Friday, September 28, 2007

Lailatul Qadar – Malam yang Lebih Baik Dari Seribu Bulan


Di malam-malam bulan Ramadhan ini kita akan menemui satu malam yang keutamaan dan kebaikannya melebihi seribu bulan, malam qadar atau lailatul qadar, demikian sebutannya. Setiap kaum muslimin pasti mengharapkan akan mendapati malam yang agung tersebut. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah menjelaskan kepada umatnya bagaimana keutamaan malam qadar, waktu dan ciri-cirinya.

Keutamaannya

Di antara keutamaan lailatul qadar ialah kebaikannya melebihi seribu bulan sebagaimana firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Qur’an) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apa malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Rabbnya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar.”
(al-Qadr: 1 – 5)

Waktunya

Yang paling kuat dari semua perkataan dan pendapat ulama tentang masalah waktunya adalah bahawa lailatul qadar ditemui pada salah satu dari sepuluh malam-malam ganjil terakhir dari bulan Ramadhan sebagaimana yang disebutkan dalam hadith Aisyah r.a, ia berkata:

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam beri’tikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan dan baginda berkata: “Carilah oleh kalian (dan dalam riwayat lain: tuntutlah oleh kalian) lailatul qadar pada malam (malam ganjil dari) sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan.”
(Bukhari dan Muslim)

Mengetahui waktu yang pasti tentang bilakah lailatul qadar telah dibawa ke depan, kerana ada manusia yang bertengkar, sebagaimana yang diriwayatkan dari ‘Ubadah bin Shamith r.a, ia berkata:

“Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada lailatul qadar dan dua orang dari kaum muslimin bertengkar, maka baginda bersabda: “Sesungguhnya aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kalian tentang bilakah lailatul qadar, maka bertengkarlah si fulan dan si fulan sehingga diangkat khabar tersebut, semoga yang demikian baik bagi kalian, maka carilah lailatul qadar itu pada yang kesembilan, ketujuh dan kelima (di dalam satu riwayat: “.. pada yang ketujuh, kesembilan dan kelima).”
(Bukhari)

Maka dari semua keterangan di atas dapat disimpulkan bahawa seorang muslim boleh mencari lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh terakhir bulan Ramadhan iaitu malam ke 21, 23, 25, 27 dan 29. Jika ia tidak mampu untuk mencarinya pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh terakhir maka hendaklah ia mencarinya pada malam-malam ganjil dari tujuh hari yang terakhir iaitu malam ke 25, 27 dan 29, wallahu a’lam.

Asy-Syeikh al-Albani rahimahullah menegaskan dalam kitabnya, Qiyamu Ramadhan, hal. 19, bahawa lailatul qadar adalah pada malam ke 27 dari bulan Ramadhan menurut pendapat yang rajih [kuat], kerana itulah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam mengumpulkan keluarga dan isteri-isterinya pada malam tersebut. Maka dengan demikian disunahkan juga bagi kaum wanita untuk turut menghadiri malam yang mulia ini.”

Hendaklah seorang muslim bersemangat untuk taat kepada Allah SWT dalam mencari lailatul qadar menghidupkannya dengan keimanan dan bersemangat untuk mendapatkan pahalanya yang besar, kerana jika ia berbuat yang demikian Allah SWT akan mengampunkan apa yang telah lalu dari dosa-dosanya.

Dan disunnahkan juga untuk berdoa dan memperbanyakkan doa pada malam tersebut, sebagaimana yang telah diriwayatkan dari Aisyah r.a, ia berkata:

“Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu jika aku mendapat lailatul qadar tersebut, apa yang harus aku ucapkan?” Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Katakanlah: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf yang suka memberi maaf maka maafkanlah aku.”
(Tirmizi dan Ibnu Majah dengan sanad yang sahih)

Ciri-cirinya

Sesungguhnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan sifat dan keadaan pada pagi hari dari lailatul qadar agar seorang muslim mengetahui pada malam apa lailatul qadar tersebut.

“Dari Ubay r.a, ia berkata: “Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Matahari terbit pada pagi hari lailatul qadar tanpa bersinar, seakan-akan matahari tersebut adalah sebuah bejana sehingga bertambah tinggi (naik).”
(Muslim)

“Dari Ibnu Abbas r.a, ia berkata: “Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Lailatul qadar adalah malam yang lapang/luas dan cerah, tidak panas dan tidak pula sejuk. Matahari terbit pada pagi harinya dalam keadaan lemah kemerah-merahan.”
(Thayalisi, Ibnu Khuzaimah, al-Bazzar dan sanadnya hasan)

[Lihat: Kelemahan Riwayat Tarawih 20 Rakaat karya Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani, halaman 163 – 166, terbitan Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2003]

Tingkatan Hadith-hadith Sahih:

a. Hadith yang diriwayatkan dengan sanad yang paling sahih tingkatannya, seperti Malik, daripada Nafi’, daripada Ibn Umar.

b. Hadith yang disepakati oleh al-Bukhari dan Muslim dalam kitab sahih mereka, hal ini kerana sekalian ulama telah sepakat menerima kesahihan bagi kedua-dua kitab tersebut.

c. Hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari sahaja.

d. Hadith yang diriwayatkan oleh Muslim sahaja.

e. Hadith yang menurut syarat al-Bukhari dan Muslim tapi tidak dikeluarkan dalam kitab sahih mereka.

f. Hadith yang menurut syarat al-Bukhari tapi tidak dikeluarkan dalam kitabnya.

g. Hadith yang menurut syarat Muslim tapi tidak dikeluarkan dalam kitabnya.

Hadith yang sahih menurut ulama lain seperti Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban meskipun tidak menurut syarat yang ditetapkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

Demikian, sepertimana yang disebutkan oleh Ibn Taimiyyah dalam kitabnya “Muntaqa al-Akhbar min Ahadith sayyid al-Akhyar”, beliau menyebutkan hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Ahmad dengan sebutan “Muttafaq alaih” dan hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim dengan sebutan “Akhrajahu.”

[Lihat: Cara Mudah Memahami Ilmu-ilmu Hadith (terjemahan Mabahith fi ‘Ulum al-Hadith) karya Syeikh Manna’ Khalil al-Qathan, halaman 138 – 139, terbitan Pustaka Jiwa, Kuala Lumpur, 2006]

Semoga kita, mudah-mudahan mendapat lailatul qadar pada ramadan ini. Selamat memperhambakan diri kepada Allah, mencari lailatul qadar. Juga memohon petunjuk, keampunan dan rahmat-Nya.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang, Kelantan.
12.17 tengah hari, Jumaat.
28 September 2007
16 Ramadan 1428H.

1 comment:

Mantan MPR said...

Salam. Jemput ke http://www.minggupenulisremaja.blogspot.com