Wednesday, June 18, 2008

Kalau orang perempuan nak marah pun, marahlah


Saya akan selalu kata dan saya akan terus kata bahawa; pada saya – orang perempuan yang cantik tapi perangainya hodoh dia sebenarnya adalah lebih hodoh daripada orang perempuan yang hodoh. Begitulah sebaliknya, orang perempuan yang tidak cantik paras rupanya tapi cantik perangai dan akhlaknya sebenarnya akan lebih cantik daripada orang perempuan yang cantik.

Ianya terbukti berkali-kali ke atas diri saya. Dan memang dibuktikan oleh pengalaman yang turut dilalui oleh orang lain juga. Saya kisahkan sedikit dari pengalaman yang membuktikan hakikat yang saya katakan ini. Seorang petugas di kaunter sebuah bank yang pada mulanya saya lihat berperwatakan cantik – tapi kebengisannya dan sikapnya yang mudah marah-marah itu meluputkan terus seluruh rupa parasnya yang cantik itu. Kini, di mata saya dia memang sudah tidak cantik lagi.

Berbicara tentang orang perempuan mengingatkan saya tentang sebuah catatan saya yang lalu bila saya katakan saya kecewa kerana payah nak lihat orang perempuan Kelantan berbaju kurung sekarang. Tiba-tiba ada pula orang perempuan yang sedikit melenting dengan catatan saya itu. Katanya, orang lelaki yang pakai baju Melayu pun payah juga nak cari sekarang.

Begini, biar saya jelaskan di sini. Maksud sebenar saya dengan luahan dan catatan itu ialah bukannya baju kurung atau baju Melayu tetapi tentang insan Islam yang menutup aurat – orang perempuan yang menutup aurat maksud saya. Kerana yang saya lihat dan selalu lihat adalah yang berbaju ketat dan berseluar ketat – tidak menutup aurat. Kalau awak tu menutup aurat, tak payahlah nak melenting tak tentu pasal. Itu sebenarnya maksud asal saya. Itu sebetulnya.

Baju kurung yang dipakai orang perempuan itukan sopan dan menutup aurat. Berbaju kurung itu maksud saya adalah menutup aurat. Kalau dia menelaah betul-betul catatan saya itu, dia pasti akan faham maksud sebenar saya. Ianya bukan tentang baju kurung itu sangat tetapi lebih kepada hal menutup aurat. Kalau dia menelaahnya dengan teliti, pasti dia akan faham.

Perempuan yang mempunyai rupa paras yang cantik tapi berperangai hodoh sebenarnya adalah lebih hodoh daripada orang perempuan yang hodoh. Inilah yang saya selalu kata dan akan selalu saya kata. Tak kisahlah, kalau orang perempuan nak marah pun, marahlah.


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
7.29 malam, 18 Jun 2008.
Rabu, 14 Jamadilakhir 1429H.

Wednesday, June 11, 2008

Dari Melaka dengan cinta


Ini sebetulnya sebuah catatan lama, yang tidak disiarkan oleh sebuah penerbitan. Maka saya siarkannya di sini. Saya kira kalian masih tetap sudi membacanya:

Saya tiba di lobi Seri Warisan Resort, Ayer Keroh, Melaka kira-kira jam sebelas lebih pagi ahad itu, 2 Disember 2007 – seorang diri. Lima kali berkenderaan juga untuk sampai ke sana. Berkereta dari rumah ke Machang. Bas dari Machang ke Hentian Putra, KL. Naik LRT pula di stesen PWTC untuk ke Hentian Puduraya, turun di Plaza Rakyat sebelah Hentian Puduraya. Ambil bas di Hentian Puduraya ke Melaka. Tiba di Melaka Sentral, mencari bas terakhir untuk ke Ayer Keroh dengan tambang RM1.50 dan turun di jalan masuk ke Seri Warisan Resort. Di Seri Warisan Resort, ada teman peserta yang memberitahu jika naik bas transnasional dari KL, boleh terus turun di Seri Warisan Resort. Manalah saya tahu, kerana memang sebelum ini saya tidak pernah sampai ke resort di pinggir bukit ini.

Saya ditempatkan di chalet nombor 309 bersama penyair Leo AWS dan Wan A Rafar yang terletak paling hujung di atas bukit. Chalet dengan 2 bilik yang boleh memuatkan 4 orang penghuni ini juga tersedia dengan – ruang dapur, ruang tamu & sebuah televisyen saiz sederhana, bilik mandi & tandas, serambi luar atau balkoni di bahagian dapur (sesuai untuk ruang penyair berkarya saya kira), ruang letak kereta di halaman dan satu set meja & kerusi batu di luar rumah di bahagian belakang di atas rumput yang sangat elok untuk sesi santai atau minum teh di waktu petang.

Seorang lagi teman penyair dari Persatuan Penulis Kelantan (PPK) yang ikut serta dalam program ini iaitu Ketua Satu PPK sendiri, penyair M Husdaini Mamat tidak ditempatkan bersama kami di chalet 309. Beliau menginap dengan peserta yang lain. Petang ahad itu jugalah, setelah selesai sesi pelancaran ‘Laman Seni’ oleh YB Dato’ Haji Ab Rahaman Haji Ab Karim yang disertai persembahan kesenian dan pameran lukisan pelukis Ismail Embong – saya dan penyair Wan A Rafar sempat bersantai di kerusi batu di belakang chalet tempat kami menginap sambil membaca naskhah Mingguan Wasilah dan Siasah yang sempat saya beli di Hentian Puduraya pagi ahad itu.

Sidang Pleno I: Puisi Nasional – Tradisi Menunjang Pemodenan Bangsa diadakan pada sebelah malamnya yang dipengerusikan oleh Hamzah Hamdani sebelumnya dimulakan dengan kertas kerja Prof. Datuk Zainal Kling yang antara lain, beliau menyebutkan tentang dua unsur dalam puisi moden kita yang tidak ada dalam tradisi Eropah kini ialah ‘perlanjutan bentuk tradisi yang berpanjangan’ dan ‘kelangsungan keagamaan’.

“Roh budaya Melayu itu ialah nilai yang Islami.” Bicara lembut dan santun Bapak Tenas Effendy yang merupakan seorang pakar puisi tradisional dari Riau sangat sedap dan manis saya mendengarnya. Jelujur katanya yang disulami pantun dan gurindam, kias dan ibarat terasa melekat kuat dalam ingatan. Sejak tahun 2006, Pak Tenas menjadi Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Sangat indah Pak Tenas menuturkan tunjuk ajar Melayu dari pepatah tinggalan orang tua-tua, “Adat memakai pada yang sesuai, adat mencontoh pada yang senonoh, adat meniru pada yang sejudu, adat meneladan pada yang sepadan.”

Sebagai seorang yang arif dalam pantun dan syair Melayu yang juga tidak melupakan nilai Islam dalam kehidupan bangsanya, sangat cocok sekali apabila Pak Tenas menitipkan ungkapan, “hidup berakal mati beriman,” dalam kertas kerjanya yang berjudul Mengekalkan Nilai-nilai Murni Budaya Bangsa Melalui Puisi (Upaya Menghadapi Cabaran Globalisasi) yang beliau sampaikan lebih kurang 15 minit itu. Sebagai salah seorang penulis yang juga menghasilkan puisi, saya berfikir panjang apabila Pak Tenas menegaskan, “Kepada penyair Melayu, berilah roh kepada puisi Melayu.” Penegasan ini saya kira juga perlu direnung lama-lama oleh setiap peserta yang hadir di Hari Puisi Nasional kali ini. Ketika diajukan soalan oleh para peserta tentang nasib gurindam yang telah dipinggirkan, Pak Tenas mengakhiri jawapannya dengan menyimpulkan, “Di dalam gurindam, banyaklah faham.”

Hari kedua (3/12/2007) dimulakan dengan Sidang Pleno II: Pemodenan Pemikiran Bangsa dalam Puisi oleh SN Dato’ A Samad Said dengan kertas kerja beliau Wajah dan Suara Seni Dekad Terjajah. Sasterawan Negara yang diminati ramai ini sempat berjenaka sebelum memulakan kertas kerjanya dan seingat saya jenaka Pak Samad itu berbunyi lebih kurang begini, “Jika Prof. Rahman menjadi penerima S.E.A. Write Award yang terakhir, saya menjadi penerimanya yang pertama. Berbezanya, saya akan terus kekal sebagai penerimanya yang pertama tetapi Prof. Rahman belum tentu akan dapat kekal sebagai penerima S.E.A. Write Awards yang terakhir,” dan hadirin ketawa.

Antara lain, SN Dato’ A Samad Said menitipkan, “Saya seorang penyair dari zaman terjajah memasuki gelora dahaga merdeka ingin yakin berdiri sendiri. Makanya sebagai seniman segala gelora dahaga merdeka itu harus dibuktikan – dilestari – melalui karya sastera.” Dan diikuti kemudiannya dengan kertas kerja Prof. Rahman Shaari (Universiti Malaya) berjudul Menghadapi Puisi: Memahami Makna dan Anjakannya. Beliau sempat mengulas dan membahas panjang tentang makna puisi Menambat Rakit karya SN Dato’ A Samad Said. Dalam sesi yang dipengerusikan oleh Dato’ Haji A Aziz Deraman itu, Prof. Rahman sempat memberi tanggapan bahawa peserta yang ada di hadapannya hari itu ialah penyair yang luar biasa dan peminat puisi yang luar biasa juga. Beliau juga mengaku menghafal 350 buah sajak.

Sesi selepas minum pada pagi itu diteruskan dengan menampilkan tiga orang ahli panel, Rida K Liamsi (CEO Riau Pos Grup), Marhalim Zaini (sasterawan muda Riau yang juga Ketua Jurusan Teater di Akademi Kesenian Melayu Riau) dan Cik Amina Yasalam dari Selatan Thailand (pelajar sarjana di Akademi Pengajian Melayu, UM, KL). Bapak Rida berkisah tentang pengalamannya memajukan sastera di Riau melalui media cetak yang dipimpinnya, Marhalim berkongsi pengalaman mengadaptasi sastera tradisi Melayu agar kembali diminati anak muda Riau dan Cik Amina meluah kelukaan tentang sastera Melayu yang semakin tidak digemari anak muda di Selatan Thai, malah mereka juga sudah tidak minat lagi untuk berbahasa Melayu. Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar sebagai moderator sempat memberi harapan kepada Cik Amina, “Kita harapkan beliau untuk meningkatkan sastera di Selatan Thai.”

Tengah hari itu, saya mengajak Marhalim Zaini menjamu selera di tepi kolam Seri Warisan Resort sambil berkata, “Banyak soalan yang nak diajukan.” Tercabar saya dengan kerajinannya berkarya kerana beliau telah menghasilkan tujuh buah buku termasuk kumpulan esei, cerpen, naskhah drama, puisi dan novel. Beliau menerima pelawaan saya untuk kami bertukar buku. Amuk Tun Teja yang merupakan kumpulan cerpen beliau menjadi milik saya dan kepadanya saya berikan senaskhah kumpulan cerpen duet saya bersama Jimadie, ‘Ngembara Ke Utopia Republik Cinta Sesudah Letih Menjadi Lelaki.

Sesi petang hari itu dipenuhi dengan majlis perasmian oleh YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Haji Mohd Ali Mohd Rustam diikuti majlis pelancaran antologi puisi Gema Membelah Gema 15, penyampaian Anugerah Penyair GAPENA 2007 kepada penyair Haji Mokhtar Yassin, Pengucapan Puisi Nasional dan Persembahan Kesenian. Paling tidak dapat saya lupa ialah pisang masak lemak dan masak asam pedas Melaka serta dua tiga jenis sambal yang dihidangkan kepada kami di Kampung Pantai Puteri. Kami dibawa dengan bas ke Pantai Puteri untuk menghadiri Malam Seni Puisi sambil dihidangkan dengan masakan tradisional Melaka. Enak sekali menjamu selera di tepi pantai, ditiup angin laut yang dingin sambil menikmati nyonya Melaka berdondang sayang.

Pada pagi hari terakhir, kami berjalan kaki ke Taman Mini Malaysia dan Asian untuk menghadiri majlis penutupan sekali lagi oleh YB Dato’ Haji Ab Rahaman Haji Ab Karim yang disertai pengucapan puisi dan diakhiri dengan persembahan tarian tradisional Melayu dari pelbagai negeri. Sempat juga saya memijakkan kaki ke rumah tradisi Perlis dan Sarawak.

Di atas kereta dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur petang itu, saya bersama penyair Wan A Rafar dan Leo AWS dibuai dendangan lagu rakyat nyanyian Roslan Madun yang menambahkan lagi rasa cinta saya kepada seni tradisi warisan bangsa. Sehabis Hari Puisi Nasional Ke – 17 di Melaka, saya balik dengan cinta yang lebih jauh dan dalam kepada seni puisi tradisi Melayu sambil Roslan Madun terus juga menyanyi-nyanyi membuai dan menyindir kami antaranya dengan dendangan Tebang Tebu, “Peram-peram pisang/masak atas belebas/orang zaman sekarang/hatinya keras.”


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
10 Disember 2007, Isnin.

Monday, June 02, 2008

Sesudah hampir 8 tahun yang lalu

Pemain Bahasa, buku saya yang pertama telah diterbitkan hampir 8 tahun yang lalu. Cepat sungguh masa berlalu. Hampir 8 tahun terasa begitu sekejap. Terlalu banyak yang berlaku selama hampir 8 tahun itu. Dan banyak juga yang saya belajar sebagai penulis selama hampir 8 tahun itu.

Walaupun sudah hampir 8 tahun saya menerbitkan Pemain Bahasa dengan modal sendiri dan segala-galanya dibuat sendiri, masih ada juga teman-teman yang belum mempunyai sebuah buku pun dalam tempoh hampir 8 tahun itu. Tentang kesendirian saya menerbitkan buku-buku saya itu sudah saya catatkan di banyak tempat. Tidak perlulah saya mengulangnya lagi di sini.

Dalam tempoh hampir 8 tahun itu juga saya turut menerbitkan dua buah lagi buku yang turut menggunakan modal dan kudrat sendiri. Tapi teman-teman saya itu masih ada juga yang belum menerbitkan apa-apa buku pun. Tidak perlulah saya sebutkan nama teman-teman saya itu. Mereka sendiri pasti tahu diri mereka. Siapa yang makan cili, saya sangat pasti akan tetap merasa pedasnya.

Tidak apalah, mereka tidak mahu menghasilkan walau sebuah buku sampai bila-bila pun – tidak apalah. Sebesar kuman pun saya tidak akan marahkan mereka. Dan sebesar kuman pun saya tidak berniat untuk marahkan mereka.

Kerana saya tahu mereka pasti mempunyai halatuju dan cita-cita yang berbeza dalam dunia sastera dan penulisan. Dan saya pula mempunyai halatuju dan cita-cita yang berbeza dalam dunia sastera dan penulisan. Saya berfikir lain dan mereka berfikir lain. Tidak apalah, saya tidak pernah pun bercita-cita untuk marahkan mereka.

Paling-paling tinggi pun, saya akan cabar mereka supaya cepat-cepat menghasilkan buku sendiri. Itu sajalah. Mana mungkin saya mahu tengking-tengking mereka supaya cepat-cepat menghasilkan buku. Tidak mungkin dan tidak terniat sebesar kuman pun untuk saya berbuat begitu.

Berbalik kepada kisah saya dengan buku pertama saya itu. Ya, Pemain Bahasa terlalu banyak mengajar saya tentang dunia penerbitan, sastera dan penulisan. Dan, dalam tempoh hampir 8 tahun itu terlalu banyak yang saya pelajari sebagai penulis. Ya, terlalu banyak. Segala pengalaman yang saya perolehi itulah yang menjadikan diri saya sekarang – Salman Sulaiman.

Allah!


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
10.26 malam, 1 Jun 2008.
Ahad, 26 Jamadilawal 1429 H.