Thursday, August 06, 2009

'Peludah Bahasa' oleh SN A. Samad Said



Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menyampaikan puisi Peludah Bahasa semasa program Akademi Sastera Siber (AKSES) 4 di Paloh Inn, Wisma Nordin, Kota Bharu pada pagi Jumaat, 31 Julai 2009 yang lalu. Duduk di sebelah beliau ialah penyair muda, Fahd Razy selaku moderator.


PELUDAH BAHASA


Ketika lahir jeritnya amat mesra––hening suara bayi pertama.

Neneknya pengagum hikayat Tuah membisik iktibar ke telinganya.

Datuknya pencinta Siti Zubaidah bersyair merdu ke qalbunya pula.

Doa dan janji di sanubari inilah cucunya kebanggaan desa––

insan harapan kerdip permata yang bakal bersinar sebagai pendakwah.


Ketika bertatih di sisi buaian gelincirnya cepat disantunkan.

Ayah dan ibunya cekal berazam anak termanis di hemah Ramadan.

Diasuh ia menjadi wira dan tidakpun dikira ke bidang mana.

Pada hembusan angin di bukit amat merdu terdengar ia menjerit:

Penyegar budi pilihan pertama, penyemai bakti di qalbu desanya.


Ranum di dalam dan di luar negara menjalar akar benih ilmunya;

pergaulannya alam tak berbatas bertingkat cepat dirinya ke atas.

Pada kempen “bersih-cekap-amanah” terhantar ia ke tampuk kuasa;

masih diingat pesan nenek tentang Tuah; saran datuk tentang Zubaidah.

Sebaik menyingsing SatuMalaysia mula terbelah percik mimpinya.


Tapi, kuasa tersangat nikmatnya––darjat dan harta sebuah buana.

Lalu, dalam lagu gema ternyaring giginya berubah menjadi taring.

Leluhurnya kini damai di kubur, dan sayang, dirinya meruncing takbur.

Terakhir, dengar kisah lupanya––semua dangkal kecuali dirinya.

Terakhir, merebaklah bongkaknya sebagai peludah bahasa Ibunda.


Tak lagi dirinya budayawan desa, pembela bahasa tidak juga.

Kini dia niagawan haloba pemburu kuasa paling selesa.

Memang bukan lagi cucu desawan; segebu dirinya kuasawan.

Dilupa Syair Siti Zubaidah dan tidak dikenal Hikayat Hang Tuah.

Sangatlah selesa dan bangga––dirinya tulen peludah bahasa.


18––19 Jun, 2009. –A. SAMAD SAID


*Siaran teks penuh puisi Peludah Bahasa dalam blog ini ialah dengan izin Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.