Wednesday, August 17, 2011

Aku ingin berhenti di platform tak bernombor dalam hatimu

Sudah beratus SMS yang telah kuhantar kepadamu atau mungkin beribu, tapi kau masih tetap juga membisu. Dan sudah beratus juga SMS itu kusimpan dalam buku catatan kerana aku bercita-cita untuk menjadikannya sebahagian daripada kenangan cinta, bolehlah nanti ketika berbulan madu kita mengenang semula bagaimana manisnya saat aku melamarmu. Setiap SMS yang kukirim, aku tidak mahu berbohong – aku sangat ternanti-nanti balasan darimu. Tapi sayangnya kau terlalu sibuk, terlalu sibuk! Perlu kuingatkan di sini, kepada diriku sendiri dan untuk dirimu lebih-lebih lagi – janganlah terlalu mahal menjual diri sampai tak mampu dibeli nanti.

Ramadan tahun sudah, telah tujuh kali istikharahku minta petunjuk dari-Nya, adakah benar kau yang dipilih Dia untuk hidupku yang sementara di dunia dan hidup yang lama di akhirat sana. Setelah istikharah yang kulakukan setiap selepas maghrib selama tujuh malam berturut-turut di bulan ramadan itu, kecenderungan hatiku masih juga kepadamu – masih juga kepadamu. Mana mungkin Tuhanku itu menipu. Aku sebenarnya masih menanti kebenaran dari Tuhan setelah keputusan istikharahku tetap juga kau seorang. Kebenaran, bahawa – hatimu akan tetap terbuka juga untukku.

Aku sedar, keputusanku untuk menunggu cintamu adalah keputusan yang paling berisiko tinggi yang pernah kubuat dalam hidupku ini. Yang mahu kujolok adalah bulan di langit, bukan rimbunan rambutan atau setandan kelapa. Mana mungkin aku akan berhasil mendapatkannya? Tapi aku yang tetap berkeras kepala mahu menjoloknya juga, maka sekarang inilah akibatnya – hatiku juga yang akhirnya teruk terluka.

Teringat prinsip kentalmu yang masih juga seperti dulu dan sayangku pun sebenarnya makin bertambah kerana itu – kau tidak pernah berkata mahu jika kuajak berdua ke kedai makan walaupun di sekeliling kita dipenuhi orang, kau lebih selesa berbual di kaki lima bangunan dekat orang lalu-lalang kerana kau terlalu takut timbul fitnah yang bermacam-macam. Syabas!, atas kekentalan prinsipmu sebagai seorang perempuan dan kerana keteguhan iman sebagai seorang Islam.

Izinkanlah aku berhenti di platform tak bernombor dalam hatimu. Izinkanlah aku terus berdiam lama di platform tak bernombor dalam hatimu itu. Aku tahu, sesiapa saja mahu berhenti di situ kerana ianya tidak bernombor dan juga tidak berpintu. Platform yang tak bernombor dalam hatimu itu terlalu manis dan indah bagiku. Aku sebenarnya sangat bahagia jika diizinkan menghuni di situ sampailah ke akhir hayatku. Dan yang telah sekian lama kutunggu hanyalah keizinanmu.

Aku sebenarnya sedang berusaha mengumpul wang untuk pernikahan kita – menjual buku, menulis untuk pelbagai majalah dan surat khabar, mengusahakan tanaman tembikai dan mengambil tempahan menyiapkan sajak serta teks muhasabah diri atas permintaan kawan-kawan. Menjadi pengacara majlis, mendeklamasikan sajak, mengajar anak-anak tentang seni dan sastera, berceramah dan membentangkan kertas kerja. Dan aku dibayar untuk semua itu. Ini semua kulakukan untuk mengumpulkan wang buat perkahwinan kita yang entah bila, yang entah jadi entahkan tidak sebenarnya – buat membahagiakan dirimu seadanya. Segala macam kerja yang mampu kubuat dengan kederat kerdilku ini, kulakukan. Segala yang boleh memberikan wang kulakukan berbekalkan sedikit kepandaian yang dianugerahkan Tuhan.

Aku bercita-cita mahu membelimu dengan mas kahwin tujuh ribu, walaupun barangkali ramai yang akan beranggapan aku mungkin tidak mampu. Tentu ramai yang bakal berkata, seorang penulis sepenuh masa sepertiku mana mungkin menyediakan wang hantaran untukmu sebanyak itu. Sejak dulu aku memang tidak pernah percaya dengan kata-kata manusia. Kerana yang aku percaya tetap juga seperkara, bahawa setiap rezeki kita makhluk yang bernyawa adalah di tangan-Nya. Dan Dia jugalah yang menetapkan rezeki hamba-Nya. Yang paling utama, kita mesti berusaha – pasti akan diberi-Nya. Nanti, sesudah berumah tangga kita akan menyewa di mana-mana dan aku boleh terus melakukan kerjaku tanpa diganggu – menulis dan membaca buku. Dan kau buatlah kerjamu itu seperti selalu.

Aku mengaku, aku tidak terdaya untuk menjadi seperti Imam al-Nawawi yang membujang sampai ke mati – hidup seorang diri tanpa isteri, hanya duduk menulis dan mengkaji. Aku memerlukan seorang isteri di sisi untuk menguatkan semangat diri bagi meneruskan perjuangan yang sukar ini. Aku telah kehilangan Salmi Rozie, aku telah kehilangan Siti Wan Mariani dan aku tidak mahu, aku juga bakal kehilanganmu nanti – yang tinggal kini hanyalah sebatang tubuh diriku sendiri. Dan yang ada sekarang, memang benar-benar dirimu seorang. Aku sangat takut sebenarnya, terlalu takut bahawa aku juga akan kehilanganmu kerana kini tiada lagi sunti yang akan mengubat sunyi dalam hati ini. Kalaulah kau juga gagal kujadikan isteri, entah siapalah yang akan mengisi kekosongan hidupku ini. Siapalah yang akan mengubat kerinduan hatiku ini. Sebagai lelaki aku sebenarnya sudah terlalu letih mencari. Aku sudah terlalu sengsara mengharapkan cinta manusia. Aku sebetulnya sudah berkali-kali kecewa.

Aku membaca buku Irfan Khairi, Nota Jutawan Nota Motivasi hampir setiap hari dan sangat meminati rancangan Bijak Wang di TV3. Menjejaki Jutawan Senyap oleh Chef Li juga sudah kubaca iaitu ketika aku masih di kampus lagi. Aku juga berkali-kali membaca Pelita Jutawan oleh Azizi Ali. Selain Nota Jutawan Nota Motivasi yang sangat menginspirasi, buku Ke Mana Wang Anda? hasil tulisan Hajah Rohani Datuk Haji Mohd Shahir juga menjadi buku yang berkali-kali kutekuni akhir-akhir ini dan terlalu banyak yang dapat aku pelajari daripada buku yang begitu bagus ini. Aku belajar tentang ilmu pengurusan kewangan, tentang bagaimana mengawal pendapatan – ilmu yang tidak diajarkan di sekolah atau di pusat pengajian tinggi dalam negara ini. Aku memperhalusi semua ini demi untuk memperkukuh ekonomi peribadi buat melamarmu nanti.

Aku membaca semua jenis buku, di MPH Mid Valley atau di PDM DBP Kota Bharu. Sampaikan komik Mat Som karya Lat pun kubaca dan aku sempat menghabiskannya tatkala lebih sejam tersengguk terhangguk di MPH, Mid Valley itu. Tauqul Hamamah oleh Imam Ibn Hazm al-Andalusi juga sedang kutekuni buat mengubat hati yang sudah entah berapa kali dikecewakan sunti. Aku sebetulnya mengembara seorang diri dan janganlah kau khuatiri – aku, laki-laki.
Apalah nasib diriku ini, terlalu sukar mencari hatta seorang sunti untuk dibuat isteri. Sudah bertahun-tahun sebenarnya aku tidak pernah putus-putus bertanya diri sendiri, siapakah yang akan Tuhan beri buat diriku ini untuk dijadikan isteri? Dan sudah bertahun-tahun juga sebenarnya aku mencari. Aku memang tidak pernah berhenti mencari, dari teduhan kampus di universiti hinggalah ke saat ini. Malah, ketika masih di bangku sekolah lagi. Dan kini, cintamu seorang sajalah yang kunanti walaupun kau sebenarnya sudah memberi kata putus bahawa hatimu masih juga tertutup untuk lelaki.

Bila sudah tiba masanya hatimu terbuka dan kau masih belum punya sesiapa, maka carilah aku di Pantai Tanjung Nipah ini, di atas buaian – dekat Masjid Tanjung Nipah. Tolong datang seorang diri. Aku memang masih setia menunggumu seperti selalu di pantai yang penuh kenangan ini. Tidak kisahlah hatimu terbuka dua atau tiga tahun lagi pun, aku masih tetap juga di sini – seorang diri bermain buaian di Pantai Tanjung Nipah ini. Aku ke mari dengan motosikal cabukku, bersama ibu atau kadang-kadang seorang diri – ke pantai yang sunyi dan sepi ini. Aku bahagia di sini – melihat deburan ombak, memerhati pantai yang memanjang yang penghujungnya entah di mana, mendengar deru angin dan kicau burung, melihat anak-anak bermain pasir, merenung kelibat nelayan yang menahan ikan atau udang serta melihat laut luas yang tak berpenghujung. Aku juga tidak pernah lupa mencari-cari kelibat si kecil Siti yang sangat berani – dia mahu mandi dan bermain ombak seperti orang dewasa. Dia hanya mahu berlari ke tengah laut tanpa mengira dirinya adalah seorang anak yang baru beberapa tahun cuma. Aku akan asyik pula mendengar neneknya bercerita tentang kenakalan cucunya yang bernama Siti ini.

Di Pantai Tanjung Nipah ini, aku akan asyik mengarang cerpen atau menulis puisi di telefon bimbit. Barangkali orang akan menyangka aku sedang menaip SMS yang panjang lebar kepada sesiapa, padahal mereka tidak pernah tahu aku sebenarnya sedang menyiapkan cerpen atau menyudahkan puisi. Dan sudah berapa banyak puisi yang telah kusiapkan dalam telefon bimbitku ini, puisi untukmu lebih-lebih lagi. Bersunyi-sunyi di sini mengembalikan aku jauh ke dalam kenangan – aku kembali teringatkan Teluk Ketapang. Sebuah pantai jauh di Kuala Terengganu yang pernah kuhuni lebih seminggu. Aku kembali teringatkan Kak Rosmani dan Abang Zahari. Aku kembali teringatkan Along, Angah, Firdaus, Aiman dan Ali. Kenangan bersama mereka begitu manis sekali dan sangat membekas di hati. Sekarang, yang tinggal untuk diriku hanyalah Pantai Tanjung Nipah yang sunyi dan sepi ini. Hampir setiap petang jumaat aku akan membawa diri ke sini. Bersendirian di sini memberikan aku sejuta ketenangan. Dan inilah satu-satunya cara yang dapat kulakukan buat mengubat kelukaan hati ini kerana aku sudah tak punya siapa-siapa lagi selain diriku sendiri.

Jangan cari aku di Facebook kerana aku belum sempat mendaftar di sana. Walaupun aku tahu ia sudah menjadi kegilaan begitu ramai manusia moden hari ini. Sampai kurasakan seperti hampir setiap orang yang menggunakan perkhidmatan internet itu mempunyai akaun Facebook. Aku bukannya suka sangat terlalu menjual diri hinggakan begitu dikenali. Aku lebih senang begini, seadanya diriku ini – aku lebih suka berjalan kaki dan naik bas pergi rata-riti atau terkadang-kadang menahan teksi, bersesak-sesak dalam komuter atau LRT, dan pernah juga aku merasa betapa seksanya duduk berhimpit atas beca roda tiga. Aku lebih senang tidak dikenali. Aku sangat bahagia sekali jika lebih ramai yang tidak mengetahui bahawa aku ini lulusan universiti. Biarlah aku dikenali hanya sebagai seorang anak petani yang mengerjakan sawah padi. Kerana aku memang dibesarkan dengan percik susu di kebun getah dan hanyir selut lumpur di tengah sawah. Aku bukan anak nelayan, jauh sekali jutawan.

Aku berkeyakinan sekali tentu benar jawapan Tuhan selepas istikharahku yang genap tujuh kali seperti yang pernah kulakukan dulu, maka aku akan tetap menantimu dan menunggu saat-saat indah menghuni di platform yang tak bernombor itu. Akan sampai waktu hatimu akan terbuka juga untukku. Aku tetap akan percaya itu dan tidak pernah putus-putus doaku dari waktu ke waktu sehinggalah hatimu benar-benar terbuka untukku, “Ya Allah ya Tuhanku, kurniakanlah kepadaku isteri dan anak-anak yang menyejukkan mata hatiku dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang mahu bertaqwa.”


[Cerpen ini telah disiarkan dalam akhbar Mingguan Wasilah edisi 25 - 31 Oktober 2009]

Wednesday, August 10, 2011

Ketika Menunggu Berbuka


Menunggu berbuka di tengah syahdu ramadan
yang masih separuh berbaki
tiba-tiba kita kembali rindukan
saat berbagi juadah sebelum azan.

Berpayung dalam basah hujan
sesudah tersenyum menghantar makanan
manisnya kenangan untuk kita simpan sebagai ingatan.

–SALMAN SULAIMAN
Kampung Sungai Hala,
Machang, Kelantan.
7 September 2009
[KKAM Machang,
4:37 petang, 10/8/2011]