Friday, February 15, 2008

Pilihan raya: Jangan pilih hantu raya!

Parlimen bubar. SPR bermesyuarat. Tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi pun diumumkan. Masing-masing mula sibuk, ke hulu ke hilir tak senang duduk. Pondok-pondok panas pilihan raya mula didirikan di mana-mana. Bendera mula dinaikkkan. Sepanduk mula dipasang. Lambang-lambang segala parti mula memenuhi simpang-simpang dan kiri kanan jalan. Malah, menjelang esok tarikh mengundi pun – akan masih ada lagi bendera yang mahu dipasang dan masih juga ada lagi sepanduk yang mahu direntang.

Kepada yang memenangi pilihan raya dan bakal berada di tampuk kuasa, saya mahu memetik nasihat Imam Ibnul Jauzi dalam kitabnya Talbis Iblis pada nasihat yang ketujuh di bawah bab Perihal Belitan Iblis Terhadap Pemerintah Dan Raja, begini;

“Iblis terus memperindahkan bagi mereka supaya bermewah-mewah dalam perkara maksiat dan perbuatan yang mendatangkan dosa, dan dibelitnya akal mereka dengan mengatakan, bahwa penjagaan kamu untuk kamu untuk mengadakan keamanan dan ketenteraman dalam negara akan mendinding kamu daripada ditimpakan azab dan siksa di akhirat. Jawab kami pada perdayaan ini, hendaklah dikatakan kepada mereka: Kamu dilantik memang untuk menjaga keselamatan negara dan mengamankan jalan-jalannya, dan ini adalah suatu tugas yang wajib ke atas kamu. Dan apa yang kamu buat daripada kemewahan bermaksiat itu adalah dilarang oleh agama, dan jangan kamu harapkan bahwa kamu akan terlepas dari pembalasan dan siksaan kerananya.”

Kepada yang sudah cukup umur, selamat mengundi dan selamat memilih lagi. Pesan saya kepada yang sudah layak mengundi dan kepada semua yang memikul tanggungjawab besar ini; juga kepada sesiapa saja tak kiralah anda parti belah sini atau belah sana, dan lebih-lebih lagi kepada diri saya sendiri – pilihlah calon yang bertaqwa agar dia mampu memimpin kita ke syurga, jangan pilih hantu raya!



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
12.31 tengah hari, 8 Safar 1429 H.
15 Februari 2008, Jumaat.

Wednesday, February 13, 2008

Kutinggalkan untukmu sebuah puisi


Hijrah Bersama Rasulullah adalah antara puisi kesayangan saya. Ya, hari ini genaplah sebulan ia tersiar di akhbar Mingguan Malaysia dalam ruangan puisi di halaman sastera akhbar tersebut. Saya ingat benar, Hijrah Bersama Rasulullah disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 13 Januari 2008, Ahad. Saya deklamasikan puisi ini buat kali pertamanya di Pantai Irama, Bachok dalam program deklamasi puisi Salam Sayang Pantai Irama II anjuran Persatuan Penulis Kelantan (PPK) penghujung Januari baru-baru ini. Saya selitkan di dalamnya nasyid yang didendangkan oleh perempuan Ansar yang menyambut ketibaan Nabi (saw) di Madinah.

Saya deklamasikan sekali lagi puisi tersebut di malam penutup Akademi Sastera Siber (AKSES 3) di Hotel Perdana jumaat lalu. Saya dendangkan juga nasyid yang sama. Yang berbezanya cuma, ketika di Pantai Irama – saya tambah sebuah lagi puisi saya yang lain tentang Nabi (saw) tapi di AKSES 3, sebuah puisi itu saja yang saya sampaikan. Dan, alhamdulillah, anak-anak AKSES 3 yang rata-ratanya berkopiah dan bertudung labuh itu menyukainya. Malah, ada yang SMS saya minta saya kirimkan puisi itu kepada mereka sebagai tatapan dan kenangan. Jadi, untuk melangsaikan permintaan anak-anak remaja yang bersemangat dan penuh minat itu; saya titipkan puisi tersebut di sini untuk mereka dan untuk anda semua yang sudi membaca;


HIJRAH BERSAMA RASULULLAH

Setelah dikepung Quraish Mekah
kau tinggalkan Ali, menuju Madinah.
“...berselimutlah dengan selimut Al-Hadrami,
yang berwarna hijau ini...,”
begitu pesanmu kepada Ali.

Teringat saat pedihmu di dalam gua
sakitnya kaki Abu Bakar tidak terkira
tapi tetap dibiarkan kau lena
hingga menitis air matanya
dia sahabatmu yang sungguh mulia.

Bertuahnya Ummu Ma’bad
sempat bertemu Muhammad
dan ketika di jalanan
Abu Buraydah kau Islamkan.

Hijrah meninggalkan pelbagai kisah
kau dibantu Abdullah, dikejar Suraqah
dibekalkan susu oleh ‘Amir bin Fuhayrah
teringat kakimu yang melecet
dan pertolongan Abdullah bin Urayqit.

Ketibaanmu di Madinah
disambut meriah
perempuan Ansar menyanyi
meraikan Nabi.

Di tahun baru ini
biarlah aku mengubah diri
meniru Nabi.

Bersama Rasulullah
izinkan aku berhijrah.

– SALMAN SULAIMAN
PADANG RAJA, MACHANG.
Mingguan Malaysia, 13 Januari 2008.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
11.41 malam, 13/2/2008.

Wednesday, February 06, 2008

Menunggu bulan & selamat datang anak-anak sastera siber ke AKSES 3!


Menunggu Bulan merupakan cerpen saya yang ditulis lama dahulu, ya - tahun 2003 yang lalu. Seingat saya, cerpen bertuah yang membawa langkah saya ke atas pentas Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2003 itu saya hasilkan ketika di kampus Pulau Mutiara. Atau seperuhnya saya tulis di halaman Teratak Seni di Padang Raja - itu, saya sendiri pun sudah tak berapa pasti.

Menunggu Bulan, sebuah kisah biasa di sebuah madrasah kecil di sebuah kampung yang jauh dari hiruk-pikuk kesibukan kota. Berlatarkan sebuah madrasah kampung yang penuh kenangan dan indah permai itulah, saya mencipta watak-watak yang pelbagai. Saya selang-selikan ingatan masa lalu yang manis watak 'aku' itu dengan kisah dirinya kini yang termangu di jendela madrasah, menunggu bulan mengambang yang indah menawan. Ketika mula membayangkan judulnya sebelum menyudahkannya lagi, saya teringat cerpen Ana Balqis yang berjudul Memanah Bulan. Saya juga teringat novel Alias Ismail yang berjudul Mewarna Bulan. Dan, saya juga mahu menulis tentang bulan dan kisahnya pula ialah tentang seorang anak muda yang sedang termangu mengingat kenangan sambil menunggu bulan di jendela madrasah. Maka, jadilah judulnya Menunggu Bulan. Kalau Ana Balqis mahu memanah bulan dan Alias Ismail pula mahu mewarna bulan, saya hanya mahu menunggu bulan. Memadailah!

Seorang pembaca, mengirim SMS dan memberitahu sangat menggemari cerpen saya ini dan sampai katanya mahu pergi ke kampung tempat latar cerita itu. Dan seorang lagi pula, turut mengirim SMS kepada saya, katanya setelah menelaah cerpen ini dia terasa semacam mengingat memori silam dan mengulit kenangan. Dan, kedua-duanya adalah perempuan.

Alhamdulillah, saya sendiri sudah cukup gembira setelah ada pembaca yang menghayati karya-karya saya sampai begitu sekali. Menusuk hati. Mereka membacanya dengan nurani. Mereka betul-betul menghayati. Dan, untuk mereka, hanya terima kasih yang mampu saya beri. Dan, sudi-sudilah membaca; lagi dan lagi.

Kini, saya ada di sekitar Hotel Perdana, Kota Bharu. Untuk dua tiga hari ini, izinkan saya menyepi di sini - melayan anak-anak peserta AKSES 3 yang akan mula melapor diri esok pagi. Untuk semua para peserta Akademi Sastera Siber 3 (AKSES 3), selamat datang saya ucapkan kepada kalian semua, selamat menjadi peserta dan selamat bersastera siber selama tiga hari dua malam bersama kami di Hotel Perdana!


Salman Sulaiman
TM Cyberc@fe, Sebelah Hotel Perdana,
Kota Bharu, Kelantan.
10.23 malam, 6/2/2008.
Rabu yang syahdu.

Friday, February 01, 2008

Sajak Pak Sako

Bapak rugged, anak groovy,
Sedang membiak di sana sini,
Di pantai memakai bikini,
Di kubur memakai mini.
Orang-orang kampung menghadap Kiblat,
Mereka membawa komik-komik Barat,
Bermain karate, ganti bersilat,
Makan anggur, menggantikan langsat,
Gasing dibuang, dimajukan bowling,
Berasmara mereka kata necking,
Bercumbu-cumbu mereka kata pecking,
Buang Mak Inang, menggantikan dansing,
Tetapi, bila bergula dalam kencing,
Barulah teringat nak makan jering,
Terkenang kepada petai dan kerdas,
Barulah nak belajar mandi hadas.
Melayu bukan, Malaysian pun bukan,
Cina bukan, Indian pun bukan,
Inikah akar-akar yang mangaku rotan?
Atau kaca-kaca yang mengaku intan?

– Pak Sako (Dr. Ishak Haji Muhammad)

[Sumber: Suara Keadilan, edisi 28 Ogos – 11 September 2007, bil. 115, halaman 15 dalam tulisan LanH berjudul Melayu bukan, Cina bukan, Malaysian pun bukan]

Ketika menyelak timbunan akhbar lama, saya menemukan sajak ini – yang dikarang oleh sasterawan besar Melayu, Allahyarham Pak Sako. Walaupun sajak ini kelihatan mudah dan senang pula difahami, tetapi apa yang mahu disampaikan Pak Sako sangat elok sekali kita hayati. Pak Sako mengkritik keruntuhan akhlak anak-anak zaman moden yang sudah mula berkiblatkan Barat. Kritikannya yang tajam dengan bahasa yang menikam membuatkan kita terpegun membaca. Selamat menghayati!


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
10:23 malam, 1 Februari 2008.
23 Muharam 1429 H, Jumaat.