skip to main |
skip to sidebar
Sungguh, aku memang sangat-sangat kecewa dengan kamu penulis muda!
Sungguh, aku memang sangat-sangat kecewa dengan kamu penulis muda! Mengapa saya mesti memulakan catatan kali ini dengan kalimah pedih ini? Ilham untuk kalimah tajuk yang pedih ini tentu saja bermula seawal beberapa ketika sebelum dimulakan majlis Dialog Pinggir PENA dengan judul Masa Hadapan Sastera di Tangan Penulis Muda pada 28 April lalu yang seperti hampir-hampir tidak jadi dan hampir-hampir terbatal.
Saya diminta oleh pihak PENA hadir sebagai salah seorang ahli panel pada majlis dialog tersebut bersama dua orang lagi ahli panel iaitu Siti Hajar Mohd Zaki dan Fadli Al-Akiti. Malah, Siti Hajar juga akhirnya tidak dapat hadir. Tinggal kami berdua sajalah sebagai ahli panel, saya dan Fadli Al-Akiti. Majlis yang sepatutnya dimulakan pada jam 10.30 pagi itu terpaksalah dilambatkan hanya kerana menunggu kelibat penulis muda yang tak muncul-muncul. Yang muncul hanya sekadar beberapa orang. Rekod kehadiran yang sangat mengecewakan. Dan, setelah Siti Hajar sendiri selaku ahli panel menarik diri, majlis kami hari itu langsung tidak disertai oleh insan yang berjantina perempuan. Dari kaum Hawa, memang langsung tidak ada – penulis atau peminat sastera. Saya juga mahu bertanya, ke mana perginya penulis muda wanita Malaysia?
Saya sudah mula gusar, runsing juga kalau majlis itu tidak jadi hanya kerana ketiadaan khalayak. Maka sia-sialah kedatangan saya yang jauh dari Machang semata-mata hanya untuk berdialog dan memberi beberapa penegasan penting kepada teman-teman seangkatan saya, generasi penulis muda. Sia-sialah saya datang jauh dari Kelantan hanya kerana ingin berdialog dengan teman-teman penulis muda tapi mereka tidak ada, langsung tak nampak batang hidung. Sejak dari Kelantan lagi, saya berkira-kira bahawa bicara saya nanti paling tidak pun akan didengar oleh 20 orang lebih teman-teman penulis muda yang segenerasi dengan saya. Dan saya membayangkan mereka akan mengajukan pelbagai soalan setelah mendengar saya mencabar mereka dengan kertas kerja saya. Aduh, rupa-rupanya sasaran saya jauh meleset. Penulis muda yang saya harapkan tidak ada. Saya tertanya-tanya, pertanyaan itu tidak putus-putus – di atas kereta Lutfi ke PWTC, dalam LRT ke Gombak, di atas bas ke Pinggiran Batu Caves, di atas bas nombor 57 kembali ke KL, dan lebih lama di atas bas transnasional balik ke Kelantan dan sampailah saya tiba semula di Machang petang semalam – ke mana perginya penulis muda Malaysia?
Penulis muda yang saya mahu lihat ada di majlis tersebut bukan kelompok Rahimidin Zahari, SM Zakir, Shamsudin Othman, Ana Balqis, Faisal Tehrani, Siti Jasmina Ibrahim, Zaid Akhtar, Nisah Haron, Mawar Shafei atau ramai lagi yang seangkatan dengan mereka. Saya memang langsung tidak kecewa dengan mereka. Mereka sudah menghasilkan banyak buku dan kehebatan mereka berkarya memang sudah diiktiraf dengan pelbagai anugerah. Dan kekuatan mereka memang ternyata telah terbukti. Yang saya mahu lihat muncul pada majlis dialog tersebut ialah penulis-penulis muda yang seangkatan dengan saya, penulis-penulis segenerasi yang kedengarannya agak ramai itu. Tapi, saya sangat kecewa apabila mereka yang saya harapkan, tiada.
Kalau beginilah keadaannya penulis muda Malaysia, bagaimana ingin memartabatkan sastera di masa hadapan? Ya, bagaimana ingin memartabatkan sastera masa hadapan kalau sastera yang sekarang ini pun sudah begini jadinya. Yang buatkan saya sangat kecewa, bagaimana saya yang jauh dari Kelantan boleh saja sampai ke Kuala Lumpur hanya kerana mahu berdialog dan berbicara dengan teman-teman penulis yang seangkatan dengan saya. Saya bukan datang dengan kapal terbang, hanya dengan bas. Saya bukan ditaja tidur di hotel, hanya menumpang di rumah teman penulis senior di Gombak. Jauh sekali untuk dibawa oleh pemandu dengan kereta besar ke tempat penginapan. Tidak ada apa yang istimewanya dengan ahli panel kecil seperti saya. Tapi saya tetap datang juga kerana mahu melihat kegemilangan sastera masa hadapan di tangan penulis muda. Tapi, bagaimana sastera masa hadapan mahu gemilang kalau penulis mudanya tidak ada?
Dan saya mahu bertanya juga, bagaimana penulis muda yang sudah sedia ada di Kuala Lumpur tidak boleh hadir? Dari rumah lagi, saya menganggarkan mesti ramai penulis muda yang datang pada majlis dialog itu kerana berkebetulan pada masa yang sama, berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 – tentu saja ramai penulis yang datang ke majlis dialog sambil singgah ke pesta buku. Begitu yang ada dalam anganan saya. Rupanya tidak. Memang Malaysia sudah tidak ada penulis muda agaknya.
Dan, untuk penulis-penulis muda yang segenerasi dengan saya, yang kelihatannya ramai muncul pada tahun 2000 dan ke atas itu – jawablah tulisan ini kalau anda rasa anda itu penulis muda dan berbuatlah sesuatu untuk sastera Malaysia. Tapi, kalau anda rasa anda bukan penulis muda atau bukan penulis, tak payah jawablah tulisan ini. Kalau nak pergi ke majlis sastera pun sudah tidak ada semangat, tak payahlah mengaku diri sebagai penulis muda. Kalau sudah rasa diri anda itu bukan penulis muda, tak payahlah sahut cabaran ini, tak payahlah terbit buku (teruslah mengaku jadi penulis walau tak ada sebuah buku pun), tak payahlah pergi majlis sastera, duduk diam-diamlah, tak payah buat apa-apalah untuk sastera Malaysia dan tak payahlah buat apa-apa juga untuk sastera masa hadapan. Ya, kalau anda rasa diri anda itu bukan penulis muda, tak payahlah buat semua itu. Duduk diam-diamlah, biarlah sastera Malaysia pupus hancur. Biarlah, bukankah Malaysia sudah ketiadaan penulis muda?
Tunggu, banyak lagi tulisan saya yang perlu kamu jawab wahai penulis muda! Tunggu saja, kalau kamu benar-benar penulis muda dan kalau kamu benar-benar mahu memartabatkan sastera di masa hadapan.
Saya hanya mahu menegaskan sekali lagi atau sejuta kali lagi, dan lagi – sungguh, aku memang sangat-sangat kecewa dengan kamu penulis muda!
Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang, Kelantan.
11.56 malam, Isnin.
30 April 2007.
12 Rabiulakhir 1428 H.
6 comments:
Hairan! Sejak bila pula kau tak kecewa dengan penulis muda, Man! Macamlah kau tak tahu... Lagi lama kau duduk di situ, di Rumah PENA, dalam dunia sastera Malaysia, lagi lapuk, buruk, berkulatlah Man!
Kumpul duit, pergilah melancong atau perbaiki bahasa Inggeris dan melayarilah alam sastera dunia yang lebih luas.... Jangan tunggu lama2 Man, sia-sia sahaja!
Salam bahagia,
faomar@yahoo.com
aduh aduh..en. salman, sabar sahajalah, ini kebiasaan saya kira, dan sesuatu lagi, pada hari itu, saya belajar perkara ini: jangan berharap pada siaran akhbar/blog, maka perlu telefon sendiri kawan-kawan/ peminat/penulis untuk hadir. "Personal touch" lebih penting daripada siaran media yang berapa kerat yang membaca dan kemudian terlupa, lumrah manusia. Saya belajar ini apabila abang Rahim bercerita tentang Usman Awg hari itu. Saya juga sedar bahawa keramaian audiens yang datang pada aktiviti2 teater/readings yang saya hadiri (bukan tajaan besar-besaran seperti Wangi Jadi Saksi, yang mana itu pun org pemasarannya 'all out' menelefon pelbagai badan dan organisasi) adalah kerana panel/pengerusi majlis/penyelenggara yang menelefon dan 'turun padang' bertemu orang, menarik mereka ke tempat itu. Seperti kawan2 editor saya di DBP, mereka kata, oleh kerana saya TIDAK CALL mereka, kerana itu mereka SEGAN mahu turun. Tapi begitulah perangai org Melayu/Malaysia, jadi kita perlu ada hubungan peribadi, kerana kita perlu akur, kita bukan para peserta AF, walaupun saya tahu, karya En. Salman jauh lebih penting daripada jerit lolong budak2 AF untuk negara.
sabo bang. jangan kecewa2.
hehe..tahniah..jadi 'cover boy' sastera minggu ini, gambar dua kali masuk! Utusan dan BHarian, huhu.
ada banyak yang ingin saya katakan tentang ini. mungkin sya tulis dalam blog nanti.
terus menulis, salman.
pedulikan semua itu, Sdrku Salman.
teruskan tanggungjawab penulisan kita. namun sesekali mengingatkan, perlu juga.
Post a Comment