cahaya, Kg. Padang Selising,Machang, Kelantan.7.02 malam, 31/12/2007.21 Zulhijjah 1428 H, Isnin.
Rencana sastera saya berjudul Siapa Sasterawan Negara Ke-10? tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini bergandingan dengan cerpen sahabat seperjuangan saya Muhammad Lutfi Ishak. Tahniah juga buat kamu Lutfi! Hari ini saya kira merupakan satu kemenangan untuk MPR 2000, kerana kolum utama akhbar Mingguan Malaysia memuatkan tulisan dua orang penulis lulusan kuliah Minggu Penulis Remaja MPR tahun 2000 - saya dan Lutfi. Kenyataan ini hanyalah sebagai satu semangat untuk kami atau hanya untuk diri saya sendiri sahaja. Lutfi pernah mengatakan hal yang sama (iaitu kemenangan MPR 2000) bila puisi kami pernah bergandingan dalam akhbar Mingguan Malaysia satu waktu dulu.Setelah meneliti tulisan saya dalam Mingguan Malaysia itu kembali, aduh!, saya menemukan DUA kesalahan yang tidak disengajakan, iaitu;1-Alamat blog saya sepatutnya www.pemainbahasa.blogspot.com BUKAN www.pemainbahasa.blogpsot .com.2-Pada perenggan akhir, ayat yang sebetulnya ialah, "Jika Anugerah Sastera Negara diadakan tiga tahun sekali pun, pada tahun 2020 nanti kita sudah mempunyai 14 orang Sasterawan Negara," BUKAN, "Jika Anugerah Sastera Negara diadakan tiga kali setahun pun, pada tahun 2020 nanti kita sudah mempunyai 14 orang Sasterawan Negara."Saya pohon maaf atas DUA kesilapan yang tidak disengajakan ini. Ketika menyedarinya pagi tadi, saya segera kembali membuka naskhah asal tulisan itu di dalam komputer, ternyata ia memang kesalahan di pihak saya bukan di pihak editor. Saya memang mengedit dan membaca semula setiap tulisan saya sebelum dikirim ke penerbitan tetapi kerana mata yang sudah berpinar barangkali, dua kesilapan itu terlepas dari pandangan saya. SAYA POHON MAAF BANYAK-BANYAK ATAS KESILAPAN ITU.Keseluruhan rencana saya itu, bacalah saja di sana - Mingguan Malaysia. Terima kasih.Salman SulaimanCC Cahaya, Kg. Padang Selising,Machang, Kelantan.4.33 petang, 30/12/2007.20 Zulhijjah 1428 H, Ahad.
Eid Mubaarak [Selamat hari raya yang diberkati], saya ucapkan buat semua yang menatap halaman blog ini. Sempena Aidiladha yang bakal disambut esok, saya tinggalkan anda dengan beberapa adab seorang Muslim tatkala menjelangnya hari raya.Ketika tibanya hari raya, Islam telah menggariskan beberapa panduan untuk diikuti oleh penganutnya. Ini jelas diajarkan Nabi (saw) dalam banyak riwayat-riwayat hadis yang sahih. Antara panduan-panduan tersebut ialah:
1 – Bercantik dan berhias di hari raya
Imam Ibn Khuzaimah meriwayatkan dalam kitab sahih beliau, pada hadis nombor 1765 yang bermaksud, “Daripada Jabir (ra) katanya: Bagi Nabi (saw) ada satu jubah yang Baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari jumaat.”
Demikian juga Imam Al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang sahih, bahawa Ibn ‘Umar sentiasa memakai pada hari raya seindah-indah pakaiannya.
2 – Keluar ke tempat solat melalui jalan lain dan balik daripadanya melalui jalan lain
Dalam hadis nombor 986, Imam Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis dalam kitab sahih beliau yang bermaksud, “Daripada Jabir bin Abdillah (ra) katanya: Adalah Nabi (saw), pada hari raya Baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).”
Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini iaitu:
(1) – Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan Allah pada hari kiamat nanti. Ini kerana bumi akan membicarakan pada hari kiamat apa yang dilakukan di atasnya dari perkara-perkara baik dan jahat.
(2) – Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam.
(3) – Untuk menzahirkan zikir kepada Allah.
(4) – Untuk menyakitkan hati orang-orang Munafikin dan Yahudi dan sebagai menakutkan mereka dengan ramainya umat Islam.
(5) – Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan atau untuk menziarahi sanak saudara dan menghubungkan silaturrahim.
3 – Ucapan tahniah pada hari raya
Termasuk daripada adab berhari raya ialah dengan menyampaikan ucap tahniah sesama Muslim dengan sebarang ucapan yang baik seperti ucapan:
(a) – “Taqobbalallooh huminna waminggkum.” – Semoga Allah menerima amalan dari kami dan anda semua.
(b) – “Eid Mubaarak.” – Selamat hari raya yang diberkati.
Atau ucapan yang seumpama dengan ucapan-ucapan tadi yang terdiri dari ungkapan-ungkapan tahniah yang dibenarkan. Jubair bin Nufair berkata: “Para sahabat Nabi (saw) apabila mereka bertemu sesama mereka pada hari raya mereka mengucapkan, “Taqobbalaminnaa waminggkum.” Imam Ibn Hajar dalam kitab Fathul Bari mengatakan bahawa riwayat isnad ini adalah hasan.
4 – Keluar dengan berjalan kaki ke tempat solat hari raya
Daripada ‘Ali bin Abi Tolib (ra) katanya: “Termasuk di dalam sunnah, mendatangi (solat) hari raya dengan berjalan kaki.” [Hadis riwayat Imam Al-Tirmizi dan beliau mengatakan hadis ini ialah hadis hasan]. Kata Imam Al-Tirmizi lagi, “Beramal dengan hadis ini kebanyakan para ulama’, mereka memandang sunat orang lelaki keluar (untuk solat hari raya) dengan berjalan kaki.”
Kata Imam Ibn Munzir, “Orang yang berjalan kaki ke hari raya (tempat solat hari raya) adalah lebih baik dan lebih hampir kepada maksud tawadhu’, dan tidak mengapa bagi sesiapa yang berkenderaan.”
5 – Wanita juga keluar menunaikan solat hari raya
Para wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk di dalam sunnah Nabi (saw). Dari Umm ‘Atiyyah (ra) katanya: “Kami disuruh oleh Nabi (saw) untuk mengeluarkan mereka (semua wanita) pada hari raya Aidilfitri dan Al-Adha wanita yang baru baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun wanita haid diasingkan daripada tempat sembahyang.”Untuk semua, saya ucapkan selamat hari raya Aidiladha. Saya pohon maaf atas segala salah dan silap selama saya mengenali anda semua & selama anda mengenali saya, sebagai; kawan, pembaca, sahabat, pengikut setia, penggemar tulisan-tulisan saya atau sebagai apa pun, maaf atas segala yang terkasar bahasa atau yang tersalah kata atau atas segala apa yang telah membuatkan anda terluka & terguris rasa. Dalam hujan, ditambah ujian banjir yang melanda, moga Aidiladha ini akan menambahkan iman & taqwa kita kepada-Nya.Salman SulaimanCC Cahaya, Kg. Padang Selising, Machang, Kelantan Darul Naim.11.12 malam, 19/12/2007.9 Zulhijjah 1428 H, Rabu.
Pada pagi jumaat yang mulia ini, saya menemukan sebuah puisi karangan Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud yang sangat menarik berbicara tentang ilmu dan pencariannya dengan berguru; melalui guru. Puisi tersebut dicatatkan dalam buku beliau, Kerangka Keilmuan Tamadun Melayu pada halaman 14 – 15. Saya membacanya secara senyap dan saya cuba mendeklamasikannya, sangat sedap. Cubalah kalian mendeklamasikannya pula, mana tahu ia akan bakal menusuk ke kalbu saudara-saudari juga. Tapi, yang lebih penting mahu saya tekankan di sini ialah bukan rimanya yang menyedapkan bunyi bila dideklamasi sahaja tetapi apa yang mahu disampaikan oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nor dalam puisi tersebut.
Beliau menekankan tentang aspek ilmu, cara pencariannya, cara pengambilannya dan bagaimana menilai serta mempertimbangkannya. Cuma, saya tetap mahu mengingatkan kalian supaya meneliti apa yang disampai oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nor. Cuba perhatikan puisi tersebut:
Tidak jatuh martabat kita jika bertanya kepada
yang a’lamu
Pepatah kita, “Malu bertanya sesat jalan”, lupakah
kamu?
Itu ajaran Qur’an: fas alu ahla zikri inkuntum
la-ta’lamun.
Sesungguhnya bertanya tidak semudah yang
dianggap umum –
Pertama, kau harus insaf dan sedar akan
kejahilanmu akan sesuatu
Kedua, harus kenal pasti alim yang bakal
kaurujuk membantu.
Jangan dilihat kepada ayat-ayat hafalan yang lahir
dari lidahnya
Jangan terkesan dengan labuh jubah dan warna
janggutnya
Jangan terikat jaminannya memberi syurga di Sini
atau Sana
Tapi lihatlah penjelasannya tentang perkara asas
lagi penting
Kebolehannya menghurai, mengupas, menolak,
tidak melenting
Kesanggupannya mengamalkan ilmu, sederhana,
tidak sumbing.
Keberaniannya mempertahankan ilmu di depan
ahli, penguasa
Keadilannya meletakkan setiap sesuatu benar di
tempatnya.
Itulah neraca bukan rekaan khayalan hamba
Ijma hukama kita paling wibawa. Fahami jua.
(Wan Mohd Nor Wan Daud, Mutiara Taman Adabi: Sebuah Puisi Mengenai Agama, Filsafat dan Masyarakat, Kota Bharu: Dian, 2003, Bab Iman dan Ilmu)
[Rujuk: Wan Mohd Nor Wan Daud, Kerangka Keilmuan Tamadun Melayu, m.s. 14 – 15 & 31, Kota Bharu: Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, 2004]
Dua hari ini, kalian hayatilah puisi ini sajalah dulu kerana saya mahu meninggalkan saudara-saudari seketika ke Kuala Lumpur, menghadiri malam HESCOM 2007 di Dewan Bahasa dan Pustaka yang akan berlangsung pada 15 Disember 2007, jam 8.30 malam. Saya sebetulnya mahu bertemu teman-teman www.esastera.com di sana dan saya juga bakal mempersembahkan sebuah dekon istimewa kepada mereka. Ya, esok dan lusa – saya memang mahu tinggalkan kalian dengan puisi di atas sajalah dulu.
Jangan lupa juga, lusa pagi-pagi (ahad) dapatkan akhbar Mingguan Wasilah terbaru edisi 16 – 22 Disember 2007 kerana sebuah karya saya tersiar di dalamnya. Hayatilah juga ia sesungguh-sungguhnya sebelum saya balik bertemu kalian semula.
Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
11.00 pagi, Jumaat.
14/12/2007, 4 Zulhijjah 1428 H.
Pada bab pertama, dalam kitab Riyadhus Shalihin karangan Imam Al-Nawawi, saya menemukan sebuah hadis yang menitipkan kata-kata Nabi (saw) tentang betapa luasnya rahmat Allah kepada kita manusia. Wahai teman-temanku yang dikasihi, renungilah keterangan Nabi yang menusuk hati ini, renungkanlah!; Dari Abul Abbas, iaitu Abdullah bin Abbas bin Abdul Muththalib, radhiallahu 'anhuma dari Rasulullah s.a.w. dalam suatu huraian yang diceriterakan dari Tuhannya Tabaraka wa Ta'ala - Hadis semacam ini disebut Hadis Qudsi - bersabda:
"Sesungguhnya Allah Ta'ala itu mencatat semua kebaikan dan keburukan, kemudian menerangkan yang sedemikian itu - yakni mana-mana yang termasuk hasanah dan mana-mana yang termasuk sayyi 'ah.
Maka barangsiapa yang berkehendak mengerjakan kebaikan, kemudian tidak jadi melakukannya, maka dicatatlah oleh Allah yang Maha Suci dan Tinggi sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisiNya, dan barangsiapa berkehendak mengerjakan kebaikan itu kemudian jadi melakukannya, maka dicatatlah oleh Allah sebagai sepuluh kebaikan di sisiNya, sampai menjadi tujuh ratus kali lipat, bahkan dapat sampai menjadi berganda-ganda yang amat banyak sekali.
Selanjutnya barangsiapa yang berkehendak mengerjakan keburukan kemudian tidak jadi melakukannya maka dicatatlah oleh Allah Ta'ala sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisiNya dan barangsiapa yang berkehendak mengerjakan keburukan itu kemudian jadi melakukannya, maka dicatatlah oleh Allah Ta'ala sebagai satu keburukan saja di sisiNya." (Muttafaq 'alaih)
Keterangan:
Hadis di atas menunjukkan besarnya kerahmatan Allah Ta'ala kepada kita semua sebagai ummatnya Nabi Muhammad s.a.w.
Renungkanlah wahai saudaraku. Semoga kami dan anda diberi taufik (pertolongan) oleh Allah hingga dapat menginsafi kebesaran belas-kasihan Allah dan fikirkanlah kata-kata ini.
Ada perkataan 'Indahuu (bagiNya), inilah suatu tanda kesungguhan Allah dalam memperhatikannya itu.
Juga ada perkataan kaamitah (sempurna), ini adalah untuk mengukuhkan ertinya dan sangat perhatian padanya.
Dan Allah berfirman di dalam kejahatan yang disengaja (di-maksud) akan dilakukan, tetapi tidak jadi dilakukan, bagi Allah ditulis menjadi satu kebaikan yang sempurna dikukuhkan dengan kata-kata "sempurna". Dan kalau jadi dilakukan, ditulis oleh Allah "satu kejahatan saja" dikukuhkan dengan kata-kata "satu saja" untuk menunjukkan kesedikitannya, dan tidak dikukuhkan dengan kata-kata "sempurna".
Maka bagi Allah segenap puji dan kurnia. Maha Suci Allah, tidak dapat kita menghitung pujian atasNya. Dan dengan Allah jualah adanya pertolongan.[Rujuk: Imam Al-Nawawi, Riyadhus Shalihin (edisi e-book), Bab 1 - hadis no. 11: http://hikmah.sitesled.com, E-Kitab Islamik, 2007].Salman SulaimanTeratak Seni, Machang.11.02 pagi, Rabu.2 Zulhijjah 1428 H.12/12/2007.
Doa Bilamana Ada Angin Ribut
Ketika negeri Johor dikhabarkan dilanda banjir lagi, yang diberitakan semakin buruk dan kini, tanah Kelantan sedang ditimpa hujan yang disusuli juga dengan angin ribut serta kawasan Manek Urai di Kuala Krai, Ayer Lanas dan Legeh di Jeli sudah dilanda banjir; ada baiknya saya perturunkan sebuah hadis Nabi (saw) yang ada kaitannya dengan angin ribut ini. Sebuah hadis yang saya kutip dari karangan Ibn Taimiyyah, Al-Kalimu Ath-Thayyib;
153 – Abu Hurairah (ra) berkata: Saya mendengar Rasulullah (saw) bersabda:
{Maksudnya} “Angin itu termasuk rahmat Allah yang datang membawa rahmat dan kadang kala datang membawa azab. Jika kalian melihat angin ribut janganlah kalian memakinya tapi mintalah kepada Allah kebaikannya. Dan berlindunglah kepada Allah dari kejahatannya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah) [Demikian pula diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanad hasan sebagaimana dikatakan oleh Al-Nawawi, dan dinyatakan sahih oleh ulama lainnya]
[Lihat: Syeikhul Islam Imam Ibn Taimiyyah, Kumpulan Do’a dan Dzikir Nabawi (tahqiq Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani), m.s. 162, Jakarta: Dar El-Hujjah, November 2001]
Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
4.12 petang, Jumaat yang sangat dingin.
7/12/2007, 27 Zulkaedah 1428 H.
Kebetulan di dalam beg sandang saya ketika ini ada sebuah buku yang berjudul Bagaimana Orang Malas Boleh Jadi Kaya? karya Ibnu Yusof. Maka, elok saya kira saya petik apa yang tertera pada halaman 146 buku ini untuk anda tatapi dua tiga hari ini. Ibnu Yusof memulakan halaman ini dengan sebaris kata-kata hikmah iaitu;Tumpukan perkara yang anda betul-betul tahu.- Arthur SpearDan, dengan tajuk 'Buat yang Anda Tahu, Tahu Apa yang Anda Buat', beliau menuliskan begini;"Seorang usahawan yang sudah kaya raya setelah kira-kira 4 tahun berniaga telah berkata kepada penulis bahawa dia tidak akan buat apa yang dia tidak tahu. Dia hanya buat apa yang dia tahu. Pada hemat penulis itulah sebab dia jadi kaya.Masalah pada orang yang tidak kaya-kaya ialah dia buat juga apa yang dia tidak tahu dengan harapan bila dia buat dia akan tahu. Memanglah dia dapat belajar dari pengalaman itu tapi dia tidak akan jadi kaya kerana masanya dihabiskan melakukan apa yang dia tidak tahu dan meninggalkan apa yang dia tahu. Sebenarnya apa yang dia tahu itulah yang diperlukan oleh orang lain dan kerana itulah ianya hingga boleh diniagakan dan mendapat wang. Apa yang dia tidak tahu tidak ada siapa yang teringin.Sama juga keadaannya dengan orang yang tahu tetapi tidak buat. Dia tidak akan kaya-kaya. Ini kerana dia sendiri tidak percaya bahawa apa yang diketahuinya itu bermanfaat untuk dirinya dan orang lain.Jadi janganlah hairan bila anda dapati orang yang tidak bersekolah tinggi atau tidak berkemahiran teknikal atau bukan pakar jadi kaya. Ianya kerana mereka buat apa yang mereka tahu dan percaya ianya memberi manfaat dan keuntungan. Mereka terus maju kerana mereka tahu, bukan kerana tak tahu."[Lihat: Ibnu Yusof, Bagaimana Orang Malas Boleh Jadi Kaya?, m.s. 146, Al-Kafilah Enterprise: Kota Bharu, 1995]Ya, untuk dua tiga hari ini, saya tinggalkan anda dengan catatan ini sajalah dulu; kerana saya mahu ke Melaka, sebetulnya ke Hotel Sri Warisan, Air Keroh - menghadiri program Hari Puisi Nasional anjuran GAPENA, bermula esok dan berakhir selasa ini; 2 - 4 Disember 2007. Izinkan dua tiga hari ini saya berkembara puisi. Dan, jumpa nanti.Salman SulaimanCC Cahaya, Kg. Padang Selising, Machang, Kelantan.12.13 tengah hari, Sabtu.1 Disember 2007, 21 Zulkaedah 1428 H.