Tuesday, March 14, 2006

Kerana kawan yang seorang, kuturutkan....

Lebih kurang jam 5 pagi, jumaat lalu - saya tiba di Hentian Puduraya, Kuala Lumpur; bersendiri berkelana. Lelah menunggu Mohd Dahri Zakaria, saya melangkah ke Restoran Anuja, depan Hentian Puduraya. Saya memesan sepinggan nasi lemak & secawan teh tarik. Saya makan seorang diri tanpa Dahri. Saya tak pedulikan orang keliling-kelalang yang barangkali nampak pelik dengan saya yang pagi-pagi buta tak subuh lagi sudah menyuap nasi lemak. Tak kisahlah, janji perut saya yang lapar terisi.

Saya kemudian menempah dua tiket bas Mayang Sari ke Pontian, perjalanan jam 10 pagi. Dahri tiba beberapa ketika kemudiannya dan saya sekali lagi minum segelas air tanpa makan apa-apa bersama Dahri. Kami tinggalkan kota Kuala Lumpur jam 10.12 pagi menuju ke Pontian, Johor. Menghadiri majlis perkahwinan sahabat penulis kami di sana, Mohd Jimadie Shah Othman dengan Emme - watak yang selalu saja ada dalam cerpen-cerpennya. Kami tiba di rumah pengantin perempuan saat imam mula membaca doa selepas akad nikah, setelah beberapa ketika tersesat jauh sampai ke Parit Kudus, walhal rumah pengantin perempuan hanyalah di Parit Semerah.

Malamnya, bersama pengantin lelaki kami bermalam di Hotel Pontian yang terletak berhampiran laut. Rupa-rupanya saya telah sekali lagi ada di penghujung Tanah Besar Asia - tempat yang telah kali pertama saya kunjungi Jun lalu pada majlis Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005. Saya melihat jauh ke tanah seberang sambil berkira-kira untuk sampai ke sana satu hari nanti. Sambil dalam hati sedikit menjerit, "Pulau Karimun - nanti aku datang kepadamu !!!!."

Malamnya, jam satu pagi, saya terlena kerana kepenatan dihingguk bas. Esok, sabtu - majlis persandingan Jimadie sebagai raja sehari. Selepas zohor, kami tinggalkan Hotel Pontian belarak ke rumah pengantin perempuan. Berkali-kali saya disuruh jadi pengapit dan berkali-kali itulah juga saya menolak. Saya hanya memegang hantaran, mengiringi pengantin - melintas jalan & berjalan perlahan-lahan ke atas pelamin di rumah pengantin perempuan.

Di sebelah saya di atas kereta, berkali-kali Jimadie menyatakan dia seperti tidak percaya menjadi suami. Saya pegang keris pengantin yang tersarung dipinggangnya, "Laksamana Hang Tuah." Kata saya dicampur sedikit jenaka. Dia cantik dan tampan dalam sepasang baju pengantin berwarna hijau pucuk pisang.

Petang itu juga kami terpaksa meninggalkan sahabat ini bergembira dengan hidup barunya sebagai suami. Saya memeluknya erat sebelum kami berpisah. Jam 4.30 petang, saya bersama Dahri tiba di Stesen Bas Pontian setelah dihantar Fakri [teman akrab Jimadie di Perlis, yang saya kenali lama dulu, saat mengunjungi anak-anak Teater Republik Cinta di rumah Jimadie di Arau] dengan Perodua Kenari isteri Jimadie.

Perjalanan kami ditunda ke jam 7 malam kerana kata si penjual tiket, penghawa dingin bas rosak. Walhal elok saja bas yang kami naik tu. Tak bergerak-gerak dari jam 5.30 petang tadi lagi. Tak nampak orang baiki pun, tak nampak bas lain datang pun. Rupanya dia tunggu orang ramai sikit untuk bertolak. Hemhhhh, taktik berniaga. Lain kali cakap la betul-betul, tak cukup orang nak jalan - tak payahlah tipu-tipu kata bas rosak.

Sambil menunggu perjalanan balik ke Kuala Lumpur jam 7 malam nanti, jam 6.13 petang sabtu itu [11 Mac 2006], saya kirimkan sms terakhir kepada akrab saya yang baru bernikah ini;

"Assalamualaikum, Die, moga kau bahagia dengan kekasih dunia akhiratmu, Emme. Ini saja yang dapat kuberikan untukmu - mengingati & menghadiri saat kau beraja sehari. Tak dapat lagilah kita 'ngembara bersama. Kawan, kudoakan kau berbahagia dengan redha Allah dunia & akhirat. Izinkan kuteruskan 'ngembara ini, sendiri-sendiri."


Salman Sulaiman
Siber Kafe KBM,
Sungai 2, Minden.
7.31 malam - 14 Mac 2006, Selasa.
Bersamaan 14 Safar 1427 H.

No comments: