skip to main |
skip to sidebar
Kutinggalkan untukmu sebuah puisi
Hijrah Bersama Rasulullah adalah antara puisi kesayangan saya. Ya, hari ini genaplah sebulan ia tersiar di akhbar Mingguan Malaysia dalam ruangan puisi di halaman sastera akhbar tersebut. Saya ingat benar, Hijrah Bersama Rasulullah disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 13 Januari 2008, Ahad. Saya deklamasikan puisi ini buat kali pertamanya di Pantai Irama, Bachok dalam program deklamasi puisi Salam Sayang Pantai Irama II anjuran Persatuan Penulis Kelantan (PPK) penghujung Januari baru-baru ini. Saya selitkan di dalamnya nasyid yang didendangkan oleh perempuan Ansar yang menyambut ketibaan Nabi (saw) di Madinah.
Saya deklamasikan sekali lagi puisi tersebut di malam penutup Akademi Sastera Siber (AKSES 3) di Hotel Perdana jumaat lalu. Saya dendangkan juga nasyid yang sama. Yang berbezanya cuma, ketika di Pantai Irama – saya tambah sebuah lagi puisi saya yang lain tentang Nabi (saw) tapi di AKSES 3, sebuah puisi itu saja yang saya sampaikan. Dan, alhamdulillah, anak-anak AKSES 3 yang rata-ratanya berkopiah dan bertudung labuh itu menyukainya. Malah, ada yang SMS saya minta saya kirimkan puisi itu kepada mereka sebagai tatapan dan kenangan. Jadi, untuk melangsaikan permintaan anak-anak remaja yang bersemangat dan penuh minat itu; saya titipkan puisi tersebut di sini untuk mereka dan untuk anda semua yang sudi membaca;
HIJRAH BERSAMA RASULULLAH
Setelah dikepung Quraish Mekah
kau tinggalkan Ali, menuju Madinah.
“...berselimutlah dengan selimut Al-Hadrami,
yang berwarna hijau ini...,”
begitu pesanmu kepada Ali.
Teringat saat pedihmu di dalam gua
sakitnya kaki Abu Bakar tidak terkira
tapi tetap dibiarkan kau lena
hingga menitis air matanya
dia sahabatmu yang sungguh mulia.
Bertuahnya Ummu Ma’bad
sempat bertemu Muhammad
dan ketika di jalanan
Abu Buraydah kau Islamkan.
Hijrah meninggalkan pelbagai kisah
kau dibantu Abdullah, dikejar Suraqah
dibekalkan susu oleh ‘Amir bin Fuhayrah
teringat kakimu yang melecet
dan pertolongan Abdullah bin Urayqit.
Ketibaanmu di Madinah
disambut meriah
perempuan Ansar menyanyi
meraikan Nabi.
Di tahun baru ini
biarlah aku mengubah diri
meniru Nabi.
Bersama Rasulullah
izinkan aku berhijrah.
– SALMAN SULAIMAN
PADANG RAJA, MACHANG.
Mingguan Malaysia, 13 Januari 2008.
Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
11.41 malam, 13/2/2008.
1 comment:
Hijrah sebenarnya isu yang besar. Falsafahnya mendalam, dan ulama kita perlu memberikan perhatian yang serius dan subjek tersebut perlu dikupas dan diinterpretasi dengan lebih mendalam. Malangnya, di negara kita, soal hijrah merupakah soal yang berbentuk 'fenomena' iaitu dibincang pada musim2 tertentu. Aku masih ingat lagi, satu kupasan tentang pengertian hijrah yang sangat mendalam yang dikupas oleh intelektual Iran, Ali Syariati - dalam buku kecilnya yang meriwayatkan kisah junjungan besar kita. Hijrah Nabi sangat besar maknanya kepada Islam. Malah, orang Islam mempunyai Tahun hijrah sebagai kiraan tahun Islam, dan tidak mengambil sempena kelahiran Nabi, sebagai tahun Islam.
Post a Comment