Tuesday, January 23, 2007

Seorang teman bercerita dan biarlah saya kekal berbaik sangka

Seorang teman mula bercerita, "Si polan bin polan yang cakap nampak dia di tempat orang ramai, siap pegang tangan dengan pakwe dia lagi."

"Betul Man, takkan si polan bin polan tu tipu."

"Iskh, tak percayalah aku, betul ke ni?" Saya memang tersangat tidak percaya.

"Betul Man, si polan bin polan yang cakap, takkan dia tipu."

Saya masih tak percaya, "Aiiiiii, tak percayalah aku, selagi aku tak tengok dengan mata kepala aku sendiri."

Teman itu tetap menegaskan juga, "Manusia zaman sekarang Man."

"Aiiiiii, aku masih tak percaya ni."

"Perempuan Man."

"Aku kenal sangat dengan dia tu, aku tahu perangainya, hati budinya dan keteguhan prinsip serta pegangan agamanya." Saya memang masih tidak percaya.

"Tak percayalah aku, entah-entah salah pandang kot, nampak macam pegang tangan, tapi tak kot."

"Depan orang ramai Man, dia siap pegang tangan pakwe dia." Teman itu menegaskan juga.

"Iskh, aku tak percayalah orang yang berpakaian seIslamik dia buat macam tu, dia tak macam tu, aku kenal sangat dengan dia." Saya memang sangat tidak percaya, kalau saya tak tengok dengan mata kepala saya sendiri.

Teman itu berkeras juga, "Pakaian dia pun bukannya Islamik sangat, biasa aje kan. Ala Man, manusia zaman sekarang."

Saya pun berkeras juga, "Tapi, kalau betul, hilanglah kepercayaan aku selama ini pada dia yang kukenal sangat Islamik - dari cakap dan tutur katanya sampailah kepada pakaiannya dan juga tingkah lakunya." Kalau betul apa yang diceritakan teman saya itu, maka tak gunalah tudung cantiknya itu dan budi bahasanya yang lemah lembut itu, kalau benar dia berpegang tangan dengan lelaki bukan muhrimnya. Itu di depan orang, kalau di belakang orang?

Tapi, bagi saya sendiri, saya takkan terima satu-satu cerita itu tanpa bukti dan fakta yang kukuh. Selagi saya tak tengok dengan mata kepala saya sendiri, saya tetap berpendirian untuk tidak percaya. Sebagai teman juga kepada si dia, lebih elok dan lebih adil untuk saya kekal berbaik sangka kepada si dia yang kononnya berpegang tangan dengan pakwenya di khalayak ramai. Barangkali si polan bin polan hanya tersalah pandang. Barangkali.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
10.47 pagi, 23 Januari 2007
Selasa, 4 Muharam 1428 H.

Monday, January 22, 2007

Aku Berhak Berasa Kecewa

Aku berhak berasa kecewa kerana bukuku hanya sebuah sahaja yang laku di Pesta Buku Machang, awal Januari lalu walaupun aku tinggal 20 buah semuanya. Iaitu 10 buah Sebelum Menjadi Penakut dan 10 buah 'Ngembara ke Utopia Republik Cinta Sesudah Letih Menjadi Lelaki (bersama Jimadie). Walhal pesta buku itu berlangsung hampir 2 minggu. Aku mula tinggal 20 buah buku itu pada 2 Januari 2007 dan pesta buku itu berakhir pada 13 Januari. Padahal - Amir, sahabat yang baru saja kukenal; anak pintar yang baik hati itu - telah tuliskan iklan promosi 2 buah bukuku itu dan letakkan atas meja, dekat buku-bukuku yang mahu dijual itu. Dia tulis besar-besar dan cantik-cantik lagi kertas promosi itu. Tapi, yang peliknya; seramai-ramai orang Machang yang hadir ke pesta buku itu tak nampak ke apa yang Amir tulis itu?

Semua 20 buah bukuku itu diletakkan di kaunter bayaran, takkan mereka tak nampak kertas iklan yang terpampang berdekatan 20 buah bukuku itu. Sebuah yang laku itu pun, Amirlah yang beli. Kalau dia tak beli, memang satu pun tak lakulah nampaknya. Di hari akhir pesta buku, bos yang menganjurkan pesta buku itu terkejut sekali setelah dia tahu sebuah saja bukuku yang laku. "Allahhu Akbar," dia bertakbir perlahan, sedih campur terkejut setelah kuberitahu hanya sebuah bukuku yang laku.

Aku berhak berasa kecewa kerana di Machang tak ada pun perpustakaan. Kalau tidak, senanglah aku nak mencari bahan rujukan dan senang juga nak meminjam buku-buku kegemaran. Di Kuala Krai ada perpustakaan awam. Di Pasir Puteh pun ada. Tapi, banyak kali juga aku bertanya di dalam hati, "Kenapa di Machang tak ada perpustakaan?" Aku pun menjadi tersangat hairan. Padahal di Machang ada UiTM, sebuah IPTA yang begitu dikenali dan memuatkan insan-insan yang berpendidikan tinggi. Walhal, aku sendiri sudah kemukakan keinginan untuk melihat perkhidmatan perpustakaan di Kelantan menjadi bagus dan baik seperti di Terengganu kepada Dato' Menteri Besar Kelantan sendiri di sebuah majlis makan malam MB bersama wartawan, budayawan dan penulis di Hotel Perdana 2, 3 tahun yang lalu.

Aku berhak berasa kecewa dan lebih kecewa setelah masalah ketiadaan perpustakaan di Machang ini telah aku tuliskan dalam sebuah artikel dan aku hantar ke Sinar Harian di awal penerbitannya dulu, tapi tak tersiar. Dan aku sedang berkira-kira untuk menulis surat kepada Ahli Parlimen Machang sendiri, melalui Pusat Khidmat Rakyatnya yang ada di pekan Machang supaya dibincangkan dan dipertimbangkan sebuah perpustakaan awam di daerah kami. Sebab penantian ini sudah lama sekali aku harapkan menjadi kenyataan. Aku hanya mahu minta sebuah perpustakaan, ya, sebuah perpustakaan.

Aku berhak berasa kecewa kerana banyak kali buku yang kuinginkan gagal aku temui di Machang. Di awal-awal buku itu terbit, aku pergi melihat sendiri di dua kedai buku yang kutahu mengedarkan buku dari syarikat penerbitan yang kucari, aku meninjau-ninjau di rak-raknya dan bertanya pula kepada petugas-petugasnya, tak ada. Katanya, "Di situ sajalah, kalau tak ada di situ, tak adalah." Aku datang lagi selang beberapa hari kemudian, kalau-kalau buku yang kucari itu lambat sampai. Juga tak ada, menyebabkan aku tak mahu lagi pergi tanya di lain kali, sebab aku tahu dia akan bagi jawapan yang sama; tak ada. Aku tahu, kalau aku naik bas ke Kota Bharu untuk mencari buku itu pun, belum tentu ada. Padahal, dalam kedai yang aku cari memang banyak buku-buku dari syarikat penerbitan itu, tapi kenapa pula buku yang aku nak tak ada?

Sebagai manusia, aku berhak berasa kecewa.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
11.52 pagi, 22 Januari 2007.
Isnin, 3 Muharam 1428 H.

Sunday, January 21, 2007

Saya memang tidak akan berhenti bertapa

Saya mulakan kemaskini terbaru ini dengan salam kemaafan buat ramai teman yang sering bertanya tentang blog saya yang sudah hampir setengah tahun membisu. [Dahri, Jimadie, Abe Rahimidin Zahari dan Akak Raihani - ambil ini, penumbuk sulung di awal hijrah.] Bukan tak ada idea atau hilang komputer atau ditimpa bencana. Kerana terlalu banyak yang nak ditulis sebenarnya. Tapi sengaja saya paparkan lama-lama iklan buku-buku saya, cuba-cuba mahu melihat setakat mana sambutannya. Macam biasalah, seperti yang saya selalu kata; jual buku bukan macam jual nasi lemak atau makanan-makanan lain.

Tapi, saya tidak pernah diam bertapa; menulis apa saja setakat yang terdaya. Walaupun saya kelihatan diam lama di alam maya, di ruang siber. Tapi, di ruang yang tidak siber, saya masih ada untuk bertemu dengan anda semua. Itu pun kepada yang rajin membaca, orang yang seperti andalah maksud saya - yang suka baca blog, majalah, surat khabar, jurnal, risalah, buku dan segala yang boleh dibaca. Saya sukalah dengan orang yang macam awak semua ni. Yang tanya, kalau lama saya tak kemaskini blog, yang tanya juga tentang apa buku-buku baru saya. Yang nak ambil tahu tentang dunia ilmu. Yang ingin maju. Terima kasih banyaklah awak-awak yang ada. Terima kasih ya.

Dalam diam saya yang lama dari berblog, terlalu banyak yang tak saya catatkan. Tentang beberapa majlis sastera anjuran DBP Wilayah Timur, Kota Bharu yang saya hadiri. Tentang kelana saya selama dua hari satu malam di Tasik Pergau, Jeli. Tentang pengakuan saya di Malam Pengakuan Penyair di Rumah PENA awal Disember tahun lalu dan tentang kehidupan saya selama seminggu lebih di Kuala Lumpur sehabis membuat pengakuan, juga tentang buku-buku yang sempat saya beli di Kuala Lumpur. Tentang kesyahduan Aidiladha dan majlis 'Qurban' di kampung saya. Tentang buku saya yang tak laku di Pesta Buku Machang. Dan tentang buku saya yang hilang di majlis sastera.

Kadang-kadang, ada ketikanya kita perlu diam dan kadang-kadang, ada ketikanya kita perlu bercakap dan memberitahu supaya orang faham. Dan ada ketikanya terlalu banyak yang perlu kita beritahu dan banyak juga yang tak perlu diberitahu. Di awal tahun yang baru, biarlah blog ini pun ada tulisan baru untuk awak-awak yang tak pernah letih-letih menunggu.

Oh ya, untuk teman-teman di sekitar Kuala Lumpur yang mahu dapatkan dua buku terbaru saya; boleh membelinya melalui Saudara Mohd Dahri Zakaria [wartawan esastera], Nasriah Abdul Salam di UIAM, Gombak dan Faisal Mustaffa [pengedar buku online]. Tapi, kepada yang mahu memesan secara online, boleh rujuk kemaskini saya yang terdahulu di blog ini.

Kini tanah Padang Raja, masih kekal seperti biasa dengan langit mendung yang bersilih ganti dengan panas seketika dan kemudian bertukar mendung semula. Cuma pagi ini, hujan sudah beberapa jam tidak turun. Selalunya hujan akan bersilih ganti dengan sedikit panas, mendung dan hujan kembali dan panas lagi. Begitulah yang terjadi, sudah beberapa hari.

Di awal hijrah yang redup ini, biarlah saya akhiri catatan pembukaan ini dengan sebaris ayat Allah ini; bukan sahaja buat saudara-saudara yang ditimpa bencana banjir di Johor tetapi yang berada di mana-mana saja, ditimpa bencana atau tidak ditimpa bencana - malah untuk ingatan diri saya juga, iaitu maksud ayat ini;

"Dan (patutkah) mereka (berdegil) tidak mahu memperhatikan, bahawa mereka dicuba (dengan berbagai-bagai bencana) pada tiap-tiap tahun, sekali atau dua kali; kemudian mereka tidak juga bertaubat, dan tidak pula mereka mahu beringat (dan insaf)?"
[Surah At-Taubah: 126]

Salam Maal Hijrah 1428. Jumpa lagi.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang.
12.23 tengah hari, 21 Januari 2007.
Ahad, 2 Muharam 1428 H.