Sunday, January 22, 2012

Aku malu menjadi penulis yang tak ada buku!


Aku malu menjadi penulis yang tak ada buku! Falsafah ini, prinsip ini dan pegangan ini sudah lama kutanam dalam diriku. Sejak di awal pembabitanku dalam dunia penulisan lagi. Berbelas tahun yang lalu. Sebab itulah ketika umurku belum pun genap 21 tahun pada 2001, aku sudah menyiapkan manuskrip bukuku yang pertama Pemain Bahasa dengan menggunakan mesin taip elektronik jenama Canon yang kini sudah rosak.

Balik dari Shah Alam sebaik saja habis bulan Julai 2001, aku sudah mula mengerjakan Pemain Bahasa, berdikit-dikit menaipnya dengan cermat dan tekun menggunakan mesin taip Canon itulah, di dalam bilik yang ditimbuni buku-buku. Entah berapa kali berulang-alik dari Machang ke Kota Bharu hanya kerana mengusahakan Pemain Bahasa agar menjadi kenyataan. Dan alhamdulillah, belum pun genap usiaku 21 tahun pada penghujung 2001 itu, Pemain Bahasa akhirnya menjadi kenyataan.

Hanya Allah saja yang tahu betapa gembiranya hatiku ketika itu. Menyiapkan sebuah buku ketika umur belum cukup 21 tahun, keseluruhannya dengan duit sendiri dan dengan jerit perih sendiri pula. Kegembiraan yang tak terkata sebenarnya untuk seorang penulis kecil yang belum dikenali sepertiku. Kira-kira sedekad kemudian, pada penghujung tahun yang lalu – aku melalui keadaan yang sama; sibuk, kalut, lelah dan letih mengerjakan bukuku yang lain, ALLAH!

Dan kini, sesudah genap umurku 31 tahun; ALLAH! sudah pun menjadi kenyataan. Tentunya rasa gembira yang berlainan pula kurasai berbanding dengan kegembiraan yang kukecapi pada penghujung 2001 dulu. Dulu, gembira kerana Pemain Bahasa adalah buku pertamaku sebagai seorang penulis. Kini, gembira kerana ALLAH! adalah bukuku yang (kurasakan) paling cantik dan paling sempurna sebagai sebuah buku.

ALLAH! kuterbitkan sendiri, bukan di bawah mana-mana label penerbitan lain seperti mana bukuku yang terdahulu. Masih juga dengan duit sendiri sepenuhnya seperti mana juga buku-buku terdahulu. Dan ia merupakan buku yang lengkap sebagai sebuah buku, berdaftar dengan Perpustakaan Negara dengan memiliki ISBN & PDP (Data Pengkatalogan Dalam Penerbitan) seperti mana buku-buku yang diterbitkan oleh syarikat-syarikat penerbitan besar dalam negara ini. Dan pada tulang belakang buku tertera nama penulis dan judul buku seperti juga buku-buku syarikat penerbitan lain.

Sejak mula menulis dan sejak menerbitkan Pemain Bahasa, kukatakan kepada diriku – aku malu menjadi penulis yang tak ada buku! Ya, sebab itulah ketika masih baru berumur 20 tahun aku sudah menerbitkan buku. Dan, genap saja 5 tahun tanpa sebuah buku pun, aku akan berasa tak senang duduk dan gelisah sebagai penulis – maka segeralah kuterbitkan buku yang baru.

Ya, aku akan terus memegang prinsip ini sampai bila-bila, malah sampai mati pun. Aku malu menjadi penulis yang tak ada buku. Tapi, prinsip ini kupegang untuk diriku seorang sahaja. Aku tidak pernah memaksa atau menyuruh mana-mana penulis memegang prinsip dan falsafah ini. Tidak. Prinsip ini hanya kupakai untuk diriku seorang sahaja.

Aku tidak mahu dan tidak boleh memaksa mana-mana penulis lain memegang prinsip ini. Kupakai prinsip ini untuk diriku seorang sahaja. Dan aku tidak akan menyuruh sesiapa pun penulis memakai prinsip ini sebab nanti akan ada yang marah, akan ada yang sakit hati, akan ada yang benci dan akan ada yang menyampah pula. Sebab itulah kupakai prinsip ini untuk diriku seorang sahaja.

Kerana aku malu menjadi penulis yang tidak ada buku! Sebab aku seorang penulis yang disuruh memberi ceramah sastera dan penulisan di serata Kelantan, dijemput menjadi panel dan moderator diskusi & bengkel penulisan sampai ke Kuala Lumpur. Diundang mendeklamasikan sajak di merata tempat. Aku melakukan semua ini dan menunaikan semua ini atas kapasiti seorang penulis, tapi kalau aku mengaku penulis tapi tidak ada sebuah buku pun yang kutulis, penulis apakah namanya itu?, (ingat!; kupakai prinsip ini untuk diriku seorang sahaja, kerana aku bimbang nanti akan ada yang terasa hati) – maka kerana itulah aku memakai prinsip ‘aku malu menjadi penulis yang tak ada buku!’

Untuk diriku seorang sebagai penulis, sebagai penulis muda khususnya dan sebagai seorang Salman Sulaiman – aku akan terus memakai dan menggunakan prinsip ini sampai bila-bila (untuk diriku seorang sahaja); aku malu menjadi penulis yang tak ada buku!


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
12:38 tengah hari, ahad.
22 Januari 2012.

Thursday, January 19, 2012

Aku sengaja mahu menulis tentang jodohmu, dan jodohku yang entah bila


Tidak pernah kusangka-sangka jodohmu adalah jiran di belakang rumahku. Dulu, bila aku tanya dalam bahasa sindiran dan bergurau, “Bila nak kawin?” katamu mahu tunggu aku yang kawin dulu. Rupa-rupanya jodoh kita (tarikh dan tempatnya) memang jauh berbeza, Tuhanlah yang menentukannya.

Ketika kita berarak ramai-ramai ke rumah pengantin, tidak juga kusangka-sangka namaku yang kau sebut bila datang pihak pengantin perempuan menghulurkan payung kuning raja sehari. Maka, dengan rasa segan yang kutahan-tahan, aku memayungkanmu ke rumah isterimu yang juga jiranku. Kau segak bertanjak. Aku bujang terlajak. Kita beriringan ke rumah pengantin perempuan. Diiringi ahli keluarga dan sekalian sanak-saudara. Aku tahu, kau bahagia. Walau dalam gementar dan gugup yang hampir-hampir nampak di muka.

Kira-kira sehari sebelumnya, di saat kau mengadap imam mahu diijabkabulkan, aku juga yang kau minta duduk paling dekat di belakangmu. Terpaksalah aku bersila hanya sejengkal dua dari hamparan baldu tempat kau ‘menjawab nikah’mu. Sengaja langsung tidak kutepuk belakangmu kerana kudengar lancar dan jelas sebutanmu.

Malam sebelumnya, kau terkejut bila kukatakan aku ada urusan di tempat lain pada hari kau bakal diijabkabulkan. Tapi atas permintaanmu, aku segera pulang di saat kau mahu disatukan imam. Dan alhamdulillah, aku berjaya hadir di majlis pernikahanmu yang diadakan di sebuah masjid dalam daerah kita.

Kau tentunya pengantin yang paling bahagia kerana perkahwinanmu diraikan dalam tiga majlis berbeza. Dan di rumah ayahmu sebelum kau diraikan pada majlis yang ketiga, kunampak jam baru di tanganmu yang merupakan salah satu balasan hantaran daripada pihak pengantin perempuan dan kudoakan moga jodohmu kekal dirahmati Tuhan.

Dalam munajatmu siang atau malam, jangan dilupa untuk kau doakan jodoh seorang insan yang bernama Salman Sulaiman kerana aku sebenarnya sudah bosan ditanya, bila mahu berumah tangga. Dalam kemeriahan meraikan perkahwinanmu; aku hampir-hampir terlupa bahawa aku ini teruna tua bangka yang masih belum bernikah.

Tataplah catatan ini sebagai kenang-kenangan dan kalau tidak menjadi kesalahan, terimalah ia juga sebagai sebahagian daripada hadiah kecil perkahwinan daripada seorang Salman dan tulisan ini juga sebenarnya sengaja mahu mengingatkan diri sendiri bahawa aku ini jantan tua bangka yang masih belum berumah tangga.


Salman Sulaiman
Machang, Kelantan.
5: 11 petang, khamis
19 Januari 2012.