Teratak tua saya di Padang Raja ketika ini, saat saya sedang menaipkan kemaskini terbaru ini - sedang lebat ditimpa hujan musim tengkujuh. Beginilah keadaan di tanah Kelantan sejak beberapa minggu yang lalu. Ditimpa hujan bertalu-talu. Hanya sesekali panas matahari menghias langit tengkujuh. Saya sudah banyak kali kesejukan ditimpa hujan. Dah tak tahan rasanya nak ikut serta anak-anak dan jiran-jiran sekampung berpayung ke sungai melihat air sungai yang berombak-ombak, ditimpa hujan mencurah-curah.
Dan saat ini juga, ketika saya sedang tercongak di kerusi komputer menaipkan ini - saya dapat melihat dengan jelas air sungai yang kekuningan menyeberang jalan kampung di depan rumah saya. Pintu keluar ke halaman yang terbuka membolehkan saya melihat dengan jelas dari sini, dari ruang tengah tempat saya menulis ini - panorama hujan lebat menimpa air sungai sementara yang baru tercipta di awal pagi tadi merentang jalan depan rumah saya.
Ketika limpahan banjir dah sampai ke tahap memuncak, rumah saya akan diapungi air - dikelilingi air. Air yang berwarna teh susu itu, akan memenuhi kiri kanan rumah saya - dapur, halaman, bawah rumah, depan dan belakang. Tapi sekarang, pemandangan itu dah hilang kerana limpahan air itu dah banyak surut.
Ketika limpahan air itu sampai ke paras kemuncak juga, lintasan air banjir di atas jalan berturap depan rumah saya boleh mencecah ke paras pusat. Kuat dan laju. Takut juga kalau menyeberang keseorangan. Masuk yang ini, untuk musim tengkujuh tahun ini dah tiga kali kampung saya dinaiki air. Tapi, alhamdulillah - setakat tiga kali banjir ini, belum ada lagi warga kampung kami yang kena berpindah. Air banjir sekadar mencecah ke paras betis di atas simen dapur rumah saya yang rendah. Tapi, tak pernah pula ia mencecah sampai ke lantai papan yang tinggi. Maka, tak adalah kami kena pindah-pindah. Sekadar angkat barang-barang dari kawasan dapur yang rendah, bawa naik ke atas gelegar rumah yang tinggi.
Sekarang, air banjir yang mula melimpah sejak awal subuh tadi dah mula surut. Air sungai yang menyeberang jalan dah mula menipis. Motosikal budak-budak yang meninjau-ninjau air dah berani melintas - mencipta percikan air yang tinggi ke kiri kanan jalan. Banjir hari ini lebih tohor dan sekejap berbanding dua kali banjir yang lepas.
Kini, langit masih gelap juga. Hujan masih turun juga. Ayam jantan jiran berkali-kali berkokok di bawah rumah saya - kesejukan. Angin masih bertiup juga. Kata orang tua-tua, kalau berangin begini - maknanya air nak naik lagi. Air yang melimpah atas simen dapur rumah saya dah hilang. Surut. Tak tahulah takut-takut esok lusa banjir lagi. Masuk yang ini, kampung saya dah tiga kali naik air, dah tiga kali banjir. Eiiiiii, sejuknya.
Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang.
12.39 tengah hari, 17 Disember 2005 - Sabtu yang sejuk sungguh, banjir.
15 Zulkaedah 1426 H.
Catatan Rehlah Haji 1436H – Siri 3
4 months ago