Wednesday, September 21, 2005

Berseminar, berdiskusi (tapi jangan bermimpi) dan bersajak lagi (dan lagi)...

Hari ini (21 September) dan esok (22 September), di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang berlangsungnya Seminar Seni Visual Kebangsaan dengan tema Seni Visual Dalam Pelbagai Perspektif. Seminar peringkat kebangsaan yang berlangsung selama dua hari ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Seni, USM dengan kerjasama Persatuan Pendidikan Seni Visual Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Dahulunya, maksud saya tahun-tahun sebelumnya - seminar seni visual ini menjelajah beberapa buah IPT sebelum ia singgah terbang menerawang di Bukit Minden dengan lenggok tari seni, dengan imej yang semacam kartun semacam betul, berserta gema muzik tradisi, dengan gambaran grafik yang canggih; yang ada sekejap, hilang seketika dan muncul yang lain pula. Disertakan dengan seekor kucing animasi yang menarik.

Itu antara imej dan gambar animasi yang muncul pada paparan video dalam bentuk visual yang menjadi pembuka atau mukaddimah kepada majlis perasmian seminar ini pagi tadi. Menarik sekali, tenggelam seketika saya ke dalam sehelai wayang putih yang terbentang di atas pentas Dewan Budaya itu. Kemudiannya, barulah majlis bermula dengan bicara lunak bekas tutor saya yang menjadi pengacara majlis.

Dalam sebutan nama tetamu yang dibacakan pengacara majlis, terkesan saya nama seorang penyelidik dan penganalisis dunia kartun Malaysia - Dr Muliyadi Mahmood, yang pernah saya baca artikelnya menelaah dunia kartun Malaysia dalam majalah Gila-gila. Saya kira, Dr Muliyadi masih kekal menulis untuk Gila-gila sampai kini.

Pesertanya tentu saja dari pelbagai IPT seluruh Malaysia. Masih segar dalam gambaran visual otak saya, baru saja berlalu Festival Filem Pelajar Malaysia 2005 yang juga berlangsung di sini. Yang juga dihadiri oleh pelajar beberapa buah IPT seluruh Malaysia sebagai peserta. Hari ini dan esok sekali lagi, Dewan Budaya dihadiri pelajar IPT seluruh Malaysia - menelaah secara lebih sungguh-sungguh tentang seni visual; mendengar hasil kajian daripada pakar dari seluruh tanah air.

Untuk pelajar, sebagai peserta dikenakan bayaran RM50 - huh !, boleh tahan juga, dalam hati saya berkata. Sayangnya, banyak pula halangan untuk saya ikut serta sebagai peserta, cuma itulah saja kesempatan yang ada - hadir pada majlis perasmiannya. Tapi, tidak mengapa - segala bahan-bahan seminar masih boleh saya dapatkan dari teman-teman yang mengikuti.

Di luar Dewan Budaya, ada-ada saja naskhah seni yang boleh dibeli, tentu saja hasil kerja warga Pusat Pengajian Seni, USM. Seperti buku lukisan, lakaran dan sketsa yang berseni dan menarik sekali. Jenguk-jenguklah ke mari, kalau yang ada masa dan tak ke mana-mana.

Ketika teman-teman kampus UIAM, Gombak bakal bergema merdeka pada jumaat ini; saya pun tidak melepas peluang untuk 'mengamuk merdeka'. Pada malam yang sama, 23 September ini, saya akan mendeklamasi sebuah sajak merdeka karya sifu puisi saya Rahimidin Zahari berjudul Tok Janggut, sebagai peserta pertama. Mulanya, saya diminta seorang teman mendeklamasi sebuah puisi merdeka untuk majlis merdeka. Tapi, kemudiannya saya dimaklumkan pihak penganjur bahawa ianya bukan sebuah persembahan biasa tetapi pertandingan mendeklamasi puisi merdeka. Terkejut juga saya, pulak dah !

Tak kisahlah, apa-apa pun Tok Janggut akan bermaharajalela menuntut bela atas kematiannya atas seribu prasangka penjajah celaka. Kalau ada teman-teman yang teringin nak tengok Tok Janggut menuntut bela, jemputlah ke Dewan Kuliah U, USM Minden pada jumaat ini. Jumaat itu juga, saya dan teman-teman menerima kunjungan sambil belajar pelajar-pelajar seni dari UUM, Sintok. Bakal berdiskusilah kami sambil berbalas seni, berkenal-kenal diri. Sesiang suntuklah juga nampaknya saya akan bersama mereka.

Sehabis kisah Tok Janggut menuntut bela, keesokkannya pula, jam 8.30 pagi, sabtu (24 September) - silalah ke Dewan Kuliah A juga. Di sana ada Dr Sohaimi Abdul Aziz dan Azizi Haji Abdullah berserta seorang lagi panel yang akan membicarakan dua buah novel, karya Ali Jusoh dan Dr Rahmat Haroun.

Boleh tahan juga nampaknya jadual saya sehari dua ini. Kalau yang ada masa tu, jenguk-jenguklah ke mari. Maaflah, buat teman-teman seangkatan di UIAM, Gombak kerana ketika kalian bersajak saya pun kena ikut bersajak. Percayalah, tidak akan pernah luntur dalam jiwa, akal dan kalbu saya semangat berani untuk memperjuangkan seni yang Islami di Tanah Melayu kita yang satu ini. Bersajaklah kalian di taman ilmu dan budi, dan saya di sini, berpencak pendekar cucu gemulah Tok Janggut di universiti dalam taman.

Nampaknya, selagi saya masih di sini, di bumi Minden ini - saya akan terus berseminar berdiskusi dan akan terus diminta bersajak dan bersajak lagi dan lagi; tapi saya tidak mahu hanya bermimpi. Saya akan terus bersajak lagi dan lagi, tanpa henti-henti ...dan nanti.


Salman Sulaiman
KBM Siber Kafe,
Sungai Dua, Minden.
11.44 malam, 21 September 2005 - Rabu yang penuh cemburu.

Tuesday, September 06, 2005

Biarlah Tanpa Tempoyak Budu, Cukuplah Hanya Dengan Doa Ibu

Air yang mencurah-curah dari tangki yang bocor di bumbung asrama saya masih berbunyi seperti sebelumnya juga. Seperti sebelum cuti tempoh hari. Cumanya ditambah dengan riuh-rendah ketawa teman-teman dari bilik berdekatan. Menjelang tengah hari dan petang, kafetaria Mak Teh di asrama saya akan kembali sibuk seperti biasa. Yang membeli datang dari seluruh ceruk bumi Minden, maklum saja harga nasi dan lauk-pauk di sini paling murah berbanding desasiswa-desasiswa lain.

Itulah satu kelebihan asrama saya berbanding dengan asrama lain di bumi Minden. Tapi, petang tadi - untuk mengalih selera saya bersama teman sebilik berpacu ke desasiswa lain, sekadar untuk makan sepinggan nasi goreng ayam. Tidak salah rasanya sekali-sekala mengalih selera.

Bilik saya kembali diketuk orang. Asrama saya kembali riuh. Air hujan rahmat dari tangki yang bocor masih mencurah-curah juga. Cuti saya yang sembilan hari terpaksa dibatalkan atas permintaan pensyarah supaya hadir awal untuk satu program yang bakal diadakan di penghujung cuti. Tak sempatlah saya bertenggek di dahan rambutan atau berendoi di buaian selama tiga hari ada di teratak ibu.

Berseorangan di kampus saat teman-teman sedang bercuti sakan, agak 'mengesitkan' juga. Saya kembali berangkat ke Pulau Mutiara, setelah hanya dua malam di teratak ibu. Adik Su bekalkan saya dengan kredit percuma RM10 ke dalam telefon bimbit saya. Katanya, "Takpalah, tak payah bayar." Dan ibu beria-ia akan membekalkan sebotol tempoyak buat menambah selera saya ketika menjamu selera dengan gulai kari mamak di kampus. Sayangnya, ia tertinggal saat saya sudah berada di atas bas ke Utara.

Takpalah kalau yang lain tertinggal untuk saya bawakan sebagai bekal perjalanan ke kampus Minden. Cukuplah hanya dengan doa ikhlas ibu, buat saya meneruskan perjalanan panjang menempuh kehidupan yang tentunya jauh lebih panjang.

Kampus Minden yang sunyi saat-saat awal saya ke mari, kini - kembali riuh dengan hilai tawa teman-teman, sesak penuh di depan perpustakaan, barisan panjang membeli makanan di kafetaria Mak Teh, borak bising yang jenuh menunggu bas, dan bual panjang saat kembali bertemu teman kenalan.

Kalau tidak dengan doa ibu dan restu Ilahi, bagaimana mampu saya menempuh perjalanan panjang mengharung laut kehidupan. Biarlah tanpa tempoyak budu, buat bekal saya di pulau jauh - cukuplah hanya dengan doa restu seorang ibu.


Salman Sulaiman
Makson CC,
Sungai Dua, Minden.
11.14 malam - 6 September 2005, Selasa.

Sunday, September 04, 2005

Kalau Tiba-tiba Dia Bertudung

Seorang teman, yang sekian lama saya kenali. Dari kecil, sampailah kami meningkat ke alam remaja - dia begitu selesa tanpa tudung di kepala. Lama juga, dan banyak kali juga saya bertekak (berbahas) dengannya, dan lebih menyarankan - betapa eloknya kalau dia bertudung, lebih manis di mata saya. Dan saya kira akan lebih manis juga di mata orang lain.

Lama kemudian, sesudah bertahun-tahun berkenalan - tiba-tiba dia membungkus kepala dengan tudung cantik, membuatkan dia lebih menarik. Dia akan mengelak dan buat-buat tak dengar kalau saya ingatkan kembali hujah saya kepadanya ketika dia belum bertudung dulu. Bagaimana panjang lebar saya memberi saranan supaya dia memakai tudung. Dalam hati, sayalah orang yang paling gembira tentunya. Kerana, sudah lama benar saya ingin melihat dia bertudung.

Masih ingat benar di akal kepala saya, bagaimana macam-macam alasan dan jawapannya ketika menerima saranan saya supaya dia bertudung seperti anak gadis lain yang sebaya dengannya. Kalau anda masih ingat, sebuah cerpen saya yang pernah tersiar di Tunas Cipta berjudul "Debat Kita di Beranda Cinta" ialah bagaimana macam-macam debat panjang lebar saya dengannya tentang banyak perkara, termasuklah saranan saya supaya dia bertudung; saya angkat ke dalam sebuah naskhah kreatif berbentuk cerpen.

Alhamdulillah, kini dia masih kekal bertudung. Saya masih kekal gembira dengan tudung di kepalanya, kerana sayalah antara lelaki yang paling sungguh-sungguh ingin melihat dia bertudung kepala satu ketika dulu.

Di kampus, ini satu kisah yang lain pula. Senior saya, yang kini sudah berijazah pertama. Juga, dulunya melepaskan rambutnya dengan hanya satu ikatan di kepala, bukan sanggul tapi sekadar simpul-simpul. Pada saya, perempuan Islam yang cantik ialah yang bertudung. Ketika cuti sidang pengajian selama tiga bulan yang lalu, bertemu dua tiga kali dengan seorang kenalan perempuan yang pernah rapat dengan senior saya itu - banyak kali juga kami berbicara tentang, bagaimanalah kalau si senior saya itu bertudung. Sedang dalam hati saya, sudah lama benar saya terfikir dan berhasrat agar dia bertudung, satu hari nanti. Kami berdua seperti berdoa.

Terasa pada saya, harapan untuk melihat dia bertudung seperti terlalu tipis sangat. Mustahil. Iskh, takkanlah dia akan bertudung. Saya semacam putus asa, untuk melihat satu hari nanti dia bertudung cantik, tampil dengan penuh menarik sebagai gadis Melayu yang Islamik.

Tiba-tiba, ketika kembali memulakan pengajian di sidang akhir di kampus - saya menerima jemputan senior saya itu untuk kami (senior saya itu, saya dan teman-teman saya di kampus) keluar makan bersama, setelah lama tak jumpa dan bercuti sakan. Terkejut saya, setelah rakan yang menyampai pesan memberitahu bahawa senior saya itu telah bertudung. Sambil-sambil di dalam hati, saya terlalu gembira dan penuh syukur kerana termakbul juga harapan saya yang ingin melihat dia bertudung cantik dan tampil menarik dengan penuh Islamik.

Saya memang sudah lama percaya, kerja Allah tetap tak akan terduga manusia. Alhamdulillah, saya begitu bersyukur di dalam hati. Dan, di meja makan kami malam itu, saya sempat menitipkan satu surat kecil untuknya, yang kertasnya saya koyakkan dari buku catatan kecil saya di dalam kocek. Saya tuliskan, semacam harapan dan doa saya supaya perubahannya diberkati Allah dan dia terus kekal begitu - bertudung cantik, penuh Islamik.

Kalau dia membaca ini, saya harap dia akan terus tabah menerima pelbagai umpat keji orang yang kata macam-macam. Maklumlah, kerana perubahan yang tak terjangkakan. Di dalam hati, saya kekal berdoa dan berharap supaya dia kekal bertudung cantik begitu sampai bila-bila.

Juga, saya sudah lama benar berharap ingin melihat Siti Nurhaliza pula bertudung. Juga, Malaysia dihiasi dengan artis perempuan yang bertudung cantik seperti Wardina dan Waheeda. Besar sungguh harapan saya agar dunia seni Malaysia diwarnai dengan kehadiran artis perempuan yang bertudung cantik dan bersopan tertib seperti Wardina dan Waheeda.

Ya, kalau tiba-tiba dia bertudung, sayalah yang paling gembira sebetulnya.


Salman Sulaiman
Siber Kafe KBM,
Sungai Dua, Minden.
11.50 malam - 4 September 2005, Ahad yang penat.