Monday, June 19, 2006

Menanam semangat di Pantai Kuala Pak Amat & percayalah, anda memang hebat!

Jumaat [9 Jun 2006] - Saya tinggalkan ibu dengan peluk cium seperti selalu, menumpang motosikal Badrul yang mahu ke tempat kerja. Badrul tinggalkan saya berdekatan kedai runcit yang betul-betul berhadapan dengan stesen bas Machang pagi itu. Saya awal-awal memberitahu, saya akan tiada selama tiga hari dan pulang ahad ini. Saya dapatkan apa-apa yang patut di kedai runcit berdekatan berserta senaskhah Kosmo. Tepat jam 8.29 pagi ikut jam saya, bas cepat Machang - KB yang saya naiki mula menyusur keluar meninggalkan stesen bas Machang. Di atas bas, saya menatap Kosmo sungguh-sungguh. Waktu pagi, memang masih segar untuk terus membaca. Pelbagai rencana menarik di dalamnya belum pun sempat saya habiskan, hampir sejam kemudian bas yang saya naiki tiba di Kota Bharu. Iwan sudah pun mengirim sms menunggu di kedai buku.

Kami berjalan kaki ikut belakang Pasar Besar Siti Khadijah ke stesen bas yang satu lagi, mencari bas mini untuk ke Pantai Cahaya Bulan [PCB]. Perjalanan pagi dari Kota Bharu ke Perdana Resort, PCB sungguh mengasyikan. Kami merentas jalan-jalan yang melalui kawasan perkampungan sepanjang jalan ke PCB. Pada waktu begitu, ramai yang masih di kedai kopi bersarapan pagi. Tapi, ada juga anak-anak yang sudah berkumpul di gelanggang bertanding sepak takraw. Ada juga makcik-makcik yang duduk-duduk berbual di beranda. Di atas bas, Iwan asyik menelaah buku puisi Sekepal Tanah karya Rahimidin Zahari yang saya pinjamkan kepadanya. Dia nampak tidak peduli sangat dengan pemandangan sepanjang perjalanan.

Jam 10.25 pagi, saat melintas di kawasan Cabang Tiga Kedai Buluh, PCB - saya lihat ada pasar pagi yang begitu meriah di sini. Saya teringatkan pasar pagi di hari isnin, pada setiap minggu di pekan Machang. Kemeriahannya saya lihat hampir sama. Kami lalu juga ikut Klinik Kesihatan Badang dan kami turun di simpang masuk ke Perdana Resort, berjalan kaki lebih sekilometer juga sebelum sampai di lobi Perdana Resort. Jam 10.50 pagi kemudiannya, kami sudah ada di kerusi tetamu melepas penat di lobi Perdana Resort setelah letih berjalan kaki.

Para peserta juga, sudah ramai yang tiba. Proses pendaftaran berlangsung di Dewan Selayang dan sambil menanti para peserta tiba sepenuhnya, juga sebelum yang lelaki ke masjid menunaikan solat jumaat - pihak urus setia menayangkan video cakera padat sepanjang satu jam tentang kehidupan Sasterawan Negara A. Samad Said. Saya sendiri belum berkesempatan memilikinya, maka asyik juga dibuatnya menelaah hidup Sasterawan Negara kegemaran saya ini. Dokumentari selama satu jam itu, dibuat dengan penuh teliti dan dengan rakaman yang bermutu tinggi menambah lagi keasyikan kami menontonnya.

Lebih kagum lagi, kami melihat lelaki seniman setua Pak Samad begitu biasa benar berjalan kaki sekadar 4 km sehari. Saya teringatkan perjalanan kami sekejap tadi, baru sekadar sekilometer. Belum apa-apa kalau nak dibandingkan dengan waktu muda Pak Samad yang berlari anak ke tempat kerja sejauh berbelas-belas kilometer saat beliau masih bertugas sebagai wartawan di Berita Harian.

Syaidul Azam, pengurus projek yang mengetuai perhimpunan kami tiga hari di sini untuk sama-sama berkongsi ilmu dan berguru dalam Khemah Sastera Negeri Kelantan 2006 membawa saya dan Iwan bersolat jumaat di Masjid Kampung Semut Api yang tidak jauh dari Perdana Resort. Kali ini saya hadir bukan sebagai peserta, Syaidul Azam menjemput saya atas tiket fasilitator dan sekaligus penceramah.

Awal-awal sebelum jumaat tadi, Syaidul Azam sudah memberitahu dengan nada bergurau, mahu 'mendera' saya sebagai pengacara majlis untuk sesi perasmian yang akan dibuat oleh En. Zainal Abidin Muhammad dari Gabungan Penulis-penulis Muda Kelantan [GEMA]. Tanpa bercakap banyak saya terus bersetuju. Saya sambut kehadiran En. Zainal di lobi resort bersama anaknya Siti Nur Zafran yang ikut hadir sebagai peserta program. Turut serta di atas sofa semasa sesi perasmian petang itu ialah Bapak Norhisham Mustaffa. Sifu besar dunia sastera Kelantan ini hadir untuk menyampaikan ceramah motivasi penulisan beliau yang dijadualkan bermula jam 3 hingga 4 petang.

Ceramah Bapak Norhisham untuk sesi pertama dengan kertas kerja, Secuil Pengalaman Seorang Penulis Kampung bermula agak lewat dan saya tidak dapat menghayati butir bicara beliau sepenuhnya kerana terpaksa menyelesaikan beberapa tugasan sebagai fasilitator. Panjang lebar juga Bapak Norhisham bercerita tentang pengalaman beliau ketika awal menulis sampailah meraih sekian banyak anugerah penulisan sehingga kini.

Kemudiannya bermula Latihan Dalam Kumpulan [LDK 1] dengan sesi suai kenal antara para peserta. Terlebih dahulu, abang-abang fasilitator diminta ke depan memperkenalkan diri kepada para peserta. Selain saya, tiga fasilitator yang lain ialah Mohd Zamani Md. Zin [Zamani] dan Nik Mohd Azhan Nik Ismail [Azhan], kedua-duanya dari JASTERA [Pertubuhan Jalinan Anak Seni Teater, Tari dan Sastera Kelantan] serta Mohd Zulhazmi Md. Zin [Zul] yang merupakan lulusan Sains Sukan dari sebuah universiti tempatan.

Kami dibahagikan kepada 4 kumpulan. Pada awalnya, kami menjangkakan dapat membentuk 6 kumpulan dengan 5 orang peserta dalam setiap kumpulan sebab peserta yang dijangkakan hadir ialah seramai 30 orang. Yang sudah memberitahu terpaksa tidak hadir ialah Nasriah Abdul Salam kerana anak saudaranya yang baru lahir meninggal dunia. Saya terpaksa akur, walaupun dia sendiri terkilan kerana tidak boleh ikut serta. Penulis muda seperti dialah yang sepatutnya ada dalam perhimpunan besar pada peringkat negeri begini. Tak apalah, pilihan Allah itu lebih tepat tentunya. Dalam sms saya kepadanya, saya sabarkan dia, "Tapi, apa pun menulis tetap terus menulis." Dan yang datang cuma 22 orang dan saya ditugaskan memimpin 5 orang peserta selama tiga hari itu. Setiap kumpulan mempunyai nama masing-masing, diambil dari nama sembilan Sasterawan Negara kita yang ada. Saya mengawasi kumpulan S. Othman Kelantan yang terdiri daripada 5 orang ahli.

Zamani memimpin kumpulan Arena Wati dengan 6 orang ahli - Ikhwan, Suhaina [Mek Su], Engku Maryam [Ku Yam], Tini, Marizan [Je] dan Siti Khadijah [Siti]. Kumpulan A. Samad Said diawasi Azhan, juga dengan 6 orang ahli yang terdiri daripada Ruzairy [Zahid], Fatin, Liyana [Nana], Mohd Redzuan [Iwan], Najwa dan Wani. Kumpulan ke-4, 5 orang ahli dengan memakai nama Usman Awang dijaga Zul dan yang menganggotainya ialah Razaki [Abe Ki], Norazwa [Azwa], Aziera [Jira], Najibah [Jibah] dan Zuraihana [Zura]. 2 kumpulan dengan 5 ahli dan 2 kumpulan lagi dengan 6 ahli, genaplah 22 orang semuanya.

Mencari-cari tempat yang paling sesuai untuk berkumpul bagi sesi suai kenal, kami memilih duduk bersila di tepi wakaf yang mengadap pantai - berlantaikan rumput dan beratapkan langit petang yang masih cerah. Bersila di sebelah kanan saya, Mohd Hisham Mohd Lee yang kemudian kami panggil Ise [Sham]. Anak muda yang berusia 19 tahun ini berasal dari Kampung Dangar, Pasir Mas. Yang lain semua perempuan. Aini [Aini] dari Pauh Jabit, Bachok; Syarifah Aisiah [Pah] dari Pulai Chondong, Machang yang kini menuntut di Kolej JAIPUTRA, Kota Bharu; Mazriyana [Yana] dari Kampung Padang Pak Omar, Selising dan di sebelah kiri saya - Siti Nur Zafran [Zafran] dari Kubang Kerian yang sudah saya kenali sebagai seorang deklamator muda yang begitu tersohor di tanah Kelantan. Zafran merupakan penuntut tahun 2 bidang Sains Matematik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Sham, Aini dan Yana masih belajar di tingkatan enam.

Kami tidak sempat berkenalan panjang, Syaidul Azam menelefon saya menyuruh membawa anak-anak itu ke Dewan Selayang semula untuk sesi seterusnya. Anak-anak itu membina bulatan besar sambil berdiri dan kami bersuai kenal lagi dalam kumpulan yang lebih besar. Kali ini melibatkan keseluruhan peserta yang hadir. Suai kenal kali ini lebih gamat dan meriah dengan macam-macam ragam setelah mereka disuruh mengingat nama panggilan teman-teman lain, 5 orang di sebelah kanan dan 5 orang pula di sebelah kiri. Masing-masing memberitahu nama sendiri berserta lambang peribadi yang senang diingati. Aini, saya ingatkan matanya. 'Ain itukan mata dalam bahasa Arab.

Zafran, tentu saja simbol pedang Zorro yang dilayangkannya ke udara, "Zessss!" Atau Sham pada tahi lalat di bahagian kanan sebelah atas bibirnya. Yang paling senang diingat tentu saja wajah Zahid yang memang iras-iras Zahid AF. Zahid itu nama panggilan yang cukup istimewa buat dirinya kerana punyai wajah seiras selebriti. Nama sebenarnya, Mohd Ruzairy Haji Musa yang berusia 23 tahun. Anak ini belum habis belajar di Akademi Seni Kebangsaan [ASK], Kuala Lumpur. Berbeza dengan Najwa yang baru 21 tahun tetapi telah tamat Diploma Penulisan Kreatif di ASK. Najibah, pelajar Maahad Amir Indra Petra yang bertudung labuh ini, tentu saja saya ingat benar ketika dua tiga kali dia mengepal penumbuk geram setelah ada yang gagal mengingat namanya ketika sesi suai kenal itu.

Lebih menarik lagi pengenalan untuk diri Nana, katanya lebih kurang begini, "Ingat lagu Shanana ingat Nana." Juga Syarifah dengan pengenalan diri yang lebih menarik, "Ingat Pas ingat saya." Saya berseloroh, "Ingat tudung labuh, ingat Muslimat Pas." Lebih riuh anak-anak itu ketawa. Azwa [Wawa] beraksi memegang tali wau untuk senang yang lain mengingati nama panggilannya, "Wau, wau, wau, Wawa," katanya, yang membuatkan yang lain ikut ketawa. Ikhwan mempunyai pengenalan diri yang lebih mesra alam, ingat ikan haruan ingatlah kat Wan. Wan, pelajar Pengajian Media UM ini kini sedang menjalani latihan praktikal di DBP Wilayah Timur, Kota Bharu bersama seorang lagi teman yang juga ikut membantu kami pada program tersebut - Hasmawati. Tetapi Hasmawati tidak ikut secara rasmi sebagai peserta.

Selesai LDK 1, kami sekali lagi keluar bersila di atas rumput dalam sesi Berkarya Mesra Alam. Anak yang berlima itu saya suruh siapkan sebuah puisi, sekadar yang terdaya dalam masa 10 minit. Saya tahu, payah mencipta puisi. Awal-awal saya pesankan, "Pendek pun tak apa, janji sedap." Maklum saja, dengan jadual program yang padat, segalanya perlu disudahi segera. Saya tidak memaksa-maksa anak-anak itu mencipta, buatlah sekadar yang terdaya; kerana selepas ini mereka perlu segera balik ke bilik bersiap untuk sesi malam pula.

Masing-masing jauh berjalan mencari bilik dan saya pulang dengan 5 buah puisi mereka untuk memilih satu yang terbaik buat digunakan untuk persembahan oleh setiap kumpulan malam nanti. Saya bukan pilih kasih atau diskriminasi, tapi puisi Sham yang saya pilih. Seingat saya, judulnya Senja di Pantai. Bukan kerana Sham seorang saja peserta laki-laki dalam kumpulan saya, maka saya pilih puisinya. Banyak kali juga saya berkalau-kalau di dalam hati, takut-takut anak-anak ini kata saya pilih kasih atau sengaja pilih yang lelaki. Saya katakan, "Saya ambil puisi yang paling sesuai untuk dideklamasi, yang punya banyak variasi." Kerana semua perlu terlibat dalam persembahan nanti. Dan anak-anak itu mengerti dan yang tak terpilih, tak bermakna puisinya tak bagus.

Sehabis maghrib dan makan malam, Saudara Abdul Hadi Yusoff memulakan sesi bengkel puisi dengan berpandukan kertas kerja beliau, Penulisan Puisi. Panjang lebar beliau berceramah tentang puisi. Habis belajar tentang puisi, sekali lagi anak-anak ini masuk dalam LDK seterusnya dengan setiap kumpulan perlu bersiap untuk persembahan yang bakal dibuat berdasarkan sebuah puisi yang dipilih oleh fasilitator masing-masing.

Dan bermulalah malam itu apa yang dinamakan Zamani dengan Akademi Sastera. Sengaja anak-anak itu disuruh mempersembahkan setiap puisi terbaik dari kumpulan masing-masing, untuk kami menilai bakat dan kebolehan setiap kumpulan. Tiga orang pengkritik dipilih untuk memberi komen setelah mereka selesai membuat persembahan - Azhan, Abdul Hadi Yusoff dan Saudara Syaidul Azam sendiri. Ternyata masih banyak kelemahan di pentas yang dilakukan oleh anak-anak itu. Maklum saja, persembahan pertama dengan persiapan yang begitu tergesa-gesa.

Malamnya, saat perlawanan bola sepak Piala Dunia 2006 sudah bermula, saya cuma menghabiskan masa berbicara tentang seni dan sastera bersama Azhan, fasilitator yang tidur sebilik dengan saya di penginapan bernombor 147, yang terletak betul-betul di hadapan tasik. Hampir jam 3 pagi juga baru kami melelapkan mata.

Sabtu [10 Jun 2006] - Seawal jam 6.30 pagi, anak-anak itu sudah ada di halaman yang lapang dekat tempat makan, bersenamrobik. Sehabis sarapan, semua berkumpul di Dewan Selayang semula untuk program seterusnya. Bengkel puisi oleh Saudara Abdul Hadi Yusoff disambung lagi untuk hari ke-2. Antara yang menarik disebut Saudara Abdul Hadi untuk sesi pagi ini ialah tentang orang tua di Kelantan pun pandai bersajak. Beliau memberi contoh yang paling mudah, ketika memperihalkan lembu yang putus tali, "Lembu putus." Jelas Saudara Abdul Hadi dalam loghat Kelantan bahawa orang tua-tua kita pun pandai bersajak dengan menggunakan ayat yang mengekonomikan penggunaan kata-kata, "Orang tuo pun panda ssajok, ekonomi kato-kato."

Sesi seterusnya diambilalih oleh Puan Ariza Che Ismail yang merupakan Editor buletin Jendela Timur, yang tentu saja berbicara khusus tentang keperluan karya untuk penerbitan dengan kertas kerja beliau, Penerbitan Di DBP Wilayah Timur. Terlebih dahulu Puan Ariza beramah mesra bersama anak-anak itu dengan meminta mereka memperkenalkan diri seorang demi seorang dan anak-anak itu menyebut juga tentang karya-karya mereka yang pernah tersiar. Sayangnya saya hanya mendengar dari luar saja anak-anak itu berbicara, kerana bersama Saudara Abdul Hadi saya menyemak beberapa buah puisi yang telah mereka serahkan.

Selesai minum pagi, bermula sesi bengkel cerpen pula, yang dibimbing oleh Saudara Rosli K. Matari dan beliau menghasilkan kertas kerja yang berjudul Penulisan Cerpen. Selepas makan tengah hari dan menyuci diri, bengkel cerpen beliau disambung lagi. Segala tips dan keperluan untuk menghasilkan cerpen yang baik diperturunkan oleh Saudara Rosli. Saya tidak marahkan Saudara Rosli walaupun beliau sudah terlebih masa berbicara, kerana begitulah selalunya seorang penulis - tidak pernah habis apa yang mahu disampaikan.

Saya menyedari hal ini, ketika saya menyambung sesi bicara seterusnya dengan kertas kerja saya, Menulislah, Pasti Anda Akan Berasa Bahagia. Alhamdulillah, kerana selama menjadi penulis inilah antara bengkel yang saya cukup berbahagia menghadirinya. Bersama 22 anak-anak berbakat yang disaring penuh teliti pemilihan mereka kemari oleh Saudara Syaidul Azam. Saya cukup bersemangat berbicara bersama mereka. Saya rasa cukup bertuah dapat bersama-sama mereka, kerana saya juga salah seorang anak muda seperti mereka. Rata-rata, anak-anak ini berusia 18 dan 19 tahun. Ada juga yang 17, 21, 23 dan 25 tahun. Yang paling senior tentu saja Saudara Razaki [Abe Ki], yang sudah lebih 30 tahun.

Saya memujuk beliau ketika berkali-kali Abe Ki menyatakan rasa segannya bersama anak-anak yang jauh lebih muda darinya. Kata saya, janji minat dan kemahuan itu ada maka tidak salah Abe Ki ikut menyertai mereka semua menjadi penulis. Saya mulakan sesi saya dengan menyuruh anak-anak itu semua berdiri dan menukar tempat masing-masing. Saya tidak mahu mereka masih berpuak-puak dengan kenalan lama dan mahu menghilangkan rasa mengantuk mereka yang sudah kira-kira lebih sejam berbengkel. Selepas mereka duduk dengan selesa di tempat baru, saya hilangkan lagi rasa mengantuk anak-anak itu dengan 3 soalan kuiz berkaitan sastera.

Saya masih ingat, tiga soalan yang saya tanyakan kepada anak-anak itu; Di manakah anda lihat buku ini semalam? [Saya tunjukkan naskhah novel Cinta Fansuri karya A. Samad Said cetakan tahun 1994 oleh Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., berkulit biru, yang saya bawa dari rumah]. Tak dinafikan, ada yang peka menjawab, "Dalam CD A. Samad Said semalam." Tapi ada juga yang menjawab di kaunter pendaftaran dan dalam beg saya. Sengaja saya tanyakan soalan itu, setelah saya melihat novel Pak Samad yang ada dalam simpanan saya itu ada ditunjukkan dalam CD selama satu jam itu. Soalan lain, sekadar soalan mudah tentang sastera sahaja untuk menghadiahkan anak-anak itu buku saya - Pemain Bahasa. Siapa Sasterawan Negara yang ke-2 dan penulis novel Bulan Tak Bermadu di Fathehpur Sikri ?

Izinkan saya petik sedikit isi kertas kerja ringkas saya, dengan penuh semangat saya katakan kepada anak-anak itu, begini;

Alhamdulillah juga kerana imaginasi saya untuk menjadi penulis lapan tahun lalu telah Allah kabulkan hari ini, saat saya sedang berada di hadapan anda hari ini. Saya percaya, dengan imaginasi yang positif dan kerja yang sungguh-sungguh hari ini - anda pula yang akan menggantikan tempat saya di sini pada masa depan.

Dengan penuh semangat saya terus berbicara kepada anak-anak itu, kerana saya tidak mahu mereka mensia-siakan bengkel yang bersejarah ini. Bengkel peringkat negeri, yang mana peserta yang datang adalah dari seluruh ceruk rantau tanah Kelantan. Saya tak mahu mereka mensia-siakan bakat yang telah Allah anugerahkan. Saya nampak mereka pun begitu bersemangat mendengarnya. Dan dengan lafaz yang paling bersemangat saya kira, saya cabar mereka. Izinkan saya kutip lagi dari naskhah Menulislah, Pasti Anda Akan Berasa Bahagia, begini;

Saya pasti, dengan keberanian jugalah anda sampai kemari dengan tekad serta semangat yang tinggi dan kukuh untuk menjadi penulis yang berjaya di masa depan. Kalau tidak ingin menjadi penulis, saya pasti anda pun tidak hadir hari ini. Untuk itu, hari ini, di sini, bersaksikan pantai dan laut luas yang penuh sejarah di pantai Kuala Pak Amat ini - saya cabar anda! Dua tahun dari sekarang, setelah kita bertemu semula pada tahun 2008 nanti, setiap seorang dari anda sudah mempunyai - paling tidak pun, sebuah buku sendiri. Tidak kiralah sama ada antologi puisi persendirian, antologi cerpen, drama, esei atau novel.

Saya memberikan kemungkinan yang meyakinkan untuk anak-anak itu dan saya naikkan lagi semangat mereka begini;

Saya masih tetap percaya, orang seperti anda pasti dengan berkobar-kobar dan penuh semangat akan menyahut cabaran saya. Jika anda sudah mempunyai 50 buah koleksi puisi sendiri yang baik atau 10 koleksi cerita pendek yang menarik, anda sudah boleh mula mengumpulkannya ke dalam sebuah antologi persendirian. Dengan tersiarnya 5 buah cerpen atau 10 buah sajak anda dalam majalah terbitan DBP, anda sudah mampu mengumpulkan RM1, 000. Jika anda masih takut-takut atau tidak tahu bagaimana ingin menerbitkan karya anda bermodalkan RM1, 000 tadi, jumpa saya!

Dan saya sudahi ceramah saya petang itu, setelah Saudara Azam sudah menitipkan kertas amaran masa yang sudah hampir cukup, begini;

Dan untuk anda, teruslah membaca dan membaca tanpa henti. Jangan berhenti belajar dan jangan jemu untuk terus berguru. Saya sendiri, sebetulnya saya bahagia menulis. Kebahagiaan itulah yang sedang saya rasai sekarang. Dan kepada anda, menulislah dan percayalah, pasti anda akan berasa bahagia!

Paling lucu, tengah sibuk-sibuk anak-anak itu mengerumuni saya meminta saya menitipkan kata-kata dan tandatangan sesudah saya baru selesai berceramah, tanpa disedari Zanazanzaly datang dari belakang, "Abang, minta sign." Tanpa melihat orangnya, saya dalam keadaan kalut dan tergesa-gesa menjawab, "Tokde ni tokde, male ni deh, male ni [Tak sempat ni, tak sempat. Malam ni lah ya, malam ni]." Dan saya mendongak, "Heh! Ya Allah, budak ni" dengan nada yang amat terkejut bercampur malu, dan suasana pecah oleh derai tawa. Saya tidak tahu kehadiran Zanazanzaly dan Rozais Al-Anamy yang cepat-cepat berpacu dari Pasir Mas mahu mendengar saya berceramah. Mereka berdua sampai ketika ceramah saya sudah hampir ke kemuncak. Saya mati-mati ingatkan mereka berdua tak datang. Dan inilah babak paling lucu untuk diri saya selama tiga hari di Perdana Resort. Sampai sekarang pun, kalau mengingat kisah ini, saya akan ketawa sendiri.

Sesi minum petang kami hari itu diriuhkan oleh derai tawa sekali lagi dengan kisah lucu saya sebentar tadi. Setelah kembali ke bilik beberapa ketika, kami kembali ke Dewan Selayang semula. Kali ini untuk memulakan sesi Kembara Sastera atau kami namakan dengan Explorace. Saya ditempatkan di stesen 5, di kawasan tasik dan anak-anak itu saya tugaskan untuk menyiapkan dua rangkap pantun setiap seorang. Satu berbentuk soalan dan satu lagi berbentuk jawapan. Mereka perlu berpasangan berbalas pantun. Kalau yang tak ada pasangan, tanya sendiri dan jawablah sendiri. Sehabis mencipta, setiap mereka saya mestikan menyampaikan pantun itu di depan saya untuk sama-sama kami mendengarnya. Lulus ujian ini, barulah mereka saya lepaskan ke stesen seterusnya.

Balik ke Dewan Selayang, mereka disuruh mengumpulkan semua hasil kerja masing-masing ke atas sehelai kertas besar menggunakan kekreatifan sendiri dan menampalnya di dinding dewan untuk dinilai. Anak-anak di bawah bimbingan saya, mujur menjadi kumpulan pertama menyelesaikan kembara.

Malamnya, sehabis menjamu selera dengan santapan panas yang istimewa untuk malam terakhir, kami bertemu lagi di Dewan Selayang untuk sesi pemurnian karya cerpen dan puisi, sekali lagi oleh Saudara Rosli K. Matari dan Saudara Abdul Hadi Yusoff. Kali ini, teguran dan saranan dibuat ke atas karya-karya yang telah diserahkan oleh para peserta. Sesudah penat berbengkel, di atas permaidani di bahagian belakang dewan, kami riuh ketawa dengan permainan berkumpulan menjual goreng pisang. Saya cuba nyanyikan;

Goreng pisang, goreng pisang, goreng pisang sekarang.
Pisang apa? Pisang apa, pisang apa sekarang?

Contohlah, dijawab begini;

Pisang rebus, pisang rebus, pisang rebus sekarang.
Rebus apa, rebus apa, rebus apa sekarang?

Kumpulan lain pula menjawab, katakanlah begini;

Rebus ubi, rebus ubi, rebus ubi sekarang.
Ubi apa, ubi apa, ubi apa sekarang?

Yang tak dapat jawab itulah yang kalah. Memang seronok menjual pisang ni. Hilanglah sikit penat anak-anak ini, yang sudah dua hari berbengkel. Sesi kami malam itu tidak habis di situ, kemudiannya setiap kumpulan dipimpin oleh fasilitator masing-masing berlatih untuk persembahan akhir di majlis penutup tengah hari esok. Penat juga saya melatih anak-anak itu berteater, dengan cerita Jebat mengamuk di istana Melaka. Cerita ini dari idea Sham. Hampir jam 2 pagi juga, baru kami melangkah ke bilik.

Saya dan Azhan tidak berceloteh panjang di bilik seperti malam sebelumnya. Malam itu antara tidur paling lena dalam hidup saya, maklum saja, saya sudah habis suara siangnya setelah sejam lebih berceramah dicampur sejam lebih pula bertempik menjerit berteater bersama kumpulan S. Othman Kelantan pada malamnya.

Ahad [11 Jun 2006] - Tiada senaman pagi ini. Anak-anak ini diberi kelonggaran setelah semuanya keletihan. Kami bersarapan pagi dengan nasi lemak. Rozais Al-Anamy sudah mula berceloteh dengan kertas kerjanya, Kenapa Memilih Untuk Menulis saat saya melangkah masuk ke Dewan Selayang pagi itu. Rozais tidak berdiri, beliau memilih untuk duduk saja di kerusi, berbeza dengan ceramah terakhir oleh Zanazanzaly pagi itu yang nampak lebih selesa berlegar-legar di depan mereka dengan kertas kerja beliau, Modal dan Produk Penulisan. Anak-anak itu nampak seronok dengan gaya penyampaian Zana yang kadang-kadang berbisik dan kadang-kadang menjerit. Dan mereka, kadang-kadang riuh ketawa.

Tengah sibuk-sibuk Zana berceramah, jauh di penjuru belakang dewan, saya sibuk-sibuk pula menyiapkan puisi untuk persembahan kami berempat, para fasilitator. Saya diminta Azhan untuk berkisah seputar Jebat dan Tuah juga untuk sama-sama kami dekonkan di pentas pada majlis penutup nanti. Kumpulan Usman Awang mempersembahkan wayang kulit dan Abe Ki yang menjadi dalang. Najibah yang saya ingat menjadi pemukul canang dibantu oleh yang lain juga dengan alat muzik yang berbeza. Yang bestnya, alat muzik itu dari pelbagai bahan, diserasikan penggunaannya dengan kekreatifan masing-masing. Abe Ki ternyata memang cukup berbakat dan memukau sebagai seorang dalang, walau persembahan mereka tanpa kelir di pentas wayang.

Zafran muncul secara berseorangan dengan puisi Kitalah Tuan karya Dato' Dr Hashim Yaacob. Keistimewaannya sebagai deklamator muda berbakat tentu saja tidak tertinggal begitu sahaja dengan peluang untuk beraksi secara solo begini. Kumpulan Arena Wati yang dipimpin Zamani tampil dengan tarian secara berkumpulan dan Wan berdendang dengan lagu yang pernah dipopularkan Siti Nurhaliza sambil yang perempuan berlenggok menari. Puan Meriam Awang Lah, isteri kepada Saudara Abdul Hadi Yusoff tampil dengan bait-bait gurindam dan nazam yang begitu mempesona membuat kita sayu hiba bergenang air mata. Asyik sekali kami mendengarnya.

Anak didik Azhan dari kumpulan A. Samad Said pula tampil dengan persembahan pentas yang cukup menawan dengan dekon yang penuh artistik diiringi deklamasi dengan naskhah Bumi Menangis. Penggunaan pentas yang bervariasi ternyata begitu memikat sekali. Saudara Abdul Hadi Yusoff pula dijemput kemudiannya dan membuat kami ketawa dengan puisi dalam logaht Kelantan yang beliau persembahkan dengan begitu bersahaja.

Anak didik saya dari kumpulan S. Othman Kelantan pula muncul di pentas dengan kisah Jebat yang menderhaka. Sham menjadi Jebat, Zafran bersimpuh sebagai dayang, Yana yang jadi tukang cerita dalam alunan gurindam, Pah dan Aini selaku rakyat jelata. Wow, semua persembahan anak-anak ini tidak menghampakan kami dan kami memang berpuas hati.

Saudara Syaidul Azam selaku Pengurus Projek ikut berdendang dengan dua buah lagu dengan petikan gitar dari jemari beliau sendiri. Dan tibalah giliran kami pula yang berada di pentas, mempersembahkan sesuatu kepada semua yang ada, seadanya. Ringkas sahaja, tapi kami sebagai fasilitator cuba sedaya upaya memberikan yang terbaik buat semua dengan mendeklamasikan puisi segera nukilan saya. Azhan dan Zul bersilat selaku Jebat dan Tuah, serta Zamani memilih untuk menari. Sehabis persembahan, kata Saudara Abdul Hadi, beliau tertarik dengan kalimah keris yang lain dalam puisi yang telah saya deklamasikan dan Zana seperti mahu ikut serta sebagai peserta setelah teruja dengan persembahan anak-anak itu yang telah berjaya memukau semua.

Perhimpunan kami tiga hari itu ditutup oleh ucapan Pemangku Pengarah DBP Wilayah Timur, Puan Zainab Che Omar. Beliau dengan penuh harapan mahu anak-anak itu terus menulis dan bakal menjadi penulis besar di masa depan. Katanya, beliau mahu melihat nanti 22 karya anak-anak itu mendapat tempat di buletin Jendela Timur.

Tidak lupa, jutaan terima kasih buat semua yang menjayakan program yang hebat dan penuh bersejarah ini. Terutama sekali DBP Wilayah Timur dan warganya yang diketuai Saudara Syaidul Azam Kamarudin, Encik Sharrul Rizal Hashim dan Encik Mohd Asri Seman. Semua petugas di Perdana Resort yang melayan kami dengan penuh mesra tiga hari itu. Juga, jutaan maaf saya pohon pada semua selama saya bersama kalian. Segala kekurangan mohon ditegur, itu adalah kelemahan saya sendiri dan segala-galanya saya serah pada Allah jua untuk menilainya. Percayalah, kalian memang best sangat!

Saya sendiri, berasa terlalu bertuah dapat bersama-sama mereka yang saya lihat punya masa depan yang cerah dalam penulisan jika mereka meneruskan kegigihan untuk terus berkarya. Dan buat pertama kalinya, kali ini saya datang sebagai ketiga-tiganya - pembentang kertas kerja, fasilitator dan peserta. Kerana setiap kali sesi ceramah oleh pembentang lain, saya juga ikut duduk di kerusi peserta. Saya tidak melepas peluang untuk ikut sama mendengar pembentangan oleh setiap penceramah. Saya amat berbahagia ada bersama-sama mereka tiga hari ini. Saya tidak mahu putus hubungan dengan mereka semua. Saya mahu mereka terus menulis dan menulis tanpa mengenal putus asa. Ramai juga yang sudah menyahut cabaran saya untuk turut menerbitkan buku juga. Najwa, Aini dan Najibah antaranya. Syabas dan tahniah untuk anda semua.

Alhamdulillah, kami masih tidak putus hubungan dan terus mengutus khabar berita hingga kini. Ramai yang berkirim sms kepada saya dan ada juga yang sudi menelefon. Malah, kelmarin [17 Jun 2006], Wan yang jauh dari Kampung Sireh di Kota Bharu mengunjungi saya di Teratak Seni, Padang Raja meminta saya membaiki puisinya. Sepetang juga kami beramah mesra diredupkan rendang pohon rambutan di Teratak Seni.

Kalian, jangan berhenti menulis. Buat kalian semua, nanti kita bertemu 2 tahun lagi dan yang sudi menyahut cabaran saya, saya beli buku anda pula. Sham, Aini, Yana, Zafran, Syarifah, Razaki, Azwa, Ziera, Najibah, Zura, Ruzairy [Zahid], Fatin, Nana, Iwan, Najwa, Wani, Wan, Mek Su, Ku Yam, Tini, Marizan, dan Siti Khadijah - kalian anak-anak yang baik dan percayalah, anda memang hebat!



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,

Machang, Kelantan.
1.18 tengah hari, 19 Jun 2006 [Isnin].

[13, 14, 16, 17 & 19 Jun 2006]
Bersamaan 22 Jamadil Awwal 1427 H.