Tuesday, May 09, 2006

Kutinggalkan sepulau tanah rindu yang dulu, dengan hati yang paling sayu

Saya selesaikan segala persiapan terakhir sebelum saya tinggalkan tanah pulau yang penuh kenangan itu, Pulau Mutiara. Dua hari terakhir di universiti, habis satu kampus juga saya berkeliling. Bersama rakan sebilik yang setia menjadi teman saya hari itu, kami pusing-pusing ke segenap ceruk kampus untuk saya tatap setiap lekuk dan inci tanahnya buat kali terakhir sebagai mahasiswa.

Saya hayati setiap sudut di kampus Minden sungguh-sungguh, kerana saya sedar, saya bakal tinggalkannya. Tanah yang penuh kenangan itu masih jelas terbayang-bayang di ingatan saya. Saya teringatkan Pien, teman sebilik yang paling baik hati. Layanannya kepada saya memang tak akan saya perolehi lagi lain kali. Saya percaya, terlalu sukar mencari teman sebaiknya. Terlalu sayu hati saya mengenangkan kesudiannya menghantar saya ke dewan kuliah dan menjemput saya sehabis kuliah. Layanannya buat saya terlalu istimewa, yang tentunya tak mampu saya balas.

Pagi itu, 27 April 2006 [Khamis] - kami tinggalkan Desasiswa Indah Kembara, berdua. Itu pun setelah kami singgah sekejap di pejabat desa mengambil surat saya. Saya lihat halaman berturap yang agak luas di hadapan desa, tempat saya pernah berdiri membaca puisi.
Tempat saya pernah duduk bersila, mengaji. Kerana di situlah tempat berlangsungnya program Minggu Sekalung Budi anjuran Desasiswa Indah Kembara dan dilaksanakan para penghuninya.

Kami tinggalkan pejabat desa yang sudah agak lengang, kerana ramai juga yang sudah meninggalkan kampus sehabis peperiksaan. Singgah seketika di Jabatan Keselamatan yang letaknya betul-betul di depan desa lama saya, Desasiswa Aman Damai. Tempat yang lebih senang kami panggil 'Bukit Aman', kerana kedudukannya sedikit di atas bukit. Sesuai pula dengan tugas para stafnya yang menjaga keselamatan kampus dan warganya. Tempat yang pernah saya kunjungi membuat laporan kehilangan telefon bimbit berkamera saya di pertengahan tahun 2005 yang lalu.

Perancangan kami hari itu, termasuklah mengunjungi Perpustakaan Hamzah Sendut 1 menghantar buku. Saya hulurkan kepada abang yang bertugas di kaunter pinjaman 4 buah buku yang telah lebih seminggu saya pinjam. Naskhah kesayangan yang telah saya pulangkan itu ialah Tafsir bi Ar-Ra'yi karya Dr Nashruddin Baidan, Tata-tertib Pengajian Al-Quran oleh Imam An-Nawawi, Nyanyi Sunyi Seorang Bisu dan Larasati buah tangan Pramoedya Ananta Toer. Di situlah tempat selalu saya bersunyi-sunyi seorang diri membaca karya sastera. Asyik, dan sampai lenguh-lenguh berdiri melewati rak-rak yang dipenuhi buku-buku.

Juga, kami ke Jabatan Bendahari melangsaikan bayaran yuran konvokesyen. Jumpa bekas teman sekuliah saya waktu ambil subjek bahasa Inggeris dulu. Lama sungguh tidak bertemu. Boleh pula saya bertanya, "Kau pun dah habis jugak la kan?", walhal saya terlupakan resit di tangannya seperti yang ada di tangan saya & kami berdua sama-sama ketawa setelah dia tunjukkan resit yang sama kepada saya. Mira, saya mengingat-ingat semula namanya sesudah saya seperti terlupa kerana lama benar tidak bersua. Kawan sekelas kami juga, Ayu, sedang menunggunya di kereta. Ramai juga yang datang melangsaikan bayaran membuatkan lama juga kami perlu menunggu.

Kami singgah juga di tempat yang selalu menjadi kunjungan saya, Kedai Mahasiswa. Saya memang betul-betul mahu membeli naskhah La Tahzan yang telah sekian lama saya idamkan. Sayangnya buku besar buah tangan Dr Aidh Abdullah Al-Qarni itu, semuanya telah habis dibeli orang termasuklah senaskhah idaman saya yang berkulit keras. Saya menyesal bukan kepalang kerana tidak menyambarnya awal-awal. Rupa-rupanya, buku motivasi berkulit kuning itu turut menjadi kegilaan orang lain sejak sekian lama. Kami juga ke kedai fotostat di Sungai 2 membuat salinan fotokopi untuk beberapa bahan yang saya perlukan.

28 April 2006, [Jumaat] merupakan hari terakhir saya di kampus Minden & kami meneruskan lagi beberapa urusan yang perlu segera diselesaikan sebelum saya berangkat balik. Sebelumnya, telah saya pinjamkan dari seorang teman sekuliah saya sebuah kamera digital buat saya berfoto habis-habisan esoknya sebelum balik kampung. Jumaat itu, memang kami berkeliling universiti sekali lagi. Kali ini, sampai ke puncak bukit di Jabatan Canselori. Kami bergambar sakan juga di atas kerusi batu di depan Jabatan Canselori, kawasan permai yang mengadap laut luas dan dari atas bukit ini jelas kelihatan jambatan panjang Pulau Pinang. Jambatan panjang yang penuh kenangan. Jambatan yang selalu saya sebutkan dalam sms saya kepada teman-teman ketika saya mula berkelana.

Sempat juga kami merakam gambar kenangan di Pusat Bahasa dan Terjemahan. Tidak ketinggalan di pejabat pos tempat saya poskan supucuk surat terakhir hari itu. Di sebelah Jabatan Canselori itulah juga letaknya Unit Penyelidikan Ilmu Falak dan Sains Atmosfera yang juga menjadi lokasi kami bergambar hari itu. Lebih menarik lagi, lokasi penggambaran kami hari itu juga termasuklah di surau Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan & Perancangan. Itulah pertama kali saya singgah di surau tua yang berdiri teguh dengan senibina dan ukiran tradisi Melayu itu.

Sesi terakhir penggambaran kami hari itu ialah di pusat pengajian yang menyimpan jutaan kenangan di hati saya, pusat pengajian yang telah tiga tahun mengajar, mendidik dan mendewasakan saya - Pusat Pengajian Seni. Sempat juga saya merenung sayu ke permatang pelajar yang menjadi laluan ribuan siswa dan siswi. Permatang yang redup dan teduh dengan dipayungi pohon-pohon rendang itu, selepas ini akan tinggal menjadi kenanganlah saja buat mengubat rindu kami pelajar-pelajar tahun akhir ini. Permatang yang hanya dikhaskan untuk pejalan kaki saja itu, dihiasi di tengahnya dengan sebuah replika besar hasil tangan A. Latiff Mohidin - penyair dan pelukis besar tanah air, yang letaknya betul-betul di hadapan pusat pengajian kesayangan saya ini. Gambar kenangan kami ini sempat juga kami rakam di sisi beberapa buah lukisan teman-teman saya di tahun akhir yang terletak di bahagian dalam, di ruang pameran dan juga di dalam Balai Pesiban Agung. Balai yang mempunyai ruang sederhana ini juga menyimpan terlalu banyak kenangan di hati saya.

Di balai itulah juga, pernah berlangsung kuliah pengajian saya dan juga segala macam program yang pernah saya hadiri. Terimbau kembali waktu saya mendeklamasi puisi di situ disaksikan Permaisuri Agong dan juga Tun Dr Mahathir Mohamad. Deklamasi puisi istimewa sempena penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat kepada Tun Dr Mahathir. Tempat berlangsungnya segala macam pameran lukisan, dari dalam dan luar negara. Tempat yang memang, akan terpahat kukuh dalam kenangan.

Sebelum solat Jumaat hari itu, kami sempat berpacu ke Terminal Bas Ekspres Sungai Nibong menempah tiket balik saya pada malam nanti. Waktu berangkat terasa semakin dekat. Dan kami sempat juga membungkus nasi murah Mak Teh untuk bungkusan terakhir dan kami santap sama-sama di bilik. Saya terlena keletihan sehabis solat Jumaat. Menyambung kerja-kerja mengemas barang-barang sesudah terjaga pada petangnya.

Makan malam terakhir saya di kampus Minden hari itu ialah di tempat makan yang selalu menjadi kunjungan kami. Iaitu tempat yang lebih selesa di bibir kami dengan panggilan Pusat Racun, kerana dulunya kawasan makan itu letaknya betul-betul di depan Pusat Racun Negara yang kini telah berpindah ke sebelah Pusat Pengajian Sains Farmasi. Saya suapkan nasi lemak telur saya senja itu lambat-lambat, perlahan-lahan sambil-sambil menunggu semangkuk ABC dicampur bauran hati sayu dan pilu. Saya perhatikan sungguh-sungguh halaman yang selalu menjadi kunjungan saya tiga tahun ini. ABC dan nasi lemaknyalah yang selalu membawa saya ke mari.

Lan dan Pien pun ada bersama menemani dan paling syahdu kata Lan, "Man, tengok puas-puas," serta lebih sayu lagi yang dilafaz Pien, "Malam ni, sunyilah bilik 205 dengan hilai tawa." Bilik 205 memang tidak akan luput dalam ingatan saya. Bilik yang memang paling banyak kenangan. Bilik yang telah membuahkan segala macam ilham. Bilik yang telah melahirkan seorang anak muda lara yang bergelar graduan. Di bilik 205 itulah, malamnya saya tinggalkan Pien keseorangan tanpa diriuhkan lagi jenaka saya yang macam-macam.

Senja di gerai makan hari itu, menjadi senja yang paling sayu buat saya kerana malam nanti, bumi Minden yang penuh kenangan itu bakal saya tinggalkan. Malamnya, dibantu Pien dan teman-teman lain, kami punggahkan kotak CPU dan monitor komputer peribadi saya ke kereta proton Wira Saiful yang sedang menunggu berserta dua buah beg besar berisi barang juga pakaian dan bersama saya juga, sebuah beg yang saya galas di bahu dengan sebuah topi keledar di tangan.

Bersama Saiful malam itu, saya juga ikut ditemani Pien, Khairul dan Nusi - menghantar saya ke Terminal Bas Sungai Nibong. Sejam menunggu, barulah saya tahu bas yang bakal saya naiki akan sampai lebih kurang sejam lagi. Dan teman-teman yang mengiringi pun terpaksa berangkat pergi. Malam itu saya pulang seorang dan di hati, sayu bukan kepalang. Lebih kurang jam 11.30 malam juga, barulah saya bergerak meninggalkan tanah penuh kenangan Pulau Mutiara. Di atas jambatan, saya melepas pandang ke laut lepas dengan kesayuan yang paling dalam di kalbu.

Saya melihat jauh ke tanah pulau yang masih disinari lampu-lampu malam yang terang cemerlang. Sayu di hati bukan kepalang. Selamat jalan Pulau Pinang. Selamat tinggal kampus Minden. Selamat tinggal Desasiswa Indah Kembara. Selamat tinggal Universiti Sains Malaysia. Selamat tinggal Pulau Mutiara. Jauh di dasar hati, diam-diam saya memasang cita-cita akan datang lagi untuk menyambung pengajian saya di peringkat yang lebih tinggi satu hari nanti. Saya cuba untuk tidak begitu melayan kepiluan dan saya tahan genangan air mata yang seperti mahu menitis. Dan malam yang paling syahdu itu, kutinggalkan sepulau tanah rindu yang dulu, dengan hati yang paling sayu.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang, Kelantan.
12.52 pagi [Selasa], 9 Mei 2006.
11 Rabi'ul Akhir 1427 H.

Wednesday, May 03, 2006

Sebetulnya saya memang kecewa

Sebetulnya, pagi ini saya memang kecewa. Baru sekejap, saya telah selesaikan kemaskini terbaru berbelas-belas perenggan tentang hari-hari terakhir saya di Minden. Dan, saya publishkan. Ia tiba-tiba hilang setelah proses publishnya begitu lambat. Sebetulnya saya terlalu kecewa, kerana telah berjam-jam saya jenuh dan lenguh menaipnya. Tapi, takdir Tuhan sudah menetapkan ia hilang dan saya kecewa bukan kepalang. Maafkan saya, saya sudah terlalu kecewa untuk menulis yang lain pula. Idea yang sama pasti tak akan datang lagi, kerana ia telah hilang. Kemaskini itu saya judulkan, "Kutinggalkan sepulau tanah rindu yang dulu, dengan hati yang paling sayu." Dan sekarang, memang hatii saya kecewa bukan kepalang. Tolong maafkan saya. Sebetulnya saya memang kecewa. Kalau ada masa, saya akan menulisnya semula. Tengoklah ....


Salman Sulaiman
Teratak Seni,
Machang.
5.00 pagi, yang paling menyentuh hati.
3 Mei 2006 [Rabu], 5 Rabi'ul Akhir 1427 H.

Monday, May 01, 2006

Pramoedya Ananta Toer, perginya seorang sasterawan besar Nusantara

Sehabis isya' malam tadi, saya membuka kotak pesanan ringkas telefon bimbit saya. Sebaris sms pendek dari Jimadie Shah Othman berbunyi, "Bung Pram mati." Adik Su pula mengesahkan bahawa dia baru saja melihat laporan bertulis di TV3 bahawa sasterawan agung Nusantara itu telah pergi dalam usia 81 tahun.

Berita itu membuatkan saya sayu seketika. Saya terus saja teringatkan salah satu cita-cita besar saya yang saya simpan diam-diam dari dulu sampai kini bahawa saya mahu mengunjunginya. Saya bercita-cita mahu menemuinya di puncak perbukitan Bogor yang menjadi kediamannya yang terkini. Kediamannya di puncak Bogor itu dikhabarkan berharga beberapa juta ringgit, yang tentu saja dibina hasil daripada penjualan karyanya ke seluruh dunia yang telah diterjemah ke dalam puluhan bahasa dunia.

Saya juga teringatkan pertemuan Azman Ismail [wartawan utusan Malaysia] dengannya di rumahnya di Bogor dan kemudian wawancara tersebut tersiar di akhbar Mingguan Malaysia satu waktu dulu. Juga, saya terimbau kembali pertemuan istimewa wartawan RTM dengannya satu waktu dulu dan wawancara itu disiarkan dua kali di RTM secara bersiri, setengah jam untuk satu kali siar. Saya ingat lagi, saya sempat saksikan wawancara siri pertama dan terlepas menonton untuk malam kedua. Dan yang masih saya ingat, antara yang disebut Pram dalam wawancara eksklusif dengan wartawan RTM ialah, "Indonesia sekarang ini dalam proses membusuk."

Esoknya, habis segala akhbar harian di Malaysia memuatkan cerita dan berita tentang Pramoedya - sasterawan kesayangan Asia Tenggara ini. Tapi, ini berlaku lama dulu, beberapa tahun yang lalu, waktu dia masih ada. Kini, yang tinggal cuma namanya saja yang akan disebut orang kerana jasadnya telah kaku dan bisu, terpisahlah dari roh jasad yang cukup besar ini. Besar untuk dunia sastera Nusantara dan juga dunia.

Juga, yang akan tetap kekal di hati kita tentu saja sekian banyak kata-kata yang pernah ditulisnya. Paling tidak dapat dilupakan tentu saja tetralogi Buru yang dianggap karya agung dari tangan beliau. Juga, catatan besarnya semasa berbelas tahun di tahan di Buru - Nyanyi Sunyi Seorang Bisu.

Setelah tahu saja tentang pemergian yang paling memilukan ini, segera saya kirimkan sms memberitahu sekian ramai teman penulis di seluruh Malaysia. Balasan yang saya terima antaranya, dari Wan Marzuki Wan Ramli berbunyi begini;

"Al-Fatihah, Nusantara kehilangan penulis besar yang tersohor."

Ali Bukhari Amir [wartawan akhbar Siasah] pula membalas begini;

"Inna lillah. Semoga roh beliau dicucuri rahmat-Nya."

Dan balasan dari sifu puisi Rahimidin Zahari berbunyi begini;

"Kita kehilangan satu-satunya calon penerima Hadiah Nobel yang paling layak dari dunia Melayu Indonesia."

Saya terkilan tidak sempat menemuinya seperti mana terkilannya saya tidak sempat menemui Sasterawan Negara Usman Awang. Saya tiba-tiba teringat cikgu saya di sekolah menengah yang merupakan salah seorang pengkagum Pram. Katanya, dia selalu membeli karya-karya Pram sebagai koleksi bacaannya. Dia sukakan kekuatan bahasa Pram yang tepat dan padat. Ketika itu, seingat saya dia memberitahu sudah punya sembilan buah karya Pramoedya. Dan juga, setelah dia diberitakan pergi saya segera menyelongkar almari buku di Teratak Seni dan saya keluarkan semua karya Pram yang saya ada.

Kini, saya pasti cikgu saya ini sudah punyai puluhan buah buku yang ditulis Pram. Saat itu, saya pun mula bercita-cita untuk menikmati tulisan manusia yang bernama Pramoedya Ananta Toer ini. Maka, saya belikan empat naskhah karya agungnya itu, tetralogi Buru yang masing-masing berjudul Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca. Saya belikan juga buah tangan Rudolf Mrazek tentang Pram yang berjudul Pramoedya Ananta Toer dan Kenangan Buru setebal 124 halaman. Kelima-lima naskhah ini saya bayar harganya di Pustaka Indonesia di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dengan dua kali pergi.

Pada ketika yang lain pula saya belikan sebuah lagi karya Pram yang berjudul Perawan Remaja Dalam Cengkeraman Militer. Dan seperti saya tuliskan dalam catatan terdahulu, saat mencari buku bersama Dahri di Lebuh Chulia dan Bazar Chowrasta baru-baru ini; saya belikan dua lagi karya lama Pram yang berjudul Gadis Pantai dan Keluarga Gerilya. Dan, sebelumnya telah saya belikan naskhah terakhir oleh Pram saya kira yang diterbitkan pada tahun 2005 yang lalu berjudul Jalan Raya Pos, Jalan Daendels setebal 147 halaman. Cukuplah, walau saya tidak diizinkan Tuhan menemui orangnya, saya baca dan tatap karyanya.

Pram lahir di Blora pada 6 Februari 1925. Selain pengarang, beliau pernah menjadi juruketik Kantor Berita Domei [1942 - 1944], wartawan majalah Sadar [1947], dan lembar "Lentera" akhbar Bintang Timur [1962 - 1965] dan menjadi dosen di Fakultas Sastra Universitas Res Publica [1963 - 1965] serta di Akademi Jurnalistik Dr. Rivai [1964 - 1965]. Pram mula menulis ketika sejak di bangku sekolah dasar lagi.


Pemergiannya juga mengingatkan saya pada sebuah puisi saya, yang saya tulis istimewa untuk empat orang sasterawan besar termasuklah dirinya. Untuk sehari dua ini, dengan bertemankan angin sepoi desa Padang Raja; izinkan saya menelaah dengan penuh sungguh-sungguh tulisan Pram yang aada dalam simpanan saya, dengan penuh rasa manusia kerana Pram sendiri menuliskan begini, "Dalam mendudukkan perikemanusiaan pada tempatnya yang benar, orang tak perlu takut," dalam bukunya yang berjudul Hoakiau di Indonesia.

Saya selalu bercita-cita untuk hadiahkan puisi istimewa saya itu kepada Pram dalam bentuk yang telah diframe untuk disangkut di dinding rumah besarnya. Sayangnya, belum pun sempat saya melunasi cita-cita besar saya itu, dia telah ditakdirkan pergi terlebih dahulu. Dan untuk itu, izinkan saya perturunkan sepenuhnya puisi saya yang ditulis istimewa untuk empat sasterawan besar dunia termasuk Pram ini, yang pernah tersiar di majalah Dewan Bahasa edisi Jun 2001 yang berjudul Bahasa Pujangga;

Andai datang malam tiada bulan
berilah pada Pak Usman
kerana dia seorang sasterawan
sekuntum bunga yang gugur di halaman
itu pun cukuplah sebagai kenangan.

Andai ada cinta
berilah pada Hamka
sebaris kata
nanti akan bisa
melahirkan sejuta makna.

Andai ada apa-apa saja
berilah pada Pramoedya
sebaris kata
menghiris makna
kita pun terluka.

Andai datang malam ada cahaya
berilah pada Yasunari Kawabata
di langait bulan membisu tanpa kata
nanti kita akan tenggelam bersama
ke dalam cahaya purnama.

Itulah sebenarnya bahasa pujangga
seperti kata mereka
sebatang pena
cukuplah bagi kita
membunuh sejuta nyawa.

Puisi ini disiarkan berserta gambar Pram dengan gambar tiga lagi sasterawan yang saya dedikasikan puisi untuk mereka. Cukuplah saya menelaah tulisan-tulisannya yang saya ada sebagai pengubat kelukaan hati saya yang tidak sempat menemuinya. Akhir, izinkan saya kutip apa yang ditulis Pram sendiri dalam Nyanyi Sunyi Seorang Bisu sepertimana yang dipetik oleh Rudolf Mrazek dalam bukunya Pramoedya Ananta Toer dan Kenangan Buru, begini;

"... pada akhirnya, maut hanyalah bagaimana orang memandangnya dan dari sudut mana ia mengintipnya. Pakai atau tanpa pakai lensa, dan jenis apa pula lensanya, dan bahannya.

... Bermacam cara dan saat sang maut mendatangi."

Al-Fatihah buatmu Bung Pram.


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang,
Kelantan Darul Naim.
4.04 pagi, Isnin.
1 Mei 2006 [ selamat hari pekerja untuk semua].
Bersamaan 3 Rabi'ul Akhir 1427 H.