Wednesday, April 04, 2007

Teman-temanku yang dikasihi, kalian mesti baca buku ini


[Catatan saya yang lain di www.teratakseni.blogspot.com]

Teman-temanku yang dikasihi, kalian mesti baca buku ini. Sebuah buku bersaiz sederhana yang berjudul Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab : Antara Fakta dan Palsu yang merupakan himpunan kertas kerja Seminar Antarabangsa Mengenai Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab yang dihasilkan oleh enam orang pembentang iaitu Dr. Johari Mat, Dr. Abdul Halim Ahmad Saising, Syeikh Ihsan bin Muhammad bin ‘Ayish Al-‘Uthaibi, Dr. Sulaiman Al-Saloomi, Dr. H. Yunahar Ilyas dan Dr. Azzam Tamimi.

Buku terbitan Karya Bestari yang mempunyai 147 halaman ini, hanya dijual dengan harga RM5. Kalau anda membelinya di kedai yang menawarkan diskaun 10 peratus, dapatlah dengan harga yang lebih murah – RM4.50 sahaja. Sangat berbaloi tentunya membeli sebuah buku yang penuh ilmu dengan harga semurah itu.

Di bawah tajuk Tuduhan Terhadap Syeikh, Dr. Abdul Halim Saising menukilkan begini;

“Syeikh dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan. Antaranya:

Tuduhan “Wahhabi” sebagai satu mazhab baru yang lain daripada mazhab empat.
Tuduhan “Wahhabi” sebagai satu mazhab yang terkeluar daripada agama.

Sebenarnya dakwaan ini adalah tohmahan semata-mata dan langsung tidak ada bukti yang boleh menguatkan dakwaan tersebut. Syeikh adalah bersih daripada apa yang dituduh itu kerana buku-buku karangan dan manhaj dakwahnya adalah jelas sebagaimana yang dinyatakan se-belum ini.”

Teman-temanku yang dikasihi, saya pohon dengan sesungguhnya. Sebagai ingatan kepada diri saya juga dan untuk kita semua – nilailah dan buatlah pertimbangan yang adil dan saksama setiap apa yang kita dengar, setiap berita yang kita terima; tak kiralah melalui surat khabar, majalah, internet, radio, tv, sms, telefon, faks atau melalui apa cara sekalipun berita dan khabar itu sampai kepada kita.

Apa saja yang kita baca – buku sejarah, buku sastera, buku agama atau buku apa sekali pun, majalah, surat khabar, risalah, pamflet dan juga apa saja yang kita lihat dan dengar serta yang kita tahu dan lebih lagi yang kita tak berapa tahu; nilailah semuanya dengan penilaian, penelitian, pertimbangan yang mendalam dan dengan penilaian yang adil lagi saksama.

Mengapa ramai orang suka sangat membuat sangkaan-sangkaan? Mengatakan sesuatu yang ia tidak benar-benar tahu dan ia tidak menyelidikinya terlebih dahulu. Orang ini dikata Wahhabi dan orang itu dikata Wahhabi. Ada orang yang dituduhnya suka menyesatkan orang lain. Padahal yang membuat sangkaan-sangkaan ini, ada juga terdiri daripada orang yang sihat akalnya dan cerdik pula.

Buku ini akan menjawab segala tohmahan dan tuduhan serta sangkaan-sangkaan yang tidak benar terhadap golongan yang kononnya dinamakan Wahhabi dan juga tuduhan kepada Syeikh Muhammad Abdul Wahhab yang ‘dikatakan’ sebagai pelopor kepada mazhab yang tidak wujud itu. Buku ini akan menjelaskan segala-galanya. Bacalah saja di sana.

Saya kira tidak perlulah saya berpanjang-panjang dalam catatan ini. Cuma saya mahu mengakhiri catatan penting ini dengan beberapa ayat Allah yang dinukilkan oleh Syeikh Ihsan bin Muhammad ‘Ayish Al-‘Uthaibi dalam kertas kerja beliau seperti yang tertera pada halaman 49, 50 dan 51 buku ini;


Tidak Boleh Mendengar Kata-kata Orang Lain Tanpa Bukti

“(Ingatlah) sewaktu kamu menerima berita palsu itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang kamu tidak ketahui serta kamu menganggapnya suatu yang ringan padahal di sisi ALLAH ia adalah (dosa) besar.” – Surah Al-Nur: 15.


Wajib Berlaku Adil Terhadap Orang yang Berselisih Faham Dengan Kita

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang menegakkan kebenaran kerana ALLAH, saksi-saksi yang adil dan jangan sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Tegakkan keadilan kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Bertakwalah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. – Surah Al-Maidah: 8.


Haram Berlaku Zalim, Mencela dan Berdusta

“Janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya akan ditanya mengenainya.” – Surah Al-Israk: 36.

Hayatilah ayat-ayat Allah ini dengan hati kalian yang cintakan kebenaran. Telitilah ia sungguh-sungguh dan saya percaya penelitian yang sungguh-sungguh terhadap ayat Allah yang agung ini akan menyumbang kepada semakin hilangnya sikap segelintir masyarakat kita yang suka membuat sangkaan-sangkaan yang bukan-bukan.

Wallahu a’lam.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
12.26 tengah hari, Rabu yang terang.
16 Rabiulawal 1428 H.
Bersamaan 4 April 2007.