Thursday, March 31, 2005

Ketika Ditanyakan Tentang Cinta (Untuk Dia......)

Ketika seribu lelaki menggoda
kau pilihlah yang mana kau suka
tapi, ketika ditanyakan tentang cinta
kau jawablah dengan hatimu yang ikhlas mulia
kerana cinta itu pada jiwa dan rasa
kerana cinta itu pada hati budi manusia.


- Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
11.48 malam, 27 Mac 2005/16 Safar 1426 - Ahad.

Friday, March 25, 2005

Dari Stesen Terakhir; Antara Yang Rabun dan Yang Sepet

Kelmarin, sesudah gagal menemui seseorang di stesen terakhir LRT, saya menyusur ke Mid Valley, menonton Sepet - buah tangan kedua Yasmin Ahmad sesudah Rabun. Senarai tayangan di akhbar, tertera jam 12 tengah hari untuk tayangan pertama hari itu, 23 Mac 2005 - rabu.

Seperti juga Rabun, tema besar yang masih menjadi pilihan Yasmin ialah kasih sayang. Sepet hanyalah sebuah cerita biasa tentang cinta. Cuma, yang sedikit berbeza adalah cinta itu ialah antara seorang gadis Melayu dengan seorang anak muda berbangsa Cina. Orked jatuh cinta dengan Jason, anak muda Cina penjual VCD cetak rompak bermata sepet kerana katanya, Jason jejaka yang 'cute'. Biasalah, cinta mereka dimulakan dengan pandangan dan pertembungan mata pertama antara keduanya ketika Orked bertanyakan sekeping CD kantonis kegemarannya.

Barangkali, ketika itu dalam kepala Jason, iskhh, pelik juga seorang gadis Melayu berbaju kurung seperti Orked boleh minat gila-gila dengan cerita Cina dan drama-drama kantonis. Itulah barangkali antara faktor yang menarik Jason untuk jatuh hati pada Orked. Orked sekadar bertanya dahulu, belum ada wang untuk memiliki CD itu lagi. Jason sempat mengejar Orked, memberi percuma CD yang tak dibeli tadi, tapi dia tak lupa menyelitkan bersama secebis kertas bertulis nombor telefon bimbitnya. Begitulah sebuah kisah cinta biasa di tangan Yasmin, dia bercerita tentang anak muda dengan gaya anak muda. Begitulah biasanya seorang jejaka moden kalau nak pikat awek, bagi nombor telefon dulu.

Semacam selalunya, begitulah sudut-sudut kamera yang cuba dimainkan oleh Yasmin, dia cuba mengambil sudut yang terbaik dan penuh makna - cuba lari daripada sudut biasa dan klise yang selalu dibuat oleh pengarah-pengarah lain. Di pasar borong tempat Yasmin dan temannya berjalan sambil berbual mencari CD; mengambil posisi depan, gambar dirakam dari jauh di bahagian atas. Untuk menyelesaikan bahagian ini sahaja, saya kira agak rumit dan sukar juga. Barangkali, kalau bagi pengarah lain, buat apa susah-susah nak panjat-panjat, kalau sekadar nak menunjukkan sepasang kawan sedang berbual sambil berjalan di tengah-tengah orang ramai. Tapi, bagi Yasmin setiap saat dalam filemnya perlu dimanfaatkan sepenuh mungkin, sejujurnya dan sebaiknya.

Kita tidak akan menemukan artis terkenal dalam filem-filemnya, jauh sekali Rosyam Nor, Erra Fazira atau Apek Senario, tapi persembahan mereka saya kira terlalu mempesona. Yasmin lebih senang memperkenalkan bakat-bakat baru dalam setiap naskhah yang dipersembahkannya. Kalau dulu, kita diperkenalkan dengan Norkhairiah yang menjadi anak kepada M. Rajoli dan Kartina Aziz dalam Rabun dan dalam Sepet, kita diperkenalkan dengan adik kepada Syarifah Aleeya - Syarifah Amani yang memerankan watak Orked dalam Sepet.

Antara pesan-pesan sinis yang sempat kita kutip lewat Sepet ialah bagaimana ramainya anak Melayu yang tak lulus bahasa Inggeris walaupun gaya dan penampilan mereka macam mat salleh. 'Mat salleh celup' - itu kata Orked pada seorang kawan lelakinya, yang mengata-ngata Orked kerana jatuh cinta dengan lelaki Cina. Bagi Orked, sepet pun sepetlah, janji tak senget. Tapi, kalau harap muka saja macam mat salleh, kalau bahasa Inggeris pun tak 'past' buat apa.

Macam dalam Rabun juga, panggilan-panggilan manja seperti sayang dan 'darling' masih menjadi kegemaran Yasmin dalam Sepet. Walaupun kita selalu ditontonkan dengan lagak Orked yang asyik berkemban di rumah, macam ibunya yang juga suka berkemban. Itulah gambaran kebanyakan Melayu hari ini yang cuba disampaikan Yasmin dengan sejujur mungkin, bersolek apabila ingin keluar rumah dan berkemban bila di rumah. Walau kita sempat untuk sesaat melihat kain Harith Iskandar (ayah Orked) terlondeh ditarik Ida Nerina dan melihat ibu dan ayah Orked berpeluk di bilik tidur, juga menari dalam berkemban. Tapi kita masih sempat dipesan untuk tidak tinggal sembahyang. Mereka sekeluarga juga sempat bicara tentang 'period' orang perempuan, tapi kita juga diingatkan bahawa lelaki tak pernah datang bulan dan tak boleh curi-curi tinggal sembahyang.

Dalam berkemban begitu pun, Orked bercakap tentang falsafah dan psikologi dalam bahasa Inggeris campur, gaya Melayu moden hari ini. Orked jarang cakap Melayu, berbeza dengan ibu Jason yang selalu berbahasa Melayu walaupun orang-orang di sekelilingnya bercakap Cina. Kita dikontraskan lagi dengan watak Jason, anak muda penjual VCD haram yang romantik dan pandai menulis puisi, meminati baris-baris puisi yang ditulis penyair besar India, Rabindranath Tagore. Berbeza pula dengan Orked yang mengaku dia bukan jenis gadis yang romantik, walaupun dia berbaju kurung.

Ibu Jason, ibu yang terlalu menyayangi anak lelakinya tetapi selalu pula dia berkelahi dengan suaminya. Di tangan anak muda kini, kadang-kadang cinta itu terasa seperti mainan dan kadang-kadang ia menjadi terlalu berharga. Lihat saja Jason yang sempat tidur dengan kekasih lamanya walaupun sedang berkasih dengan Orked, hingga menghamilkan perempuan Cina itu. Kesetiaan Jason diragui Orked apabila dia mengetahui Jason telah menghamilkan seorang gadis Cina. Orked dengan penuh kecewa cuba-cuba melupakan Jason. Dia melepaskan kekecewaan dengan kembali berfoya-foya dengan kawan-kawan lamanya. Orked masih kekal sembahyang dan mengaji Quran walaupun ketika keluar dengan Jason mereka berpegangan tangan. Dan Orked masih selesa berambut lepas. Itulah barangkali yang menjadi kebiasaan sesetengah Melayu Islam hari ini. Kita tertanya-tanya, di manakah nilai sembahyang dan suara bacaan Quran Orked selama ini.

Namanya saja, Orked. Nama Melayu dulu-dulu yang kedengarannya begitu klasik. Tapi, manusia di sekelilingnya kekal memanggil dia Orked bukan 'Or' atau 'Ked' sahaja. Tapi berbeza tentunya dengan anak muda hari ini. Kalau Adam dipanggil 'Ad'. Kalau Norish, barangkali dipanggil 'Ish'. Mereka tak nak panggilan yang lama-lama dan klasik bunyinya, mereka inginkan panggilan nama yang moden dan terkini, canggih dan 'up to date'.

'Sayang', dengan penuh manja dan kasih - itulah panggilan mesra Orked pada Jason. Panggilan bersahaja dengan penuh rasa cinta yang dibawakan dengan penuh bersahaja pula oleh Syarifah Amani. Saya memberikan lima bintang untuknya. Dia tidak mengada-ngada dan terlalu 'over', dia bercakap, berjalan, bercerita dan bercinta cara remaja. Dia berlakon dengan penuh bersahaja. Anda jangan marah kalau saya katakan, dia bakal menjadi Ida Nerina yang kedua. Dan tentu saja, dia telah mengalahkan kakaknya - Syarifah Aleeya.

Dalam Sepet kita dibawa berkenalan dengan seorang perempuan bersuara saprono yang selalu saja menjadi pelakon utama iklan TV3, Adibah Noor yang tampil dengan penuh bersahaja, berperan sebagai Si Yam yang menjadi orang gaji di rumah Orked. Kalau dulunya kita melihat penampilannya dalam filem iklan sahaja, tapi penampilan pertama Adibah dalam Sepet tidak mengecewakan.

Bagi Yasmin, tiada beza antara orang gaji dan majikan. Yam boleh bergurau-senda dengan majikannya siap kata-mengata dan kena-mengena lagi. Pada mulanya kita menyangkakan si Yamlah tuan rumah, bukan orang gaji. Bagi Yasmin, pangkat dan darjat, agama juga bangsa tidak pernah membezakan manusia. Yang membezakan manusia ialah rasa kemanusiaan dan kasih sayang yang ada dalam jiwanya. Bagi yang sempat menekuni, kita menemukan betapa tingginya nilai kasih sayang yang ada dalam setiap jiwa watak yang dicipta Yasmin. Kasih sayang itulah yang selalu saja mendasari setiap naskhah di tangan Yasmin, seperti juga filem-filem iklan yang telah dihasilkannya.

Kasih sayang itu pula disampaikan dengan penuh kejujuran dan begitu bersahaja tapi terlalu bermakna. Yasmin membikin filem bukan untuk kaya, tapi untuk mendidik manusia. Kerana tiadanya kasih sayanglah, setiap hari kita menatap berita di TV dengan genangan air mata - di mana-mana saja ada nyawa manusia yang tidak berdosa menjadi mangsa; wanita mati ditembak perompak, lelaki mati dipukul samseng jalanan, anak kecil mati dirembat harga dirinya dengan penuh kejam dan pelbagai kes yang menyayat perasaan.

Kasih sayang inilah yang cuba disampaikan Yasmin dengan bahasa manusia biasa yang boleh difaham sesiapa sahaja. Dia tidak pernah memaksa kita untuk mengambil mesej bermakna dari ceritanya. Dengan kejujuran penyampaian gaya Yasmin, segala pesanan bermakna itu akan masuk sendiri ke dalam kepala kita.

Sepet disampaikan dalam tiga bahasa - Inggeris, Melayu dan Cina. Sepet sebuah filem yang berjaya menyatukan kita, kerana di sisi Allah semua manusia adalah sama, yang paling mulia adalah yang paling taqwa. Larik puisi seorang penyair India berjaya dihayati oleh anak dan ibu berbangsa Cina. Cinta seorang lelaki Cina berjaya dimiliki oleh seorang gadis Melayu berbaju kurung. Lagu dalam bahasa Siam digemari oleh seorang orang gaji berbangsa Melayu; seperti yang dijenakakan oleh Pak Atan (Harith Iskandar) kepada Yam, "Eloklah, Si Yam dengar lagu Siam."

Perasaan kita dibauri hilai-tawa dan jenaka, duka dan air mata. Babak di dalam kereta, saat Orked membacakan surat dari Jason dengan linangan air mata dan cucuran air mata kelihatan pada wajah ibunya juga. Itulah penangan keluhuran cinta. 'Shot' yang panjang dan lama untuk babak menangis ini saja memerlukan mainan emosi yang tinggi oleh Ida Nerina dan Syarifah Amani. Penghayatan yang cukup mengesankan dari keduanya, mampu mengundang air mata penonton. 'Salute' saya untuk anda berdua yang berjaya membuatkan dua kali air mata saya bergenang hiba.

Lakonan bersahaja dan penuh bertenaga oleh setiap watak juga memberi kebersahajaan yang penuh bermakna pula kepada Sepet, buah tangan kedua dari tangan Yasmin yang telah berjaya menjajat dunia ke serata festivel filem antarabangsa. Filem yang heboh di luar negara, tapi tak begitu diketahui di negara sendiri. Hakikat yang perlu diterima Yasmin, kerana dia memilih untuk mendidik manusia, bukan untuk menjadi kaya.

Terlalu banyak sebenarnya yang cuba disampaikan Yasmin melalui Sepet, terserahlah kepada kita untuk menangkapnya. Kita terlalu kecewa dengan penyudah cerita, apabila Jason terjelepuk di jalan raya dalam cubaannya mengejar Orked yang dalam perjalanan ke lapangan terbang. Jason terbujur kaku di jalan raya ketika telefon bimbitnya berdering berkali-kali. Dalam tangisan, di atas kereta ayahnya, Orked menunggu panggilannya dijawab. Tiba-tiba, suara Jason kedengaran di talian, memberitahu Orked supaya menunggunya di lapangan terbang. Kita menjadi tertanya-tanya, siapakah yang menjawab panggilan Orked sedangkan Jason sudah tergolek di jalan raya dengan lumuran darah. Sepet hanya berhenti sampai di situ.

Antara yang sepet dan yang rabun, saya memilih keduanya - celik pun tak guna kalau akalnya bukan di kepala. Sesudah memberi penuh rasa pada jiwa saya dengan Rabun dan Sepet, dari Yasmin saya menunggu yang seterusnya. Barangkali Celik atau Buta pula.

Yasmin menyerahkan kepada penonton sendiri untuk menyudahkan cerita yang dihidangkannya, dia tidak memaksa kita untuk menerima penyelesaiannya. Tapi, saya kira anda tidak akan kecewa menonton Sepet, filem yang berdurasi lebih kurang 1 jam 45 minit ini. Dan untuk Yasmin juga, masih kekal lima bintang dari saya untuk anda.

Yasmin, baguslah 'you' ni !

Saya mengakhiri sesi terakhir di Mid Valley petang itu dengan menjenguk buku di MPH, cuba-cuba mengintai kelibat Pak Samad Said atau Faisal Tehrani. Keduanya gagal saya jumpa, hatta penulis lain yang saya kenal pun tak ada. Kalau tidak, boleh juga saya merakam gambar mereka. Sambil berkira-kira bajet yang ada, saya sempat juga membeli novel 'Kabut dan Bulan Sabit di Demak' karya Nunung Prajarto yang menang hadiah penghargaan Anugerah Sastera Darul Iman IV.

Sejak dari tadi, saya sudah menerima dua sms supaya segera ke tempat perjanjian saya untuk bertemu tiga lagi teman saya yang lain. Saya segera menapak ke Plaza Low Yat, tercari-cari untuk beberapa ketika sebelum bertemu semula mereka bertiga setelah kami berpisah di Wangsa Maju pagi tadi. Kami menyusur keluar Kuala Lumpur jam empat lebih dan singgah menjamu selera di Genting Sempah dan singgah sekali lagi di Gua Musang jam sepuluh lebih.

Tepat jam satu pagi, 24 Mac 2005 - khamis, kami tiba di Machang sesudah genap 24 jam perjalanan kami dari Machang - KL, KL - Machang.
Sungguh memenatkan, tapi selalu mengingatkan.


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang.
6.50 petang, Jumaat yang redup.
25 Mac 2005

Monday, March 14, 2005

Kembara Ke Kebun Kata.....

Assalamualaikum, salam perkenalan penuh istimewa buat teman-teman penulis dan; peminat seni dan sastera. Semua teman-teman yang mengenali saya dan pembaca setia karya-karya saya. Kebosanan teman-teman yang melayari laman saya di cjb moga-moga akan terubat hendaknya dengan adanya laman dalam bentuk blog alternatif ini.
Memang, saya akui begitu bermasalah untuk mengemaskini laman tersebut. Perkembangan terbaru saya tentunya akan lebih terkini dan akrab dengan teman-teman yang lain dengan wujudnya laman weblog ini. Semalam di Kota Bharu, betul-betul di hadapan Hotel Ansar, berhampiran Pejabat Pas Kelantan. Seorang lelaki berjubah berserban dengan bungkusan kain di bahunya dari jauh memberi salam pada saya.Saya mengagak, barangkali umurnya sekitar 50-an dengan kulit sawo matang. Saya ingatkan orang lain yang disapanya. Rupa-rupanya sayalah orang yang disapanya dengan salamnya itu.
"Wa'alaikumsalam,"saya mendekatinya, berhenti dan bersalam dengannya. Dengan tergesa-gesa dia bercerita. Dia dari Bukit Marak katanya. Saya bertanya, "sekarang pak cik nak balik ke Bukit Marak la ni?."
"Ya,"katanya.
Banyak juga yang dibebelkannya pada saya. Katanya, sekarang orang pergi kenduri nak tunjuk emas di lengan. Ramai yang menutup kepala tetapi mendedahkan yang di bawahnya. Sempat beberapa kali dia mengulang, wali tidak akan mengaku dirinya wali. Kawan saya memerhati saya dari jauh. Saya meminta izin pergi kerana masih banyak urusan yang perlu kami selesaikan tengah hari itu. Dia, saya lihat, terus saja memberi salam kepada sesiapa saja di jalanan dan meneruskan cerita. Barangkali sama dengan apa yang dibebelkan pada saya.
Teringat saya pada kisah seorang lelaki yang pernah diceritakan orang, menghuni di Bukit Marak, bertapa di sana. Barangkali lelaki tadilah orangnya. Atau sedikit kisah yang lain pula. Sekuntum bunga jatuh di atas bumbung kereta, betul-betul dengan tempat duduk saya selepas kami makan di sebuah gerai di tepi jalan. Di hadapan kedai komputer tempat kawan saya menyelesaikan beberapa urusan. Kami membuat keputusan untuk tidak bersusah payah mencari tempat makan yang lain, memandangkan Kota Bharu sesak sungguh dengan kenderaan ditambah pula dengan cuaca panas membahang.
Kata kawan saya, "hah Man, kata orang tua-tua ada rezeki tu," "Iskh, boleh pakai ke? Bunga?," saya teringatkan seseorang, sambil berkata,"Mungkin juga.....,"
Malam ini, saya akan meneruskan kembara, kembali ke Pulau Mutiara; menghabiskan beberapa baki kertas peperiksaan yang masih bersisa sebelum memulakan cuti panjang pada penghujung Mac ini. Harapnya kalian sempat mendoakan kejayaan saya. Jumpa nanti pada bicara seterusnya. Wassalam.

Salman Sulaiman
Akidjaya Computer Centre,
Machang, Kelantan.
6.12 petang, Isnin, 14 Mac 2005.